Wednesday, 25 July 2012

Syeikh Muhammad Ali Abdur Rasyid As-Sumbawi - Kadi Sumbawa


Koleksi penyelidikan ALLAHYARHAM Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah
DALAM percakapan, beberapa catatan dan penulisan kitab Melayu/Jawi memang dijumpai beberapa nama ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa ini.

Di antara mereka antaranya; Syeikh Idris bin Utsman as-Sumbawi, Syeikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi as-Sumbawi, dan ramai lagi. Nama ulama ini, mulai penulis kesan daripada sebuah karyanya berjudul, Al-Yawaqitu wal Jawahir yang ditulis pada 1243 H/1827 M.

Beberapa maklumat tentang beliau, penyelidikan awal dapat diketahui dan dipetik daripada dua buah karyanya iaitu, satu di antaranya ialah Al-Yawaqitu wal Jawahir, di bahagian tepi atau pinggirnya turut dicetak sebuah kitab berjudul 'Uqudul Lujjain fi Huquqiz Zaujain.

Buat pertama kali tentang ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa ini, penulis tulis dalam buku berjudul Perkembangan Ilmu Fiqh dan Tokoh-Tokohnya di Asia Tenggara, jilid 1 (cetakan pertama, C.V.Ramadhani, hlm :127-128). Kemudian penulis singgung dengan agak ringkas dalam buku Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyah Mu'tabarah di Dunia Melayu (cetakan pertama, Khazanah Fathaniyah, 2000, hlm : 113-114).

Daripada bahan-bahan bertulis tersebut, dapat diambil kesimpulan bahawa ulama yang berasal dari Sumbawa yang diriwayatkan ini, nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi as-Sumbawi. Beliau hidup sezaman dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Bahkan pada sektor penerimaan Thariqat Syaziliyah, kedua-dua ulama tersebut adalah seperguruan. Kedua-duanya menerima bai'ah dari Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim ar-Rais (1187 H/1773 M-1240 H/1824 M).

KARYA

Hanya sebuah yang telah pasti karyanya, kerana namanya terdapat pada kitab itu, sedang sebuah lagi diduga juga karya beliau. Karya yang telah pasti itu diberi judul lengkap ialah Al-Yawaqitu wal Jawahir fi 'Uqubati Ahlil Kabair. Dan kitab yang masih belum jelas hasil karya beliau ataupun tidak, tetapi sentiasa dicetak kombinasi dengan Al-Yawaqitu wal Jawahir diberi judul, 'Uqudul Lujjain fi Huquqiz Zaujain.

Ada pun karya beliau yang pertama Al-Yawaqitu wal Jawahir adalah terjemahan hadis targhib dan tarhib yang berasal daripada karangan Syeikh Abdul Wahhab as-Sya'rani. Yang diutamakan ialah menceritakan seksaan orang yang melakukan dosa besar, yang terdiri dari Dua Belas Bab.

- Bab Yang Pertama: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Meninggalkan Sembahyang

- Bab Yang Kedua: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Durhaka Bagi Ibu dan Bapanya

- Bab Yang Ketiga: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Minum Arak dan Tuak

- Bab Yang Keempat: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Berzina

- Bab Yang Kelima: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Liwat

- Bab Yang Keenam: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Makan Riba

- Bab Yang Ketujuh: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Meratap

- Bab Yang Kelapan: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Tiada Mengeluarkan Zakat Hartanya

- Bab Yang Kesembilan: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Membunuh Orang Islam

- Bab Yang Kesepuluh: Pada Menyatakan Hak Perempuan Atas Lakinya dan Hak Laki Atas Isterinya

- Bab Yang Kesebelas: Pada Menyatakan Susah dan Kesakitan Pada Hari Kiamat

- Bab Yang Keduabelas: Pada Menyatakan Sifat Syurga dan Orang Di Dalam Syurga.

Al-Yawaqitu wal Jawahir diselesaikan hari Isnin, sesudah Asar, 18 Zulkaedah 1243 H. Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan Al-Yawaqitu wal Jawahir, di antaranya cetakan mutawal oleh Matba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, Matba'ah al-'Amirah al-Islamiyah, Matba'ah Fathul Karim al-Islamiyah, 1310 H, cetakan pertama Matba'ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, 1329 H, Maktabah wa Matba'ah Sulaiman Mar'i Singapura, Penang, Kota Bharu. Juga pernah dicetak oleh Maktabah wa Matba'ah al-Ma'arif Pulau Pinang dan lain-lain.

Penerbitan-penerbitan awal kitab Al-Yawaqitu wal Jawahir ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dan terbitan-terbitan mutakhir ditashhih oleh Syeikh Ilyas Ya'qub al-Azhari (Indonesia).

Pada mukadimah Al-Yawaqitu wal Jawahir Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi dinyatakan, "Kemudian daripada itu, maka tatkala adalah pada tahun 1243 daripada tahun hijrah Nabi s.a.w. atas yang mempunyai dia yang terlebih afdhal rahmat dan yang terlebih suci haluannya, telah menuntut daripada hamba yang fakir, lagi hina, yang mengaku berdosa, lagi taqshir, iaitu Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi as-Sumbawi yang ada diam di Makkatul Musyarrafah; oleh setengah daripada orang yang mempunyai kelebihan, lagi mulia, iaitu setengah daripada sahabat kami. Bahwasanya hamba terjemahkan kitab syeikh yang alim, iaitu Syeikh Abdul Wahhab Asy-Sya'rani yang dinamakan dia Al-Yawaqitu dan Jawahir) pada menyatakan seksaan segala orang yang berdosa yang besar, sekalian kesusahan, dan kesakitan pada hari kiamat, dan pada menyatakan sifat Syurga, dan sekalian orang yang di dalam Syurga, daripada bahasa Arab kepada bahasa Jawi. Maka hamba perkenankan dengan yang demikian itu" (petikan hlm: 2-3, cetakan pertama, Matba'ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah,1329 H).

Ada pun karya Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi yang satu lagi, iaitu Uqudul Lujjain fi Huquqiz Zaujain, kandungan keseluruhannya merupakan akhlak atau adab isteri kepada suaminya. Adalah merupakan ancaman yang sangat keras terhadap isteri yang durhaka kepada suaminya. Walaupun kedua-dua karya Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi yang tersebut di atas dapat dikategorikan kepada hadis targhib dan tarhib, namun tidak dapat dinafikan bahawa Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi adalah seorang ulama fiqhi (Faqih) dan ulama shufi ahlit Thariqah.

PENDIDIKAN, PERSAHABATAN DAN MURID

Sewaktu belajar di Mekah, Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid as-Sumbawi adalah seperguruan dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Di antara guru Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi yang telah pasti ialah, Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim ar-Rais. Mengenai ini ada dinyatakan oleh seorang muridnya bernama Syeikh Umar ibnu Umaju' Mempawah (Kalimantan Barat), dalam sebuah manuskrip mengenai Thariqat Syaziliyah.

Dipercayai bahawa Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi bersahabat dengan Syeikh Idris bin Utsman as-Sumbawi. Syeikh Idris bin Utsman as-Sumbawi pula adalah pernah menerima Thariqat Khalwatiyah-Sammaniyah daripada Syeikh Shiddiq bin Umar Khan, juga tarekat yang sama kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Oleh sebab Syeikh Shiddiq bin Umar Khan juga guru kepada Syeikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari, maka dipercayai ulama yang berasal dari Banjar ini juga bersahabat dengan Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi.

Daripada maklumat tersebut, dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi as-Sumbawi sekurang-kurangnya mengamalkan tiga jenis tarekat shufiyah, ialah Thariqat Syaziliyah, Thariqat Khalwatiyah-Sammaniyah dan Thariqat Syathariyah.

Mengenai muridnya pula, selain Syeikh Umar ibnu Umaju' Mempawah, termasuk juga seorang ulama Sumbawa yang sangat terkenal ialah al-Alim al-Allamah al-Fahamah asy-Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi. Beliau ini juga murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan menerima bai'ah Thariqat Syathariyah daripada ulama Pattani tersebut.

Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi sekurang-kurang menghasilkan dua buah karangan dalam bahasa Melayu yang terkenal di peringkat seluruh dunia Melayu, ialah Sirajul Huda (mengenai 'aqidah) dan Minhajus Salam (mengenai fiqh). Kedua-dua kitab yang tersebut masih terdapat di kedai-kedai kitab di seluruh dunia Melayu.

 

SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1112&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Tuesday, 24 July 2012

Syeikh Abdus Shamad Al-Falimbani ulama sufi penegak jihad


Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Bahagian (1)

Sejarah mengenai Syeikh Abdus Shamad ini terlalu banyak panjang untuk dibincangkan, sama ada mengenai asal-usul beliau, pendidikan, karya-karya, keturunan dan sebagainya.

Oleh itu, artikel ini merupakan bahagian pertama yang hanya meliputi pengenalan awal mengenai nama ayah dan pendidikan beliau sahaja. Selebihnya akan dibincangkan pada bahagian selanjutnya.

Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, pertama kali penulis perkenalkan dalam majalah Dian bilangan 100, Ogos 1977. Sumber awal yang dibicarakan sebahagian besar adalah berdasarkan cerita yang mutawatir yang didengar di Kepulauan Riau, Patani dan Kalimantan Barat. Yang bersumberkan bahan bertulis hanyalah berdasarkan berbagai-bagai edisi cetakan karyanya, maupun manuskrip simpanan penulis yang dipusakai dari Syeikh Ahmad al-Fathani.

Bahan itulah sebagai dasar utama penulis melakukan penyelidikan sehingga tulisan penulis dimuat dalam majalah Dian itu.

Terdapat banyak kisah yang ditulis oleh sarjana tempatan dan luar negeri tentang ulama yang berasal dari Palembang, Sumatera ini. Antaranya artikel penulis dalam majalah Dian tersebut, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Muhammad Hassan bin Dato’ Kerani Muhammad Arsyad (Dewan Bahasa dan Pustaka,1968), Syamsuddin bin Siddiq yang membuat tesis tentang Hidayatus Salikin, dan Dr. Mahmud Saedon bin Awang Othman dalam kertas kerjanya untuk Seminar Sufi Peringkat Kebangsaan.

Malahan penulis sendiri menerbitkan sebuah buku kecil berjudul Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani,Shufi Syahid fi Sabilillah (1983).Setelah itu menyusul pula buku Mengenal Allah Suatu Studi Mengenal Ajaran Tasawuf Syeikh Abdus Shamad al-Palimbani oleh Dr.M.Chatib Quzwan(1985). Dan berbagai-bagai buku lain, terakhir sekali buku Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII oleh Dr. Azyumardi Azra, tahun 1994.

Bagi penulis keseluruhan buku mengenai Syeikh Abdus Shamad yang diproses oleh para sarjana itu tidak banyak diperoleh bahan baru, kerana apa yang mereka bicarakan hanyalah berdasarkan tulisan yang telah ada dan tidak menemukan karya-karya Syeikh Abdus Shamad yang belum dibicarakan selama ini.

Menurut penelitian penulis, ada yang dibicarakan juga banyak bersimpangsiur dan terdapat banyak kekeliruan. Oleh itu penulis muncul kembali dengan buku Syeikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi Dan Jihad Dunia Melayu terbitan pertama Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1996. Dalam buku tersebut di beberapa halaman adalah sanggahan dengan tujuan untuk perbandingan, demi lebih meluruskan jalan sejarah yang sebenarnya.

Mengenali nama ayahnya

Terdapat banyak percanggahan berkenaan nama ayah kepada ulama ini. Pada penyelidikan awal, penulis menemui nama orang tua Syeikh Abdus Shamad Falimbani itu adalah Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dan Faqih Husein al-Falimbani. Maka dalam penyelidikan selanjutnya, penulis jumpai pula nama ayahnya selain Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dan Faqih Husein al-Falimbani itu. Nama-nama lain itu ialah: Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani. Maklumat ini pertama sekali penulis jumpai hanya pada Hidayatus Salikin terbitan Al-Ahmadiah Press, Singapura, tanpa menyebut tahun cetakan, berdasarkan satu naskhah yang dijumpai di Banjar.

Pada cetakan itu pentashhihnya juga disebutkan ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani sebagaimana cetakan-cetakan lainnya. Sedangkan Hidayatus Salikin terbitan lainnya tidak menyebut nama orang tua Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani itu. Hal ini bersamaan pula dengan manuskrip salin semula judul Zahratul Murid yang terdapat di Pusat Islam Malaysia. Manuskrip Zahratul Murid yang ada dalam simpanan penulis juga menyebut nama orang tuanya Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani.

Tetapi dalam karya beliau judul yang sama, salinan Hj. Muhammad Husein bin Abdul Latif (Tok Kelaba al-Fathani) menyebut bahawa nama orang tua Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani ialah Syeikh Abdullah al-Jawi al-Falimbani, tidak Abdur Rahman al-Falimbani al-Jawi dan tidak pula dua nama yang terdahulu (Faqih Husein al-Falimbani dan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani).

Manuskrip Zahratul Murid yang tersimpan di Muzium Nasional Jakarta, nampaknya serupa dengan salinan Tok Kelaba al-Fathani, iaitu orang tuanya bernama Abdullah al-Jawi al-Falimbani.

Nama ayah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dinyatakan ialah Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani, juga tersebut pada cover cetakan kitab itu oleh Matba’ah at-Taraqqil Majidiyah al-‘Itsmaniyah, Mekah, tahun 1331 H/1912 M, ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani, iaitu murid kepercayaan Syeikh Ahmad al-Fathani. Dipercayai ada cetakan yang lebih awal dari cetakan ini yang diusahakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani yang dicetak oleh Matba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah dalam tahun 1300 H/1882 M.

Juga nama ayahnya Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani tersebut pada mukadimah risalah Ilmu Tasauf, manuskrip koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia. Nama Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani juga disebut pada banyak halaman dalam karya Syeikh Muhammad Yasin bin ‘Isa al-Fadani (Padang) berjudul Al-‘Iqdul Farid min Jawahiril Asanid dan Balughul Amani.

Nama ayah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani adalah Syeikh Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani, dari sumber Melayu sendiri selain sumber-sumber yang penulis sebutkan di atas. Juga disebut oleh salah seorang murid beliau bernama Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, dalam salah sebuah salinan karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Tokoh tersebut sangat banyak membuat salinan pelbagai judul manuskrip.

Berbeza

Susur galur keturunan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani sampai saat ini baru dijumpai dua sumber yang agak lengkap walaupun antara kedua- duanya sangat berbeza. Kedua-dua sumber itu ialah: Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, yang mengemukakan bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani bin Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh 'Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani.

Dalam Bulughul Maram karya Syeikh Muhammad Yasin Padang pula dijumpai bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani bin Abdur Rahman bin Abdullah bin Ahmad al-Falimbani. Namun pada beberapa halaman lain oleh pengarang dalam buku yang sama dinyatakan: Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman bin Abdul Jalil al-Falimbani. Penulis tidak dapat mengesan dengan pasti apa sebab persoalan ini boleh berlaku, nama ayahnya berbeda-beda dan nama-nama ayah ke ayah pula terjadi demikian seperti yang telah disalinkan di atas.

Nama yang digunakan di makam yang terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah ialah Syeikh Abdul Jalil, bukan nama yang lainnya. Sungguh pun di makamnya memakai nama Syeikh Abdul Jalil, namun jika diperhatikan dengan perbandingan ternyata jumlah maklumat yang menyebut nama ayah beliau Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani lebih banyak dari nama-nama lain seperti yang disebutkan di atas.

Selama ini semua penulis hanya mengenal bahawa di hujung nama Syeikh Abdus Shamad biasa ditambah dengan perkataan ‘al-Falimbani’, iaitu yang dinisbahkan/dibangsakan bahawa beliau berasal dari Palembang. Akan tetapi dalam sebuah manuskrip al-‘Urwatul Wutsqa karya beliau, ternyata beliau menyebut di hujung namanya dengan ‘al-Fathani’.

Pada beberapa halaman al-‘Iqdul Farid, Syeikh Yasin Padang menyebut di hujung nama beliau dengan ‘al-Asyi asy-Syahir bil Falimbani’, yang maksudnya bahawa dinisbahkan/dibangsakan berasal dari Aceh yang masyhur berasal dari Palembang.

Pendidikan

Syeikh Abdus Shamad mendapat pendidikan asas dari ayahnya sendiri, Syeikh Abdul Jalil, di Kedah. Kemudian Syeikh Abdul Jalil mengantar semua anaknya ke pondok di negeri Patani. Zaman itu memang di Patani lah tempat menempa ilmu-ilmu keislaman sistem pondok secara yang lebih mendalam lagi.

Mungkin Abdus Shamad dan saudara-saudaranya Wan Abdullah dan Wan Abdul Qadir telah memasuki pondok-pondok yang terkenal, antaranya ialah Pondok Bendang Gucil di Kerisik, atau Pondok Kuala Bekah atau Pondok Semala yang semuanya terletak di Patani.

Di antara para gurunya di Patani, yang dapat diketahui dengan jelas hanyalah Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok. Demikianlah yang diceritakan oleh beberapa orang tokoh terkemuka Kampung Pauh Bok itu (1989), serta sedikit catatan dalam salah satu manuskrip terjemahan Al-‘Urwatul Wutsqa, versi Syeikh Abdus Shamad bin Qunbul al-Fathani yang ada dalam simpanan penulis. Kepada Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok itulah sehingga membolehkan pelajaran Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dilanjutkan ke Mekah dan Madinah. Walau bagaimana pun mengenai Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani belajar kepada Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani itu belum pernah ditulis oleh siapa pun, namun sumber asli didengar di Kampung Pauh Bok sendiri.

Sistem pengajian pondok di Patani pada zaman itu sangat terikat dengan hafalan matan ilmu-ilmu Arabiyah yang terkenal dengan ‘llmu Alat Dua Belas’. Dalam bidang syariat Islam dimulai dengan matan-matan fiqh menurut Mazhab Imam Syafie. Di bidang tauhid dimulai dengan menghafal matan-matan ilmu kalam/usuluddin menurut faham Ahlus Sunah wal Jamaah yang bersumber dari Imam Syeikh Abul Hasan al-Asy’ari dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi.

Setelah Syeikh Abdus Shamad banyak hafal matan lalu dilanjutkan pula dengan penerapan pengertian yang lebih mendalam lagi. Sewaktu masih di Patani lagi, Syeikh Abdus Shamad telah dipandang alim, kerana beliau adalah sebagai kepala thalaah (tutor), menurut istilah pengajian pondok. Namun ayahnya berusaha mengantar anak-anaknya melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Memang merupakan satu tradisi pada zaman itu walau bagaimana banyak ilmu pengetahuan seseorang belumlah di pandang memadai, jika tak sempat mengambil barakah di Mekah dan Madinah kepada para ulama yang dipandang Wali Allah di tempat pertama lahirnya agama Islam itu.

Keturunan

Mengenai pengajiannya di Mekah dan Madinah sumber yang paling pertama diketahui ialah tulisan Syeikh Abdur Rahman Shiddiq, keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, ditulisnya dalam Syajaratul Arsyadiyah. Menurut beliau, bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, belajar di Mekah sekitar 30 tahun dan di Madinah 5 tahun bersama kawan-kawannya. Mereka ialah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari penyusun kitab Sabilul Muhtadin yang terkenal, Syeikh Abdul Wahab Pang-kajene (Sidenreng Daeng Bunga Wardiah) Bugis, Syeikh Abdur Rahman al-Masri, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari, Syeikh Muhammad Ali Aceh, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan ramai lagi.

Sahabat-sahabat Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani sewaktu melanjutkan pelajaran di Mekah selain yang tersebut itu sangat ramai, di antara nama mereka telah penulis sebut dalam buku Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Pengarang Sabilal Muhtadin. Mengenai para gurunya di Mekah, selain yang diketahui umum, dalam sebuah manuskrip disebutkan bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernah belajar daripada Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh di Mekah. Para ulama besar yang pernah mendidik Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani selama berada di Mekah dan Madinah selain yang tersebut dapat dirujuk kepada buku penulis Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari ... tersebut di atas, lihat hlm. 14-15, sanad-sanadnya dari hlm. 16 sampai 27. Namun masih ada beberapa guru Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang berasal dari Palembang dan sanad beberapa ilmu yang tidak tersebut dalam buku penulis itu. Hal ini kerana ada beberapa ilmu yang mereka tidak belajar secara bersama-sama.

Menurut Syeikh Yasin Padang dalam beberapa bukunya yang telah disebutkan, bahawa hampir semua ilmu nampaknya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani menerima dari al-Mu’ammar Aqib bin Hasanuddin bin Ja’far al-Falimbani. Ulama yang berasal dari Palembang ini tinggal di Madinah. Beliau berguru dengan ramai ulama, namun di antara gurunya termasuklah ayah saudaranya bernama Thaiyib bin Ja'far al-Falimbani. Thaiyib bin Ja’far belajar dengan ayahnya Muhammad bin Badruddin al-Falimbani.

Tulisan Syeikh Yasin Padang yang mengatakan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani belajar dengan Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani itu bertentangan dengan tulisan Syeikh Muhammad Azhari ibnu Abdullah al-Jawi al-Falimbani. Kenyataan ulama ini ialah, “... telah mengambil talqin zikir ini oleh faqir Muhammad Azhari ibnu Abdillah al-Falimbani. [Ia] mengambil daripada asy-Syeikh Abdullah bin Ma’ruf al-Falimbani, [Ia] mengambil daripada asy-Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani, [Ia] mengambil daripda asy-Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani ...”.

Jika kita berpegang kepada Syeikh Yasin Padang bererti Syeikh Abdus Shamad adalah murid Syeikh Muhammad Aqib. Sebaliknya jika kita berpegang kepada Syeikh Muhammad Azhari bin Abdullah bin Muhammad Asyiquddin bin Safiyuddin Abdullah al-Alawi al-Husaini al-Falimbani, bererti Syeikh Abdus Shamad adalah guru kepada Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1119&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm&arc=hive

 

Monday, 23 July 2012

Baba Daud Ar-Rumi Al-Jawi murid Sheikh Abdul Rauf Al-Fansuri


Koleksi Tulisan Allahyarham: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


NAMA lengkap ulama yang akan dibicarakan ini iaitu Baba Daud al-Jawi ibnu Ismail ibnu Agha Mustafa ibnu Agha Ali ar-Rumi. Datuk neneknya berasal dari Turki dan lebih jauh ke atas lagi berasal dari Rom.


Salah seorang keturunannya pergi Aceh, selanjutnya ada yang ke Pattani dan Kelantan. Cerita ini penulis peroleh darpada Nik Mustafa bin Haji Abdul Qadir, salah seorang keturunannya di Kota Bharu, Kelantan (1976-1978). Beliau pula mendengar cerita darpada ayahnya, Haji Abdul Qadir bin Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Azyumardi Azra menyebut dalam Jaringan Ulama, (hlm. 210) bahawa adalah salah seorang askar bayaran Turki yang datang dalam jumlah besar untuk membantu Kesultanan Aceh dalam perjuangannya melawan Portugis.

Namun penulis masih meragui pendapat ini kerana di Turki pada zaman yang sama ada seorang tokoh besar Tarekat Qadiriyah bernama Ismail ar-Rumi (wafat 1631 atau 1643 M). Mengenai tahun wafat tersebut, penulis petik dari buku Martin Van Bruinessin berjudul Kitab Kuning (cetakan kedua, hlm.213). Ada kemungkinan Ismail ar-Rumi inikah yang dimaksudkan sebagai ayah Baba Daud al-Jawi itu, atau tokoh lain yang kebetulan nama sama.

Pendidikan

Maklumat terawal mengenai pendidikannya baru diperoleh daripada dua sumber. Sumber pertama berdasarkan pengakuan beliau sendiri, yang ditulis pada bahagian akhir kitab Turjumanul Mustafid, “... sekecil-kecil muridnya dan sehina-hina khadamnya itu, iaitu Daud al-Jawi anak Ismail anak Agha Mustafa anak Agha Ali ar-Rumi...”.

Makna yang dimaksudkan pada kalimat yang tersebut ialah bahawa beliau murid dan khadam kepada Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.

Sumber yang kedua ditulis oleh murid beliau, Sheikh Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi di dalam salah satu versi Manzarul Ajla ila Martabatil A’la, bahawa Sheikh Arif Billah Baba Daud adalah murid Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Tarekat Qadiriyah dan Tarekat Syathariyah Baba Daud al-Jawi menerima baiah daripada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu.

Selain mendapat pendidikan daripada Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, belum ditemui maklumat yang membicarakan pendidikan lanjut Baba Daud al-Jawi yang dibicarakan ini.

 

Sehingga kini karya yang dapat ditonjolkan sebagai suatu hasil karya hanya sebuah saja. Itu pun hanya sebagai seorang yang menyelesaikan dan membuat tambahan terhadap karya gurunya, Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang tersebut.

Sebagai bukti bahawa kitab Turjumanul Mustafid diselesaikan oleh Baba Daud al-Jawi, beliau tulis pada akhir kitab tafsir itu, “Dan menambahi atasnya oleh sekecil-kecil muridnya ...” .

Manuskrip asli Turjumanul Mustafid karya Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang diselesaikan oleh Baba Daud al-Jawi itu akhirnya dipunyai oleh salah seorang keturunannya di Pattani. Kemudian diserahkan kepada Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Daripada manuskrip itulah yang diproses dan ditashih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani yang kemudian dicetak dan disebarkan secara luas.

Hasil cetakan yang diusahakan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itulah, kitab tafsir itu masih diterbitkan hingga sekarang. Kitab tersebut juga dinamakan Tafsirul Baidhawi asy Syarif, dan dengan nama Tafsir Baidhawi itulah yang paling popular di kalangan masyarakat Alam Melayu. Penerbitan-penerbitan awal Tarjuman al Mustafid karya Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri ini tercatat :

a. Cetakan pertama Istanbul (Turki) 1302 H (1884 M)

b. Cetakan pertama Matba’ah Miriyah, Bulaq, Mesir 1303 H (1885 M)

Dalam beberapa terbitan Tarjuman al Mustafid di halaman terakhir, terdapat maklumat bahawa kitab tersebut ditashih oleh tiga orang, iaitu:

a. Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu adalah pentashih yang pertama sekali.

b. Sheikh Idris al-Kalantani. Maksudnya adalah Sheikh Idris bin Husein al-Kalantani, iaitu murid kepada Sheikh Ahmad al-Fathani, yang telah beliau berikan kepercayaan dalam bidang khas pentashihan selanjutnya jika terdapat kekeliruan teknik cetakan dan lain-lain.

Hendaklah diperhatikan bahawa Sheikh Idris al-Kalantani tersebut lain dari Sheikh Idris al-Marbawi yang pernah juga sebagai pentashih Tarjuman al Mustafid pada terbitan-terbitan mutakhir.

c. Sheikh Daud al-Fathani. Maksudnya adalah Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani, juga murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang masih ada pertalian keluarga, iaitu orang kepercayaan Sheikh Ahmad al-Fathani sesudah Sheikh Idris al-Kalantani.

Mengenai data kandungan ringkas kitab ini, Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut:”…yang diterjemahkan dengan bahasa jawi, yang diambil setengah maknanya dari Tafsir al-Baidhawi…”. Ini bererti Tarjuman al Mustafid bukanlah merupakan terjemah secara keseluruhan Tafsir al-Baidhawi seperti banyak diperkatakan orang.

Pendapat Sheikh Ahmad al-Fathani ini sesuai pula dengan tulisan penyalin pertamanya, iaitu ulama yang dibicarakan ini, Daud al-Jawi bin Ismail yang mengatakan:

“Akan kisahnya yang diambil kebanyakannya daripada Khazin. Terlalu baru Karel A. Steenbrink yang merupakan petikan dari tulisan Petter Riddel, yang mengatakan bahawa “ternyata dasar tafsir ini adalah sebuah terjemahan yang cukup harfiah darpada Tafsir Jalalayn”, ini kerana walaupun Sheikh Ahmad al-Fathani tidak menyebut Tafsir Jalalayn itu, namun kalimat beliau itu telah mewakili bahawa dikarangkannya Tarjuman al Mustafid hanya sebahagiannya saja dari tafsir-tafsir selainnya termasuk Khazin mahupun Jalalayn.

Menurut keterangan beberapa orang keturunan Baba Daud al-Jawi yang berada di Pattani dan Kelantan, selain menyelesaikan karya tersebut, beliau juga menghasilkan beberapa karya yang lain. Namun sampai sejarah ini ditulis, penulis belum menemui karya yang lainnya.

Sebagai kesan daripada pengaruh nama beliau yang diawali dengan ‘Baba’, hingga sekarang dalam seluruh wilayah Pattani apabila seseorang itu membina pondok pengajian, mempunyai pengetahuan agama Islam dan berpengaruh dalam masyarakat disebut ‘Baba’.

Pada mulanya hanya keturunan dan yang ada hubungan keluarga dengan beliau saja yang layak digelar demikian, tetapi akhirnya gelaran itu merata kepada setiap guru pondok yang terpandang atau masyhur.

 

Salah seorang keturunannya yang menjadi ulama terkenal yang dapat dikesan ialah Sheikh Daud bin Ismail al-Jawi al-Fathani. Namanya dan nama orang tuanya serupa dengan nama datuknya, Baba Daud al-Jawi ibnu Ismail ar-Rumi yang tersebut.

Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani ini adalah saudara sepupu Sheikh Ahmad al-Fathani. Keturunan tersebut dapat dikesan hanyalah yang berada di Mekah, Pattani dan Kelantan, sedang yang di Aceh hingga sekarang penulis belum memperoleh maklumat.

Sampai pada zaman Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani masih ramai keluarganya yang mempunyai kedudukan sebagai pembesar di Turki Uthmaniah. Kekeluargaan tersebut telah dimanfaatkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani dalam pelbagai sektor perjuangannya ketika beliau berada di Turki.

Sebagai catatan, sewaktu penulis dalam menyelesaikan sejarah ini, salah seorang keturunan Baba Daud al-Jawi ibnu Ismail ar-Rumi bernama Hajah Nik Wan Fatimah (Kak Mah) binti Haji Wan Abdul Qadir Kelantan bin Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani, meninggal dunia pada 13 Rabiulakhir 1420 H/26 Julai 1999, hari Isnin, pukul 11 pagi di Kota Bharu, Kelantan.

Sepanjang hayatnya beliau giat mengajar al-Quran dan membuka sekolah untuk mendidik kanak-kanak di rumah kediamannya di Kota Bharu.

Sebagai penutupnya, mengenai Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani dan keturunannya akan dibicarakan lebih lanjut di bawah judul nama beliau pada siri-siri yang berikutnya.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1210&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm&arc=hive

Sunday, 22 July 2012

Syeikh Burhanuddin Ulakan penyebar Islam di Minangkabau


Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
MENURUT Prof. Mahmud Yunus dalam Sejarah Pendidikan Islam di Indonesia (1979, hlm.20-21), bahawa ada dua orang yang bernama Syeikh Burhanuddin Ulakan itu, iaitu yang pertama ialah Syeikh Burhanuddin Ulakan, pembawa agama Islam ke Minangkabau yang kuburnya di Kuntu, Kampar Kiri.

Dikatakan bahawa Syeikh Burhanuddin Ulakan yang tersebut wafat pada tahun 610 H/1214 M. Menurut riwayat pula bahawa Syeikh Burhanuddin Ulakan sama-sama datang dengan Syeikh Abdullah Arif yang menyebarkan agama Islam di Aceh.

Syeikh Burhanuddin pertama datang ke Minangkabau mengajar di Batu Hampar sekitar 10 tahun lamanya. Sesudah itu, dia berpindah ke kumpulan yang berdekatan dengan Bonjol, mengajar di situ sekitar lima tahun. Kemudian dia meneruskan kegiatan dakwahnya ke Ulakan, Pariaman, mengajar selama 15 tahun. Dilanjutkan pula mengajar di Kuntu, Kampar Kiri, di sana dia mengajar selama 20 tahun, sehingga dia wafat pada 610 H/1214 M itu.

Diriwayatkan pula bahawa peninggalan-peninggalan Syeikh Burhanuddin Ulakan yang tersebut ialah berupa sebuah stempel yang diperbuat daripada tembaga tulisan Arab, sebilah pedang, kitab Fathul Wahhab karya Syeikh Abi Zakaria al-Ansari dan khutbah Jumaat tulisan tangan dalam bahasa Arab.

Syeikh Burhanuddin Ulakan yang seorang lagi pula dilahirkan pada 1066 H/1655 M, atau menurut riwayat yang lain dia lahir jauh sebelum tahun yang tersebut itu, kerana pada 1029 H/1619 M, ketika masih kecil telah mengikut kedua-dua orang tuanya pindah ke Sintuk (Pariaman).

Namun yang dibicarakan dalam artikel ini ialah Syeikh Burhanuddin Ulakan ini, iaitu dia adalah murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Syeikh Burhanuddin Ulakan inilah orang pertama menyebarkan Thariqat Syathariyah di Minangkabau.

PENDIDIKAN

Namanya ketika masih kecil ialah Si Pono, ayahnya bernama Pampak. Ayahnya masih beragama Buddha, namun Si Pono dari Sintuk pergi ke Ulakan, pergi belajar kepada Angku Madinah yang berasal dari Aceh. Pada tahun 1032 H/1622 M atas anjuran gurunya, dia melanjutkan pelajaran agama Islam kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di Aceh. Lalu Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri menukar namanya daripada Si Pono menjadi Burhanuddin. Tiga belas tahun lamanya dia belajar kepada ulama yang wali Allah itu. Ketika belajar berteman dengan beberapa orang, di antaranya Datuk Marhum Panjang dari Padang Ganting Tanah Datar, Tarapang dari Kubang Tiga Belas (Solok) dan lain-lain.

Beliau adalah seorang yang sangat patuh kepada gurunya, hal ini pernah diceritakan oleh Dr. Syeikh Haji Jalaluddin dalam salah satu bukunya sebagai berikut di bawah ini, “Dari sehari ke sehari tumbuhlah kasih sayang, takut dan malu kepada Syeikh tersebut. Pada suatu hari Syeikh itu mengunyah- nguyah sirih. Tiba-tiba tempat kapur sirihnya terlepas dari tangannya jatuh ke dalam kakus. Yang mana kakus (tandas,pen:) itu sangat dalam, telah dipakai berpuluh-puluh tahun”. Tuan Syeikh berkata: “Siapa antara kalian sebanyak ini sudi membersihkan kakus itu sebersih-bersihnya? Sambil untuk mengambil tempat sirih saya yang jatuh ke dalamnya?”.

Ramai murid yang merasa enggan dan malas mengerjakan yang diperintah Syeikh itu. Lantas Burhanuddin bekerja berjam-jam membersihkan kakus itu sehingga bersih dan tempat kapur sirih pun dijumpai, lalu dibersihkannya dan dipersembahkannya kepada Syeikh tersebut. Lantas tuan Syeikh berdoa dengan sepanjang-panjang doa. Selanjutnya Syeikh itu berkata: “Tanganmu ini akan dicium oleh raja-raja, penghulu-penghulu, orang besar di Sumatera Barat dan muridmu tidak akan putus-putusnya sampai akhir zaman, dan ilmu kamu akan memberkati dunia ini. Aku namai kamu Saidi Syeikh Burhanuddin”.

 

KEMBALI KE MINANGKABAU

Setelah dia berasa ilmu telah banyak dan telah pula mendapat keizinan daripada gurunya, Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, beliau pun kembali ke tempat asalnya. Sebelumnya gurunya berkata, “Pulanglah kamu ke negerimu, ajarkanlah ilmu apa-apa yang ditakdirkan oleh Allah. Kalau kamu tetap kasih, takut, malu, patuh kepadaku nanti kamu akan mendapat hikmat kebatinan yakni seolah-olah ruhaniyah saya menjelma kepadamu. Kalau kamu berkata, seolah-olah kataku. Kalau kamu mengajar seolah-olah pengajaranku. Bahkan terkadang-kadang rupa jasadmu seolah-olah jasadku. Kalau kamu sudah begitu rupa mudahlah bagi kamu mengajarkan agama Islam kepada siapa pun juga. Yang kamu perdapat itu, itulah yang dikatakan Rabithah Mursyid. Seseorang yang mendapat Rabithah Mursyid orang itu akan terus mendapat taufik dan hidayah Allah. Dan diberi ilmu hikmah, terbuka rahsia Allah dan berbahagialah orang itu dunia akhirat, insya-Allah. Kita hanya bercerai pada lahir, pada batin kita tidak bercerai,” demikian Dr. Syeikh Haji Jalaluddin yang ditulis dengan gaya tasawuf bersifat propaganda.

Prof. Dr. Hamka menulis dalam bukunya Ayahku bahawa Syeikh Burhanuddin Ulakan murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri kembali ke kampung halamannya pada tahun 1100 H bersamaan tahun 1680M. Sejarah mencatat bahawa beliau meninggal dunia di Ulakan pada 1111 H atau 1691 M, lalu dimashyurkan oranglah namanya dengan “Syeikh Burhanuddin Ulakan”.

Mengenai riwayat hidup yang pernah diterbitkan, iaitu buah pena Tuan Guru Haji Harun At-Thubuhi Rafinayani. Bahawa dalam buku kecil itu menyebut Syeikh Burhanuddin itu adalah berasal daripada suku Guci. Buya K.H. Sirajuddin Abbas juga menulis demikian. Terakhir sekali tentang tokoh sufi ini dapat pula dibaca dalam tulisan Drs. Sidi Gazalba yang dimuat dalam buku Mesjid Pusat Ibadat dan Kebudayaan Islam.

KETURUNAN

Menerusi tulisan Dr. Syeikh Haji Jalaluddin, dapat juga disimpulkan keterangan bahawa Syeikh Burhanuddin kembali dari Aceh dengan berjalan kaki. Mula-mula dia sampai ke negeri Tiku, Kabupaten Agam sekarang. Di Tiku itu dia berkahwin dengan seorang perempuan setempat. Dari perkahwinan itu dia mendapat anak lelaki dinamakan anaknya itu dengan “Sidi Abdullah Faqih”,. Beliau ini meneruskan ajaran orang tuanya.

Sidi Abdullah Faqih mendapat anak bernama “Sidi Abdul Jabbar”. Syeikh Abdul Jabbar mendapat anak bernama "Sidi Syeikh IIyas”. Sidi Syeikh Ilyas mendapat anak bernama “Sidi Yusni”. Sidi Yusni adalah murid Dr. Syeikh Jalaluddin dan sangat patuh kepada gurunya. Mungkin ayahnya Sidi Ilyas adalah keturunan Syeikh Burhanuddin Ulakan yang pertama mengamalkan Thariqat Qadiriyah dan Naqsyabandiyah, kerana sebelumnya semuanya mengamalkan Thariqat Syathariyah. Diketahui pula bahawa Sidi Syeikh Ilyas tersebut adalah cicit Syeikh Burhanuddin Ulakan, beliau inilah baru mempersatukan antara tarekat dengan ilmu pencak silat, sebagai alat mempertahankan diri.

Manakala yang ditulis oleh Dr. Syeikh Jalaluddin tersebut agak berbeza dengan cerita masyarakat, yang meriwayatkan bahawa Syeikh Burhanuddin Ulakan tidak mempunyai zuriat. Diriwayatkan bahawa ketika dia belajar di Aceh pada suatu hari kerana syahwatnya naik, dia telah memukul kemaluannya sendiri, sehingga kemaluannya mengalami kecederaan dan menyebabkan tidak berfungsi lagi untuk melakukan hubungan seks.

 

TRADISI HARI RABU AKHIR BULAN SAFAR

Hingga kini kubur Syeikh Burhanuddin Ulakan masih diziarahi orang, lebih-lebih pada hari Rabu akhir bulan Safar. Dr. Syeikh Haji Jalaluddin selaku Ketua Umum Seumur Hidup P.P.T.I (Persatuan Pembela Thariqat Islam) mengajak seluruh pengikutnya setelah selesai Kongres P.P.T.I yang ke-16 mengadakan ziarah ke makam Syeikh Burhanuddin di Ulakan.

Semua mereka mengi'tiqadkan bahawa Syeikh Burhanuddin Ulakan adalah seorang Wali Allah yang banyak karamahnya. Kalau bertawassul kepadanya selalu dimustajabkan. Salah satu tradisi yang terjadi di makam di Ulakan itu yang terkenal sampai sekarang ialah Basapa. Tentang ini kita ikuti tulisan Sidi Gazalba, sebagai berikut, “Syeikh Burhanuddin wafat 10 Safar 1111 Hijrah. Kerana 10 Safar itu tidak tentu jatuh pada hari Rabu, maka ziarah ke makam pembangun Islam di Minangkabau itu yang dilakukan serempak hampir dari tiap pelosok Minangkabau, dilakukan dari hari Rabu sesudah 10 Safar itu setiap tahun.

Berziarah ini terkenal dengan sebutan basapa (bersafar) yang dilakukan serempak oleh puluhan ribu orang sebelum perang Pasifik. Maka jalan di antara Pariaman dan Ulakan penuh oleh iringan orang-orang pulang ziarah, yang jumlah panjangnya sampai kira-kira 10 kilometer. Kaum Muda di Minangkabau menolak basapa. demikian menurut Drs. Sidi Gazalba.

Ramai orang menuduh yang melakukan basapa terutamanya terdiri dari golongan tasawuf, lebih-lebih golongan Thariqat Syathariyah. Akan tetapi kalau kita selidiki lebih jauh, bukti dan kenyataannya bukan golongan Syathariyah saja, namun demikian golongan Thariqat Qadiriyah, golongan Thariqat Naqsyabandiyah, juga pengikut Mazhab Syafie bahkan orang-orang yang mengaku berdasarkan al-Quran dan hadis (tegasnya kaum muda) pun tidak kurang pula mengerjakan basapa di kubur Syeikh Burhanuddin di Ulakan itu.

Upacara basapa/bersafar adalah merupakan tradisi nasional kerana dia juga dilakukan di tempat lain di seluruh Nusantara. Penulis belum yakin bahawa dikeranakan Syeikh Burhanuddin itu wafat hari Rabu bulan Safar dijadikan sebab maka terjadinya basapa. Di Kalimantan Barat misalnya, orang bersafar ke kubur Upu Daeng Menambon di Sebukit Raya (di hulu Mempawah). Orang menduga bahawa Upu Daeng Menambon meninggal dunia pada 16 Safar 1174 H, iaitu tepat pada hari Rabu di akhir bulan Safar. Di Tanjung Katung, Singapura, pada zaman dulu ramai orang mandi-mandi Safar di sana, ini diakibatkan dengan meninggalnya siapa? Dan meninggalnya siapa pula jika dikerjakan perkara itu di tempat lain-lainnya?

Sebenarnya dalam kitab-kitab Islam banyak yang menyebut memang ada dinamakan bala pada akhir Safar. Seumpama Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani menyalin perkataan ulama, yang beliau muat dalam kitabnya Al-Bahyatul Mardhiyah, kata beliau, “Kata ulama disebut dalam kitab Al-Jawahir, diturunkan bala pada tiap-tiap tahun 320,000 (tiga ratus dua puluh ribu) bala. Dan sekalian bala pada hari Rabu yang akhir pada bulan Safar. Maka hari itu terlebih payah daripada setahun”. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis juga seperti demikian di dalam kitabnya, Jam'ul Fawaid.

Demikian juga ulama-ulama lainnya, baik yang berasal dari dunia Melayu mahu pun bukan. Jelas bahawa memang ada ulama yang mengakui pada hari Rabu akhir Safar itu ada bala yang turun. Bahawa Islam meyakini memang ada yang dinamakan bala, ada yang dinamakan taun, ada yang dinamakan wabak dan sebagainya. Sebaliknya sebagai perimbangannya ada yang dinamakan rahmat, ada yang dinamakan berkat, ada yang dinamakan hidayat dan sebagainya.

Tentang bila Tuhan menurunkan yang tersebut itu tiada siapa yang mengetahuinya. Dalam Islam ada nama-nama yang tersebut itu semua, bahkan telah menjadi keyakinan adanya. Sungguh pun turunnya bala, wabak atau sebaliknya tiada siapa yang mengetahuinya. Namun dalam menyambut hari yang bersejarah bolehlah akhir Safar, Rabunya dimasukkan dalam kategori ini ramai orang membuat kaedah-kaedah baru yang kadang-kadang berlebih-lebihan sifatnya. Selalu pula terjadi bidaah dan khurafat yang dicela oleh Islam itu sendiri.

Sebagai contoh, bersuka ria pada akhir Safar itu dengan melakukan mandi-mandi secara berkelompok, berkumpul lelaki dan perempuan adalah satu pekerjaan bidaah mazmumah yang sangat dilarang oleh syarak. Akan tetapi berdoa minta perlindungan daripada bala atau memohon rahmat atau lainnya adalah diajarkan oleh agama Islam. Meminta sesuatu kepada Allah boleh dilakukan setiap saat baik pada akhir Safar atau waktu lainnya lebih-lebih waktu yang dianggap berkat. Doa-doa dan perbuatan meminum air Safar pun tidak pula dapat dinafikan kerana banyak ulama yang telah menulis wafaq Safar itu di dalam kitab-kitab mereka, yang salahnya adalah perbuatan si jahil yang selalu melakukannya berlebih-lebihan.

Hingga di sini penulis tutup mengenai Syeikh Burhanuddin Ulakan, ulama besar mazhab Syafiie, pengikut fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah, penyebar Thariqat Syathariyah di daerah Minangkabau yang telah mencurahkan seluruh hidupnya untuk Islam semata-mata bukan kepentingan lainnya. Usaha-usahanya belakang hari akan diikuti oleh ulama-ulama yang berasal dari Sumatera Barat secara berantai yang tiada akan putus-putusnya hingga waktu sekarang.

Kita mengenali nama-nama popular yang berasal dari Minangkabau di antaranya ialah; Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau, Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Latif Minangkabau, Syeikh Sulaiman Ar-Rasuli Candung, Syeikh Jamil Jaho, Dr. Syeikh Haji Jalaluddin, Syeikh Jamil Jambek, Dr. Abdul Malik Amrullah, Kiayi Haji Sirajuddin Abbas, Prof. Dr. Hamka dan ramai lagi.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1217&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Saturday, 21 July 2012

Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi Datuk Seri Raja Faqih


Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
PADA riwayat Syeikh Sa'id, mengenai Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi yang akan diriwayatkan ini, di sana-sini telah penulis singgung serba ringkas.

Oleh itu, perkara yang telah penulis bicarakan tidak perlu diceritakan lagi. Penulis langsung saja membuat petikan daripada yang termaktub dalam salah sebuah versi Tarikh Fathani, iaitu versi yang sama dengan penulis petik mengenai cerita Syeikh Sa'id tersebut.

Petikan selengkapnya, "Maka paduka anakanda baginda itu Sultan Mughaffar Syah lah dirajakan orang. Hatta kerajaan paduka ayahanda baginda itu dudukkan di atas takhta kerajaannya dengan adil dan murahnya. Maka negeri Fathani pun makin bertambah sentosa dan makmurnya. Dan dagang santeri pun terlalu banyak pergi datang. Antara [be]berapa lamanya maka datang pula seorang Pasai bernama Syeikh Shafiyuddin, pun berbuat rumah di padang, di luar pintu gerbang itu. Hatta, maka Syeikh Shafiyuddin pun dipanggil [oleh] raja bertanyakan perintah agama Islam. Maka sembah Syeikh Shafiyuddin, "Ada pun tiap-tiap negeri Islam itu maulah ada sebuah masjid [tempat] segala rakyat menyembah Allah Taala. Maka nyatalah agama Islam itu. Jika tiada ada masjid di dalam negeri ini, bahawa tiada adalah kenyataan agama Islam itu".

Maka Sultan Mughaffar Syah pun memberi titah kepada Bendahara menyuruh membuat sebuah masjid di dalam negeri dan sebuah masjid di Bandar. Syahdan maka masjid itu pun sudahlah dibuat kedua[-dua]nya seperti sembah Syeikh Shafiyuddin itu. Maka Syeikh Shafiyuddin pun dikurnia nama Seri Raja Faqih. Syahdan agama Islam pun makin masyhurlah dari segala daerah, dusun dan kampung hingga sampai ke Kota Mahligai itu pun Islamlah mengikut syariat Nabi Muhammad s.a.w.. Syahdan sungguhpun [demikian] yang pekerjaan kafir seperti menyembah kayu, batu dan tambun itu tiada ditinggalkannya, sehingga menyembah berhala dan makan babi itu juga yang tiada dikerjakannya. Demi kianlah hikayat asal raja Islam pada negeri Fathani ini."

Memperhatikan jalan cerita daripada petikan di atas, jelas ada perbezaan dengan versi sejarah Patani yang lain, sebagaimana telah disebutkan bahawa beberapa versi sejarah Patani, jalan cerita Syeikh Shafiyuddin serupa dengan jalan cerita Syeikh Sa'id yang mengislamkan raja Patani yang ditimpa penyakit pecah-pecah pada kulit.

Mengenai tahun juga sangat sukar untuk dipastikan, sebagaimana telah penulis sebutkan bahawa kedatangan Syeikh Shafiyuddin ke Paya Patani tahun 1400 Masihi, beberapa tulisan lain menyebut bahawa antara tahun 1500 Masihi atau lebih lewat dari itu.

Penentuan tahun yang diberikan Tarikh Fathani yang penulis pergunakan transliterasi terlalu jauh selisihnya. Bahawa kedatangan Syeikh Shafiyuddin ke Patani tidak berapa jauh waktunya dengan kedatangan Syeikh Abdus Sha mad yang berasal dari negeri Rom tu kang buat bedil. Tertulis, "... tatkala menuang dia itu hijrah Nabi Shalla lallahu 'alaihis Salam kurang delapan puluh tahun baharu, pada tahun tikus, pada tiga Ramadan, pada malam Selasa ..." (bererti 3 Ramadan 79 H/698 M, pen:).

Dalam sejarah Patani disebutkan ba hawa kedatangan Syeikh Shafiyuddin ke Patani tak begitu jauh jaraknya setelah peristiwa penuangan tembaga membuat meriam di Patani yang terjadi pada tahun yang tersebut itu. Orang boleh saja menolak bahawa pada persekitaran tahun 79-80 Hijrah yang di sebut dalam sejarah Patani itu di dunia mana pun belum kenal akan senjata yang dinamakan meriam itu. Tetapi perlulah diambil kira apakah yang dimaksudkan dengan meriam dan tem baga menurut istilah bahasa Patani itu, yang pada konteks ini bukan sama dengan meriam atau tembaga pada is tilah sekarang.

Jadi, berdasarkan yang tersebut di perkirakan Syeikh Shafiyuddin datang ke Patani sekitar tahun 79 Hijrah itu, jika diletakkan agak lewat sedikit, maka sekitar tahun 80 Hijrah/699 Masihi. Jika Tarikh Fathani versi yang penulis pergunakan tersebut tidak salah da ripada pengarang ataupun penyalin nya, maka semua sejarah yang telah ditulis yang berdasarkan andaian atau perhitungan menurut kira-kira atau dugaan saja, yang begitu jauh selisih jarak tahunnya, seperti yang telah di sebutkan perlu dikaji semula dengan seteliti-telitinya.

Oleh sebab manuskrip yang ada pada penulis sesuai dengan transliterasi Siti Hawa Haji Salleh tersebut, penulis ya kin bahawa tahun yang diberikan itu adalah tidak salah salin. Ini kerana manuskrip yang digunakan oleh Siti Hawa Haji Salleh dengan manuskrip yang penulis gunakan sama sekali tidak ada hubungannya. Manuskrip yang di gunakan oleh Siti Hawa Haji Salleh berasal dari Library of Congres, Was hington, Amerika Syarikat. Sedangkan manuskrip yang penulis gunakan berasal daripada sim panan orang tua-tua di Patani yang dipusakai beberapa keturunan. Setelah memperhatikan tahun-tahun yang jauh berbeza, maka barangkali yang ber nama Syeikh Shafiyuddin di Patani ada tiga orang, menurut urutan tahun ialah:

1. Syeikh Shafiyuddin yang datang dalam tahun 79-80 H/698 M.

2. Syeikh Shafiyuddin al-'Abbasi ke turunan Mu'tasim Billah yang kubur nya terletak di Sungai Pandan, Kerisik, Patani yang sampai ke Paya Patani tahun 1400 Masihi.

3. Syeikh Shafiyuddin yang menjadi datuk nenek raja-raja, dan pembe sar-pembesar Patani dan Kelantan yang hidup dalam tahun 1500an Ma sihi.

Manakala yang dibicarakan dalam artikel ini hanyalah riwayat Syeikh Sha fiyuddin ke-2 (1400 Masihi) dan ke-3 (1500an Masihi) saja.

KARYA

Maklumat mengenai kitab Tarikh Fathani yang paling awal disusun ada lah karya cucu Syeikh Shafiyuddin, be liau ialah Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi. Sebenarnya sejarah Patani judul tersebut hanyalah merupakan ter jemahan dari karya Syeikh Shafiyuddin sendiri yang beliau tulis dalam bahasa Arab dan selain terjemahan daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu dibuat beberapa tambahan oleh Syeikh Faqih Ali al-Fathani sendiri.

Hal tersebut ada dinyatakan oleh Syeikh Faqih Ali al-Fathani, "Syahdan ada tulisan bahasa Arabiyah daripada nenek perhamba [Syeikh] Shafiyuddin, maka bahasa Arabiyah ini perhamba fahamlah dan senanglah ambil mak nanya. Dan ada seorang datang dari Bogor, iaitu seorang yang asalnya dari Bogor, Jawa, duduk tumpang Sultan Petani, dan dia tahu bahasa Jawa. Dan banyaklah dia tolong perhamba. Per hamba mengucap syukran kepadanya banyak-banyak...."

Tarikh Fathani karya Syeikh Faqih Ali al-Fathani yang berasal dari karya Syeikh Shafiyuddin itu yang telah di temui sekarang adalah merupakan sa linan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, yang selesai menyalinnya pada tahun 1228 Hijrah/1813 Masihi.

Tarikh Fathani versi yang tersebut adalah penting kerana:

* Memberi maklumat bahawa Patani telah wujud sejak tahun 200 Ma sihi.

* Memberi maklumat bahawa Patani dan Kedah itulah yang bernama Kerajaan Langkasuka.

* Memberi maklumat bahawa antara tahun 75 Masihi sehingga tahun 800 Masihi, Langkasuka-Patani te lah berpengaruh di dunia antara bangsa terutama sekali terhadap China, Arab dan Parsi, apatah lagi terhadap kerajaan-kerajaan Melayu seumpama Sriwijaya, Sailandera, Khemir dan lain-lain.

* Memberi maklumat bahawa agama tauhid (samawi), iaitu agama yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi Isa sejak lama telah dianuti oleh orang Melayu Patani.

* Memberi maklumat bahawa agama Islam telah tersebar di Patani sejak tahun 750 Masihi, yang merupakan persaingan terhadap agama Hindu, Buddha dan Animisme.

Selain Tarikh Fathani ada lagi sebuah karya yang berasal daripada Syeikh Shafiyuddin, iaitu yang diberi judul Kitab Sia-sia Berguna. Kandungannya membicarakan pelbagai jenis penyakit dan ubat-ubatnya. Kitab Sia-sia Berguna pernah disalin oleh salah seorang keturunannya tetapi tidak diketahui namanya. Pada bahagian mukadimah dinyatakan sebagai yang berikut, "Dan dengan ini hamba himpun sekalian kitab dan penawar, dan hamba kutip daripada kitab Syeikh Shafiyuddin Tok Raja Faqih Fathani untuk jadi sebuah kitab yang diingati bahagi anak cucu hamba dan tiada payah mencari dukun. Maka dengan melihat kitab ini me madai sudah. Maka hamba beri nama kitab ini ialah sebuah Kitab Sia-sia Berguna. Dan hamba pusaka [kan] kepada waris atau anak cucu hamba masa akan datan[g]. Jikalau orang hendak melihat kitab ini, maka engkau berilah kepada dia itu, tetapi engkau melihat rupa-rupa orang itu. Jikalau orang itu tiada berilmu, tiada beriman, jangan sekali[-kali] engkau beri. Dan jikalau orang itu munafik, juga jangan engkau beri sama sekali. Dan jikalau engkau beri kepada orang [yang] tiada amanah, maka habislah kitab ini sia-sia, tiada berguna. Dan pula, lagi pula engkau tiada beramanah, iaitu hapus ...". Di dalam Kitab Sia-sia Berguna tersebut, terkumpul berma cam-macam jenis perubatan Melayu yang bahan-bahan bakunya digunakan terutama sekali terdiri daripada:

i) Menggunakan beberapa jenis yang berasal daripada organ binatang se perti: tulang, kulit, darah, daging, hati, hempedu, dan lain-lain.

ii) Menggunakan beberapa jenis tumbuh-tumbuhan, yang digunakan ialah: akar, daun, kulit, batang dan lain-lain.

iii) Menggunakan ayat-ayat al-Quran, doa-doa, azimat/wafaq, jam pi-jampi Melayu, dan lain-lain yang sejenisnya.

 

KETURUNAN

Syeikh Safiyuddin al-Abbasi @ Tok Seri Raja Faqih meninggalkan ramai zuriat yang menjadi ulama dan tokoh. Ia masih dapat dikesan sampai seka rang ini. Sungguh pun demikian dalam dua versi salasilah keturunan yang telah ditemui, menurut pendapat penulis, sa tu versi adalah sahih sedang versi yang satu lagi masih diragukan kerana belum cukup hujah. Dua versi salasilah itu ialah:

i) Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi @ Tok Raja Faqih memperoleh anak dua orang, iaitu Raja Ducang Bukit Jala bergelar Raja Fathani Long Cang. Dan yang seorang lagi bernama Wan Mu hammad bergelar Orang Kaya Seri Akar Diraja Mahaputeri Bagi Sultan Digalang Ismail Zhillullah fil 'Alam. Selanjutnya keturunan daripada per talian yang pertama ini adalah sahih.

ii) Salasilah yang kedua menyebut bahawa Syeikh Shafiyuddin adalah anak Faqih Ali al-Malabari. Syeikh Sha fiyuddin bin Faqih Ali al-Malabari pada salasilah yang kedua ini masih belum jelas apakah beliau juga yang dimak sudkan dengan Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi yang bergelar Datuk Seri Raja Faqih itu, atau kemungkinan di Patani pernah wujud dua orang yang bernama Syeikh Shafiyuddin yang kedua-duanya memang terkenal.

VERSI LAIN

Sebagaimana telah disebutkan sebelum ini, bahawa selain salasilah yang sahih, ada lagi salasilah yang kedua. Mengenai yang tersebut penulis mulakan riwayat bahawa dikatakan Syeikh Shafiyuddin itu adalah anak Nik Ali atau Faqih Ali al-Malabari atau Andi' Ali. Sumber perbicaraan yang penulis gunakan untuk ini, penulis temui salasilah di Kampung Jambu, Patani (1989) melalui saudara tiga pupu pe nulis Wan Umar, yang berasal dari Kampung Jambu itu.

Versi salasilah yang penulis peroleh daripada Wan Umar di sana sini ada persamaannya dengan salasilah yang ditulis oleh Haji Nik Ishak Tingkat, Kelantan, tetapi banyak pula kelainan nya. Jadi bererti Haji Nik Ishak Tingkat bukan menyalin daripada salasilah yang be rasal dari Kampung Jambu, Patani itu. Di dalam salasilah disebutkan bahawa Syeikh Shafiyuddin bersaudara kandung enam orang, iaitu:

1. Syeikh Shafiyuddin, Datuk Pujuk I, memerintah Patani

2. Nik Din, Menteri lagi Pahlawan bagi Datuk Pujuk I

3. Wan Ismail, Tok Kaya Pendek

4. Tok Kaya Rak Nak Diraja

5. Wan Faqih Hasan

6. Wan Nguk, isteri Tok Kaya Banggul

KUBUR

Sebagaimana dalam salasilah yang ada dalam simpanan penulis disebut kan bahawa Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi datang ke Paya Patani pada 1400 Masihi. Beliau adalah keturunan khalifah Mu'tasim Billah, daripada keturunan Saiyidina Abbas bin Abdul Muthalib. Bahawa beberapa kubur datuk neneknya dikatakan terdapat di Aceh sedang beliau sendiri kuburnya terletak di Sungai Pandan di negeri Fathani Darus Salam.

Sejak penulis peroleh salasilah itu, tengah malam 1 Syawal tahun 1970 Masihi, daripada tangan Tuan Guru Haji Mahmud, Kota Bharu Kelantan penulis mulai mencari kawasan Sungai Pandan itu.

Hampir setiap tahun penulis datang ke Patani kadang-kadang dalam setahun sampai tiga kali, namun tidak siapa yang dapat menunjukkan kepada penulis kawasan kubur itu secara pasti.

Syeikh Shafiyuddin digelar dengan Tok Faqih kerana ditemui kubur Tok Faqih di dalam daerah Jala. Namun penulis mulai ragu di mana kedudukan sebenarnya kubur Syeikh Shafiyuddin yang bergelar Tok Faqih itu.

Kubur Tok Faqih dalam wilayah Jala penampilannya sebagai kubur yang bersejarah adalah sangat tepat kerana di kawasan itu masih dapat dikesan sebagai tempat pengajian pondok. Di depan kubur terdapat bekas masjid, di sampingnya, terdapat sebuah rumah besar, bekas kediaman tuan guru.

Kuburnya pula dibuat bangunan yang beratap tetapi berdinding hanya bahagian bawahnya saja. Kuburnya dibina daripada batu bata tanah liat, begitu ting gi, kira-kira setinggi dada jika kita ber diri. Bentuknya agak lebar dan memanjang. Kubur Tok Faqih di Kampung Tok Faqih Jala tersebut sampai sekarang masih diziarahi orang untuk membayar nazar.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1224&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Friday, 20 July 2012

Keturunan Sheikh Muhammad Arsyad Al-Banjari


Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Ulama yang diperkenalkan pada artikel kali ini pernah dibicarakan oleh penulis dalam ruangan yang sama ini pada 19 September 2005.

Namun hanya meliputi sebahagian saja iaitu nama lengkap, pendidikan, sahabat-sahabat dan penulisan beliau.

Pada artikel ini pula akan dibicarakan tentang keturunan-keturunan Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang tersebar di seluruh pelosok Asia Tenggara; Brunei, Malaysia, Fathani, Mekah dan negeri-negeri lainnya. Demikian yang dapat dicatat melakukan aktiviti pendidikan, dakwah dan tokoh masyarakat, di antaranya yang diperkenalkan sebagai berikut:

DI KEDAH, MALAYSIA BARAT

Alimul ‘Allamah Kadi Haji Abu Su’ud bin Syeikh Muammad Arsyad al-Banjari kahwin di Kedah. Memperolehi seorang putera iaitu Mas’ud. Mas’ud berkahwin dengan Rajmah.

Beberapa orang keturunannya menjadi ulama-ulama besar yang terkenal di seluruh Malaysia. Mereka ialah: Alimul ‘Allamah Haji Muhd. Thayib bin Mas’ud, penyusun kitab Melayu berjudul Miftaahul Jannah. Ia sebuah kitab Melayu/Jawi yang terkenal dan banyak dikaji.

Haji Muhd. Zain bin Mas’ud, sebagai Hakim manakala Haji Bahauddin bin Mas’ud sebagai Pahlawan. Mas’ud bin Kadi Abu Su’ud sendiri adalah seorang syahid fi sabilillah yang tewas dalam peperangan antara Melayu (Islam) dengan Siam (Buddha) di Kedah ataupun Fathani Darussalaam.

Nasibnya mungkin sama seperti yang dialami oleh Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani, Haji Sulong al-Fathani dan para syuhada lainnya.

DI JOHOR, MALAYSIA BARAT

Jalan dakwah Banjar ke Johor, dirintis oleh keturunan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Zakaria bin Mufti Haji Abdul Jalil bin Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhd Arsyad al-Banjari. Beliau berkahwin di Mersing, Johor, memperolehi 13 anak.

Kemudian dengan perkahwinan Alimul Fadhil Haji Muhd Yasin bin Khalifah Haji Hasanuddin, di Teluk Belanga Singapura, kegiatan dakwah ke Johor dipergiat lagi. Melalui perkahwinannya di Teluk Belanga Singapura itu, Haji Muhd. Yasin memperoleh lima anak iaitu, Haji Ja’afar menjadi kerani Kerajaan Johor, Haji Abdur Rahim menjadi Imam Masjid Teluk Belanga, Rahmah mengajar al-Quran dan hukum-hukum Islam di Johor, pekerjaan yang sama juga dilakukan oleh saudaranya sendiri iaitu Aminah.

Saudaranya yang terakhir bernama Haji Harun guru sekolah dan Bilal Teluk Belanga. Mereka semuanya mempunyai keturunan di Johor dan Singapura.

DI SARAWAK, MALAYSIA TIMUR

Dalam rangka menyebarkan Islam dengan memasuki sektor perdagangan, salah seorang zuriat Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Abdul Ghani pergi ke Mukah, Sarawak. Abdul Ghani sewaktu di Banjar kahwin dengan Saudah binti Haji Muhd As’ad, semua anaknya meninggal dunia.

Di Sarawak, Abdul Ghani berkahwin lagi dan memperoleh dua anak iaitu Muhd. Said dan Sa’diyah. Muhd. Sa’id memperoleh dua orang anak iaitu Adnan dan Jannah.

Sa’diyah dapat anak bernama Sailis, pindah ke Sekadau, Kalimantan Barat, Indonesia.

DI BRUNEI DARUSSALAM

Bagi memperkukuhkan dakwahnya di Brunei, Alimul ‘Allamah Haji Muhd Thasin bin Mufti Haji Jamaluddin bin Sheikh Muhd Arsyad al-Banjari berkahwin berkali-kali, iaitu dengan Hamimah memperoleh seorang putera bernama Abdur Rahman.

Perkahwinan dengan Siti, memperolehi Shafura dan Mahmud. Dengan Aminah binti Alimul ‘Allamah Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Latif memperoleh putera bernama Haji Muhd. Ramli. Melalui perkahwinan dengan Bintang memperoleh putera bernama Salman dan Thaha.

Perkahwinan tersebut semuanya di Brunei, sedang sebelumnya beliau telah berkahwin di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia.

DI FATHANI DARUSSALAM

Sheikh Abdur Rahman Shiddiq menulis, “Kiai Dipa Santa Ahmad bin Fardi bin Ahmad beranak tiga orang. Pertama Haji Amin, belayar ke Fathani dan beristeri di sana. Maka zuriatnya semuanya di Fathani”.

DI PONTIANAK, KALIMANTAN BARAT (INDONESIA)

Haji Thasin bin Syeikh Jamaluddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang ke Pontianak, memperoleh tiga anak iaitu Haji Muhammad Yusuf, Haji Arsyad dan Abdur Rahman.

Diceritakan bahawa Haji Muhammad Yusuf bin Haji Thasin setelah beliau belajar ilmu-ilmu keislaman, lalu menjadi seorang pedagang intan.

Beliau merantau ke seluruh Kalimantan, Sumatera hingga keluar negeri ke Saigon dan Kemboja. Di Kampung Melayu Kemboja, beliau berkahwin lagi. Bahawa beliau berkahwin sebanyak 40 kali. Isteri yang terakhir inilah yang dibawa kembali ke Kalimantan Barat.

Beliau membuka tanah perkebunan getah yang sangat luas, setelah pekerjaannya tersebut menjadi lalu diberi nama Kampung Saigon. Beliau sendiri popular dengan sebutan Haji Yusuf Saigon sehingga hilang nama negeri asalnya Banjar.

Adiknya pula seorang ulama yang menyiarkan Islam dengan berpindah dari satu kampung ke satu kampung, namun beliau sempat menulis beberapa buah kitab. Kitab Tajwid Fatihah cetakan pertama al-Ahmadiyah Singapura tahun 1348 H/1929 M adalah salah satu daripada kitab-kitab beliau yang ada pada penulis.

Keterangan daripada anak beliau, Ustaz Haji Fauzi bahawa masih ada beberapa buah karangannya di antaranya Ilmu Ushul Fiqhi. Sungguh sayang beberapa buah karya itu masih belum ditemui kerana hilang dalam simpanan beliau.

Prof. Dr. Hamka menulis pada kata pengantar karya orang tuanya, “Orang pertama menulis Ilmu Ushul Fiqhi dalam bahasa Melayu ialah Dr. Haji Abdul Karim Amrullah yang diberinya nama Sullamul Ushul Yurqabihi Sama’u Ilmul Ushul selesai ditulis pukul 6.30 pagi, Sabtu 24 Muharam 1333 H atau 12 Disember 1914 M di Jambatan Besi, Padang Panjang”.

Jika Ushul Fiqhi karya Haji Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Thasin itu ditemui tentu dapat dibandingkan dengan karya ayah/orang tua Buya Hamka itu. Mungkin itu lebih dahulu atau selisih tahun yang tidak begitu jauh.

Dua orang putera Haji Muhammad Thasin iaitu Haji Muhammad Yusuf Saigon dan Haji Muhammad Arsyad Pontianak yang tersebut di atas setelah melihat kesuburan pohon getah dari usaha jerih payah, mereka sendiri bangkit kembali cita-cita meneruskan perjuangan datuk mereka, Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang dianggap sebagai ‘Matahari Islam’ itu.

Kedua-duanya sama-sama beriktikad bahawa tiada suatu perjuangan pun yang terlebih mulia yang dapat menyelamatkan seseorang baik di dunia mahupun akhirat melainkan perjuangan menyebarkan ilmu-ilmu yang diajarkan oleh para Nabi dan Rasul Allah.

Urusan mencari dana ditangani oleh Haji Muhammad Yusuf, manakala untuk propaganda dan dakwah oleh saudaranya Haji Muhammad Arsyad. Cita-cita mereka dikabulkan Allah kerana dalam tahun 1925 M, datang seorang pemuda dari Ketapang bernama Haji Abdush Shamad yang baru tamat dari pendidikannya di Madrasah Shaulatiyah, Mekah.

Haji Abdush Shamad ditampung oleh Haji Muhammad Saigon, lalu didirikanlah Pondok Pesantren Saigoniyah yang dianggap oleh masyarakat sebagai pondok pengajian yang pertama sekali di Kalimantan Barat.

Adapun pondok pengajian selainnya ialah Darul Ulum yang didirikan oleh Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani lepasan Pondok Kenali Kelantan/Malaysia, terletak di Kampung Terusan, Mempawah.

Selain dari sistem pondok pesantren di Kalimantan Barat, terdapat juga lembaga pendidikan berbentuk madrasah di antaranya yang dianggap tua ialah Madrasah al-Falah didirikan oleh Syeikh Yusuf al-Manshuri tahun 1917 M.

Pondok Pesantren Saigoniyah banyak menghasilkan kader-kader yang masih dapat dijejaki kesan-kesannya, namun jumlahnya tidaklah ramai. Salah seorang daripada lepasan Saigoniyah ialah Haji Abdul Manaf.

Beliau pernah berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Pondok Pesantren Al-Fathanah yang didirikan oleh penulis. Beliau merupakan seorang yang pakar tentang ilmu faraid dan ilmu nahwu.

Saigoniyah telah hilang namanya akibat perang dunia kedua, namun muncul pula dengan nama baru, dalam tahun 1977 M iaitu Madrasah Al-Irsyad.

Berkemungkinan bahawa nama itu adalah untuk mengabadikan nama Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, juga nama Haji Muhammad Arsyad.

DI SAPAT INDERAGIRI, SUMATERA

Kita tinjau pula lembaga pendidikan dan dakwah Islamiah keturunan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari di Sumatera.

Ada seorang cicit beliau bernama Haji Abdur Rahman Siddiq tinggal di Sapat, Inderagiri. Beliau adalah seorang ulama besar yang terbukti dengan karya-karya nyatanya.

Beliau adalah orang pertama menyusun sejarah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dengan buku berjudul Syajaratul Arsyadiyah. Selain itu, beliau banyak meninggalkan karya penulisan yang dicetak oleh al-Ahmadiyah Press Singapura. Ulama ini adalah orang pertama membuka sekolah di Sapat.

DI MEKAH

Dalam beberapa buku karya Sheikh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa al-Fadani (Padang) ada menyebut bahawa anak Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Sheikh Yusuf bin Muhammad Arsyad al-Banjari.

Di belakang nama ada juga ditulis dengan al-Bantani. Syeikh Yusuf al-Banjari tersebut belajar kepada ayahnya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari di Mekah dan juga kepada Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani.

Sheikh Nawawi al-Bantani adalah salah seorang murid beliau. Pelbagai bidang ilmu terdapat sambungan sanad sama ada dari ayahnya ataupun Sheikh Muhammad Abdush Shamad al-Falimbani tersebut.

Selain itu, Sheikh Yasin Padang juga menyebut salah seorang anak Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Mahmud. Iaitu keturunannya yang menjadi ulama di Mekah.

Nama penuhnya ialah Sheikh Ali bin Mahmud bin Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Sheikh Ali al-Banjari ini lahir di Mekah tahun 1285 H/1868 M. Beliau belajar kepada Sayid Abu Bakar Syata, Sheikh Said Yamani, Sheikh Yusuf al-Khaiyat, Habib Husein bin Muhammad al-Habsyi al-Alawi, Habib al-Alawi bin Ahmad as-Saqaf, Mufti ‘Abid bin Husein bin Ibrahim al-Makki, Habib Ahmad bin Hassan al-Atas, Habib Umar bin Salim al-Atas, Sheikh Mahfuz Termas, Sheikh Ahmad al-Fathani dan lain-lain.

Sheikh Ali al-Banjari mengajar di Masjidil Haram. Beliau wafat pada malam Jumaat 12 Zulhijjah 1307 H, dikebumikan di Mu’alla, Mekah.

TEMPAT-TEMPAT LAIN

Selain lembaga-lembaga pendidikan zuriat-zuriat beliau di Pontianak Kalimantan Barat, Sapat/Inderagiri dan Malaysia, masih banyak lagi lembaga-lembaga lain baik di tanah Banjar sendiri mahupun di Pulau Jawa.

Di Bangil Jawa Timur terdapat Pondok Pengajian yang didirikan oleh zuriatnya dengan nama Pesantren Untuk Kelampayan. Pondok ini dipimpin oleh zuriat beliau bernama al-‘Alim al-Fadhil Haji Muhammad Syarwani Abdan.

Di Dalampagar (Banjar) terdapat dua madrasah yang didirikan oleh zuriat beliau, demikian juga di Telok Selong, Kampung Melayu dan lain-lain. Berbagai-bagai nama madrasah itu di antaranya yang dapat diketahui Madrasah Sullamul ‘Ulum dan Madarasah Mura’atus Shibyaan, kedua-duanya di Kampung Dalampagar tersebut.

Madrasah Sabiilur Rasyad di Kampung Selong, Madrasah al-Irsyad di Kampung Sungai Tuan. Berkemungkinan masih banyak lagi yang belum kita ketahui.

Sewaktu penulis menunaikan haji tahun 1979 M, ada orang menceritakan bahawa ada seorang ulama Banjar mengajar di Masjidil Haram bernama Haji Abdul Karim al-Banjari. Beliau termasuk salah seorang di antara zuriat Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.

Selain berita tersebut, bahawa di Martapura telah terbentuk Yayasan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjar yang diketuai oleh Haji Asdhy Suryadi. Yayasan ini terbentuk dalam rangka haulnya oleh panitia 30 November 1967, Haul Sheikh Arsyad al-Banjari ke 160 jatuh pada hari wafat beliau iaitu 7 Syawal 1387 H/ 7 Januari 1968 M bertempat di Kompleks Kubah Kelampayan, Kalimantan Barat, Indonesia.

 

SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0107&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Thursday, 19 July 2012

Amalan Untuk Pelihara Diri Daripada Tanggal Iman Ketika Mati

Amalan Untuk Pelihara Diri Daripada Tanggal Iman Ketika Mati

 

Dan setengah daripada yang memberi manfaat bagi terpelihara Iman ketika mati  seperti barang yang disebut oleh Syaikh ‘Abdul Wahab al-Sya’rani r.a , telah berkata oleh Abu al-‘Abbas al-Khidir a.s bahawa aku bertanya 24,000 nabi daripada suatu yang apabila mengamalkan dia disentosa daripada tanggal imannya maka tiada menjawab akan daku seorang daripada mereka itu hingga aku berjumpa dengan Nabi Muhammad S.A.W. Maka aku tanya akan dia maka berkata ia hingga aku tanyakan jibril, maka bertanya ia akan jibril maka berkata ia hingga aku tanyakan tuhan rabbu al-‘izzah, maka bertanya ia akan tuhan rabbu al-‘izzah,

 

Maka firman Allah ‘Azza Wa Jalla “Barangsiapa mengekal membaca tiap-tiap lepas sembahyang akan: ayat kursi iaitu

1)  ayat kursi iaitu  الله لا إله إلا هو الحي القيوم   hingga  وهو العلي العظيم  [1]

2)  dan  آمن الرسول  hingga فانصرنا على القوم الكافرين    [2]

3) dan شهد الله أنه لا إله إلا هو   hingga  إن الدين عند الله الاسلام [3]

4) dan   قل اللهم مالك الملك   hingga  بغير حساب [4]

5) dan  قل هو الله أحد

6) dan  قل أعوذ برب الفلق

7) dan  قل أعوذ برب الناس

8) dan   فاتحة

*sekali-sekali

Nescaya sentosa daripada tanggal imannya."

 

Rujukan:

Al-Jauhar Al-Mauhub karangan al-Syaikh ‘Ali bin ‘Abdul Rahman al-Kelantani, cetakan Fathoni: Matba’ah Bin Halabi, hal. 35







[1] Al-Baqarah: 255




[2] Al-Baqarah: 285-286




[3] Ali ‘Imran: 18-19




[4] Ali ‘Imran: 26-27