Friday, 29 June 2012

Penulisan hadis tokoh ulama Nusantara


 
Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 

PERBICARAAN ini adalah lanjutan dari ruangan yang lepas yang menyentuh mengenai perkembangan penulisan hadis ulama Asia Tenggara. Pada ruangan lepas telah disentuh dua perkara, iaitu: catatan mengenai Isnad ulama Asia Tenggara dan kitab-kitab hadis Melayu peringkat awal. Rentetan dari itu, perbicaraan ini diteruskan dengan penulisan hadis ulama-ulama yang berkaitan.

Kesemua sejarah biografi ulama-ulama yang terlibat dalam penulisan hadis ini pernah dibicarakan sebelumnya. Penumpuan perbicaraan untuk kali ini pula hanya kepada penulisan-penulisan hadis ulama Asia Tenggara tersebut. Berikut adalah sebahagian ulama-ulama yang berkait berdasarkan kajian penulis, iaitu:

Penulisan hadis Sheikh Abdullah Bin Abdul Mubin Al-Fathani

Ulama Fathani Darus Salam yang sezaman dengan Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri ialah Sheikh Abdul Mubin bin Muhammad Jailani Pauh Bok al-Fathani. Beliau menghasilkan karya-karya Sufi, tetapi belum ditemui karyanya mengenai hadis.

Dua orang anak beliau yang menjadi ulama, iaitu Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani (dikenali dengan nama Tok Lubuk oleh masyarakat Brunei Darussalam), manakala seorang lagi bernama Sheikh Abdullah bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani.

Sheikh Abdullah menghasilkan sebuah kitab hadis berjudul Tanbihul Ghafilin, yang diselesaikan penulisannya tahun 1184 H/1770 M. Kitab tersebut juga masih beredar di pasaran kitab.

Karyanya yang pertama ilah terjemahan Tanbihul Ghafilin karya Sheikh Abu Laits as-Samarqandi. Terdapat tiga versi terjemahan beliau, ada yang lengkap merupakan terjemahan keseluruhan kandungan kitab asalnya. Namun, yang beredar di pasaran hanyalah merupakan terjemahan petikan-petikan kandungannya saja.

Versi yang sebuah lagi lebih lengkap daripada yang pernah diterbitkan. Dua versi yang agak lengkap tidak pernah dicetak. Beberapa manuskrip daripada ketiga-tiga versi tersebut telah dijumpai penulis, sekali gus menjadikannya koleksi sebagai bahan-bahan rujukan.

Penulisan hadis Sheikh Daud Bin Abdullah Al-Fathani

Di kalangan masyarakat pengajian Islam tradisional Asia Tenggara, nama Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah tidak asing lagi bagi mereka. Namun bagi sesetengah orang hanya mengetahui bahawa keterlibatan penulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani hanyalah dalam ilmu-ilmu tauhid, fiqh dan tasawuf saja.

Memang diakui ketiga-tiga ilmu itulah yang paling banyak ditulisnya, tetapi bukan bererti ilmu-ilmu lain tidak beliau tulis. Beberapa buah kitab mengenai hadis karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga dapat dikesan. Disenaraikan kitab-kitab itu berserta dengan keterangan ringkas mengenainya:

1. Faraid Fawaidil Fikri fil Imamil Mahdi, disingkat kepada Hadis Imam Mahdi, diselesaikan malam Sabtu, Zulkaedah 1215 H/1800 M. Kitab tersebut merupakan terjemahan dari karya Sheikh Mirghani bin Yusuf. Lafaz hadis tetap dikekalkan dalam teks, sesudah itu diterjemahkan secara langsung ke dalam bahasa Melayu. Kebanyakan yang terkandung di dalamnya ialah hadis-hadis mengenai Imam Mahdi.

Dalam penelitian penulis, ia merupakan karya yang pertama sekali dalam bahasa Melayu yang membicarakan hadis mengenai Imam Mahdi secara lengkap.

2. Kasyful Ghummah, diselesaikan tahun 1236 H/1822 M. Kitab ini merupakan terjemahan dariKasyful Ghummah karya Sheikh Abdul Wahhab asy-Sya'rani. Cetakan pertama kitab ini (1303 H/1885 M) diusahakan dan ditashhih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani.

3. Hikayat Imam, belum dijumpai. Penulis difahamkan oleh beberapa orang tua-tua di Patani bahawa kitab ini merupakan ilmu rijalil hadis. Dengan demikian dipercayai bahawa Hikayat Imam ini adalah merupakan kitab yang pertama sekali dan merupakan satu-satunya dalam bahasa Melayu yang membicarakan ilmu rijalil hadis.

Jika kita kaji penulisan mengenai rijal hadis dari zaman dulu hingga sekarang, dilihat ilmu rijal hadis memang agak ketinggalan. Bahkan hingga ke zaman kita belum dijumpai karya Melayu yang khusus tentang itu dalam tulisan Rumi/Latin.

4. Dalam beberapa buah karyanya yang bercorak fiqh, tauhid dan tasawuf juga banyak membicarakan hadis. Di antaranya pada mukadimah Bughyatut Thullab banyak diperkenalkan hadis, demikian juga dalam Jam'ul Fawaid, dan lain-lain.

Penulisan hadis Sheikh Nawawi Al-Bantani

Nama lengkap ulama yang berasal dari Banten, yang terkenal ini, ialah Sheikh Muhammad Nawawi bin 'Umar ibnu 'Arabi bin 'Ali al-Bantani al-Jawi (lahir 1230 H/1814 M) adalah cucu murid kepada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Karya yang dihasilkan demikian banyak semuanya berupa syarah yang ditulis dalam bahasa Arab, yang khas membahas mengenai hadis terdapat dua buah, iaitu: Tanqihul Qaulil Hatsits bi Syarhi Lubabil Hadits, yang disingkat kepada Tanqihul Qaul sahaja dan Nashaihul 'Ibad Syarhul Munabbihat 'alal Isti'dad li Yaumil Ma'ad.

Keterangan ringkas mengenai Tanqihul Qaul adalah sebagai yang berikut: Kitab ini adalah merupakan syarah daripada Lubabul Hadits karya Imam Suyuthi. Terdapat dua versi syarah dan dua edisi cetakan yang dilakukan oleh Sheikh Nawawi al-Bantani tersebut, kedua-duanya tanpa menyebut tahun selesai mengerjakan syarah.

Edisi cetakan yang pertama dalam bentuk ukuran kitab tradisional, semua hadis tanpa harakat atau baris. Edisi cetakan yang satu lagi dalam bentuk buku moden, yang semua hadis diberi tanda baris.

Kitab Lubabul Hadits disyarah Sheikh Nawawi al-Bantani dalam bahasa Arab, ada sebuah syarah lagi yang ditulis dalam bahasa Melayu oleh Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani dengan judul Al-Jauharul Mauhub. Kedua-dua ulama itu hidup sezaman di Mekah.

Apabila kita banding kedua-dua syarah yang ditulis ulama yang berasal dari Asia Tenggara itu, kandungannya sangat jauh berbeza. Di antaranya yang sangat ketara ialah pada syarah Sheikh Nawawi al-Bantani, beliau mulai mukadimah lebih menekankan pentingnya "isnad", oleh itu setiap hadis yang termaktub dalam Lubabul Hadits diberi penilaian menurut kaedah "Musthalah Hadits". Sedangkan syarah Sheikh Wan Ali Kutan Kelantan lebih mementingkan syarah menuju kepada perbaikan akhlak dan dihubungkaitkan dengan amalan yang dikerjakan sehari-hari.

Ditinjau dari sudut pengajian akademik moden, syarah Sheikh Nawawi Banten lebih dapat diterima, tetapi untuk kepada masyarakat luas tidak sampai pada sasarannya.

Dalam syarah beliau disebut nama-nama perawi hadis, isnadnya ada yang disebut sanad sahih atau sanad daif dan sebagainya. Sedangkan syarah Sheikh Wan Ali Kelantan semuanya itu tidak dibicarakan, jika ada hanya sedikit sekali, namun bukannya beliau tidak mengetahui perkara itu, tetapi sasaran pendidikan dan dakwah tentunya telah dipertimbangkan supaya tepat pada sasarannya.

Oleh itu syarah Sheikh Wan Ali Kutan sangat meluas penyebarannya kerana karya tersebut lebih menyuburkan bagi tarbiyah rohaniah, yang menyentuh ke lubuk hati yang memang digemari oleh setiap insan baik yang khusus mahupun yang umum.

Mengenai Nashaihul 'Ibad, diselesaikan pada hari Khamis, 21 Safar 1311 H/1893 M, merupakan syarah Munabbihat 'alal Isti'dad li Yaumil Ma'ad, disingkat Munabbihat 'alal Isti'dadsaja, karya Sheikh Syihabuddin Ahmad ibnu Ali bin Muhammad bin Ahmad asy-Syafie atau lebih popular dengan sebut Sheikh Ibnu Hajar al-Asqalani.

Lebih 250 hadis yang dibahas di dalamnya. Pada mukadimah Sheikh Nawawi al-Bantani menyebut bahawa beliau mengambil tabarruk daripada dua buah hadis yang beliau terima daripada dua orang gurunya.

Hadis yang pertama diijazahkan oleh al-Allamah Sheikh Muhammad al-Khatib asy-Syami (al-Madani) al-Hanbali ibnu Uthman bin Abbas, daripada sheikh-sheikh yang berhubung terus hingga sampai kepada Abi Zar al-Ghifari r.a, daripada Nabi SAW.

Hadis yang kedua diijazahkan oleh al-Allamah Saiyid Ahmad al-Marsafi al-Masri, sesudah diijazahkan oleh Saiyid Abdul Wahhab ibnu Ahmad Farahat asy-Syafie, daripada sheikh-sheikh yang musalsal hingga kepada Abdullah ibnu Amru bin al-As, daripada Nabi SAW.

Jika dibandingkan kedua-dua kitab hadis karya Sheikh Nawawi al-Bantani, Tanqihul Qauldengan Nashaihul 'Ibad, maka Nashaihul 'Ibad lebih banyak dikenal oleh masyarakat seluruh Asia Tenggara kerana banyak diajarkan di pelbagai pondok.

Penulisan Hadis Sheikh Wan Ali Kutan

Sebagaimana di atas telah dibandingkan agak ringkas antara syarah Sheikh Nawawi al-Bantani dengan syarah Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani atas sebuah matan hadis Lubab al-Hadits karya Imam as-Suyuthi. Maka sebagai maklumat tambahan, dirasakan perlu karya beliau disenaraikan juga. Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub, disingkat Al-Jauharul Mauhub saja, diselesaikan di Mekah, pada malam Selasa, 2 Jumadil Awwal 1306 H/1888 M.

Cetakan awal kitab ini ditashhih dan diusahakan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, terdapat 27 bait puisi beliau dalam bahasa Arab pada cetakan-cetakan mutawal. Selain terdapat cetakan yang tersendiri kitab Al-Jauharul Mauhub karya Sheikh Wan Ali Kutan ini juga dicetak pada semua cetakan Siyarus Salikin yang diletakkan di bahagian tepinya.

Penulisan hadis Sheikh Ahmad Al-Fathani

Umum telah diketahui dalam apa jenis ilmu keislaman yang berkembang di Asia Tenggara, Sheikh Ahmad al-Fathani terlibat selaku penulisnya termasuk juga mengenai hadis. Mengenai hadis terdapat tulisan beliau dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Di antaranya ialah:Bisyaratul 'Amilin wa Nazaratul Ghafilin, disingkat Bisyaratul 'Amilin, Hadits Memulakan Makan Dengan Garam Dan Disudahi Dengannya, Hadits-hadits Pilihan, Daftar Rijal Hadits, dan lain-lain yang dimuat dalam Hadiqatul Azhar.

Mengenai Bisyaratul 'Amilin wa Nazaratul Ghafilin, kitab hadis ini diselesaikan di Mekah, pada malam Ahad, 14 Rabiul Akhir 1304 H/1887 M. Memperhatikan tahun selesai penulisan kitab hadis ini (1304 H/1887 M) bererti lebih dulu daripada karya Sheikh Wan Ali al-Kalantani, iaitu Al-Jauharul Mauhub (1306 H/1888 M) dan karya Sheikh Nawawi al-Bantani, iaitu Nashaihul 'Ibad(1311 H/1893 M). Namun begitu kedua-dua ulama tersebut adalah sebaya dengan Sheikh Muhammad Zain al-Fathani, ayah Sheikh Ahmad al-Fathani. Bahkan kedua-dua ulama tersebut termasuk dalam senarai guru Sheikh Ahmad al-Fathani juga.

Cetakan pertama kitab ini oleh Matba'ah al- Miriyah Mekah,1304 H/1887 M, kemudian terdapat beberapa edisi cetakan Persama Press, Pulau Pinang. Pada mukadimah Bisyaratul 'Amilin,Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut bahawa beliau tinggalkan sanad hadis kerana untuk keringkasan, lagi pula sudah cukup berpegang kepada pengambilan kitab-kitab yang muktamad lagi masyhur.

Kitab-kitab rujukannya disebut pada halaman akhir kitab tersebut, ialah Riyadhus Shalihinkarya Imam Nawawi, Al-Jami'us Shaghir dan Lubabul Hadits karya Imam Jalaluddin as-Suyuthi , Tanbihul Ghafilin dan Qur-ratul 'Uyun karya Al-Faqih Abi Laits as-Samarqandi , Mukhtasar Tazkirah al- Qurthubi, disingkat Tazkirah al- Qurthubi saja karya Imam Abdul Wahhab asy-Sya'rani dan lain-lain.

Sebagai bukti bahawa Sheikh Ahmad al- Fathani seorang pakar/ahli ilmu-ilmu hadis, terbukti pada jawapan beliau atas pertanyaan hadis yang tersebut dalam Ihya' 'Ulumid Din karya Imam al-Ghazali mengenai menggunakan garam dahulu daripada makan dan disudahi dengannya, apakah hadis itu sahih atau tiada sahih.

Sheikh Ahmad al-Fathani menjawabnya dengan huraian yang agak panjang berdasarkan ilmu Mushthalah Hadis dan menyentuh Rijal Hadis. Beberapa nama ulama dan pendapat mereka, serta kitab-kitab mereka beliau sebut.

Nama kitab dan ulama penyusunnya yang beliau sebut di antaranya ialah: Syarah Ihya Ulumid Din karya Saiyid Muhammad al-Huseini az-Zabidi, Kitab al-Maudhu'at karya Ibnu Jauzi, Kitab as-Sya'bi karya Imam Baihaqi, Kitab Taqribit Tahzib karya Ibnu Hajar al-Asqalani, Al-La-ali al-Mashnu'ah karya Imam al-Hafiz as-Suyuthi, Kitab Akhbar Isbahan karya Abu Abdullah bin Mandah, Kitab Al-La-ali al-Marsu' karya Saiyid Muhammad Abil Mahasin al-Qawaqaji, Asnal Mathalib fi Ahadits, disingkat Asnal Mathalib karya Sheikh Muhammad bin Saiyid Darwisy al-Bairuti, dan lain-lain.

Bahasan hadis oleh Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai ini ditulis dalam bahasa Arab kemudian diterjemahkan oleh anak saudaranya Tuan Guru Haji Daud bin Ahmad al-Fathani, Pondok Bukit Rahmah, Tanah Merah, Kelantan. Sebahagian daripada terjemahannya dimuat dalam Al-Fatawal Fathaniyah karya Sheikh Ahmad al-Fathani. Pada pandangan penulis bahawa karya hadis yang tersebut cukup tinggi nilai ilmiahnya.

Mengenai Hadis-Hadis Pilihan masih berupa manuskrip, belum pernah diterbitkan. Kandungannya merupakan sekumpulan hadis yang penting untuk dihafal sebagai asas. Ada pun mengenai Rijal Hadits juga masih dalam bentuk manuskrip yang tidak lengkap. Karya ini merupakan catatan Sheikh Ahmad al-Fathani tentang nama seseorang ulama hadis dan ulama-ulama lainnya, dengan catatan nama yang panjang seberapa yang boleh diketahui mulai nama diri hingga ke atasnya.

Dicatatkan juga nama guru mereka seberapa yang boleh diketahui serta lengkap dengan sanad dan tahun lahir serta wafatnya. Sungguhpun catatan beliau ini banyak yang hilang (tidak lengkap), bagi penulis sangat penting sebagai asas dan pedoman, kerana mungkin satu ketika nanti pekerjaan tersebut akan diteruskan.

 

SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0302&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

2 comments:

  1. sedap sungguh apa yang ditulis oleh penulisan hadis tokoh nusantara,terima kasihlah yeee...:)

    ReplyDelete