Saturday, 30 June 2012

Tulisan ulama Melayu dalam kesusasteraan Arab


 
Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 

PADA ruangan lepas dibicarakan beberapa ulama yang terlibat dalam penulisan kesusasteraan Arab, iaitu Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Nawawi al-Bantani, Sheikh Abdul Haq al-Bantani, Sheikh Ahmad al-Fathani, Sheikh Abdul Hamid Kudus (Jawa), Haji Muhammad Husein bin Abdul Latif al-Fathani dan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani.

Disebabkan batasan ruangan ini, beberapa nama ulama yang terkenal itu tidak dapat dibicarakan sekali gus.

Kesinambungan daripada itu, maka diperkenalkan pula ulama lain yang juga popular dalam memartabatkan kesusasteraan Arab di dunia Alam Melayu khususnya. Bahkan penulis turut menyentuh beberapa tokoh Islam zaman moden kini yang juga tidak kurang hebatnya dalam bidang kesusasteraan Arab ini.

Keseluruhan ulama tradisional yang dibicarakan ini pernah disentuh penulis, khususnya yang meliputi riwayat hidup, karya-karya yang dihasilkan dan beberapa maklumat-maklumat yang diperoleh.

Perbincangan ini pula hanya mengkhususkan keterlibatan mereka dalam penulisan kesusasteraan Arab. Oleh itu, untuk mengetahui secara terperinci ulama-ulama tersebut, dapat dirujuk melalui ruangan-ruangan sebelumnya.

Sheikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi

Ulama yang berasal dari Minangkabau ini, mengukir populariti tersendiri. Riwayatnya yang panjang dimulai di Mekah, Mesir, Minangkabau hingga akhirnya meninggal dunia di Semenanjung. Beliau adalah bapa Tan Sri Hamdan, iaitu bekas Ketua Negeri Pulau Pinang suatu masa dahulu.

Tidak banyak puisi beliau yang telah dijumpai baik dalam bahasa Arab atau pun bahasa Melayu. Berdasarkan maklumat yang ada, diketahui beliau berkemampuan menggubah puisi dalam bahasa Arab dan Melayu.

Di antara puisi Sheikh Tahir Jalaluddin Minangkabau dalam bahasa Melayu (22 bait) dan bahasa Arab (12 bait) yang dijumpai termaktub pada bahagian akhir kitab Al-Manhajul Masy-ru' karya Sheikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif Minangkabau.

Haji Abdullah Fahim

Mufti Pulau Pinang ini adalah salah seorang ulama Semenanjung Melayu yang terkenal pada zamannya. Beliau adalah datuk kepada Perdana Menteri Malaysia kini iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Puisi-puisinya yang ditulis dalam bahasa Arab disiarkan dalam beberapa buku karangan beberapa ulama atau tokoh Islam yang berasal dari bahagian utara pantai barat Semenanjung Melayu pada zaman silam.

Maklumat yang ada pada penulis diriwayatkan bahawa Haji Abdullah Fahim, Sheikh Muhammad Nur al-Fathani dan Tengku Muhammad Zuhdi al-Fathani. Ketiga-tiganya mendalami ilmu sastera Arab daripada Sheikh Ahmad al-Fathani. Daripada sekian ramai murid Sheikh Ahmad al-Fathani, dikatakan bahawa mereka bertiga adalah yang paling berbakat dan paling mahir ilmu sastera Arab.

Sheikh Wan Ibrahim al-Fathani al-Qadhi

Dua orang anak Sheikh Abdul Qadir Bendang Daya al-Fathani cukup masyhur bagi masyarakat Melayu, baik di Mekah mahupun seluruh dunia Melayu.

Kedua-dua beliau ialah Sheikh Wan Ismail al-Fathani atau lebih dikenal dengan sebutan Pak De El al-Fathani. Adik beliau ialah Sheikh Wan Ibrahim al-Fathani atau lebih dikenali dengan sebutan Pak Cu Him Gajah Mati.

Sungguhpun Pak De El al-Fathani seorang ulama besar, namun puisinya dalam bahasa Arab ataupun Melayu tidaklah begitu banyak jika dibandingkan dengan adiknya, Pak Cu Him Gajah Mati. Kedua adik-beradik itu adalah sepupu Sheikh Ahmad al-Fathani.

Kepakaran Pak Cu Him menggubah syair dalam bahasa Arab sangat dikagumi sesama golongan ulama di Kedah pada zamannya. Ini kerana beliau boleh mencipta sesuatu syair Arab sambil duduk dalam kereta tanpa menggunakan waktu yang panjang atau lama untuk berfikir.

Menurut riwayat bahawa pada zaman itu memang tidak ditemui ulama di Semenanjung Melayu dan Patani yang berkebolehan menggubah syair Arab dengan cara itu. Tetapi yang berkemampuan berbuat demikian untuk syair bahasa Melayu di Kedah terdapat seorang ulama sahaja, beliau ialah Haji Abdur Rahman Merbok.

Beberapa syair/nazam Pak Cu Him yang sempat dicetak terdapat beberapa tempat, di antaranya ialah dalam karya Fathul Jalil wa Syifaul Ghalil yang diselit-selitkan di perantaraan kalimat-kalimat biasa.

Dalam sebuah risalah judul Riyadhul 'Abidin karya muridnya Haji Wan Muhammad Yusuf ibnu Wan Husein al-Fathani, terdapat 15 bait syair Pak Cu Him pada halaman terakhir. Seberkas tulisan tangan (makhthuthat) Pak Cu Him yang berupa syair-syair Arab dapat dikumpulkan dan menjadi koleksi simpanan penulis.

Sebagai bukti beliau memang sangat tabahhur menggubah syair Arab, bahawa terjadi dalam keadaan sakit (berada di hospital) menjelang kewafatan beliau masih sempat menggubah syair berupa wasiat. Syair wasiat itu diserahkan kepada muridnya Haji Hasan Sik. Waris Haji Hasan Sik, lalu beliau menyerahkan pula syair wasiat itu kepada seorang anak Pak Cu Him bernama Wan Salehuddin dan penulis sekitar tahun 1990.

Sheikh Utsman Jalaluddin al-Kalantani

Terdapat beberapa orang murid daripada sekian ramai murid Tok Kenali yang terkenal dan paling menonjol dalam kecemerlangan ilmu pengetahuan, termasuk salah seorang ialah Sheikh Utsman Jalaluddin.

Sheikh Utsman Jalaluddin mempunyai wawasan dan karakter perjuangan keilmuan tersendiri, selain membuka pengajian pondok di Penanti. Beliau juga menghasilkan karangan dengan model dan gaya cipta tersendiri.

Puisi-puisinya disiarkan pada halaman-halaman muka karyanya, ialah; 7 bait pada Mathali'ul Anwar wa Majami'ul Azhar, juzuk yang pertama. Pada karyanya Anwarul Huda wa Amtharun Nada, juzuk yang pertama terdapat tiga jenis puisi. Yang pertama terdiri daripada 4 bait, sesudah itu diceraikan dengan kalimat-kalimat bahasa Melayu terdapat 7 bait, pada halaman 2 hingga 3 terdapat puisi yang panjang terdiri daripada 29 bait. Puisi yang 7 bait dan 29 bait selain teks Arabnya diterjemahkan juga oleh Sheikh Utsman Jalaluddin sendiri.

Pada karyanya berjudul Asy-Syarhul Kabir, terdapat puisi-puisi 10 bait pada halaman depan, disambung dengan 8 bait, dan 3 bait pada halaman terakhir. Karya ini diselesaikan pada Sabtu, 16 Syaaban 1358 H/30 September 1939 M.

Memperhatikan perkara-perkara tersebut, dapat diambil kesimpulan bahawa Sheikh Utsman Jalaluddin berusaha memperkenalkan kesusasteraan Arab melalui karya-karyanya itu kepada masyarakat Melayu.

Kesusasteraan Arab dunia Melayu moden

Semua ulama yang penulis sebutkan di atas dan sebelumnya adalah dianggap sebagai ulama tradisional dunia Melayu, jika mereka melakukan penulisan dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Melayu/Jawi.

Pada waktu menjelang kemerdekaan Indonesia, penulisan Islam mulai bertukar dengan bentuk latin/rumi, yang disebut sebagai zaman moden. Ini kerana sistem pendidikan mulai berubah, maka hafalan kalimat-kalimat Arab berbentuk nazam atau syair mulai menurun.

Jika kita bandingkan dengan zaman tradisional, semua pengetahuan agama Islam adalah dihafal dalam bentuk matan. Matan-matan tersebut hampir semuanya dalam bentuk nazam atau syair. Setiap matan terdiri dari beratus-ratus bait, hingga 1,000 bait, bahkan ada yang lebih panjang daripada itu.

Sistem pengajian moden tidak menekankan hafalan matan seperti zaman tradisional seperti yang dialami oleh ulama-ulama dunia Melayu yang tersebut.

Oleh itu mahu tidak mahu kita mengakui bahawa ilmu kesusasteraan Arab turun menjunam, hampir-hampir tidak dikenali lagi oleh pelajar-pelajar Islam yang memasuki pendidikan Islam secara moden.

Baik di Indonesia mahupun Malaysia, tidak banyak buku yang dihasilkan yang khusus membahas kesusasteraan Arab dalam bentuk tulisan Latin/Rumi jika kita bandingkan dengan bentuk tulisan Melayu/Jawi. Namun sebagai pelengkap beberapa buah buku kesusasteraan Arab yang ditulis dalam tulisan Latin/Rumi, penulis singgung juga di sini, ialah:

Dr. Moh. Tolchah Mansoer, S.H

Tokoh terpelajar yang mendapat pendidikan sepadu tradisional dan moden ini dulunya adalah seorang pensyarah universiti di Jawa Tengah, Indonesia.

Beliau menghasilkan banyak karya, mengenai sastera Arab ialah: Sajak-sajak Burdah Al-Imam Muchammad Al-Bushiriy. Menurut penelitian penulis, buku tersebut adalah yang pertama membicarakan Burdah al-Bushiri dalam bahasa Melayu/Indonesia yang terlengkap, terjemahan dari Arab ke Melayu/Indonesia, membahas pelbagai aspek secara ilmiah akademik dalam konteks gabungan antara dunia klasik dan moden dan lain-lain.

Bahkan penulis berpendapat ia merupakan buku pertama seumpamanya yang ditulis dalam bahasa Indonesia.

Perlu dicatatkan di sini bahawa karya Burdah al-Bushiri ini bukan bererti yang pertama diperkenalkan dalam bahasa Melayu, kerana jauh sebelum ini diperkenalkan oleh ulama tradisional, iaitu Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani dengan judul Majmu'ul Qashaid wal 'Awaid (1320 H/1902 M).

Prof. Madya Osman Bin Haji Khalid

Pada masa penulis sedang kebingungan mencari buku kesusasteraan Arab dalam bahasa Melayu moden setelah karya Dr. Moh. Tolchah Mansoer, S.H tersebut di atas, tiba-tiba di sebuah kedai buku di Alor Setar, Kedah sekitar tahun 1989 penulis hanya menjumpai sebuah buku judul Kajian Teks Pilihan Kesusasteraan Arab oleh Osman Bin Haji Khalid.

Buku tersebut bukan berupa cetakan tetapi berupa salinan fotokopi, walaupun di bawahnya terdapat nama Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia. Buku tersebut diselesaikan di Kampung Teras Jernang Kajang, Selangor, Rabiulawal 1408 H/November 1987 M.

Bagi penulis, buku yang dihasilkan oleh Ustaz Prof. Madya Osman bin Haji Khalid yang penulis miliki itu tidak kalah pentingnya dengan buku Dr. Moh. Tolchah Mansoer, S.H tersebut.

Setelah penulis semak, mukadimah buku Ustaz Prof. Madya Osman Bin Khalid ternyata beliau telah menghasilkan beberapa buah buku lain mengenai kesusasteraan Arab, ialah:Kesusasteraan Arab Dalam Zaman Permulaan Islam dan Kesusasteraan Arab Di Zaman Abbasiah, Andalus dan Zaman Moden.

Prof. Dr. Haji Muhammad Bukhari Lubis

Karya beliau lebih dulu penulis kenal sekitar tahun 1988 daripada jati dirinya. Karya yang dimaksudkan ialah Pujangga Arab, cetakan pertama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987.

Sepatah kata ditulis pada November 1982 M/Safar 1403 H. Empat tahun setelah buku tersebut penulis miliki (1991), tiba-tiba penulis berjumpa beliau membawa buku penulis berjudulKhazanah Karya di Perpustakaan Negara Malaysia.

Mulai saat itu, terjalin kemesraan dengan beliau kerana sering bertemu dalam pelbagai seminar yang diadakan di Kuala Lumpur dan tempat-tempat lainnya. Sebuah lagi buku sastera Arab karya beliau ialah Pancasuara: Himpunan Sajak Arab Klasik dan Moden (Ramadan 1401 H/Julai 1981 M).

Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam M.A

Pada 1989, Persatuan Ulama Kedah meminta penulis membentang kertas kerja mengenai susur galur ulama Banjar dengan Kedah. Ketika itu juga penulis mulai berkenalan dengan Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam.

Beliau mengemukakan kekagumannya terhadap sebuah puisi gubahan Sheikh Ahmad al-Fathani yang termaktub pada kitab Sabilul Muhtadin karya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Secara diam-diam beliau telah menterjemah puisi Sheikh Ahmad al-Fathani itu.

Penghujung tahun 1993, Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam juga pernah diminta membentang kertas kerja dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Islam Sedunia di Bangladesh.

Beliau menulis kertas kerja dalam bahasa Arab dengan memperkenalkan dua puisi Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu puisi Sheikh Ahmad al-Fathani ketika belajar di Mesir dan puisi yang ditujukan kepada Sultan Zainal Abidin III, Terengganu.

Puisi-puisi tersebut telah diterjemahkan oleh Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam ke dalam bahasa Melayu, selain puisi Sheikh Ahmad al-Fathani yang termaktub dalam karya Sheikh Nawawi al-Bantani. Beliau yang berasal dari Banjar itu memperoleh pengajian sastera Arab ialah di Nadwah, India.

PENUTUP

Penulis berkesimpulan bahawa di tengah-tengah kelangkaan ilmu balaghah (retorika) dalam masyarakat Melayu masa kini, secara nyata ataupun tersorok-sorok barangkali masih ada ahli atau pakarnya.

Penulis berpendapat bahawa ilmu yang dipusakai dari zaman pengajian Islam tradisional itu tidak akan pupus hingga zaman moden ini apabila beberapa tokoh yang memahami ilmu tersebut berjuang bersungguh-sungguh menghidupkannya.

Oleh itu, kita mesti tambah giat mengumpulkan tenaga pakar untuk menghidupkannya supaya ilmu yang masih tersorok dan diketepikan menjadi bertambah jelas demi memperlihatkan ketinggian dan keagungan ilmu pengetahuan Islam.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0216&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Friday, 29 June 2012

Penulisan hadis tokoh ulama Nusantara


 
Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 

PERBICARAAN ini adalah lanjutan dari ruangan yang lepas yang menyentuh mengenai perkembangan penulisan hadis ulama Asia Tenggara. Pada ruangan lepas telah disentuh dua perkara, iaitu: catatan mengenai Isnad ulama Asia Tenggara dan kitab-kitab hadis Melayu peringkat awal. Rentetan dari itu, perbicaraan ini diteruskan dengan penulisan hadis ulama-ulama yang berkaitan.

Kesemua sejarah biografi ulama-ulama yang terlibat dalam penulisan hadis ini pernah dibicarakan sebelumnya. Penumpuan perbicaraan untuk kali ini pula hanya kepada penulisan-penulisan hadis ulama Asia Tenggara tersebut. Berikut adalah sebahagian ulama-ulama yang berkait berdasarkan kajian penulis, iaitu:

Penulisan hadis Sheikh Abdullah Bin Abdul Mubin Al-Fathani

Ulama Fathani Darus Salam yang sezaman dengan Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri ialah Sheikh Abdul Mubin bin Muhammad Jailani Pauh Bok al-Fathani. Beliau menghasilkan karya-karya Sufi, tetapi belum ditemui karyanya mengenai hadis.

Dua orang anak beliau yang menjadi ulama, iaitu Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani (dikenali dengan nama Tok Lubuk oleh masyarakat Brunei Darussalam), manakala seorang lagi bernama Sheikh Abdullah bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani.

Sheikh Abdullah menghasilkan sebuah kitab hadis berjudul Tanbihul Ghafilin, yang diselesaikan penulisannya tahun 1184 H/1770 M. Kitab tersebut juga masih beredar di pasaran kitab.

Karyanya yang pertama ilah terjemahan Tanbihul Ghafilin karya Sheikh Abu Laits as-Samarqandi. Terdapat tiga versi terjemahan beliau, ada yang lengkap merupakan terjemahan keseluruhan kandungan kitab asalnya. Namun, yang beredar di pasaran hanyalah merupakan terjemahan petikan-petikan kandungannya saja.

Versi yang sebuah lagi lebih lengkap daripada yang pernah diterbitkan. Dua versi yang agak lengkap tidak pernah dicetak. Beberapa manuskrip daripada ketiga-tiga versi tersebut telah dijumpai penulis, sekali gus menjadikannya koleksi sebagai bahan-bahan rujukan.

Penulisan hadis Sheikh Daud Bin Abdullah Al-Fathani

Di kalangan masyarakat pengajian Islam tradisional Asia Tenggara, nama Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah tidak asing lagi bagi mereka. Namun bagi sesetengah orang hanya mengetahui bahawa keterlibatan penulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani hanyalah dalam ilmu-ilmu tauhid, fiqh dan tasawuf saja.

Memang diakui ketiga-tiga ilmu itulah yang paling banyak ditulisnya, tetapi bukan bererti ilmu-ilmu lain tidak beliau tulis. Beberapa buah kitab mengenai hadis karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga dapat dikesan. Disenaraikan kitab-kitab itu berserta dengan keterangan ringkas mengenainya:

1. Faraid Fawaidil Fikri fil Imamil Mahdi, disingkat kepada Hadis Imam Mahdi, diselesaikan malam Sabtu, Zulkaedah 1215 H/1800 M. Kitab tersebut merupakan terjemahan dari karya Sheikh Mirghani bin Yusuf. Lafaz hadis tetap dikekalkan dalam teks, sesudah itu diterjemahkan secara langsung ke dalam bahasa Melayu. Kebanyakan yang terkandung di dalamnya ialah hadis-hadis mengenai Imam Mahdi.

Dalam penelitian penulis, ia merupakan karya yang pertama sekali dalam bahasa Melayu yang membicarakan hadis mengenai Imam Mahdi secara lengkap.

2. Kasyful Ghummah, diselesaikan tahun 1236 H/1822 M. Kitab ini merupakan terjemahan dariKasyful Ghummah karya Sheikh Abdul Wahhab asy-Sya'rani. Cetakan pertama kitab ini (1303 H/1885 M) diusahakan dan ditashhih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani.

3. Hikayat Imam, belum dijumpai. Penulis difahamkan oleh beberapa orang tua-tua di Patani bahawa kitab ini merupakan ilmu rijalil hadis. Dengan demikian dipercayai bahawa Hikayat Imam ini adalah merupakan kitab yang pertama sekali dan merupakan satu-satunya dalam bahasa Melayu yang membicarakan ilmu rijalil hadis.

Jika kita kaji penulisan mengenai rijal hadis dari zaman dulu hingga sekarang, dilihat ilmu rijal hadis memang agak ketinggalan. Bahkan hingga ke zaman kita belum dijumpai karya Melayu yang khusus tentang itu dalam tulisan Rumi/Latin.

4. Dalam beberapa buah karyanya yang bercorak fiqh, tauhid dan tasawuf juga banyak membicarakan hadis. Di antaranya pada mukadimah Bughyatut Thullab banyak diperkenalkan hadis, demikian juga dalam Jam'ul Fawaid, dan lain-lain.

Penulisan hadis Sheikh Nawawi Al-Bantani

Nama lengkap ulama yang berasal dari Banten, yang terkenal ini, ialah Sheikh Muhammad Nawawi bin 'Umar ibnu 'Arabi bin 'Ali al-Bantani al-Jawi (lahir 1230 H/1814 M) adalah cucu murid kepada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Karya yang dihasilkan demikian banyak semuanya berupa syarah yang ditulis dalam bahasa Arab, yang khas membahas mengenai hadis terdapat dua buah, iaitu: Tanqihul Qaulil Hatsits bi Syarhi Lubabil Hadits, yang disingkat kepada Tanqihul Qaul sahaja dan Nashaihul 'Ibad Syarhul Munabbihat 'alal Isti'dad li Yaumil Ma'ad.

Keterangan ringkas mengenai Tanqihul Qaul adalah sebagai yang berikut: Kitab ini adalah merupakan syarah daripada Lubabul Hadits karya Imam Suyuthi. Terdapat dua versi syarah dan dua edisi cetakan yang dilakukan oleh Sheikh Nawawi al-Bantani tersebut, kedua-duanya tanpa menyebut tahun selesai mengerjakan syarah.

Edisi cetakan yang pertama dalam bentuk ukuran kitab tradisional, semua hadis tanpa harakat atau baris. Edisi cetakan yang satu lagi dalam bentuk buku moden, yang semua hadis diberi tanda baris.

Kitab Lubabul Hadits disyarah Sheikh Nawawi al-Bantani dalam bahasa Arab, ada sebuah syarah lagi yang ditulis dalam bahasa Melayu oleh Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani dengan judul Al-Jauharul Mauhub. Kedua-dua ulama itu hidup sezaman di Mekah.

Apabila kita banding kedua-dua syarah yang ditulis ulama yang berasal dari Asia Tenggara itu, kandungannya sangat jauh berbeza. Di antaranya yang sangat ketara ialah pada syarah Sheikh Nawawi al-Bantani, beliau mulai mukadimah lebih menekankan pentingnya "isnad", oleh itu setiap hadis yang termaktub dalam Lubabul Hadits diberi penilaian menurut kaedah "Musthalah Hadits". Sedangkan syarah Sheikh Wan Ali Kutan Kelantan lebih mementingkan syarah menuju kepada perbaikan akhlak dan dihubungkaitkan dengan amalan yang dikerjakan sehari-hari.

Ditinjau dari sudut pengajian akademik moden, syarah Sheikh Nawawi Banten lebih dapat diterima, tetapi untuk kepada masyarakat luas tidak sampai pada sasarannya.

Dalam syarah beliau disebut nama-nama perawi hadis, isnadnya ada yang disebut sanad sahih atau sanad daif dan sebagainya. Sedangkan syarah Sheikh Wan Ali Kelantan semuanya itu tidak dibicarakan, jika ada hanya sedikit sekali, namun bukannya beliau tidak mengetahui perkara itu, tetapi sasaran pendidikan dan dakwah tentunya telah dipertimbangkan supaya tepat pada sasarannya.

Oleh itu syarah Sheikh Wan Ali Kutan sangat meluas penyebarannya kerana karya tersebut lebih menyuburkan bagi tarbiyah rohaniah, yang menyentuh ke lubuk hati yang memang digemari oleh setiap insan baik yang khusus mahupun yang umum.

Mengenai Nashaihul 'Ibad, diselesaikan pada hari Khamis, 21 Safar 1311 H/1893 M, merupakan syarah Munabbihat 'alal Isti'dad li Yaumil Ma'ad, disingkat Munabbihat 'alal Isti'dadsaja, karya Sheikh Syihabuddin Ahmad ibnu Ali bin Muhammad bin Ahmad asy-Syafie atau lebih popular dengan sebut Sheikh Ibnu Hajar al-Asqalani.

Lebih 250 hadis yang dibahas di dalamnya. Pada mukadimah Sheikh Nawawi al-Bantani menyebut bahawa beliau mengambil tabarruk daripada dua buah hadis yang beliau terima daripada dua orang gurunya.

Hadis yang pertama diijazahkan oleh al-Allamah Sheikh Muhammad al-Khatib asy-Syami (al-Madani) al-Hanbali ibnu Uthman bin Abbas, daripada sheikh-sheikh yang berhubung terus hingga sampai kepada Abi Zar al-Ghifari r.a, daripada Nabi SAW.

Hadis yang kedua diijazahkan oleh al-Allamah Saiyid Ahmad al-Marsafi al-Masri, sesudah diijazahkan oleh Saiyid Abdul Wahhab ibnu Ahmad Farahat asy-Syafie, daripada sheikh-sheikh yang musalsal hingga kepada Abdullah ibnu Amru bin al-As, daripada Nabi SAW.

Jika dibandingkan kedua-dua kitab hadis karya Sheikh Nawawi al-Bantani, Tanqihul Qauldengan Nashaihul 'Ibad, maka Nashaihul 'Ibad lebih banyak dikenal oleh masyarakat seluruh Asia Tenggara kerana banyak diajarkan di pelbagai pondok.

Penulisan Hadis Sheikh Wan Ali Kutan

Sebagaimana di atas telah dibandingkan agak ringkas antara syarah Sheikh Nawawi al-Bantani dengan syarah Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani atas sebuah matan hadis Lubab al-Hadits karya Imam as-Suyuthi. Maka sebagai maklumat tambahan, dirasakan perlu karya beliau disenaraikan juga. Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub, disingkat Al-Jauharul Mauhub saja, diselesaikan di Mekah, pada malam Selasa, 2 Jumadil Awwal 1306 H/1888 M.

Cetakan awal kitab ini ditashhih dan diusahakan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, terdapat 27 bait puisi beliau dalam bahasa Arab pada cetakan-cetakan mutawal. Selain terdapat cetakan yang tersendiri kitab Al-Jauharul Mauhub karya Sheikh Wan Ali Kutan ini juga dicetak pada semua cetakan Siyarus Salikin yang diletakkan di bahagian tepinya.

Penulisan hadis Sheikh Ahmad Al-Fathani

Umum telah diketahui dalam apa jenis ilmu keislaman yang berkembang di Asia Tenggara, Sheikh Ahmad al-Fathani terlibat selaku penulisnya termasuk juga mengenai hadis. Mengenai hadis terdapat tulisan beliau dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Di antaranya ialah:Bisyaratul 'Amilin wa Nazaratul Ghafilin, disingkat Bisyaratul 'Amilin, Hadits Memulakan Makan Dengan Garam Dan Disudahi Dengannya, Hadits-hadits Pilihan, Daftar Rijal Hadits, dan lain-lain yang dimuat dalam Hadiqatul Azhar.

Mengenai Bisyaratul 'Amilin wa Nazaratul Ghafilin, kitab hadis ini diselesaikan di Mekah, pada malam Ahad, 14 Rabiul Akhir 1304 H/1887 M. Memperhatikan tahun selesai penulisan kitab hadis ini (1304 H/1887 M) bererti lebih dulu daripada karya Sheikh Wan Ali al-Kalantani, iaitu Al-Jauharul Mauhub (1306 H/1888 M) dan karya Sheikh Nawawi al-Bantani, iaitu Nashaihul 'Ibad(1311 H/1893 M). Namun begitu kedua-dua ulama tersebut adalah sebaya dengan Sheikh Muhammad Zain al-Fathani, ayah Sheikh Ahmad al-Fathani. Bahkan kedua-dua ulama tersebut termasuk dalam senarai guru Sheikh Ahmad al-Fathani juga.

Cetakan pertama kitab ini oleh Matba'ah al- Miriyah Mekah,1304 H/1887 M, kemudian terdapat beberapa edisi cetakan Persama Press, Pulau Pinang. Pada mukadimah Bisyaratul 'Amilin,Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut bahawa beliau tinggalkan sanad hadis kerana untuk keringkasan, lagi pula sudah cukup berpegang kepada pengambilan kitab-kitab yang muktamad lagi masyhur.

Kitab-kitab rujukannya disebut pada halaman akhir kitab tersebut, ialah Riyadhus Shalihinkarya Imam Nawawi, Al-Jami'us Shaghir dan Lubabul Hadits karya Imam Jalaluddin as-Suyuthi , Tanbihul Ghafilin dan Qur-ratul 'Uyun karya Al-Faqih Abi Laits as-Samarqandi , Mukhtasar Tazkirah al- Qurthubi, disingkat Tazkirah al- Qurthubi saja karya Imam Abdul Wahhab asy-Sya'rani dan lain-lain.

Sebagai bukti bahawa Sheikh Ahmad al- Fathani seorang pakar/ahli ilmu-ilmu hadis, terbukti pada jawapan beliau atas pertanyaan hadis yang tersebut dalam Ihya' 'Ulumid Din karya Imam al-Ghazali mengenai menggunakan garam dahulu daripada makan dan disudahi dengannya, apakah hadis itu sahih atau tiada sahih.

Sheikh Ahmad al-Fathani menjawabnya dengan huraian yang agak panjang berdasarkan ilmu Mushthalah Hadis dan menyentuh Rijal Hadis. Beberapa nama ulama dan pendapat mereka, serta kitab-kitab mereka beliau sebut.

Nama kitab dan ulama penyusunnya yang beliau sebut di antaranya ialah: Syarah Ihya Ulumid Din karya Saiyid Muhammad al-Huseini az-Zabidi, Kitab al-Maudhu'at karya Ibnu Jauzi, Kitab as-Sya'bi karya Imam Baihaqi, Kitab Taqribit Tahzib karya Ibnu Hajar al-Asqalani, Al-La-ali al-Mashnu'ah karya Imam al-Hafiz as-Suyuthi, Kitab Akhbar Isbahan karya Abu Abdullah bin Mandah, Kitab Al-La-ali al-Marsu' karya Saiyid Muhammad Abil Mahasin al-Qawaqaji, Asnal Mathalib fi Ahadits, disingkat Asnal Mathalib karya Sheikh Muhammad bin Saiyid Darwisy al-Bairuti, dan lain-lain.

Bahasan hadis oleh Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai ini ditulis dalam bahasa Arab kemudian diterjemahkan oleh anak saudaranya Tuan Guru Haji Daud bin Ahmad al-Fathani, Pondok Bukit Rahmah, Tanah Merah, Kelantan. Sebahagian daripada terjemahannya dimuat dalam Al-Fatawal Fathaniyah karya Sheikh Ahmad al-Fathani. Pada pandangan penulis bahawa karya hadis yang tersebut cukup tinggi nilai ilmiahnya.

Mengenai Hadis-Hadis Pilihan masih berupa manuskrip, belum pernah diterbitkan. Kandungannya merupakan sekumpulan hadis yang penting untuk dihafal sebagai asas. Ada pun mengenai Rijal Hadits juga masih dalam bentuk manuskrip yang tidak lengkap. Karya ini merupakan catatan Sheikh Ahmad al-Fathani tentang nama seseorang ulama hadis dan ulama-ulama lainnya, dengan catatan nama yang panjang seberapa yang boleh diketahui mulai nama diri hingga ke atasnya.

Dicatatkan juga nama guru mereka seberapa yang boleh diketahui serta lengkap dengan sanad dan tahun lahir serta wafatnya. Sungguhpun catatan beliau ini banyak yang hilang (tidak lengkap), bagi penulis sangat penting sebagai asas dan pedoman, kerana mungkin satu ketika nanti pekerjaan tersebut akan diteruskan.

 

SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0302&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Thursday, 28 June 2012

Pengaruh dan pemikiran Saidina Ali di Alam Melayu


 
Oleh ALLAHYARHAM HJ. WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 

DALAM surat sebaran Borang Pendaftaran Seminar Khazanah Pemikiran Islam yang dianjurkan oleh InfoTaiment Enterprise, pada 21 Julai 1996, jelas disebutkan, “Di dalam Perspektif Sejarah Islam di Alam Melayu, Saidina Ali lebih ditonjolkan sebagai manusia yang perkasa ...” Mengenai yang tersebut adalah merupakan pengaruh sebuah hikayat yang tidak diketahui nama pengarangnya, hikayat tersebut dikenali dengan judul Hikayat Ali Hanafiyah. Hikayat tersebut terdapat beberapa versi, ditulis dalam tulisan Melayu/Jawi dan sejak dulu telah diusahakan penglatinan/pengrumiannya.

Dalam ruangan ini penulis tidak akan membicarakan perkara yang sudah cukup banyak dikenal oleh masyarakat, terutama oleh para pengkaji sastera, tetapi cuba untuk memperkenalkan tulisan-tulisan klasik yang bersumberkan dari beberapa tulisan para ulama’ alam Melayu sendiri. Ini bererti adalah merupakan sumber yang kukuh jika dibandingkan dengan Hikayat Ali Hanafiyah yang tidak jelas nama pengarang yang disebutkan di atas.

Sungguhpun demikian yang ditulis oleh para ulama’ bukanlah merupakan kitab yang khusus membicarakan seluruh aspek yang bersangkutpaut dengan Saidina Ali, tetapi adalah merupakan tulisan-tulisan yang dimasukkan dalam karya-karya dalam berbagai-bagai disiplin ilmu, terutama: tarikh, akidah dan tasauf. Selain itu juga dalam karya-karya berupa fiqh, hadis, dan lain-lain.

Pengaruh Saidina Ali di Alam Melayu boleh dikatakan sangat besar, meliputi dalam berbagai-bagai jurusan. Bermula dari pengaruh beliau sendiri hinggalah keturunan-keturunannya sebagai penyebar Islam di alam Melayu, dan juga mereka telah berhasil menjadi sultan (ketua pemerintahan) dalam banyak kerajaan di alam Melayu ini.

Untuk menulis tentang pengaruh beliau di alam Melayu tidaklah begitu sukar, tetapi untuk mengemukakan pemikiran beliau memang merupakan persoalan yang sukar jika kita tidak tekun dalam dunia pengkajian.

Adapun mengenai pemikiran keturunan beliau juga bukanlah persoalan yang sukar sangat untuk membuktikannya, tidak dapat kita nafikan bahawa sangat ramai keturunan Saidina Ali di Alam Melayu menjadi ulama yang mengarang kitab.

Sebagai contoh termasuk Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Abdus Samad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Nawawi al-Bantani, Sheikh Abdul Hamid Kudus dan ramai lagi, adalah ulama-ulama besar Alam Melayu yang nasabnya bersambung kepada Saidina Ali bin Abi Talib.

Dua nama yang tidak terdapat pada sahabat- sahabat selain beliau

Terdapat dua sebutan atau gelaran yang ada pada Saidina Ali yang tidak terdapat pada para sahabat Nabi Muhammad SAW, yang dimaksudkan barangkali bukan hanya dunia Melayu saja, tetapi juga di seluruh dunia Islam.

Dua nama itu ialah: “Karramallahu wajhah”, dan “Imam Masyariq wal Magharib”.

Mengenai gelaran pertama di hujung nama Saidina Ali dengan “Karramallahu wajhah”, memang tidak pernah digunakan untuk sekian ramai sahabat Nabi Muhammad SAW, gelaran tersebut khusus untuk beliau seorang saja.

Untuk sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW selain Saidina Ali, sama saja baik memangku pangkat tertinggi sebagai khalifah mahupun sebagai sahabat biasa, hanya menggunakan nama “Radhiyallahu ‘anhu”.

Kebanyakan karya ulama tradisional Melayu, dalam apa saja disiplin ilmu yang mereka tulis, apabila terdapat nama Saidina Ali adalah memakai nama “Karramallahu wajhah” itu. Bahkan demikian juga jika kita buka semua kitab-kitab golongan sunni selain yang ditulis oleh ulama Alam Melayu.

Sama ada disedari mahu pun tidak, diakui ataupun tidak, ini adalah satu bukti bahawa Saidina Ali bin Abi Talib, memang ada ciri khas daripada sahabat-sahabat yang lain. Bahawa beliau mendapat tempat tersendiri di dalam perasaan lubuk hati yang tersembunyi umat Islam dunia Melayu khasnya dan umat Islam antarabangsa amnya.

Bahkan kadang-kadang sewaktu tuan guru-tuan guru Melayu mengajar dijelaskan juga sebab-sebab dinamakan dengan “Karramallahu wajhah” itu, iaitu dua sebab. Pertama: Kerana beliau seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah menyembah berhala semenjak kecil dan beliau masuk Islam secara fitrah sejak kecil lagi. Sebab yang kedua ialah: bahawa Saidina Ali bin Abi Talib tidak pernah melihat kemaluannya sendiri.

Gelaran yang sangat menonjol untuk Saidina Ali yang kedua ialah: “Imam Masyariq wal Magharib”, yang membawa maksud; Imam seluruh kawasan timur dan barat. Gelaran ini pun tidak pernah wujud untuk sahabat-sahabat yang lain selain beliau. Sebelum munculnya era pembaharuan Islam di Alam Melayu, sebutan itu sentiasa dibaca dalam khutbah yang kedua setiap hari Jumaat.

Sehingga sekarang pun sebutan itu di beberapa tempat di Alam Melayu yang masih belum begitu terserap pengaruh pembaharuan tajdid masih digunakan dalam khutbah yang kedua setiap hari Jumaat. Mengenai ini juga dapat diambil kira sebagai pengaruh Saidina Ali yang begitu besar bagi masyarakat Islam dunia Melayu sehingga tetap mengakui sebagai “Imam Timur dan Barat”.

Keagungan nama dalam karya sejarah

Sejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW sangat banyak dihasilkan oleh ulama Alam Melayu, tetapi sejarah yang bercorak lengkap mulai lahir hingga wafat boleh dikatakan sangat langka. Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani boleh dikatakan termasuk dalam kategori ulama Alam Melayu peringkat awal menulis sejarah Nabi Muhammad SAW mulai lahir hingga wafat.

Terkumpul dalam kitab berjudul, Badrut Tamam wan Nujumuts Tsawaqib, diselesaikan 9 Rabiulakhir 1307 H di Mekah, bahawa Fasal Yang Kedua membicarakan: “Manaqib Saidatina Fatimah Radhiyallahu ‘anha”. Diikuti dengan Fasal Yang Ketiga mengenai: “Manaqib Dua Penghulu Sekelian Orang Muda-muda Ahli Syurga Saidina Hasan dan Saidina Husein Radhiyallahu ‘anhuma”, dan yang terakhir sekali, iaitu Fasal Yang Ketujuh mengenai: “Manaqib Panglima Yang Amat Berani Saidina Ali Karramahullahu Wajhah”.

Kitab yang memperkenalkan kehebatan Saidina Ali pula ialah karya berjudul, Nurul Anwar, diselesaikan pada 16 Rejab 1320 di Thaif, oleh Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani.

Dalam karya ini separuh daripada kandungannya menceritakan kisah Saidina Ali. Judul-judul perbicaraan ialah “Fasal Saidina Ali Islam Dalam Usia 13 Tahun”, “Fasal Saidina Ali Mempunya Perkataan Jadi Pengajaran”, “Fasal Setengah Daripada Berani Perang Saidina Ali”, “Fasal Perang Jamal, “Fasal Perang Siffin”, “Fasal Bersangat Besar Berperang Dan Sebab Jatuh Berbaik Antara Dua Askar”, dan “Fasal Menyatakan Perang Saidina Ali Akan Orang Khawarij”.

Penulis akui sebelum kedua-dua karya tersebut, memang telah ditulis banyak maklumat mengenai Saiyidina Ali dalam bahasa Melayu ditulis oleh Seikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tetapi bukan merupakan dalam karya sejarah yang khusus melainkan ditempatkan dalam karya-karya akidah.

Dalam Fathul Mannan, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengawali perbahasan mengenai Saidina Ali, beliau menulis, “... adalah kuniyahnya Abul Hasan dan Abu Turab anak Abi Talib anak Abdil Mutalib anak Hasyim anak Abdi Manaf. Dan ibunya Fatimah binti Asad anak Hasyim anak Abdi Manaf. Dan Islam ia padahal umurnya tujuh tahun, kata qil sembilan [tahun], kata qil sepuluh tahun ...”.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyebut juga bahawa anak Saidina Ali semuanya 15 orang lelaki dan 19 perempuan, jadi jumlah semua 34 orang. Mereka ialah: Hasan, Husein, Muhsin, Zainab, Ummu Kaltsum, ibu mereka ialah Saidatina Fatimah. Muhammad Akbar, Muhammad Hanafiyah, Abdullah, Abu Bakar, ibu mereka ialah Laili. Abbas, Utsman, Ja’far, Abdullah, ibu mereka ialah Ummul Banin anak Hazam. Muhammad Asghar, ibunya adalah dari seorang sahaya. Yahya, Aun ibunya ialah Asma’ binti Umaisy. Umar Akbar, Ruqaiyah, ibunya ialah Sahba’.

Muhammad al-Ausat, ibunya ialah Umamah binti Abil ‘As. Ummul Husein, Ramlah, ibunya Ummu Sa‘id binti Urwah. Umamah, Khadijah, Ummul Kiram, Ummu Ja‘far, Humanah/Jumanah, Nafisah dan seorang lagi anak beliau yang perempuan mati kecil (Fathul Mannan, hlm 35). Walaupun jumlah sebenarnya 34 orang, tetapi yang disebut oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam kitab tersebut hanya 27 orang saja.

Sungguhpun kitab Badrut Tamam karya Sheikh Ahmad al-Fathani tidak begitu tebal, namun terdapat beberapa riwayat yang menarik dan jarang dijumpai dalam buku-buku moden sekarang ini.

Di antara peranan Saidina Ali yang diceritakan dalam Badrut Tamam, yang masih berpengaruh kepada masyarakat Alam Melayu, dan banyak diceritakan orang ialah peristiwa ketika Rasulullah akan berhijrah dari Mekah ke Madinah yang pada malam itu ditugaskan Saidina Ali mengganti beliau tidur di atas tempat tidur baginda. Sheikh Ahmad al-Fathani dalam memaparkan cerita tersebut merujuk kepada perkataan Ibnu Ishaq (Badrut Tamam, ibid hlm. 19).

Dalam Badrut Tamam juga Sheikh Ahmad al-Fathani menceritakan peranan Saidina Ali dalam upacara ketika baginda Rasullullah wafat. Beliau menulis, “Dan memandikan dia SAW oleh Saidina Ali bin Abi Talib, dan Saidina al-Abbas bin Abdul Mutalib, dan al-Fadhal bin al-Abbas, dan Qatsam bin al-Abbas, dan Usamah bin Zaid dan Syaqran sahaya Rasulallah SAW.

“Maka adalah Saidina Ali menyandarkan dia dan membasuhkan dia. Dan al-Abbas, dan al-Fadhal, dan Qatsam membalik-balikan dia. Dan Usamah dan Syaqran menuangkan air atasnya. Dan sekalian mata mereka itu dibarutkan.

“Diriwayatkan daripada Saidina Ali, bahawasanya berkata ia, “Telah berwasiat akan daku oleh Rasulullah, bahawa tiada memandikan dia lain daripadaku. Maka bahawasanya tiada melihat seseorang akan auratku, melainkan dihimpuskan dua matanya” (Badrut Tamam, hlm. 25).

Ketika mengkebumikan Nabi Muhammad SAW, menurunkannya ke kubur juga dilaksanakan oleh Saidina Ali bin Abi Talib, yang dibantu oleh al-Abbas, al-Fadhal, Qatsam dan Aus bin Khauli nenek Bani ‘Auf. (Badrut Tamam, hlm. 26).

Memperhatikan riwayat di atas dapat dinilai bahawa Saidina Ali adalah berperanan terhadap Rasulullah dalam keseluruhan perjuangan beliau, sama ada ketika hidup hinggalah tamat riwayat baginda.

Perkara yang dipetik tersebut adalah termaktub dalam Fasal Pertama Badrut Tamam, ada pun pada bahagian biografi Saidina Ali sendiri (Fasal Ketujuh dalam Badrut Tamam) lebih banyak maklumat mengenai Saidina Ali. Dimulai daripada beliau di dalam kandungan sehingga kewafatannya.

Adapun Nurul Anwar karya Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani nampaknya lebih banyak memperkenalkan peperangan-peperangan yang diperanani oleh Saidina Ali, sama ada peperangan itu bersama-sama Rasulullah SAW ataupun peperangan yang dipimpin oleh Saidina Ali sendiri.

Sangat banyak juga perkara yang disebutkan oleh Sheikh Utsman al-Funtiani yang tidak tersebut dalam buku-buku sejarah Islam moden. Ini sebagai bukti pembacaan ulama silam dunia Melayu memang luas.

Di antara yang menarik bagi penulis, bahawa disebut dengan jelas nama musuhnya setiap peperangan yang terjadi antara Saidina Ali dengan lawannya. Dalam peristiwa perang antara pihak penyokong Saidina Ali dengan Mu’awiyah bin Abi Sufyan, nampaknya sangat lengkap nama disebut satu persatu. Bererti daripada kitab ini kita dapat menyenaraikan siapa di antara sahabat Nabi Muhammad SAW yang menjadi penyokong Saidina Ali dan siapa pula sebagai penyokong Mu’awiyah.

Demikian halnya perselisihan antara Saidina Ali dengan Saidatina Aisyah r.a semua yang berpihak dan penentang disebut dengan jelas. Dalam sekian banyak kitab Melayu/Jawi dalam kajian penulis, kitab Nurul Anwar tersebut adalah satu-satunya kitab yang membicarakan perkara itu.

Bahkan bagi pengamatan penulis bahawa sampai sekarang buku yang ditulis dalam bahasa Indonesia atau Melayu moden memang belum dijumpai perbicaraan yang agak jelas seperti itu.

Penutup

Perbicaraan mengenai pengaruh dan pemikiran Saidina Ali di alam Melayu ini masih banyak yang perlu diperkenalkan lagi.

Oleh itu disebabkan keterbatasan ruangan ini, maka perbicaraan tersebut pula akan dilanjutkan pada keluaran seterusnya dengan menyentuh mengenai nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks hadis Nabi SAW pada konteks ilmu kalam dan pada konteks ilmu tasawuf.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0316&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Wednesday, 27 June 2012

Saidina Ali dalam karya-karya Melayu


Oleh ALLAHYARHAM HJ. WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 

PERBICARAAN ini adalah rentetan daripada judul terdahulu iaitu Pengaruh dan Pemikiran Saidina Ali di Alam Melayu: Satu Analisis Berdasarkan Karya-Karya Klasik Melayu, yang mana telah dibicarakan mengenai dua nama Saidina Ali K.W yang tidak terdapat pada sahabat-sahabat lain dan keagungan nama beliau dalam karya sejarah.

Dalam perbicaraan tersebut juga dinyatakan bahawa pengaruh Saidina Ali di Alam Melayu boleh dikatakan sangat besar, meliputi berbagai-bagai jurusan, sehingga ramai ulama-ulama silam Alam Melayu menghasilkan karya-karya mengenai beliau.

Kesinambungan dari itu, diperkenalkan pula pengaruh Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks pelbagai ilmu, iaitu ilmu Kalam, ilmu Hadis Nabi SAW dan ilmu Tasawuf.

Nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks ilmu kalam

Dalam Fathul Mannan, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengemukakan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah pertikaian antara Saidina Ali dengan Mu'awiyah, iaitu, "Sudah ijma', adalah Saidina Mu'awiyah dan yang mengikut dia melawan Saidina Ali jadi "taifah baghiyah", tetapi nyata mereka itu kemudiannya kerana adalah Nabi sudah mengkhabarkan, yakni daripada hal Saidina 'Ammar. Dengan sabdanya: "Lagi akan membunuh akan dia oleh "taifah baghiyah".

Selanjutnya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menjelaskan, "Maka ia serta jemaah Saidina Ali, maka yang membunuh akan dia oleh jemaah Saidina Mu'awiyah. Maka nyata Saidina Ali ia yang sebenar khalifah dan Saidina Mu'awiyah melawan imam lagi khalifah. Tetapi tiada berdosa sebab ijtihad dan tiada diambil kesalahan mereka itu, kerana jika belum nyata diberi pahalanya satu, iaitu pahala ijtihad jua".

Daripada tulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tersebut, sangat jelas bahawa telah sepakat ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah bahawa Saidina 'Ammar yang berpihak kepada Saidina Ali adalah dibunuh oleh pengikut Saidina Mu'awiyah, bukan dari pihak lainnya.

Tetapi pada zaman sekarang ada pihak-pihak tertentu mendakwakan dirinya golongan Ahlus Sunnah wal Jama'ah, tetapi memutarbelitkan sejarah bahawa mereka mengatakan terbunuhnya Saidina 'Ammar bukan daripada pihak pengikut Saidina Mu'awiyah, tetapi adalah pengikut-pengikut Abdullah bin Saba'.

Kenyataan seperti tersebut ini tidak seorangpun ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah zaman silam, sama ada ulama silam dunia luar, mahupun ulama silam dunia Melayu.

Pendapat yang demikian jelas suatu pembohongan sejarah yang mesti ditolak kerana tidak terdapat rujukan dalam kitab-kitab yang muktabar yang dikarang oleh ulama-ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah sendiri, baik yang ditulis dalam bahasa Arab mahupun yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Sebagaimana ulama-ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang lain, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani berpandangan mengenai perselisihan antara para sahabat Nabi SAW memperingatkan kepada kaum Muslimin terutama golongan awamnya, kata beliau: "Dan barang yang berlaku antara sahabat perangan, kita diam daripadanya, Dan pahala ijtihad mereka itu kita i'tiqad diberi pahalanya.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mentafsirkan dalam Fathul Mannan, iaitu "Yakni barang yang berlaku bantahan dan perangan yang berbunuh padanya beberapa banyak sahabat dan lainnya, antara setengah sahabat dengan setengahnya, seperti hasil perang Saidina Ali dan Saidina Mu'awiyah, dan antara Saidina Ali dengan Siti Aisyah, wajib kita diamkan daripada masuk berkata jika tiada tahu ta'wilnya ... ".

Dijelaskan lebih lanjut dalam Warduz Zawahir, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "Ketahui olehmu, adalah bahas barang yang berlaku antara bersalahan sahabat setengah dengan setengahnya, dan yang muafakat mereka itu demikian jua, tiada daripada 'aqaid agama. Dan tiada pula daripada 'aqaid kalam. Dan tiada pula daripada barang yang memberi manfaat pada agama tetapi adalah terkadang memberi mudarat jua dengan yakin. Dengan sebab itulah kata Umar bin Abdul Aziz, bahawa demikian itu, yakni "berbunuh antara sahabat darah yang disucikan oleh Allah daripadanya segala pedang kita ".

Maka jangan kita khilaf dengan lidah kita. Dan tiada harus pula kita masuk padanya bicarakan melainkan kerana mengajar atau kerana hendak menolakkan akan orang yang marahkan mereka itu, atau mengaji kutub (maksudnya: kitab-kitab) yang terkandung atas demikian ceriteranya. Ada pun orang yang awam maka tiada harus bagi mereka itu masuk padanya kerana sangat jahil mereka itu dan ketiadaan mengetahui ta'wilnya. Dan wajib atasmu ketika membicara pada barang yang perkelahian antara mereka itu menjauh akan penyakit hasad ... ".

Nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks hadis Nabi SAW

Dimaksudkan dengan judul ini dapat dibahagi kepada dua kelompok, iaitu: Pertama: karya Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu yang terdapat hadis Nabi SAW yang menyebut nama Saidina Ali padanya ataupun yang bersumberkan dari riwayat beliau. Kelompok yang pertama ini jumlahnya sangat banyak.

Kedua pula: karya Melayu yang khusus mengenai hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali, juga termasuk perkara yang boleh dikatakan nadir.

lContoh bagi kelompok pertama, Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut beberapa hadis yang ada hubungan dengan Saidina Ali, namun di sini tidak dapat dipaparkan hadis-hadis tersebut, melainkan terjemahan sahaja. Antara hadis yang menurut terjemahan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam kitab Badrut Tamam, iaitu "Aku benua ilmu dan Ali itu pintunya". Selanjutnya dikomentarkan, "Dan berkata Abdullah bin Abbas, "Tiada aku dan ilmu segala sahabat Muhammad SAW pada Ali RA, melainkan satu titik pada tujuh laut". Manakala hadis yang lain, terjemahan menurut Sheikh Ahmad al-Fathani dalam kitab Badrut Tamam, iaitu "Barang siapa aku ini adalah penghulunya, maka Ali itu penghulunya pula". Selanjutnya Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut, "Dan beberapa banyak datang padanya hadis yang lain daripada ini, dan turun padanya beberapa ayat daripada Quran tiada hamba sebutkan kerana ikhtisar."Di antara tulisan Sheikh Utsman al-Funtiani dalam Nurul Anwar, mengenai hadis yang ada hubungan dengan Saidina Ali, beliau menulis, "Sungguhnya datang ayat dan hadis pada kelebihan Saidina Ali RA ... Setengah daripada hadis Nabi SAW."Terjemahan menurut Sheikh Utsman al-Funtiani daripada Hadis Nabi SAW tersebut, iaitu "Seorang kasih ia akan Saidina Ali maka sungguhnya kasih ia akan daku. Dan seorang kasih ia akan daku maka sungguhnya kasih ia akan Allah Taala. Dan seorang murka ia akan Saiyidina Ali R.A maka sungguhnya murka ia akan daku. Maka seorang murka ia akan daku maka sungguhnya murka ia akan Allah, sebenarnya murka Allah azab di dalam neraka." Dan setengah daripada hadis lagi, terjemahan menurut Sheikh Utsman al-Funtiani, iaitu "Ali daripada aku menempati kepala daripada badanku".Sheikh Utsman al-Funtiani menutup perbicaraan ini sama maksudnya dengan kalimat yang digunakan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani. Menulis Sheikh Utsman al-Funtiani, dalam Nurul Anwar, "Dan sungguhnya beberapa banyak ayat Quran dan hadis pada menyatakan kelebihan Saidina Ali RA ...". Adapun "beberapa ayat Quran" ada hubungan dengan Saidina Ali KW, yang diberikan maklumat oleh kedua-dua ulama alam Melayu itu, Sheikh Utsman al-Funtiani memberikan contoh sebab turun ayat 274, surah al-Baqarah, terjemahannya: Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita. Menurut Sheikh Utsman al-Funtiani, "Berkata Saidina Abdullah bin Abbas RA adalah bersama-sama Saidina Ali empat dirham, tiada mempunya yang lainnya, maka bersedekah ia dengan satu dirham siang hari dan satu dirham pada malam, dan satu dirham sirran (tersembunyi) dan satu dirham jiharan (nyata), maka menurun Allah Taala ... (maksudnya ayat Quran tersebut)".

lAda pun kelompok yang Kedua: karya Melayu yang khusus mengenai hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali, yang dikumpulkan dalam sebuah risalah pernah ditulis dan disebarkan oleh seorang ulama besar keturunan Nabi Muhammad SAW, beliau ialah Saiyid Utsman Betawi atau lebih terkenal dengan sebutan Mufti Betawi. Karya beliau khusus mengenai ahlil bait diberi judul Hadits Keluarga. Karya beliau ini merupakan hadis ahlil bait yang pertama sekali diperkenalkan ke dalam bahasa Melayu-Betawi. Walaupun risalah tersebut tipis saja, tetapi sangat besar pengaruhnya dan menjadi pegangan seluruh keturunan Nabi Muhammad SAW, iaitu keturunan yang melalui perkahwinan antara Saidina Ali dengan Saidatina Fatimah binti Nabi Muhammad SAW yang berada di Alam Melayu terutama sekali di Pulau Jawa. Hingga kini memang belum dijumpai kumpulan hadis seumpamanya dalam bahasa Melayu. Beberapa contoh kandungannya tidak dapat diperkenalkan, hanya penulis simpulkan saja bahawa karya ini ditulis dengan lafaz hadis dalam bahasa Arab yang diberi gantungan makna dalam bahasa Melayu. Selain karya Saiyid Utsman Betawi, terdapat lagi sebuah karya judul Nasihatu Ahlil Wafa 'ala Wasiyatil Mustafa, yang diselesaikan 11 Syawal 1312 H di Mekah oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Kandungannya merupakan wasiat Nabi Muhammad SAW kepada Saidina Ali. Setelah mukadimah dimulai dengan perkataan Saidina Ali menulis, Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, "Telah berkata Saidina Ali K.W, "Telah memanggil akan daku Rasulullah SAW maka bersunyi aku sertanya di dalam rumahnya, maka sabdanya, "Hai Ali engkau daripadaku seperti tempat Musa daripada Harun Alaihimas Salam melainkan tiada Nabi kemudian daripadaku. Bahawasanya aku wasiat akan dikau pada ini hari dengan beberapa wasiat, jika engkau memelihara akan dia nescaya hiduplah engkau dapat kepujian dalam dua negeri dan jika mati engkau syahid ..." Wasiat yang termaktub dalam risalah/kitab Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga itu mengandungi beberapa fasal semuanya bermula dari perkataan, "Hai Ali". Dan ditutup dengan perkataan, "Hai Ali, pelihara olehmu akan wasiatku dan amal olehmu dengan dia adalah engkau itu daripada orang yang muttaqin ..." Karya yang ditulis oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga tersebut beberapa hadis di antaranya pernah dimuat oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam karya beliau yang berjudul Jam'ul Fawaid.

Nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks ilmu tasawuf

Diriwayatkan bahawa sewaktu Rasulullah akan hijrah, Saidina Ali diperintahkan supaya menunggu di atas tempat tidur baginda, ketika itulah Rasulullah mengajarkan zikir ismuz zat kepada Saidina Ali K.W, zikirnya adalah dibaca secara sir. Tersebut dalam sebuah manuskrip yang ditulis di bahagian akhir kitab Bidayatul Hidayah karya Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh), versi salinan Sheikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, dipercayai adalah karya beliau, iaitu:

"Maka adapun asal tempat bersandar Masyaikh pada mengajar muridnya zikir 'La ila Ha illallah' pada jalan seseorang itu, iaitu ceritera daripada Saidina Ali ibni Abi Thalib Radhiyallahu 'anhu tatkala ia berahi kepada menghampirkan dirinya kepada Allah Ta'ala, maka lalu ia berdatang sembah kepada Rasulullah SAW: (Di sini tidak dapat dipaparkan kalimat asalnya dalam bahasa Arab, hanya terjemahannya saja)

lTerjemahannya: "Ya Rasulallah, tunjuk olehmu akan daku atas sehampir-hampir daripada segala jalan kepada Allah dan semudah-mudahnya atas segala hamba-Nya dan selebih-lebihnya pada Allah Ta'ala"

lTerjemahannya: "Sabda Nabi SAW, "Ya Ali tetap olehmu zikrullah dalam segala khalwat"

lTerjemahannya: "Maka sembah Amirul Mu'minin Ali R.A, "Ya Rasulullah, demikian kiranya fadhilat zikir padahal adalah segala manusia itu menyebut zikrullah mereka itu"

lTerjemahannya:"Maka sabda Nabi SAW, "Diamlah engkau hai Ali, tiada berdiri kiamat itu padahal atas bumi ini orang yang menyebut Allah, Allah". "Maka sembah Amirul Mu'minin Ali RA, "Betapa aku zikir Ya Rasulallah ?"

lTerjemahannya: "Sabda Nabi SAW, "Hai Ali pejamkan olehmu kedua matamu dan dengarkan olehmu daripada aku, tiga kali, kemudian dari itu kata olehmu, tiga kali, padahal aku mendengar daripadamu"

lTerjemahannya: "Maka zikirlah Nabi SAW 'La ila Ha illallah' tiga kali, padahalnya memejamkan kedua matanya dan menyaringkan suaranya dan Amirul Mu'minin Ali RA mendengar dia"

lTerjemahannya: "Kemudian dari itu maka zikirlah Amirul Mu'minin Ali RA kalimah 'La ila Ha illallah' tiga kali, padahalnya memejamkan kedua matanya dan menyaringkan suaranya dan Nabi S.A.W mendengar dia".

Inilah asal isnad segala Masyaikh mengajar muridnya zikir dengan kalimah 'La ila Ha illallah' padahal sama seorang dengan muridnya ...".

Hujah yang tersebut menjadi pegangan yang kukuh penganut tarekat Alam Melayu, yang takkan tergoyahkan oleh propaganda pihak yang kontroversi dengan tarekat yang mereka amal. Apabila kita kaji hampir semua tarekat mu'tabarah Alam Melayu, sebahagian besar bersanad/bersalasilah kepada Saidina Ali KW. Bermula dari Rasulullah SAW, turun kepada Saidina Ali KW, turun kepada zuriat-zuriatnya, iaitu: dari Saidina Ali KW turun kepada anaknya Saiyidina Husein, turun kepada Imam Zainal Abidin, turun kepada Imam al-Baqir, turun kepada Imam Ja'far as-Sadiq, sesudah ini turun kepada pelbagai pihak yang bukan keturunan mereka, namun tidak dapat diperjelaskan dengan selengkapnya di sini.

Untuk kejelasan lebih lanjut, dapat dilihat buku penulis berjudul Dhiyaul Murid, mengenai salasilah Thariqat Syathariyah, terbitan Khazanah Fathaniyah (1996), dimulai halaman 112.

Salasilah Thariqat Qadiriyah Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dan salasilah Thariqat Qadiriyah Syeikh Ahmad Khatib Sambas, pada bahagian asal tarekat itu juga sama dengan Thariqat Syathariyah, iaitu berasal dari penurunan melalui Saidina Ali KW, turun kepada zuriat-zuriatnya.

Ada juga salasilah yang bermula dari Rasulullah SAW turun kepada Saidina Ali KW, tidak turun kepada zuriat beliau, tetapi turun kepada Hasan al-Basri, seperti terdapat pada Thariqat Qadiriyah Sheikh Zainuddin as-Sumbawi, yang sama pada bahagian atasnya dengan Thariqat Samaniyah Sheikh Abdus Samad al-Falimbani.

Untuk perbicaraan ini pula dapat dilihat dalam buku penulis berjudul Al-'Urwatul Wutsqa pada halaman 14, juga dalam buku berjudul Sheikh Abdus Shamad Palembang pada halaman 45. Perkara yang disebutkan mengenai salasilah tarekat ini adalah sebagai pengenalan ringkas saja, selengkapnya penulis muatkan dalam buku berjudul Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyah Mu'Tabarah Di Dunia Melayu, terbitan Khazanah Fathaniyah (2000).

Apa yang penulis nyatakan di atas tidak dipertikaikan oleh para ulama silam tradisional alam Melayu, kerana sumber-sumber yang diperkatakan terdapat rujukan-rujukan daripada kitab-kitab turas Islami. Tetapi selain yang tersebut, penulis mempunyai beberapa buah manuskrip Melayu mengenai tasawuf yang sangat erat hubungan dengan Saidina Ali KW, namun sangat sukar dirujuk kepada sumber-sumber muktabar, lagi pula manuskrip-manuskrip tersebut tidak dapat dikesan nama pengarang, di samping tulisan yang kurang memuaskan.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0323&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Tuesday, 26 June 2012

Dunia Melayu menurut Sheikh Ahmad al-Fathani


Koleksi artikel ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 










TEUKU Umar Johan Pahlawan (kiri) yang memimpin perang jihad fisabillah menentang penjajahan Belanda.






 

HINGGA penghujung tahun 1880-an Masihi, belum dijumpai takrif tentang istilah Melayu dalam pelbagai aspek oleh putera dunia Melayu sendiri, kecuali hanya dibicarakan oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam banyak tempat yang secara terpisah.

Sebelum membicarakan pelbagai aspek peradaban dunia Melayu, penulis petik kembali kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani yang beliau tulis dalam bahasa Arab dan pernah diterjemah dan dimuat dalam buku Hadiqatul Azhar war Rayahin: Asas Teori Takmilah Sastera Melayu Islam, jilid 1. Petikan itu ialah:

"Iaitu kesatuan semua bangsa Melayu, al-Malayuwiyah itu dibangsakan kepada Milayu, dengan baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di atas (fathah) dan baris depan (dhammah) huruf Ya'. Mereka adalah kelompokatawa segolongan besar manusia. Negeri-negeri mereka adalah sesubur-subur negeri dunia.

"Negeri Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina. Adalah alam Melayu itu terdiri dari kebanyakan pulau yang terpencar-pencar atau terpisah-pisah. Pakar/ ahli ilmu geografi mengibaratkan bahawa alam Melayu itu adalah sebahagian daripada negeri-negeri India-Cina.

"Orang-orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan "Jawah", iaitu satu golongan manusia di satu pulau yang besar di sana. Orang Melayu bukanlah daripada orang Jawa.

"Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan/mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah-wilayah itu. Sebab itulah kebanyakan orang Hijaz/Arab memakai menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa tersebut, yang berlainan bahasa mereka dengan bahasa Melayu.

"Bangsa Melayu itu adalah bersifat ikhlas, lemah lembut, lunak, berperibadi sopan. Mereka memiliki kehormatan yang sopan, menguasai pembaikan pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman padanya.

"Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-kekuasaan kafir telah menipu daya mereka."

Tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani asli yang diterjemahkan di atas adalah dalam bahasa Arab dan ditempatkan pada bahagian tepi karya beliau berjudul Tashil Nail al-Amani. Kitab ini masih diajar di beberapa tempat di dunia Melayu, mahupun di tempat-tempat lain di dunia Islam terutama di Mesir.

Dengan kalimat yang pendek tetapi menyentuh pelbagai aspek tentang Melayu tersebut di atas, bererti Sheikh al-Fathani telah memperkenalkan peradaban dan ketamadunan Melayu di peringkat antarabangsa sejak tahun 1300 H/1882 M, iaitu tahun beliau selesai menulis kitabTashil Nail al-Amani itu.

Perlu penulis sertakan penafsiran kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani tersebut, dimulai dari kalimatnya, "...al-Malayuwiyah itu dibangsakan kepada Milayu, dengan baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di atas (fathah) dan baris depan (dhammah) huruf Ya", takrif yang diberikan bererti menurut dialek Arab dibunyikan dengan perkataan "mi" (Mi-layu) atau "ma" (Ma-layu) sedangkan dalam dialek Melayu sendiri ialah "me" (Me-layu).

Tidak terdapat tulisan lanjut pendapat Sheikh Ahmad al-Fathani yang menyebut apakah perkataan Melayu itu dari bahasa Arab atau pun bahasa lainnya. Kemungkinan "mi" (Mi-layu) atau "ma" (Ma-layu) yang disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu adalah berasal dari perkataan Arab.

Dunia Melayu

dari aspek geografi dan kesuburannya

Sheikh Ahmad al-Fathani memastikan letak negeri Melayu dengan katanya, "Negeri Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina". Ini adalah gambaran bahawa letak dunia Melayu yang strategik kerana diapit oleh dua tanah besar dalam benua Asia, iaitu Cina dan India.

Ia diperjelaskan lagi dengan kalimat, "Pakar / ahli ilmu geografi mengibaratkan bahawa adalah alam Melayu itu sebahagian dari negeri-negeri India-Cina. Orang-orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan Jawah."

Menurut Sheikh Ahmad al-Fathani, "iaitu satu golongan manusia di satu pulau yang besar di sana" atau di dunia Melayu. Dari perkataan "Jawah" kemudiannya menjadi Jawi. Walaupun antara orang Melayu dengan orang Jawa adalah serumpun Melayu, namun pada pandangan Sheikh Ahmad al-Fathani orang Melayu tidak sama dengan Jawa.

Inilah yang dimaksudkan dengan kalimat, "Orang-orang Melayu bukanlah daripada orang Jawa." Sukar juga kita mencari sebab asal usul dunia Melayu dinamakan tanah Jawi oleh orang-orang Arab, terutama orang Arab Mekah. Kemungkinan juga berasal dari nama Pulau Jawa yang terletak dalam gugusan kepulauan Melayu.

Selanjutnya, kata Sheikh Ahmad al-Fathani, "Adalah alam Melayu itu terdiri dari kebanyakan pulau yang terpencar-pencar atau terpisah-pisah", dalam Hadiqat al-Azhar. Ia adalah petikanJaridah Al-Ma'lumat terbitan Betawi.

Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut beberapa buah pulau, katanya: "Adalah Kepulauan Nusantara, iaitu sejumlah pulau-pulau yang terdiri dari: Sumatera, Bangka, Belitung, Jawa, Madura, Bali, Lombok, Sumbawa, Flores, Timor, Borneo / Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan banyak lagi".

Kalimat selanjutnya, kata Sheikh Ahmad al-Fathani, "Negeri-negeri mereka adalah sesubur-subur negeri dunia ..." yang dimaksudkan di sini ialah bahawa keseluruhan dunia Melayu mempunyai hasil yang banyak, baik hasil tanah daratan, hasil laut mahu pun yang terkandung dalam perut buminya yang demikian luas.

Dalam karyanya Thaiyib al-Ihsan fi Thib al-Insan, beliau berpendapat tentang kesuburan spesies tumbuh-tumbuhan untuk perubatan terdapat di bumi Melayu seperti yang beliau nyatakan pada kalimat, "Padahal kita jenis Melayu aula dengan demikian itu, dari kerana banyak segala ubat-ubat itu pada bumi kita. Hingga adalah kebanyakan ubat-ubat mereka itu diambilkan daripada bumi kita. Dan kita terlebih aula pada merintahkan diri kita daripada jenis yang lain daripada kita".

Aspek bahasa dan ciri-ciri bangsa Melayu

Setelah memperkenalkan bangsa Melayu, letak dan kesuburannya, Sheikh Ahmad al-Fathani melanjutkan bahasan tentang bahasa. Katanya, "Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan/mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah-wilayah itu."

Pada konteks bahasa-bahasa serumpun Melayu dalam Hadiqat al-Azhar, Sheikh Ahmad al-Fathani menjelaskan, "Bahasa mereka bermacam-macam iaitu Melayu, Jawa, Sunda, Madura, Bugis, Aceh, Bali, [dan bermacam-macam lagi]".

Walaupun di dunia Melayu terdapat berbagai-bagai bahasa, namun oleh sebab "Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan / mudah ...", maka bahasa Melayu adalah menjadi bahasa pengantar.

Sheikh Ahmad al-Fathani menyambung kalimatnya, "Sebab itulah kebanyakan orang Hijaz/Arab memakai/menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa tersebut, yang berlainan bahasa mereka dengan bahasa Melayu".

Persyaratan sesuatu bangsa yang berperadaban atau bertamadun, tentang bangsa Melayu hingga tahun 1300 H/1882 M, Sheikh Ahmad al-Fathani berpendapat, "Sebahagian ciri-ciri khusus mereka itu ialah, bahawa seseorang tiada melihat di negeri mereka dan lainnya peminta-peminta secara paksa, walaupun keadaan mereka sendiri sangat miskin sekali pun".

Pandangan ini selain ditulis pada nota Tashil Nail al-Amani lebih lengkap ditulis pada nota karyanya Faridat al-Faraid yang ditulis tahun 1313 H/1895 M. Catatannya, "Muru'ah, ertinya "kemukaan" atau "kemanusiaan", iaitu kemuliaan seseorang, dan kesempurnaannya, dan beberapa adab yang ada sekalian itu pada dirinya yang membawa oleh memeliharanya akan dia kepada baik segala perangainya dan elok segala adatnya.

Dan terjemah hamba akan "muru'ah" dengan erti "kemukaan" itu, betul lagi nyata, kerana "kemukaan" pada bahasa Melayu itu kinayah daripada keadaan seseorang itu mempunyai nafsu yang dipuji.

Yang membawa akan dia kepada mengerjakan pekerjaan yang baik Lagi tiada reda ia sertanya mengerjakan barang yang tiada patut dengan keadaan manusia.

Maka iaitulah 'ain "muru'ah" yang pada bahasa Arab, dikatakan "Si Anu itu orang yang bermuka". Ertinya: "mempunyai maruah, yang ia malu mengerjakan barang yang tiada patut dan loba ia atas mengerjakan barang yang membawa kepada kepujian dirinya".

Dengan dalil memulia mereka itu akan orang dagang yang datang kepada negeri mereka, istimewa ahlil Hijaz. Dan jika tiada dibalaskan mereka itu dengan syukur sekalipun. Dan tiada ada pada mereka itu banyak tipu daya.

Dan tiada ada pada mereka itu menghilangkan air muka dengan meminta. Bersalahan setengah daripada jenis yang lainnya. Dan "kemukaan" ini lain daripada "wajahah" yang pada bahasa Arab. Kerana makna "wajahah" itu "al-hazhu wal ratbah".

Dan iaitu bukannya "kemukaan" yang pada bahasa Melayu. Maka tertolaklah dengan demikian itu i'tiradh setengah manusia akan tafsir hamba akan "muru'ah" dengan "kemukaan". Maka ia berkata ia [bahawa] "kemukaan" itu terjemah "wajahah" yang pada bahasa Arab.

Ada pun tafsir hamba akan "muru'ah" dengan "kemanusiaan", ertinya "keadaan seseorang itu manusia yang sempurna".

Maka, iaitu terlebih nyata, karena syaan manusia yang sempurna itu bahawa bersifat ia dengan segala barang yang tersebut pada makna "muru'ah" itu. Wallahu a'lam."

Masih dalam konteks di atas, sambungan kalimat pada nota Tashil Nail al-Amani dilengkapi dengan kalimatnya bahawa orang Melayu "memiliki kehormatan yang sopan ..."

Aspek perkembangan ilmu pengetahuan

Pada sambungan kalimat di atas Sheikh Ahmad al-Fathani menggambarkan orang Melayu dapat menerima perubahan perkembangan zaman serta cerdas menerima ilmu pengetahuan.

Inilah yang dimaksudkan dengan katanya bahawa orang Melayu "menguasai perbaikan pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman padanya".

Mengenai perkataannya "menerima pemodenan teknologi" Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa tulisannya turut membicarakan perkara itu. (Lihat Al-Fatawal Fathaniyah Sheikh Ahmad Al-Fathani, jilid 3, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1422 H/2002 M, halaman 31-32).

Aspek kedaulatan pemerintahan

Dalam konteks kedaulatan pemerintahan, Sheikh Ahmad al-Fathani mengakhiri kalimat pada nota Tashil Nail al-Amani, katanya, "Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-kekuasaan kafir telah menipu daya mereka. Semoga Allah memelihara negara-negara Islam daripada mereka (kafir). Amin".

Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin dan beberapa karangan yang lain menyebut mulai kedatangan Islam di dunia Melayu sehingga membentuk daulah yang dipegang oleh orang-orang Islam.

Namun selanjutnya bangsa penjajah Portugis, Inggeris dan Belanda telah datang menjajah dunia Melayu. Khusus mengenai Patani juga beliau sentuh.

Dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin memberi contoh peperangan yang panjang antara Aceh dengan penjajah Belanda, sampai tahun 1316 H/1898 M, iaitu zaman Sheikh Ahmad al-Fathani, telah terjadi perang selama 29 tahun.

Tahun yang disebutkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu ada hubungan dengan perjuangan terakhir Teuku Umar.

Pada 1 April 1898 M, Teuku Umar Johan Pahlawan Lampaseh, Teuku Tjoet Tungkob dan hulubalang-hulubalang mengucapkan sumpah setia kepada sultan untuk meneruskan perang sabilillah.

Selanjutnya pada 23 Julai 1898 M, di Keude Meulu, Pidie, Teuku Umar Johan Pahlawan Lampaseh, dilantik pemimpin perang sabilillah dalam satu mesyuarat pemimpin adat dan ulama-ulama Islam.

Sheikh Ahmad al-Fathani (1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M) hidup sezaman dengan Teuku Umar (1854 M - 1899 M), beliau lebih muda sekitar dua tahun daripada Teuku Umar.

Memerhatikan tulisan-tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai Aceh dan pada zaman yang sama beliau mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Turki-Uthmaniyah minta bantuan melepaskan seluruh dunia Melayu dari semua penjajah bererti Sheikh Ahmad al-Fathani ada hubungan dengan semua perjuangan Islam di dunia Melayu termasuk Aceh.

Mengenai yang penulis tulis di atas di antaranya dapat dirujuk dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin: Asas Teori Takmilah Sastera Melayu Islam, jilid 1, halaman 142-147.

Penutup

Pengenalan peradaban dunia Melayu ini tidak lengkap tanpa membicarakan para pelopor yang terlibat dalam ketamadunan Melayu sehingga melahirkan ramai generasi penerus hari ini.

Kesinambungan dari itu, perbicaraan ini dilanjutkan pada ruangan akan datang dengan memperkenalkan pelopor-pelopor Melayu Islam, yang meliputi dalam pelbagai aspek kepentingan dunia Melayu.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0406&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Monday, 25 June 2012

KARYA-KARYA ULAMA PATANI


Oleh Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PENDAHULUAN
Dalam keluaran sebelumnya, telah diperkenalkan pelbagai karya ulama Patani dalam pelbagai disiplin ilmu yang menjadi rujukan seluruh nusantara. Kesinambungan itu, terdapat beberapa lagi karya tersebut yang juga tidak kurang pentingnya untuk dibicarakan.

Karya-karya tersebut adalah terjemahan dan Tafsir al-Quran, Ilmu Hadis, Ilmu Tajwid, Ilmu Nahu, Ilmu Saraf, Ilmu Balaghah, Ilmu Hisab dan Falak dan Ilmu Thib. Berikut diperjelaskan perinciannya.

* Terjemahan dan Tafsir Al-Quran

Terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Melayu diusahakan oleh Sheikh 'Abdur Rauf bin 'Ali al-Fansuri. Namun tidak sempat diselesaikan lalu diselesaikan oleh murid beliau Baba Daud bin Agha Ismail al-Jawi bin Agha Mushthafa ar-Rumi.

Terjemahan dan tafsir tersebut diberi judul Turjumanul Mustafid atau lebih popular dinamakanTafsir Baidhawi Melayu. Ulama Patani juga berperanan besar dalam memperkenalkan terjemahan dan tafsir tersebut kerana kitab ini pertama kali adalah ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tashhih-tashhih kemudian dilakukan oleh dua murid Sheikh Ahmad al-Fathani iaitu Sheikh Idris bin Husein al-Kalantani dan Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Sebuah lagi terjemahan dan tafsir al-Quran yang lengkap 30 juzuk yang dikarang oleh ulama Patani ialah Tafsir Jamal, yang disusun oleh Sheikh Ma'shum bin Jamal al-Fathani. Beliau hidup sezaman dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ada pendapat menyebut bahawa Sheikh Ma'shum bin Jamal al-Fathani adalah salah seorang murid Sheikh Daud al-Fathani.

Disusul oleh terjemahan dan tafsir al-Quran yang lengkap 30 juzuk yang ketiga disusun oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, hanya dijumpai sebuah manuskrip asli yang disimpan oleh seorang waris beliau di Kampung Jambu, Patani.

Ada pun terjemahan dan tafsir al-Quran oleh Sheikh Daud al-Fathani belum dijumpai secara lengkap 30 juzuk, tetapi ayat-ayat dalam surah-surah al-Quran terdapat dalam beberapa karangan beliau.

Surah yang agak panjang, yang lengkap dari awal hingga akhir terjemahan dan tafsir Sheikh Daud al-Fathani ialah surah Yusuf. Selain pernah diterbitkan bersendiri, juga dimuat dalam karyanya Jam'ul Fawaid. Dalam karyanya Warduz Zawahir juga banyak terdapat terjemahan dan tafsir ayat dari surah-surah yang panjang-panjang.

Sheikh Ahmad al-Fathani, selain pernah menterjemah dan mentafsir al-Quran 30 juzuk dan selaku pentashhih pertama Tafsir Baidhawi Melayu seperti disebut di atas. Contoh-contoh mengenainya dapat dipelajari dari karyanya Hadiqatul Azhar dan Bisyaratul 'Amilin. Setiap permulaan dalam Bisyaratul 'Amilin sesuatu Bab dimulai dengan salinan ayat al-Quran serta terjemahannya menurut perkembangan bahasa Melayu klasik dan pada beberapa terjemahan Sheikh Ahmad al-Fathani menggunakan gaya bahasa beliau sendiri.

Misal ikhtilaf terjemah bahasa Melayu klasik dengan bahasa Melayu sekarang ataupun bahasa Indonesia, terdapat pada surah Muhammad ayat 23. Terjemahan Sheikh Ahmad al-Fathani sama maksud dengan terjemahan Syeikh 'Abdur Rauf bin 'Ali al-Fansuri.

Terjemahan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Bisyaratul 'Amilin, "Maka hampir kamu, jikalau berpaling kamu daripada iman, maka membinasa kamu di dalam bumi dan memutus kamu akan segala rahim kamu ..."

Terjadinya ikhtilaf ialah terjemahan perkataan terjemahan tafsir Sheikh Ahmad al-Fathani iaitu "jikalau berpaling kamu daripada iman", semua terjemahan bahasa Indonesia/Melayu sekarang ialah "jika kamu berkuasa". Pada pandangan penulis, lebih dapat diterima terjemahan klasik kerana "jikalau berpaling daripada iman" lebih pasti ke arah membuat "kebinasaan di muka bumi", sedangkan seseorang "jika berkuasa" belum dapat dipastikan ke arah membuat "kebinasaan di muka bumi".

Tafsir ayat-ayat al-Quran dalam bahasa Arab sahaja, bukan terjemahan bahasa Melayu, juga terdapat tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani. Mengenai ini terdapat pada dua tempat.

Pertama, pada salah satu dari tiga buah manuskrip Ilmu Bayan, pada bahagian tepinya beliau tulis beberapa ayat al-Quran dengan tafsirnya. Kedua, pada manuskrip Tashilu Nailil Amani, iaitu bahagian halaman dalamnya ayat-ayat al-Quran dii'rab menurut Ilmu Nahu, sedang pada bahagian tepinya ayat-ayat al-Quran ditafsirkan menurut kaedah Ilmu Tafsir.

* Ilmu Hadis

Ulama Patani yang terlibat dalam penulisan hadis dimulai oleh Sheikh Abdullah bin Sheikh Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani. Beliau menghasilkan kitab hadis berjudul Tanbihul Ghafilin1184 H/1770 M.

Karya Sheikh Abdullah bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani tersebut adalah terjemahan pertama Tanbihul Ghafilin karya Sheikh Abu Laits as-Samarqandi.

Selanjutnya diikuti Sheikh Daud al-Fathani, di antara karya beliau yang merupakan terjemahan hadis ialah Faraid Fawaidil Fikri fil Imamil Mahdi, 1215 H/1800 M, Kasyful Ghummah, 1236 H/1822 M, Hikayat Imam, dan lain-lain terdapat beberapa hadis dalam beberapa buah karyanya yang bercorak fiqh, tauhid dan tasauf.

Di antaranya pada mukadimah Bughyatut Thullab banyak diperkenalkan hadis tentang kelebihan ilmu, demikian juga dalam Jam'ul Fawaid dan lain-lain.

Sheikh Ahmad al-Fathani juga aktif dalam penulisan hadis, di antara karya mengenai ini ialah:Bisyaratul 'Amilin wa Nazaratul Ghafilin, 1304 H/1887 M, Hadits Memulakan Makan Dengan Garam Dan Disudahi DengannyaHadits-hadits Pilihan (merupakan bahasan Musthalah Hadits), Daftar Rijal Hadits, dan lain-lain yang dimuat dalam Hadiqatul Azhar.

Selain itu, Sheikh Ahmad al-Fathani pula tokoh pertama sebagai pentashhih dan penyebar kitab-kitab hadis yang dikarang oleh ulama-ulama nusantara. Antaranya adalah Al-Fawahidul Bahiyah atau Hidayatul Habib (1045 H/1635 M) oleh Sheikh Nuruddin ar-Raniri, Kasyful Ghummah (1236 H/1822 M) oleh Sheikh Daud al-Fathani dan Al-Jauharul Mauhub (1306 H/1888 M) oleh Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani.

*Ilmu Tajwid

Pada sektor ilmu tajwid, ulama-ulama Patani menonjol sebagaimana ilmu-ilmu yang lain. Di antara risalah-risalah dan kitab-kitab ilmu tajwid yang dikarang oleh ulama-ulama Patani disenaraikan sebagai yang berikut:

*Al-Mawahibul Makkiyah, (1296 H/1879 M), karya Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Kitab ini ditashhih oleh muridnya Sheikh Ahmad al-Fathani.

*Sirajul Qari (1308 H/1891 M, karya Sheikh Muhammad Shalih bin Sheikh Zainal Abidin al-Fathani.

*Mauriduz Zhaman, (1315 H/1898 M), karya Sheikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri (Senggora, Patani). Kitab ini ditashhih oleh gurunya Sheikh Ahmad al-Fathani. Mauriduz Zhaman adalah kitab tajwid yang paling tebal dan paling lengkap dalam bahasa Melayu. Hingga kini, baik kitab tulisan Melayu/Jawi mahupun Latin/Rumi belum terdapat seperti kitab ini.

Adapun Syeikh Abdullah Senggora Patani itu adalah seorang ulama ahli bacaan al-Quran yang paling ulung di Mekah pada zamannya. Beliau hafal 30 juzuk berserta dengan qiraat sab'ah. Beliau pula pernah menjadi Rais (Ketua) Qurra' Hijaz. Murid beliau sangat ramai; hampir semua ahli qiraat al-Quran yang terkenal nusantara yang ada pada masa sekarang ada perhubungan sanad kepada Sheikh Abdullah Senggora itu.

Ulama yang berasal dari Patani yang menyusun risalah tajwid ialah Sheikh Abu Ahmad Syamsuddin Abdul Mubin Muhammad Thaiyib Abdul Jabbar. Beliau tinggal di Pahang. Risalah tajwid yang beliau tulis ialah: Tabshiratul Ikhwan fi Tajwidil Quran, disingkat Tabshiratul Ikhwansaja.

* Ilmu Nahu

Mengenai ilmu nahu, di bawah ini adalah petikan dan diringkaskan dari buku Al-'Alim Al-'Allamah Sheikh Ahmad Al-Fathani (manuskrip). Dalam usia yang masih sangat muda, beliau menulis beberapa risalah atau kitab ilmu nahu yang ditulis dalam bahasa Arab. Risalah-risalah/kitab-kitab itu ialah:

Manzhumatuts Tsimarisy Syahiyah, beliau namakan juga dengan Manzhumatul Fathaniyah, ditulis ketika beliau berada di Mesir tahun 1294 H/1877 M.

Selanjutnya ditulis pula Manzhumatu 'Unqudil La-ali dan Manzhumatul 'Awamil juga ditulis ketika beliau berada di Mesir, tahun 1296 H/1878 M. Tiga risalah nahu yang tersebut di atas semuanya ditulis dalam bentuk syair.

Manzhumatul 'Awamil adalah berbentuk puisi (kalam nazham / syi'ir), kalimat-kalimatnya berbeza dengan aslinya iaitu Matnul 'Awamil karya Abdul Qahir al-Jurjani (wafat 470 H), yang berbentuk prosa (kalam natsar).

Karya Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai nahu pula berjudul Ar-Risalatul Fathaniyah. Kitab ini telah ratusan kali cetak. Ar-Risalatul Fathaniyah pernah menjadi suatu kitab hafalan di pengajian beberapa buah pondok pengajian di Kedah, Kelantan, Patani, Bangkok bahkan seluruh Thailand, Cam dan juga beberapa pondok di Jambi dan Riau (Sumatera).

Walau bagaimanapun, kitab Ar-Risalatul Fathaniyah tidak lebih luas sebarannya jika dibandingkan dengan karya beliau Tashilu Naili AmaniAr-Risalatul Fathaniyah diberi ulasan oleh salah seorang murid dan saudara sepupu beliau iaitu Sheikh Ismail bin Abdul Qadir bin Mushthafa al-Fathani (Pak De 'El Fathani).

Kitab Ar-Risalatul Fathaniyah disyarah pula oleh anak saudara kedua-dua beliau itu, iaitu Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ismail al-Fathani. Syarah tersebut berjudul Al-Ibanatul I'rabiyah Syarhur Risalatil Fathaniyah.

Setelah Sheikh Ahmad al-Fathani kembali ke Mekah, beliau lanjutkan dengan mensyarahkanMatan 'Awamil karya Sheikh Abdul Qahir al-Jurjani. Syarahnya diberi judul Tashilu Nailil Amani fi Syarhi 'Awamil Jurjani atau dinamakan juga dengan Tasrihul Ghawamil fi Syarhi'Awamil, 1300 H/1882 M.

Sejak ditulisnya hingga ke hari ini masih banyak orang mengajar dan belajar kitab tersebut.Tashilu Nailil Amani diajar di Pulau Jawa dan di negeri nusantara lainnya sejak Sheikh Ahmad al-Fathani masih hidup lagi, mungkin kitab itu dibawa dan kemudian diajarkan oleh murid-muridnya.

Ulama Patani yang menyusun kitab ilmu nahu dalam bahasa Arab, diteruskan oleh murid Sheikh Ahmad al-Fathani. Beliau ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani.

Di antara karya beliau yang telah dijumpai ialah Janiyatuts Tsmarat fi Ta'rifi Ba'dhil Kalimat, 1325 H/1908 M, merupakan syarah Matan al-Ajrumiyah. Karya Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani tentang ilmu nahu pula, ialah Tamhidul Manahij al-Adabiyah fi I'rabi Mabanil Ajrumiyahsebanyak empat jilid.

Kitab ini pernah diajar di sekolah-sekolah agama dalam Kerajaan Selangor pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman dan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani sebagai Sheikhul Islam di kerajaan itu.

*Ilmu Saraf

Mengenai ilmu saraf karya Sheikh Ahmad al-Fathani pula diringkaskan keterangannya, bahawa ada empat buah yang dijumpai. Dua buah tidak beliau sebut tahun penulisannya dan dua buah masing-masing diselesaikan pada tahun 1308 H/1890 M dan 1317 H/1899 M, iaitu: Abniyatul Asma' wal Af'al, tanpa dinyatakan tahun. Risalah ini senantiasa dicetak kembar dengan ilmu nahu judul Ar-Risalatul Fathaniyah, hingga sekarang sudah ratusan kali terbit.

Abniyatul Asma' wal Af'al dalam zaman kejayaan pengajian pondok termasuk sebuah risalah yang diwajibkan menghafalnya bagi pelajar-pelajar pondok di Kedah, Kelantan, Patani, Bangkok bahkan seluruh Thailand dan Kemboja. Juga di beberapa tempat di Sumatera terutama di Riau dan Jambi.

Kitab ilmu saraf karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang kedua ialah Matnul Madkhal fi 'Ilmish Sharfi. Yang ketiga diberi judul Al-Ibrizush Shirfu fi Fannish Sharfi, 1308 H/1890 M. Ilmu saraf yang keempat masih berupa manuskrip salinan yang belum diberi judul.

Kandungannya membahas secara mendalam dan keterangan yang panjang tentang Idgham, al-Qalb, an-Naql, al-Iskan dan al-Hazf. Karya yang tersebut diselesaikan pada Isnin, 22 Syaaban 1317 H/1899 M.

Manuskripnya ada dalam simpanan penulis, iaitu manuskrip salinan anaknya Haji Wan Ismail bin Ahmad al-Fathani yang diselesaikan pada bulan Jamadilakhir 1318 H/1900 M.

*Ilmu Balaghah

Sheikh Ahmad al-Fathani juga menulis mengenai ilmu ini, dalam simpanan penulis sekurang-kurangnya tersimpan tiga manuskrip mengenai ilmu yang tersebut.

Pertama, banyak corat-coret; di bahagian mukanya tertulis nama kitab itu dengan yang berasal dari milik ayah saudara beliau iaitu Sheikh Wan Daud bin Mushthafa al-Fathani (Pak Cik Wan Daud).

Kedua, yang asli tulisan tangan Sheikh Ahmad al-Fathani. Dan yang ketiga, juga tulisan tangan asli Sheikh Ahmad al-Fathani, ditulis dengan khat yang indah. Selain itu, dalam simpanan penulis ada tiga buah judul di atas berupa cetakan.

Sebuah di antaranya diusahakan oleh muridnya bernama Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani yang dicetak kombinasi dengan Janiyatuts Tsmarat, cetakan pertama oleh Matba'ah al-Miriyah, Makkah tahun 1325 H.

Judul lengkap karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang dibicarakan ini ialah Tadrijus Shibyan ila Tasywiqil Bayan, kemudian disyarah oleh muridnya Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani. Pada bahagian tepi cetakan terdapat berupa matan karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang tersebut di atas.

Selain cetakan yang diusahakan oleh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, ada lagi yang pernah diusahakan oleh anak beliau iaitu Kadi Haji Wan Ismail bin Sheikh Ahmad al-Fathani dan Majlis Ugama Islam Kelantan. Dicetak tahun 1349 H dan ditashhih oleh Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad atau lebih dikenali Tok Kenali, salah seorang murid kesayangan beliau.

* Ilmu Hisab dan Falak

Sheikh Ahmad al-Fathani dan Sheikh Ahmad Khatib al-Minankabawi adalah ulama nusantara yang berhasil mengkaderkan murid-muridnya dalam bidang ilmu hisab dan ilmu falak pada penghujung abad 19 atau awal abad 20.

Titik tolak penyebaran ilmu hisab dan ilmu falak di nusantara secara luas adalah dari kedua-dua ulama Patani dan Minangkabau itu.

Di antara murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang sangat terkenal dalam bidang ilmu tersebut ialah:

*Sheikh Muhammad Nur al-Fathani (Kadi Mekah), pernah mengajar di Terengganu

*Sheikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani (Makkah) pernah mengajar di Siak Seri Inderapura,

*Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani

*Sheikh Tahir Jalaluddin (Minangkabau) tinggal di Semenanjung Melayu

*Sheikh Muhammad Jamil Jambek (Minangkabau), Haji Umar Nuruddin Sungai Keladi (Kelantan)

*Haji Ismail bin Abdul Majid (Kelantan), pernah menjadi Mufti Pontianak dan mengajar ilmu tersebut di sana.

*Haji Hasan bin Yahya al-Jawi al-Jambi, dan ramai lagi.

Adapun mengenai penulisan Ilmu Hisab dan Ilmu Falak oleh Sheikh Ahmad al-Fathani semuanya dalam bahasa Arab dan masih berupa manuskrip. Karya beliau tentang Ilmu Hisab ialah: Tahqiq Matnis Sakhawiyah fi 'Ilmil Hisab, 1304 H/1886 M.

Ada pun karya Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai Ilmu Hisab dan Ilmu Falak, gabungan kedua-duanya, ialah: Tahqiq Wasilatith Thullab li Ma'rifati A'malil Laili wan Nahari bi Thariqil Hisab, 1305 H/1887 M. Mengenai ilmu fFalak sahaja ialah: Ghayatul Idrak fil 'Amali bi Kuratil, 1313 H/1895 M dan Risalah fil 'Amal bi Rubu'id Dairah, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan.

Ulama Patani yang juga murid Sheikh Ahmad al-Fathani, yang menulis tentang Ilmu Hisab dan Falak ialah Sheikh Muhammad Nur al-Fathani, semua karyanya dalam bahasa Arab, terdapat di Mekah sahaja. Diikuti oleh Sheikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani dan anak beliau iaitu Kiai Haji Muhammad Shalih bin Sheikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani.

Karya Sheikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani berjudul Minhajul Qawim, 1310 H/1892 M, dan karya anak beliau, Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani berjudul Jadwalut Tauqitid Daimiy.

*Ilmu Thib

Ilmu thib atau ilmu perubatan, yang dimaksudkan di sini ialah perubatan menurut tradisi Islam atau yang dibenarkan oleh syarak.

Di Nusantara ulama yang pertama menulis ilmu ini berasal dari Arab keturunan Abbasiyah, pindah ke Aceh, kemudian ke Patani. Beliau ialah Sheikh Shafiyuddin al-'Abbasi (tiba di Fathani Darus Salam tahun 802 H/1400 M). Karya beliau mengenai ini ialah Sia-Sia Berguna. Manuskrip yang dijumpai adalah salinan Sheikh Abdul Qadir bin Mushthafa al-Fathani.

Sheikh Ahmad al-Fathani adalah ulama nusantara yang pertama menjadi tabib. Di antara penulisan ilmu thib Sheikh Ahmad al-Fathani ialah: Luqthatul 'Ajlan fima Tamassa 'ilaihi Hajatul Insan, 1301 H/1883 M, Thaiyibul Ihsan fi Thibbil Insan, disingkat Thaiyibul Ihsan saja, 1312 H/1894 M.

Selain itu dimuat dalam beberapa halaman karyanya Hadiqatul Azhar, juga dijumpai catatan-catatan beliau berupa manuskrip mengenai perubatan dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu, yang semuanya ada dalam simpanan penulis.

Daripada sekian ramai murid beliau dalam bidang ilmu-ilmu yang lain, hanya seorang yang berbakat dalam ilmu perubatan iaitu Raja Haji Ahmad Thabib Riau. Beliau pernah mempraktikkan pembedahan pesakit dengan menggunakan alat-alat daripada sembilu (buluh) yang dicipta sendiri.

Raja Haji Ahmad Thabib Riau adalah tabib Riau-Lingga yang terakhir; beliau juga meninggalkan risalah-risalah mengenai perubatan.

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0608&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Sunday, 24 June 2012

Karya ulama Patani rujukan nusantara


 
Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SAGHIR ABDULLAH

 










Tengku Mahmud Zuhdi Al-Fathani






 

Pendahuluan

Ulama silam nusantara, termasuk ulama silam Patani, akur bahawa rujukan dalam Islam yang paling utama adalah al-Quran dan Hadis. Namun, mereka tetap memerlukan rujukan yang banyak dengan berbagai-bagai disiplin ilmu yang dikarang oleh para ulama Islam.

Oleh itu, mereka mengukuhkan istilah pegangan dengan al-Quran, hadis, ijmak ulama dan Qias as-Shahih. Mereka menolak untuk menentukan segala persoalan Islam berdasarkan pemikiran akal semata-mata.

Sebagaimana telah maklum bahawa jumlah karangan yang dihasilkan oleh ulama Patani adalah cukup banyak, tetapi yang dibicarakan ini hanya karya-karya yang menjadi rujukan sahaja.

Demikian juga dalam karangan yang demikian banyak telah membicarakan kepelbagaian disiplin ilmu. Untuk perbicaraan tersebut, penulis dahulukan tiga disiplin ilmu iaitu fiqh, usuluddin dan tasauf.

Setelah ketiga-tiga ilmu tersebut dibahas, disentuh pula ilmu-ilmu lain yang dianggap relevan sebagai pelengkap. Bagi karya-karya dalam ilmu fiqh, penulis bicarakan dengan membuat pembahagian berdasarkan ulama-ulama Patani yang terkenal karya-karya fiqhnya. Bahkan terdapat sesetengah kitab-kitab mereka masih diajarkan sehingga kini, di serata Alam Melayu.

Karya Fiqh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani

Dalam tahun 1985, penulis terbitkan buku berjudul Perkembangan Ilmu Fiqhi dan Tokoh-tokohnya di Asia Tenggara (Jilid 1). Di dalamnya penulis sebut secara ringkas peranan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan karya-karya fiqhnya.

Bagi tidak mengulang penulisan dalam beberapa perbicaraan yang sama, di sini penulis ringkaskan beberapa kesimpulan iaitu:

1. Sheikh Daud al-Fathani adalah ulama nusantara yang paling banyak menghasilkan karya fiqh dalam Mazhab Syafie di nusantara.

2. Sheikh Daud al-Fathani adalah ulama Nusantara yang pertama dalam penulisan fiqh Mazhab Syafie di nusantara yang lengkap seluruh judul kitab, rubu', bab dan fasal dengan kitabnya berjudul Hidayatul Muta'allim wa 'Umdatul Mu'allim yang ditulis tahun 1244 H/1828 M.

Adapun kitab fiqh yang pertama oleh Sheikh Nuruddin ar-Raniri berjudul as-Siratul Mustaqimhanya membicarakan kitab ibadah sahaja.

Mengenai ibadat, Sheikh Daud al-Fathani menyusun kitab berjudul Bughyatuth Thullab untuk memperluas kandungan as-Siratul Mustaqim dan Sabilul Muhtadin karya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari.

3. Karya Sheikh Daud al-Fathani berjudul Furu'ul Masail wa Usulul Wasail yang dimulai penulisan tahun 1254 H/1838 M, diselesaikan tahun 1257 H/1841 M. Ini adalah kitab besar yang membicarakan furuk-furuk fiqhiyah (cabang-cabang tersembunyi dalam ilmu fiqh) yang dijadikan rujukan oleh para mufti dalam kerajaan-kerajaan di Nusantara sebagai pengganti kitab Mir'atuth Thullab karya Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri yang tidak banyak diterbitkan.

4. Kitab Melayu/Jawi yang pertama ditulis dalam bentuk syarah juga dimulai dengan karya Sheikh Daud al-Fathani berjudul Sullamul Mubtadi fi Ma'rifati Thariqatil Muhtadi (1252 H/1836 M). Disyarah pula oleh cicit saudara beliau bernama Sheikh Muhammad Nur al-Fathani, iaitu seorang ulama dan Kadi Mekah pada zamannya.

Syarahnya diberi judul Kifayatul Muhtadi fi Syarhi Sulamil Mubtadi, dimulai penulisan di Mekah dan diselesaikan di Madinah, hari Jumaat, 9 Rabiulakhir 1351 H/12 Ogos 1932 M.

5. Kitab fiqh dalam bahasa Melayu yang dapat diklasifikasikan kitab lengkap kitab, rubu', bab dan fasal termasuk kitab tebal karya Sheikh Daud al-Fathani selain Furu'ul Masail ialah Fathul Mannan li Safwatiz Zubad (1249 H/1832 M) dan al-Jawahirus Saniyah (1252 H/1836 M).

Adapun Kitab Fathul Mannan tersebut pernah digunakan sebagai rujukan di kerajaan Sambas dan kerajaan Mempawah (Indonesia). Bahkan kitab tersebut juga pernah dihadiahkan oleh Sheikh Abdur Rahman al-Fathani kepada Raden Anom Kesuma Negara Mempawah.

Jauh sebelum penghadiahan itu, Sheikh Daud al-Fathani juga pernah datang ke Sambas dan sempat menghadiahkan beberapa kitab kepada beberapa orang muridnya di Sambas, di antaranya Mufti Sheikh Abdus Samad Sambas dan juga kepada Sultan Sambas sendiri.

Karya fiqh Sheikh Muhammad bin Ismail bin Ahmad al-Fathani @ Sheikh Muhammad Shaghir al-Fathani (Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani)

Cucu saudara Sheikh Daud al-Fathani bernama Sheikh Muhammad bin Ismail bin Ahmad al-Fathani atau Sheikh Muhammad Shaghir al-Fathani atau gelaran yang terkenal dengan Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani muncul dengan karya fiqhnya yang sangat popular iaitu, Mathla'ul Badrain wa Majma'ul Bahrain.

Kitab tersebut sangat terkenal di seluruh pelosok Nusantara, bahkan sehingga kini masih banyak orang mengajarnya. Hanya kitab Mathla'ul Badrain sahaja satu-satunya kitab yang telah dikarang sebuah kamus untuknya.

Kamus tersebut diberi judul Suluh Mathla'ul Badrain (cetakan 1941) karya Haji Abdul Ghani bin Yahya yang berasal dari Johor. Dalam tahun 1413H/1993 M diterbitkan Mathla'ul Badrain yang dirumi/dilatinkan dengan perubahan bahasa dari bahasa Melayu klasik kepada bahasa yang berkembang sekarang, diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Pada akhir usianya, Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani juga menyusun kitab fiqh mengenai ibadat yang tebal berjudul al-Bahrul Wafi wan Nahrus Shafi (1331 H/1912 M.

Karya beliau ini merupakan sebuah karya paling lengkap dalam membicarakan perkara ibadat, terutama pada bab Haji dan Umrah. Adalah diakui bahawa kitab ini merupakan kitab paling lengkap untuk rujukan dan panduan bakal-bakal jemaah Haji dan umrah di Malaysia.

Pengedaran kitab ini masih terus menerus ada permintaannya sehingga kini, di mana syarikat penerbitan penulis sendiri iaitu Khazanah Fathaniyah, merupakan satu-satunya penerbit dan pengedar tunggal bagi kitab tersebut di seluruh Malaysia.

Berdasarkan perkembangan ini, tidak keterlaluan dikatakan bahawa pengaruh karya-karya ulama silam masih relevan untuk digunapakai sehingga zaman moden ini. Walaupun tidak dinafikan begitu bahasa-bahasanya memerlukan pemahaman yang tinggi.

Karya Fiqh Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani

Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani menyusun kitab Kasyful Litsam 'an as-Ilatil Anam yang diselesaikan tahun 1307 H/1889 M, yang juga hampir serupa dengan kitab Furu'ul Masail karya Syeikh Daud Abdullah al-Fathani.

Kandungannya juga membicarakan furuk-furuk Fiqhiyyah. Karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani tentang fiqh yang lain, adalah Irsyadul 'Ibad ila Sabilir Rasyad, tanpa dinyatakan tahun selesai. Ia membicarakan bab jenazah dan cara-cara mengerjakan fidyah yang berasal dari Mazhab Hanafi, boleh dikerjakan dalam Mazhab Syafie Manfaat Bagi 'Awam' Muslimin, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan.

Beliau membicarakan tentang makruh rokok menurut yang disepakati jumhur ulama asy-Syafieyah, merupakan ulasan karangan Saiyid Ahmad bin Muhammad bin Husein al-'Aiderus Terengganu yang mengharamkan rokok.

Karya Fiqh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani

Sheikh Ahmad al-Fathani sekurang-kurangnya menyelesaikan tiga judul kitab fiqh dalam bahasa Melayu yang pernah diterbitkan dan sebuah dalam bahasa Arab yang tidak sempat diterbitkan.

Kitab-kitab tersebut ialah al-Bahjatul Mubtadin wa Farhatul Mujtadin (1310 H/1893 H), 'Unwanul Falah wa 'Unfuwanul Shalah (1319 H/1902 M) dan al-Fatawal Fathaniyah.

Mengenai al-Fatawal al-Fathaniyah telah penulis transliterasi dari tulisan Melayu/Jawi ke Latin/Rumi dan telah diterbitkan tiga jilid.

Selain kitab-kitab fiqh susunan beliau sendiri, Sheikh ahmad al-Fathani turut terlibat dalam fiqh nusantara, sebagai pentashhih pertama dan penyebar kitab-kitab fiqh yang dikarang oleh ulama-ulama nusantara yang terdahulu daripada beliau.

Kitab-kitab fiqh yang ditashih oleh beliau adalah:

nAs-Siratul Mustaqim

nSabilul Muhtadin

nFuru'ul Masail

nMir'atuth Thullab

nSullamul Mubtadi

nFathul Mannan

nAl-Jawahirus Saniyah

nMathla'ul Badrain dan

nKasyful Litsam

Sebuah kitab fiqh bahasa Arab yang terkenal di kalangan Mazhab syafie, yang diajarkan banyak tempat di seluruh dunia Islam berjudul I'anatuth Thalibin oleh Saiyid Abu Bakri Syatha juga ditashih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani.

Menurut riwayat, bahawa 35 orang ulama Mazhab Syafie di Makkah, termasuk Saiyid Abu Bakri Syatha (1266 H/1849 M-1310 M/1892 M) dan Saiyid Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki (1233 H/1817 M-1335 H/1918 M), memberi kepercayaan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani untuk mentashih, menyemak dan membetulkan kandungan dan bahasa kitab tersebut jika terdapat kekeliruan.

Pada cetakan-cetakan awal I'anatuth Thalibin turut dilampirkan syair Sheikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Arab. Syair beliau mendapat kepujian pertama ketika diadakan pertandingan khusus untuk menilai kitab itu.

Karya Fiqh Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif (Tok Kelaba)

Murid Sheikh Ahmad al-Fathani, juga murid Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani bernama Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif atau lebih terkenal dengan gelaran Tok Kelaba (1280 H/1863 M-1367 H/1947 M).

Beliau menyusun beberapa kitab dalam bahasa Arab dan bahasa melayu. Kitab fiqhnya yang terbesar ialah Hadaiqus Shalawat fil Khalawat wal Jalawat. Manuskrip kitab ini ada dalam simpanan penulis, dan merupakan kitab yang terbesar karya Tok Kelaba, yang melebihi 2,000 halaman.

Halaman sebenar tidak diketahui kerana sekian banyak halaman pada bahagian akhir rosak dan ada yang hilang. Perbicaraan khusus kitab ini adalah mengenai sembahyang yang dilengkapi dengan berbagai-bagai sembahyang sunat, perbahasan secara teliti berbagai-bagai wirid, doa, hizib, zikir, selawat dan lain-lain.

Karya Fiqh Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani

Ulama Patani yang sangat keras menentang golongan tajdid/reformis Islam ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani (1293 H/1876 M-1956 M).

Karya fiqhnya yang mempertahankan pegangan tradisional bermazhab ialah Tazkiyatul Anzhar wa Tashfiyatul Afkar (1339 H/1920 M), yang membicarakan kandungan kitab ini adalah menolak beberapa pemikiran kaum muda.

Di antara ulama yang membenarkan kandungan kitab ini ialah Sheikh Muhammad Nur al-Fathani, Sheikh Muhammad bin Abdul Qadir al-Fathani, Sheikh Yahya Legih ar-Ramani al-Fathani, Sheikh Ismail/Pak De 'El bin Abdul Qadir al-Fathani, Sheikh Muhammad Nashir al-Fathani. Selain ulama Patani pula ialah Sheikh Muhammad Mukhtar bin 'Atharid Bogor, Sheikh Abdul Qadir bin Shabir al-Mandaili dan Sheikh Abdul Haq.

Tengku Mahmud Zuhdi juga membela pendapat fidyah sembahyang dan puasa, menurut Mazhab Hanafi dalam risalah beliau 'Pemudahan Yang Disayang Pada Menggugurkan Barang Yang Di Atas Mayat Daripada Huquq Dan Puasa Dan Sembahyang'.

Pada bahagian akhir risalah sekali gus mengemukakan hujah-hujah mengenai tahlil termasuk membaca surah al-Ikhlas yang ditujukan pahalanya kepada orang mati.

PENUTUP

Untuk perbicaraan karya-karya ulama Patani dalam disiplin ilmu yang lain akan dilanjutkan pada ruangan seterusnya. Antara yang akan diketengahkan adalah menyentuh karya-karya dalam bidang usuluddin, tasauf, tafsir al-Quran, tajwid, hadis, ilmu nahu dan saraf, Ilmu Balaghah, ilmu Hisab dan Falak dan ilmu Thib.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0525&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive