Tuesday, 22 July 2014

HURAIAN MENGENAI HUKUM 'AQAL

 

Bermula makna hukum 'aqal itu ialah keputusan yang memutus seorang dengan 'aqal fikiran yang membetul bagi perkara-perkara yang difikir itu. Dan hukum 'aqal itu tiga perkara. Iaitu wajib pada 'aqal, mustahil pada 'aqal, harus pada 'aqal

 

Dan pengenalan atau ta’rif wajib pada 'aqal itu iaitu barang yang difikirkan dengan 'aqal tentu sungguh ia kerana barang itu sungguh dirinya, seperti ada Allah maka apabila kita fikir dengan aqal kita tentulah kita memutus dengan aqal kita akan sungguh kerana  ada Allah sungguh dan umpamanya daripada segala perkara yang wajib pada 'aqal.

 

Dan pengenalan atau ta’rif mustahil pada aqal itu ialah barang yang difikirkan dengan 'aqal tentu tidak kerana barang yang kita fikir itu tidak seperti tiada Allah. Maka apabila kita fikir dengan 'aqal kita tentulah kita menghukum atau kita memutus dengan tidak kerana tidak ada tuhan itu tidak, dan umpamanya daripada segala yang mustahil pada 'aqal.

Dan pengenalan atau ta’rif harus pada 'aqal itu ialah barang yang difikirkan dengan 'aqal terima sungguhmya dan tidaknya kerana barang itu terima sungguhnya dan tidaknya pada diri perkara itu seperti makhluk ini. Maka apabila kita fikir dengan 'aqal kita keatas makhluk, maka dapat kita memutuskan dan menghukumkan dengan terima ada dan tiadanya atau terima sungguhnya dan terima pula tidaknya. Itulah dinamakan harus pada 'aqal.

 

Maka nyatalah bahawa hukum 'aqal yang tiga itu apabila kata wajib pada aqal maka terkenalah kepada barang yang tentu sungguh dan mustahil pada 'aqal itu terkena kepada barang yang tentu tidak dan harus pada 'aqal itu kena kepada barang  yang terima kedua-dua yakni terima sungguh dan terima tidak.

 

Dan nyata pula daripada huraian hukum 'aqal itu bahawasanya mengetahui hukum 'aqal satu tangga bagi mengenal 'aqidah dan teguh 'aqidahnya kerana 'aqidah itu pengakuan di dalam hati seseorang. Maka tidak dapat pengakuan itu melainkan dengan mengerti hukum-hukum 'aqal yang tiga itu dan orang yang tidak mengerti hukum-hukum 'aqal tersebut terkadangnya tidak ada aqidah sedikit pun, yakni tidak ada pegangan didalam hatinya maka orang yang tidak ada 'aqidah atau pegangan itu dinama akan dia orang yang jahil , dan jahil dengan Allah itu tidak sah imannya, kerana makna iman itu tasdiq di hati: mengaku hati dengan sekalian barang yang didatangkan dengan dia oleh Rasul daripada segala pekerjaan agama.

 

Dan terkadang jadi ia kafir sebab tidak mengetahui hukum-hukum 'aqal yang tersebut seperti i'tiqad seorang akan bahawasa tuhan itu putih umpamanya kerana orang yang i'tiqad tuhan putih itu ialah orang yang menyerupai tuhan akan sesuatu daripada makhluk ini. Maka iaitu mustahil atas Allah yakni tentu tidak atas Allah dan orang yang i'tiqad menyerupai Allah dengan segala yang baru itu jadi Kafir. Kalau begitu tahulah kita bahawa belajar hukum aqal itu wajib Syara' pula.

 

(Tanbihun) bermula perkataan wajib banyak maknanya, tetapi disebutkan disini empat jua iaitu wajib pada syara', wajib pada 'aradh, wajib pada 'adat, dan wajib pada 'aqal. Demikian juga perkataan mustahil iaitu tiga perkara; mustahil pada 'aradh, mustahil pada 'adat dan mustahil pada 'aqal. Demikian lagi perkataan harus maka iaitu empat; harus pada syara', harus pada 'aradh, harus pada 'adat dan harus pada 'aqal. Maka tiap-tiap satu daripada yang tersebut berlainan maknanya. Hendaklah mengambil perhatian pada huraian yang telah lalu.

 

RUJUKAN:

Misbahul Munir karangan Baba Abdul Aziz Bin Ismail al-Fathoni, Fathoni:Matba,ah bin Halabi hal: 11-12




 

HURAIAN MENGENAI HUKUM 'ADAT

 

Bermula makna hukum adat itu ialah keputusan kebiasaan (hukum adat). Ertinya keputusan yang memutus akan dia oleh seseorang dengan sebab berulang-ulang jadi  dan berlaku sekurangnya dua kali berlaku, seperti apabila makan banyak wajib kenyang dan pasti kenyang kerana kebiasaan sudah berulang-ulang begitu dan umpamanya.

 

Dan yang berlaku 'adat atau berlaku kebiasaan yang berulang-ulang itu ialah empat perkara pertamanya biasa berlaku ada dengan ada seperti ada makan ada kenyangnya. Keduanya biasa berlaku ada dengan tiada seperti ada panas dengan tidak mandi. Ketiganya biasa berlaku tiada dengan tiada seperti tiada sejuk dengan tiada mandi. Keempatnya biasa berlaku tiada dengan ada seperti tiada lapar dengan ada makan dan seumpamanya daripada perkara yang biasa berlaku serta berulang-ulang. Itulah empat perkara yang dikatakan 'adat atau kebiasaan yang berlaku dan kebiasaan jadi.

 

Dan hukum 'adat itu terbahagi ia kepada tiga bahagian. pertamanya wajib 'adat dan mustahil 'adat dan harus 'adat. Bermula wajib itu ialah barang yang pasti jadi dan pasti berlaku pada kebiasaan seperti makan banyak maka wajib yakni pasti atau tentu kenyang dan apabila bakar dengan api maka tentu dan pasti hangus dan seumpamanya.

 

Dan mustahil pada 'adat itu ialah apabila barang yang tidak biasa berlaku dan tak biasa jadi. Seperti makan banyak tidak kenyang dan bakar dengan api tidak hangus dan umpamanya daripada perkara yang tidak biasa jadi dan tidak biasa berlaku.

 

Dan harus pada 'adat itu ialah barang yang boleh berlaku dan boleh jadi dan tidak berlaku dan tidak boleh jadi seperti kenyang apabila makan dua pinggan dan boleh jadi kenyang dengan kurang sedikit dan boleh jadi kenyang dengan lebih sedikit daripada dua pinggan. Itulah harus pada 'adat dan tiga perkara hukum 'adat ini termasuk semuanya harus pada 'aqal yang lagi akan datang disebutnya. Insya-Allah.

 

(Tanbihun) Bermula mengetahui hukum adat itu suatu perkara yang baik dan bagus kerana orang yang tiada mengetahui akan dia itu terkadangnya jadi fasiq seperti mengata seorang dengan wajib 'adat itu dengan wajib 'aqal. Misalnya seorang yang memotongkan suatu tali dengan pisau yang tajam tiba-tiba tidak putus tali itu lalu ia berkata tak terima aqal tali itu tidak putus dan seorang pula membakar  akan kayu yang kering tiba-tiba didapatinya kayu itu tidak hangus lalu berkata ia tak terima aqal kayu itu tidak hangus. Maka adalah orang yang berkata seperti itu jahil dengan hukum 'adat dan terkadang menjadi kufur seperti mengingkarkan mukjizat Nabi-Nabi seperti tongkat Nabi Musa jadi ular dan Ibrahim tidak hangus dibakar oleh Namrud dan pisau yang tajam tidak memutus tengkuk Nabi Ismail dan air yang banyak keluar di jari Nabi Muhammad saw. Maka semuanya itu mustahil pada 'adat harus pada 'aqal bukanlahlah mustahil pada 'aqal dan bukanlah pula wajib pada 'aqal walyataamul. Wallahua'lam.




 

RUJUKAN:

Misbahul Munir karangan Baba Abdul Aziz Bin Ismail al-Fathoni, Fathoni:Matba,ah bin Halabi hal: 10 – 11

HURAIAN MENGENAI HUKUM SYARA’

 

Bermula makna hukum itu ialah keputusan dan makna syara’ itu undang-undang . Maka makna hukum syara’ itu keputusan undang-undang dan iaitu lima perkara : Wajib , sunat , haram , makruh , harus .Dan erti wajib syara’ itu ialah barang yang dituntut perbuat akan sebagai tuntutan yang putus sekira-kiranya dijanjikan dengan beri pahala atas mengerjakannya dan diseksa atas yang meninggalkan akan dia dengan ketiadaan uzur seperti mengenal Allahmaka dapat pahalalah atas yang mengenal Allah Ta’alaitu dan berdosalah atas yang tidak mengenal akan Allah Ta’alaitu bahkan tidak sah agama . Dan seperti sembahyang lima waktu maka dapat pahalalah atas yang mengerjakan sembahyang dan berdosalah atas yang meninggal akan dia dengen ketiadaan uzur dan sebgainya daripada segala perkara yang wajib dikerja akan dia .

 

       Dan erti sunat itu ialah barang yang dituntut perbuat akan dia sebagai tuntutan yang tidak putus sekira-kiranya dijanjikan dengan beri pahala atas yang mengerjakannya dan tidak diseksa meninggal akan dia bahkan merugi ia akan masanya, kerana yang sunat itu setengah daripadatawaran Allah Ta’ala, maka yang menolak tawaran itu adalah sangat rugi . Seperti sembahyang sunat rawatib dan sunat tahajjud dan umpamanya daripada segala perkara-perkara yang sunat-sunat maka dapat pahalalah atas yang mengerjakan sunat-sunat yang tersebut , dan tidak diseksakan atas yang meninggal akan dia hanya besarlah rugi masanya dengan meninggal itu .

 

Dan erti haram itu ialah barang yang dituntut sebgai tuntutan yang putus sekira-kira dijanjikan dengan seksa atas mengerja akan dia dan diberi pahala atas yang meninggal akan dia dengan ikhlas, seperti berzina dan minum akan minuman yang memabukkan dan memakan akan makanan yang diharamkan . Maka berdosalah dan diseksalah atas orang yang mengerjakan yang tersebut dan diberi pahala atas yang meninggal akan dia dengan ikhlas kerana perkara-perkara yang tersebut itu ditegah putus .

 

Dan erti makruh itu ialah barang yang dituntut yang tinggal sebagai tuntutan yang tidak diputuskan sekira-kiranya dijanjikan tidak berdosa atas yang mengerjakan dia dan diberi pahala atas yang meninggal akan dia dengan ikhlas, kerana makruh itu setengah daripada amaran Allah seperti makan sambil berjalan dan kencing sambil berdiri dan memakan akan makanan yang keji seperti memakan bawang putih dan sebgainya daripada perkara yang makruh . Maka dapat pahala atas yang meninggal akan dia dengan ikhlas, dan tidak diseksa atas yang mengerja akan dia bahkan merugi akan dia kerana yang makruh itu satu amaran yang dibenci akan dia oleh Allah atas yang mengerja akan dia .

 

Dan erti harus itu pada syara’ ialah barang yang dibiar dan dihalak akan dia dengan tidak berdosa dan tidak dijanji seksa dan tidak dijanji dengan pahala atas yang mengerja akan dia bahkan diberi pilih diantara buat dan tinggal itu . Seperti berjalan , tidur , makan , minum dan sebagainya daripada perkara-perkara yang harus tetapi dikatakan harus yang tersebut itu selama tidak jadi tangga bagi empat perkara yang terdahulu , maka jika jadi tangga bagi empat yang terdahulu maka tidak dinama akan dia harus lagi . Seperti berjalan maka jika berjalan kerana menuntut ilmu yang wajib maka wajib pula berjalan itu dan jika berjalan kepada maksiat maka haram berjalan itu dan jika kepada yang sunat maka sunat dan jika makruh maka makruhlah berjalan itu , demikianlah tiap-tiap yang harus itu .

 

Inilah huraian hukum syara’ maka jika engkau menghendakkan lebih panjang hendaklah engkau belajar di kitab-kitab yang besar daripada usul fiqh dan kitab-kitab fiqh . Wallahua’lam .

 

RUJUKAN:

Misbahul Munir karangan Baba Abdul Aziz Bin Ismail al-Fathoni, Fathoni:Matba,ah bin Halabi hal: 8 - 9

Tuesday, 24 June 2014

Bagaimana mengenal mani?

 

Bermula dikenal mani itu dengan salah satu daripada tiga sifat:

 

1)   Keluarnya dengan terpancar-pancar, dengan warna apa-apa sekalipun dan jikalau dengan tiada lazat dan tiada baunya sekalipun.

 

2)   Atau keluarnya tatkala keluarnya berasa lazat, dengan apa-apa warna sekalipun dan jikalau tiada terpancar-pancar dan tiada bau sekalipun.

 

3)   Atau dengan ada baunya seperti tepung gandum yang diuli hendak buat roti pada waktu basahnya dan baunya tatkala kering seperti telur putih, dan jikalau dengan apa-apa warna dan tiada terpancar-pancar dan tiada lazat sekalipun

 

Wajib mandi, intaha sabil.

 

Rujukan:

Kitab Sulam Sibyan karangan Haji Chik bin Ahmad Al-Qadahi, hal. 21.

Friday, 20 June 2014

Fardhu 'Ain di dalam Ilmu Usuluddin

 

Bermula permulaan dan umbi atau asas bagi segala perkara yang dituntut atas tiap-tiap mukallaf sebagai tuntutan yang putus yang dinamakan dia dengan fardu a’in, ialah mengenal ia akan Allah Ta’ala dan Rasul-Nya dan dikehendaki dengan mengenal itu mengetahui serta mengaku putus di dalam hati tiap-tiap mukallaf dengan tentu sungguh segala perkara yang wajib bagi Allah Ta’ala dan tentu tidak segala perkara yang mustahil atas Allah Ta’ala dan segala yang harus. Harus bagi Allah Ta’ala serta dalil-dalilnya. Demikian juga mengetahui serta mengaku putus di dalam hati bagi tiap-tiap mukallaf yang tentu sungguh segala yang wajib bagi Rasul dan serta dalil-dalilnya, tentu tidak segala yang mustahil atas Rasul dan segala yang harus bagi Rasul serta dalil-dalilnya.

 

Bukanlah dikehendaki dengan mengenal itu mengenal hakikat zat Allah Ta’ala kerana yang baru tak dapat mengetahui hakikat yang Qadim. Dan keadaan mengenal Allah Ta’ala itu ialah permulaan dan umbi itulah dinamakan ilmu ini Ilmu Usuluddin. Dan juga dengan ilmu Tauhid kerana mengetahui dan mengertikan ilmu ini mentauhid ia akan Allah Ta’ala dan juga dinamakan ilmu kalam kerana bicaraan kalam Allah Ta’ala sangat payah sehingga-sehingga berlaku fitnah-fitnah kepada ulama’ yang dahulu-dahulu.

 

Dan dikehendaki dengan dalil yang wajib atas tiap-tiap mukallaf itu dalil yang ijmali iaitu yang renti (reti) empunyanya bagi dirinya, tetapi lemah ia daripada menghuraikan dalil-dalil itu pada menolak segala syubhah yang didatangkan atasnya atau pada menolakkan i’tirad-i’tirad (kritik) ke atasnya. Adapun dalil tafsil iaitu dalil yang renti empunyanya bagi dirinya dan kuasa pada menghuraikan segala syubhah dan segala i’tirad keatasnya maka iaitu fardu kifayah, wajib pada tiap-tiap masaafati al-qasr, yakni perjalanan yang harus qasar, ada seorang yang mengetahui akan dia. Maka jika tidak ada yang mengetahui dalil tafsili itu berdosa semuanya.

 

Bermula segala perkara yang wajib bagi Allah yakni yang tentu sungguh bagi Allah Ta’ala yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui mengetahui serta mengaku dengan tentu sungguh di dalam hati mereka itu amat banyak tidak dihingga akan dia melainkan akan Allah. Maka wajib mengaku di dalam hati mereka itu dengan sungguh semuanya itu bagi Allah Ta’ala. Dan segala lawan bagi yang wajib itu daripada segala perkara yang mustahil yakni perkara yang tentu tidak atas Allah Ta’ala yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengaku di dalam hati mereka itu dengan tentu tidak semuanya itupun amat banyak juga, tetapi yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui serta mengaku sungguh di dalam hatinya, dengan bilang satu-satu itu dua puluh sifat dan lawan pula dua puluh serta dalil-dalil yang bagi tiap-tiap satu itu.

 

Dan dua puluh sifat yang wajib atas mukallaf mengetahui itu setengah daripada perkara yang di ijma’ ulama’ atasnya, maka barangsiapa mengingkarkan dengan mengatakan tidak wajib diketahui akan dia maka jadi kafir, kerana ia mengingkarkan ijma’ lagi pula mengingkarkan ada tuhan kerana ada itu setengah daripada sifat yang dua puluh itu berertinya tidak boleh kata tuhan ada dan sebagainya, maka orang yang tidak boleh berkata dengan ada tuhan itu orang kafir wanau’zubillah. Demikian lagi tidak sah iman dan jadi kufur disisi Allah Ta’ala orang-orang yang tidak peduli ada tak kata, tiada pun tak kata, bahkan semata-mata senyap. Ada pun pada zahir dihukum akan dia Islam jika ia berasal keturunan Islam, maka wajib atas orang yang hidup membicarakan kematiannya apabila mati wallahua’lam.

 

RUJUKAN:

Misbahul Munir karangan Baba Abdul Aziz bin Ismail Al-Fathoni, hal. 13-14

Tuesday, 12 November 2013

Doa yang dianjurkan oleh Baba Idris




اللَّهُمَّ طَوِّلْ عُمُورَنَا وَأَحْسِنْ أَعْماَلَنَا، رَبَّناَ زِدْنَا عِلْمًا ناَفعاً وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً



Ya Allah panjangkanlah umur kami dan perelokkanlah amalan kami,


Wahai Tuhan kami tambahkanlah kami ilmu yang bermanfaat dan amalan yang diterima.











Wednesday, 23 October 2013

Kewajipan Para Penuntut Ilmu dan Orang yang Mengajar Ilmu Mendahului Belajar dan Mengajar Ilmu Fardhu 'Ain daripada Ilmu Fardhu Kifayah

Dan kerana inilah kata Imam al-Ghazali Rahimullah Ta’ala didalam Bidayatul Hidayah pada bicara orang yang mengajar ilmu dan orang yang belajar akan dia dengan katanya

وصد المتعلم عن أن يشتغل بفرض الكفاية قبل الفراغ من فرض العين

Ertinya: Sayugiyanya bagi orang yang mengajar ilmu itu bahawa menegahkan ia akan orang yang belajar ilmu itu daripada masyghul (menyibukkan diri) dengan belajar ilmu yang fardhu kifayah dahulu daripada selesai ia daripada menuntut ilmu yang fardhu ‘ain yang tiga perkara itu iaitu Ilmu Tauhid dan Ilmu Syari’ah dan Ilmu Batin. انتهى

Kesimpulan:

1) Wajib bagi orang yang mengajar ilmu dikalangan ulama'-ulama', ustaz-ustaz dan lain-lain mengajar ILMU FARDHU 'AIN dahulu daripada ILMU FARDHU KIFAYAH lebih-lebih lagi ILMU YANG TIDAK BERMANFAAT.

2) Wajib bagi orang yang mengajar ilmu  menegah akan orang yang belajar ilmu, daripada menyibukkan diri belajar ILMU FARDHU KIFAYAH apatah lagi ILMU YANG TIDAK BERMANFAAT dahulu daripada selesai ia daripada menuntut ILMU FARDHU 'AIN.

3) Wajib bagi para penuntut ilmu mendahulukan dan mengutamakan belajar ILMU FARDHU 'AIN daripada ILMU FARDHU KIFAYAH lebih-lebih lagi ILMU YANG TIDAK BERMANFAAT.

RUJUKAN:

Kitab Sairu al-Salikin karangan Syaikh Abdul Samad al-Falembani, Percetakan al-Mu’arif Sdn Bhd, Juz 1, hal. 19