Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SAGHIR ABDULLAH
Tengku Mahmud Zuhdi Al-Fathani |
Pendahuluan
Ulama silam nusantara, termasuk ulama silam Patani, akur bahawa rujukan dalam Islam yang paling utama adalah al-Quran dan Hadis. Namun, mereka tetap memerlukan rujukan yang banyak dengan berbagai-bagai disiplin ilmu yang dikarang oleh para ulama Islam.
Oleh itu, mereka mengukuhkan istilah pegangan dengan al-Quran, hadis, ijmak ulama dan Qias as-Shahih. Mereka menolak untuk menentukan segala persoalan Islam berdasarkan pemikiran akal semata-mata.
Sebagaimana telah maklum bahawa jumlah karangan yang dihasilkan oleh ulama Patani adalah cukup banyak, tetapi yang dibicarakan ini hanya karya-karya yang menjadi rujukan sahaja.
Demikian juga dalam karangan yang demikian banyak telah membicarakan kepelbagaian disiplin ilmu. Untuk perbicaraan tersebut, penulis dahulukan tiga disiplin ilmu iaitu fiqh, usuluddin dan tasauf.
Setelah ketiga-tiga ilmu tersebut dibahas, disentuh pula ilmu-ilmu lain yang dianggap relevan sebagai pelengkap. Bagi karya-karya dalam ilmu fiqh, penulis bicarakan dengan membuat pembahagian berdasarkan ulama-ulama Patani yang terkenal karya-karya fiqhnya. Bahkan terdapat sesetengah kitab-kitab mereka masih diajarkan sehingga kini, di serata Alam Melayu.
Karya Fiqh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani
Dalam tahun 1985, penulis terbitkan buku berjudul Perkembangan Ilmu Fiqhi dan Tokoh-tokohnya di Asia Tenggara (Jilid 1). Di dalamnya penulis sebut secara ringkas peranan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan karya-karya fiqhnya.
Bagi tidak mengulang penulisan dalam beberapa perbicaraan yang sama, di sini penulis ringkaskan beberapa kesimpulan iaitu:
1. Sheikh Daud al-Fathani adalah ulama nusantara yang paling banyak menghasilkan karya fiqh dalam Mazhab Syafie di nusantara.
2. Sheikh Daud al-Fathani adalah ulama Nusantara yang pertama dalam penulisan fiqh Mazhab Syafie di nusantara yang lengkap seluruh judul kitab, rubu', bab dan fasal dengan kitabnya berjudul Hidayatul Muta'allim wa 'Umdatul Mu'allim yang ditulis tahun 1244 H/1828 M.
Adapun kitab fiqh yang pertama oleh Sheikh Nuruddin ar-Raniri berjudul as-Siratul Mustaqimhanya membicarakan kitab ibadah sahaja.
Mengenai ibadat, Sheikh Daud al-Fathani menyusun kitab berjudul Bughyatuth Thullab untuk memperluas kandungan as-Siratul Mustaqim dan Sabilul Muhtadin karya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
3. Karya Sheikh Daud al-Fathani berjudul Furu'ul Masail wa Usulul Wasail yang dimulai penulisan tahun 1254 H/1838 M, diselesaikan tahun 1257 H/1841 M. Ini adalah kitab besar yang membicarakan furuk-furuk fiqhiyah (cabang-cabang tersembunyi dalam ilmu fiqh) yang dijadikan rujukan oleh para mufti dalam kerajaan-kerajaan di Nusantara sebagai pengganti kitab Mir'atuth Thullab karya Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri yang tidak banyak diterbitkan.
4. Kitab Melayu/Jawi yang pertama ditulis dalam bentuk syarah juga dimulai dengan karya Sheikh Daud al-Fathani berjudul Sullamul Mubtadi fi Ma'rifati Thariqatil Muhtadi (1252 H/1836 M). Disyarah pula oleh cicit saudara beliau bernama Sheikh Muhammad Nur al-Fathani, iaitu seorang ulama dan Kadi Mekah pada zamannya.
Syarahnya diberi judul Kifayatul Muhtadi fi Syarhi Sulamil Mubtadi, dimulai penulisan di Mekah dan diselesaikan di Madinah, hari Jumaat, 9 Rabiulakhir 1351 H/12 Ogos 1932 M.
5. Kitab fiqh dalam bahasa Melayu yang dapat diklasifikasikan kitab lengkap kitab, rubu', bab dan fasal termasuk kitab tebal karya Sheikh Daud al-Fathani selain Furu'ul Masail ialah Fathul Mannan li Safwatiz Zubad (1249 H/1832 M) dan al-Jawahirus Saniyah (1252 H/1836 M).
Adapun Kitab Fathul Mannan tersebut pernah digunakan sebagai rujukan di kerajaan Sambas dan kerajaan Mempawah (Indonesia). Bahkan kitab tersebut juga pernah dihadiahkan oleh Sheikh Abdur Rahman al-Fathani kepada Raden Anom Kesuma Negara Mempawah.
Jauh sebelum penghadiahan itu, Sheikh Daud al-Fathani juga pernah datang ke Sambas dan sempat menghadiahkan beberapa kitab kepada beberapa orang muridnya di Sambas, di antaranya Mufti Sheikh Abdus Samad Sambas dan juga kepada Sultan Sambas sendiri.
Karya fiqh Sheikh Muhammad bin Ismail bin Ahmad al-Fathani @ Sheikh Muhammad Shaghir al-Fathani (Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani)
Cucu saudara Sheikh Daud al-Fathani bernama Sheikh Muhammad bin Ismail bin Ahmad al-Fathani atau Sheikh Muhammad Shaghir al-Fathani atau gelaran yang terkenal dengan Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani muncul dengan karya fiqhnya yang sangat popular iaitu, Mathla'ul Badrain wa Majma'ul Bahrain.
Kitab tersebut sangat terkenal di seluruh pelosok Nusantara, bahkan sehingga kini masih banyak orang mengajarnya. Hanya kitab Mathla'ul Badrain sahaja satu-satunya kitab yang telah dikarang sebuah kamus untuknya.
Kamus tersebut diberi judul Suluh Mathla'ul Badrain (cetakan 1941) karya Haji Abdul Ghani bin Yahya yang berasal dari Johor. Dalam tahun 1413H/1993 M diterbitkan Mathla'ul Badrain yang dirumi/dilatinkan dengan perubahan bahasa dari bahasa Melayu klasik kepada bahasa yang berkembang sekarang, diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Pada akhir usianya, Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani juga menyusun kitab fiqh mengenai ibadat yang tebal berjudul al-Bahrul Wafi wan Nahrus Shafi (1331 H/1912 M.
Karya beliau ini merupakan sebuah karya paling lengkap dalam membicarakan perkara ibadat, terutama pada bab Haji dan Umrah. Adalah diakui bahawa kitab ini merupakan kitab paling lengkap untuk rujukan dan panduan bakal-bakal jemaah Haji dan umrah di Malaysia.
Pengedaran kitab ini masih terus menerus ada permintaannya sehingga kini, di mana syarikat penerbitan penulis sendiri iaitu Khazanah Fathaniyah, merupakan satu-satunya penerbit dan pengedar tunggal bagi kitab tersebut di seluruh Malaysia.
Berdasarkan perkembangan ini, tidak keterlaluan dikatakan bahawa pengaruh karya-karya ulama silam masih relevan untuk digunapakai sehingga zaman moden ini. Walaupun tidak dinafikan begitu bahasa-bahasanya memerlukan pemahaman yang tinggi.
Karya Fiqh Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani
Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani menyusun kitab Kasyful Litsam 'an as-Ilatil Anam yang diselesaikan tahun 1307 H/1889 M, yang juga hampir serupa dengan kitab Furu'ul Masail karya Syeikh Daud Abdullah al-Fathani.
Kandungannya juga membicarakan furuk-furuk Fiqhiyyah. Karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani tentang fiqh yang lain, adalah Irsyadul 'Ibad ila Sabilir Rasyad, tanpa dinyatakan tahun selesai. Ia membicarakan bab jenazah dan cara-cara mengerjakan fidyah yang berasal dari Mazhab Hanafi, boleh dikerjakan dalam Mazhab Syafie Manfaat Bagi 'Awam' Muslimin, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan.
Beliau membicarakan tentang makruh rokok menurut yang disepakati jumhur ulama asy-Syafieyah, merupakan ulasan karangan Saiyid Ahmad bin Muhammad bin Husein al-'Aiderus Terengganu yang mengharamkan rokok.
Karya Fiqh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani
Sheikh Ahmad al-Fathani sekurang-kurangnya menyelesaikan tiga judul kitab fiqh dalam bahasa Melayu yang pernah diterbitkan dan sebuah dalam bahasa Arab yang tidak sempat diterbitkan.
Kitab-kitab tersebut ialah al-Bahjatul Mubtadin wa Farhatul Mujtadin (1310 H/1893 H), 'Unwanul Falah wa 'Unfuwanul Shalah (1319 H/1902 M) dan al-Fatawal Fathaniyah.
Mengenai al-Fatawal al-Fathaniyah telah penulis transliterasi dari tulisan Melayu/Jawi ke Latin/Rumi dan telah diterbitkan tiga jilid.
Selain kitab-kitab fiqh susunan beliau sendiri, Sheikh ahmad al-Fathani turut terlibat dalam fiqh nusantara, sebagai pentashhih pertama dan penyebar kitab-kitab fiqh yang dikarang oleh ulama-ulama nusantara yang terdahulu daripada beliau.
Kitab-kitab fiqh yang ditashih oleh beliau adalah:
nAs-Siratul Mustaqim
nSabilul Muhtadin
nFuru'ul Masail
nMir'atuth Thullab
nSullamul Mubtadi
nFathul Mannan
nAl-Jawahirus Saniyah
nMathla'ul Badrain dan
nKasyful Litsam
Sebuah kitab fiqh bahasa Arab yang terkenal di kalangan Mazhab syafie, yang diajarkan banyak tempat di seluruh dunia Islam berjudul I'anatuth Thalibin oleh Saiyid Abu Bakri Syatha juga ditashih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani.
Menurut riwayat, bahawa 35 orang ulama Mazhab Syafie di Makkah, termasuk Saiyid Abu Bakri Syatha (1266 H/1849 M-1310 M/1892 M) dan Saiyid Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki (1233 H/1817 M-1335 H/1918 M), memberi kepercayaan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani untuk mentashih, menyemak dan membetulkan kandungan dan bahasa kitab tersebut jika terdapat kekeliruan.
Pada cetakan-cetakan awal I'anatuth Thalibin turut dilampirkan syair Sheikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Arab. Syair beliau mendapat kepujian pertama ketika diadakan pertandingan khusus untuk menilai kitab itu.
Karya Fiqh Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif (Tok Kelaba)
Murid Sheikh Ahmad al-Fathani, juga murid Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani bernama Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif atau lebih terkenal dengan gelaran Tok Kelaba (1280 H/1863 M-1367 H/1947 M).
Beliau menyusun beberapa kitab dalam bahasa Arab dan bahasa melayu. Kitab fiqhnya yang terbesar ialah Hadaiqus Shalawat fil Khalawat wal Jalawat. Manuskrip kitab ini ada dalam simpanan penulis, dan merupakan kitab yang terbesar karya Tok Kelaba, yang melebihi 2,000 halaman.
Halaman sebenar tidak diketahui kerana sekian banyak halaman pada bahagian akhir rosak dan ada yang hilang. Perbicaraan khusus kitab ini adalah mengenai sembahyang yang dilengkapi dengan berbagai-bagai sembahyang sunat, perbahasan secara teliti berbagai-bagai wirid, doa, hizib, zikir, selawat dan lain-lain.
Karya Fiqh Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani
Ulama Patani yang sangat keras menentang golongan tajdid/reformis Islam ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani (1293 H/1876 M-1956 M).
Karya fiqhnya yang mempertahankan pegangan tradisional bermazhab ialah Tazkiyatul Anzhar wa Tashfiyatul Afkar (1339 H/1920 M), yang membicarakan kandungan kitab ini adalah menolak beberapa pemikiran kaum muda.
Di antara ulama yang membenarkan kandungan kitab ini ialah Sheikh Muhammad Nur al-Fathani, Sheikh Muhammad bin Abdul Qadir al-Fathani, Sheikh Yahya Legih ar-Ramani al-Fathani, Sheikh Ismail/Pak De 'El bin Abdul Qadir al-Fathani, Sheikh Muhammad Nashir al-Fathani. Selain ulama Patani pula ialah Sheikh Muhammad Mukhtar bin 'Atharid Bogor, Sheikh Abdul Qadir bin Shabir al-Mandaili dan Sheikh Abdul Haq.
Tengku Mahmud Zuhdi juga membela pendapat fidyah sembahyang dan puasa, menurut Mazhab Hanafi dalam risalah beliau 'Pemudahan Yang Disayang Pada Menggugurkan Barang Yang Di Atas Mayat Daripada Huquq Dan Puasa Dan Sembahyang'.
Pada bahagian akhir risalah sekali gus mengemukakan hujah-hujah mengenai tahlil termasuk membaca surah al-Ikhlas yang ditujukan pahalanya kepada orang mati.
PENUTUP
Untuk perbicaraan karya-karya ulama Patani dalam disiplin ilmu yang lain akan dilanjutkan pada ruangan seterusnya. Antara yang akan diketengahkan adalah menyentuh karya-karya dalam bidang usuluddin, tasauf, tafsir al-Quran, tajwid, hadis, ilmu nahu dan saraf, Ilmu Balaghah, ilmu Hisab dan Falak dan ilmu Thib.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0525&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[...] Karya ulama Patani rujukan nusantara [...]
ReplyDelete