Sunday, 29 July 2012

Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani - Guru agama Sultan Kedah


 
Oleh Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah

 

PENGENALAN awal gerangan orang yang bernama Tuan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani hanyalah daripada satu sumber sahaja, iaitu Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Muhammad Hassan bin Kerani Muhammad Arshad dalam bentuk tulisan Melayu/Jawi, yang kemudian ditransliterasikan dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1968.

Oleh sebab ulama ini dinyatakan dalam buku yang tersebut adalah ayah atau orang tua kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, sedangkan dalam beberapa maklumat yang lain ayah atau orang tua Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani bernama Syeikh Abdullah, dan yang lain pula menyebut bernama Syeikh Abdur Rahman, maka penelitian dan kajian yang lebih kemas perlu dilakukan.

Namun begitu, penulis pernah membuat bahasan terawal mengenai hal ini, dan dapat diperhatikan dalam buku penulis berjudul Syeikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi Dan Jihad Dunia Melayu (cetakan pertama, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur 1996, hlm: 1-5).

ASAL USUL DAN KEDATANGAN KE NUSANTARA

Nama lengkap beliau ialah Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani. Berasal dari San’a, Yaman. Nama-nama lain untuk personaliti ini ialah Syeikh Abdullah dan Syeikh Abdur Rahman belum dibicarakan di sini, selanjutnya dibahas di bawah judul Syeikh Abdus Shamad Al-Falimbani.

Tersebut kisah seorang Arab penyebar Islam yang berasal dari San’a, Yemen. Nama beliau ialah Tuan Syeikh Abdul Jalil bin Tuan Syeikh Abdul Wahhab bin Tuan Syeikh Ahmad al-Mahdani. Kurang jelas tahun kedatangannya ke Palembang, Indonesia namun dikatakan bahawa setelah enam bulan beliau berada di Palembang, beliau berangkat ke Tanah Jawa bersama muridnya, Tengku Muhammad Jiwa keturunan Sultan Kedah.

Beliau menyebar Islam di Pulau Jawa tidak lama, lalu berangkat pula ke India. Muridnya yang berasal dari Kedah itu juga mengikut beliau ke India. Oleh kerana Tuan Syeikh Abdul Jalil tidak mengetahui bahawa muridnya yang setia itu seorang anak raja, maka seolah-olah Tengku Muhammad Jiwa itu adalah sebagai khadamnya. Namun demikian, muridnya itu sangat pandai menyembunyikan kebangsawanannya. Bahawa dia sentiasa tawaduk kepada Syeikh Abdul Jalil itu.

Syeikh Abdul Jalil dan muridnya itu sentiasa berpindah-pindah tempat di negeri India itu, barangkali sangat banyak kota dan kampung menjadi tempat kegiatan dakwah yang beliau rintis, sehinggakan di negeri India beliau mendapat seorang murid yang setia seperti Tengku Muhammad Jiwa, nama pemuda itu Hapisap.

Setelah sekian lama Tengku Muhammad Jiwa menjadi muridnya, namun Tengku Muhammad Jiwa tetap menyembunyikan dirinya sebagai seorang putera raja Kedah.

Pada satu ketika Tengku Muhammad Jiwa menceritakan kepada gurunya Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dan sahabatnya Hapisap bahawa Kedah satu negeri besar juga, rajanya seorang Islam bernama Sultan Abdullah. Tengku Muhammad Jiwa mengatakan bahawa adalah patut Tuan Syeikh dan Hapisap berlayar ke sebelah sana.

Ajakan Tengku Muhammad Jiwa itu tiada lain, melainkan didorong oleh kerinduan beliau kepada sanak keluarga, rasa cinta kepada tanah air dan utamanya, ingin menyebar agama Islam lebih luas lagi.

Dari segi hubungan sanak-saudara, ia teringatkan hadis-hadis tentang suatu kewajipan menghubungi silaturahim yang telah terputus, antaranya dengan sanak-saudara di Kedah itu. Ditinjau dari segi cinta kepada tanah air, ia tiada lupa bahawa, mencintai tanah air itu adalah sebahagian daripada iman (hadis Nabi Muhammad s.a.w.).

Ampuh dan kukuh

Lebih dari segala itu adalah menyebarkan Islam, bahawa ia berasaskan kewajipan menyebarkan ilmu pengetahuan Islam, kerana ilmu yang dikuasainya sangat banyak dan mendalam yang diterimanya dari Syeikh Abdul Jalil Mahdani itu. Bahawa ia bercita-cita membina Islam di Kedah yang telah kuat berpegang dengan dasar-dasar Islam sejak lama itu lebih ampuh dan kukuh asas Islamnya pada masanya, dan masa-masa mendatang kemudian daripadanya.

Pada tahun itu juga (1122 H bersamaan 1710 M), Syeikh Abdul Jalil Mahdani berkenan memenuhi ajakan muridnya itu, maka berangkatlah mereka bertiga dengan sebuah kapal yang berasal dari sebuah pelabuhan Arab (berbangsa Maskat) yang kebetulan singgah di India untuk menuju ke Tenggara. Dalam pelayaran itu mereka singgah di pelabuhan Murgi/Murgui di negeri Burma.

Kejadian di Negeri Kedah pula pada masa keberangkatan Tengku Muhammad Jiwa, bahawa ayah Tengku Muhammad Jiwa, Sultan Abdullah al-Muazzam Shah mangkat pada 13 Jamadilakhir 1118 H/1706 M. Baginda diganti oleh puteranya, Tengku Ahmad Tajuddin Halim Syah. Baginda mangkat pula. Oleh kerana Tengku Ahmad Tajuddin tidak meninggalkan putera mahupun puteri, maka timbullah masalah tentang pengganti baginda sebagai Sultan Kedah.

Maka, para pembesar Kedah sepakat untuk mencari Tengku Muhammad Jiwa, kerana enam tahun lamanya meninggalkan Kedah tanpa memberi berita sesuatu apa pun juga.

Dato’ Kema Jaya berangkat mencari berita ke arah jurusan Sumatera dan Jawa. Dato’ Indera Mambang menuju ke arah jurusan India dan Burma. Dato’ Seri Indera Mambang berhasil menemui Tengku Muhammad Jiwa, yang kebetulan kapal layar kedua-dua pihak itu berlabuh di pelabuhan negeri Burma.

Pada mulanya Dato’ Seri Indera Mambang tidak mengenali Tengku Muhammad Jiwa kerana pakaian yang telah berubah, mungkin kerana menurut model India tidak mengikut model pakaian Melayu Kedah dan parasnya juga telah berubah. Tetapi Tengku Muhammad Jiwa masih mengenali Dato’ Seri Indera Mambang.

Setelah diketahui oleh Tengku Muhammad Jiwa bahawa ayahandanya telah mangkat, demikian juga saudaranya Tengku Ahmad Tajuddin, lalu ia menangis. Maka barulah diketahui oleh Tuan Syeikh Abdul Jalil bahawa Tengku Muhammad Jiwa itu adalah seorang putera Sultan Kedah sendiri.

Tengku Muhammad Jiwa menjawab pertanyaan gurunya tentang dirinya semuanya menggunakan bahasa Arab, memang tidak sia-sialah dia belajar selama ini, bahawa ia fasih berkata-kata dalam bahasa Islam yang tercinta itu. Akhirnya semua mereka berangkat menuju ke Kedah.

DILANTIK SEBAGAI MUFTI

Tengku Muhammad Jiwa dilantik menjadi Sultan Kedah menggantikan saudaranya Tengku Ahmad Tajuddin. Ketika beliau ditabalkan menjadi Sultan, gurunya Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani telah membaca doa untuk baginda. Pada suatu hari, pada suatu permusyawaratan, Sultan Tengku Muhammad Jiwa berkata: “Hamba persilakan mamak-mamak dan guru hamba kerana hamba hendak bermuafakat hendak memberi pangkat kepada Hapisap iaitu menjadi kadi menggantikan kadi yang telah kembali ke rahmatullah Taala itu”. Maka dijawab sekalian menteri dan Tuan Syeikh, “Benar seperti titah itu”.

Sultan Tengku Muhammad Jiwa berkata pula, “Hamba harap guru hamba menjadi mufti di dalam negeri Kedah ini.”

Tidak berapa lama setelah pengangkatan tersebut, Tengku Muhammad Jiwa berusaha pula menjodohkan tuan gurunya, Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dengan perempuan di lingkungan istana, bernama Wan Zainab binti Dato’ Seri Maharaja Putra Dewa.

KETURUNAN

Setelah beberapa bulan perkahwinan Tuan Syeikh Abdul Jalil Mahdani dengan Wan Zainab, tiba-tiba datang seorang muridnya dari Palembang bernama Raden Siran. Muridnya itu mengajak gurunya ziarah ke Palembang kerana murid-muridnya di Palembang sangat rindu kepada beliau.

Di Palembang, Raden Siran berusaha mencarikan isteri untuk gurunya itu, maka terjadilah perkahwinan antara Syeikh Abdul Jalil Mahdani dengan Raden Ranti/Rantai.

Hasil perkahwinan Raden Ranti dengan Tuan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani itu, mereka memperoleh seorang anak, Abdus Shamad. Dialah yang dikenal sebagai Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani seorang ulama sufi Asia Tenggara yang terkenal dengan karyanya yang terkemuka, Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin yang biografinya akan diperkenalkan kemudian.

Menerusi perkahwinan Syeikh Abdul Jalil dengan Wan Zainab di Kedah pula, beliau mendapat dua orang anak iaitu Wan Abdul Qadir yang menjadi Mufti Kerajaan Kedah dan Wan Abdullah yang memangku gelaran Seri Maharaja Putera Dewa di Kedah.

Ada pun Syeikh Abdus Shamad Palembang itu, maklumat keturunannya hanya diketahui seorang anaknya bernama Fathimah. Mengenai kedua-dua anaknya yang di Kedah, keturunan selanjutnya belum dapat dikesan.

WAFAT

Makamnya terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah. Penulis pernah sampai ke makam itu membuat penyelidikan dalam tahun 1992, memperoleh catatan bahawa Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani meninggal dunia tahun 1196 H/1782 M. Kawasan makam sangat luas, sekali-sekali ada orang datang berziarah kerana membayar nazar.

Penulis diberitahu oleh salah seorang penunggu makam bahawa orang-orang India datang ke tempat itu setahun sekali, secara beramai-ramai kerana membuat kenduri dan menyampaikan nazar.

Siapa Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani

- Ayah kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani

- Nama lengkapnya ialah Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani.

- Berasal dari San'a, Yemen.

- Nama-nama lainnya ialah; Syeikh Abdullah dan Syeikh Abdur Rahman.

- Berkahwin dengan Wan Zainab (Kedah) dan Raden Ranti/Rantai (Palembang).

- Meninggal dunia pada 1196 H/1782 M.

- Makamnya terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah.

* Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1015&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Saturday, 28 July 2012

Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan penyebar tasawuf di Jawa Barat


Koleksi tulisan HAJI WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
SEBAGAIMANA telah diketahui bahawa pelaku utama berkembangnya Thariqat Syathariyah di Asia Tenggara pada peringkat awal dilakukan oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di Aceh dan Syeikh Abdul Mubin bin Jailan al-Fathani di Pattani.

Syeikh Abdur Rauf mempunyai beberapa orang murid sebagai kadernya yang terkenal, di antara mereka ialah; Syeikh Burhanuddin Ulakan di Minangkabau, Syeikh Abdul Malik di Terengganu, dan ramai lagi, termasuklah Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan yang akan dibicarakan ini.

Ulama ini cukup terkenal dalam percakapan lisan di Jawa Barat, terutama sekali mengenai keramat-keramatnya. Bahan mentah yang berupa cerita lisan masyarakat yang bercorak mitos atau legenda atau dongeng yang berbagai-bagai versi penyampaiannya lebih banyak diperoleh, jika dibandingkan dengan berupa bahan yang bertulis. Walau bagaimanapun, ada tiga buah manuskrip, iaitu nombor kelas LOr.7465, LOr 7527 dan LOr.7705, di Muzium Negeri Belanda dikatakan bahawa adalah karya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan.

Sewaktu penulis melanjutkan tugasan mengkatalogkan manuskrip yang tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam (BAHAEIS), 1992, maka pada manuskrip nombor kelas MI 839 di beberapa tempat ada menyebut nama Syeikh Abdul Muhyi Karang Pamijahan, seolah-olah naskhah itu dinuqil daripada ajaran ulama sufi yang tersebut. Naskhah ditulis dalam bahasa Melayu dan disalin di Pulau Pinang. Selain itu, penulis juga mempunyai sebuah karya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan, juga dalam bahasa Melayu, yang membicarakan Martabat Tujuh.

ASAL USUL DAN PENDIDIKAN

Syeikh Haji Abdul Muhyi adalah salah seorang keturunan bangsawan. Ayahnya bernama Sembah Lebe Warta Kusumah, adalah keturunan raja Galuh (Pajajaran). Abdul Muhyi lahir di Mataram, Lombok, Nusa Tenggara Barat, pada 1071 H/1660 M dan wafat di Pamijahan, Bantarkalong, Tasikmalaya, Jawa Barat, 1151 H/1738 M. Abdul Muhyi dibesarkan di Ampel, Surabaya, Jawa Timur. Pendidikan agama Islam pertama kali diterimanya daripada ayahnya sendiri dan kemudian daripada para ulama yang berada di Ampel. Dalam usia 19 tahun, ia berangkat ke Aceh untuk melanjutkan pendidikannya dan belajar dengan Syekh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Lebih kurang enam tahun lamanya Syeikh Abdul Muhyi belajar dengan ulama besar Aceh itu, iaitu dalam lingkungan tahun 1090 H/1679 M-1096 H/1684 M.

Tahun pembelajaran Syeikh Abdul Muhyi di Aceh kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu, kita dapat membandingkan dengan tahun pembelajaran Syeikh Burhanuddin Ulakan yang dipercayai termasuk seperguruan dengannya.

Syeikh Burhanuddin Ulakan yang berasal dari Minangkabau itu belajar kepada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri bermula pada 1032 H/1622 M, tetapi tahun ini tetap masih dipertikaikan kerana riwayat yang lain menyebut bahawa ulama yang berasal dari Minangkabau itu dilahirkan pada tahun 1066 H/1655 M.

Maka kita perlu membandingkan dengan tahun kelahiran Syeikh Yusuf Tajul Khalwati dari tanah Bugis-Makasar, iaitu 1036 H/1626 M, selanjutnya keluar dari negerinya menuju ke Banten 1054 H/1644 M, seterusnya ke Aceh belajar kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri juga. Selain itu, dapat juga kita bandingkan dengan tahun kehidupan Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) Terengganu, iaitu tahun 1060 H/1650 M hingga tahun 1092 H/1681 M; Semua ulama yang tersebut dikatakan adalah murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Banyak pula ulama bercerita bahawa semua mereka termasuk Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan adalah bersahabat.

Dengan perbandingan-perbandingan tahun tersebut, dapat kita ketahui bahawa tahun-tahun itu masih bersimpangsiur, masih sukar untuk ditahqiqkan. Yang sahih dan tahqiq hanyalah mereka adalah sebagai murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di Aceh. Yang lebih menarik lagi, bahawa semua mereka, kecuali Syeikh Burhanuddin Ulakan, diriwayatkan sempat belajar ke luar negeri ke Mekah, Madinah, Baghdad dan lain-lain. Termasuk Syeikh Abdul Muhyi diriwayatkan adalah murid kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani di Mekah dan Syeikh Ahmad al-Qusyasyi di Madinah, yang kedua-dua ulama itu adalah ulama ahli syariat dan haqiqat yang paling terkenal pada zamannya.

Setelah Syeikh Abdul Muhyi lama belajar di Mekah dan Madinah, beliau melanjutkan pelajarannya ke Baghdad. Tidak jelas berapa lama beliau tinggal di Baghdad, tetapi diriwayatkan ketika beliau berada di Baghdad hampir setiap hari beliau menziarahi makam Syeikh Abdul Qadir al-Jilani yang sangat dikaguminya.

Dalam percakapan masyarakat, Syeikh Abdul Muhyi adalah termasuk keturunan/zuriat Syeikh Abdul Qadir al-Jilani, Wali Allah, Quthbul Ghauts, yang sangat terkenal itu. Riwayat yang lain diceritakan bahawa Syeikh Abdul Muhyi ke Baghdad dan Mekah adalah mengikuti rombongan gurunya, Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Dari Baghdad beliau kembali lagi ke Mekah dan selanjutnya kembali ke Jawa dan berkahwin di Ampel.

AKTIVITI

Setelah selesai perkahwinan di Ampel, Syeikh Abdul Muhyi bersama isteri dan orang tuanya berpindah ke Darma, dalam daerah Kuningan, Jawa Barat. Selama lebih kurang tujuh tahun (1678 M-1685 M) menetap di daerah itu mendidik masyarakat dengan ajaran agama Islam. Kemudian berpindah pula ke daerah Pameungpeuk, Garut, Jawa Barat. Di daerah itu, beliau hanya menetap lebih kurang setahun saja (1685-1686), walau bagaimanapun beliau berhasil menyebarkan agama Islam kepada penduduk yang ketika itu masih menganut agama Hindu.

Pada 1686 ayahnya meninggal dunia dan dimakamkan di kampung Dukuh, di tepi Kali Cikangan. Beberapa hari selepas pemakaman ayahnya, Syeikh Abdul Muhyi berpindah ke daerah Batuwangi. Beliau berpindah pula ke tempat yang berhampiran dengan Batuwangi iaitu ke Lebaksiuh. Selama lebih kurang empat tahun di Lebaksiuh (1686 M-1690 M), Syeikh Abdul Muhyi berhasil mengislamkan penduduk yang masih beragama Hindu ketika itu.

Menurut cerita, keberhasilannya dalam melakukan dakwah Islam terutama kerana Syeikh Abdul Muhyi adalah seorang Wali Allah yang mempunyai karamah, yang dapat mengalahkan bajingan-bajingan pengamal "ilmu hitam" atau "ilmu sihir". Di sanalah Syeikh Abdul Muhyi mendirikan masjid, tempat ia memberikan pengajian untuk mendidik para kader yang dapat membantunya menyebarkan agama Islam lebih jauh ke bahagian selatan Jawa Barat.

Kemudian Syeikh Abdul Muhyi berpindah ke satu desa, iaitu Gua Safar Wadi di Karang Pamijahan, Tasikmalaya, Jawa Barat. Perpindahannya ke Karang Pamijahan itu, menurut riwayat bahawa beliau diperintahkan oleh para Wali Allah dan perjumpaan secara rohaniah kepada Syeikh Abdul Qadir al-Jilani, supaya beliau mencari suatu gua untuk tempat berkhalwat atau bersuluk di Jawa Barat. Cerita mengenai ini banyak dibungai dengan berbagai-bagai dongeng yang merupakan kepercayaan masyarakat terutama golongan sufi yang awam.

Bagi mengimbangi cerita yang bercorak mitos itu, ada riwayat yang bercorak sejarah, bahawa Syeikh Abdul Muhyi diundang oleh Bupati Sukapura, Wiradadaha IV, R. Subamanggala untuk memerangi dan membasmi ajaran-ajaran sihir yang sesat Batara Karang di Karang Pamijahan dan di gua Safar Wadi itu. Di kedua-dua tempat tersebut adalah tempat orang-orang melakukan pertapaan kerana mengamalkan ilmu-ilmu sihirnya.

Oleh sebab Syeikh Abdul Muhyi memang hebat, beliau pula dianggap sebagai seorang Wali Allah, maka ajaran-ajaran sihir yang sesat itu dalam waktu yang singkat sekali dapat dihapuskannya. Penjahat-penjahat yang senantiasa mengamalkan ilmu sihir untuk kepentingan rompakan, penggarongan dan kejahatan-kejahatan lainnya berubah menjadi manusia yang bertaubat pada Allah, setelah diberikan bimbingan ajaran Islam yang suci oleh Syeikh Abdul Muhyi, Wali Allah yang tersebut itu.

Gua Safar Wadi pula bertukar menjadi tempat orang melakukan ibadat terutama mengamalkan zikir, tasbih, tahmid, selawat, tilawah al-Quran dan lain-lain sejenisnya. Maka terkenallah tempat itu sebagai tempat orang melakukan khalwat atau suluk yang diasaskan oleh ulama yang terkenal itu.

Disingkatkan saja kisahnya, bahawa kita patut mengakui dan menghargai jasa Syeikh Abdul Muhyi yang telah berhasil menyebarkan Islam di seluruh Jawa Barat itu. Bukti bahawa beliau sangat besar pengaruhnya, sebagai contoh Bupati Wiradadaha IV, iaitu Raden Subamanggala pernah berwasiat bahawa jika beliau meninggal dunia supaya beliau dikuburkan di sisi gurunya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan itu. Tempat tersebut sekarang lebih dikenali dengan nama Dalem Pamijahan.

Murid-murid yang tertentu, Syeikh Abdul Muhyi mentawajjuhkannya menurut metod atau kaedah Thariqat Syathariyah yang salasilahnya diterima daripada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Walaupun tarekat yang sama diterimanya juga kepada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi, iaitu guru juga kepada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri, namun Syeikh Abdul Muhyi memulakan salasilahnya tetap menyebut Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Hal demikian kerana tarekat yang tersebut memang terlebih dulu diterimanya daripada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al Fansuri.

Setelah beliau ke Mekah, diterimanya tawajjuh lagi daripada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi itu. Maka berkembanglah Thariqat Syathariyah yang berasal daripada penyebaran Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu di tempat-tempat yang tersebut, melalui bai'ah, tawajjuh, dan tarbiyah ruhaniyah yang dilakukan oleh Syeikh Abdul Muhyi muridnya itu.

KETURUNAN

Menurut riwayat, Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan mempunyai empat isteri. Hasil erkahwinannya itu, beliau memperoleh seramai 18 anak. Menerusi Raden Ayu Bakta, memperoleh anak bernama Kiyai Haji Muhyiddin atau digelar Dalem Bojong. Namun menurut Aliefya M. Santrie, dalam buku Warisan Intelektual Islam Indonesia, setelah beliau pulang dari Pamijahan beliau menemukan satu artikel dalam majalah Poesaka Soenda yang menunjukkan bahawa tidak identiknya Kiyai Haji Muhyiddin dengan Dalem Bojong.

Kedua-duanya memang anak Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan, tetapi Kiyai Haji Muhyiddin personaliti tersendiri dan Dalem Bojong personaliti yang lain pula. Menurutnya makam Kiyai Haji Muhyiddin dalam majalah itu disebut namanya yang lain, iaitu Bagus Muhyiddin Ajidin, terletak di sebelah selatan makam Syeikh Abdul Muhyi, sedang makam Dalem Bojong terletak di sebelah timur.

Barangkali keturunan Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan itu sangat ramai yang menjadi ulama di daerah Jawa Barat, sewaktu penulis berulang-alik di Pondok Gentur, Cianjur (1986 M-1987 M) difahamkan bahawa Kiyai Haji Aang Nuh di pondok pesantren adalah termasuk keturunan Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan. Penulis sendiri menerima beberapa amalan wirid dari kiyai itu dan ternyata memang terdapat hadiah al-Fatihah untuk Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan dan beberapa ulama lainnya untuk memulakan amalan.

Dari Kiyai Haji Aang Nuh juga, penulis mendengar cerita-cerita yang menarik mengenai Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan. Sampai sekarang Pondok pesantren Gentur dikunjungi mereka yang mempunyai permasalahan yang sukar diselesaikan dari seluruh Indonesia, tempat itu sentiasa ramai kerana doa kiyai itu dianggap mustajab.

Di Pondok-pesantren Gentur itu tidak mengajar disiplin ilmu sebagai pondok-pesantren lainnya, di situ hanya mengajar amalan-amalan wirid terutama selawat atas Nabi Muhammad. Penulis sempat mewawancara pengunjungnya, menurut mereka wirid atau amalan yang diterima dari kiyai itu terbukti mustajab.

PENYELIDIKAN ILMIYAH

Oleh sebab kepopularan ulama yang dianggap Wali Allah ini, beberapa sejarawan, budayawan dan lain-lain telah berusaha menyelidiki biografi ulama yang berasal dari Pulau Lombok itu. Di antara mereka umpamanya seorang Belanda, Snouck Hurgranje, pernah mengembara di Jawa Barat dan di Sukabumi menemukan beberapa naskhah karya yang dibangsakannya kepada karya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan.

R. Abdullah Apap ibn R. Haji Miftah menyusun sebuah buku berjudul, Sejarah Pamijahan: Kisah Perjuangan Syeik Haji Abdulmuhyi Mengembangkan Agama Islam di Sekitar Jabar. Aliefya M. Santrie menulis artikel Martabat (Alam) Tujuh Suatu Naskah Mistik Islam Dari Desa Karang, Pamijahan. Dan ramai lagi tokoh yang membuat kajian mengenai ulama yang dibicarakan ini.

Khas mengenai artikel Aliefya M. Santrie yang lebih menjurus kepada pengenalan ajaran Martabat Tujuh versi Kiyai Haji Muhyiddin yang ditulis dengan huruf pegon. Setelah penulis teliti dan membanding dengan naskhah yang ada pada penulis yang ditulis dalam bahasa Melayu/Jawi, yang juga tercatat sebagai karya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan, memang banyak persamaan.

Demikian juga dengan manuskrip koleksi Muzium Islam Pusat Islam Malaysia nombor kelas MI 839, membicarakan Martabat Tujuh yang merupakan nukilan karya Syeikh Abdul Muhyi itu.

Sungguhpun demikian perlu kita ketahui bahawa ajaran Martabat Tujuh sebenarnya bukanlah ciptaan Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan tetapi yang pertama membicarakan ajaran itu ialah dalam kitab bahasa Arab berjudul Tuhfatul Mursalah karya Syeikh Muhammad bin Fadhlullah al-Burhanpuri. Kitab tersebut disyarah oleh Syeikh Abdul Ghani an-Nablusi.

Martabat Tujuh dalam bahasa Melayu selain yang dibicarakan oleh Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan juga banyak, dimulai oleh ulama-ulama tasawuf di Aceh, diikuti oleh Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dengan Ad-Durrun Nafisnya, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani juga membicarakannya dalam Siyarus Salikin, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Manhalus Shafi dan ramai lagi.

Oleh itu, perkembangan ilmu tersebut di dunia Melayu tumbuh subur, tak ubahnya seperti perkembangan ilmu tauhid metode sifat 20 dan fiqh menurut Mazhab Syafie pada zaman itu.

Sebagai menutup artikel ini, perlu juga penulis sebutkan sungguhpun Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan terkenal di seluruh Jawa Barat tetapi riwayat hidupnya hampir-hampir tak dikenal di dunia Melayu lainnya. Oleh itu, artikel ini adalah satu usaha memperkenalkannya yang disejajarkan dengan ulama-ulama terkenal yang lain, yang hidup sezaman dengannya, iaitu Syeikh Abdul Malik Terengganu Syeikh Burhanuddin Ulakan, Syeikh Yusuf Khalwati, Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani dan ramai lagi.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1029&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Thursday, 26 July 2012

Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok


Koleksi tulisan allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah
RIWAYAT hidup ulama yang diperkenalkan ini, buat pertama kalinya pernah penulis muat dalam majalah Al-lslam, November dan Disember 1989 di bawah judul, Tabaqat Para Ulama Patani.

Mengenai nama ulama ini bermula diketahui dari beberapa buah kitab karya ulama-ulama dunia Melayu, di antaranya dalam kitab Kaifiyat Khatamil Quran tersebut nama Syeikh Muhammad Shalih bin Abdur Rahman al-Jawi al-Fathani yang berasal dari Kampung Pauh Bok. Beliau ini adalah salah seorang ulama besar yang mengajar di Masjidil Haram, Mekah. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah termasuk salah seorang murid beliau.

Dalam kitab Lum’atul Aurad karya Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani menyebut, beliau mengambil ijazah doa Hizbul Bahri dari Syeikh Abdullah bin Muhammad Shalih, ulama ini juga berasal dari Kampung Pauh Bok Fathani.

Salah sebuah manuskrip karya Abdur Rauf bin Abdul Ma’ruf al-Jawi al-Fathani, juga berasal dari Kampung Pauh Bok. Beliau adalah murid juga kepada Syeikh Muhammad Shalih bin Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok yang tersebut di atas.

Salah sebuah di antara manuskrip Al-‘Urwatul Wutsqa karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani ditulis dalam bahasa Melayu, beliau menamakan dirinya dengan Lebai Abdus Shamad al-Jawi al-Fathani, bahawa beliau menerima talqin bai’ah zikir daripada Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani.

Nama Syeikh Abdur Rahman bin Syeikh al-Imam Abdul Mubin al-Fathani terdapat pula dalam sebuah manuskrip nombor kelas MI 697 halaman 30, bahawa beliau berasal dari Kampung Pauh Bunga, iaitu nama lain untuk Kampung Pauh Bok. Dalam kitab Fatihatul Kubra karya Syamsuddin al-Bahri bin Abdul Karim bin Umar al-Fathani, terdapat nama Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani yang digandingkan dengan nama Syeikh Hamzah (maksudnya Syeikh Hamzah al-Fansuri) dan Syeikh Abdul Qadir al-Jilani.

Mengenai Syeikh Imam Lebai Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani, iaitu ayah Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok, telah ditemui beberapa buah karyanya. Sebuah di antaranya disalin oleh Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok bertarikh 1121 H/1709 M. Selanjutnya adik-beradik Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok dikenali dengan Syeikh Abdullah bin Syeikh Imam Lebai Abdul Mubin, beliau adalah penyusun kitab berjudul Tanbihul Ghafilin yang diselesaikan pada 1184 H/1770 M.

Kitab ini masih tersebar di pasaran kitab sampai sekarang. Manuskrip salinan semula kitab ini sangat banyak, salah sebuah daripadanya terdapat salinan Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani/Tok Kelaba.

Penyelidikan berjalan terus, akhirnya penulis berhasil menemui sebuah hikayat mengenai beliau yang ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Hikayat tersebut diberi judul Hikayat Wali Allah Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani.

Catatan terlengkap datuk nenek ulama ini hingga sampai kepada Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah al-Jarimi al-Fathani ditulis oleh Haji Abdul Mubin al-Fathani bin Muhammad Thaiyib. Yang terakhir, penulis peroleh salasilah keturunan adik perempuan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani di Brunei Darussalam.

Dari semua maklumat tersebut, dapat disimpulkan bahawa Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok adalah seorang ulama Fathani Darus Salam yang terkenal zaman dahulu, namun penulisan biografi beliau secara lengkap memang belum pernah dilakukan.

Kesimpulan lain pula bahawa sebelum kemunculan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani sebagai seorang ulama yang menghasilkan karya yang banyak di Patani, telah muncul beberapa orang ulama yang menulis kitab. Bahawa tahun-tahun penulisan pada peringkat awal ulama-ulama berasal dari Patani dapat disejajarkan dengan penulisan ulama-ulama Aceh di abad ke 16-17.

Asal usul

Nama lengkap yang dapat dicatat ialah Syeikh Wan Abdur Rahman bin Syeikh Wan Abdul Mubin III bin Syeikh Wan Muhammad Jailani bin Syeikh Muhammad Masari bin Syeikh Wan Hamzah bin Syeikh Wan Abdul Mubin (Pertama) bin Syeikh Wan Abdul Jabbar bin Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah al-Jarimi al-Fathani.

Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada mukadimah hikayat mengenai ulama ini menulis, “... Ada pun kemudian daripada itu, maka lagi akan berkata hamba yang faqir yang mempunyai taqsir, iaitu Daud bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris Kerisik al-Fathani atau Kuala Bekah namanya pada masa dahulunya ...Ada pun Tok Nyang Syeikh Pauh Bok asalnya Arab Hadhrami datang berniaga singgah di pantai Fathani. Maka berlayar mengikut tali sungai kecil hingga sampailah ke Kampung Pauh Bok. Dapatlah di situ zuriat yang bertuah namanya Abdur Rahman. Bolehlah dikatakan dia jadi Auliya’ Allah”.

Oleh sebab salasilah yang sahih tentang datuk-nenek Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok sampai kepada Syeikh Muhammad ‘Arifin Syah, maka tidak jelas siapakah yang pertama datang ke Pauh Bok seperti yang terdapat pada hikayat yang ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani itu, oleh itu disimpulkan bahawa datuk-neneknya memang berasal dari Arab Hadhrami.

Adik beradik Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok ada 11 orang, selanjutnya dapat dirujuk pada buku penulis berjudul Penyebaran Islam & Salasilah Ulama Sejagat Dunia Melayu, PENGENALAN Siri ke-4, hlm. 11-12.

Pendidikan

Memperhatikan tahun Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani menyalin karya ayahnya tahun 1121 H/1709 M, maka dapat diandaikan bahawa beliau hidup sezaman dengan Syeikh Abdul Malik Terengganu (Tok Pulau Manis).

Dipercayai Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri Syeikh Abdul Mubin III bin Muhammad Jailani, seorang ulama yang mengasaskan Pondok-pengajian Pauh Bok yang banyak mengkaderkan umat sehingga keluar sebagai ulama-ulama besar.

Pondok Pauh Bok yang tersebut adalah merupakan pondok pengajian Islam tua di Patani yang masih dapat dibuktikan beberapa kesan peninggalannya sampai sekarang ini.

Ada pun pondok-pondok lain di Patani, baik yang jauh lebih awal mahupun yang sezaman dengan Pondok Pauh Bok sukar dibuktikan peninggalan-peninggalannya.

Pondok Pauh Bok di antara dua institusi pengajian pondok yang masih dapat dikesan, yang satu lagi ialah Masjid Telok Manok bekas Pondok-pengajian Wan Husein al-Aidrus. Kedua-duanya tidak kalah kemasyhurannya dengan institusi pengajian di Aceh yang dijalankan oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri atau dengan ulama-ulama yang sezaman dengannya.

Institusi sistem pengajian Pondok Pauh Bok, Patani sangat menarik untuk dibincangkan selanjutnya.

Selain mendapat pendidikan dari ayahnya sendiri, Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok belajar juga kepada beberapa orang ayah saudaranya, iaitu Syeikh Wan Muhammad Shalih, Syeikh Wan Abbas dan Syeikh Wan Muhammad Yunus.

Setelah ilmunya cukup banyak yang diperoleh di Pondok Pauh Bok, semuanya dari golongan keluarga terdekat, maka beliau melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Tidak jelas kepada siapa beliau belajar di Mekah, tetapi diriwayatkan selanjutnya ketika belajar di Madinah, Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok bersahabat dengan Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani, atau yang terkenal dengan Syeikh Saman (1130 H/1717 M -1189 H/1775 M) itu.

Disebabkan tawaduknya, setelah Syeikh Muhammad bin Abdul Karim Samman itu muncul sebagai Mujaddid dan Syeikh Mursyid Kamil Mukammil dalam Thariqat Samaniyah, lalu Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok menerima baiah Tarekat Samaniyah kepada ulama tersebut, walau pun beliau jauh lebih tua daripada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim Samman. Penulis lebih meyakini bahawa selama belajar di Madinah, Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok lebih banyak belajar kepada Syeikh Mustafa bin Kamaluddin al-Bakri (lahir 1099 H/1688 M, wafat 1162 H/1749 M), jika dibandingkan dengan Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman.

Syeikh Mustafa bin Kamaluddin al-Bakri adalah guru bagi Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman itu. Pada naskhah karya ayahnya yang disalin olehnya ada dicatat bahawa ayahnya Syeikh Abdul Mubin dan beliau sendiri adalah murid Syeikh Ibrahim Tok Hasan al-Kurani al-Madani, mungkin maksudnya ialah Syeikh Ibrahim al-Kurani (lahir 1023 H/1614 M, wafat 1102 H/1690 M).

Mungkin Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok belajar kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani itu dalam masa penghujung hayat ulama itu, dan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok ketika itu masih sangat muda.

Jadi jika berdasarkan ini, bererti Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok sempat hidup sezaman dengan Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Mungkin beliau berumur panjang sehingga sempat pula belajar kepada Syeikh Mustafa bin Kamaluddin al-Bakri dan sempat pula menuntut bersama Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman yang jauh lebih muda daripada beliau. Wallahu a’lam.

Aktiviti

Diriwayatkan bahawa Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok sebelum pulang ke kampung halamannya, beliau pernah mengajar di Masjid an-Nabawi Madinah, juga pernah mengajar di Masjidil Haram Mekah. Jika riwayat ini adalah benar, bererti beliau adalah orang Melayu yang pertama pernah mengajar di Masjid an-Nabawi Madinah, bahkan hingga kini memang belum diketahui orang Melayu selain beliau yang pernah mengajar di masjid tersebut.

Ada pun Masjidil Haram Mekah memang ramai ulama yang berasal dari negeri-negeri Melayu yang pernah mengajar di sana.

Selain itu, sebelum Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani tinggal menetap di Pauh Bok, beliau ditugaskan oleh sahabatnya berkali-kali pulang balik dari tanah Jawi ke Mekah-Madinah, selain membawa jemaah haji, sekali gus menyebarkan agama Islam dengan menggunakan kaedah Tarekat Khalwatiyah-Sammaniyah.

Pada waktu menjalankan tugas-tugas itulah, dipercayai bahawa Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok berkunjung di banyak tempat dalam alam Melayu.

Tempat-tempat yang dapat diketahui pernah dikunjunginya ialah Terengganu, Kelantan dan Brunei. Oleh sebab itulah barangkali anak saudaranya bernama Haji Wan Sulaiman sebagai khadamnya memperoleh anak di Kampung Tendong, Patani, namanya Haji Wan Muhammad, di Kampung Ibai, Terengganu, namanya Wan Ismail, anaknya di Brunei bernama Pehin Orang Kaya Di Gadong Wan Syihabuddin (Shahbuddin) dan Wan Radhiah.

Ini kerana di Brunei, Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok sempat mengajar masyarakat di sana, sehingga beliau digelar oleh masyarakat dengan ‘Tok Lubuk’. Gelaran ini barangkali kerana berasal dari perkataan ‘Pauh Bok’ itu.

Berapa lama Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok berulang alik dari Mekah-Madinah ke tanah Jawi mengurus jemaah haji tersebut tidak diketahui dengan pasti, pekerjaan itu dihentikan setelah beliau tetap mengajar di Pondok Pauh Bok sebagai pengganti tugas ayahnya Syeikh Abdul Mubin III al-Fathani, pengasas pondok itu.

Setelah tetap mengajar di satu institusi pondok, maka terkenallah beliau sebagai seorang Wali Allah yang sangat banyak karamah lalu digelar dengan Tok Nyang Wali Allah Perobok atau Tok Nyang Perobok atau Tok Perobok saja. Murid beliau pula sangat ramai.

Karya-karya

Di dalam buku penulis, Manhalus Shafi Syeikh Daud Al-Fathani dijelaskan bahawa kitab Manhalus Shafi selain dikatakan sebagai karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, juga dikatakan sebagai karya Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok.

Selain Manhalus Shafi, terdapat karya-karya beliau yang lain, yang telah dikenal pasti ialah: Mir-atul Haq, judul terjemahan beliau sendiri ialah Cermin Yang Sebenar-benarnya. Kitab ini telah disalin oleh salah seorang keturunan Syeikh Abdul Mubin yang pada kulit mukanya beliau buat catatan, “Pada bulan Muharam sanah 1407 Hijrah mula menulis kitab ini oleh keturunan Tok Nyang Syeikh Perobok, selamat sempurnanya, wassalam”.

Kandungan kitab Mir-atul Haq karya Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok ialah mengenai ilmu tasawuf. Di dalam kitab tersebut beliau menyebut beberapa buah kitab yang telah beliau rujuk di antaranya Kitab Tasawuf karya Syeikh Muhyiddin Ibnu 'Arabi, kitab Wahdatul Wujud karya Syeikh Abdul Qadir al- Jilani dan Asrarul Insan karya Syeikh Nuruddin ar- Raniri.

Pada akhir karyanya beliau juga menyebut nama gurunya, juga guru kepada ayahnya iaitu Syeikh Ibrahim Tok Hasan al-Kurani al-Madani.

Ada sebuah lagi karya Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok, manuskrip asli tulisan tangan beliau ada dalam simpanan penulis. Kitab tersebut membahas secara mendalam pelbagai aspek tentang akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah. Oleh sebab manuskrip tersebut tidak lengkap, maka tahun selesai penulisan belum diketahui. Penulis belum mengetahui di mana tersimpan manuskrip karya akidah tersebut, selain manuskrip yang telah penulis punyai itu.

Penulis belum mendapat maklumat apakah karya tersebut pernah diterbitkan atau pun belum pernah diterbitkan. Namun dugaan penulis kuat mengatakan bahawa kitab yang tersebut memang belum pernah dilakukan penyalinan semula, demikian juga tentang penerbitannya berupa bahan cetakan.

Sebuah karya beliau yang bercorak wasiat mengenai pengamalan tasawuf, diberi judul oleh penyalin bernama Ibnu Qaim Abdus Shamad, judulnya dapat diketahui pada salinan ialah Wasiat Syeikh Abdur Rahman Ibnu Haji Abdul Mubin Kepada Segala Muridnya. Tarikh wasiat dan selesai penyalinan tidak terdapat.

Sesudah wasiat, dilampirkan pula satu judul yang dinamakan Kaifiyat Khalwat. Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok memulai penulisan mengenai tatacara khalwat, katanya, “Hendaklah diperbuat peti sekadar setinggi berdiri dan beserta sekadar duduk bersila. Dan orang yang hendak masuk khalwat itu dibiasakan dirinya itu menjauh daripada orang barang setengah tahun supaya jinak hati itu serta dengan mujahadah. Dan dikurangkan makannya, sedikit-dikit minum pun dikurang juga”.

Sekian banyak karya dalam bahasa Melayu yang telah dijumpai, dalam pengamatan penulis, naskhah yang dibicarakan ini pada bahasan khusus mengenai tatacara mengerjakan khalwat nampaknya adalah yang paling lengkap.

Beberapa perkara yang dibahas di antaranya belum pernah dijumpai dalam kitab-kitab selainnya. Di dalam risalah tersebut termuat pula satu cara sembahyang sunat yang dinamakan Sunat al-Maqam Mutawajjihan wa Taqarruban ilallah.

Diiringi risalah selanjutnya merupakan ijazah dari Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok kepada murid kesayangannya bernama al-Haji Ahmad ibnu Muhammad Shalih al-Haji Abdus Shamad. Pada mukadimah risalah, setelah puji-pujian dan selawat dinyatakan, "Ada pun kemudian dari itu, maka bahawasanya saudara pada Allah yang berpegang dengan qalallah (maksudnya firman Allah) yang beroleh taufik, lagi fana ia pada mengasihi Allah, iaitu Tuan Haji Ahmad ibnu Muhammad Shalih al-Haji Abdus Shamad, sesungguhnya telah mengambil talqin zikir dan bai'ah dari fakir yang hina, lagi jadi khadam segala faqir, iaitu Haji Abdur Rahman anak Imam Abdul Mubin Pauh Bok ...”.

Selanjutnya setelah selesai doa dalam bahasa Arab dinyatakan, “Mudah-mudahan diampuni (oleh) Allah ia dan dua ibu bapanya, dan disucikan ia akan rahsianya, dan segala gurunya, dan segala saudaranya, dan yang mengikutnya, dan bagi sekalian Islam, Amin”.

Setelah itu disambung dengan salasilah dimulai dari nama sahabat dan guru beliau, ialah Quthbul Akwan Muhammad, anak Abdul Karim al-Madani asy-Syahir bis Samman.

Pada akhir risalah dicatatkan bahawa Haji Ahmad ibnu Muhammad Shalih itu wafat pada hari Rabu empat likur bulan Rejab 1258 H/1842 M. Risalah terakhir diselesaikan penyalinan pada hari Isnin, 12 Ramadan 1258 H/1842 M.

Setelah penulis membanding karya-karya pendek Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani yang dikumpulkan dalam satu manuskrip tersebut, penulis berkesimpulan bahawa cara penulisan demikian pernah dilakukan oleh Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i dan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati.

Kemungkinan model penulisan kedua-dua ulama itu mempunyai kesan tersendiri terhadap Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani. Mengenai kandungan dalam karya sufi keseluruhannya juga tidak banyak perbezaan antara ulama-ulama yang berasal dari Aceh, Bugis dan Patani itu.

Keturunan dan murid

Mengenai keturunan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok belum banyak diperoleh keterangan. Namun yang dapat diketahui ada dua orang, ialah Syeikh Muhammad Shalih dan Syeikh Ahmad.

Syeikh Muhammad Shalih bin Abdur Rahman Pauh Bok tinggal di Mekah. Beliau adalah seorang ulama besar yang mengajar di Masjidil Haram, Mekah. Kedua yang bernama Syeikh Ahmad Pauh Bok juga seorang ulama. Beliau ini juga menghasilkan karangan, yang telah ditemui manuskripnya ialah Qawa’id Masailil Faraidh.

Anak Syeikh Muhammad Shalih Pauh Bok yang menjadi ulama ialah Syeikh Abdullah bin Syeikh Muhammad Shalih Pauh Bok. Ketiga-tiga yang tersebut, iaitu dua orang anak dan seorang cucu beliau itu adalah ulama-ulama besar yang mengajar di Masjidil Haram, Mekah. Sangat ramai ulama dunia Melayu yang belajar kepada kedua-duanya di Mekah terutama Syeikh Muhammad Shalih Pauh Bok yang tersebut. Antara anak murid Syeikh Abdul Rahman Pauh dan anaknya, Syeikh Muhammad Shalih yang terkenal ialah:

* Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang terkenal dengan kitab Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikinnya.

* Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, yang maklumat tentang beliau sudah cukup banyak diperkenalkan.

* Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ma'ruf al-Fathani. Beliau ini juga berasal dari kampung Pauh Bok. Salah satu karya beliau yang masih berupa manuskrip juga telah ditemui.

* Syeikh Abdur Rauf bin Abdul Wahid al-Fathani. Beliau ini juga berasal dari Pauh Bok. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani pernah belajar kepada ulama ini.

* Syeikh Wan Hasan bin Syeikh Wan Ishaq al-Fathani. Beliau ini juga berasal dari Kampung Pauh Bok, kemudian menyebarkan Islam di Terengganu, berpusat di Besut. Di antara karya beliau yang telah ditemui baru dua buah, iaitu Hidayatul Mukhtar dan terjemahan Aiyuhal Walad al-Ghazali.

* Syeikh Wan Ali bin Syeikh Wan Ishaq al-Fathani. Beliau adalah saudara kandung kepada Syeikh Wan Hasan (nombor 5 di atas).

* Dan lain-lain ramai lagi yang belum dapat disebutkan di sini.

Demikianlah maklumat pengenalan Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani yang wafat di Madinah dan kuburnya bersebelahan dengan kubur Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Saman al-Madani, guru dan sahabatnya yang dikatakan sebagai Wali Quthub pada zamannya itu. Wallahu A’lam.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1105&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Wednesday, 25 July 2012

Syeikh Muhammad Ali Abdur Rasyid As-Sumbawi - Kadi Sumbawa


Koleksi penyelidikan ALLAHYARHAM Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah
DALAM percakapan, beberapa catatan dan penulisan kitab Melayu/Jawi memang dijumpai beberapa nama ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa ini.

Di antara mereka antaranya; Syeikh Idris bin Utsman as-Sumbawi, Syeikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi as-Sumbawi, dan ramai lagi. Nama ulama ini, mulai penulis kesan daripada sebuah karyanya berjudul, Al-Yawaqitu wal Jawahir yang ditulis pada 1243 H/1827 M.

Beberapa maklumat tentang beliau, penyelidikan awal dapat diketahui dan dipetik daripada dua buah karyanya iaitu, satu di antaranya ialah Al-Yawaqitu wal Jawahir, di bahagian tepi atau pinggirnya turut dicetak sebuah kitab berjudul 'Uqudul Lujjain fi Huquqiz Zaujain.

Buat pertama kali tentang ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa ini, penulis tulis dalam buku berjudul Perkembangan Ilmu Fiqh dan Tokoh-Tokohnya di Asia Tenggara, jilid 1 (cetakan pertama, C.V.Ramadhani, hlm :127-128). Kemudian penulis singgung dengan agak ringkas dalam buku Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyah Mu'tabarah di Dunia Melayu (cetakan pertama, Khazanah Fathaniyah, 2000, hlm : 113-114).

Daripada bahan-bahan bertulis tersebut, dapat diambil kesimpulan bahawa ulama yang berasal dari Sumbawa yang diriwayatkan ini, nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi as-Sumbawi. Beliau hidup sezaman dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Bahkan pada sektor penerimaan Thariqat Syaziliyah, kedua-dua ulama tersebut adalah seperguruan. Kedua-duanya menerima bai'ah dari Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim ar-Rais (1187 H/1773 M-1240 H/1824 M).

KARYA

Hanya sebuah yang telah pasti karyanya, kerana namanya terdapat pada kitab itu, sedang sebuah lagi diduga juga karya beliau. Karya yang telah pasti itu diberi judul lengkap ialah Al-Yawaqitu wal Jawahir fi 'Uqubati Ahlil Kabair. Dan kitab yang masih belum jelas hasil karya beliau ataupun tidak, tetapi sentiasa dicetak kombinasi dengan Al-Yawaqitu wal Jawahir diberi judul, 'Uqudul Lujjain fi Huquqiz Zaujain.

Ada pun karya beliau yang pertama Al-Yawaqitu wal Jawahir adalah terjemahan hadis targhib dan tarhib yang berasal daripada karangan Syeikh Abdul Wahhab as-Sya'rani. Yang diutamakan ialah menceritakan seksaan orang yang melakukan dosa besar, yang terdiri dari Dua Belas Bab.

- Bab Yang Pertama: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Meninggalkan Sembahyang

- Bab Yang Kedua: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Durhaka Bagi Ibu dan Bapanya

- Bab Yang Ketiga: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Minum Arak dan Tuak

- Bab Yang Keempat: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Berzina

- Bab Yang Kelima: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Liwat

- Bab Yang Keenam: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Makan Riba

- Bab Yang Ketujuh: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Meratap

- Bab Yang Kelapan: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Tiada Mengeluarkan Zakat Hartanya

- Bab Yang Kesembilan: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Membunuh Orang Islam

- Bab Yang Kesepuluh: Pada Menyatakan Hak Perempuan Atas Lakinya dan Hak Laki Atas Isterinya

- Bab Yang Kesebelas: Pada Menyatakan Susah dan Kesakitan Pada Hari Kiamat

- Bab Yang Keduabelas: Pada Menyatakan Sifat Syurga dan Orang Di Dalam Syurga.

Al-Yawaqitu wal Jawahir diselesaikan hari Isnin, sesudah Asar, 18 Zulkaedah 1243 H. Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan Al-Yawaqitu wal Jawahir, di antaranya cetakan mutawal oleh Matba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, Matba'ah al-'Amirah al-Islamiyah, Matba'ah Fathul Karim al-Islamiyah, 1310 H, cetakan pertama Matba'ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, 1329 H, Maktabah wa Matba'ah Sulaiman Mar'i Singapura, Penang, Kota Bharu. Juga pernah dicetak oleh Maktabah wa Matba'ah al-Ma'arif Pulau Pinang dan lain-lain.

Penerbitan-penerbitan awal kitab Al-Yawaqitu wal Jawahir ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dan terbitan-terbitan mutakhir ditashhih oleh Syeikh Ilyas Ya'qub al-Azhari (Indonesia).

Pada mukadimah Al-Yawaqitu wal Jawahir Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi dinyatakan, "Kemudian daripada itu, maka tatkala adalah pada tahun 1243 daripada tahun hijrah Nabi s.a.w. atas yang mempunyai dia yang terlebih afdhal rahmat dan yang terlebih suci haluannya, telah menuntut daripada hamba yang fakir, lagi hina, yang mengaku berdosa, lagi taqshir, iaitu Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi as-Sumbawi yang ada diam di Makkatul Musyarrafah; oleh setengah daripada orang yang mempunyai kelebihan, lagi mulia, iaitu setengah daripada sahabat kami. Bahwasanya hamba terjemahkan kitab syeikh yang alim, iaitu Syeikh Abdul Wahhab Asy-Sya'rani yang dinamakan dia Al-Yawaqitu dan Jawahir) pada menyatakan seksaan segala orang yang berdosa yang besar, sekalian kesusahan, dan kesakitan pada hari kiamat, dan pada menyatakan sifat Syurga, dan sekalian orang yang di dalam Syurga, daripada bahasa Arab kepada bahasa Jawi. Maka hamba perkenankan dengan yang demikian itu" (petikan hlm: 2-3, cetakan pertama, Matba'ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah,1329 H).

Ada pun karya Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi yang satu lagi, iaitu Uqudul Lujjain fi Huquqiz Zaujain, kandungan keseluruhannya merupakan akhlak atau adab isteri kepada suaminya. Adalah merupakan ancaman yang sangat keras terhadap isteri yang durhaka kepada suaminya. Walaupun kedua-dua karya Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi yang tersebut di atas dapat dikategorikan kepada hadis targhib dan tarhib, namun tidak dapat dinafikan bahawa Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi adalah seorang ulama fiqhi (Faqih) dan ulama shufi ahlit Thariqah.

PENDIDIKAN, PERSAHABATAN DAN MURID

Sewaktu belajar di Mekah, Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid as-Sumbawi adalah seperguruan dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Di antara guru Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi yang telah pasti ialah, Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim ar-Rais. Mengenai ini ada dinyatakan oleh seorang muridnya bernama Syeikh Umar ibnu Umaju' Mempawah (Kalimantan Barat), dalam sebuah manuskrip mengenai Thariqat Syaziliyah.

Dipercayai bahawa Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi bersahabat dengan Syeikh Idris bin Utsman as-Sumbawi. Syeikh Idris bin Utsman as-Sumbawi pula adalah pernah menerima Thariqat Khalwatiyah-Sammaniyah daripada Syeikh Shiddiq bin Umar Khan, juga tarekat yang sama kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Oleh sebab Syeikh Shiddiq bin Umar Khan juga guru kepada Syeikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari, maka dipercayai ulama yang berasal dari Banjar ini juga bersahabat dengan Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi.

Daripada maklumat tersebut, dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi as-Sumbawi sekurang-kurangnya mengamalkan tiga jenis tarekat shufiyah, ialah Thariqat Syaziliyah, Thariqat Khalwatiyah-Sammaniyah dan Thariqat Syathariyah.

Mengenai muridnya pula, selain Syeikh Umar ibnu Umaju' Mempawah, termasuk juga seorang ulama Sumbawa yang sangat terkenal ialah al-Alim al-Allamah al-Fahamah asy-Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi. Beliau ini juga murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan menerima bai'ah Thariqat Syathariyah daripada ulama Pattani tersebut.

Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi sekurang-kurang menghasilkan dua buah karangan dalam bahasa Melayu yang terkenal di peringkat seluruh dunia Melayu, ialah Sirajul Huda (mengenai 'aqidah) dan Minhajus Salam (mengenai fiqh). Kedua-dua kitab yang tersebut masih terdapat di kedai-kedai kitab di seluruh dunia Melayu.

 

SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1112&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Tuesday, 24 July 2012

Syeikh Abdus Shamad Al-Falimbani ulama sufi penegak jihad


Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Bahagian (1)

Sejarah mengenai Syeikh Abdus Shamad ini terlalu banyak panjang untuk dibincangkan, sama ada mengenai asal-usul beliau, pendidikan, karya-karya, keturunan dan sebagainya.

Oleh itu, artikel ini merupakan bahagian pertama yang hanya meliputi pengenalan awal mengenai nama ayah dan pendidikan beliau sahaja. Selebihnya akan dibincangkan pada bahagian selanjutnya.

Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, pertama kali penulis perkenalkan dalam majalah Dian bilangan 100, Ogos 1977. Sumber awal yang dibicarakan sebahagian besar adalah berdasarkan cerita yang mutawatir yang didengar di Kepulauan Riau, Patani dan Kalimantan Barat. Yang bersumberkan bahan bertulis hanyalah berdasarkan berbagai-bagai edisi cetakan karyanya, maupun manuskrip simpanan penulis yang dipusakai dari Syeikh Ahmad al-Fathani.

Bahan itulah sebagai dasar utama penulis melakukan penyelidikan sehingga tulisan penulis dimuat dalam majalah Dian itu.

Terdapat banyak kisah yang ditulis oleh sarjana tempatan dan luar negeri tentang ulama yang berasal dari Palembang, Sumatera ini. Antaranya artikel penulis dalam majalah Dian tersebut, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Muhammad Hassan bin Dato’ Kerani Muhammad Arsyad (Dewan Bahasa dan Pustaka,1968), Syamsuddin bin Siddiq yang membuat tesis tentang Hidayatus Salikin, dan Dr. Mahmud Saedon bin Awang Othman dalam kertas kerjanya untuk Seminar Sufi Peringkat Kebangsaan.

Malahan penulis sendiri menerbitkan sebuah buku kecil berjudul Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani,Shufi Syahid fi Sabilillah (1983).Setelah itu menyusul pula buku Mengenal Allah Suatu Studi Mengenal Ajaran Tasawuf Syeikh Abdus Shamad al-Palimbani oleh Dr.M.Chatib Quzwan(1985). Dan berbagai-bagai buku lain, terakhir sekali buku Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII oleh Dr. Azyumardi Azra, tahun 1994.

Bagi penulis keseluruhan buku mengenai Syeikh Abdus Shamad yang diproses oleh para sarjana itu tidak banyak diperoleh bahan baru, kerana apa yang mereka bicarakan hanyalah berdasarkan tulisan yang telah ada dan tidak menemukan karya-karya Syeikh Abdus Shamad yang belum dibicarakan selama ini.

Menurut penelitian penulis, ada yang dibicarakan juga banyak bersimpangsiur dan terdapat banyak kekeliruan. Oleh itu penulis muncul kembali dengan buku Syeikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi Dan Jihad Dunia Melayu terbitan pertama Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1996. Dalam buku tersebut di beberapa halaman adalah sanggahan dengan tujuan untuk perbandingan, demi lebih meluruskan jalan sejarah yang sebenarnya.

Mengenali nama ayahnya

Terdapat banyak percanggahan berkenaan nama ayah kepada ulama ini. Pada penyelidikan awal, penulis menemui nama orang tua Syeikh Abdus Shamad Falimbani itu adalah Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dan Faqih Husein al-Falimbani. Maka dalam penyelidikan selanjutnya, penulis jumpai pula nama ayahnya selain Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dan Faqih Husein al-Falimbani itu. Nama-nama lain itu ialah: Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani. Maklumat ini pertama sekali penulis jumpai hanya pada Hidayatus Salikin terbitan Al-Ahmadiah Press, Singapura, tanpa menyebut tahun cetakan, berdasarkan satu naskhah yang dijumpai di Banjar.

Pada cetakan itu pentashhihnya juga disebutkan ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani sebagaimana cetakan-cetakan lainnya. Sedangkan Hidayatus Salikin terbitan lainnya tidak menyebut nama orang tua Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani itu. Hal ini bersamaan pula dengan manuskrip salin semula judul Zahratul Murid yang terdapat di Pusat Islam Malaysia. Manuskrip Zahratul Murid yang ada dalam simpanan penulis juga menyebut nama orang tuanya Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani.

Tetapi dalam karya beliau judul yang sama, salinan Hj. Muhammad Husein bin Abdul Latif (Tok Kelaba al-Fathani) menyebut bahawa nama orang tua Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani ialah Syeikh Abdullah al-Jawi al-Falimbani, tidak Abdur Rahman al-Falimbani al-Jawi dan tidak pula dua nama yang terdahulu (Faqih Husein al-Falimbani dan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani).

Manuskrip Zahratul Murid yang tersimpan di Muzium Nasional Jakarta, nampaknya serupa dengan salinan Tok Kelaba al-Fathani, iaitu orang tuanya bernama Abdullah al-Jawi al-Falimbani.

Nama ayah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dinyatakan ialah Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani, juga tersebut pada cover cetakan kitab itu oleh Matba’ah at-Taraqqil Majidiyah al-‘Itsmaniyah, Mekah, tahun 1331 H/1912 M, ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani, iaitu murid kepercayaan Syeikh Ahmad al-Fathani. Dipercayai ada cetakan yang lebih awal dari cetakan ini yang diusahakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani yang dicetak oleh Matba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah dalam tahun 1300 H/1882 M.

Juga nama ayahnya Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani tersebut pada mukadimah risalah Ilmu Tasauf, manuskrip koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia. Nama Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani juga disebut pada banyak halaman dalam karya Syeikh Muhammad Yasin bin ‘Isa al-Fadani (Padang) berjudul Al-‘Iqdul Farid min Jawahiril Asanid dan Balughul Amani.

Nama ayah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani adalah Syeikh Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani, dari sumber Melayu sendiri selain sumber-sumber yang penulis sebutkan di atas. Juga disebut oleh salah seorang murid beliau bernama Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, dalam salah sebuah salinan karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Tokoh tersebut sangat banyak membuat salinan pelbagai judul manuskrip.

Berbeza

Susur galur keturunan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani sampai saat ini baru dijumpai dua sumber yang agak lengkap walaupun antara kedua- duanya sangat berbeza. Kedua-dua sumber itu ialah: Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, yang mengemukakan bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani bin Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh 'Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani.

Dalam Bulughul Maram karya Syeikh Muhammad Yasin Padang pula dijumpai bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani bin Abdur Rahman bin Abdullah bin Ahmad al-Falimbani. Namun pada beberapa halaman lain oleh pengarang dalam buku yang sama dinyatakan: Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman bin Abdul Jalil al-Falimbani. Penulis tidak dapat mengesan dengan pasti apa sebab persoalan ini boleh berlaku, nama ayahnya berbeda-beda dan nama-nama ayah ke ayah pula terjadi demikian seperti yang telah disalinkan di atas.

Nama yang digunakan di makam yang terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah ialah Syeikh Abdul Jalil, bukan nama yang lainnya. Sungguh pun di makamnya memakai nama Syeikh Abdul Jalil, namun jika diperhatikan dengan perbandingan ternyata jumlah maklumat yang menyebut nama ayah beliau Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani lebih banyak dari nama-nama lain seperti yang disebutkan di atas.

Selama ini semua penulis hanya mengenal bahawa di hujung nama Syeikh Abdus Shamad biasa ditambah dengan perkataan ‘al-Falimbani’, iaitu yang dinisbahkan/dibangsakan bahawa beliau berasal dari Palembang. Akan tetapi dalam sebuah manuskrip al-‘Urwatul Wutsqa karya beliau, ternyata beliau menyebut di hujung namanya dengan ‘al-Fathani’.

Pada beberapa halaman al-‘Iqdul Farid, Syeikh Yasin Padang menyebut di hujung nama beliau dengan ‘al-Asyi asy-Syahir bil Falimbani’, yang maksudnya bahawa dinisbahkan/dibangsakan berasal dari Aceh yang masyhur berasal dari Palembang.

Pendidikan

Syeikh Abdus Shamad mendapat pendidikan asas dari ayahnya sendiri, Syeikh Abdul Jalil, di Kedah. Kemudian Syeikh Abdul Jalil mengantar semua anaknya ke pondok di negeri Patani. Zaman itu memang di Patani lah tempat menempa ilmu-ilmu keislaman sistem pondok secara yang lebih mendalam lagi.

Mungkin Abdus Shamad dan saudara-saudaranya Wan Abdullah dan Wan Abdul Qadir telah memasuki pondok-pondok yang terkenal, antaranya ialah Pondok Bendang Gucil di Kerisik, atau Pondok Kuala Bekah atau Pondok Semala yang semuanya terletak di Patani.

Di antara para gurunya di Patani, yang dapat diketahui dengan jelas hanyalah Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok. Demikianlah yang diceritakan oleh beberapa orang tokoh terkemuka Kampung Pauh Bok itu (1989), serta sedikit catatan dalam salah satu manuskrip terjemahan Al-‘Urwatul Wutsqa, versi Syeikh Abdus Shamad bin Qunbul al-Fathani yang ada dalam simpanan penulis. Kepada Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok itulah sehingga membolehkan pelajaran Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dilanjutkan ke Mekah dan Madinah. Walau bagaimana pun mengenai Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani belajar kepada Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani itu belum pernah ditulis oleh siapa pun, namun sumber asli didengar di Kampung Pauh Bok sendiri.

Sistem pengajian pondok di Patani pada zaman itu sangat terikat dengan hafalan matan ilmu-ilmu Arabiyah yang terkenal dengan ‘llmu Alat Dua Belas’. Dalam bidang syariat Islam dimulai dengan matan-matan fiqh menurut Mazhab Imam Syafie. Di bidang tauhid dimulai dengan menghafal matan-matan ilmu kalam/usuluddin menurut faham Ahlus Sunah wal Jamaah yang bersumber dari Imam Syeikh Abul Hasan al-Asy’ari dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi.

Setelah Syeikh Abdus Shamad banyak hafal matan lalu dilanjutkan pula dengan penerapan pengertian yang lebih mendalam lagi. Sewaktu masih di Patani lagi, Syeikh Abdus Shamad telah dipandang alim, kerana beliau adalah sebagai kepala thalaah (tutor), menurut istilah pengajian pondok. Namun ayahnya berusaha mengantar anak-anaknya melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Memang merupakan satu tradisi pada zaman itu walau bagaimana banyak ilmu pengetahuan seseorang belumlah di pandang memadai, jika tak sempat mengambil barakah di Mekah dan Madinah kepada para ulama yang dipandang Wali Allah di tempat pertama lahirnya agama Islam itu.

Keturunan

Mengenai pengajiannya di Mekah dan Madinah sumber yang paling pertama diketahui ialah tulisan Syeikh Abdur Rahman Shiddiq, keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, ditulisnya dalam Syajaratul Arsyadiyah. Menurut beliau, bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, belajar di Mekah sekitar 30 tahun dan di Madinah 5 tahun bersama kawan-kawannya. Mereka ialah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari penyusun kitab Sabilul Muhtadin yang terkenal, Syeikh Abdul Wahab Pang-kajene (Sidenreng Daeng Bunga Wardiah) Bugis, Syeikh Abdur Rahman al-Masri, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari, Syeikh Muhammad Ali Aceh, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan ramai lagi.

Sahabat-sahabat Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani sewaktu melanjutkan pelajaran di Mekah selain yang tersebut itu sangat ramai, di antara nama mereka telah penulis sebut dalam buku Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Pengarang Sabilal Muhtadin. Mengenai para gurunya di Mekah, selain yang diketahui umum, dalam sebuah manuskrip disebutkan bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernah belajar daripada Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh di Mekah. Para ulama besar yang pernah mendidik Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani selama berada di Mekah dan Madinah selain yang tersebut dapat dirujuk kepada buku penulis Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari ... tersebut di atas, lihat hlm. 14-15, sanad-sanadnya dari hlm. 16 sampai 27. Namun masih ada beberapa guru Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang berasal dari Palembang dan sanad beberapa ilmu yang tidak tersebut dalam buku penulis itu. Hal ini kerana ada beberapa ilmu yang mereka tidak belajar secara bersama-sama.

Menurut Syeikh Yasin Padang dalam beberapa bukunya yang telah disebutkan, bahawa hampir semua ilmu nampaknya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani menerima dari al-Mu’ammar Aqib bin Hasanuddin bin Ja’far al-Falimbani. Ulama yang berasal dari Palembang ini tinggal di Madinah. Beliau berguru dengan ramai ulama, namun di antara gurunya termasuklah ayah saudaranya bernama Thaiyib bin Ja'far al-Falimbani. Thaiyib bin Ja’far belajar dengan ayahnya Muhammad bin Badruddin al-Falimbani.

Tulisan Syeikh Yasin Padang yang mengatakan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani belajar dengan Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani itu bertentangan dengan tulisan Syeikh Muhammad Azhari ibnu Abdullah al-Jawi al-Falimbani. Kenyataan ulama ini ialah, “... telah mengambil talqin zikir ini oleh faqir Muhammad Azhari ibnu Abdillah al-Falimbani. [Ia] mengambil daripada asy-Syeikh Abdullah bin Ma’ruf al-Falimbani, [Ia] mengambil daripada asy-Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani, [Ia] mengambil daripda asy-Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani ...”.

Jika kita berpegang kepada Syeikh Yasin Padang bererti Syeikh Abdus Shamad adalah murid Syeikh Muhammad Aqib. Sebaliknya jika kita berpegang kepada Syeikh Muhammad Azhari bin Abdullah bin Muhammad Asyiquddin bin Safiyuddin Abdullah al-Alawi al-Husaini al-Falimbani, bererti Syeikh Abdus Shamad adalah guru kepada Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1119&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm&arc=hive

 

Monday, 23 July 2012

Baba Daud Ar-Rumi Al-Jawi murid Sheikh Abdul Rauf Al-Fansuri


Koleksi Tulisan Allahyarham: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


NAMA lengkap ulama yang akan dibicarakan ini iaitu Baba Daud al-Jawi ibnu Ismail ibnu Agha Mustafa ibnu Agha Ali ar-Rumi. Datuk neneknya berasal dari Turki dan lebih jauh ke atas lagi berasal dari Rom.


Salah seorang keturunannya pergi Aceh, selanjutnya ada yang ke Pattani dan Kelantan. Cerita ini penulis peroleh darpada Nik Mustafa bin Haji Abdul Qadir, salah seorang keturunannya di Kota Bharu, Kelantan (1976-1978). Beliau pula mendengar cerita darpada ayahnya, Haji Abdul Qadir bin Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Azyumardi Azra menyebut dalam Jaringan Ulama, (hlm. 210) bahawa adalah salah seorang askar bayaran Turki yang datang dalam jumlah besar untuk membantu Kesultanan Aceh dalam perjuangannya melawan Portugis.

Namun penulis masih meragui pendapat ini kerana di Turki pada zaman yang sama ada seorang tokoh besar Tarekat Qadiriyah bernama Ismail ar-Rumi (wafat 1631 atau 1643 M). Mengenai tahun wafat tersebut, penulis petik dari buku Martin Van Bruinessin berjudul Kitab Kuning (cetakan kedua, hlm.213). Ada kemungkinan Ismail ar-Rumi inikah yang dimaksudkan sebagai ayah Baba Daud al-Jawi itu, atau tokoh lain yang kebetulan nama sama.

Pendidikan

Maklumat terawal mengenai pendidikannya baru diperoleh daripada dua sumber. Sumber pertama berdasarkan pengakuan beliau sendiri, yang ditulis pada bahagian akhir kitab Turjumanul Mustafid, “... sekecil-kecil muridnya dan sehina-hina khadamnya itu, iaitu Daud al-Jawi anak Ismail anak Agha Mustafa anak Agha Ali ar-Rumi...”.

Makna yang dimaksudkan pada kalimat yang tersebut ialah bahawa beliau murid dan khadam kepada Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.

Sumber yang kedua ditulis oleh murid beliau, Sheikh Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi di dalam salah satu versi Manzarul Ajla ila Martabatil A’la, bahawa Sheikh Arif Billah Baba Daud adalah murid Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Tarekat Qadiriyah dan Tarekat Syathariyah Baba Daud al-Jawi menerima baiah daripada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu.

Selain mendapat pendidikan daripada Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, belum ditemui maklumat yang membicarakan pendidikan lanjut Baba Daud al-Jawi yang dibicarakan ini.

 

Sehingga kini karya yang dapat ditonjolkan sebagai suatu hasil karya hanya sebuah saja. Itu pun hanya sebagai seorang yang menyelesaikan dan membuat tambahan terhadap karya gurunya, Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang tersebut.

Sebagai bukti bahawa kitab Turjumanul Mustafid diselesaikan oleh Baba Daud al-Jawi, beliau tulis pada akhir kitab tafsir itu, “Dan menambahi atasnya oleh sekecil-kecil muridnya ...” .

Manuskrip asli Turjumanul Mustafid karya Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang diselesaikan oleh Baba Daud al-Jawi itu akhirnya dipunyai oleh salah seorang keturunannya di Pattani. Kemudian diserahkan kepada Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Daripada manuskrip itulah yang diproses dan ditashih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani yang kemudian dicetak dan disebarkan secara luas.

Hasil cetakan yang diusahakan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itulah, kitab tafsir itu masih diterbitkan hingga sekarang. Kitab tersebut juga dinamakan Tafsirul Baidhawi asy Syarif, dan dengan nama Tafsir Baidhawi itulah yang paling popular di kalangan masyarakat Alam Melayu. Penerbitan-penerbitan awal Tarjuman al Mustafid karya Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri ini tercatat :

a. Cetakan pertama Istanbul (Turki) 1302 H (1884 M)

b. Cetakan pertama Matba’ah Miriyah, Bulaq, Mesir 1303 H (1885 M)

Dalam beberapa terbitan Tarjuman al Mustafid di halaman terakhir, terdapat maklumat bahawa kitab tersebut ditashih oleh tiga orang, iaitu:

a. Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu adalah pentashih yang pertama sekali.

b. Sheikh Idris al-Kalantani. Maksudnya adalah Sheikh Idris bin Husein al-Kalantani, iaitu murid kepada Sheikh Ahmad al-Fathani, yang telah beliau berikan kepercayaan dalam bidang khas pentashihan selanjutnya jika terdapat kekeliruan teknik cetakan dan lain-lain.

Hendaklah diperhatikan bahawa Sheikh Idris al-Kalantani tersebut lain dari Sheikh Idris al-Marbawi yang pernah juga sebagai pentashih Tarjuman al Mustafid pada terbitan-terbitan mutakhir.

c. Sheikh Daud al-Fathani. Maksudnya adalah Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani, juga murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang masih ada pertalian keluarga, iaitu orang kepercayaan Sheikh Ahmad al-Fathani sesudah Sheikh Idris al-Kalantani.

Mengenai data kandungan ringkas kitab ini, Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut:”…yang diterjemahkan dengan bahasa jawi, yang diambil setengah maknanya dari Tafsir al-Baidhawi…”. Ini bererti Tarjuman al Mustafid bukanlah merupakan terjemah secara keseluruhan Tafsir al-Baidhawi seperti banyak diperkatakan orang.

Pendapat Sheikh Ahmad al-Fathani ini sesuai pula dengan tulisan penyalin pertamanya, iaitu ulama yang dibicarakan ini, Daud al-Jawi bin Ismail yang mengatakan:

“Akan kisahnya yang diambil kebanyakannya daripada Khazin. Terlalu baru Karel A. Steenbrink yang merupakan petikan dari tulisan Petter Riddel, yang mengatakan bahawa “ternyata dasar tafsir ini adalah sebuah terjemahan yang cukup harfiah darpada Tafsir Jalalayn”, ini kerana walaupun Sheikh Ahmad al-Fathani tidak menyebut Tafsir Jalalayn itu, namun kalimat beliau itu telah mewakili bahawa dikarangkannya Tarjuman al Mustafid hanya sebahagiannya saja dari tafsir-tafsir selainnya termasuk Khazin mahupun Jalalayn.

Menurut keterangan beberapa orang keturunan Baba Daud al-Jawi yang berada di Pattani dan Kelantan, selain menyelesaikan karya tersebut, beliau juga menghasilkan beberapa karya yang lain. Namun sampai sejarah ini ditulis, penulis belum menemui karya yang lainnya.

Sebagai kesan daripada pengaruh nama beliau yang diawali dengan ‘Baba’, hingga sekarang dalam seluruh wilayah Pattani apabila seseorang itu membina pondok pengajian, mempunyai pengetahuan agama Islam dan berpengaruh dalam masyarakat disebut ‘Baba’.

Pada mulanya hanya keturunan dan yang ada hubungan keluarga dengan beliau saja yang layak digelar demikian, tetapi akhirnya gelaran itu merata kepada setiap guru pondok yang terpandang atau masyhur.

 

Salah seorang keturunannya yang menjadi ulama terkenal yang dapat dikesan ialah Sheikh Daud bin Ismail al-Jawi al-Fathani. Namanya dan nama orang tuanya serupa dengan nama datuknya, Baba Daud al-Jawi ibnu Ismail ar-Rumi yang tersebut.

Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani ini adalah saudara sepupu Sheikh Ahmad al-Fathani. Keturunan tersebut dapat dikesan hanyalah yang berada di Mekah, Pattani dan Kelantan, sedang yang di Aceh hingga sekarang penulis belum memperoleh maklumat.

Sampai pada zaman Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani masih ramai keluarganya yang mempunyai kedudukan sebagai pembesar di Turki Uthmaniah. Kekeluargaan tersebut telah dimanfaatkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani dalam pelbagai sektor perjuangannya ketika beliau berada di Turki.

Sebagai catatan, sewaktu penulis dalam menyelesaikan sejarah ini, salah seorang keturunan Baba Daud al-Jawi ibnu Ismail ar-Rumi bernama Hajah Nik Wan Fatimah (Kak Mah) binti Haji Wan Abdul Qadir Kelantan bin Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani, meninggal dunia pada 13 Rabiulakhir 1420 H/26 Julai 1999, hari Isnin, pukul 11 pagi di Kota Bharu, Kelantan.

Sepanjang hayatnya beliau giat mengajar al-Quran dan membuka sekolah untuk mendidik kanak-kanak di rumah kediamannya di Kota Bharu.

Sebagai penutupnya, mengenai Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani dan keturunannya akan dibicarakan lebih lanjut di bawah judul nama beliau pada siri-siri yang berikutnya.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1210&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm&arc=hive

Sunday, 22 July 2012

Syeikh Burhanuddin Ulakan penyebar Islam di Minangkabau


Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
MENURUT Prof. Mahmud Yunus dalam Sejarah Pendidikan Islam di Indonesia (1979, hlm.20-21), bahawa ada dua orang yang bernama Syeikh Burhanuddin Ulakan itu, iaitu yang pertama ialah Syeikh Burhanuddin Ulakan, pembawa agama Islam ke Minangkabau yang kuburnya di Kuntu, Kampar Kiri.

Dikatakan bahawa Syeikh Burhanuddin Ulakan yang tersebut wafat pada tahun 610 H/1214 M. Menurut riwayat pula bahawa Syeikh Burhanuddin Ulakan sama-sama datang dengan Syeikh Abdullah Arif yang menyebarkan agama Islam di Aceh.

Syeikh Burhanuddin pertama datang ke Minangkabau mengajar di Batu Hampar sekitar 10 tahun lamanya. Sesudah itu, dia berpindah ke kumpulan yang berdekatan dengan Bonjol, mengajar di situ sekitar lima tahun. Kemudian dia meneruskan kegiatan dakwahnya ke Ulakan, Pariaman, mengajar selama 15 tahun. Dilanjutkan pula mengajar di Kuntu, Kampar Kiri, di sana dia mengajar selama 20 tahun, sehingga dia wafat pada 610 H/1214 M itu.

Diriwayatkan pula bahawa peninggalan-peninggalan Syeikh Burhanuddin Ulakan yang tersebut ialah berupa sebuah stempel yang diperbuat daripada tembaga tulisan Arab, sebilah pedang, kitab Fathul Wahhab karya Syeikh Abi Zakaria al-Ansari dan khutbah Jumaat tulisan tangan dalam bahasa Arab.

Syeikh Burhanuddin Ulakan yang seorang lagi pula dilahirkan pada 1066 H/1655 M, atau menurut riwayat yang lain dia lahir jauh sebelum tahun yang tersebut itu, kerana pada 1029 H/1619 M, ketika masih kecil telah mengikut kedua-dua orang tuanya pindah ke Sintuk (Pariaman).

Namun yang dibicarakan dalam artikel ini ialah Syeikh Burhanuddin Ulakan ini, iaitu dia adalah murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Syeikh Burhanuddin Ulakan inilah orang pertama menyebarkan Thariqat Syathariyah di Minangkabau.

PENDIDIKAN

Namanya ketika masih kecil ialah Si Pono, ayahnya bernama Pampak. Ayahnya masih beragama Buddha, namun Si Pono dari Sintuk pergi ke Ulakan, pergi belajar kepada Angku Madinah yang berasal dari Aceh. Pada tahun 1032 H/1622 M atas anjuran gurunya, dia melanjutkan pelajaran agama Islam kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di Aceh. Lalu Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri menukar namanya daripada Si Pono menjadi Burhanuddin. Tiga belas tahun lamanya dia belajar kepada ulama yang wali Allah itu. Ketika belajar berteman dengan beberapa orang, di antaranya Datuk Marhum Panjang dari Padang Ganting Tanah Datar, Tarapang dari Kubang Tiga Belas (Solok) dan lain-lain.

Beliau adalah seorang yang sangat patuh kepada gurunya, hal ini pernah diceritakan oleh Dr. Syeikh Haji Jalaluddin dalam salah satu bukunya sebagai berikut di bawah ini, “Dari sehari ke sehari tumbuhlah kasih sayang, takut dan malu kepada Syeikh tersebut. Pada suatu hari Syeikh itu mengunyah- nguyah sirih. Tiba-tiba tempat kapur sirihnya terlepas dari tangannya jatuh ke dalam kakus. Yang mana kakus (tandas,pen:) itu sangat dalam, telah dipakai berpuluh-puluh tahun”. Tuan Syeikh berkata: “Siapa antara kalian sebanyak ini sudi membersihkan kakus itu sebersih-bersihnya? Sambil untuk mengambil tempat sirih saya yang jatuh ke dalamnya?”.

Ramai murid yang merasa enggan dan malas mengerjakan yang diperintah Syeikh itu. Lantas Burhanuddin bekerja berjam-jam membersihkan kakus itu sehingga bersih dan tempat kapur sirih pun dijumpai, lalu dibersihkannya dan dipersembahkannya kepada Syeikh tersebut. Lantas tuan Syeikh berdoa dengan sepanjang-panjang doa. Selanjutnya Syeikh itu berkata: “Tanganmu ini akan dicium oleh raja-raja, penghulu-penghulu, orang besar di Sumatera Barat dan muridmu tidak akan putus-putusnya sampai akhir zaman, dan ilmu kamu akan memberkati dunia ini. Aku namai kamu Saidi Syeikh Burhanuddin”.

 

KEMBALI KE MINANGKABAU

Setelah dia berasa ilmu telah banyak dan telah pula mendapat keizinan daripada gurunya, Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, beliau pun kembali ke tempat asalnya. Sebelumnya gurunya berkata, “Pulanglah kamu ke negerimu, ajarkanlah ilmu apa-apa yang ditakdirkan oleh Allah. Kalau kamu tetap kasih, takut, malu, patuh kepadaku nanti kamu akan mendapat hikmat kebatinan yakni seolah-olah ruhaniyah saya menjelma kepadamu. Kalau kamu berkata, seolah-olah kataku. Kalau kamu mengajar seolah-olah pengajaranku. Bahkan terkadang-kadang rupa jasadmu seolah-olah jasadku. Kalau kamu sudah begitu rupa mudahlah bagi kamu mengajarkan agama Islam kepada siapa pun juga. Yang kamu perdapat itu, itulah yang dikatakan Rabithah Mursyid. Seseorang yang mendapat Rabithah Mursyid orang itu akan terus mendapat taufik dan hidayah Allah. Dan diberi ilmu hikmah, terbuka rahsia Allah dan berbahagialah orang itu dunia akhirat, insya-Allah. Kita hanya bercerai pada lahir, pada batin kita tidak bercerai,” demikian Dr. Syeikh Haji Jalaluddin yang ditulis dengan gaya tasawuf bersifat propaganda.

Prof. Dr. Hamka menulis dalam bukunya Ayahku bahawa Syeikh Burhanuddin Ulakan murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri kembali ke kampung halamannya pada tahun 1100 H bersamaan tahun 1680M. Sejarah mencatat bahawa beliau meninggal dunia di Ulakan pada 1111 H atau 1691 M, lalu dimashyurkan oranglah namanya dengan “Syeikh Burhanuddin Ulakan”.

Mengenai riwayat hidup yang pernah diterbitkan, iaitu buah pena Tuan Guru Haji Harun At-Thubuhi Rafinayani. Bahawa dalam buku kecil itu menyebut Syeikh Burhanuddin itu adalah berasal daripada suku Guci. Buya K.H. Sirajuddin Abbas juga menulis demikian. Terakhir sekali tentang tokoh sufi ini dapat pula dibaca dalam tulisan Drs. Sidi Gazalba yang dimuat dalam buku Mesjid Pusat Ibadat dan Kebudayaan Islam.

KETURUNAN

Menerusi tulisan Dr. Syeikh Haji Jalaluddin, dapat juga disimpulkan keterangan bahawa Syeikh Burhanuddin kembali dari Aceh dengan berjalan kaki. Mula-mula dia sampai ke negeri Tiku, Kabupaten Agam sekarang. Di Tiku itu dia berkahwin dengan seorang perempuan setempat. Dari perkahwinan itu dia mendapat anak lelaki dinamakan anaknya itu dengan “Sidi Abdullah Faqih”,. Beliau ini meneruskan ajaran orang tuanya.

Sidi Abdullah Faqih mendapat anak bernama “Sidi Abdul Jabbar”. Syeikh Abdul Jabbar mendapat anak bernama "Sidi Syeikh IIyas”. Sidi Syeikh Ilyas mendapat anak bernama “Sidi Yusni”. Sidi Yusni adalah murid Dr. Syeikh Jalaluddin dan sangat patuh kepada gurunya. Mungkin ayahnya Sidi Ilyas adalah keturunan Syeikh Burhanuddin Ulakan yang pertama mengamalkan Thariqat Qadiriyah dan Naqsyabandiyah, kerana sebelumnya semuanya mengamalkan Thariqat Syathariyah. Diketahui pula bahawa Sidi Syeikh Ilyas tersebut adalah cicit Syeikh Burhanuddin Ulakan, beliau inilah baru mempersatukan antara tarekat dengan ilmu pencak silat, sebagai alat mempertahankan diri.

Manakala yang ditulis oleh Dr. Syeikh Jalaluddin tersebut agak berbeza dengan cerita masyarakat, yang meriwayatkan bahawa Syeikh Burhanuddin Ulakan tidak mempunyai zuriat. Diriwayatkan bahawa ketika dia belajar di Aceh pada suatu hari kerana syahwatnya naik, dia telah memukul kemaluannya sendiri, sehingga kemaluannya mengalami kecederaan dan menyebabkan tidak berfungsi lagi untuk melakukan hubungan seks.

 

TRADISI HARI RABU AKHIR BULAN SAFAR

Hingga kini kubur Syeikh Burhanuddin Ulakan masih diziarahi orang, lebih-lebih pada hari Rabu akhir bulan Safar. Dr. Syeikh Haji Jalaluddin selaku Ketua Umum Seumur Hidup P.P.T.I (Persatuan Pembela Thariqat Islam) mengajak seluruh pengikutnya setelah selesai Kongres P.P.T.I yang ke-16 mengadakan ziarah ke makam Syeikh Burhanuddin di Ulakan.

Semua mereka mengi'tiqadkan bahawa Syeikh Burhanuddin Ulakan adalah seorang Wali Allah yang banyak karamahnya. Kalau bertawassul kepadanya selalu dimustajabkan. Salah satu tradisi yang terjadi di makam di Ulakan itu yang terkenal sampai sekarang ialah Basapa. Tentang ini kita ikuti tulisan Sidi Gazalba, sebagai berikut, “Syeikh Burhanuddin wafat 10 Safar 1111 Hijrah. Kerana 10 Safar itu tidak tentu jatuh pada hari Rabu, maka ziarah ke makam pembangun Islam di Minangkabau itu yang dilakukan serempak hampir dari tiap pelosok Minangkabau, dilakukan dari hari Rabu sesudah 10 Safar itu setiap tahun.

Berziarah ini terkenal dengan sebutan basapa (bersafar) yang dilakukan serempak oleh puluhan ribu orang sebelum perang Pasifik. Maka jalan di antara Pariaman dan Ulakan penuh oleh iringan orang-orang pulang ziarah, yang jumlah panjangnya sampai kira-kira 10 kilometer. Kaum Muda di Minangkabau menolak basapa. demikian menurut Drs. Sidi Gazalba.

Ramai orang menuduh yang melakukan basapa terutamanya terdiri dari golongan tasawuf, lebih-lebih golongan Thariqat Syathariyah. Akan tetapi kalau kita selidiki lebih jauh, bukti dan kenyataannya bukan golongan Syathariyah saja, namun demikian golongan Thariqat Qadiriyah, golongan Thariqat Naqsyabandiyah, juga pengikut Mazhab Syafie bahkan orang-orang yang mengaku berdasarkan al-Quran dan hadis (tegasnya kaum muda) pun tidak kurang pula mengerjakan basapa di kubur Syeikh Burhanuddin di Ulakan itu.

Upacara basapa/bersafar adalah merupakan tradisi nasional kerana dia juga dilakukan di tempat lain di seluruh Nusantara. Penulis belum yakin bahawa dikeranakan Syeikh Burhanuddin itu wafat hari Rabu bulan Safar dijadikan sebab maka terjadinya basapa. Di Kalimantan Barat misalnya, orang bersafar ke kubur Upu Daeng Menambon di Sebukit Raya (di hulu Mempawah). Orang menduga bahawa Upu Daeng Menambon meninggal dunia pada 16 Safar 1174 H, iaitu tepat pada hari Rabu di akhir bulan Safar. Di Tanjung Katung, Singapura, pada zaman dulu ramai orang mandi-mandi Safar di sana, ini diakibatkan dengan meninggalnya siapa? Dan meninggalnya siapa pula jika dikerjakan perkara itu di tempat lain-lainnya?

Sebenarnya dalam kitab-kitab Islam banyak yang menyebut memang ada dinamakan bala pada akhir Safar. Seumpama Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani menyalin perkataan ulama, yang beliau muat dalam kitabnya Al-Bahyatul Mardhiyah, kata beliau, “Kata ulama disebut dalam kitab Al-Jawahir, diturunkan bala pada tiap-tiap tahun 320,000 (tiga ratus dua puluh ribu) bala. Dan sekalian bala pada hari Rabu yang akhir pada bulan Safar. Maka hari itu terlebih payah daripada setahun”. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis juga seperti demikian di dalam kitabnya, Jam'ul Fawaid.

Demikian juga ulama-ulama lainnya, baik yang berasal dari dunia Melayu mahu pun bukan. Jelas bahawa memang ada ulama yang mengakui pada hari Rabu akhir Safar itu ada bala yang turun. Bahawa Islam meyakini memang ada yang dinamakan bala, ada yang dinamakan taun, ada yang dinamakan wabak dan sebagainya. Sebaliknya sebagai perimbangannya ada yang dinamakan rahmat, ada yang dinamakan berkat, ada yang dinamakan hidayat dan sebagainya.

Tentang bila Tuhan menurunkan yang tersebut itu tiada siapa yang mengetahuinya. Dalam Islam ada nama-nama yang tersebut itu semua, bahkan telah menjadi keyakinan adanya. Sungguh pun turunnya bala, wabak atau sebaliknya tiada siapa yang mengetahuinya. Namun dalam menyambut hari yang bersejarah bolehlah akhir Safar, Rabunya dimasukkan dalam kategori ini ramai orang membuat kaedah-kaedah baru yang kadang-kadang berlebih-lebihan sifatnya. Selalu pula terjadi bidaah dan khurafat yang dicela oleh Islam itu sendiri.

Sebagai contoh, bersuka ria pada akhir Safar itu dengan melakukan mandi-mandi secara berkelompok, berkumpul lelaki dan perempuan adalah satu pekerjaan bidaah mazmumah yang sangat dilarang oleh syarak. Akan tetapi berdoa minta perlindungan daripada bala atau memohon rahmat atau lainnya adalah diajarkan oleh agama Islam. Meminta sesuatu kepada Allah boleh dilakukan setiap saat baik pada akhir Safar atau waktu lainnya lebih-lebih waktu yang dianggap berkat. Doa-doa dan perbuatan meminum air Safar pun tidak pula dapat dinafikan kerana banyak ulama yang telah menulis wafaq Safar itu di dalam kitab-kitab mereka, yang salahnya adalah perbuatan si jahil yang selalu melakukannya berlebih-lebihan.

Hingga di sini penulis tutup mengenai Syeikh Burhanuddin Ulakan, ulama besar mazhab Syafiie, pengikut fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah, penyebar Thariqat Syathariyah di daerah Minangkabau yang telah mencurahkan seluruh hidupnya untuk Islam semata-mata bukan kepentingan lainnya. Usaha-usahanya belakang hari akan diikuti oleh ulama-ulama yang berasal dari Sumatera Barat secara berantai yang tiada akan putus-putusnya hingga waktu sekarang.

Kita mengenali nama-nama popular yang berasal dari Minangkabau di antaranya ialah; Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau, Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Latif Minangkabau, Syeikh Sulaiman Ar-Rasuli Candung, Syeikh Jamil Jaho, Dr. Syeikh Haji Jalaluddin, Syeikh Jamil Jambek, Dr. Abdul Malik Amrullah, Kiayi Haji Sirajuddin Abbas, Prof. Dr. Hamka dan ramai lagi.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1217&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive