Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Untuk meluaskan penerbitan kitab-kitab Melayu/Jawi, maka Sheikh Ahmad al-Fathani berjuang dan berusaha mendekatkan diri dengan pemilik-pemilik mathba’ah atau percetakan di Mesir, supaya naskhah-naskhah Islam sama ada yang ditulis dalam bahasa Arab mahupun dalam bahasa Melayu terus dibaca dan berkembang.
Beliau bersahabat dengan seorang hartawan Mesir yang bernama Sheikh Mushthafa al-Baby al-Halaby. Sheikh Mushthafa al-Baby al-Halaby melantik Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai penyemak kitab-kitab Arab yang sedang diproses di Mathba’ah Mushthafa al-Baby al-Halaby itu. Ketika itulah Sheikh Ahmad al-Fathani mula mengemukakan pendapat untuk mencetak karangan-karangan ulama yang berasal dari dunia Melayu. Sheikh Mushthafa al-Baby al-Halaby menolak usul Sheikh Ahmad al-Fathani itu kerana memikirkan masalah memasarkan bahan tersebut.
Ini kerana di Mesir dan di tempat-tempat lain di Timur Tengah, orang Melayu didapati tidak begitu ramai. Serentak dengan itu pula, Syarif Mekah tidak membenarkan kitab-kitab selain berbahasa Arab memasuki Mekah dan Madinah. Sheikh Ahmad al-Fathani merasa kecewa kerana usulnya itu ditolak oleh Sheikh Mushthafa al-Baby al-Halaby.
Dalam diam-diam Sheikh Ahmad al-Fathani mencari pihak tertentu sebagai penaung kepada projek yang dirancangnya. Sheikh Ahmad al-Fathani bernasib baik kerana beliau memperoleh modal daripada Al-Amjad al-Kasymiri Fida Muhammad dan anaknya 'Abdul Ghani. Maka berhasillah Sheikh Ahmad al-Fathani mencetak kitab Hidayah as-Salikin karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani di percetakan Sheikh Hasan at-Tukhi, berdekatan Masjid Jami’ Al-Azhar. Kitab itu merupakan kitab Melayu yang pertama dicetak di Mesir.
Oleh kerana Syarif Makkah melarang kemasukan kitab-kitab yang bukan berbahasa Arab ke Mekah dan Madinah, maka secara diam-diam Sheikh Ahmad al-Fathani menghubungi Sultan Abdul Hamid Khan ats-Tsani, Sultan Turki Uthmaniah pada zaman itu.
Sheikh Ahmad al-Fathani faham bahawa Syarif/Raja Mekah adalah di bawah panji-panji kesultanan Turki Uthmaniah juga. Jadi, Sheikh Ahmad al-Fathani berhasrat untuk mengadap Sultan Turki, tetapi sebelum itu beliau terpaksa mengembara ke pelbagai tempat di Timur Tengah dan termasuk ke beberapa tempat di Eropah kerana mempelajari pelbagai perkembangan ilmu teknologi terkini ketika itu, termasuklah teknologi mesin cetak.
Oleh kerana Sultan Turki dapat menerima pandangan-pandangan Sheikh Ahmad al-Fathani, maka beliau dilantik oleh Sultan Turki itu sebagai mengetuai percetakan kerajaan.
Selanjutnya dalam tahun 1307 H/1889 M, Sheikh Ahmad al-Fathani dilantik pula sebagai penasihat Syarif/Raja Mekah, sekali gus diberi kerakyatan Turki Uthmaniah pada 28 Rejab 1307 H/1889 M, demi memudahkan urusan-urusan pentadbiran dan politik.
Perlu penulis sebutkan di sini bahawa pada ketika itu kemajuan mesin cetak di Eropah dan di Timur Tengah begitu pesat berkembang, tetapi malangnya kitab-kitab Islam belum lagi dicetak secara besar-besaran.
Jika dibandingkan teknologi mesin cetak di Eropah dengan dunia Melayu ternyata masih jauh ketinggalan. Percetakan di Eropah dan di Timur Tengah telah menggunakan klise timah, sedangkan di dunia Melayu masih menggunakan litografi (huruf batu).
Begitulah yang dimaksudkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani dalam tulisannya, “Hingga meringkah mereka itu pada mengecapkan segala kitab, yang boleh keluar beberapa banyak ribu naskhah di dalam masa yang sedikit. Sekira-kira jikalau ditulis dengan tangan di dalam masa itu nescaya belum lagi sudah satu naskhah jua ...”
Mengenai percetakan, Sheikh Ahmad al-Fathani pada mulanya bertugas di Mathba’ah al-Miriyah Bulaq, Mesir. Kemudian ditugaskan di Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah. Antara tahun 1300 H/1882 M hingga tahun 1307 H/1889 M, beliau sentiasa berulang alik ke Mesir, Mekah dan Istanbul kerana urusan percetakan. Dengan modal yang diterima dari kerajaan Turki Uthmaniah, maka kitab-kitab Islam mulai dicetak secara besar-besaran termasuklah kitab Melayu/Jawi.
Kitab-kitab yang telah dicetak itu disebarkan ke seluruh dunia Islam. Sehubungan itu, Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani, ulama yang sezaman dengan Sheikh Ahmad al-Fathani menggubah nazham khusus tentang Sultan Turki itu. Katanya,
“Memperbuat cap kitab bersangat bagus itu
Jadilah banyak kitab Melayu diterjemah itu
Banyak suka orang me[n]terjemah akan dianya
Bersungguh-sungguh kerana banyak faedah di atasnya.
Satu kitab sepuluh ribu jadi naskhahnya
Sentiasa panjang pahalanya dan amalnya”
Sebelum kemunculan aktivis Sheikh Ahmad al-Fathani di Timur Tengah, beberapa kitab Melayu/Jawi pernah diproses dengan huruf litografi (huruf batu) yang menurut Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai “Peterapan Sungai Pura”. Di antara tokoh yang terlibat ialah Tengku Yusuf bin Tengku Terengganu. Kitab Furu’ al-Masail dengan huruf litografi pernah dicetak pada tahun 1291 H/1874 M disebutkan sebagai “tercetak di dalam Singapura kampung Tsum Gelam ...”.
Menurut Sheikh Ahmad al-Fathani, ada lagi kitab-kitab yang berupa cetakan awal di Sungai Pura. Semua cetakan litografi dibuat dalam jumlah yang sangat terbatas, atau jumlah yang sedikit.
Bagi memajukan percetakan di dunia Melayu, Sheikh Ahmad al-Fathani melantik beberapa orang muridnya. Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani pada mulanya bertugas di Mekah sebagai pembantu Sheikh Ahmad al-Fathani dalam pentashhihan. Kemudian dilantik memimpin Mathba’ah al-Miriyah al-Kalantaniyah di Kota Bharu, Kelantan.
Pada masa yang sama Raja Ali Kelana mengetuai Mathba’ah al-Miriyah ar-Riyauwiyah, dan kemudiannya dinamakan sebagai Mathba’ah al-Miriyah al-Ahmadiyah. Mathba’ah al-Miriyah al-Kalantaniyah atas kehendak Sultan Kelantan diserahkan kepada Haji Muhammad Daud, iaitu anak Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani. Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani adalah seorang ulama besar, maka Sultan Kelantan melantiknya sebagai guru di istana dan khatib kerajaan Kelantan, lalu terkenallah namanya dengan sebutan Tok Daud Khatib.
Syarikat percetakan yang di Riau mempunyai dua nama iaitu Al-Ahmadiyah dan Riauwiyah. Nama Al-Ahmadiyah itu diberi oleh golongan intelektual Riau sebagai mengenang jasa guru mereka Sheikh Ahmad al-Fathani dalam memperjuangkan penerbitan kitab-kitab secara besar-besaran di Timur Tengah dan dunia Melayu. Nama yang kedua pula ialah sempena dari nama Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi.
Berdasarkan maklumat yang ada pada penulis, Sheikh Ahmad al-Fathani telah melantik Raja Haji Ali Kelana sebagai perintis jalan kepada dunia pentashhihan dan percetakan untuk Riau-Lingga dan Singapura dalam tahun 1302 H/1884 M. Demikian juga halnya kepada saudara sepupunya Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani di Kota Bharu, Kelantan.
Snouck Hurgronje mengatakan, Sheikh Ahmad al-Fathani dilantik oleh kerajaan Turki sebagai pentashhih dalam tahun 1884 M. Tetapi berdasarkan catatan yang penulis temui, Sheikh Ahmad al-Fathani terlibat dalam bidang tersebut lebih awal daripada itu, sekurang-kurangnya dalam tahun 1300 H/1882 M.
Perlu dinyatakan bahawa Mathba’ah Al-Ahmadiah Singapura, tidak sama dengan Mathba’ah Al-Ahmadiyah Riau. Mathba’ah Al-Ahmadiah Singapura adalah cawangan dari Syarkah Al-Ahmadi & Co. di Pulau Midai, Kepulauan Riau. Ilham mendirikan percetakan di Singapura itu datangnya melalui Raja Haji Ahmad bin Raja Haji 'Umar/Tengku Endut dari Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani yang menceritakan cita-cita Sheikh Ahmad al-Fathani dalam bidang percetakan itu.
Syarikat tersebut bermula dari Raja Haji Ahmad yang menghadap Sultan Abdur Rahman Muazzam Syah di Pulau Penyengat. Pada 10 Syaaban 1324 H/17 September 1906 M, didirikan Syarkah Al-Ahmadi di Pulau Midai. Cawangan perniagaannya dibuka di Singapura oleh Raja Ali bin Raja Muhammad/Tengku Nong pada 1 Syaaban 1333 H/14 Jun 1915 M. Percetakannya pula didirikan setelah Raja Haji Ahmad pulang dari Mekah. Kerja-kerja percetakan dilakukan pada 22 Rabiulakhir 1339 H/3 Disember 1920 M.
Kewujudan percetakan di Riau atau pun di Singapura adalah hasil cadangan Sheikh Ahmad al-Fathani. Percetakan di Riau secara langsung diusahakan oleh murid beliau, iaitu Raja Haji Ali Kelana. Percetakan di Singapura pula diusahakan oleh Raja Haji Ahmad. Raja Haji Ahmad tidak sempat bertemu dengan Sheikh Ahmad al-Fathani, kerana Sheikh Ahmad al-Fathani telah meninggal dunia sewaktu beliau ke Mekah. Oleh itu, Raja Haji Ahmad hanya menerima pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani dalam bidang percetakan melalui Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani (Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani) dan Sheikh Daud bin Mushthafa al-Fathani.
Di Patani, Raja Haji Ahmad diberi tugas oleh Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani mendirikan Mathba’ah al-Miriyah al-Fathaniyah tetapi tidak aktif. Setelah sekian lama, kemudian muncul murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang bernama Abu Ahmad Syamsuddin Abdul Mubin al-Jarimi al-Fathani (lahir 1303 H/1885 M, wafat 1367 H/1947 M).
Beliau datang ke Singapura untuk mempelajari mengenai percetakan di Mathba’ah Al-Ahmadiah Singapura kerana beliau tahu percetakan di Patani mengalami kegagalan. Akhirnya beliau membuka syarikat percetakan di Pahang dengan nama Mathba’ah al-Ubudiyah al-Fathaniyah yang terletak di Beserah, Kuantan, Pahang. Tuan Guru Abu Ahmad Syamsuddin Abdul Mubin al-Fathani itu ialah ulama besar dan guru kepada Sultan Abdullah al-Muzaffar Syah ibni almarhum Sultan Ahmad al-Mu'azzam Syah. Beliau banyak menulis adalah atas permintaan Sultan Pahang tersebut.
MATHBA’AH YANG MENERBITKAN KITAB-KITAB MELAYU/JAWI
Dalam bahasa, istilah perkitaban Islam untuk percetakan lebih popular dengan sebutan mathba’ah. Ia juga memakai istilah press dan drukery. Di Asia Tenggara/Jawi, kalangan pengajian kitab dalam beberapa zamannya hanya mengenal istilah mathba’ah. Dalam masa yang agak akhir, muncul pula sebutan press itu, setelah Indonesia merdeka (1945) dan Malaya (1957), sekarang Malaysia, secara beransur-ansur kedua-dua istilah itu mulai menghilang, lalu diganti dengan percetakan.
Dengan adanya komunikasi antara Asia Tenggara dengan Timur Tengah dalam pengajian ilmu-ilmu Islam, lama kelamaan timbul inisiatif untuk lebih mempermudahkan tersebarnya ilmu pengetahuan tersebut. Ia melalui jalan percetakan/penerbitan kitab-kitab islam yang dikarang oleh ulama-ulama Asia Tenggara/Jawi pada peringkat kedua, peringkat ketiga dan peringkat keempat.
Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani mulai bergerak ke arah tersebut sejak tahun 1288 H/1871 M. Pemikiran ke arah ini timbul setelah beliau mengembara ke banyak negeri di Asia Tenggara mahu pun negeri-negeri lainnya. Sambil mengembara beliau memperhatikan secara luas dan mendalam tentang ekonomi, sosial, psikologi, pendidikan dan lain-lain termasuk sains dan teknologi terutama aspek percetakan.
Antara lain beliau menyebut, “Hingga bersungguh-sungguh mereka itu, mengecap (mencetak) segala kitab yang boleh keluar beberapa ribu naskhah di dalam masa yang sedikit sekira-kira jikalau ditulis dengan tangan di dalam masa itu nescaya belum lagi sudah satu naskhah jua”.
Pada mulanya percetakan di Timur Tengah jauh lebih maju daripada di Asia Tenggara. Buktinya kitab-kitab syair yang dicetak di Singapura masih memakai huruf batu. Timur Tengah telah memakai huruf yang diperbuat dari timah tuangan. Kemajuan dunia percetakan di Singapura disebabkan adanya hubungan dengan Timur Tengah juga.
Prof. Dr. William R. Roff dalam The Origins of Malay Nationalism (Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1967) antara lain menyebut, In the ninteenth century the role of literary and publication center for the Melayo-Muslim world came increasingly to be assumed by Singapore, with the added stimulus of the mole frequent and intensive communication with the Middle East, and the growing use first of the lithograph and then of the printing press.
Terjemahannya pula menurut Ahmad Boestamam dalam Nasionalisma Melayu (Universiti Malaya, 1975), “Dalam abad kesembilan belas peranan pusat persuratan dan penerbitan bagi dunia Melayu Islam semakin lama semakin diambil oleh Singapura, dan ini didorong lagi oleh keadaan-keadaan lebih kerap dan lebih banyaknya hubungannya dengan Timur Tengah serta bertambahnya penggunaan cap batu pada mulanya dan penggunaan percetakan kemudiannya”.
Bersamaan dengan aktiviti Sheikh Ahmad al-Fathani di Timur Tengah dalam bidang percetakan dan penerbitan itu, seorang ulama Betawi bernama Al- Habib Utsman bin Abdullah bin ‘Aqil bin Yahya al-Alawi yang mungkin juga berhubungan dengan Timur Tengah telah berusaha untuk menerbitkan kitab-kitab ukuran kecil karyanya.
Kegiatannya mungkin dimulai sekitar tahun 1286 H, dan usahanya itu mungkin masih mempergunakan huruf batu. Perusahaannya itu beroperasi di Pertamburan Betawi. Penyebaran kitab yang dicetak oleh percetakannya itu tidak seperti yang dilakukan di Timur Tengah yang tersebar ke seluruh pelosok dunia Islam.
Ulama-ulama Patani di Mekah dalam zaman-zaman yang bersamaan tersebut di atas mendirikan ‘Kedai Kitab’ (Maktabah) yang dinamakan Al-Maktabatul Fathaniyah.
Lokasinya di Kampung Qasyasyiah, di sana ada sebuah lorong kecil yang disebut Zuqaqul Fathani. Pengasasnya ialah Sheikh Ahmad al-Fathani dan Sheikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani.
Setelah kedua-duanya meninggal dunia, lalu dikelola oleh keturunannya, dimulai dari puteranya Sheikh Muhammad Nur bin Sheikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani. Sesudahnya disambung pula Sheikh Hasan bin Sheikh Muhammad Nur al-Fathani. Hampir semua kitab karangan ulama Asia Tenggara/Jawi ada dijual di kedai kitab/maktabah itu, terutama karya-karya ulama Patani dan Kelantan mudah untuk mendapatkannya.
Terdapat sekian banyak percetakan/ mathba’ah yang mencetak kitab Melayu/ Jawi, baik yang berada di Timur Tengah mahu pun di Asia Tenggara. Antaranya Al-Kasymiri, Mesir (berdekatan Masjid al-Azhar), Daruth Thiba’ah al-Mishriyah al-Kubra (Mesir), al-Amiratul Islamiah (Mekah), al-‘Alawiyah (Bombay, India) dan banyak lagi yang tidak dapat disenaraikan.
Untuk maklumat yang lebih terperinci, dapat dirujuk melalui buku penulis berjudul Sheikh Ahmad al-Fathani: Pemikir Agung Melayu dan Islam, Jilid 2, dari halaman 96 (terbitan Khazanah Fathaniyah, 2005).
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
[...] Sheikh Ahmad Al-Fathani dan media cetak [...]
ReplyDelete