Thursday, 1 November 2012

Peranan Tasawuf Dalam Memelihara Identiti Agama di Mesir

 

Oleh: al-Imam Syeikh ‘Ali Jum‘ah, Mufti Besar Mesir

Terjemah: al-Faqir Mohd. Khafidz Soroni

Sumber: Website Syeikh ‘Ali Jum‘ah

 

 

Tasawuf muncul untuk meletakkan para pengikutnya di tengah-tengah isu-isu sosial dan juga politik dalam masyarakat Islam, bukannya supaya mereka hanya duduk secara berasingan jauh daripada isu-isu berkenaan. Bahkan ia menggembleng usaha menyediakan mereka untuk berkhidmat terhadap agama, ummah dan juga tanah air.

 


Justeru, tasawuf mahupun ahli sufi tidak hanya setakat terhenti pada keadaan berzikir, zuhud dan beribadat secara individu ataupun secara jemaah, bahkan tasawuf telah membentuk institusi-institusi besar yang mempunyai jaringan di seluruh dunia dan berperanan dalam bidang pembangunan, politik serta sosial. Para ahli sufi di sepanjang zaman telah melahirkan para ulama, para pahlawan dan para idola yang mana sejarah Islam terisi dan dipenuhi dengan mereka, berdasarkan kepada populariti mereka yang masyhur dan kecintaan majoriti umat Islam kepada mereka.Mereka tidak mencapai kedudukan dan martabat sedemikian melainkan kerana tauladan dan tingkah laku yang baik menurut manhaj yang lurus lagi kukuh berdasarkan al-Quran dan Sunnah, menghormati para ulama ummah, serta berusaha ke arah perpaduan umat Islam dan kesatuan mereka.

 

 

Oleh itu, mereka tidak menghadkan diri hanya kepada jihad nafsu semata-mata, sepertimana yang didakwa oleh orang yang tidak mengenal mereka, akan tetapi mereka menggabungkan kepada kekuatan tersebut dalam memerangi golongan musuh dan golongan yang zalim. Antara model-model mereka itu ialah Imam al-Ghazali (505H), Muhyiddin Ibn ‘Arabi (638 H), al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam (660 H) dan Imam al-Nawawi (676 H). Manakala dalam satu peristiwa sejarah yang belum jauh, para ahli sufi telah membawa panji-panji revolusi kebangsaan di Mesir dalam menghadapi pemerintah-pemerintah kerajaan Mamalik, di mana Imam al-Dardir (Abul Barakat Ahmad ibn Muhammad al-Dardir al-Maliki, w. 1201H), seorang tokoh sufi besar telah mengetuai suatu revolusi besar menentang golongan Mamalik sebelum tercetusnya Revolusi Perancis dalam jarak tempoh tiga tahun. Ia telah memaksa golongan Mamalik mengakui bahawa rakyat adalah sumber kekuasaan, serta berjaya menghalang mereka daripada mengenakan cukai-cukai baru melainkan dengan keputusan rakyat, dengan pengiktirafan penuh terhadap kebebasan dan maruah mereka.



Tasawuf mempunyai dasar-dasar dan prinsip-prinsip yang utama, iaitu: berpegang kepada kitab Allah, dan mengikuti sunnah Rasul-Nya s.a.w., memakan yang halal, tidak menyakiti/menganiaya, menjauhi maksiat, bertaubat, dan menunaikan hak-hak. Tasawuf terbentuk dengan bersabar atas perintah-perintah dan yakin pada hidayah. Firman Allah Taala:

(وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ) [السجدة:24]


Terjemahan: “Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami” [al-Sajdah: 24].

 

 

Para ahli sufi telah menyatakan bahawa: Tidak layak untuk memimpin di jalan ahli sufi ini melainkan orang yang luas pengetahuannya dalam ilmu syariat serta mengetahui yang mantuq dan mafhum, yang khas dan ‘am, serta yang nasikh dan mansukh, dan berpengetahuan luas dalam bahasa Arab sehingga mengetahui soal majaz, isti’arah dan lain-lainnya, iaitu sebagaimana yang disebutkan oleh al-‘Arif biLlah Syeikh ‘Abdul Wahhab al-Sya'rani (973 H) dalam mukadimah kitab beliau al-Tabaqat al-Kubra(ms. 5). Beliau juga berkata: Sesungguhnya jalan kaum sufi ini diacuankan di atas al-Quran dan Sunnah sepertimana pengacuanan emas dan permata, maka si-saliknya memerlukan kepada neraca syarak dalam setiap pergerakan dan juga perhentian (Lata’if al-Minan wa al-Akhlaq, 1/2).



Ahli sufi telah berkembang pesat di Mesir atas dasar kesederhanaan dan keseimbangan. Ia telah diringi dengan penubuhan khanqah (ribat atau tempat berhimpun ahli sufi) pertama di Mesir dalam era al-Nasir Salah al-Din al-Ayyubi (532 - 589 H). Maka berkembanglah sesudahnya banyakkhanqah dan madrasah sufi di seluruh Mesir. Ia telah berperanan dalam melahirkan murid-murid dan para pelajar yang bersiap sedia dari segi rohani, tarbiah dan juga akhlaknya untuk menghadapi cabaran-cabaran ekonomi, politik dan sosial yang melanda masyarakat Islam dari semasa ke semasa.



Berpegang dengan prinsip kesederhanaan yang dianjurkan oleh Islam, para ahli sufi di Mesir berada jauh daripada sifat melampau batas, mempunyai ciri keseimbangan dan juga jauh dari sikap keterlaluan. Tariqat-tariqat sufi di Mesir ini disatukan oleh suatu ciri khas, iaitu memberi tumpuan terhadap aspek ilmu dan juga akhlak.



Meskipun tasawuf di Mesir memiliki kehidupan rohani yang khusus, namun ia juga memberi pengaruh khusus ke atas banyak aspek kehidupan yang berada di sekelilingnya. Ia menjadi pendorong untuk terus berpegang kepada tasawuf dalam berdakwah kepada Allah dan Rasul-Nya. Ia turut membantu ahli sufi dengan kuat dalam membentuk identiti agama yang sederhana di Mesir. Kaedah yang digunakannya ialah menyenangkan mesej yang dibawa dan memudahkan penyertaan di bawah panji-panjinya dalam mengharungi pelbagai tribulasi yang dihadapi oleh Mesir dalam tempoh-tempoh masa yang berbeza, di mana rumah-rumah kebajikan, zawiyah-zawiyah dan khanqah-khanqah menjadi tempat perlindungan yang selamat untuk golongan yang tertindas, golongan fakir-miskin dan juga golongan lemah. Pusat-pusat tersebut juga telah menjadi penyuluh agama yang moderat, yang mampu mengeluarkan muslim yang beramal dengan kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya untuk berjihad demi negara dan agamanya. Dari situ, para ahli sufi telah membentuk sebahagian besar suasana agama di Mesir yang bersifat jauh dari ciri-ciri melampau dan keras.



Tasawuf juga berkait dengan mencintai Ahl al-Bayt, mengadakan majlis-majlis mawlid dan halaqah-halaqah zikir yang telah membantu untuk menarik murid-murid mengasihi masjid dan juga Ahl al-Bayt. Ia merupakan satu aspek yang telah menyumbang dalam membangunkan Islam yang sederhana dan juga membentuk identiti agama. Kecintaan ini tidak sekadar dikongsi oleh ahli sufi dan golongan Syiah semata-mata, bahkan semua umat Islam baik ahli Sunnah dan juga golongan Syiah berkongsi sama dalam kecintaan mereka terhadap Ahl al-Bayt r.a.

 


Ahli sufi telah dan masih terus menjadi fungsi yang aktif dan penting dalam masyarakat Islam di Mesir yang turut mendorong tariqat-tariqat sufi dalam setiap zaman supaya terus berpaksi pada usul-usul tasawuf dan berpegang kuat dengannya, serta kembali kepada peranan utamanya dalam berdakwah kepada Allah dan memimpin masyarakat dari segi agama, sosial dan juga politik, sebagaimana peranannya dahulu di sepanjang sejarahnya di Mesir. Tidak pun memudaratkannya kemunculan beberapa kumpulan dari kalangan orang-orang yang malas dan jahil yang hanya mengaut rezeki di sebalik dakwaan mereka sebagai ahli sufi dan sandaran diri mereka kepadanya. Hakikatnya, jalan tasawuf adalah jelas lagi kukuh yang tidak akan menyimpang dari jalan Allah yang lurus, meskipun menerima serangan golongan yang memusuhinya dan juga tuduhan golongan yang bermotif terhadapnya.

 

************

LAMPIRAN

Antara Tokoh-tokoh Tasawuf di Mesir:

 

1. Zu al-Nun al-Misri (245H)

2. Sayyidi ‘Abd al-Rahim al-Qina’i (592H)

3. Sayyidi 'Umar bin al-Faridh (632H)

3. Sayyidi Abu al-Hajjaj al-Aqsari (642H)

4. Sayyidi Abu al-Hasan al-Syazili (656H)

5. Sayyidi Ibrahim al-Dusuqi (669H)

6. Sayyidi Ahmad al-Badawi (675 H).

7. Sayyidi Abu al-‘Abbas al-Mursi (686H)

8. Sayyidi Muhammad al-Busiri (695 H).

9. Imam Taqiy al-Din Ibn Daqiq al-’Id (702 H).

10. Imam Ahmad ibn ‘Ata'illah al-Iskandari (709 H).

11. Sayyidi 'Ali bin Muhammad bin Wafa al-Syazili (807H).

12. Sayyidi Muhammad Syamsu al-Din al-Sultan al-Hanafi (847H).

13. Sayyidi Muhammad Abu al-Mawahib al-Syazili (lebih 850H)

14. Sayyidi Ibrahim bin 'Ali al-Matbuli (881H).

15. Imam al-Hafiz Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman ibn Abi Bakr al-Suyuti (911 H).

16. Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari (926 H).

17. Sayyidi 'Ali al-Khawwas (945H).

18. Imam Syeikh ‘Abdul Wahhab al-Sya'rani (973 H).

19. al-‘Allamah Syeikh ‘Abd al-Ra'uf al-Munawi (1029 H).

20. al-'Allamah 'Abdullah bin Muhammad al-Syubrawi (1171H).

21. Syeikhul Azhar Muhammad bin Salim a-Hifni (1181H).

22. Sayyidi 'Ali bin Hijjazi al-Bayyumi (1183H)

23. al-'Allamah Abul Barakat Ahmad ibn Muhammad al-Dardir (1201H)

24. Al-Hafiz al-Sayyid Muhammad Murtada al-Zabidi (1205 H).

25. Syeikhul Azhar 'Abdullah bin Hijjazi al-Syarqawi (1227H).

26. al-'Allamah Muhammad al-Amir al-Maliki (1232H).

 

SUMBER:

http://sawanih.blogspot.com/2011/10/peranan-tasawuf-dalam-memelihara.html

 

Tuesday, 30 October 2012

Kepentingan Majlis Haul Dan Maulid Sebagai Medium Untuk Berdakwah Pada Masakini










Oleh : Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni  (Pensyarah KUIS)

 

Hakikat dakwah yang sebenar ialah dakwah ila Allah, yakni dakwah kepada Allah SWT.Konsep, sasaran dan medium dakwah adalah amat luas.

 

Dakwah dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu;

  1. Dakwah dengan hati/qalbu.

  2. Dakwah dengan lidah/lisan.

  3. Dakwah dengan pena/penulisan.

  4. Dakwah dengan akhlak dan tingkah laku.

  5. Dakwah dengan situasi/ isu dan peristiwa.

  6. Dakwah dengan ‘mata pedang’/senjata.


 

Dakwah no. 4 dan 5 di atas disebut sebagai dakwah bi al-hal. Jenis dakwah inilah yang bersesuaian dikait dengan majlis-majlis sambutan haul atau mawlid yang akan dibicarakan dalam tulisan ini. Meskipun pengisian dalam program haul atau mawlid tersebut adakalanya merangkumi jenis dakwah no. 1, 2 dan 3 di atas sekaligus.

 

Salah Satu Medium Berkesan

 

Haul ialah memperingati kewafatan seseorang, manakala mawlid adalah memperingati kelahiran seseorang. Majlis sambutan haul atau mawlid biasanya diadakan bagi seseorang tokoh besar tertentu yang meninggalkan jasa dan sumbangan besar kepada umat Islam. Sambutan haul atau mawlid adalah antara medium-medium yang diadakan bagi menghimpunkan masyarakat dalam majlis-majlis islamik tertentu, ia sepertimana sambutan-sambutan Mawlidur Rasul, Ma’al Hijrah, Isra’ dan Mi’raj, dan sebagainya. Semua sambutan-sambutan ini adalah dari buah pemikiran ahli-ahli fikir Islam sendiri bagi mengajak masyarakat mengenang peristiwa-peristiwa islamik tersebut serta mengambil iktibar daripadanya. Tiada timbul soal mengadakan bidaah yang dilarang oleh agama kerana tidak ada nas yang jelas melarang dari mengadakan majlis-majlis seumpama itu. Maka secara umumnya ia merujuk kepada hukum asal, iaitu harus.

 

Ingin saya petikkan di sini pandangan Dr. ’Ali ’Abdul ’Aziz Suyyur dalam kitabnya al-Farq Bayn al-Bid’ah wa al-Ikhtilaf al-Fiqhi wa Atharuhuma ’ala al-Din wa al-Mujtama’ (hlm. 527), kata beliau;

 

”Orang yang menyambut mawlid tidak hanya semata-mata menyambut mawlid, bahkan ia juga menyambut munasabah-munasabah islamik yang lain. Kami percaya bahawa sambutan-sambutan yang diadakan bersempena munasabah-munasabah islamik yang bersifat sejarah ini seperti Mawlidur Rasul, Isra’ dan Mi’raj, Fath Makkah, Perang Badr dan sebagainya adalah semata-mata medium-medium dakwah dan pengeksploitasian terhadap suatu bentuk muktamad dalam bidang pentarbiyahan, pengajaran dan bimbingan. Ia dikenali sebagai pentarbiyahan melalui peristiwa dan realiti semasa. Mereka yang menganjurkannya pun tidak benar-benar menjaga perlaksanaan sambutannya pada hari yang jelas menurut mereka bahawa peristiwa berkenaan berlaku pada hari tersebut, bahkan adakalanya dibuat sehari atau dua hari sebelum itu, atau sehari atau dua hari sesudah itu, atau lebih lagi berdasarkan kelapangan orang ramai dan dapat mengumpulkan bilangan majoriti orang ramai yang paling besar untuk mendengar zikir dan ceramah. Malahan jika ditambah kepada sambutan-sambutan ini sebahagian ibadah seperti berselawat ke atas Nabi SAW, atau lain-lain zikir, maka yang demkkian itu tidak menjadikannya termasuk dalam bidaah yang dicela”.

 

Suatu 'Trend' dan Hakikat Istimewa

 

Semacam suatu 'trend' dari sudut kecenderungan dalam mengadakan majlis-majlis sambutan ini, di mana sesetengah tempat seperti Mesir cenderung mengadakan majlis-majlis sambutan mawlid, dan sambutan Mawlid al-Badawi di Mesir adalah antara sambutan mawlid terbesar yang dihadiri oleh jutaan orang. Manakala sesetengah tempat seperti Yaman dan Nusantara lebih cenderung mengadakan majlis-majlis sambutan haul, dan sambutan Haul al-Haddad adalah antara sambutan haul terbesar yang dihadiri oleh puluhan ribu orang.

 

Apa yang menarik perhatian, majlis-majlis sambutan seperti ini adalah sempena tokoh-tokoh besar dalam bidang kesufian dan kerohanian, tidak ada sambutan seumpama demikian diadakan bagi tokoh-tokoh besar dalam bidang-bidang lain seperti tafsir, hadith, fiqh, usul, akidah dan sebagainya. Ini barangkali menjadi salah satu justifikasi bagi pandangan sesetengah ahli sufi yang menyatakan tentang kewujudan dawlah hukumah batiniyyah atau 'negara rohani' yang akan terus kekal berkembang dan berterusan hingga ke hari kiamat kelak. Hal ini samasekali tidak menidakkan sumbangan tokoh-tokoh besar dalam bidang-bidang lain yang telah diakui jasa-jasa mereka dalam memelihara zahir syariat Islam. Malah sesetengah mereka adalah murid kepada tokoh sufi yang masyhur. Bahkan sesetengah tokoh sufi tersebut juga adalah tokoh dalam bidang-bidang disiplin Islam yang lain.

 

Oleh kerana majlis-majlis sambutan ini berteraskan tokoh islamik, maka wajar ia dihadiri oleh ramai para ulama, para ilmuwan dan orang-orang soleh. Situasi ini menarik satu hakikat yang disepakati, iaitu peri pentingnya berdamping dan bersahabat dengan orang-orang yang baik dan soleh. Amat banyak faedah rohani dan manfaat batini yang dapat diperolehi oleh mereka yang menghadiri majlis-majlis perhimpunan bersama orang-orang yang soleh ini. Ia mampu memimpin tangan seseorang mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mengabdikan diri kepada-Nya. Atau sekurang-kurangnya mendapat rahmat dan barakah daripada majlis-majlis tersebut.

 

Kalimat Imam al-Haddad

 

Di dalam kitab al-Fusul al-‘Ilmiyyah karya Imam al-Habib 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad, pada fasal 32 ada menyebut tentang bergaul dengan orang-orang agama dan orang-orang soleh ini, kata beliau:

 

صحبة أهل الدين وأهل الخير من العلماء ، وعباد الله الصالحين ومخالطتهم ومجالستهم محبوبة ومرغب فيها ، وفيها منافع وفوائد عاجلة وآجلة ، وردت بها وفيها الأخبار والآثار الكثيرة ، ولكن الناس في طلب ذلك والحرص عليه ، والرغبة فيه على نيات ومقاصد ومطالب شتى ، أعلاهم وأولاهم في ذلك من يصحبهم ويخالطهم ليعلم من علومهم ، ويتأدب بآدابهم ، ويشاهد من أخلاقهم الحسنة ، وصفاتهم المحمودة ، وأعمالهم الصالحة وأقوالهم الطيبة ، ما يقتدي بهم فيها، ويطالب نفسه ، بالاتصاف والتخلق به والعمل به ، وليس له هم ولا قصد إلا ذلك ، ولا سعي إلا له ، ولا حرص إلا عليه .

 

“Mendampingi ahli agama dan ahli kebajikan dari kalangan ulama, serta hamba-hamba Allah yang soleh, bergaul dan duduk bersama mereka adalah sesuatu yang disukai dan digalakkan. Ia mengandungi banyak manfaat dan faedah baik di dunia mahupun di akhirat. Terdapat banyak hadith dan athar mengenainya. Akan tetapi manusia dalam mencari, menunggu-nunggu dan menginginkannya itu di atas berbagai-bagai niat, qasad dan tujuan. Mereka yang paling tinggi dan utama ialah orang yang berdamping dan bergaul dengan mereka untuk belajar dari ilmu-ilmu mereka, beradab dengan adab-adab mereka, menyaksikan akhlaq mereka yang mulia dan sifat mereka yang terpuji, amalan-amalan mereka yang soleh dan juga perkataan-perkataan mereka yang baik yang dapat dicontohi. Dan ia cuba berusaha pula untuk mencontohi sifat-sifat tersebut, berakhlaq dan beramal dengannya. Tiada baginya sebarang niat dan tujuan selain dari itu. Tiada ia usaha bersungguh-sungguh selain kerananya, dan tiada ia sentiasa berharap selain terhadapnya”.

 

ومنهم من يصحبهم ويخالطهم محبة لهم ، ولما هم عليه من إيثار دين الله، وإقامة أمره، والإشتغال بطاعته ، والعمل بما يقرب منه ويزلف لديه ، من العلوم النافعة ، والأخلاق الحسنة، والأعمال الصالحة ، فهو يحبهم لذلك ، ويرغب في مخالطتهم ، ويتشبه بهم ، ويطالب نفسه في أن تعمل وتتخلق بما يساعده عليه الفراغ ويتيسر له من ذلك ، وما لم يتيسر له منه فهو يتأسف على فوته ، ويود أن لو وفق له وتمكن منه ، وفي مثله يقال : (المرء مع من أحب) ، (ومن تشبه بقوم فهو منهم).

 

”Di antara mereka, ada yang bersahabat, dan bergaul dengan mereka disebabkan rasa kecintaan terhadap mereka dan juga pendirian mereka dalam mengutamakan agama Allah, menegakkan perintah-Nya, menyibukkan diri dalam mentaati-Nya, dan beramal dengan perkara yang mendekatkan diri kepada-Nya yang berupa ilmu-ilmu yang bermanfaat, akhlaq yang baik dan amal-amal yang soleh. Ia mencintai mereka itu semata-mata kerana perkara tersebut, dan ia ingin selalu bergaul dengan mereka dan menyerupai mereka, serta menuntut dirinya untuk beramal dan berakhlaq seperti itu sekadar yang mampu dan mudah dilakukannya. Adapun yang tidak dapat dikerjakannya maka ia berasa menyesal atas kekurangannya itu dan sangat berharap jikalau diberi taufiq dan kemampuan terhadapnya. Orang seumpama ini yang disebut dalam hadis: ’Seseorang itu bersama siapa yang dicintainya’, dan ’Barangsiapa yang menyerupai dengan sesuatu kaum maka ia termasuk dari kalangan mereka”.

 

ومنهم من يصحبهم ويخالطهم لتناله بركتهم ، وصالح دعواتهم ، من غير أن تكون له نية ولا عزيمة في الاقتداء بهم والتشبه بسيرهم ، فذلك لا يخلو من بركة وخير ، وهو داخل تحت عموم ما ورد في الحديث القدسي : (هم القوم لا يشقى بهم جليسهم) حتى إن الذي يجالسهم ليتحصن بيمن مجالستهم وبركتها من الظالمين والمعتدين ، من شياطين الإنس والجن ، لا يخيب ولا يحرم من بركتهم ، وإنما يحرم ويخيب من تكون نيته في صحبتهم والاختلاط بهم أن يعرف بذلك بين الناس ، فيتوصل به إلى شيء من الأمور المحظورة المحرمة في الشرع على توهم منه . 

 

”Di antara mereka lagi, ada yang bersahabat, dan bergaul dengan mereka untuk mendapatkan barakah dan doa-doa soleh mereka, tanpa mempunyai sebarang niat atau tujuan untuk mencontohi akhlaq mereka atau meniru perjalanan hidup mereka. Perbuatan sedemikian juga tidak luput dari mendapat keberkatan dan kebaikan. Ia termasuk dalam maksud umum sepotong hadis qudsi: ”Mereka itulah kaum yang tidak akan rugi seorangpun yang duduk bersama dengan mereka”. Hinggakan orang yang duduk bersama mereka itu dapat membentengi dirinya dengan keberkatan majlis mereka dari orang-orang yang zalim dan para pelampau, dari kalangan syaitan-syaitan bangsa manusia dan juga jin. Ia tidak akan rugi dan terhalang dari keberkatan mereka. Akan tetapi yang rugi dan terhalang ialah orang yang nawaitunya berdamping dan bergaul dengan mereka itu ialah agar tingkahlakunya diketahui orang. Maka dengan cara begitu ia dapat mencapai sesuatu perkara daripada perkara-perkara yang ditegah lagi haram di sisi syariat berdasarkan sangkaannya...”.

 

Masalah-masalah Sampingan

 

Pengisian majlis-majlis haul atau mawlid secara umumnya adalah berbentuk kerohanian seperti bacaan al-Quran, zikir, selawat, qasidah, dan ceramah agama, dan juga ada dilaksanakan dalam bentuk ilmiah seperti talaqqi kitab, periwayatan hadith, pembacaan sejarah, karya tokoh dan pengijazahan sanad. Adapun masalah-masalah sampingan yang dilihat bercanggah dengan syarak yang mengiringi majlis-majlis tersebut sekiranya ada, seperti percampuran lelaki dan perempuan, tarian, mendedahkan aurat atau lain-lain kemungkaran, maka ini tidak menunjukkan keharaman asal majlis-majlis berkenaan. Secara teknikal, ia adalah masalah-masalah sampingan yang dapat diatasi terutamanya oleh pihak penganjur dengan memberi peringatan, tunjuk ajar atau nasihat kepada mereka yang jahil mengenainya.

 

Adakalanya tema haul atau mawlid itu wajar ditukar agar orang-orang jahil tidak melihat ianya sebagai suatu ritual pemujaan dan pendewaan individu. Misalnya, tema Yaqin, atau Islah, atau Mujahadah dan sebagainya di'highlight'kan di sebalik sambutan haul atau mawlid seseorang tokoh itu. Atau ianya dianjurkan di bawah nama ijtimak atau perhimpunan agung di mana semua masyarakat dijemput hadir. Penambahbaikan memang sentiasa diperlukan agar objektif yang dirancangkan iaitu mendekatkan masyarakat kepada agama dapat dicapai dengan jaya. Kebijaksanaan sebegini perlu agar dapat memberi kesan-kesan positif serta dapat menarik hidayah, barakah dan rahmat daripada Allah SWT. Keikhlasan individu-individu yang bertanggungjawab di sebalik majlis-majlis dakwah ini wajar diberi penghormatan dan penghargaan oleh kita, walaupun Allah SWT yang sebaik-baik memberi balasan kepada mereka.

 

Penutup

 

Demikian sedikit lontaran dalam membicarakan tentang majlis sambutan haul atau mawlid ini. Secara jelasnya ia dapat menjadi salah satu cara mengeksploitasi situasi dan munasabah tertentu dalam menyeru masyarakat kembali kepada pegangan agama yang benar. Ia adalah sambutan yang wajar diteruskan sebagaimana juga perlunya kita membanyakkan majlis-majlis kerohanian seumpama demikian yang bertemakan ilmu dan zikir yang dapat mengumpulkan masyarakat dan mendekatkannya kepada Allah SWT. Ringkasnya, haul atau mawlid adalah berpotensi sebagai salah satu wadah pentarbiyahan yang wajar diberikan perhatian. Wallahu a’lam.

 

SUMBER :

http://sawanih.blogspot.com/2010/10/haul-dan-mawlid-medium-dakwah.html

Kewajipan Mempelajari dan Mengajar Ilmu Tauhid (Ahli Sunnah wal Jama'ah)





Kata Ibnu Al-Qayyim: "Dan wajib atas ibu bapa bahawa adalah awal-awal barang yang diperdengarkan akan kanak-kanak itu ma'rifatullah dan tauhid akan Allah. Dan bahawa diajarkan kanak-kanak itu apabila berakal ia akan barang yang wajib bagi Allah dan barang yang mustahil atasNya dan barang yang harus padaNya. Dan diajarkan pula bahawasanya Nabi Muhammad itu diperanakkan di Makkah dan dibangkitkan dia jadi Rasul pun di dalam negeri Makkah, kemudian berpindah ia ke Madinah dan wafat ia di dalam negeri Madinah jua. Dan namanya Muhammad anak 'Abdullah anak 'Abdul Muththolib anak Hasyim."

(Kitab 'Aqidatun Najin: ms 13)


Berkata Syeikh Wan 'Ali Kutan di dalamnya kitab Zahratul Murid:
"[Faedah] wajib atas wali mengajar akan kanak-kanaknya barang yang wajib dan yang mustahil dan yang harus bagi Allah dan bagi RasulNya, dan segala Qawa’idul Islam (قواعد الاسلام). Demikian lagi wajib atas suami mengajar akan isterinya dan makhdum (مخدوم) mengajar akan khadamnya dan penghulu mengajar akan hambanya akan demikian itu."


Berkata Al-'Allamah Muhammad Mukhtar ibn 'Atorid di dalam kitabnya Usuluddin I'tiqad Ahli Sunnah Wal-Jama'ah:
"Ketahuilah, bahawa wajib ke atas setiap orang yang aqil (عقل - berakal) dan baligh mengetahui sifat-sifat yang wajib bagi Allah , sifat-sifat yang mustahil bagi Allah  dan sifat yang harus bagiNya. Begitu juga wajib ke atasnya mengetahui sifat-sifat yang wajib bagi Rasul, sifat-sifat yang mustahil bagi Rasul dan sifat yang harus bagi mereka."

Berkata Syeikh Ahmad Al-Fatoni di dalam kitabnya Faridatul Faraid fi 'Ilmil 'Aqaid:
"[Maka wajib] pada syarak atas tiap-tiap mukallaf, mengetahuikan segala yang wajib pada aqal pada hak Tuhan kita, dan barang yang mustahil atasNya, dan barang yang harus bagiNya. [Dan demikian] wajib atasnya mengetahuikan barang yang wajib pada hak segala Rasul عليهم الصلاة والسلام, dan barang yang mustahil atas mereka itu, dan barang yang harus bagi mereka itu."

Berkata Syeikh Isma'il Ibn 'Abdul Qadir Al-Fatoni di dalam kitabnya Syarah Bakuratul Amani:
"(Dan) wajib atas yang pandai daripada kita oleh bahawa (mengajarkan orang-orang) yang (di dalam perintah kita) seperti anak-anak kita dan isteri-isteri dan hamba-hamba sahaya dan khadam-khadam kita demikian lagi orang yang menuntuti belajar daripada kita (dengan) jalan (tafshil) hurai satu-satu pada sekalian (itu dua puluh perkara daripada) perkara-perkara (yang wajib) bagi Allah Ta'ala pada 'aqal ( dan dua puluh) perkara (daripada) perkara-perkara (yang mustahil) padaNya (dan satu) bangsa (yang harus) padaNya ........."

Berkata Syeikh Zainal 'Abidin Bin Muhammad Al-Fatoni (Tuan Minal) di dalam kitabnya Miftahul Murid Fi 'Ilmit Tauhid:
"[Dan wajib] atas tiap-tiap mukallaf dengan sebab syara’ mengenal ia akan barang yang wajib bagi Allah dan barang yang mustahil atasNya dan barang yang harus bagiNya. [Dan] demikian lagi wajib atasnya mengenal seumpama yang demikian itu pada haq Rasul عليهم الصلاة والسلام."

Berkata Tuan Haji Ahmad Bin 'Abdur Rauf Melaka di dalam nazamnya:
"Allah Allah 'Azza wa Jalla Tuhan kami * Kami minta ampun akan dosa kami
Dengan Allah kami mula nazam ini * Sebab dengan Dia jadi kitab ini
Hai saudara kami khabar akan kamu * Mengenal Allah Fardhu 'Ain atas kamu
Sabda Nabi awaluddin ia ma'rifah * Bukan Solat bukan Shiyam bukan Zakat
Dan yang wajib bagi Allah dua puluh * Jangan kurang jalan lalai bebersungguh
.................."

Berkata Syeikh 'Abdul 'Aziz Ibn Isma'il Al-Fatoni di dalam kitabnya Al-Mishbah Al-Munir Fi Ma'rifatillah Al-Qadir:
"Bermula permulaan dan umbi atau asas bagi segala perkara yang dituntut atas tiap-tiap mukallaf sebagai tuntutan yang putus yang dinamakan dia dengan fardhu 'ain, ialah mengenal ia akan Allah Ta'ala dan RasulNya dan dikehendaki dengan mengenal itu mengetahui serta mengaku putus di dalam hati tiap-tiap mukallaf dengan tentu sungguh segala perkara yang wajib bagi Allah Ta'ala dan tentu tidak segala perkara yang mustahil atas Allah Ta'ala dan segala yang harus. ............"


Berkata Al-Fadhil Muhyiddin Muhammad Ghazali Ibn Haji ‘Abdullah di dalam kitabnya Panduan Sifat Dua Puluh:
" ........... kerana mengenal Allah  itu wajib ‘aini atas tiap-tiap mukallaf yang ‘aqil baligh lelaki dan perempuan dan wajib atas ibu bapa atau penjaga atau suami mengajar akan anaknya atau orang yang dibawah jagaannya atau isterinya yang tidak pandai mereka akan sifat dua puluh, kerana mereka yang tidak pandai sifat dua puluh mereka itu tidak mengenal Tuhan, maka ditakuti mati atas agama kafir. Jika mereka pandai sifat dua puluh tetapi tidak tahu mengeluarkan dalil, maka mereka itu telah dipertikaikan oleh dua pendapat ulama’, kata sebahagian ulama’ mereka itu tidak sah lagi imannya, jika ia mati maka mati ia atas agama kafir dan sebahagin ulama’ mengatakan mereka itu sudah sah imannya tetapi jika ia tidak belajar betul-betul sampai ia boleh mengeluarkan dalil maka berdosa ia. ........."

Berkata Asy-Syeikh Muhammad Solih ibn ‘Abdullah Mengkabaui di dalam kitabnya Kasyaful Asrar:

Soalan: Dan mana ilmu fardhu ‘ain menuntut dia beri kami jawabnya?
Jawab: Bermula ilmu yang fardhu ‘ain menuntut dia itu, iaitu tiga ilmu:
Pertama: Ilmu Usuluddin dan
Kedua: Ilmu Fiqah dan
Yang ketiga: Ilmu Tasowuf.

Soal: Dan mana had ilmu Usuluddin yang fardhu menuntut dia, dan mana had ilmu Fiqah yang fardhu menuntut dia, dan mana had ilmu Tasowuf yang fardhu ia menuntut dia?
Jawab: Adapun had ilmu Usuluddin itu yang fardhu menuntut dia itu, iaitu mengetahui sekadar barang yang wajib dan barang yang mustahil dan barang yang harus kepada Tuhan kita , dan seperti demikian inilah kepada segala Rasul dengan sekira-kira yang mengesahkan akan imannya. [Dan] adapun had ilmu Fiqah yang fardhu ‘ain menuntut dia, iaitu dengan sekira-kira yang mengesahkan akan amalnya, seperti mengetahui akan segala syaratnya dan segala rukunnya dan segala yang membatalkan dia. [Dan] adapun had ilmu Tasowuf fardhu ‘ain menuntut dia dengan sekira-kira mengetahui akan yang membatalkan akan pahala amal ibadatnya, seperti riya’, sum’ah, ‘ujub, takabbur dan sebagainya yang dicela oleh syara’.

Soal: Dan apa kata kamu pada orang yang beramal dengan tiada mengetahui ilmu yang tiga perkara itu?
Jawab: Sabda Nabi j: “Tiada sekali diterima segala amal ibadatnya dan jikalau mengerjakan haji sekalipun”. Dan lagi haram menuntut ilmu fardhu kifayah sebelum mengetahui ilmu fardhu ‘ain; misalnya seperti seorang berhutang qadha’ sembahyang (fardhu) luputnya dengan tiada uzur, haramlah berbuat (sembahyang) sunat sebelum habis qadha’ sembahyang (fardhu) yang luput dengan tiada uzur. Dan lagi hukumnya orang meninggalkan fardhu itu fasiq hukumnya, kerana meninggalkan menuntut ilmu yang fardhu ‘ain, tiada sah jadi wali nikah dan jadi saksi nikah kerana fasiqnya.


Berkata Syeikh Jalaluddin bin Kamaluddin Acheh di dalam Kitabnya Hidayatul ‘Awam:

"[Bermula] ketahui olehmu, hai tolib! Bahawasanya apabila ‘aqil baligh seorang anak adam, nescaya dituntut daripadanya oleh syara’ mengenal rukun lima belas yang mengandung ma’rifah Allah , iaitu lima perkara daripada rukun Islam dan enam perkara daripada rukun Iman dan empat perkara daripada rukun syahadah (شهادة). ............."


Dan kata Sayyid 'Abdul Qadir Al-Idrus di dalam kitabnya yang bernama Ad-Durrus Tsamin:
"Ketahui olehmu bahawasanya segala ilmu yang fardhu 'ain yang dituntut akan dia itu tiga perkara: (1) Ilmu Tauhid dan dinamakan akan dia ilmu Usuluddin. (2) Ilmu Syarak dan dinamakan akan dia ilmu Fiqh. (3) Ilmu Batin dan dinamakan akan dia ilmu Tasawwuf. ........"
(Hidayatus Salikin Fi Suluki Muttaqin)


Berkata Sayyid Murtadha Al-Zabidi  pengarang kitab Ittihaf Al-Saadah Al- Muttaqin (Jld 2 H: 8), syarahan bagi kitab Ihya’ Ulumiddin karangan Imam Ghazali :

إِذَا أُطْلِقَ أَهْلُ السُّنَّةِ فَالْمُرَادُ بِهِ اْلأَشَاعِرَةُ وَالْمَاتُرِيْدِيَّةُ.

“Apabila disebut Ahli Sunnah wal Jama’ah, maka yang dimaksudkan dengannya ialah fahaman atau fatwa yang diajar oleh Imam Al-Asy’ari dan Al-Maturidiyah.”


Lihat kenyataan Syeikh Al-Azhar:

الاثنين 04 ابريل 2011
مصرحًا بأن عقيدته أشعرية صوفية.. شيخ الأزهر يصف السلفيين بالخوارج
مفكرة الاسلام:‎ أقر الدكتور أحمد الطيب شيخ الأزهر أن عقيدة الأزهر الشريف هى عقيدة الأشعرى والماتريدى وفقه الأئمة الأربعة وتصوف الإمام الجنيد.

[Dr Ahmad al-Tayyib menegaskan bahawa akidah al-Azhar yang mulia adalah akidah Imam Asyari dan al-Maturidi, fiqhnya ialah fiqh imam empat mazhab, dan tasawwufnya adalah tasawwuf imam al-Junaid]

وفي هجوم جديد على الإسلاميين ادعى الدكتور الطيب أن من أسماهم “السلفيين الجدد” هم خوارج العصر، محذرًا من وجود مخطط لاختطاف الفكر والمنهج الأزهرى الوسطى المعتدل الذى حافظ الأزهر عليه لأكثر من ألف عام.

[Dalam satu serangan baru ke atas setengah golongan Islam (yang bercanggah dengan al-Azhar) Dr Al-Tayyib mendakwa bahawa mereka yang menamakan diri mereka itu ‘Golongan Salafi yang “Strict”/Ketat) mereka itu adalah Khawarij zaman ini, serta dengan beliau memberi peringatan tentang adanya langkah-langkah untuk merosakkan/memusnahkan pemikiran mengikut kaedah al-Azhar yang menengah dan seimbang yang al-Azhar menjaganya selama lebih daripada seribu tahun]



وبدون أن يقدّم دليلاً اتهم الدكتور أحمد الطيب السلفيين في الهجوم على الأضرحة وما يسمى “مقامات الأولياء”، وقال وفق صحيفة “الأهرام”: “هذا العمل يخالف صحيح الإسلام

وأن الازهر سيبقى أشعرى المذهب ومحافظًا على الفكر الصوفى الصحيح الذى انتمى إليه عشرات من شيوخ الأزهر على مدى تاريخه“.

…Dan al-Azhar akan kekal dengan mazhab al-Asy’ari dan menjaga pemikiran sufi yang sohih yang yang dinisbahkan kepadanya berpuluh-puluh daripada syaikh-syaikh Azhar dalam perjalanan sejarahnya


SUMBER: