Monday, 22 August 2011

Kitab Rahsia Bersuci

Allah berfirman:

“Allah tiada menghendaki untuk menjadikan kesukaran ke atas kamu, akan tetapi Dia menghendaki untuk mensucikan kamu.” (al-Maidah:7)

Allah berfirman lagi:

“Padanya ada orang-orang yang suka sekali bersuci dan Allah mencintai orang-orang yang bersuci itu.” (at-Taubah: 108)

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Kunci sembahyang adalah bersuci.”

“Agama itu didirikan atas kebersihan.”

Orang-orang yang mempunyai pandangan yang jauh dapat mengambil kesimpulan dari keterangan-keterangan ini, bahawa perkara yang amat penting sekali ialah mensucikan kebatinan, kerana jauh sekali maksud dari Hadith berikut ini:

“ Kesucian itu adalah setengah dari iman.”

Iaitu hanya untuk mensucikan kelahiran saja, yakni dengan menyirami tubuh dengan air dan mengalirkannya ke seluruh anggota badan, sedangkan kebatinannya tetap rosak dan ditinggalkannya terisi dengan anasir-anasir yang jahat dan kotor-kotoran. Alangkah jauh sekali ia boleh bermaksud demikian.

Taharah atau bersuci itu ada empat tingkatnya, iaitu:

  1. Mensucikan anggota-anggota lahir dari hadas-hadas (najis-najis), anasir-anasir kotor dan yang tidak perlu.

  2. Mensucikan anggota-anggota badan dari perbuatan-perbuatan salah dan dosa.

  3. Mensucikan hati dari akhlak yang terkeji dan kelakuan-kelakuan yang dibenci dan terkutuk.

  4. Mensucikan kebatinan dari tertumpu kepada semua perkara selain Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan ini adalah cara bersucinya para Nabi Salawatullahi-alaihim dan juga para Siddiqin.


Seseorang hamba tidak akan sampai ke tingkat yang tertinggi sekali, melainkan setelah melalui tingkat yang rendah terlebih dulu. Dia tidak akan sampai kepada tingkat mensucikan kebatinan dari sifat-sifat yang terkeji itu dan menggantikan tempatnya dengan sifat-sifat yang terpuji, selagi belum selesai membersihkan hati dari akhlak yang tercela dan menggantikan tempatnya dengan akhlak yang baik. Demikian pula ia tiada akan sampai ke tingkat ini, melainkan sesudah selesai dari mensucikan segala anggota-anggota badan dari larangan-larangan Allah dan menggantikan tempatnya dengan kerja-kerja ketaatan kepadaNya.

Oleh sebab itulah, apabila yang dituntut itu bernilai dan mulia, tentulah lebih sukar dan susah untuk mencapainya, lebih banyak pula halangan-halangannya. Maka janganlah anda menyangka bahawa tingkat itu akan didapati dengan hanya bercita-cita saja, atau akan dicapai dengan cara yang mudah.

Akan tetapi bila seseorang itu buta mata hatinya dengan perbedaan tingkat-tingkat ini. Tentulah dia tidak akan mengerti akan tingkat taharah atau rahsia bresuci ini, melainkan tingkat yang terendah sekali, yang diumpamakan seperti kulit atas yang boleh dilihat jika dibandingkan dengan isi atau sari yang dicari. Maka oleh kerana itu, dia sentiasa mementingkan perhatiannya kepada kulit semata-mata  seraya menghabiskan semua waktunya pada membicarakan istinja’, membersihkan baju dan mensucikan anggota-anggota yang lahir saja, dan mengalirkan air yang banyak. Sebab dia menyangka, samada kerana waswasnya ataupun kerana khayalan fikirannya, bahawasanya kesucian yang dituntut atau yang betul itu mementingkan cara-cara ini.

Sebenarnya dia tiada mengetahui tentang perjalanan orang-orang yang terdahulu yang telah menumpukan segala perhatiannya dan fikirannya kepada perkara mensucikan hati tanpa mengendahkan perkara mensucikan yang lahir. Dia tiada mengetahui bahawa Saiyidina Umar r.a. dengan ketinggian kedudukannya itu pernah berwudhu’ dengan air yang tersimpan dalam kendi seorang Nasrani. Orang yang terdahulu itu juga sering bersembahyang di atas tanah dalam masjid. Ataupun memadai hanya dengan menggunakan batu sewaktu beristinja’.

Nyatalah kini bahawa segala yang diberatkan oleh mereka di masa itu ialah mensucikan kebatinan. Dan jarang-jarang sekali pernah timbul satu-satu pertanyaan dari mereka itu megenai hukum-hukum najis atau dari pertanyaan-pertanyaan yang titik-bengik.

Sekarang sudah sampailah giliran golongan manusia yang kononnya mengambil berat tentang kebersihan, maka dihabiskanlah semua masanya pada menghiaskan anggota-anggota lahir seperti sifatnya tukang andam yang menghiaskan pengantinnya, padahal kebatinannya busuk penuh dengan kotoran-kotoran, sifat-sifat sombong dan ujub (memuji diri), sifat-sifat kebodohan dan riya’ serta nifaq. Malangnya tiada seorang pun yang mengingkarkan atau memperhatikan perkara itu.

Akan tetapi kiranya seseorang itu hanya menggunakannya batu dalam istinja’nya, ataupun menunaikan sembahyangnya tanpa menggunakan sajadah (tikar sembahyang), ataupun mengambil wudhu’nya dari wadah yang dimiliki oleh orang kafir, maka akan tibalah kiamatnya. Orang-orang bodoh itu akan segera bertindak menyalahkan orang-orang itu dan memanggil mereka sebagai orang-orang yang kotor. Cubalah anda perhatikan bagaimana yang mungkar itu menjadi yang baik, dan yang baik pula menjadi mungkar. Dan lihat pula bagaimana orang ramai mempelajari dari agama itu hanya gambarnya saja, sepertimana mereka mempelajari hakikatnya dan ilmunya.

Kiranya anda telah maklum tentang muqaddimah ini, maka marilah kita berbicara kini tentang tingkat-tingkat taharah atau kesucian. Pertama sekali kita ambillah tingkatnya yang keempat, iaitu membersihkan anggota-anggota lahir. Kita katakan bahawa pensucian lahir itu ada tiga perkara

  1. Membersihkan diri dari benda-benda najis.

  2. Membersihkan diri dari hadas

  3. Membersihkan diri dari yang tidak diperlukan pada badan, dan yang ini dapat dilakukan dengan memotong (seperti memotong kuku, cukur bulu ari-ari dan sebagainya) dan mandi, menggunakan bedak, berkhitan dan lain-lain lagi.


SUMBER:



7 Anggota Zahir

Dan ketahuilah olehmu bahawasanya maksud daripada ilmu tasawwuf itu membersihkan segala anggota yang zahir daripada segala perbuatan yang keji, supaya ada ia menyampaikan kepada membersih hati daripada sifat kecelaan, dan dikehendaki dengan segala anggota yang zahir itu tujuh anggota:-

 

1 ) Mata

2 ) Telinga

3 ) Lidah

4 ) Perut

5 ) Faraj

6 ) Dua tangan

7 ) Dua kaki

 

Rujukan: Penawar Bagi Hati karangan  Syeikh Abdul Qadir bin Abdul

Mutollib al-Indonesi al-    Mandili

Aqidah 50

20 Sifat Wajib Bagi Allah Ta’ala




1 ) Wujud (Ada)

2 ) Qidam (Sedia)

3 ) Baqo’ (Kekal)

4 ) Mukholafatuhu lil hawadith (Bersalahan Allah Ta’ala dengan segala yang baharu)

5 ) Qiyamuhu Ta’ala binafsih (Berdiri Allah Ta’ala dengan sendiriNya)

6 ) Wahdaniyyah (Esa)

7 ) Qudrat (Pekuasa)

8 ) Iradat (Pekehendak)

9 ) I’lmun (Pengetahuan)

10 ) Hayat (Pehidup)

11 ) Sama’ (Pendengar)

12 ) Basor (Pelihat)

13 ) Kalam (Pekata)

14 ) Kaunuhu Qodiran (Keadaan Allah Ta’ala yang kuasa)

15 ) Kaunuhu Muridan (Keadaan Allah Ta’ala yang menghendaki)

16 ) Kaunuhu ‘Aliman (Keadaan Allah Ta’ala yang mengetahui)

17 ) Kaunuhu Hayyan (Keadaan Allah Ta’ala yang hidup)

18 ) Kaunuhu Sami’an (Keadaan Allah Ta’ala yang mendengar)

19 ) Kaunuhu Basiron (Keadaan Allah Ta’ala yang melihat)

20 ) Kaunuhu Mutakalliman (Keadaan Allah Ta’ala yang berkata-kata)

 

20 Sifat Mustahil Atas Allah Ta’ala




1 ) ‘Adam ( Tiada)

2 )Huduth (Baru)

3 ) Fana’  (Binasa)

4 ) Mumasilatuhu lil hawadith (Bersamaan dengan baharu)

5 ) Qiyamuhu bi ghairih (Berdiri dengan yang lain)

6 ) Ta’addud  (Berbilang-bilang)

7 ) ‘Ajz (Lemah)

8 ) Karahah (Terpaksa)

9 ) Jahl (Jahil)

10 ) Maut (Mati)

11 ) Samam (Tuli)

12 ) ‘Umy (Buta)

13 ) Bukm (Bisu)

14 ) Kaunuhu  A’jizan (KeadaanNya yang lemah)

15 ) Kaunuhu Karihan (KeadaanNya yang terpaksa)

16 ) Kaunuhu Jahilan (KeadaanNya yang jahil)

17 ) Kaunuhu Mayyitan (KeadaanNya yang mati)

18 ) Kaunuhu A’sam (KeadaanNya yang tuli)

19 ) Kaunuhu A’ma  (KeadaanNya yang buta)

20 ) Kaunuhu Abkam (KeadaanNya yang bisu)

 

1 Sifat Harus Bagi Allah Ta’ala




Harus bagi Allah memperbuatkan mumkin dan meninggalkan akan mumkin.

Tidak wajib perbuat mumkin dan tidak mustahil meninggal akan mumkin.

20 Sifat Wajib Bagi Allah + 20 Sifat Mustahil Atas Allah + 1 Sifat Harus Bagi Allah= 41 Aqidah yang terdapat dalam kalimah لا إله إلا الله

 

4 Sifat Wajib Bagi Rasul




1 ) Sidiq (Benar)

2 ) Amanah (Kepercayaan)

3 ) Tabligh (Menyampaikan)

4 ) Fathonah (Bijaksana)

 

4 Sifat Mustahil Atas Rasul




1 ) Kidzib (Bohong)

2 ) Khiyanah (Khianat atau tidak dipercayai)

3 ) Kitman (Menyembunyikan)

4 ) Baladah (Bodoh)

 

1 Sifat Harus Bagi Rasul

Harus bagi rasul itu bersifat dan berperangai  seperti sifat dan perangai manusia yang tidak membawa kepada kekurangan martabat rasul dan tidak meluputkan hikmah jadi rasul

4 Sifat Wajib Bagi Rasul + 4 Sifat Mustahil Atas Rasul + 1 Sifat Harus Bagi Rasul  = 9 Aqidah yang terkandung di dalam kalimah محمد رسول الله

 

 Kesimpulan

41 Aqidah + 9 Aqidah = 50 Aqidah yang terdapat di dalam kalimah syahadah

لا إله إلا الله محمد رسول الله
Yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui dan mengaku dengan tentu sungguh didalam hati mereka akan 50 Aqidah yang tersebut itu.

Wallahu’alam..

 











Kitab Ilmu Pengetahuan

Bab: Keutamaan Ilmu Pengetahuan

Di dalam al-Quran al-Karim terdapat banyak sekali ayat-ayat yang menunjukkan kepada keutamaannya ilmu pengetahuan itu. Di antaranya ialah:

 

“Allah telah menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia jua, begitu pula para Malaikat dan para ahli ilmu pengetahuan turut menyaksikan sama, iaitu Tuhan yang berdiri di atas keadilan.”   (ali-Imran: 18)

Perhatikanlah pada ayat yang tersebut di atas itu, bagaimana Allah s.w.t. telah memulakan penyaksian itu dengan diriNya sendiri, keduanya dengan para Malaikat dan sesudah itu dengan para ahli ilmu pengetahuan. Itu saja sudah cukup untuk membuktikan, betapa tingginya keutamaan ilmu pengetahuan dan kelebihannya.

 

Allah berfirman pula:

 

“Allah telah mengangkat orang-orang yang beriman dari golongan kamu, dan begitu pula orang-orang yang dikurniai ilmu pengetahuan beberapa darjat.”  (al-Mujadalah: 11)

 

“Katakanlah: Tiada serupa orang-orang yang berilmu pengetahuan dengan orang-orang yang tiada berilmu pengetahuan.”  (az-Zumar: 9)

 

“Hanyasanya orang yang takut kepada Allah dari golongan hamba-hambaNya itu, ialah orang-orang yang berilmu pengetahuan.”  (Fatir: 28)

 

“Andaikata mereka mengembalikannya (berita itu) kepada Rasul dan kepada orang-orang yang memegang urusan pemerintahan di antara mereka, tentulah halnya telah dimengerti oleh orang-orang yang menelitinya dalam golongan mereka itu”  (an-Nisa’: 83).

Jadi hukum mengenai perkara-perkara yang berlaku itu harus dikembalikan kepada kebijaksanaan orang-orang yang berilmu pengetahuan, kerana martabat mereka ditingkatkan dengan martabat para Nabi dalam menyingkap hukum-hukum Allah s.w.t.

 

Adapun Hadis-hadis yang berkenaan dengan keutamaan ilmu pengetahuan ada banyak juga, seperti:

 

“Siapa yang dikehendaki baik oleh Allah s.w.t., maka Allah akan meluaskan pengetahuannya dalam hukum-hukum agama dan akan diilhamkanNya petunjuk di dalamnya”

 

“Para ulama itu adalah warisan para Nabi”.

Tentulah tiada martabat yang lebih tinggi dari martabat kenabian, dan tiada kemuliaan yang lebih utama dari kemuliaan mewarisi martabat itu.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Apabila datang kepadaku satu hari, sedang pada hari itu aku tiada bertambah ilmu pengetahuan untuk mendekatkan diriku kepada Allah azzawajalia, maka tiada akan diberkati bagiku terbitnya matahari hari itu.”

Sabda Rasulullah s.a.w. dalam menentukan kelebihan ilmu pengetahuan atas segala rupa ibadat dan penyaksian, katanya:

 

“Keutamaan seorang yang berilmu pengetahuan ke atas seorang yang banyak ibadatnya, laksana keutamaanku ke atas serendah-rendah orang dari golongan sahabatku.”

Cubalah perhatikan, betapa itmu pengetahuan itu dipersamakan seiring dengan darjat kenabian, dan betapa pula direndahkan martabat sesuatu amalan yang sunyi dari ilmu pengetahuan, sekalipun orang yang beribadat itu cukup mengetahui dengan ibadat yang ia lakukan itu sehari-harian,  kerana kiranya ibadat itu ditunaikan tanpa ilmu pengetahuan, tentulah ianya tidak boleh dinamakan ibadat.

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:

 

“Kelebihan seorang alim atas seorang ‘abid, laksana kelebihan bulan purnama ke atas seluruh bintang-gemintang.”

Di antara wasiat Luqman al-Hakim terhadap anaknya ialah;

 

Wahai anakku!  Pergaulilah para alim-ulama dan rapatilah mereka dengan kedua lututmu, sebab Allah s.w.t. menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmat, sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan hujan lebat dari langit.

 

Bab: Keutamaan belajar

Adapun ayat-ayat al-Quran yang berhubung dengan keutamaan belajar itu, di antaranya ialah:

“Mengapa  tidak ada sekelompok pun dari setiap golongan mereka itu yang berangkat untuk menambah ilmu pengetahuan agama.”  (at-Taubah: 122)

“Maka tanyakanlah para ahli ilmu pengetahuan, kiranya kamu tiada mengerti.” (an-Nahl: 43)

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah s.w.t. akan melorongkan baginya jalan ke syurga.”

“Andaikata anda berangkat untuk mempelajari suatu bab dari ilmu pemgetahuan, adalah lebih utama dari anda bersembahyang seratus rakaat.”

“Menuntut ilmu adalah wajib di atas setiap orang Muslim.”

Abu Darda’ berkata:

“Kiranya saya dapat mempelajari suatu masalah, itu adalah lebih saya cinta daripada saya bangun beribadat sepanjang malam.”

“Orang alim dan orang yang menuntut ilmu itu, adalah dua orang yang berkongsi dalam kebaikan. Sementara orang-orang selain keduanya adalah sesia belaka. Tiada bangun sama sekali.

Iman Syafi’i.r.a. berkata pula:

“Menuntut ilmu itu lebih utama dari sembahyang sunnat.”

Berkata Fatah al-Maushili rahimahullah:

“Bukankah si pesakit itu bila tidak diberikan makan atau minum ubat, ia akan mati!”

Orang ramai menjawab: “Benar katamu!”

Dia berkata pula: “Demikian pulalah sifatnya hati, kiranya ia tidak diberikan hikmat  dan ilmu pengetahuan selama tiga hari saja, akan matilah ia.”

Sungguh tepat sekali ucapan Fatah al-Maushili itu, kerana makanan hati ialah ilmu pengetahuan dan hikmat, dan dengan kedua benda itulah ia boleh hidup, sebagaimana tubuh badan itu hidup dengan makanan. Seorang yang tiada mempunyai ilmu pengetahuan, hatinya menjadi sakit dan kematiannya sudah pasti. Akan tetapi ia tidak akan merasakan yang demikian itu, kerana kecintaannya kepada dunia dan kesibukannya tentang dunia itu akan melenyapkan perasaannya. Kita berlindung dengan Allah pada hari di mana segala tabir akan tersingkap. Sesungguhnya manusia itu sedang nyenyak dalam tidurnya, nanti ia bila mati akan tersedar.

Berkata Ibnu Mas’ud r.a.:

“Hendaklah kamu mencari ilmu pengetahuan sebelum ianya terangkat, dan terangkatnya ilmu pengetahuan itu dengan kematian ahli-ahlinya. Seseorang kamu tiada dilahirkan sebagai orang yang sudah pandai. Jadi ilmu pengetahuan itu akan dicapai hanya dengan belajar.”

 

Bab: Keutamaan mengajar

Ayat-ayat al-Quran mengenai keutamaan mengajar ini, ialah di antaranya firman Allah Ta’ala:

“Hendaklah mereka memberikan peringatan kepada kaumnya, apabila telah kembali kepada mereka nanti, moga-moga mereka berhati-hati.” (at-Taubah: 122)

Maksudnya ialah memperingatkan mereka itu dengan pelajaran dan petunjuk yang diperolehinya.

“Dan di waktu Tuhan mengambil janji orang-orang yang diberikan olehnya kitab; iaitu hendaklah kamu sekalian menerangkan perkara-perkara yang tersebut di dalam kitab itu, dan jangan sampai kamu menyembunyikannya.” (ali-Imran: 187)

Maksudnya ialah mewajibkan orang yang berilmu itu menyebarkan ilmunya dengan mengajar.

“Ada sebahagian dari mereka itu yang menyembunyikan kebenaran, sedangkan mereka itu mengetahui (hukumnya).” (al-Baqarah: 146)

Maksudnya menghukumkan salah atau haram orang yang menyembunyikan ilmu pengetahuanya, sebagaimana dihukumkan haram pula orang yang menyembunyikan penyaksiannya.

Firman Allah Ta’ala:

“Barangsiapa menyembunyikannya (penyaksian), maka berdosalah hatinya.”    (al-Baqarah: 283)

“Siapakah orang yang lebih baik ucapannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan berbuat kebaikan.”  (Fushshilat: 32)

Allah berfirman lagi:

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik.”  (an-Nahl: 125)

“Dan dia mengajarkan kepada mereka (kandungan) kitab dan kebijaksanaan.”  (al-Baqarah: 151)

Adapun Hadis-hadis yang menunjukkan tentang keutamaan mengajar, umpamanya pesanan baginda Rasulullah s.a.w. ketika mengirim Mu’az ke Yaman, bunyinya:

“Andaikata Allah s.w.t memberikan hidayat kepada seorang dari hasil usahamu, adalah lebih baik bagimu dari dunia dan seisinya.”

Sabda Rasulullah s.a.w.

“Sesiapa yang mengetahui sesuatu ilmu lalu disembunyikannya, niscaya di Hari Kiamat nanti, ia akan dikekang oleh Allah s.w.t. dengan tali kekang dari api neraka.”

“Sesungguhnya Allah s.w.t. dan para MalaikatNya, begitu juga penghuni langit dan buminya, sehingga semut yang berada di lubangnya dan ikan yang di lautan, semuanya memohon rahmat bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang ramai.”

“Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya melainkan dalam tiga perkara: iaitu sedekah jariah (yang berterusan), ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang saleh yang mendoakan baginya.”

“Orang yang menunjuk ke jalan kebaikan sama saperti mengerjakan baginya.”

Ada satu sabda lagi berbunyi: “Moga-moga Allah mencucurkan rahmatNya ke atas Khalifah-khalifahku.” Baginda lalu ditanya: “Siapakah mereka khalifah-khalifahmu?”Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: “mereka itu adalah orang-orang yang menghidupkan sunnatku serta mengajarkannya kepada hamba-hamba Allah.”

Dari atsar pula, apa yang diriwayatkan dari Mua’z, katanya:

“Pelajarilah ilmu pengetahuan, sebab mempelajarinya kerana Allah adalah tanda takut kepadaNya, menuntutnya adalah ibadat, menelaahnya adalah tasbih, mencarinya adalah jihad, mengajarkannya kepada orang yang belum mengetahui adalah sedekah, memberikannya kepada ahlinya adalah kebaktian. Dialah kawan dalam masa kesepian dan teman dalam masa kesunyian. Dialah petunjuk jalan kepada agama, dan pendorong kesabaran dalam masa kepayahan dan kesempatan.”

Allah mengangkat setengah-setengah kamu karena ilmu pengetahuannya, maka dijadikannya pemimpin, penghulu dan penunjuk jalan kebaikan yang diikut oleh orang ramai. Orang yang berilmu pengetahuan itu juga menjadi model utama dalam amalan kebajikan, dicontohi segala jejak-langkahnya, dan dituruti segala kelakuannya.

Dengan ilmu pengetahuan seorang hamba itu akan sampai ke peringkat orang-orang yang terpuji ketaatannya dan tertinggi kedudukannya. Memikirkan perihal ilmu pengetahuan setanding pahalanya dengan berpuasa, dan menelaahnya setanding pahalanya dengan bangun beribadat di tengah malam. Dengan ilmu pengetahuanlah manusia mentaati Allah Azzawajalla, memperhambakan diri kepadaNya, MengEsakanNya dan membesarkanNya. Dengan ilmu pengetahuan juga manusia boleh mencapai darjat kewajiban kewarakan, dan dengannya pula manusia menyambung silaturrahim. Dengan ilmu pengetahuan juga, ia akan mengenal yang halal dan yang haram. Ilmu pengetahuan itu adalah diumpamakan sebagai pembimbing, manakala amalan pula menjadi pengikutnya, dan berbahagialah orang yang menerima ilham dari ilmu pengetahuan, dan celakalah orang yang terhalang dari ilmu pengetahuan.

Berkata al-Hassan r.a.:

“Kalaulah tidak kerana para ulama, niscayalah manusia sekaliannya sama seperti binatang.”

Maksudnya dengan adanya para ulama yang mengajar manusia terkeluarlah mereka dari peringkat-peringkat  kebinatangan dan memasuki peringkat kemanusiaan.

 

 Bab: Ilmu yang fardhu ‘ain

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Menuntut ilmu itu adalah wajib atas setiap Muslim.”

 

 

Termasuk ilmu yang dikatakan fardhu ‘ain itu, ialah ilmu pengetahuan yang bakal mengenalkan asas tauhid (MengEsakan Allah) yang dengannya pula dapat diketahui Zat Allah Ta’ala dan sifat-sifatNya.

Termasuk fardhu ‘ain juga ilmu pengetahuan yang dengannya dapat dituntut cara-cara beribadat, dibedakan antara yang halal dan yang haram, dan mana satu yang dilarang oleh agama, dan mana yang pula yang dibolehkan dalam urusan agama, dan mana pula yang dibolehkan dalam urusan hidup sehari-hari.

Termasuk juga ilmu yang fardhu ‘ ain ialah ilmu yang mengenalkan hal-ehwal hati, mengenai sifat-sifatnya yang terpuji, seperti bersabar, bersyukur, bermurah hati, berakhlak tinggi, bergaul baik, berkata benar dan iklas. Begitu juga dengan sifat-sifatnya yang terkeji, seperti balas-dendam, dengki, menipu, meninggi diri, riya’, marah berseteru, membenci dan kikir. Maka mengetahui apa-apa yang harus dilakukan dari sifat-sifat yang pertama dan apa-apa yang harus ditinggalkan dari sifat-sifat yang kedua itu adalah fardhu ‘ain. Seperti mana hukumnya membersihkan hal-hal mengenai kepercayaan, ibadat atau mu’amalat.

http://bimbinganmukmin.wordpress.com/2009/03/31/kitab-ilmu-pengetahuan/

Sunday, 21 August 2011

PEMURNIAN TASAWWUF OLEH IMAM AL-GHAZALI

 







سم الله الرحمن الرحيم


نحمده ونصلى على رسوله الكريم




OLEH:

MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY

Insya’ Allah dalam nota ini akan dibicarakan bagaimana Imam al-Ghazali rd yang terkenal sebagai mujaddid abad ke-lima Hijrah atau abad ke dua belas Masihi itu memperjuangkan kedudukan tasawwuf sehingga ia menjadi ilmu Islam yang teguh kedudukannya dalam senarai ilmu-ilmu Islam yang muktabar, serta amalan tasawwuf menjadi amalan yang amat dihormati sebagai dimensi kerohanian murni Islam berpaksikan al-Qur’an dan Sunnah.

Beliau bertanggungjawab memurnikan tasawwuf daripada unsur-unsur yang merosakkan kemurniannya. Antara yang paling nyatanya ialah sebagaimana yang beliau huraikan dalam “manifesto kerohaniannya” yang teragung yaitu Ihya’ ‘Ulumi’d-Din yang sangat popular itu.

Kedudukan beliau yang agung dalam ummat ini jelas bila beliau diakui sebagai mujaddid pada zamannya, tanpa dipertikai lagi, sama seperti ‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz dan Imam Shafi’i untuk zaman mereka masing-masing, sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi.

Riwayat hidupnya secara ringkas*

Sebelum daripada dibicarakan perkara-perkara lain eloklah dibicarakan riwayat hidupnya secara ringkas untuk memberi gambaran berkenaan dengan alam di mana beliau dilahirkan dan perkembangan peribadinya yang utama itu. Beliau ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ta’us Ahmad al-Tusi al-Shafi’I yang terkenal secara umumnya dengan nama al-Ghazali, yang dilahirkan pada 450 Hijrah/1058 Masihi di Tabaran, satu daripada dua buah kota kecil di Tus, sekarang dalam kawasan Meshed di Khurasan.

Beliau bukannya ulama yang tersohor pertama dalam keluarganya, kerana datuk saudaranya bernama abu Hamid al-Ghazali (men.435 H/1043 M) merupakan seorang ahli ilmu kalam dan ahli fiqh yang terkenal; mungkin beliau ini menjadi contoh ikutan bagi orang muda yang berhemah tinggi itu.

Semenjak awal lagi beliau terdedah kepada pengaruh amalan-amalan dan ilmu tasawwuf, ayahandanya seorang yang beramal dengan amalan tasawwuf yang sangat warak, mengikut laporan al-Subki, sehingga dikatakan ia hanya makan dari hasil usaha tangannya sendiri, dan beliau selalu bersama dengan mereka yang alim.

Imam Ghazali rh yang yatim itu dididik oleh sufi yang menjadi sahabat ayahandanya, bersekali dengan saudaranya Ahmad. Semenjak masa kanak-kanaknya Imam al-Ghazali mempelajari ilmu kalam dan fiqh, mula-mulanya dalam kota kecil kelahirannya dengan Shaikh Ahmad ibn Muhammad al-Radhkhani al-Tusi, kemudian beliau pergi melanjutkan pengajiannya di Jurjan di bawah didikan Imam abu Nasr al-Isma’ili.

Ibn ‘Asakir menyebutkan bahawa Imam al-Ghazali mengambil ilmu tentang hadith al-Bukhari daripada Abu Sahl Muhammad ibn Ahmad al-Hafsi, dan antara syaikh-syaikhnya yang lain dalam ilmu hadith ialah Nasr ibn ‘Ali ibn Ahmad al-Hakimi al-Tusi, ‘Abd Allah ibn Muhammad ibn Ahmad al-Khawari, dan Muhammad ibn Yahya ibn Muhammad ibn Suja’i al-Zawzani dan seterusnya.

Sewaktu dalam perjalanan pulang dari Jurjan ada kisah yang menarik tentang Imam ini yang berkisar bagaimana beliau dirompak. Bila para perompak itu meninggalkannya, beliau mengikuti mereka, tetapi beliau diberi amaran agar tidak mengikuti mereka itu kalau tidak beliau akan mati. Lalu beliau meminta dengan nama Allah supaya dikembali kertas-kertas yang mengandungi catitan-catitan pelajarannya kerana kertas itu tidak ada gunanya untuk mereka. Bila ditanya tentang kertas apa yang ada dalam beg itu beliau menjawab bahawa itu mengandungi catitan-catitan ilmunya yang didengarinya yang kerananya beliau jauh mengembara. Perompak itu ketawa dan bertanya “bagaimana kamu memperolehi ilmu mereka bila kami ambil kertas itu maka kamu tidak berilmu lagi”. Ini suatu yang aneh berlaku. Bagaimanapun catitan-catitannya diserahkan kembali. Apabila beliau kembali ke Tus lepas itu, imam al-Ghazali mengambil masa tiga tahun menghafal semua catitan-catitan yang dipelajarinya itu.

Setelah beliau kembali dari Jurjan dan berada di Tus buat beberapa waktu, mungkin di waktu ini beliau mempelajari tasawwuf di bawah Shaikh Yusuf al-Nassaj dan mungkin juga melakukan latihan-latihan kesufian. Sewaktu berumur lebih kurang dua puluh tahun beliau pergi melanjutkan pelajarannya ke Maktab Nizamiyyah di Nishapur untuk berguru kepada Imam al-Haramain iaitu Abu al-Ma’ali al-Juwaini, yang merupakan guru generasi yang keempat dari Imam al-Ash’ari sendiri dalam akidah ajaran Imam itu. Dalam akademi itu beliau mempelajari ilmu-ilmu seperti usul al-din, fiqh, falsafah, logik, ilmu-ilmu sains tabi’I, tasawwuf dan lainnya.

Imam al-Haramain memberi kepada para pelajar kebebasan berfikir dan kebebasan mengeluarkan pendapat mereka, dan mereka digalakkan dalam mengambil bahagian dalam perdebatan dan perbincangan tentang pelbagai jenis persoalan yang dihadapi. Dalam perdebatan-perdebatan dengan rakan-rakannya Imam al-Ghazali menunjukkan kemampuan berfikir yang luas dan tajam, dan ia mempunyai kebolehan yang tinggi dalam kepetahan berhujah yang ini terbukti kemudiannya dalam tulisan-tulisannya seperti Tahafut al-Falasifah.

Tidak lama kemudiannya beliau berkesempatan memberi kuliah kepada rakan-rakannya, dan membuat penulisan. Beliau merupakan seorang yang berfikir secara kritilal dan bebas merdeka; sewaktu beliau menjadi pelajar di Nizamiyyah di Nishapur beliau merasa tidak berpuas hati dengan pegangan yang dimilikinya, dan membebaskan dirinya daripada cara bertaklid semata dalam pegangan agama.

Sewaktu di Nishapur beliau menjadi murid kepada ulama sufi abu ‘Ali al-Fadl ibn Muhammad ibn ‘Ali al-Farmadhi; daripada guru sufi inilah beliau lebih banyak lagi mempelajari ilmu berkenaan dengan pengetahuan dan amalan kesufian. Al-Farmadhi itu sendiri adalah murid kepada bapa saudara beliau sendiri dan juga murid al-Qushairi (men.465/1074) yang terkenal itu. Beliau mengamalkan juga amalan-amalan kezahidan yang ketat di bawah bimbingan beliau ini; sebagaimana yang disebutkan oleh beliau sendiri keadaannya tidaklah sampai ke tahap boleh mendapat inspirasi murni ‘dari alam tinggi”.

Waktu itu juga beliau merasa tidak puas hati dengan pemikiran secara falsafah yang dihadapinya itu termasuk apa yang diterima secara otoriti dalam hubungan dengan usul al-din. Tekanan dalam tasawwuf tentang hubungan yang rapat dan mesra dengan Tuhan menjadikan imam utama ini lebih tidak berpuas hati lagi dengan huraian falsafah dalam usul al-din itu. Al-Farmadhi meninggal pada tahun 477 /1074 M dan Imam al-Haramain meninggal di tahun 478 H/1085 M. Waktu itu Imam al-Ghazali berumur dua puluh lapan tahun; ianya masih sangat bertenaga, dan namanya masyhur dalam alam Islam.

Beliau pergi ke istana Nizam al-Mulk wazir Malikshah (memerintah waktu itu 465 H/1072-485 H/1092 M) dan berada dalam kalangan para ahli ilmu kalam dan fuqaha di istana beliau itu. Nizam al-Mulk itu seorang wazir yang memberi galakan kepada perkembangan ilmu-ilmu, sains, sastera, dan menghimpunkan sekelilingnya para ulama dan ilmiawan yang terkenal dan mempunyai ilmu yang mendalam. Beliau biasa mengadakan majlis-majlis perbincangan ilmiah dan al-Ghazali mendapat namanya yang terkenal kerana kebolehan debatnya yang sangat baik.

Ilmu pengetahuan al-Ghazali berkenaan dengan fiqh, usul al-din, dan falsafah sedemikian dikagumi oleh Nizam al-Mulk sehingga beliau dilantik sebagai professor Usul al-Din di Nizamiyyah itu (diasaskan pada tahun 458–460 H/1065-67 M) di Baghdad pada tahun 484H/1091M. Waktu itu beliau berumur tiga puluh empat tahun. Ini merupakan kemuliaan yang sedemikian tinggi di alam Islam, dan beliau itu diangkat kepada jawatan yang sedemikian sewaktu umur sedemikian muda, yang tidak pernah orang lain dilantik kepada jawatan sedemikian sewaktu bermur semuda itu.

Beliau sedemikian berjaya sebagai professor di Akademi itu; kuliahnya yang sedemikian cemerlang dan kedalaman ilmu pengetahuannya serta kejelasan huraiannya menarik semakin ramai para pelajar atau pendengar kepadanya, termasuk mereka dari kalangan para sarjana yang terkenal di zaman itu. Dengan segeranya ramai mereka mengiktirafi kefasihan, kedalaman pengetahuan, dan kemampuan beliau sebagai pembicara ilmu, dan kemudiannya beliau dikirakan sebagai ahli usul al-din yang teragung dalam tradisi Asha’irah. Maka beliau diminta nasihat dalam perkara-perkara keagamaan dan siasah dan beliau menimbulkan pengarah yang sebanding dengan pengaruh pegawai-pegawai negara yang tertinggi.

Beliau mencapai kejayaan tertinggi sebagai ulama dilihat dari segi keduniaan lahiriahnya, tetapi dari segi batinnya beliau mula mengalami krisis intelektuil dan kerohanian yang amat mendalam. Rasa syaknya dan menyoal semua perkara yang ada dahulunya pada beliau mula menimbulkan dirinya semula dan beliau sampai bersikap kritikal terhadap mata-mata pelajaran yang diajarkannya sendiri. Beliau merasa kekosongan dalam huraian-huraian yang berupa helah-helah di kalangan para fuqaha. Sistem huraian di kalangan ahli ilmu kalam tidak merupakan keyakinan secara ilmu dan intelektuilnya. Beliau menentang huraian mereka yang memberi penekanan yang berlebihan tentang perkara-perkara doktrinal, kerana yang demikian membawa agama menjadi lingkungan sistem ortodoksi dan berupa sebagai soal-jawab yang dangkal sahaja; perbalahan-perbalahan di kalangan para mutakalimun berupa perakara-perkara soal-jawab tentang pegangan agama yang tidak ada hubungan sebenar dengan kehidupan manusia dengan agamanya.

Sekali lagi beliau menumpukan dirinya kepada penelitian tentang falsafah secara bersungguh-sungguh dan menyeluruh, dan beliau mendapati bahawa pegangan dan keyakinan tidak boleh dibinakan atas pemikiran semata-mata. Akal ada peranannya pada tahap-tahap tertentu, tetapi akhirnya Kebenaran Yang Terakhir memang tidak boleh dicapai dengan akal fikiran. Dengan menyedari tentang batasan-batasan pemikiran dalam hubungan dengan teologi, beliau berada dalam rasa syak berkenaan dengan ilmu dan pegangan lalu beliau merasa tidak tenang jiwanya dan hatinya. Beliau merasa beliau berada dalam kedudukan yang tidak sebenar.

Akhirnya beliau mendapat kesedaran bahawa jalan yang sebenarnya ialah jalan tasawwuf yang membawa manusia kepada kebenaran yang sebenarnya melalui pengalaman rohaniah yang sahih. Beliau telahpun mempelajari ilmu tasawwuf secara teori dan bahkan ada juga melakukan amalan-amalannya; tetapi beliau belum lagi mara ke dalam pengalamannya secara yang sangat jauh. Dia memikirkan bahawa kalaulah beliau menumpukan dirinya kepada perjalanan kesufian melalui ciri-ciri kezuhudan, serta menekuni amalan-amalan spiritual, berserta dengan tafakur yang mendalam, beliau berkemungkinan akan mencapai nur yang sedang dicari-carinya.

Tetapi yang demikian ini melibatkan beliau meninggalkan kerjaya ilmiah yang cemerlang dan kedudukan keduniaan yang sedemikian tinggi itu. Beliau terasa juga runtunan untuk mendapat kemasyhuran dan kehebatan dirinya dalam kehidupan. Tetapi runtunan untuk mencari kebenaran terlalu amat kuatnya. Beliau merasakan bahawa beliau memerlukan keyakinan yang menetap pada pegangan, yang diperkuatkan lagi dengan pemikirannya tentang kedatangan maut. Beliau berada dalam konflik pemikiran dan perasaan sedemikian selama enam bulan lamanya mulai dari bulan Rajab 488H/ Julai 1095.

Beliau menjadi merusut kesihatan badannya dan pemikirannya juga amat terganggu; selera makannya dan penghadamannya hilang sampai suaranyapun tidak ada lagi. Maka senanglah baginya untuk melepaskan jawatannya sebagai professor lalu ia meninggalkan kota Baghdad pada bulan dhul-Qa’idah 488 H/ November 1095 M, secara lahirnya beliau menunjukkan bahawa beliau sedang hendak menunaikan fardhu haji; beliau meminta saudaranya Ahmad menggantinya memberi pengajaran kepada orang ramai dalam masa pemergiannya itu; sebenarnya beliau menjalankan ‘uzlah sebagaimana yang diajarkan oleh para ulama sufi demi untuk mencapai kedamaian fikiran dan hati serta keselamatan untuk rohnya sendiri.

Beliau menyedekahkan semua harta miliknya melainkan bahagian-bahagian tertentu yang diamanahkan untuk perbelanjaan keluarganya, kemudian beliau terus pergi ke Syria.

Selama dua tahun lamanya beliau berada dalam ‘uzlah (tahun 488 H/1095 M ) di salah sebuah daripada menara-menara masjid Umayyah di Damsyik; kemudian beliau pergi ke Jerusalem untuk menjalankan ‘uzlah lagi di mana beliau melakukan tafakur yang mendalam di Masjid ‘Umar dan Qubbat al-Sakhr (The Dome of the Rock). Selepas daripada melawat makam Nabi Ibrahim a.s. di Hebron, beliau melaksanakan hajinya ke Makkah dan pergi ke Madinah. Itu diikuti dengan amalan ber’uzlah di tempat-tempat yang mulia dan masjid-masjid, serta mengembara di padang-padang pasir. Selepas daripada sebelas tahun berada dalam pengembaraan beliau kembali ke kota kelahirannya Tus, dalam tahun 499 H/1105 M.

Berkenaan dengan pengalaman-pengalamannya mengikut apa- apa yang berlaku selepas beliau meninggalkan kota Baghdad, tidak ada apa-apa yang diberitahu olehnya kepada kita. Apa yang diberitahu ialah bagaimana adanya perkara-perkara yang tidak boleh dihuraiakan yang terlalu banyak yang berlaku kepadanya dalam bentuk ilham-ilham sewaktu beliau berada dalam masa ‘uzlahnya itu. Pengalaman-pengalaman itu nampaknya membawa sebagai natijahnya kepada beliau menerima otoritas Nabi s.a.w. dan tunduk dengan sepenuhnya kepada kebenaran-kebenaran yang diwahyukan dalam al-Qur’an.

Antara tanda-tanda awal tentang beliau memberi pembelaan terhadap akidah Ahlis-Sunnah wal-jama’ah (yang memang dahulunya memang beliau memberi pembelaan terhadapnya, tetapi sekarang pembelaan itu diberikan selepas daripada berlaku sesuatu yang boleh disebut sebagai pengesahan secara kerohanian tentang kebenaran-kebenaran itu) ialah penulisannya berjudul ar-Risalah al-Qudsiyyah yang digubah sewaktu beliau berada dalam ‘uzlahnya di Jerusalem, mungkin sebelum 492 H/1099 M sebab pada bulan Sya’ban tahun tersebut Jerusalem ditawan oleh tentera Salib. Ini dimasukkan ke dalam bab ke tiga kitab teragungnya Ihya’ ‘Ulumi’d-Din dalam bab berkenaan dengan dasar-dasar ‘Aqidah; di dalam kitab itu beliau mencatitkan apa yang dipelajarinya dalam masa beliau ber’uzlah sambil melakukan latihan-latihan kerohanian dan menjalankan tafakur yang mendalam itu.

Dalam masa pengembaraan itu beliau terus menerus mengarang kitab-kitab selain daripada Ihya’ ‘Ulumi’d-Dindan dari semasa ke semasa beliau kembali memberi pengajaran kepada para muridnya. Beliau merasakan bahawa ia mempunyai peranan untuk menyelamatkan agama daripada aliran kezindikan dan kekufuran dan beliau mengarang kitab-kitab untuk menegakkan akidah Ahl al-Sunnah wal-jama’ah sebagaimana yang jelas daripada bahagian akidah dalam Ihya’ ‘Ulumi’d-Din dan kitab-kitab lain seperti al-Iqtisad fi’l-I’tiqad; beliau juga mengarang kita tentang kesesatan Batiniyyah dalam kitabnya al-Fad’ih al-Bataniyyah dan juga kesesatan dan kekufuran dalam kitab Faisalat al-Tafriqah bainal-islam wa’z-zanadiqah. Beliau juga meneruskan pemerhatiannya terhadap hadith-hadith Nabi s.a.w.

Bila beliau kembali ke Tus beliau meneruskan hidup ‘uzlahnya serta tafakkur yang diamalnya; bagaimanapun Fakhr al-Mulk anak lelaki Nizam al-Mulk yang memberi lindungan kepadanya, yang waktu itu menjadi wazir kepada Sultan Sanjar menggesa beliau menerima jawatan professor ilmu akidah di Maktab Maimunah Nizamiyyah di Nishapur yang beliau setujui akhirnya, dengan perasaan hati yang berat; tetapi beliau tidak lama bertugas di sana dan kemudiannya kembali ke kota kelahirannya lagi dan membina madrasah di mana beliau memberi pengajaran di sana berkenaan dengan usul al-din dan tasawwuf.

Kemudiannya bila beliau disuruh oleh wazir al-Said mengajar pula dan Nizamiyyah di Baghdad, beliau membuat pilihan untuk menetap di Tus; di sana beliau hidup dengan aman dengan para muridnya; hidupnya dipenuhi dengan pendidikan dan ibadat kepada Allah sehingga beliau meninggal dunia pada 14 Jamadil-Akhir tahun 505 H/19 Disember 1111 M dengan kitab hadith atas dadanya, kata kisahnya.

Ibn al-Jawzi meriwayatkan dalam kitab al-Thabat ‘Inda al-Mamat kisah yang didapatinya daripada Ahmad saudara Imam al-Ghazali bahawa “pada Hari Isnin (14 Jamadil-Akhir) pada waktu masuk Subuh saudaraku Abu Hamid mengambil wudu’nya, sembahyang Subuh, kemudian berkata: ‘Bawa kepadaku kain kafanku’; beliau mengambil kain itu, menciumnya dan meletakkannya pada matanya, sambil berkata: ‘Kami mendengar dan taat dengan penuh persediaan untuk hadhir ke Hadhrat Tuhan, Raja (Yang Maha Berkuasa)’; kemudian beliau melunjurkan kakinya, mengadap kiblat,dan meninggal dunia sebelum matahari naik’.

Diceritakan bahawa Shaikh Abul-hasan al-Shadhili rd bermimpi bahawa ia melihat Nabi s.a.w. menunjukkan Imam Al Ghazali kepada nabi Musa dan ‘Isa, sambil bertanya kepada kedua mereka, ‘Adakah terdapat orang alim yang bijaksana dalam umat anda berdua?’, jawab keduanya tidak ada.

Dalam hayatnya beliau menyedari bahawa beliau mesti bertanggungjawab untuk menghadapi aliran ilhad atau kekufuran yang sedang muncul pada waktu itu menyanggahi ajaran Islam berdasarkan Qur’an dan Sunnah sebagaimana yang ada dalam Ahlis-Sunnah wal-jama’ah. Kerana itu beliau memberi pembelaan terhadap akidah Ahlis-Sunnah wal-jamaah dalam teks-teks karangannya.

Antara kita-kitab karangannya yang disebut dalam catitan al-Zabidi dan Ibn al-Subki ialah:



















































































































































Empat buah kitab dalam bidang fiqh mazhab Shafi’I; iaitu yang besar al-Basit, yang sederhana besarnyaal-Wasit, dalam tujuh jilid, dan yang ringkas dalam dua jilid, iaitu al-Wajiz; yang diringkaskan dalam al-Khulasa. Al-Wasit diberi syarahnya dan juga diringkaskan isinya antaranya oleh Imam Nawawi dalam kitabRawdah al-Talibin.
Empat buah kitab berkenaan dengan usul al-fiqh, al-Mankhul, yang dikarang waktu gurunya Imam al-Haramain masih hidup, Shifa’ al-Ghalil fi Masa’il (atau Masalik) al-Ta’lil; al-Maknun; dan al-Mustashfa.Kitabnya yang boleh disebut sebagai ensiklopedianya tentang metodologi punca-punca Shari’ah pendapatnya yang terakhir dalam bidangnya, ialah al-Mustashfa, yang banyak kali diterbitkan di Mesir dan lainnya. Kitab ini dikarangnya selepas daripada beliau keluar daripada ‘uzlah dan bersuluk serta tafakkur.
Ihya’ ‘Ulum al-Din, antara kitabnya yang terakhir.
Al-Imla’ ‘ala Mushkil al-Ihya’ yang di dalamnya beliau memberi jawapan terhadap setengah persoalan-persoalan yang diperkatakan berkenaan dengan kitab Ihya’ dalam zaman hidupnya. Kitab ini juga dipanggil dengan judul al-Ajwibah al-Muskita ‘an al-As’ilah al-Mubhita.
Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, sekarang tidak ada lagi;
Jawahir al-Qur’an;
Al-Arba’un fi’t-Tauhid, asalnya bahagian daripada Jawahir al-Qur’an;
Al-Asma’ al-Husna;
Al-Ma’akhidh berkenaan dengan perkara-perkara khilaf antara ahli hukum Islam;
Tahsin al-Ma’akhidh, sebagai sharah bagi al-Ma’akhidh;
Kimiya’ as-Sa’adah, atau Rahsia Kebahagiaan, asalnya ditulis dalam Farsi;
Lubab al-Muntakhal, berkenaan dengan kaedah-kaedah perbahasan;
Al-Iqtisad fi al-I’tiqad, yang dalamnya beliau membuat kenyataan: ”Golongan yang menafsir ayat-ayat dan hadith-hadith secara zahir lafaznya (al-Hashawiyyah) menegaskan ada arah bagi Allah manakala dalam masa yang sama mengawal diri mereka daripada mengosongkan Tuhan daripada Sifat-SifatNya (ta’til), dengan itu mereka terjatuh (ke dalam kesalahan) menjadikan Allah seperti para makhluk (tashbih). Allah Taala mengurniakan kejayaan kepada Ahl al-Sunnah dalam menetapkan kebenaran. Mereka mengakui matlamat yang sebenar dan yang layak dalam menetapkan kaedah mereka (dalam menetapkan akidah-p) dan mereka memahami bahawa arah dinafikan dan ditolak bagi Allah kerana itu bergantung dengan jisim-jisim dan mengikutinya, manakala memandangNya ditetapkan dengan teguhnya kerana itu secara langsungnya menuruti ilmu dan melayaninya sebagai bahagian yang menyempurnakannya”.
Mi’yar al-Nazar
Mihakk al-nazar
Bayan al-Qaulain, berkenaan dengan dua kaul Imam Shafi’i.
Al-Mustazhiri, penolakan terhadap faham Batiniyah;
Qawasim al-Batiniyyah, sebuah lagi penolakannya.
Tahafut al-falasifah, yang menyatakan terkeluarnya para ahli falsafah daripada keimanan, yang diberikan responsnya oleh qadhi Andalus iaitu Ibn Rushd al-Maliki dengan bukunya Tahafut al-Tahafut;
Al-Maqasid fi Bayan I’tiqad al-Awa’il, yang terkenal juga sebagai Maqasid al-Falasifah.
Asrar Mu’amalah al-Din;
Asrar al-Anwar al-Ilahiyyah bi al-Ayat al-Matluwwah;
Akhlaq al-Abrar wa al-Najat Min al-Ashrar;
Asrar Ittba’ al-Sunnah;
Asrar al-Huruf wa al-Kalimat;
Bayan Fada’ih al-Ibahiyyah, yang menentang mereka yang tidak percaya kepada Tuhan;
Bada’i’ al-Sani’;
Tanbih al-Ghafilin;
Talbis Iblis, nama kitab yang kemudiannya digunakan oleh Ibn al-Jawzi untuk menentang al-Ghazali;
Khulasah al-Rasa’il ila ‘Ilm al-Masa’il, ringkasan kitab fiqh al-Mukhtasar karangan al-Muzani;
Al-Risalah al-Qudsiyyah fi ‘Ilm al-Kalam;
Al-Sirr al-Masun sebuah kitab berkenaan dengan doa-doa atau bacaan-bacaan dari ayat-ayat Qur’an dalam menghadapi musuh;
Sharah Da’irah ‘Ali ibn Abi Talib, juga terkenal sebagai Nukhbah al-Asma’;
‘Aqidah al-Misbah;
‘Unqud al-Mukhtasar, ringkasan bagi ringkasan Imam al-Haramain terhadap kitab Mukhtasar oleh Muzani;
Rasa’il (terdiri daripada surat-surat) yang diterbitkan dalam suatu jilid dalam tujuh bahagian, terdiri daripada:

 Al-Hikmah fi Makhluqat Allah-Subhanahu wa Taala; Miu’raj al-Salikin;

 Rawdat al-talibin wa ‘Umdah al-Salikin (dalam tasawwuf dan tauhid); Qawa’id aql-‘Aqa’id fi al-tauhid yang dimasukkan ke dalam kitab Ihya’ sepenuhnya; Khulasah al-Tasanif fi al-Tasawwuf yang di dalamnya beliau mentakrifkan tasawwuf sebagai “Ketahuilah bahawa tasawwuf itu dua perkara; bersifat benar dengan Allah Yang Maha Berkuasa dan berakhlak baik dengan manusia. Sesiapa yang mengamalkan dua perkara ini ia seorang sufi. Sifat benar dengan Allah ertinya seseorang hamba itu memutuskan habuan bagi nafsunya dalam menjalankan suruhan Tuhan. Berakhlak baik dengan orang ramai ialah tidak mengutamakan tuntutan diri sendiri ke atas tuntutan mereka sejauh mana tuntutan mereka itu berjalan dalam lingkungan hukum Syara’. Sesiapa yang bersetuju dengan amalan bercanggah dengan Syara’ atau yang menentangnya ia tidak mungkin menjadi orang tasawwuf, dan kalau ia mendakwa (ia orang tasawwuf) maka ia berbohong” (Terjemahan daripada catitan Dr G.F. Haddad dari Laman “Al Ghazalil Website” – petikan asal darihttp://www.sunnah.org/history/Scholars/imam_alghazali.htm).

 Al-Qistas al-Mustaqim; Minhaj al-‘Arifin; al-Risalah al-Laduniyyah; Faisal al-Tafriqah (fi al-Takfir); Ayyuhal Walad, asalnya tertulis dalam Farsi;

 Mishkat al-Anwar; Risalah al-Tayr; al-Risalah al-Wa’ziyyah; Iljam al-‘Awwam ‘an ‘Ilm al-kalam; al-Mad-nun bihi ‘ala Ghairi ahlihi; al-Ajwibah al-Ghazzaliyyah fi al-Masa’il al-Ukhrawiyyah;

 Bidayah al-Hidayah; Kimiya’ as-Sa’adah; al-Adab fi al-Din; al-Kashf wa al-Tabyin fi Ghurur al-Khalq Ajma’in;

 Sirr al-‘Alamain wa Kashf ma fi al-Darayn; al-Durrah al-Fakhirah fi Kashf ‘Ulum al-Akhirah;

 Qanun al-Ta’wil; al-Ahadith al-Qudsiyyah; al-Munqidh Min al-Dalal; di dalam kitab ini beliau membuat kenyataan: “Jalan tasawwuf terdiri daripada usaha membersihkan hati daripada segala yang lain daripada Allah. Saya membuat kesimpulan bahawa orang-orang tasawwuf adalah orang-orang yang menuntut dalam Jalan Tuhan, dan perangai mereka adalah perangai yang terbaik sekali, dan adab-adab mereka adalah adab-adab yang paling bersih; mereka telah menyucikan hati mereka daripada segala yang lain daripada Allah dan mereka menjadikannya sebagai jalan-jalan bagi berlalunya sungai-sungai mengalir, yang membawa ilmu atau ma’rifah tentang Allah.”







Fatawa, yang di dalamnya beliau membuat kenyataan:

Soalan: Apakah jawapan yang perlu diberikan kepada orang yang menganggap sembahyang sebagai jalan untuk mencapai ibadat yang sebenarnya, dan pengenalan sebenar terhadap Allah, sehingga bila ia mencapai yang kedua itu ia merasa tidak lagi perlu sembahyang, walaupun ia memang masih juga melakukan sembahyang?

Jawapan: Orang yang terpedaya ini mestilah sedar bahawa ibadat yang sebenar dan pengenalan terhadap Allah adalah matlamat-matlamat sembahyang, tetapi bukan itu sahaja matlamatnya. Sebagaimana juga keadaannya kata-kata yang dilafazkan dan yang tertulis dan bacaan-bacaan untuk menjaga diri (al-ruqyah) ada kesan yang tertentu dalam mengawal orang daripada ular – sebenarnya, ke arah menundukkan jin-jin dan setan-setan; dan sebagaimana juga dengan doa-doa yang disampaikan kepada kita dalam bentuk-bentuk puitis menarik khidmat dari para malaikat sebagai jawapan bagi doa-doa orang-orang yang berdoa, fikiran manusia tidak terjangkau untuk memahami cara dan ciri yang sebenar bacaan-bacaan ini, yang boleh difahami hanya melalui kuasa seorang nabi, bila para nabi itu ditunjukkan makna itu semua dalam lauh al-Mahfuz; demikian pula bentuk-bentuk amalan sembahyang yang menjadikan orang ruku’ dan sujud dua kali, dengan bilangan-bilangan (tasbih-tasbih dan bacaan-bacaannya), serta ayat-ayat Qur’an yang tertentu, yang dibaca, dengan panjangnya secara tertentu dan juga bilangannya, waktu matahari naik, tengahhari, dan waktu matahari jatuh, ada mempunyai kesan tertentu bagi menenangkan ular yang bersarang dalam dada manusia dan menimbulkan ular banyak kepalanya pula, (ini bahasa perlembangan-p) yang menyamai bilangan perangai dirinya, yang menggigit dan memagutnya dalam kubur (dalam alam barzakh-p) bahayanya merebak pergi kepada rohnya pula, sebagaimana yang diisyaratkan oleh nabi dalam sabdanya – Allah memberi rahmat dan kesejahteraan kepadanya – ‘Naga dengan sembilan puluh sembilan kepala diberi berkuasa dalam kubur orang yang tidak beriman, yang melakukan sekian sekian perbuatan ’Maka banyaklah naga yang demikian dalam tabiat kejadian manusia, dan tidak ada yang boleh menundukkannya melainkan kewajipan-kewajipan yang ditentukan oleh Tuhan”

Berkenaan dengan Imam al-Ghazali:

Ibn al-Subki menyebut kenyataan dari orang-orang yang sezaman dengan Imam al-Ghazali:















Imam al-Haramain berkata: “Al-Ghazali adalah laut yang menghilangkan dahaga”.
Murid al-Ghazali bernama Imam Muhammad ibn Yahya ibn Mansur al-Naysaburi al-Shahid menyatakan: “Beliau adalah Shaf’I yang kedua”.
Asa’ad al-Mihani menyatakan: ”Tidak ada orang yang mencapai ilmu seperti al-Ghazali, juga tidak ada yang mencapai kelebihannya melainkan orang yang mencapai atau hampir-hampir mencapai kesempurnaan pada akalnya:”

Ibn al-Subki membuat huraian: “Aku sukakan kenyataan sedemikian ini, kerana orang yang hendak melihat kepada tahap pencapaian orang yang berada di atas daripadanya dalam ilmu, ia memerlukan kepada akal dan kefahaman yang dalam. Saya mendengar syaikh dan imam (Syaikh al-Islam Taqi al-Din al-Subki) berkata: ‘Tidak ada orang yang mengetahui pangkat orang lain dalam ilmu melainkan orang yang sama setaraf dengan orang itu, dan yang mengenalinya secara peribadi, dan ia mengenalinya hanya setakat apa yang diizinkan untuknya mengetahui tentangnya’.”

Pemurniaan tasawwuf oleh Imam al-Ghazali rd:



























































Antaranya ialah pemurnian aqidah daripada pengaruh-pengaruh yang menyesatkan. Kerana itu al-Ghazali rd memberi jawapan kepada akidah-akidah yang sesat dan menyesatkan: Mu’tazilah, Jabariyyah, Khawarij, Syi’ah, Batiniyyah, golongan ahli falsafah; semuanya adalah dengan tujuan membina hidup kerohanian atau tasawwuf yang benar atas asas akidah yang hak. Sebab itulah pada bahagian awal Ihya’nya selepas berbicara tentang ilmu beliau memaparkan akidah Ahlis-Sunnah wal-jamaah, mengikut aliran Imam Abul-Hasan al-Asya’ari. Demikianlah akidah yang hak ini mendapat pembelaan dalam teks-teks beliau sepertiAl-Iqtisad fil-I’taqad, Faisalut Tafriqah, Fada’ih al-batiniyyah, dan lainnya.
Antaranya beliau membersihkan amalan-amalan rohaniah mengikut rangka Qur’an dan Sunnah, serta mengikut Imam al-Shafi’I rd. Ini jelas dalam beliau memberi huraian berkenaan dengan amalan-amalan ibadat seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, membaca Qur’an, mengamalkan wirid dan zikir dan seterusnya, dengan tafakkur dan lainnya. Dengan ini amalan tasawwuf berjalan dalam rangka ajaran kerohanian sebagaimana yang ada dalam fiqh imam mujtahid.
Tambahan ialah beliau memberi makna-makna kerohanian di sebalik amalan-amalan seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji di bawah apa yang beliau sebut sebagai “asrar” dan adab-adab dengan maksud-maksud di sebaliknya. Misalnya dalam hubungan dengan ibadat sembahyang beliau mahukan orang yang melakukan sembahyang mengamalkan enam sifat batin, selain daripada rukun tiga belas sembahyang itu dengan amalan-amalan yang sunatnya. Amalan batin yang beliau kehendaki itu ialah memahami apa yang dibaca (‘al-tafahhum”), hadir hati dalam melakukan ibadat dan jangan lalai (‘hudur al-qalb”), takut kepada Tuhan (“al-khauf”), merasa dan menyedari keagungan dan kehebatan serta kemuliaan Tuhan (“al-ta’zim”), harapkan rahmat dana penerimaan Tuhan (“al-raja’ “), dan akhirnya malu, yaitu malu kerana kekurangan-kekurangan diri dalam ibadat (‘al-haya’). Dengan adanya dimensi rohani dalam ibadat maka amalan itu memperkasakan rohani manusia dan berkesan dalam membentuk peribadinya, bukan ia setakat melakukan amalan secara mekanikal semata, walaupun itu memang sah amalannya.
Dengan yang demikian Imam al-Ghazali menggabungkan pertimbangan hukum fiqh dan pertimbangan rohani atau tasawwuf; dengan itu teguhlah kedudukan tasawwuf dalam senarai ilmu-ilmu Islam, dan jadilah fiqh sebagai ilmu yang menjaga kemaslahatan ummat, bukannya berupa sistem mengadakan helah-helah supaya manusia tidak perlu sangat mentaati hukum Syara’ sebab para fuqaha pandai membuat helah-helah.
Dalam bahagian akhir jilid tiga kitab Ihya’ Imam Ghazali berbicara berkenaan dengan “ghurur” atau keadaan manusia terpedaya. Beliau menyebut bagaimana manusia itu mesti mengelak dirinya daripada terpedaya dalam mengamalkan agama supaya ia tidak sia-sia hidupnya di alam yang kekal nanti. Antara keadaan terpedaya itu disebutkan oleh beliau seperti berikut:























Antara mereka yang paling kuat terpedaya ialah mereka yang tidak membawa iman; maka hidup mereka dalam kegelapan rohaniah kerana tidak ada panduan. Panduan hanya boleh didapati dengan sebenar-benarnya bila orang itu membawa iman dan hiduplah ia dalam ibadat menjayakan keimanan yang diyakininya.
Antara mereka yang terpedaya itu ialah mereka yang merasa dirinya memadai dengan ilmu-ilmu setakat menyentuh amalan-amalan lahiriah sahaja tanpa mempedulikan aspek-aspek yang batin dalam amalan hidup. Maka Imam al-Ghazali rd mengutip kata-kata ulama yang dahulu-dahulu yang bermaksud “Sesiapa yang tidak ada baginya habuan daripada aspek yang batin daripada ilmu ahli tasawuf, maka dibimbangkan ia itu mati dalam kejahatan akhir hayatnya. Dan yang sehabis kurang sekali daripada habuan ilmu demikian ialah menyerahkan hal itu kepada mereka yang ahlinya jangan dibantah”. Imam al-Ghazali menyebutkan pula bahawa kalau seseorang itu mengetahui ilmu yang batin dalam tasawwuf tetapi ia tidak berusaha untuk memperbaikkan dirinya dan amalannya serta hatinya, maka ia terpedaya juga. Hendaklah keadaan ini dijauhi.
Antara mereka yang dibimbangkan binasa ialah orang-orang yang merasa memadai dengan amalan-amalan lahiriah sebagai orang-orang yang taat kepada aturan-aturan hukum agama. Orang yang demikian merasa memadai sebagai orang-orang yang salih dan mengamalkan agama, walhal ia tidak peduli untuk membersihkan diri daripada sifat-sifat yang keji seperti riya’ (yaitu melakukan amal kebajikan dalam agama untuk mendapat sanjungan orang ramai atau untuk menjadi masyhur), ujub iaitu rasa tercengang dengan kebaikan diri sendiri, takbur membesarkan diri atas orang lain; demikian seterusnya.
Antara mereka yang binasa dan terpedaya ialah orang-orang yang meringan-ringankan peraturan Syara’ berkenaan dengan cara masuk ke dalam amalan yang dikehendaki Allah. Ini kerana sikap memandang rendah kepada ilmu, kononnya dikatakanya ilmu ini kulit luar sahaja; yang penting ialah yang batin.
Antara orang-orang yang binasa walaupun mereka beramal ibadat ialah orang-orang yang mengamalkan amalan-amalan seperti sembahyang, puasa dan lainnya, tetapi mereka memandang remeh kepada perbuatan mengumpat kepada orang lain serta dengki terhadap mereka.

 
Secara terang Imam Ghazali menyebut di kalangan mereka yang menisbahkan diri kepada tasawwuf menjadi binasa kerana mereka mengambil berat tentang resmi dan pakaian seperti orang-orang tasawwuf dengan kain yang mereka pakai, dan tabiat mereka seperti ahli zikir. Beliau mahu supaya selain daripada resmi lahiriah dan kerja-kerja atau cara hidup lahiriah seperti orang sufi perlulah dijaga adab-adab batinnya.
Golongan yang menisbahkan mereka kepada tasawwuf juga ialah orang-orang yang mengaku mempunyai pengetahuan yang tinggi-tinggi seperti aspek-aspek mukasyafah termasuk ilmu tentang Tuhan dan sifat-sifatNya dengan dalamnya tetapi ia mencuaikan amalannya dalam mentaati Tuhan dan menjalankan aturan agamaNya dengan ikhlas.
Antaranya disebutkan orang-orang yang terpedaya ialah orang-orang yang menganggap Syara’ itu adalah tidak penting kerana ia aspek lahiriah tidak inti bagi agama. Ini bagi agama ia huraian tentang perkara-perkara yang tinggi-tinggi dan mereka ini menghafal kata-kata istilah yang tinggi-tinggi untuk menonjolkan diri sebagai orang-orang tasawwuf yang mencapai darjat yang tinggi, walhal itu adalah hafalan saja
Dalam Faisalah at-Tafriqah Imam Ghazali menyebut tentang mereka yang meringan-ringankan aturan Syara’ seperti orang-orang Zindik.
Kita boleh melihat kekuatan tasawwuf dalam huraian Imam al-Ghazali berdasarkan kepada sifat-sifat keutamaan rohaniah terdiri daripada pelbagai sifat yang perlu diperjuangkan kejayaannya dalam nafsu atau diri batin manusia. Sifat-sifat itu antaranya ialah: taubat, syukur, sabar, takut, harap, zuhud, faqir, tawakkal, tauhid, mahabbah dan syauk kepada Tuhan, niat yang baik, keikhlasan, sifat benar, muraqabah, muhasabah, mengingati maut.
Sifat-sifat yang mesti dibuang daripada jiwa manusia antaranya ialah: kegelojohan nafsu perut dan kelamin, kebinasaan lidah, (berkata-kata tentang perkara yang tidak berfaedah, berbantah-bantah, memberat-berat diri untuk menggunakan bahasa berperhiasan, suka memaki, melaknat, mempersenda-sendakan orang, dan lainnya, mengumpat, mengadu orang), bercakap orang awam berdalam-dalam berkenaan dengan Tuhan, sifat marah, berseteru, dengki dan dendam, kegilaan kepada hidup dunia, bakhil, tamak haloba, riya, suka kepada kemasyhuran, kasihkan pangkat, takabur, ujub atau tercengang dengan kebaikan diri.
Dalam tasawwuf Imam al-Ghazali ada aspek yang menyentuh hubungan manusia dengan Tuhan dalam pengalaman rohaniah sampai seolah-olah manusia merasa dirinya seperti tidak ada yang sebenar-benar ada hanya Tuhan. Ini boleh dikesankan dalam perbincangannya tentang “mahabbah” atau kasih, kejinakan atau “al-uns”, serta hal tauhid. Aspek yang satu lagi ialah bagaimana beliau menyebut Tuhan dengan Sifat-sifatNya yang sempurna dan sediakala (qadim); ini seperti yang disebut di kalangan sufiah: “Tuhan kekal sebagai Tuhan walaupun ia tajalli (seperti tajalli di bukit Tursina) dan hamba kekal hamba walaupun ia meningkat makamnya.” Berhubung dengan ini maka kita boleh memandang bahawa akidah itu akidah juga Tuhan adalah Yang menjadikan, Yang Kekal dan Sediakala, manusia adalah makhluk, yang baharu. Hanya kita perlu sebutkan bahawa pengalaman ahli-ahli rohani dalam sejarah Islam adalah pengalaman yang benar dan kita menerimanya.
Dalam tasawwuf Imam al-Ghazali terdapat penghayatan akidah Ahlis-Sunnah sampai ke kemuncaknya, dengan perlaksanaan amalan berdasarkan fiqh imam mujtahid yang diikuti oleh orang yang berkenaan; amalan rohaninya pula adalah terdiri daripada amalan-amalan yang diakui ulama, serta dengan penekanan ke atas sifat-sifat keutamaan yang baik (‘asl-fada’il), dan pengikisan dari jiwa sifat-sifat yang buruk (‘al-akhlak almadhmumah’); pengiktirafan ada terhadap pengalaman rohani yang sahih yang sampai kepada tahap bahawa orang yang berkenaan itu sampai mengalami bahawa wujud yang sesungguhnya adalah Tuhan dan wujud hamba adalah wujud yang bukan hakiki, walaupun memang ia “real” pada paras alam benda.
Dalam rangka akidah yang sedemikian ini selaraslah akidah manusia di Dunia Melayu dan akidah ini hendaklah dikawal dan diteruskan supaya ia bersemarak; janganlah dibiarkan akidah lain berkembang di kalangan orang Dunia Melayu ini supaya aliran Ahl al-Sunnahnya tetap segar. Antaranya hendaklah jangan dibiarkan berkembang di Dunia Melayu ini pegangan seperti yang ada dalam ajaran Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab yang sampai menuduh Nabi Adam a.s. syirik, Syaikh al-Busiri dalam ‘al-Burdah”nya dikatakan syirik, dikatakan mengucap syahadah dengan tahu maknanya, dengan berikrar, dengan menyeru kepada Tuhan belum menjadikan selamat nyawa dan harta, berdoa di kubur wali sampai dikatakan syirik dan kafir, mengikut imam mujtahid sebagai orang bertaklid sama seperti Orang Ahlil-Kitab mengambil rahib-rahib dan ahli agama mereka sebagai “tuhan-tuhan selain Allah”.

Wallahu a’lam.

————————————————–

* Sumber-sumber tentang riwayat hidup Imam al-Ghazali rd banyak terdapat di laman web “al-Ghazali’s website”: www.muslimphilosophy.com/gz/default.htm; antaranya:



























































At-Tabaqat al-Shafi’iyyah al-Kubra, oleh Imam Taj al-Din al-Subki (1327-1370), ed.’Abd al-Fattah Muhammad al-Juluyy dan Mahmud Muhammad al-Tanahi, jld. VI.cetakan pertama, Isa al-Babi al-halabi, Kahirah, hlm.191-227;
Siyar A’lam al-Nubala’, Imam al-Dhahabi,
Tibyan Kathib al-Muftari, Ibn ‘Asakir,
Shadharat al-Dhahab,
Wafayat al-Wafayat
Mir’at al-Jinan
al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Kathir
“The Life of al-Ghazali with special reference to his religious experiences and opinions”, D Black MacDonald, (JAOS).1887,
“Al-Ghazali: Life and Works” oleh Massimo. Campanini (e-teks),
“Al-Ghazali: Philosophy and Works”, oleh K. Nakamura, dari Routledge Encyclopedia of Philosophy,
The faith and Practice of Al-Ghazali” artikel oleh Montgomery Watt,
Al-Ghazali: A standard web biography and review of his works” oleh G.F.Haddad,
Syarah Ihya’ (Ithaf al-Sadat) oleh Murtadha al-Zubaidi, mukaddimah jld I hlm 1-55
M.Saeed Shaeik, M.A. “al-Ghazali”, bab XXX, bahagian awal tentang Imam ini, termasuk riwayat hidupnya dalam “History of Muslim Philosophy”, di bawah “al-Ghazali Life and Works”, dlmhttp://www.muslimphilosophy.com/gz/articles/hmp-4-30.htm.

 

SUMBER:

http://blogtraditionalislam.wordpress.com/2009/03/31/pemurnian-tasawwuf-oleh-imam-al-ghazzali/

AGAMA URUSAN ULAMA

Oleh:




Dr Asmadi Mohamed Naim

Persoalan peranan ulama kerap diperkatakan kebelakangan ini kerana kedudukannya yang tinggi di mata masyarakat. Namun, kebelakangan ini ada ungkapan yang mempersoalkan perkara tersebut. Perkara ini juga perlu dilihat dari hidayah al-Quran dan sunnah supaya masyarakat dapat melihat kebenaran sebenar pada perkara ini.

Ungkapan seperti: ‘Perubatan moden adalah untuk semua masyarakat’ sudah diterima umum. Namun sekiranya datang Si A berkata: Walaupun saya belajar bertani, namun disebabkan perubatan untuk semua, maka saya juga layak jadi doktor dan boleh mengubat penyakit saudara walaupun saya tidak belajar perubatan. Demikian juga ungkapan: ‘Kejuruteraan moden untuk semua’. Namun datang pula Si B mengatakan: Walaupun saya belajar kedoktoran, saya juga layak menjadi jurutera dan mahu mempraktikkan bidang kejuruteraan.

Masyarakat yang mendengar kata-kata tersebut, pasti beranggapan bahawa sesiapa yang berubat dengan Si A akan menerima bahaya. Begitu juga dengan halnya Si B, masyarakat akan berpandangan bahawa walaupun dia pandai dari sudut perubatan, namun bangunan yang dibinanya belum tentu kukuh dan merbahayakan masyarakat umum.

Kalau demikian kedudukannya, Islam adalah agama untuk semua adalah ungkapan yang sememangnya diterima. Namun adalah tidak betul mengatakan urusan agama, mentafsirkan al-Quran, menghukum kesahihan hadis dan mengeluarkan hukum boleh diberi sebebas-bebasnya untuk masyarakat awam.

Sekiranya seseorang mengamalkan perubatan tanpa ilmunya yang sah, pasti merbahayakan masyarakat dan boleh membawa kematian. Demikian juga urusan agama, sekiranya ditafsirkan dan dihuraikan oleh bukan ahlinya, pasti membawa kepada penyelewengan yang membawa kehidupan sebelum mati dan sesudah mati. Kebiasaannya, mana-mana ajaran sesat datangnya dari pengaruh seseorang kepada masyarakat awam.

Benarlah Firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl, 43 yang bermaksud: Maka hendaklah kamu bertanya kepada orang-orang yang mengetahui sekiranya kamu tidak mengetahui.

Sabda Rasulullah SAW: Sekiranya diserahkan urusan kepada orang yang tidak mengetahui tunggulah saat binasa.

Hadis tersebut dengan jelas menghuraikan kebinasaan sekiranya diserahkan urusan kepada bukan ahlinya, lebih-lebih lagi dalam urusan agama.


Pandangan Imam Shafie Rahimahullah:

Berkata Imam al-Shafie Rahimahullah (nasir al-sunnah) dalam kitabnya al-Risalah (Hal: 510) yang bermaksud: Tidaklah berijtihad (qiyas) kecuali sesiapa yang mempunyai kemampuan iaitu ilmu mengenai kitabullah samada perkara fardhunya, kesusasteraannya (balaghahnya), nasikhnya, mansukhnya, ‘amnya, khasnya dan panduannya. Dia (mujtahid) berdalilkan pada perkara-perkara yang boleh ditakwilkan dengan sunnah Rasulullah SAW. Sekiranya tidak ada, maka dengan ijma’ al-muslimin. Sekiranya tiada ijma’, maka dengan qiyas.

Kemudian Imam Syafie berkata lagi: Tidaklah boleh untuk sesiapapun berijtihad sehingga ia menjadi alim dengan sunnah-sunnah, perkataan-perkataan Salaf, persepakatan masyarakat dan perbezaan pandangan di kalangan mereka dan mahir bahasa Arab.

Imam Shafie berkata lagi: Tidaklah boleh untuknya berijtihad (qiyas) sehingga dia merupakan seorang yang berakal sehingga boleh membezakan antara yang musytabih, tidak gopoh untuk memperkatakan sesuatu sehingga ia mempastikannnya.

Tambah Imam besar itu lagi: Dia (mujtahid) tidak menolak untuk mendengar pandangan orang yang menyanggahnya kerana kemungkinan melalui mendengar tersebut dapat mengelakkan lupa dan menambah keyakinannya pada perkara yang ia yakin kebenaran.

Tegahan Imam Shafie:

Imam Shafie berkata lagi dalam kitabnya al-Risalah (Hal. 511): Manakala sesiapa yang sempurna akalnya, namun bukan seorang yang berilmu (sebagaimana diperkatakan tadi), tidak halal baginya berijtihad, kerana sesungguhnya dia tidak mengetahui apa yang diijtihadkannya, sebagaimana tidak dibolehkan seorang ahli fiqh memperkatakan mengenai harga dirham walhal dia tidak mempunyai pengalaman di pasar.

Dengan itu benarlah kata-kata Rasulullah: Ulama` adalah pewaris para nabi. Merekalah yang menyambung tugas-tugas masyarakat.

Kesimpulannya, urusan agama ini adalah urusan ulama. Ulama sahajalah yang dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Kebanyakan ajaran sesat dilahirkan apabila dibiarkan orang-orang awam mentafsirkan agama sewenang-wenangnya. Demikian juga aliran sesat menyesat secara taksub pada perkara khilafiyah dalam ibadah diikuti oleh masyarakat awam yang lemah asas agama.

Pada masa yang sama, masyarakat harus mengenali siapakah ulama yang sebenar. Sistem pelajaran moden, yang memisahkan ilmu-ilmu Syariah kepada al-Quran, al-Sunnah, Syariah, Dakwah dan Bahasa Arab telah melahirkan cerdik pandai Islam yang hanya pakar dalam sesuatu bidang ilmu. Seseorang mungkin dikatakan pandai hadith, tetapi tidak mempunyai kefaqihan atau tidak mahir dalam pembacaan nas-nas ulama. Demikian juga sebaliknya. Demikian juga pandai bahasa Arab sahaja tidak memboleh seseorang itu pandai mentafsir al-Quran. Kalau Bahasa Arab sahaja membolehkan seseorang mentafsirkan al-Quran, nescaya semua orang-orang Arab sudah menjadi ulama.

Sekiranyanya, lulusan agama universiti moden ini mengakui kelemahan masing-masing, akan lahir saling bergandingan untuk menegakkan kebenaran. Namun sekiranya graduan tersebut tidak menyedarinya, dan tidak mahu menghadapinya, akan lahir golongan yang disebut oleh ramai professor-profesor Syariah kepada anak-anak muridnya iaitu: Kamu memasuki universiti dalam keadaan tawaduk, namun kamu keluar dalam keadaan takabbur.

Oleh itu, masyarakat perlu menghormati peranan ulama kita samada dulu mahupun sekarang. Kita mengharapkan institusi ulama terus dihormati kerana peranan besar mereka di kalangan masyarakat.

Wallahu a’lam.

Sumber: Utusan Malaysia, 22 Disember 2006
 SUMBER:


IMAM HASSAN AL-BANNA RAHIMAHULLAH DAN PANDANGANNYA TENTANG TASAWUF




Pada hari Jumaat baru-baru ini tanggal 6 Jumadil Awwal 1430 bersamaan 1 Mei 2009,saya bersama Ustaz Hairul Nizam pergi bertandang ke rumah seorang ulama besar Hadis di Mesir iaitu al-Alim al-Allamah Doktor Syeikh Saad Jawish hafizahullah. Saya diberitahu oleh Ustaz Hairul bahawa Syeikh sakit dan kesempatan waktu yang ada kami gunakan untuk melawat ulama besar ini.

Kehadiran kami pada mulanya hanya untuk melawat Fadhilatul al-Syeikh bertukar menjadi majlis ilmu yang sangat kami nanti-nantikan. Syeikh menyuruh Ustaz Hairul untuk membacakan sebahagian hadis yang terdapat di dalam kitab Sunan al-Sughra oleh al-Imam Baihaqi radhiyallahu anhu. Inilah sikap para ulama yang sentiasa dipenuhi masanya dengan ilmu. Bila mengenangkan peristiwa ini, teringat saya kisah yang berlaku kepada al-Imam Abu Yusuf ,Murid kepada al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhum (113-182H), ketika di dalam keadaan nazak masih lagi sempat membahaskan tentang ilmu. Sedikitpun waktu tidak dibuang sia-sia begitu sahaja melainkan dipenuhi dengan ilmu dan hikmah. Kisah ini saya petik daripada kitab :
قيمة الزمن عند العلماء



Kitab ini dikarang oleh Syiekh al-Allamah Muhaddis Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah. Kisah Imam Abu Yusuf ini diceritakan oleh murid beliau al-Imam Qadhi Ibrahim bin al-Jarrah rahimahullah ketika beliau melawat al-Imam yang sedang sakit, tiba-tiba si Imam bertanya pendapat Qadhi Ibrahim tentang satu masalah ilmu. Qadhi Ibrahim terkejut dan mengatakan: Wahai tuan guru, adakah kamu ingin berbincang tentang masalah ilmu dalam keadaan kamu sebegini(sakit yang teruk).Kata Sang Imam : Tidak mengapa, moga-moga dengannya akan sama-sama beroleh faedah(penyelamat di akhirat kelak).

Maka al-Imam Abu Yusuf bertanya: Wahai Ibrahim , manakah yang lebih afdhal ketika melontar Jamrah(ketika haji) sama ada menaiki kenderaan(binatang) atau berjalan?

Maka Qadhi Ibrahim menjawab: Menunggang binatang lebih afdhal. Sang Imam menjawab: Kamu salah memberikan jawapan. Qadhi Ibrahim menjawab lagi: Berjalan lebih afdhal. Maka Sang Imam menjawab: Tetap jawapan kamu salah. Maka kata Qadhi Ibrahim: Berikanlah jawapannya wahai Tuan Guru, moga Allah meredhaimu.

Sang Imam menjawab: Jika kamu ingin berhenti untuk berdoa ketika melontar Jamrah tersebut,maka afdhalnya ,kamu melontar dalam keadaan berjalan. Tetapi jika kamu tidak ingin berdoa ketika itu , maka afdhal bagimu menaiki kenderaan.

Selepas beberapa ketika bersama dengan al-Imam , maka Qadhi Ibrahim pun bangun untuk pulang. Bilamana Qadhi Ibrahim sampai ke muka pintu, maka beliau mendengar al-Imam Abu Yusuf menarik nafas dengan kuat. Bila Qadhi mendapatkan al-Imam, maka didapati Sang Imam yang mulia telah meninggal dunia. Moga Allah merahmati mereka semua. Amin..

Inilah sikap dan peribadi para ulama. Sangat terkesan kami pada malam tersebut dengan sikap dan peribadi Syeikh Saad Jawish Hafizahullah.Moga Allah memanjangkan usiamu wahai syeikh yang kami cintai. Kami masih dahagakan ilmumu.

Saya sempat meminta Syeikh memberikan ijazah umum kitab-kitab hadis yang syeikh perolehi daripada Guru-guru beliau. Alhamdulillah beliau berkenan untuk mengijazahkan kepada saya dengan apa yang beliau perolehi daripada guru-guru beliau. Antara guru-guru Syeikh Saad Jawish ialah Syeikh Yassin al-Fadani , Syeikh Hafiz al-Tijani, Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari , Syeikh Zaki Ibrahim dan lain-lain rahimahullah.

Kemudian Syeikh juga menghadiahkan kepada kami majalah Muslim yang dikeluarkan oleh Maahad Sufi ( Asyirah Muhammadiyah). Sebaik sampai di rumah, saya menyelak helaian majalah tersebut. Apa yang menarik perhatian saya ialah sebuah artikel yang ditulis oleh al-Imam al-Ra’id Syeikh al-Allamah Muhaddis Zaki Ibrahim rahimahullah berkenaan pertentangan yang berlaku di antara Jamaah al-Ikhwan al-Muslimun dan golongan Sufi di Mesir seperti yang diwara-warakan oleh wartawan Majalah Tahrir. Jamaah al-Ikhwan al-Muslimun dikatakan sering mengatakan kepada golongan sufi bahawa jalan yang di bawa oleh ulama sufi adalah salah dan menyeleweng daripada jalan sebenar Islam.

Maka al-Imam Zaki Ibrahim rahimahullah, menulis artikel tersebut menerangkan hakikat sebenar Tasawuf menurut pandangan al-Imam Hasan al-Banna dan al-Ikhwan al-Muslimun. Syeikh Zaki Ibrahim menyebutkan, jika Tasawuf Islami dikatakan bid’ah yang sesat maka Imam al-Banna juga merupakan orang yang sesat dan Jamaah al-Ikhwan al-Muslimun sejak ditubuhkan sehingga kematian Imam boleh dianggap sesat.

Kata Syeikh Zaki lagi: Imam al-Banna adalah salah satu hasil yang lahir daripada kelompok halaqah Zikir Tariqat Syazuliyah,ditarbiah dengan acuan Tariqat Syazuliyah. Malah beliau membawa manhaj Ikhwan dengan apa yang terkandung di dalam Tariqat Syazuliyah itu sendiri. Ketika majalah pertama al-Ikhwan al-Muslimun diterbitkan dikhususkan satu bahagian di dalamnya untuk Tasawuf yang dikarang sendiri oleh al-Imam Hassan al-Banna.
Kata Syeikh Zaki Ibrahim lagi: “Aku sendiri pernah menghadiri majlis ibadah gologan Sufi bersama al-Imam Hassan al-Banna”. Perkara sebegini diteruskan oleh Imam al-Banna dan perkara tersebut boleh kita dapati sekarang di dalam penulisan-penulisan beliau yang masih kekal seperti Ma’surat , melazimkan kepada ahli gerakan melaksanakan zikir dan wirid dan lain-lain.

Keluarga Imam al-Banna juga terkenal sebagai sebuah keluarga sufi. Bapa beliau sendiri merupakan seorang ulama Hadis yang hebat dan juga Sufi yang masyhur. Saudara kandung beliau juga iaitu Syeikh Abdul Rahman al-Banna juga merupakan salah seorang penggerak utama Tariqat Syazuliyah.

Saya tidaklah menukilkan satu persatu kalam Syeikh al-Allamah Zaki Ibrahim rahimahullah tentang hakikat ini. Penjelasan sebegini sudah jelas bagi menerangkan bahawa al-Imam al-Banna rahimahullah adalah golongan Sufi yang menjadi penggerak kepada Gerakan Islam terbesar di dunia. Tohmahan yang mengatakan bahawa golongan sufi tidak bergerak menyokong gerakan Islam adalah satu tohmahan yang tidak berasas.

Jika kita menyedari hakikat ini, maka tentu kita dapat berfikir dengan baik. Golongan yang hebat sebegini, hakikatnya dibentuk dengan acuan yang satu. Duduk bersama orang-orang soleh, belajar dengan para ulama dan belajar dengan acuan ahlussunnah yang benar adalah perkara yang tidak boleh tidak mesti dilakukan oleh seorang yang ingin menjadikannya sebagai Ahli Gerakan Islam yang sebenar.

Saya sangat terkilan dengan sebahagian pelajar yang berada di Mesir, yang kononnya ingin mengambil acuan Ikhwan al-Muslimun dan sering menimbulkan kebobrokkan pemikiran dikalangan mahasisiwa al-Azhar dan sahabat-sahabat perubatan, pernah menyebutkan kepada salah seorang teman saya dengan mengatakan bahawa: Ilmu-ilmu yang ada di Mesir ini adalah ilmu yang mentah.Kalau tauhid, fiqh dan sebagainya, di Malaysia pun kita boleh dapatkan perkara tersebut. Kita datang ke Mesir nie sebenarnya nak ambil selain daripada ilmu mentah nie,ada sesuatu yang lebih istimewa iaitu Ilmu Gerakan Ikhwan al-Muslimun.

Saya ingin berpesan kepada golongan yang semangat “tak tentu hala” sebegini(seperti loghat Kedah), agar berhati-hati bila mengeluarkan perkataan. Jangan di sebabkan semangat tanpa ilmu sebegini (yang hanya berpada dengan usrah-usrah yang kononnya lebih baik daripada usrah yang dibawa oleh Persatuan Pelajar disini iaitu PMRAM)menyebabkan kalian hilang arah sebenar datang ke Mesir. Pemikiran-pemikiran songsang akan makin merebak di bumi Malaysia jika pemikiran yang mengatakan “ ilmu di al-Azhar adalah ilmu Mentah” sebegini masih dikekalkan di dalam kesatuan kamu. Saya tidak menjuruskan perkataan saya ini kepada sesiapa. Bak kata pepatah: Siapa yang makan Cili maka dialah yang akan merasa pedasnya.

Ingat, semangat tanpa ilmu tidak mencukupi . Ambillah contoh sebenar Imam al-Banna rahimahullah. Kaji semula Manhaj dan perjuangan asal Imam al-Banna.Moga kita semua mendapat petunjuk daripada Allah taala.Aminn.


SUMBER: