Monday, 28 January 2013
Nasihat Ayah Der Sekam kepada Penuntut Ilmu Usuluddin
(Ini Suatu) Peringatan, ayuhai kaum-kaumku belajarlah kamu akan Ilmu I’tiqod ini beri lepas kamu daripada nama muqollid iaitu dengan bahawa kamu belajar diguru-guru yang sengoti (sungguh/betul) pandainya (Ilmu I’tiqod) dan (sengoti) mengetahuinya (Ilmu I’tiqod). Dan janganlah kamu buat cota (contoh) dan tiru akan orang-orang yang seperti itu maka tertipulah kamu dan rugilah (rugi akhirat) kamu kemudian daripada mati kamu.
Dan hendaklah kamu reti akan makna zat dan makna sifat dan makna jisim jauhar firid dan makna ‘aradh. Janganlah kamu jadikan diri-diri kamu yang bersih-bersih itu masuk didalam (golongan) orang-orang yang dengar-dengar khabar nama yang tersebut jua dengan tidak kenal akan (hakikat) benda-benda sendiri.
Maka banyaklah kita terima kasih (syukur) kepada budi (jasa baik) tuhan yang membezakan kita dengan binatang-binatang yang lain itu dengan pandai begamak (fikir) dan berfikir, maka silakanlah kita belajar hukum-hukum aqal dan hukum-hukum ‘adat supaya jangan jadi semabul (kesamaran) kita antara keduanya (hukum aqal dan adat). Maka jadilah i’tiqod kita kepada barang yang bersangkut paut dengan tuhan dan rasul dan sebagainya itu kurang kejap dan jika kejap sekalipun maka dengan dakwa bibir mulut jua yang ialah hakikatnya dinamakan taqlid jika secukup-cukup lancar pada sebutan sekalipun maka yang taqlid pada ‘aqaid itu besarlah ruginya jika orang itu daripada ahli berfikir. Dan ibadat yang ia kerja itu tidak diyakin akan sahnya.
Dan hendaklah kamu reti apa benda yang ada dan apa benda yang semata-mata sungguh dan sengoti jua. Maka ini-ini perkara ialah dikatakan beberapa tangga bagi nak mengertikan (memberi faham) Ilmu Usuluddin ini. Maka bolehlah dikatakan yang tak kenal yang tersebut itu ialah (orang) yang tak pandai dan tak reti Ilmu Usuluddin. Maka macam manakah nak laba (untung) berniaga kerana modalnya tidak ada.
Dan hendaklah kamu tahu bahawasanya orang-orang yang pelihara angin-angin (sombong dan takabbur) itu besar mudhorat dan jadi penyakit bagi diri sendiri maka tentulah sebodo-bodo (sebodoh-bodoh) manusia. Harap hamba kepada yang pandai-pandai yang melihatkan risalah (kitab taqribul ikhwan) ini bahawa jangan cepat celanya dan cercanya, kemudian kalau ada yang saudara tak puas hati maka haraplah saudara menanya-nanyakan (bertanya) dengan baik akan yang pandai-pandai yang sejati menerima ilmu daripada guru Pak Da ‘Eil Fathoni atau yang sejati bertali (berhubung) dengan hamba yang dho’if ini.
Dan kata tak boleh pakai itu tak payah dan tak kena fikir dan belajar dan berguru sehingga siapa-siapa pun yang tak bisu itu boleh kata. Maka yang payah yang telah masyhur daripada tok-tok nenek lagi itu ialah nazhor, yakni berfikir (tilik) pada serba-serbi ilmu dan menghalusi akan cakapan-cakapan (‘ibarat-‘ibarat) ulama’ yang muhaqqiqin (yang tahqiq ilmu yakni apabila mengeluarkan sesuatu hukum mesti beserta dan bersandarkan dalil). Maka ini perkara tidak sayugiya (patut) dengan gaduh gundah (terburu-terburu) yang ialah daripada perangai syaitan lagi pula ini perkara tak berhajat kepada membesarkan cakapan dan menderaskan suara lagi pula hendak saudaraku ingat bahawanya menang atau kalah bicara hukum-hukum itu lain ia daripada betul maka yang berharga itu ialah betul jua. Maka inilah (betul) yang disuruh ambilkan dia (betul) jika dikatakan disisi ‘awam (kebanyakan orang) kalah sekalipun.
Ini nasihat terhadap kepada kaum-kaum hamba jua, tetapi boleh jugak saudara-saudara yang muslimin yang dho’if-dho’if ambil pakai sehari dua sementara dapat nasihat yang terlebih besar dan terlebih elok.
والله اعلم بالصواب واليه المرجع والمئاب
*Kesimpulan daripada nasihat Ayah Der Sekam :
1) Belajarlah Ilmu Usuluddin sampai ke peringkat yakin dan lepas daripada peringkat taqlid.
2) Antara tangga (wasilah) untuk memahami Ilmu Usuluddin ialah dengan mengenal maksud zat, sifat, jirim, ‘aradh, jauhar firid, jisim. Dan juga mengetahui maksud hukum ‘aqal dan ‘adat serta mengetahui maksud benda yang ada dan benda yang sungguh.
3) Janganlah terlalu mudah dan cepat mengkritik ulama’ dan kitab-kitab mereka. Rujuklah kepada mereka yang ahli dalam suatu bidang ilmu tersebut.
Rujukan: Kitab Taqribul Ikhwan oleh Abdul Qadir bin Wan Ngah Waqaf Budi Sekam.
Labels:
AQIDAH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment