Monday, 16 July 2012

Ulama-ulama Pontianak dan karya mereka - (Bahagian 3)


Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 










HAJi Ismail Al-Kalantani (kiri) dan Saiyid Abdullah Az-Zawawi dua ulama luar yang berperanan besar dalam kerajaan Pontianak.






 

Dalam artikel yang lepas penulis telah memperkenalkan sembilan tokoh ulama yang berasal dari Pontianak, termasuk tiga tokoh dalam lingkungan Istana Kerajaan Pontianak.

Artikel kali ini masih membicarakan kesinambungan daripada ulama dan tokoh yang berasal dari Pontianak, serta pengkaryaan mereka. Namun di bahagian akhir artikel penulis memuatkan pengenalan ulama luar yang datang dan berperanan besar dalam kerajaan Pontianak seperti Saiyid Abdullah bin Muhammad Shalih az-Zawawi, Mufti Haji Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani dan Sheikh Mahmud bin Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani.

Ulama-ulama Pontianak yang diperkenalkan pada kali ini adalah seperti berikut:

Umar bin Ahmad bin Muhammad ‘Athar

Hanya ditemui sebuah karya oleh tokoh ini iaitu ialah Ilmu Azimat dan Wafaq, diselesaikan hari Ahad, 11 Safar 1334 H, di Kampung Melayu, Pontianak.

Kandungannya membicarakan ilmu azimat dan wafaq. Diperoleh dalam bentuk manuskrip asli tulisan tangan penyusunnya.

Muhammad Thaiyib bin Encik Ya’qub

Tokoh ini juga hanya ditemui sebuah karya iaitu Kitab Ditertibkan Mi’rat, diselesaikan 21 Rejab 1344 H.

Kandungannya membicarakan Nabi s.a.w serta mikrajnya. Ia merupakan terjemahan kitab Fatawal Masyhur. Pada halaman empat dicatatkan, “Maka bahawasanya ditertibkan terkarang olehnya tiga ulama.

“Pertama, Sheikh Muhammad Arsyad ahli fiqh, Sheikh Daud ahli usuluddin dan Sheikh Abdus Shamad ahli tasauf. Bahawa ketiganya meninggalkan dunia di dalam perang sabilillah di negeri Siam.”

Manuskrip judul tersebut diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Disember 2001 M. Pada halaman akhir tercatat, “Muhammad Thaiyib peranakan bangsa Bugis ibnu Encik Ya’qub di Pontianak, Kampung Bugis…”

Mufti Haji Ismail Bin Abdul Karim bin Utsman al-Funtiani

Sebuah salasilah yang diperoleh di Pontianak ada menyatakan bahawa Haji Utsman (Daeng Pegalak) datang ke Pontianak bersama seorang anaknya Nakhoda Tuzu dari Bugis. Anak Haji Utsman (Daeng Pegalak) ada 6 kesemuanya, anak yang ketiga bernama Haji Abdul Karim.

Haji Abdul Karim memperoleh empat anak lelaki. Anak sulungnya bernama Haji Ismail. Haji Ismail bin Haji Abdul Karim mendapat pendidikan akhir di Mekah dan setelah pulang dari Mekah dilantik menjadi Mufti di Kerajaan Kubu.

Dalam masa yang sama, di Pontianak ada tiga ulama besar yang bernama Ismail. Dua orang lagi ialah Haji Ismail bin Haji Abdul Lathif atau lebih dikenali dengan Haji IIsmail Jabal. Pangkatnya adalah sebagai Penasihat Rad Agama Kerajaan Pontianak.

Anaknya seorang lagi ialah Haji Ismail bin Abdul Majid Kelantan yang kemudian dilantik sebagai Mufti Kerajaan Pontianak. Ketiga-tiga ulama yang tersebut sama-sama mendapat pendidikan di Mekah. Di antara karya Haji Ismail bin Haji Abdul Karim ialah:

1. Kitab Mukhtashar ‘Aqaid, diselesaikan di Teluk Pak Kedai, hari Jumaat, pukul 5, 18 Rejab 1351 H. Kandungannya adalah pelajaran ilmu akidah untuk hafalan kanak-kanak. Dicetak oleh Annashar & Co, Pontianak.

2. Jadwal Hukmin Nikah atau Jadwal Nikah Soal-Jawab, diselesaikan hari Selasa, 1 Jamadilawal 1357 H di Mekah, Kampung Syubaikah.

Ia membicarakan hukum perkahwinan. Dicetak oleh Mathba'ah al-Islamiyah, Victoria Street, Singapura tanpa dinyatakan tahun cetak. Diberi kata Pendahuluan oleh Muhammad Ahmad az-Zawawi, kata Akuan oleh Mufti Kerajaan Johor, Alwi bin Thahir bin Abdullah al-Haddad al-Aawi dan kata Pujian oleh ketua Kadi Singapura, Abbas bin Muhammad Thaha, Pejabat Kadi Qudhah, Singapura 7 Rabiuts Tsani 1358 H.

Abdullah bin Haji Abdur Rahman al-Buqisi al-Funtiani

Karya yang telah ditemui ialah Tajwid, judul sebenar belum diketahui kerana tidak terdapat maklumat, diselesaikan hari Jumaat, 8 Muharam 1346 H.

Ia membicarakan ilmu tajwid untuk memperbetulkan bacaan al-Quran. Masih dalam bentuk manuskrip yang diperolehi di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Disember 2001 M.

Abdur Rasyid bin Mahmud Pontianak

Karya yang telah ditemui ialah Ath-Thariqatul Haddadiyah, diselesaikan pada hari Selasa, 5 Zulkaedah 1353 H.

Kandungan membicarakan amalan wirid Ratib al-Haddad yang dilengkapi dengan sanad. Selainnya juga disebutkan beberapa amalan yang lain di antaranya tentang Khatamun Nubuwwah ketika akan keluar dari rumah.

Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani

Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani berasal dari Pontianak, Kalimantan Barat, mendapat pendidikan di Mekah. Pernah mengajar di Masjidil Haram, Pontianak, Singapura dan beberapa tempat dalam Kepulauan Riau. Di antaranya Pulau Midai dan Pulau Bunguran/Natuna.

Beliau meninggal dunia di Singapura tahun 1967 M. Pada hari beliau meninggal dunia secara kebetulan penulis berada di Singapura, dapat menyaksikan bahawa sangat ramai orang yang menziarahinya baik masih di rumah, mahu pun hingga menghantar ke kuburnya.

Antara karyanya yang telah ditemui ialah:

1. Tafrihul Murid wal Ikhwan fi tahshil Tajwidil Quran, diselesaikan 1 Jamadilakhir 1357 H/14 Januari 1956 M.

Kandungan membicarakan berbagai-bagai aspek Tajwid Quran termasuklah perbandingan beberapa qiraat. Cetakan yang pertama oleh All-Ahmadiyah Press, 101 Jalan Sulthan, Singapura.

2. Al-Muna fi Asbabil Ghina, diselesaikan hari Khamis, 21 Syawal 1359 H. Kandungan membicarakan berbagai-bagai amalan tilawah surah-surah tertentu dalam al-Quran, selawat, wirid, doa dan lain-lain sebagai ikhtiar mendapatkan kemudahan rezeki dan kekayaan. Dicetak yang pertama di Mathba’ah al-‘Umariah, 786, North Bird Road, Singapura, 1359 H.

3. Rajaul Mustarhim fit Takhtim wat taslim tak Tarhim. Judul dalam bahasa Melayu oleh penyusunnya ialah Harapan Orang-Orang Yang Menuntut Kelebihan Khatam al-Quran Dan Taslim Dan Tarhim. Diselesaikan malam Sabtu, pukul 12.20, tarikh 2 Zulhijjah 1379 H/28 Mei 1960 H.

Kandungan membicarakan cara-cara melakukan khatam al-Quran, tarhim yang dibaca menjelang Subuh, taslim yang dibaca bulan Ramadan ketika akan melakukan sembahyang tarawih. Cetakan yang pertama al-Ahmadiah Press, Singapura, 1379 H.

Yusuf Ibnu Muhammad al-Makkiyah

Ulama yang tersebut di atas hanya ditemui sebuah karya iaitu Bayanullah fi Bayani Ma’rifatil Bayan min Kulli Bayan. Diselesaikan di kampung Bugis, Pontianak, 16 Zulkaedah 1357 H.

Kandungan membicarakan tasauf hakikat yang ditulis dalam bahasa Arab, manakala pada bahagian tepi terdapat terjemahannya dalam bahasa Melayu. Masih dalam bentuk manuskrip salinan Shalih bin Abdullah bin Hasan al-Haddad, Kampung Bugis Pontianak.

Pada bahagian akhir, penyalin mencatatkan, “Adalah ini kitab Bayanullah, disalin sebagaimana naskhah yang kami dapat dari guru kami, dan dengan izin guru kami. Tetapi tiada dibenarkan dan tiada dihalalkan kepada seseorang menyalinnya istimewa yang tiada ahlinya daripada mengajinya. Dengan pertolongan Allah S.W.T selesailah saya menyalin ini kitab pada tanggal 16 Zulkaedah, malam Sabtu, pukul 10, pada tahun 1357 (Hijrah), tamat di Kampung Bugis,….(tandatangan tulisan Melayu/ Jawi, Pontianak)”.

Manuskrip judul tersebut diperolehi di Pontianak pada 6 Syawal 1422 H/20 Disember 2001 M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).

 

Ulama luar yang menghasilkan karya di Pontianak

Telah disebutkan bahawa di antara ulama besar Mekah yang datang ke Pontianak dan sekali gus dilantik sebagai Mufti Pontianak ialah Saiyid Abdullah bin Muhammad Shalih az-Zawawi.

Karyanya sewaktu berada di Pontianak, yang judulnya diberi oleh Mufti Haji Iismail bin Abdul Majid a-lKalantani ialah Fatwa Daripada as-Saiyid Abdullah ibnu al-Marhum as-Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi Jawab Soal Dari Tanah Jawa. Kandungannya adalah mengenai ayat-ayat al-Quran dalam piring hitam. Diberi gantungan makna dalam bahasa Melayu daripada karya asalnya yang ditulis dalam bahasa arab, pada bulan Rejab 1326 H. Diberi gantungan makna Melayu oleh Mufti Haji IIsmail bin 'Abdul Majid al-Kalantani, diselesaikan pada 25 Syawal 1330 H. Dicetak dengan kehendak as-Saiyid Ja’far bin Pangeran Syarif Abdur Rahman al-Qadri Pontianak.

Dicetak di Mathba’ah Haji Muhammad Said bin al-Marhum Haji Arsyad, No. 82 Arab Street Singapura, pada 25 Syawal 1330 H oleh Muhammad bin Haji Muhammad Said, Basrah Street, No. 49 Singapura.

Haji Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani sewaktu di Mekah adalah termasuk salah seorang murid Saiyid Abdullah bin Muhammad Shalih az-Zawawi yang kemudian dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak.

Selain memberi gantungan makna karya gurunya itu, sewaktu di Pontianak Haji Ismail Kelantan juga menulis beberapa karya di antaranya adalah Risalah Pada Bicara Jumaat dan sembahyang Zuhur Mu’adah, tanpa dinyatakan tarikh. Tarikh salinan 2 Rabiulawal 1345 H.

Kandungannya bahasan mengenai sembahyang Jumaat dan sembahyang zuhur atau mu’adah. Manuskrip di atas adalah merupakan salinan muridnya, seorang Kathib Peniti Kecil. Manuskrip diperolehi di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Disember 2001 M.

Oleh kerana manuskrip ini adalah karya ulama yang berasal dari Kelantan dan pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak, maka manuskrip ini adalah dinilai sangat penting.

Selain Saiyid Abdullah az-Zawawi, salah seorang anak Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani juga pernah tinggal di Pontianak. Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani ialah seorang ulama besar Mekah yang sangat terkenal. Beliau inilah yang mensyarah kitab Tuhfatul Muhtaj karangan Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami.

Ulama tersebut sangat terkenal di kalangan Mazhab Syafie di seluruh dunia Islam. Anak beliau ialah Sheikh Mahmud bin Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani, diambil oleh Sultan Sambas dan Sultan Pontianak untuk berkhidmat di kedua-dua kerajaan itu.

Selanjutnya dijumpai lembaran-lembaran surat mengenai tersebut. Di antaranya dari Sheikh Mahmud bin Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani kepada Saiyidi asy-Syarif Qasim ibnu al-Marhum Saiyidi asy-Syarif Hasan bertarikh 23 Jamadilakhir 1310 H.

Kandungan ringkas merupakan laporan pelbagai peristiwa di Pontianak dan Sambas. Dimulai laporan dengan pelbagai peristiwa kesempitan dan kesusahan yang dialami oleh penulis surat. Walau bagaimanapun, beliau selalu mendapat pertolongan.

Dilanjutkan dengan peristiwa di Sambas, bahawa dari Mekah datang seorang Arab bernama Sheikh Muhammad ‘Amudi. Beliau ialah seorang tukang gambus yang terkenal. Terjadi peristiwa beliau tidak dibenarkan tinggal di Sambas, namun penulis surat telah memberi pertolongan menemui Pangeran Bendahara Sambas, akhirnya dia dibenarkan tinggal di Sambas dan dibenarkan pula membuat siri-siri pertunjukan kesenian itu.

Dinyatakan juga bahawa penulis surat ingin meninggalkan Sambas untuk pindah mengajar di kampung Melayu Pontianak. Dilaporkan juga bahawa Sultan Sambas akan menemui Residen di Pontianak kerana akan memindahkan pusat pemerintahan ke arah sungai besar agak ke Kuala Sungai Sambas.

Sultan Sambas bermaksud negeri Sambas menjadi ramai, bahawa dua Sultan Sambas telah membawa dari Eropah fabrik tupu, fabrik kisaran padi dan lain-lain. Di dalam surat ini terdapat kalimat, ditegaskan, “Seboleh-boleh mahu tetap di Pontianak sahaja, biarlah mati di Pontianak di antara cucu Rasulullah jangan mati di Sambas di antara orang Dayak”.

Dalam sepucuk surat tarikh 30 Zulhijjah 1324 H, dilaporkan bahawa salah satu upacara perkahwinan di istana Sultan Pontianak di Balai Cermin yang dihadiri oleh beberapa orang pembesar yang terdiri daripada: Saiyidi Mufti, sekalian Pangeran Bendahara, Saiyidi Ismail, Pangeran Temenggung, Pangeran Jaya, Pangeran Suma, Pangeran Cakra, Pangeran Jaya, jemputan-jemputan kenamaan dan rakyat jelata.

Perkahwinan yang dilakukan adalah salah seorang kerabat Diraja dengan Fatimah, iaitu anak seorang ulama besar bernama Sheikh Mahmud Daghistani. Dalam surat diceritakan adat istiadat baik sebelum mahu pun sesudah perkahwinan secara sempurna dan terperinci.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0331&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Sunday, 15 July 2012

Mengenali karya ulama, tokoh Kalimantan Barat


 
Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 

DALAM tiga tulisan yang telah lalu telah diperkenalkan ulama-ulama dari Pontianak, Kalimantan Barat, sama ada yang berasal dari Pontianak sendiri mahupun ulama yang berasal dari luar yang memainkan peranan yang besar di dalam kerajaan Pontianak, rencanal pada kali ini memberi tumpuan kepada ulama dan karya-karya dari Ketapang dan Mempawah yang juga termasuk dalam daerah Kalimantan Barat. Dimulakan dengan dua ulama yang berasal dari Mekah yang datang menyebarkan Islam di Ketapang iaitu Imam Qari Jamal dan Syeikh Syamsuddin.Selanjutnya mengkaji ulama serta karya mereka menerusi artikel ini.

Ulama Ketapang dan pengkaryaannya

Pada zaman dulu berdirinya sebuah kerajaan yang dinamakan Kerajaan Sukudana, yang sekarang disebut Kabupaten Ketapang. Selanjutnya di sana pula letaknya Kerajaan Matan. Ketika masih bernama Kerajaan Sukudana, kerajaan itu sangat terkenal. Pengembangan Islam diriwayatkan dalam beberapa tulisan klasik Melayu, di antaranya dalam satu manuskrip dinyatakan sebagai berikut, "Dan sampailah ke negeri Mekah dan Madinah. Maka Raja Mekah pun (mengirim) sebuah kapal ke negeri Sukudana serta membawa persalinan pakaian yang indah-indah. Serta membawa sahmurah dan Quran dan baju azimat satu serta dengan nama Sulthan Muhammad Shafiyuddin. Ada pun yang disuruh oleh Raja Mekah menjadi utusan ke Sukudana itu Imam Qari Jamal dan Syeikh Syamsuddin. Setelah datang utusan itu maka dipersalin dengan sepertinya. Maka surat dari Mekah itu pun dibaca, maka berhimpunlah sekalian rakyat Sukudana dan segala (daerah) seperti Kota Ringin, Jali Kendewangan, Pesaguan, Biyak Keriyu, Semandang Kawalan, Landak, Mempawah, Sambas, Tembelan, dan Subi, Serasan, Bunguran sekalian itu ke Sukudana di pasiban agung hingga sampai ke alun-alun daripada kebanyakan manusia…."

Sejak kedatangan Imam Qari Jamal dan Syeikh Syamsuddin dari Mekah itu secara berkesinambungan di Kerajaan Sukudana, agama Islam terus berkembang dan melahirkan beberapa orang ulama dan cendekiawan. Bahkan ada pendapat mengatakan, kedatangan Syeikh Syamsuddin ke Sukudana itu adalah merupakan titik awal penyebaran Islam di seluruh Kalimantan/Borneo.

Menjelang kemerdekaan Indonesia hingga 1980-an, di antara ulama yang berasal dari daerah tersebut yang terkenal ialah Haji Ali Utsman Ketapang yang pernah menjadi Rektor Universitas Islam Bandung (UNISBA). Haji Ali Utsman mendapat pendidikan Darul 'Ulumid Diniyah di Mekah. Sewaktu belajar di sana, beliau bersahabat dengan ulama besar terkenal iaitu Syeikh Yasin Padang. Ulama yang berasal dari Ketapang ini adalah seorang hafiz al-Quran. Kemampuannya menghafaz tiga puluh juzuk al-Quran hanya mengambil masa enam bulan sahaja. Dalam waktu yang demikian singkat, beliau juga menghafal pelajaran-pelajaran lain. Riwayat ini mencerminkan kecergasan beliau dan termasuk sesuatu yang luar biasa.

Sewaktu Haji Ali Utsman tinggal di Pontianak, beliau berhasil mendirikan Madrasah Raudhatul Islamiyah yang merupakan sebuah sekolah agama yang terkenal di Pontianak. Sekolah tersebut berjaya melahirkan tokoh-tokoh, baik di bidang agama, mahupun cendekiawan pelbagai bidang lain.

Beliau juga sempat menghasilkan beberapa buah karangan, di antaranya ialah Pemimpin Kepada al-Lughatul 'Arabiyah , yang diselesaikan di Ketapang, Kalimantan Barat, pada 19 Zulkaedah 1369 H/2 September 1950 M. Kandungannya mengenai bimbingan untuk mengetahui bahasa Arab termasuk ulasan ringkas mengenai nahu dan sharafnya. Dicetak oleh Percetakan Qalam, 356 Geylang Road, Singapura.

Dari Ketapang pula muncul Dr. Hamzah Haz yang pernah memegang peranan sebagai wakil Presiden Republik Indonesia.

Para ulama Mempawah dan pengkaryaannyaMenurut riwayat, sewaktu Upu Daeng Menambon secara rasmi telah menjadi Raja Mempawah beragama Islam yang pertama, beliau telah menyusun riwayat tentang perhubungan Bugis dan Melayu yang ditulis dalam bahasa Bugis.

Tulisan beliau telah diterjemah daripada bahasa Bugis ke bahasa Melayu oleh putera beliau bernama Gusti Jamiril. Berdasarkan terjemahan itulah yang dimanfaatkan oleh Raja Haji Ahmad bin Raja Haji dan puteranya, Raja Ali Haji sehingga tersusun kitab Salasilah Bugis dan Melayu yang terkenal.

Di Mempawah pula telah dijumpai beberapa manuskrip yang membicarakan perkara yang sama. Ia juga dipercayai bersumberkan terjemahan Gusti Jamiril itu.

Di antaranya ialah; Salasilah Keturunan Raja-Raja Negeri Mempawah Yang Termasuk Keturunan Raja-Raja Tanah Jawa, Sukudana, Matan, Sampang dan Sebelah Kapuas, yang diselesaikan pada 21 Syaaban 1288 H. Kandungan menceritakan asal-usul raja-raja Melayu terutama Kalimantan dan Riau. Manuskrip diperoleh di Pontianak, pada 29 Muharam 1423 H/12 April 2002 M.

Selanjutnya di antara nama-nama ulama atau tokoh serta karya-karya yang berasal dari Mempawah disenaraikan sebagai yang berikut di bawah ini:

lMuhammad Ali Al-BuqisiKarya tokoh ini ditemui dua judul, ialah:1. Salasilah Asal Raja-Raja Mempawah, Dan Pontianak, Dan Matan, Dan Sambas, Dan Riau, Dan Selangor, Dan Yang Termasuk Jadi Kerabat, diselesaikan di Mempawah, 2 Januari 1882 M. Kandungan menceritakan asal-usul raja-raja Melayu yang berasal dari negeri Bugis.2. Risalah Tauhid, Isnin, 8 Syaaban 1288 H. Kandungan pelajaran akidah Ahlis sunnah wal Jamaah. Manuskrip mengenai ini bekas dimiliki oleh Syeikh Mahmud Muhammad Syarwani. Pada lembaran terakhir tercatat, "Yang punya buku ini Syeikh Mahmud Muhammad Syarwani".

lUmar Ibnu Uu' Maju' MempawahPenulisan mengenai Thariqat Syaziliyah pula pernah dilakukan oleh ulama yang berasal dari Mempawah ini, beliau ialah Umar ibnu Uu' Maju' yang menghasilkan karya berjudul Salasilah dan Amalan Thariqat Syaziliyah, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan membicarakan salasilah dan cara-cara mengamalkan Thariqat Syaziliyah. Diperoleh di persekitaran Kesultanan Pontianak, Kalimantan Barat. Catatan dan penilaian bahawa manuskrip / naskhah tersebut adalah nadir atau langka, kerana belum banyak manuskrip mengenai Thariqat Syaziliyah yang ditulis dalam bahasa Melayu. Bahawa beliau mengaku sebagai murid Syeikh Ali bin Abdur Rasyid al-Jawi as-Sumbawi yang berasal dari Sumbawa tersebut adalah seorang ulama besar yang terkenal, hidup sezaman dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

lAli bin Sulaiman, Kampung Kuala MempawahRamai memperkatakan bahawa di Kuala Secapah/ Kuala Mempawah sekitar 100 tahun yang lalu, hidup seorang ulama besar yang dianggap mempunyai keramat. Ulama itu berasal dari Kedah, beliau adalah Haji Muhammad Yasin Kedah. Sehubungan itu dalam sebuah rumah besar tersimpan kitab-kitab peninggalan ulama besar Kedah itu. Pertama kali penulis memijak kaki di Kuala Secapah, Mempawah pada 1969 M dan pernah menginap di rumah besar tersebut. Semalaman hingga Subuh memeriksa kitab-kitab yang sangat banyak. Setelah masuk tahun 2000 M, berkali-kali kitab itu diserahkan kepada penulis, maka barulah penulis dapat membuat penelitian yang lebih sempurna dan teliti.Ternyata kitab yang tersimpan dalam rumah besar tersebut sebahagian besarnya adalah milik dan karangan Ali bin Sulaiman, bukan Haji Muhammad Yasin Kedah. Masih sukar dipastikan hubungan antara Ali bin Sulaiman dengan Haji Muhammad Yasin Kedah.Di antara karya Ali bin Sulaiman yang dapat diperkenalkan di sini ialah:1. Ilmu Aqidah, diselesaikan hari Ahad, jam 10, bulan Jumadil Akhir 1298 H. Kandungan membicarakan akidah menurut Mazhab Ahlis Sunnah wal Jamaah. Dalam manuskrip ini juga disebut Salasilah Thariqat Naqsyabandiyah.2. Kumpulan Doa Mustajab, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan membicarakan berbagai-bagai doa mustajab atau hikmat yang terdiri daripada Doa Mustajab, Syarah Doa Nabi Allah Yusuf, Isim Empat Puluh, dan lain-lain. Salah satu amalan untuk ketahanan badan zahir dan batin diterimanya daripada Tuan Syeikh Khalifah Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 3. Ilmu Perubatan, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan membicarakan berjenis-jenis wafaq dan perubatan. Ketiga-tiga manuskrip di atas diperoleh di Kampung Kuala Secapah, Mempawah, di rumah pemilik dan penulisnya.

lHaji Sulaiman bin Abdul Mannan di TerudukanNama lengkap Haji Sulaiman Intan bin Nakhoda Ahmad bin Adullah (Dato' Bendahara). Catatan pada satu halaman dalam Salasilah keluarga besar ini oleh Abdul Wahhab bin Haji Abdur Rahman. Dinyatakan bahawa Haji Sulaiman bin Abdul Mannan lahir pada malam Khamis, 12 Rabiulawal 1243 H. Pada 27 Syaaban 1266 H dinikahkan oleh Haji Abdul Qadir dengan anaknya bernama Hajah Maimunah di Mekah. Haji Sulaiman bin Abdul Mannan meninggal dunia pada hari Rabu, jam 2.00 tengah hari di Kampung Terudukan, di Mempawah . pada 12 Zulkaedah 1317 H. Walaupun penulis tinggal lama di Mempawah, nama Kampung Terudukan hanya penulis ketahui melalui riwayat ini. Kemungkinan nama kampung itu telah berubah sehingga tidak diketahui oleh generasi kini. Berdasarkan beberapa karyanya, dapat dipastikan bahawa Haji Sulaiman adalah seorang ulama. Di antara karyanya yang telah ditemui ialah Sullamush Shu'ud ila Hadhrati Zainil Wujud. Kitab tersebut diselesaikan pada malam Jumaat, 27 Jumadilakhir 1298 H. Ia dibesarkan terdapat pelbagai doa, di antaranya Doa Nur Muhammad, Selawat atas Nabi SAW. Pada halaman yang lain, terdapat pelajaran mengerjakan sembahyang tarawih.Sesudah memperkenalkan Istighfar Abdullah Syatari, terdapat catatan, "Tammat al-kalam kepada tiga likur hari bulan Jumadilakhir, hari Selasa, waktu jam dua siang serta tarikh kepada tahun Dal akhir sanah 1298". Sesudah itu dilanjutkan lagi dengan doa pelias, yang diteruskan dengan hijab-hijab. Terakhir sekali dibicarakan tatacara membaca Yasin. Dinyatakan mengenai ijazahnya, "Maka sekarang hamba Haji Sulaiman bin Abdul Mannan ijazahnya kepada Tuan Haji Muhammad Nur, dan Tuan Haji Muhammad Nur ijazahkan Ali bin Sulaiman di Kuala Mempawah. Hamba, Haji Sulaiman mengambil daripada guru yang mukarramm, iaitu Encik Sunang Banjari, dia mengambil daripada Pangeran Abdul Qadir, dia mengambil daripada bapanya, iaitu Pangeran Haji Musa, dia mengambil daripada Syeikh yang mukarram di Mekah al-Musyarrafah, iaitu Saiyiduna wa Syaikhuna Saiyid Muhammad Shalih Rais Mufti Syafi'ie…". Manuskrip diperoleh di Kampung Kuala Secapah, Mempawah, di rumah pemiliknya, Ali bin Sulaiman Mempawah.

lAbdur Rasyid bin Hasan al-Mampawi Ulama yang berasal dari Mempawah ini bernama Abdur Rasyid bin Hasan, penyusun risalah Ikhtisharul Mubtadi fi Ahkamit Tajwid, yang diselesaikan hari Selasa, 15 Zulkaedah 1353 H. Kandungan membicarakan ilmu tajwid. Cetakan yang pertama dicetak oleh Mathba'ah al-Masawi, 14 Ulu Palembang.

lMuhammad Bakran bin Haji Muhammad Yasin, Sungai Bundung, Kecamatan Sungai Kunyit, Kabupaten Pontianak, Kalimantan Barat.Penulis mempunyai kesan tersendiri terhadap Kampung Sungai Bundung. Pada 1974, pertama sekali penulis mendirikan pondok-pesantren Al-Fathaanah bersama Munzir Kitang murid Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein Kelantan (murid Tok Kenali juga merupakan mufti yang terakhir di kerajaan Mempawah). Seorang ulama yang berasal dari Kuching, Sarawak bernama Haji Muhammad Shalih kuburnya juga di Sungai Bundung, dan isterinya yang lain ialah ibu saudara kepada Ustaz Haji Abdur Rani Mahmud, seorang ulama Pontianak yang pernah sebagai Ketua Majlis Ulama Propinsi Kalimantan Barat. Tanpa penulis duga bahawa Muhammad Bakran bin Haji Muhammad Yasin, yang riwayat hidupnya belum jelas, pernah menghasilkan karya Tajwid, tanpa dinyatakan tarikh, di Sungai Bundung. Manuskrip diperoleh di Pontianak pada 29 Muharam 1423 H/12 April 2002 M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0407&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Saturday, 14 July 2012

Pengkaryaan ulama Sambas, Sanggau dan Sintang



Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 










Sultan Muhammad Shafiyuddin 1 Sultan Kerajaan Sambas






KERAJAAN Sambas telah melahirkan beberapa orang ulama yang terkenal di peringkat dunia Melayu. Namun yang paling terkenal dan tersohor ialah Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang hidup sezaman dengan Syeikh Daud Bin Abdullah Al-Fathani bahkan ulama besar tersebutlah yang bertanggungjawab membawa Syeikh Ahmad Khathib Sambas ke Mekah dan mengajarnya pelbagai ilmu keislaman.

Kesohoran Syeikh Ahmad Khathib Sambas di kalangan pengamal tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah, sama ada di peringkat nusantara mahupun antarabangsa pada zamannya, memang tidak dapat dinafikan. Ini kerana pada zamannya di Mekah, Syeikh Ahmad Khathib Sambas merupakan mursyid yang teratas sekali. Ia bukan saja bagi masyarakat dunia Melayu, tetapi juga diakui oleh ulama-ulama dunia luar.

Ini dapat dibuktikan bahawa salah seorang murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang berasal dari Uzbekistan yang bernama Syeikh Abdul Murad. Beliau ini adalah ulama tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang menerima tawajjuh kedua-dua tarekat itu daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Namun, penulis tidak ingin melanjutkan pengenalan mengenai Syeikh Ahmad Khathib Sambas kerana telah penulis perkenalkan pada Utusan Malaysia, Isnin 6 Disember 2004.

Pada artikel kali ini, penulis ingin memperkenalkan ulama Sambas, Sanggau dan Sintang yang belum pernah dibicarakan orang. Di antara mereka yang menghasilkan karya, penulis mulakan dengan memperkenalkan:

Haji Khairuddin ibnu Haji Qamaruddin Sambas.
Karya-karya beliau ialah;

lIlmu ‘Aqidah dan Fiqh, diselesaikan sebagaimana tercatat,”… daripada masa hijrah Nabi kita Muhammad SAW kepada masa faqir menyuratkan risalah ini seribu dua ratus empat puluh tahun lamanya (1240H)”. Daripada maklumat ini berertilah kitab ini diselesaikan pada tahun 1240H/1824M. Tahun selesai penyalinan pula 1256 H. Kandungan membicarakan akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah dan fiqh. Di antara kenadiran pada kandungan mengenai nasab Nabi Muhammad SAW ialah disebut secara lengkap dari Nabi Muhammad SAW sampai kepada Nabi Adam a.s., sedangkan pada kitab-kitab lain hanya menyebut nasab sampai kepada Adnan saja.

lIlmu Sharaf, diselesaikan sebagaimana tercatat, “Terkhatam kepada empat hari bulan Rabiulawal, waktu Asar, yang menyuratnya Haji Khairuddin ibnu al-Haji Qamaruddin al-Marhum, orang kampung Angus kepada tahun 1277H”. Kandungan membicarakan ilmu sharaf secara lengkap, merupakan pemberian gantungan makna kalimat-kalimat bahasa Arab ke bahasa Melayu.

lIlmu Tajwid, tanpa catatan tarikh. Kandungan membicarakan ilmu tajwid secara lengkap untuk peringkat asas.

lJadwal Hukum ‘Aqli, Hukum Syar’i dan Hukum ‘Adi, tanpa catatan tarikh. Kandungan merupakan jadual perbandingan tiga asas hukum dalam Islam iaitu hukum ‘aqli, hukum syar’i dan hukum 'adi.

lHadits dan Akhlak/ Adab, tanpa catatan tarikh. Kandungan merupakan pelajaran akhlak dalam pelbagai bidang yang dilengkapi dengan hadis Nabi SAW, dan pendapat ulama terutama imam al-Ghazali.

l‘Aqidah/ Sifat Dua Puluh, tanpa catatan tarikh. Kandungan perbahasan akidah dalam bentuk soal dan jawab dengan huraian yang lengkap dan mendalam.

Semua manuskrip-manuskrip yang tersebut (no.1 hingga 6) diperoleh di Sambas, bekas dimiliki oleh Imam Muhammad Arif, salah seorang ulama Sambas. Tidak terdapat nama pengarang tetapi penyalinnya ialah Haji Khairuddin ibnu Haji Qamaruddin Sambas. Diperoleh pada hari Khamis, 15 Jumadilakhir 1421H/14 September 2000M.

Haji Abdur Rahman Bin Marhum Haji Qamaruddin
Kampung Angus, Sambas. Karya beliau yang telah ditemui hanya sebuah, iaitu;

lTafsir Bermakna, diselesaikan sebagaimana tercatat, “Tammat kalam kepada tujuh belas hari bulan Safar tahun hijrah Nabi 1280 (17 Safar 1280H, pen:). Yang menyurat faqir Haji Abdur Rahman ibnu Marhumi Haji Qamaruddin, Kampung Angus...”. Kandungan merupakan terjemahan al-Quran mulai ayat 1 hingga akhir surah al-Baqarah. Manuskrip tersebut diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422H/22 Disember 2001M.

Penterjemah surah di atas iaitu Haji Abdur Rahman ibnu Marhum Haji Qamaruddin. Ini dapat dipastikan adalah adik-beradik dengan Haji Khairuddin ibnu al-Marhum al-Haji Qamaruddin yang juga berasal dari Kampung Angus Sambas tersebut.

Dengan dijumpai manuskrip Tafsir Bermakna tersebut adalah merupakan terjemahan al-Quran klasik bahasa Melayu yang ketiga terawal berdasarkan tarikh yang telah diketahui. Dua yang terdahulu daripada ini ialah Tafsir al-Baidhawi oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dan Tafsir Jamal oleh Syeikh Maksum bin Jamaluddin al-Fathani.

Terjemahan surah al-Baqarah tersebut pula oleh Haji Abdur Rahman ibnu Marhum Haji Qamaruddin Kampung Angus, Sambas yang dibicarakan ini. Pada manuskrip halaman depan tercatat, “Haza waqaf Pangeran Bendahara balu isterinya di Kerinci nazhir pada Haji Ismail ibnu Rajab Samsu al-Marhum sanah al-wau 1285”.

Haji Muhammad Yasin Bin Al-Haji Muhammad Sa'ad Sambas
Ulama Sambas yang hidup sezaman dengan ulama-ulama Sambas yang tersebut di atas yang juga perlu dicatatkan ialah Haji Muhammad Yasin ibnu al-Haji Muhammad Sa’ad. Karya beliau yang telah ditemui ada dua judul, iaitu;

lIlmu Tajwid, diselesaikan di Mekah, waktu Dhuha, hari Sabtu, pada 20 Syawal 1285H. Kandungan membicarakan ilmu tajwid al-Quran. Pada bahagian awal ditulis dalam bahasa Arab yang diberi gantungan makna dalam bahasa Melayu. Bahagian kedua semuanya menggunakan bahasa Melayu. Manuskrip diperoleh di Pontianak, Kalimantan Barat. Ia pernah dimiliki oleh salah seorang keturunan Kerabat Diraja Kerajaan Pontianak. Tarikh perolehan pada hari Jumaat, 11 Rabiulawal 1423H/24 Mei 2002M.

lSyair Ushul, diselesaikan tahun 1305 H. Kandungan membicarakan akidah dalam bentuk puisi/syair. Salinan manuskrip dilakukan oleh cucu pengarang bernama Ahmad Daud. Tarikh salinan dinyatakan, “Telah selesai daripada menulis ini surat pada lima belas hari bulan, waktu Zuhur, Syaaban pada 1329 (15 Sya’ban 1329H), hamba al-faqir Ahmad Daud menyalin surat nenda Al-Muhammad Yasin ibnu Al-Haji Muhammad Sa’ad...”.

Seri Paduka Sultan Muhammad Shafiyuddin.
Sebagaimana sultan-sultan atau raja-raja di Kerajaan Pontianak, Kerajaan Mempawah, dan lain-lain, yang mereka menghasilkan karangan, demikian juga dengan Sultan Sambas, Seri Paduka Sultan Muhammad Shafiyuddin, beliau merupakan murid kepada Syeikh Daud Bin Abdullah Al-Fathani.

Beliau telah menghasilkan karya berjudul Silsilah As-Sulthan Muhammad Shafiyuddin /Almarhum Sultan Sulaiman Raja Sambas Yang Pertama, diselesaikan malam Jumaat 17 Ramadan 1321 Hijrah / 4 Disember 1903 Masehi. Kandungan membicarakan asal-usul Sultan Muhammad Shafiyuddin I, Sultan Sambas yang pertama. Iaitu berasal dari Brunei, dan seterusnya berasal dari Johor. Mulai dari beliau terus diceritakan keturunannya, hinggalah Sultan Muhammad Shafiyuddin II, itulah penyusun karya di atas. Manuskrip di peroleh di Pontianak pada 6 Syawal 1422H/ 20 Disember 2001M di persekitaran Keraton Qadiriyah (Istana Kerajaan Pontianak).

Ulama Sanggau dan pengkaryaan
Sanggau, pada zaman dulu juga mempunyai kerajaan sendiri dan sekarang adalah sebuah Kabupaten Daerah Tingkat II di Kalimantan Barat. Tidak banyak diketahui mengenai ulama yang berasal dari Kerajaan Sanggau ini, namun begitu seorang tokoh bernama Haji Abbas bin Ahmad bin Hamzah as-Sanggau Maul Kapuas, iaitu seorang Penghulu Agama di Sanggau, menghasilkan sebuah karya berjudul Fat-hul Qulub, yang diselesaikan pada sepertiga malam Jumaat, 29 Jumadilakhir 1328H.

Kandungan membicarakan tentang tasawuf, akhlak, doa dan ungkapan syair dalam bahasa Melayu. Selain itu, sebagai tambahan membicarakan takwim haribulan dan perjalanan bintang dua belas untuk mengetahui ketika yang baik dan buruk. Mengenai ini dapat digunakan untuk permulaan perjalanan (pengembaraan), waktu yang baik dan kurang baik ketika mendirikan rumah dan lain-lain.

Cetakan pertama, huruf batu atau litografi oleh Mathba’ah Al-Qadimah Tuan Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, Arab Street, No.82, Singapura, pada 20 Syaaban 1328H. Diperoleh hanya sebuah naskhah di Tanjung Pinang, Kepulauan Riau yang asalnya daripada bekas milik Raja Haji Abdullah Hakim Riau. Beliau pula memperoleh melalui Raja Muhammad bin Raja Muhammad Shalih pada 11 Rabiulawal 1420H/25 Jun 1999M.

Dimaksudkan dengan perkataan as-Sanggau Maul Kapuas ialah suatu tempat di Sanggau yang terletak di tepi Sungai Kapuas.

Antara yang berasal dari Sanggau dari daerah Sekadau pula ialah Abang Bujang Ibnu Sekadau. Beliau telah menulis kitab berjudul, Muqaddimatul Mubtadin, diselesaikan tahun 1328H. Kandungan membicarakan ilmu akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Manuskrip judul di atas diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422H/22 Disember 2001M. Pada halaman depan tercatat, “Ali-milk faqir haqir ilallah Ta’ala al-Haji 'Abdur Rahim Banjar mustautin fi balad Sekadau....”.

Ulama Sintang dan pengkaryaan
Sintang juga sebagaimana Sanggau, pada zaman dulu mempunyai kerajaan sendiri dan sekarang adalah sebuah Kabupaten Daerah Tingkat II Sintang. Mengenainya juga tidak banyak diketahui berkenaan ulama yang berasal dari Kerajaan Sintang ini.

Pun begitu, terdapat seorang tokoh yang berasal dari Sintang bernama Abang Jarman Sintang menghasilkan karya berjudul, Silsilah Kerajaan Sintang dan Asal Usul Pendiri Kerajaan Sintang, yang diselesaikan bulan Rabiulakhir 1289 H. Kandungan menceritakan salasilah dan asal usul Kerajaan Sintang, iaitu seorang yang bernama Uji Melayu yang berasal dari Melaka dan berkahwin dengan suku Dayak. Manuskrip judul di atas diperoleh di Sintang, Kalimantan Barat bekas dimiliki oleh salah seorang keturunan Kerabat Diraja Kerajaan Sintang. Tarikh perolehan pada Sabtu, 12 Rabiulawal 1423H/ 25 Mei 2002M.



Friday, 13 July 2012

Tuan Guru Ahmad al-Kalantani pengarang kitab Darul Hasan


 
Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah

 










Syeikh Wan Ali Kutan sahabat kepada Tuan Guru Haji Ahmad Al-Kalantani.






 

Ulama Nusantara
SEJAK artikel mengenai ulama dikeluarkan dalam Utusan Malaysia mulai tahun 2004 hingga kini telah ramai ulama negeri Kelantan yang penulis perkenalkan. Di antara mereka ada yang terkenal di peringkat alam Melayu bahkan antarabangsa seperti Sheikh Wan Ali Kutan Al-Kalantani yang terkenal dengan kitab karangannya, Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub (Mengenai Hadis) juga mengajar di Masjidil Haram Mekah.

Yang terkenal hanya di peringkat negeri alam Melayu/Nusantara sahaja seperti Sheikh Abdus Shamad (Tuan Tabal) yang mana beliau merupakan penyebar Tarekat Ahmadiyah yang pertama di Nusantara.

Ulama yang diperkenalkan pada kali ini ialah sahabat kepada Sheikh Wan Ali Kutan Al-Kalantani yang sama-sama belajar, baik di Kelantan mahupun di Mekah namun peranan dan pengaruhnya hanya sekitar negeri Kelantan sahaja.

Ulama yang diriwayatkan ini ialah Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Muhammad Yusuf bin Sheikh Abdul Halim Al-Kalantani.

Asal-usulnyaDiriwayatkan bahawa datuk kepada tokoh ulama yang akan dibicarakan di atas iaitu, Sheikh Abdul Halim tersebut adalah anak angkat kepada Long Yunus (Sultan Kelantan). Long Yunus memperoleh anak angkat tersebut daripada salah seorang sahabatnya seorang peniaga Cina sebagai hadiah dan tanda persahabatan dengan sultan.

Long Yunus menghantar Abdul Halim bersama-sama putera baginda belajar ke Mekah. Ada yang menceritakan kejadian tersebut semasa dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani belajar di Mekah.

Tetapi ada yang meriwayatkan bahawa Abdul Halim dan putera Long Yunus menjadi murid kepada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Setelah mendapat gelaran ulama, Sheikh Abdul Halim pulang ke Kelantan. Beliau adalah orang pertama mengajar menggunakan sistem pondok dengan kaedah Patani di Kelantan.

Beliau mempunyai dua anak iaitu Haji Muhammad Yusuf dan Haji Yaaqob. Haji Muhammad Yusuf ialah ahli dalam bidang seni bina dan seni suara manakala Haji Yaaqob pula adalah seorang ulama yang mengajar sebagai pengganti ayahnya. Haji Muhammad Yusuf memperoleh anak bernama Tuan Guru Haji Ahmad atau tokoh yang akan dibicarakan ini.

PendidikannyaTuan Guru Haji Ahmad dilahirkan di Kelantan, namun tempat dan tarikh lahirnya yang tepat tidak dapat dipastikan. Pun begitu, pada masa kehidupan beliau terdapat catatan yang mengatakan ia adalah sezaman dengan Sheikh Wan Ali Kutan (lahir 1253 H/1837 M atau 1235 H/1820 M). Pendidikan asasnya diperoleh daripada bapa saudaranya sendiri, iaitu Haji Yaaqob bin Sheikh Abdul Halim al-Kalantani.

Diriwayatkan pula pengetahuan yang diperoleh daripada bapa saudaranya itu bukan sahaja ilmu pengetahuan yang bersifat asas, tetapi hingga beliau diakui sebagai seorang ulama di Kelantan, dan ilmu-ilmunya tersebut diperoleh dari Haji Yaaqob sendiri. Walaupun beliau telah diakui sebagai seorang ulama di Kelantan, namun beliau masih juga meneruskan pelajarannya ke Mekah sebagai pengesahan daripada ulama-ulama Mekah pada zamannya.

Sebagaimana yang dapat dicatat, teman-teman beliau ketika kecil yang sama-sama belajar kepada Tuan Guru Haji Yaaqob adalah seperti berikut; saudara beliau sendiri iaitu Haji Uthman bin Haji Muhammad Yusuf, Sheikh Wan Ali bin Abdul Rahman Kutan, Sheikh Abdul Mutalib Kuta, Haji Wan Abdul Rahman bin Wan Sulaiman dan lain-lain. Semua sahabat beliau yang tersebut adalah ulama-ulama besar Kelantan yang sangat berperanan dan berpengaruh di zaman mereka.

Adapun ilmu-ilmu yang telah dikaji, yang dapat diketahui adalah ilmu tauhid, fikah, tasauf, nahu, saraf, bayan, ma'ani, badi', arut, qawafi, mantiq, tafsir, tajwid dan lain-lain. Ilmu-ilmu tersebut telah dikuasai sejak di Kelantan lagi. Belajar di Mekah hanya untuk mendalami lagi pengetahuan beliau terhadap ilmu-ilmu tersebut.

Para guru Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan di Mekah yang dapat dicatat antara lain ialah, Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Adapun guru beliau selain yang tersebut tidak dapat diketahui dengan pasti. Ada kemungkinan semua guru kepada Sheikh Wan Ali Kutan adalah juga guru kepada Tuan Haji Ahmad Kelantan ini.

Karya-karyanyaKarya penulisan Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan yang diketahui hanya dua sahaja. Karya yang merupakan manuskrip asli tulisan tangan beliau itu tersimpan di Pusat Islam Malaysia di Bahagian Balai Pameran. Judul kitab tersebut adalah Darul Hasan.

Kitab Darul Hasan yang ditulis oleh Tuan Guru Haji Ahmad tersebut adalah atas permintaan Raja Kelantan. Tahun yang tercatat adalah pada 30 Ramadan 1282 H (1865 M). Manuskrip yang tersimpan di Pusat Islam Malaysia tersebut diberi nombor kelas iaitu MI 725. Belum diketahui apakah kitab Darul Hasan tersebut pernah diterbitkan oleh mana-mana penerbit di Timur Tengah mahupun di Asia Tenggara.

Namun jelas bahawa kitab Darul Hasan tidak pernah ditemui di mana-mana kedai buku di seluruh Asia Tenggara. Adapun yang berupa manuskrip berkemungkinan hanya sebuah itu sahaja naskhah mengenainya yang ditulis dengan huruf yang sangat indah. Terdiri dari tulisan hitam dan merah yang memancar terang. Keadaan manuskrip masih baik, di samping halaman dari awal hingga akhir juga dalam keadaan lengkap.

Kandungan ringkas kitab Darul Hasan adalah sebagai berikut: Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan memulakan karangan beliau dengan puji-pujian dan selawat sebagaimana karangan-karangan tradisi Islam lainnya. Setelah itu menyebut dengan kalimat bahasa Arab bahawa 'Sultan Kelantan' meminta beliau menulis kitab ini. Tetapi pada terjemahan bahasa Melayu dari lafaz bahasa Arab itu tidak menyebut 'Sultan Kelantan' melainkan 'Raja Kelantan'. Tentang nama kitab pula terjadi salah titik sama ada lafaz Arab mahupun lafaz Melayu iaitu tertulis Darul Hasaat dengan huruf ta sebenarnya adalah Darul Hasan iaitu dengan huruf nun. Hal ini tertulis di halaman terakhir.

Sesudah itu dimulai dengan menceritakan pohon kayu yang bernama 'Syajaratul Yaqin' yang mempunyai empat cabang. Dari cerita itu diteruskan dengan kejadian 'Nur Muhammad' sehingga dijadikan sekalian kejadian sesudahnya. Kejadian sekelian manusia pula diceritakan berdasarkan kepada mereka yang pertama memandang kepada Nur Muhammad. Maka ada yang menjadi Sultan, menjadi alim, yang mati syahid dan lain-lain.

Kemudian diceritakan pula asal tanah kejadian Nabi Adam a.s yang diambil dari beberapa negeri di dunia, seperti kepala Nabi Adam a.s berasal dari Baitul Maqdis, muka Nabi Adam a.s berasal dari syurga, kaki Nabi Adam a.s berasal dari tanah Kalkauthar dan lain-lain.

Selanjutnya menceritakan tentang kejadian ketua-ketua para malaikat, iaitu kejadian dan keadaan malaikat Jibril, Mikail, Israfil, Izrail, dan dicantumkan beberapa hikayat malaikat Maut mencabut nyawa makhluk terutama manusia.

Cerita dilanjutkan dengan peristiwa yang menakutkan dan menakjubkan di alam kubur, di padang Mahsyar sekalian manusia memerlukan pertolongan dan syafaat yang dimulai dari menemui Saiyidul Basyar Nabi Adam a.s hingga ditutup dengan menemui Nabi Muhammad SAW. Seterusnya pula disambung dengan cerita neraka, syurga dan lain-lain.

Penutup sekali pengarangnya, Tuan Haji Ahmad Kelantan menyebut: "Telah selesai faqir ilallah Taala yang amat jahil al-Haji Ahmad bin al-Haji Yusuf bin Abdul Halim Kelantan menterjemahkan kitab Darul Hasan daripada bangsa Arab kepada bangsa Jawi supaya manfaat dengan dia sekelian mereka yang tiada tahu dengan bahasa Arab.....".

Bahasa yang digunakan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan dalam kitab tersebut agak banyak dalam bahasa negeri Kelantan. Beliau tidak terikat untuk mengikut tatacara bahasa kitab yang digunakan tradisi zamannya. Seperti kalimat 'bangsa' dalam kalimat dalam penutupnya, kitab-kitab lain selain kitab beliau pasti akan menggunakan istilah 'bahasa' pada tempat tersebut, bukan 'bangsa' seperti yang beliau tulis itu. Walau bagaimanapun kitab Darul Hasan dapat diklasifikasikan sebagai sastera Sufi Islam Melayu Klasik.

Pada hari penulis selesai menulis riwayat hidup beliau di bilik Balai Pameran Islam Malaysia, penulis menyerahkan kepada pihak majalah DAKWAH, dan seterusnya ke Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Tiba-tiba di atas meja Siti Mariani (seorang kakitangan di PNM) terletak dua manuskrip.

Satu di antaranya adalah karya Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan. Dengan terdapatnya perkara baru tersebut, maka penulis tambah saja makalah yang telah selesai tadi dengan sedikit kalimat yang menerangkan perkara ini. Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan menulis di akhir hayatnya pada manuskrip milik Pusat Manuskrip Melayu yang diberi nombor kelas dengan MS 780 itu, katanya: "Telah selesai Haji Ahmad ibnu Haji Yusuf menterjemahkan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu dengan tolong Tuhan Rabbul Izzah bijahi Saiyidina Muhammad pada 10hb Safar pada hijrah al-Nubuah 1287 H (1870 M)".

Kandungan isi kitab nombor MS 780 Pusat Manuskrip Melayu tersebut ialah mengenai fikah. Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan memulakan perbicaraannya tentang kitab thaharah (bersuci) dan disudahi dengan kitab solat. Ditulis atas kertas warna biru muda, memakai dakwat warna hitam pada sebahagian besar isinya dan di beberapa tempat ditulis dengan warna merah. Semua huruf dalam keadaan jelas dan berwarna agak memancar.

Susunan bahasanya agak berbeza dengan karyanya yang pertama. Nampaknya pada MS 780 ini bahasanya sudah disesuaikan dengan bahasa-bahasa kitab jawi yang ditulis di zamannya. Sebagaimana karya yang pertama (Darul Hasan), maka kitab yang kedua ini juga tidak pernah diterbitkan. Selain itu judul kitab ini juga tidak dijelaskan oleh pengarangnya.

PengaruhnyaPengaruh beliau sangat besar di kalangan masyarakat luas di Kelantan. Melalui karangannya iaitu kitab Darul Hasan tersebut atas permintaan Sultan Kelantan adalah satu bukti bahawa Tuan Haji Ahmad ini mempunyai pengaruh yang besar dalam lingkungan istana kerajaan Kelantan.

Beliau ialah sebagai generasi penerus, yang menyambung pekerjaan datuknya, Sheikh Abdul Halim dan bapa saudaranya Haji Yaaqob bin Abdul Halim dalam mengajar ilmu-ilmu yang diperlukan oleh masyarakat Islam di Kelantan. Ilmu-ilmu yang wajib dipelajari ialah usuluddin, fikah dan tasauf.

Tiga ilmu tersebut berkembang di kalangan masyarakat dan diteruskan pula oleh murid-murid beliau yang boleh dikatakan sangat ramai. Antaranya Tok Kenali, diriwayatkan bahawa sebelum beliau melanjutkan pelajarannya ke Mekah, beliau pernah belajar dengan Tuan Guru Haji Ahmad ini. Pada zamannya, Tuan Guru Haji Ahmad dalam membina umat Islam kearah berilmu pengetahuan dan amal saling bekerjasama dengan sahabatnya Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Sulaiman, yang menjadi Perdana Menteri Kelantan (Menteri Besar menurut istilah sekarang) pada ketika itu.

Dari keterangan tersebut, kedua ulama Kelantan tersebut telah berhasil menyatupadukan kerjasama yang serasi antara umara (golongan pemerintah) dan ulama (golongan ahli ilmu pengetahuan dalam Islam).

Demikianlah riwayat ringkas Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Yusuf Kelantan. Sejarah asal-usulnya, pendidikannya, karyanya dan pengaruhnya di kalangan lingkungan istana dan masyarakat Kelantan. Namun sebagaimana tarikh lahirnya, tahun wafatnya juga masih belum diketahui dengan pasti, yang masih memerlukan penyelidikan lebih mendalam untuk

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0421&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm&arc=hive

Thursday, 12 July 2012

Kiai Abdul Madjid ulama Madrasah At-Taufiqiyah


Koleksi tulisan Allahyarham
Wan Mohd. Shaghir Abdullah

 

Ulama kali ini adalah sangat terkenal di daerah Nusapati bagi Kabupaten Pontianak yang terletak Kepulauan Kalimantan Barat, Indonesia. Ulama yang dimaksudkan ialah Kiai Abdul Madjid Ismail.

Semasa hayatnya, beliau sangat aktif dalam menyebarkan dakwah Islamiah dengan mengajar di serata masjid-masjid.

Beliau adalah penyambung pimpinan Madrasah at-Taufiqiyah, yang diasaskan oleh bapa saudaranya iaitu, Sulaiman Sa’ad.

 

Asal-usul

Tokoh yang dikenali dengan Ustaz Madjid ini dilahirkan pada 24 Julai 1924 di Kuala Secapah, Mempawah, iaitu salah satu daerah di Kabupaten Pontianak, Indonesia.

Bapanya bernama Ismail Sa’ad manakala ibunya, Fatimah Tereng bin Ahmad yang berasal dari Banjar Masin.

Bapa beliau iaitu Ismail Sa’ad juga adalah generasi yang pertama bersama-sama mendirikan Madrasah at-Taufiqiyah tersebut bersama-sama adik-beradiknya yang lain.

Pendidikan

Kiai Haji Abdul Madjid Ismail memulakan pendidikan di Madrasah Nurul Falah wan-Najah di Sungai Bakau Besar (Indonesia). Kemudian meneruskan pengajiannya di Madrasah at-Taufiqiyah, yang merupakan sekolah yang diasaskan dari ahli keluarga beliau sendiri, iaitu bapa saudaranya bernama Sulaiman Sa’ad.

Selain belajar di madrasah-madrasah, beliau juga menuntut ilmu dengan ulama-ulama yang ada pada zamannya di sekitar Kabupaten Pontianak. Malahan beliau banyak menuntut ilmu melalui ahli keluarganya sendiri iaitu bapa dan bapa saudaranya tersebut.

Perkahwinan

Beliau berkahwin sebanyak dua kali. Melalui isteri pertamanya, iaitu Fatimah Abdul Rahman dikurniakan lima anak, iaitu Rohani, Muhaibah, Sa’adiah, Zamhariyah dan Hamidiyah.

Setelah kematian isteri yang pertama, beliau berkahwin dengan Dariyah Abdul Azim dan mendapat tujuh anak iaitu Mohd. Rahimi, Hakimah, Mohd Syaukani, Ahmadiy, Mohd. Syazili, Mohd. Ambari dan Mohd. Habibi.

Anaknya, Mohd. Rahimi mengatakan bahawa kesemua anak beliau mendapat pendidikan asas di Madrasah at-Taufiqiyah tersebut. Seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Antaranya Mohd. Syazili dan Mohd. Ambari meneruskan pengajian ke Pondok Pesantren Darullughah Wad Dakwah, di Bangil, Jawa Timur iaitu sebuah pondok pesantren yang terkenal di Indonesia kerana melahirkan ramai yang menjadi ulama dan tokoh masyarakat.

Anak-anak beliau lainnya pula ada yang meneruskan pengajian di universiti-universiti tempatan di sekitar Kabupaten Pontianak.

Hasil didikan beliau yang amat menitikberatkan pengajian Islam, anak-anaknya menjadi insan yang berjaya dan berbakti kepada masyarakat.

Antara yang mengikuti jejak langkah beliau adalah Mohd. Rahimi, yang kini menjadi pemimpin madrasah at-Taufiqiyah tersebut, dengan dibantu oleh adik-adiknya yang lain.

Anak beliau Mohd. Syazili pula sangat aktif mengajar di masjid-masjid dengan pelbagai cabang ilmu kepada masyarakat tempatan.

Pengalaman

Kiai Abdul Madjid mula memimpin Madrasah at-Taufiqiyah tersebut pada tahun 1950. Pimpinan beliau bermula di peringkat rendah yang disebut sebagai Madrasah Ibtidaiyah at-Taufiqiyah.

Setelah itu, beliau memimpin di peringkat menengah yang digelar sebagai Madrasah Tsanawiyah at-Taufiqiyah dari tahun 1970 sehingga 1980. Setelah itu, beliau bersara dan berkhidmat sebagai penasihat bagi pimpinan madrasah tersebut.

Namun begitu, beliau yang sememangnya cintakan ilmu ini meneruskan dakwah dengan mengajar di masjid-masjid, dan di majlis-majlis Ta’lim. Beliau seorang yang sangat aktif dengan Majlis Ta’lim dari tahun 1950 hinggalah kewafatannya.

Selain dalam keilmuan, beliau juga menitikberatkan soal kepimpinan. Beliau pernah menyandang sebagai wakil rakyat bagi kawasannya, yang disebut sebagai Dewan Perwakilan rakyat Daerah dari tahun 1987 hingga 1992. Beliau juga menjadi ahli dalam Nahdhatul Ulama (NU) di Indonesia, dan pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Dua dan Badan Penasihat.

Sejarah Madrasah at-Taufiqiyah

Madrasah at-Taufiqiyah yang pernah dipimpin oleh ulama yang dibicarakan ini adalah diasaskan oleh bapa saudara beliau iaitu, Sulaiman bin Sa’ad. Nama madrasah ini diambil dari nama Penembahan Muhammad Taufiq Aqamuddin, iaitu yang terakhir kerajaan Mempawah.

Baginda merupakan seorang sultan dan seorang pemimpin yang sangat mencintai para ulama. Hubungan baginda dengan ulama juga sangat rapat sehingga banyak nasihat dalam hal-hal pemerintahan baginda, dirujuk kepada ulama. Baginda juga diketahui menguasai pelbagai bidang ilmu keislaman.

Lantaran kerana cinta dan kasih Baginda terhadap para ulama juga terhadap ilmu pengetahuan, Baginda amat menyokong penubuhan madrasah at-Taufiqiyah tersebut.

Madrasah at-Taufiqiyah didirikan pada 20 April 1935M dengan hasil kerjasama oleh beberapa tokoh-tokoh agama pada zaman tersebut, iaitu:

lSulaiman bin Sa’ad

lIsmail bin Sa’ad

lAhmad bin Sa’ad

lArasib bin Basuk

Pada awal penubuhannya, madrasah ini hanya berstatus Madrasah Diniyah, iaitu hanya mengajar dalam mata pelajaran yang berkaitan agama Islam seperti fikah, tauhid, akidah dan sebagainya.

Dalam pimpinan awal iaitu di bawah Ustaz Sulaiman, Madrasah at-Taufiqiyah ini berjalan dengan baik, hinggalah kedatangan tentera Jepun ke Indonesia pada tahun 1940. Pada waktu kedatangan tentera jepun tersebut, Madrasah at-Taufiqiyah terpaksa ditutup selama lebih kurang lima tahun iaitu sehingga tahun 1945.

Dalam pada itu juga, pengasasnya Sulaiman Bin Sa’ad kembali ke rahmatullah pada 22 September 1944. Maka dinamakan masyarakat setempat tahun tersebut dengan tahun dukacita kerana kehilangan seorang pemimpin masyarakat yang disegani.

Menjelang kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945, Madrasah at-Taufiqiyah dibuka dan diteruskan semula, dengan dipimpin oleh pengurus baru yang merupakan adik Sulaiman iaitu, ustaz Ahmad Sa’ad.

Beberapa pembaharuan dijalankan, antaranya status Madrasah Diniyah berubah menjadi Madrasah Ibtidaiyah. Madrasah Ibtidaiyah adalah pengajian di peringkat rendah dengan penambahan mata pelajaran akademik seperti Bahasa Indonesia, Bahasa Inggeris, Matematik dan sebagainya.

Dalam pimpinan Ustaz Ahmad Bin Sa’ad, Madrasah at-Taufiqiyah berjalan dengan baik dan maju. Namun ditakdirkan pada 13 November 1956, beliau pula kembali ke rahmatullah.

Bagi melantik pimpinan yang baru, diadakan mesyuarat di antara ahli-ahli dalam Madrasah at-Taufiqiyah dan masyarakat setempat, dan akhirnya sepakat melantik Abdul Madjid, iaitu ulama yang dibicarakan ini.

Di bawah pimpinan beliau, maka madrasah tersebut semakin pesat membangun sehingga status Madrasah Ibtidaiyah meningkat. Dengan perkembangan tersebut, maka pada tahun 1971 didirikan pula Madrasah Tsanawiyah at-Taufiqiyah, iaitu pengajian bagi peringkat menengah bawah. Antara pendiri-pendiri Madrasah Tsanawiyah adalah:

lUstaz Abdul Madjid Ismail

lDawaer bin Ismail

lUstaz Syamsuddin Abdur Rahman

lAbdullah Yusof

Perkembangan Madrasah at-Taufiqiyah semakin meningkat dari semasa ke semasa. Disebabkan peningkatan tersebut, maka pada tahun 1986 didirikan pula Madrasah Aliyah.

Madrasah Aliyah pula adalah peringkat menengah atas, iaitu sebelum ke peringkat berstatus universiti.

Namun Madrasah Aliyah tersebut hanya bertahan selama enam tahun sahaja. Ini kerana ia tidak diakui oleh Departmen Agama (Majlis Agama) kerana tidak memenuhi syarat-syarat penubuhan Madrasah Aliyah.

Syarat yang tidak dapat dipenuhi adalah disebabkan lokasi Madrasah at-Taufiqiyah tersebut adalah di kawasan desa. Menjadi salah satu syarat bahawa untuk menubuhkan Madrasah Aliyah hendaklah di wilayah atau bandar daerah, dan tidak boleh di kawasan desa atau kampung.

Madrasah at-Taufiqiyah pula adalah didirikan di kawasan desa, maka tidak dapat memenuhi syarat tersebut. Selain itu, antara syarat lain adalah tidak mempunyai Badan Hukum.

Maka pada tahun 1988, Abdul Madjid mengajukan kepada Badan Hukum untuk mendirikan Yayasan Pendidikan Islamiyah at-Taufiqiyah. Akhirnya pada tahun 1989, Madrasah Aliyah sudah mempunyai Badan Hukum pada 13 April 1989.

Selain itu, Abdul Madjid mempunyai keinginan yang kuat untuk menampung anak-anak yatim dan kurang kemampuan dalam pendidikan mereka. Selanjutnya pada 1 Januari 1991, beliau menubuhkan Pondok Pesantren at-Taufiqiyah yang bertujuan untuk pengajian yang tidak formal kepada masyarakat setempat.

Sehingga kini Madrasah at-Taufiqiyah, mahu pun Pondok Pesantren at-Taufiqiah berjalan dengan baik dan ramai lepasan-lepasannya yang berjaya dan berbakti kepada masyarakat.

Adapun lokasi untuk penubuhan Madarash at-Taufiqiyah merupakan wakaf dari Tereng Ahmad. Tereng ialah bapa kandung Fatimah, iaitu ibu kepada ulama ini, manakala lokasi bagi Pondok Pesantren at-Taufiqiyah berserta Asrama putra dan putri adalah wakaf daripada ulama yang dibicarakan ini.

Kembali ke rahmatullah

Ustaz Abdul Madjid kembali ke rahmatullah pada 24 Mei 2007, iaitu pada hari Selasa sekitar pukul 3 petang. Beliau meninggal pada usia 83 tahun disebabkan sakit tua.

Pemergian beliau sangat dirasai sekalian lapisan murid-murid, masyarakat setempat dan kaum keluarganya. Ini kerana sifat-sifat beliau adalah sangat disegani, di samping suka menghulurkan bantuan terutama kepada anak-anak yatim, janda-janda dan fakir miskin.

Bantuan yang dihulurkan bukan sahaja berbentuk material malah mencurahkan ilmu tanpa sebarang bayaran. Malahan sehingga akhir hayatnya, beliau masih tidak jemu-jemu mengajar dan berdakwah walaupun dalam keadaan terlantar sakit.

Dengan pemergian beliau, maka Yayasan Pendidikan Islamiyah at-Taufiqiyah kini dipimpin oleh anak lelaki sulung beliau iaitu Mohd. Rahimi. Madrasah Tsanawiyah pula dipimpin oleh Mohd. Ambari Abdul Madjid

Pondok Pesantren at-Taufiqiyah pula diurus oleh Mohd. Syazili Abdul Madjid. Kesemua urusan pentadbiran madrasah tersebut dipimpin sepenuhnya oleh anak-anak beliau.

Demikianlah sekilas sejarah berkenaan ulama yang berasal dari kepulauan Kalimantan Barat ini, dan mengenai sejarah berdirinya Madrasah at-Taufiqiyah dan Pondok Pesantren at-Taufiqiyah tersebut. Sehingga kini madrasah tersebut sudah berusia 73 tahun.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0428&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Wednesday, 11 July 2012

Gelaran tertinggi diterima Syeikh Ahmad al-Fathani



 
Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Saghir Abdullah

 

SYEIKH Ahmad al-Fathani juga belajar kepada ulama-ulama Melayu terutama yang berasal dari Patani dan Kelantan. Tidak dapat dinafikan bahawa ada bidang-bidang tertentu ulama Melayu lebih mahir daripada ulama-ulama yang berasal daripada bangsa Arab sendiri. Antaranya;

1) Syeikh Muhammad Bin Ismail Daudi al-Fathani @ Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani

Beliau adalah antara ulama Melayu yang dianggap sebagai guru oleh Syeikh Ahmad al-Fathani ialah atau lebih dikenali dengan panggilan Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, atau orang Arab mengenal namanya Syeikh Muhammad Shaghir.

Ulama ini sangat mahir dalam bidang ilmu fiqh. Syeikh Ahmad al-Fathani pada peringkat awal sebelum berangkat ke Mesir, pernah belajar dengan ualama ini dan sekembalinya dari Mesir, beliau menerima bai'ah Thariqat Syathariyah.

Atas kerjasama antara kedua-duanya, maka telah terbentuknya satu pusat penyebaran Islam untuk Jawi/Asia Tenggara yang berpusat di Mekah.

Banyak penyebar-penyebar Islam menghantar murid mereka ke Kemboja, di antaranya; Ahmad bin Muhammad Zain yang berasal dari Atas Banggul Kelantan (beliau ini serupa namanya dengan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani gurunya).

Hubungan Syeikh Ahmad al-Fathani dengan gurunya Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani bertambah mesra kerana adanya kaitan perkahwinan antara Syeikh Ahmad al-Fathani dengan Hajah Siti Saudah, anak saudara kepada Syeikh Nik Mat Kecik, iaitu setelah meninggalnya isteri pertama, Hajah Wan Kaltsum binti Haji Wan Ismail Jambu al-Fathani.

2) Syeikh Abdul Qadir Bin Abdur Rahman al-Fathani

Dalam bidang tasawuf, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani belajar kepada seorang ulama Patani dan tokoh sufi yang sangat terkenal di Mekah pada zaman itu, beliau ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Beliau adalah saudara sepupu kepada Syeikh Nik Mat Kecik.

Melalui ulama ini Syeikh Ahmad al-Fathani mengambil bai'ah Thariqat Syathariyah sekali lagi, dan seterusnya pelbagai sekte thariqat yang lainnya, termasuk berbagai-bagai macam wirid dan zikir yang terkenal di lingkungan golongan tarekat dan tasawuf.

Sebelum dibai'ah oleh Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, beliau juga pernah dibai'ah oleh ayahnya, iaitu Syeikh Muhammad Zain bin Mushthafa al-Fathani dan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani.

Dengan demikian, Syeikh Ahmad al-Fathani dapat ditempatkan pula sebagai 'ulama' sufi, golongan 'ulama' Muhaqqiqin yang ahli dengan ilmu-ilmu thariqah, haqiqah dan ma’rifah.

Atas meninggal gurunya Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani pada awal musim haji 1315 H/1897 H, Syeikh Ahmad al-Fathani menyifatkan bahawa keadaan Mekah pada tahun itu dalam kepayahan. Barangkali kerana beliau berasa sedih hati atas meninggal- nya ‘ulama’ sufi yang sukar dicari sepertinya di Kota Mekah ketika itu.

Dalam bidang tasawuf, semua ulama pada zaman itu merujuk kepadanya, di antara muridnya yang menjadi ulama besar selain Syeikh Ahmad al-Fathani, adalah Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Utsman bin Abdul Wahhab Sarawak, Syeikh Utsman bin Syihabuddin Pontianak dan lain-lain.

Salasilah Thariqat Syathariyah baik yang beliau terima daripada ayahnya Syeikh Muhammad Zain bin Mushthafa al-Fathani, Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani mahupun kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah tidak terpisah daripada perhubungannya secara paralel kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang menerima daripada gurunya, al-Arif Billah Saiyidisy Syeikh Muhammad As'ad, yang menerima daripada bapanya Saiyidi Syeikh Muhammad Sa'id Thahir, menerima pula daripada bapanya Saiyidi Syeikh Ibrahim al-Madani dan seterusnya dapat dilihat buku penulis berjudul Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani Ulama dan Pengrang Terulung Asia Tenggara, cetakan pertama di Malaysia, HIZBI, 1990, hlm. 35-36.

3) Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani Dan Ulama-Ulama Kelantan Selainnya

Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani belajar juga kepada ulama-ulama yang berasal dari Kelantan yang bermastautin di Mekah. Sebahagian ulama-ulama Kelantan itu masih ada pertalian kekeluargaan dengan beliau. Ulama-ulama Kelantan itu ialah;

Syeikh Muhammad Sa'id bin Isa al-Kalantani, Syeikh Abdul Muthallib Kuta al-Kalantani dan Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani. Syeikh Wan Ali Kutan itu adalah suami ibu saudaranya; bernama Wan Aisyah dan sejak kecil Syeikh Ahmad al-Fathani telah diasuh oleh Syeikh Wan Ali, suami-isteri.

Dikatakan bahawa isteri Syeikh Wan Ali itu adalah seorang yang hafizhah al-Quran dan amalan selawat yang termaktub dalam kitab Lum'atul Aurad karya Syeikh Wan Ali. Perkahwinan Syeikh Wan Ali Kutan dengan Wan Aisyah itu memperoleh beberapa orang anak. Antaranya ialah; Hajah Wan Fathimah dan Haji Wan Abdur Rahman. Kedua-duanya bererti saudara sepupu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Jadi Syeikh Ahmad al-Fathani dan saudara sepupunya sendiri, iaitu Hajah Wan Fathimah binti Syeikh Wan Ali telah dilatih menghafaz al-Quran dan amalan selawat dan ternyata berhasil.

Di dalam manuskrip catatan amalan-amalan penting dan mustajabnya, Syeikh Ahmad al-Fathani menulis bahawa beliau terima amalan membaca Yasin 41 kali kepada Syeikh Abdul Muthallib Kuta al-Kalantani dan juga kepada Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan dalam kaedah yang berlainan, tetapi juga membaca Yasin 41 kali dia telah menerima daripada Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani.

Demikian juga pada mengamalkan doa yang dinamakan Hizbul Bahri, beliau menerimanya daripada Syeikh Wan Ali Kutan yang bersalasilah hingga sampai kepada Wali Allah Syeikh Abil Hasan asy-Syazili yang mula-mula mempunyai amalan itu.

Tentang amalan Hizbul Bahri tersebarnya di negeri Jawi melalui ijazah daripada Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani kepada anak saudara isterinya, Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani yang mengijazahkan pula kepada Haji Nik Mahmud, Perdana Menteri Kelantan.

Nik Mahmud bin Ismail Kalantani menulis doa penting tersebut di dalam kitabnya, Pati Rahasia. Syeikh Ahmad al-Fathani mengajarkan pula kepada Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahmanal-Fathani, dia menyebarkan kepada murid-muridnya di Jambi/Sumatera ketika dia melarikan diri sebab diburu oleh kaum Wahabi di Mekah. Bahawa dia sampai di Jambi, 6 Rabiulawal 1344 H.

4) Ulama Kabul Afghanistan

Syeikh Abdur Rahim al-Kabuli

Selain guru-gurunya yang tersebut masih ramai lagi gurunya yang lain, di antaranya Syeikh Abdur Rahim al-Kabuli tempat ia pertama belajar ilmu perubatan. Di antara kitab perubatan yang pernah dipelajari oleh Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Syeikh Abdur Rahim al-Kabuli ialah Kitab Qanun Cah, iaitu Qanun Cah ash-Shaghir lil Caghmini Syarih Syarikh al-Aflak.

Di halaman terakhir kitab tersebut, Syeikh Ahmad al- Fathani mencatat dalam bahasa Arab, yang ertinya "Selesai mempelajari kitab ini daripada Syaikhuna Doktor yang mahir dan termasyhur iaitu asy-Syeikh Abdur Rahim al-Kabuli sesudah Zuhur, hari Sabtu, 21 Ramadan 1312 H".

GELARAN-GELARAN YANG DIBERIKAN KEPADA SYEIKH AHMAD AL-FATHANI

Mengingat apa yang tertulis dalam majalah Pengasuh (1352 H/1934 M) iaitu antara lain menyebut bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani berkelayakan mentakrif 47 jenis ilmu pengetahuan, tetapi masih banyak perkara yang belum disentuh dalam perbicaraan tersebut.

Sungguhpun demikian sudah memadai sebagai pengenalan awal dan barangkali keterampilan Syeikh Ahmad al-Fathani seperti yang telah dibicarakan adalah sukar untuk dicapai oleh tokoh-tokoh lain yang berasal dari dunia Melayu.

Perbicaraan ini dirasakan belum lengkap, oleh itu di bawah ini penulis tambah informasi ringkas mengenai beberapa gelaran yang pernah ditulis oleh beberapa orang ulama dan cerdik pandai. Adapun gelaran-gelaran yang diberikan kebanyakannya di dalam bahasa Arab. Antara ulama-ulama yang dapat disebutkan di sini ialah;

1. Al-Amin al-Fadhil Saiyid Husein al-Habsyi. Nama lengkapnya, Saiyid Husein bin Muhammad bin Husein bin Ahmad asy-Syafie, 1258 H/1842 M, 1330 H/1911 M. Beliau adalah Mufti Mazhab Syafie di Mekah.

Tentang Syeikh Ahmad al-Fathani dinyatakannya pada tahun 1301 H/1883 M sewaktu mentashhih kitab Tashil Nailil Amani. Kenyataan gelaran itu terdapat pada semua edisi cetakan kitab karya Syeikh Ahmad al-Fathani itu.

2. Al-Adib an-Nihrir Hadhrat Syeikh Thaha Qathariyah. Beliau adalah seorang ulama, sasterawan yang berasal dari Qatar, sahabat karib Syeikh Ahmad al-Fathani bersama-sama sebagai pentashhih pelbagai kitab yang akan diterbitkan. Kenyataan mengenainya itu ditulis pada tahun 1301 H/1883 M dan tercantum pada semua terbitan Tashil Nailil Amani.

3. Syeikh Abdul Jawad. Seorang ulama besar Arab, Ketua Pentashhih Mathba'ah al-Khairiyah al-'Amirah, Kaherah Mesir. Kenyataannya tertulis pada tahun 1321 H/1903 M tercantum pada halaman akhir Tashil Nailil Amani yang dicetak oleh Mathba'ah al-Khairiyah. Pemilik Mathba'ah itu ialah sahabat karib Syeikh Ahmad al-Fathani, bernama Saiyid Umar Husein al-Khasyab.

Antara gelaran yang diberikan daripada ulama Melayu pula adalah Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, seorang ulama yang pernah mengajar di Madrasah Shaulatiyah, Mekah dan Syeikhul Islam Selangor, memberi beberapa gelaran untuk Syeikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Arab. Maka penulis terjemahkan gelaran-gelaran tersebut dalam bahasa Melayu.

Antaranya seperti berikut; "yang tersangat 'alim kurnia Allah", "perkataannya ibarat kalung emas yang murni", "perhiasan orang-orang yang utama", "perbendaharaan orang-orang yang terpuji", dan "orang yang terhimpun padanya ilmu bayan dan ma'ani".

Semua yang disebutkan oleh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani itu mencerminkan ketinggian kedudukan Syeikh Ahmad al-Fathani di kalangan sasterawan di Mekah pada zamannya.

Imam Haji Wan Ishaq, iaitu Imam Kelantan telah menambah gelaran ketinggian itu. Gelaran-gelaran tersebut juga penulis terjemahkan daripada bahasa Arab dengan merujuk berbagai-bagai kamus. Antara gelaran-gelarannya adalah; "cerdik keheningan", "curahan hujan, laut yang mengubati", "perkasa kebijaksanaan", "bulan pancaran cahaya", "tersangat alim pada setiap ilmu", "yang berpakaian akan takwa, kemuliaan dan penyantun", "seorang ahli politik", "seorang ahli haqiqat" dan "seorang ahli syari’at."

Begitulah antara banyak pengakuan-pengakuan para ulama Islam sama ada di peringkat antarabangsa mahupun ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu tentang kehebatan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Prof. C. Snouck Hurgronje, seorang orientalis dan juga seorang yang amat mengagumi Syeikh Ahmad al-Fathani sehingga dia menggelar Syeikh Ahmad al-Fathani sebagai a savant of merit. Tulisan Snouck Hurgronje dalam Mecca in the latter part of the ninetenth century itu telah disalin oleh beberapa orang orientalis,di antaranya ialah Prof. William R. Roff (Amerika), M.B.Hooker (Inggeris), Virginia Matheson (Australia) dan Martin van Bruinessen (Belanda).

William R. Roff dalam The Origins of Malay Nationalism masih mengekalkan gelaran Syeikh Ahmad al-Fathani seperti yang ditulis oleh Snouck Hurgronje, tetapi dalam Comparative Studies In Society And History diganti dengan a great savant. Ahmad

Boestamam telah menterjemah buku William R.Roff, The Origins of Malay Nationalism itu ke dalam bahasa Melayu berjudul Nasionalisma Melayu. Beliau menggelar Syeikh Ahmad al-Fathani sebagai "seorang sarjana ulung."

Selain gelaran-gelaran tersebut ada beberapa gelaran lagi untuk Syeikh Ahmad al-Fathani. Sewaktu umurnya 12 tahun, ulama Mekah menggelarnya "Sibawaih Shaghir" kerana kejayaannya yang luar biasa dalam ilmu nahwu. "Sibawaih" adalah nama seorang tokoh nahu yang sangat terkenal.

Keluarga besar Patani dan Kelantan menggelarnya pula Tok Guru Wan Ngah, kerana apabila beliau sedang mengajar, beliau "sangat marah" pada murid-muridnya yang suka bertanya, atau bercakap tidak memperhatikan guru sedang mengajar atau berbuat bising, atau lain-lain sejenisnya. Beliau membenarkan murid-muridnya bertanya setelah selesai mengajar. "Sangat marah" yang dimaksudkan dalam dialek Patani

disebut "perengoh" atau "pongoh", yang berasal daripada perkataan "perengus". Dari perkataan inilah maka Syeikh Ahmad al-Fathani digelar Tok Guru Wan Ngah.

Masyarakat Islam di Kedah, Patani, Burma, Bangkok dan Cam (Kemboja), menggelar Syeikh Ahmad al-Fathani dengan Tuan Faridah kerana mereka pernah belajar dengan menggunakan kitab beliau yang terkenal iaitu Faridah al-Faraid.

Orang Jawa pula menggelar Syeikh Ahmad al-Fathani dengan Tuan Ngawamil atau Kiyai Ngawamil, kerana kitab 'Awamil al-Jurjani yang beliau syarah yang diberi judul Tashilu Nailil Amani diajarkan di hampir semua pondok pesantren di Jawa.

Syeikh Ahmad al-Fathani digelar juga dengan Failosuf Melayu, demikian yang dinyatakan oleh Tuan Guru Haji Nik Abdullah dalam karyanya, Pati Faridah.



SUMBER:

Tuesday, 10 July 2012

Saiyid Barakat Zainil Alam



 
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

 

Artikel sebelum ini telah disebutkan bahawa saudara kandung Saiyid Ibrahim al-Ghozi/Ibrahim Asmoro/Ibrahim al-Hadhrami ada tiga orang, selepas beliau ialah Saiyid Barakat Zainil Alam.

Belum banyak diketahui mengenai beliau, oleh itu dalam buku Sejarah Ringkas Wali Songo oleh K.H.R. Abdullah bin Nuh (halaman 34), dilihat hanya berdasarkan dugaan dikatakannya, “mungkin dimakamkan di Kemboja atau di Cermin”. Telah menjadi persoalan di manakah negeri Cermin itu.

Beberapa orang penulis Kelantan menyebut bahawa negeri Cermin itu ialah negeri Kelantan. Jauh sebelum kemunculan penulis-penulis Kelantan menyebut bahawa negeri Cermin ialah Kelantan, Syeikh Ahmad al-Fathani telah menggelar kerajaan Fathani Darus Salam dengan ‘Fathani Cermin Mekah’.

Oleh itu, ada kemungkinan negeri Cermin itu ialah Patani atau pun memang betul negeri Cermin itu adalah Kelantan. Antara Patani dan Kelantan pada zaman dahulu seolah-olah dua negeri yang tidak boleh dipisahkan baik dari segi kekeluargaan, kebudayaan, geografi dan lain-lain mahu pun pemerintahan.

Dalam salasilah hanya disebutkan bahawa Saiyid Barakat Zainul Alam memperoleh dua orang anak iaitu Saiyid Ahmad Syah Zainul Alam dan Maulana Malik Ibrahim.

Anak Saiyid Ahmad Zainul Alam ialah Abdur Rahman ar-Rumi atau Sunan Mulia. Di antara dua adik-beradik itu yang lebih terkenal ialah Maulana Malik Ibrahim. Kadang-kadang orang jadi keliru antara Ibrahim al-Ghozi/ Ibrahim Asmoro dengan Malik Ibrahim.

Sebagai contoh dalam tulisan Mr. Hamid Algadri dalam bukunya C. Snouck Hurgronje Politik Belanda Terhadap Islam dan Keturunan Arab, menulis, “Sunan Ampel (Raden Rachmat) putra Maulana Malik Ibrahim…”. Sedangkan pendapat yang berbeza mengatakan bahawa Sunan Ampel (Raden Rahmat) adalah putera Saiyid Ibrahim al-Hadhrami/Ibrahim al-Ghozi/Ibrahim Asmoro.

Selain itu, ada pendapat yang mengatakan bahawa Maulana Malik Ibrahim itu adalah saudara kandung Ibrahim Asmoro, seperti ditulis oleh Ibhar dalam bukunya Wali Songo (halaman 72). Menurutnya, “Beliau (Maulana Malik Ibrahim) merupakan anak yang tertua dari hasil perkahwinan Saiyid Husein Jamadil Kubra dengan Puteri Linang Cahaya adinda kepada Cik Siti Wan Kembang”.

Menurutnya lagi, “Semasa di Champa ayahnya telah berkahwin dengan Puteri Ramawati putri kepada Sultan Zainol Abidin dan Permaisuri Siti Zubaidah (Dewi Sudaksina) yang melahirkan Ibrahim Asmaro”.

Mengenai ini barangkali penulis tersebut (Ibhar) telah memetik pendapat Abdullah Nakula di antaranya beliau tulis dalam Kelantan Dalam Sejarah Yang Tersembunyi, Sejarah Kelantan: Beberapa Lintasan, Kelantan Dalam Empayar Cermin dan lain-lain. Dipetik juga oleh Abdul Rahman Al-Ahmadi, di antaranya dimuat dalam Pesaka IX, tahun 1990.

Namun, penyelidikan penulis yang terakhir tetap berpegang bahawa Maulana Malik Ibrahim adalah anak Saiyid Barakat Zainul Alam. Ini bererti Maulana Malik Ibrahim adalah anak saudara Saiyid Ibrahim al-Hadhrami/Ibrahim al-Ghozi/Ibrahim Asmoro.

Maulana Malik Ibrahim yang dianggap sebagai Wali Songo (Wali Sembilan) yang tertua digelar Maulana Maghribi atau Syeikh Maghribi, juga digelar dengan Sunan Gersik. Ada riwayat yang menyebut bahawa beliau berasal dari Farsi. Riwayat lain menyebut bahawa beliau berasal dari keturunan Arab di Kasyan. Sementara pendapat lain mengatakan berasal dari Gujerat, India.

Raffles dalam History of Yava, menyebut, Malik Ibrahim seorang Arab, sepupu Raja Cermin, berasal dari tanah seberang. Tetapi kedatangannya ke Indonesia diriwayatkan adalah sebagai ketua rombongan misi Islam yang datang ke Indonesia dan berangkat dari negeri Cermin sekitar tahun 1397 M.

Maulana Malik Ibrahim sendiri adalah sebagai ketua rombongan, yang turut disertai Raja Cermin bersama-sama putera dan puterinya. Puteranya bernama Shiddiq Muhammad. Tujuan mereka ke Jawa adalah untuk mengislamkan Raja Majapahit.

Selain itu diriwayatkan beberapa orang saudara sepupu Maulana Malik Ibrahim ikut serta dalam rombongan itu. Mereka ialah Saiyid Ja’far, Saiyid Qasim dan Saiyid Khairat. Usaha mereka gagal dan sebahagian besar yang mengikuti rombongan tersebut kembali ke negeri Cermin.

Sebagaimana disebut-sebut mengenai negeri Cermin mulai pengenalan riwayat Saiyid Jamaluddin al-Kubra hingga cucunya Maulana Malik Ibrahim, maka di sini dirasakan perlu menambah keterangan mengenai negeri Cermin itu.

Di manakah negeri Cermin itu masih terus menjadi pertikaian. Raffles berpendapat ia terletak di daerah Hindustan, di halaman yang lain pula dikatakannya dari tanah seberang. Salah satu versi riwayat Patani ada menyebut bahawa Maulana Malik Ibrahim sewaktu akan ke Jawa, beliau mulai berangkat dari Patani.

Dalam beberapa buku sejarah selain versi penulisan ulama Patani, dikatakan bahawa Saiyid Ibrahim telah menemani ayahnya Saiyid Jamaluddin al-Kubra ke negeri Siam. Penulis berpendapat bahawa yang dimaksudkan negeri Siam (bersifat umum) itu adalah negeri Patani (dalam jajahan Siam).

Mengenai negeri Cermin pula hampir semua penulis yang berasal dari Kelantan seperti Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi, Abdullah bin Muhammad (Nakula) dan lain-lain berpendapat bahawa negeri Cermin itu di Kelantan/Patani. Maka penulis pula menyokong bahawa negeri Cermin itu adalah di Fathani Darus Salam.

Oleh kerana itulah barangkali Syeikh Ahmad al-Fathani menggelar Fathani Darus Salam itu sebagai Negeri Cermin Mekah. Namun walau bagaimanapun sewaktu penulis berulang-alik (berkali-kali dalam tahun 1992-1993) ke negeri Chaiya, berdasarkan di beberapa buah masjid, kitab yang dimiliki oleh seseorang dan manuskrip ditulis dalam tulisan Melayu/Jawi adalah ‘cahaya’ bukan ‘chaiya’.

Beberapa orang penduduk yang berumur lanjut (antara 80 hingga 120 tahun) menceritakan bahawa sebelum negeri itu bernama ‘Negeri Cahaya’ pernah juga bernama ‘Negeri Cermin’.

Oleh sebab pada masa dulu ‘Negeri Cahaya/Chaiya’ itu memang di bawah Daulah Fathani Darus Salam, besar kemungkinan ia terletak di negeri Cahaya/Chaiya. Raja Cermin/Cahaya pula adalah di bawah kekuasaan Sultan Fathani Darus Salam.

Selain itu, ada pendapat yang menyebut bahawa negeri Cermin itu terletak di Brunei. Ini ditulis oleh Dr. Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri dalam karyanya Tarsilah Brunei Sejarah Awal dan Perkembangan Islam.

Dr. Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri menulis, “Raja Chermin yang disebutkan oleh Raffles itu kemungkinan Raja Brunei, kerana pada zaman itu termasyhur dengan sebutan ‘Chermin’ di kalangan orang Jawa (Majapahit). Walau bagaimanapun, Negeri Chermin yang dimaksudkan oleh Raffles itu bukanlah Brunei sekarang, tetapi sebahagian daripada pesisir Brunei yang sekarang dikenali dengan Pulau Chermin.

“Ini disebabkan Raffles juga ada menyebut nama Brunei (Bruni) dalam bukunya sebagai negeri-negeri yang tunduk kepada Majapahit bersama-sama Negeri Chermin, Makasar, Goa, Banda, Sembawa, Enda, Timor, Ternate, Suluk, Seram dan Manila”.

Maulana Malik Ibrahim ialah anak saudara Saiyid Ibrahim al-Hadhrami, yang makamnya terletak di Gersik, Jawa Timur sedangkan pelabuhan Fathani Darus Salam pada zaman dahulu adalah Kerisik atau Keresik. Menurut riwayat versi Patani bahawa Maulana Malik Ibrahim pernah tinggal di Kerisik.

Barangkali orang sukar menerima ada riwayat orang tua-tua di Patani bahawa Maulana Malik Ibrahim itu dilahirkan di Kerisik, Patani. Cerita rakyat memang sukar diterima oleh ahli sejarah yang menghendaki pembuktian secara tertulis. Akan tetapi adalah sangat tidak adil apabila kita mempertahankan teori yang ada sedangkan kita tidak berusaha mencari penyelesaian melalui penyelidikan-penyelidikan sehingga dapat mempertemukan antara cerita rakyat dengan data dan fakta yang tertulis.

Riwayat terakhir Maulana Malik Ibrahim menetap di Gersik, Jawa Timur, mendirikan masjid dan pondok pesantren demi untuk menyebarkan agama Islam di tempat beliau tinggal, sehingga beliau wafat pada 12 Rabiulawal 882 H/1419 M, dimakamkan di Gapura Wetan, Gresik, Jawa Timur.

Salah seorang keturunan beliau yang dapat dikesan ialah K. H. Ahmad Dahlan, pengasas Muhammadiyah.

Salasilah Maulana Malik Ibrahim

* Kiai Haji Ahmad Dahlan, nama ketika kecil Muhammad Darwisy

* Kiai Haji Abu Bakar

* Kiai Haji Muhammad Sulaiman

* Kiai Murtadho

* Kiai Ilyas

* Demang Jurang Juru Kapindo

* Demang Jurang Juru Sapisan

* Maulana Sulaiman Ki Ageng Gribig (Jatinom)

* Maulana Muhammad Fadlullah (Prapen)

* Maulana ‘Ainul Yaqin isterinya ialah Murtasyiah anak Sunan Ampel dengan isterinya yang kedua

* Maulana Ishaq

* Maulana Malik Ibrahim Waliyullah(74)

Walau bagaimanapun riwayat ini dipertikaikan. Ini kerana ada riwayat lain mengatakan Maulana Ishaq bukan anak Maulana Malik Ibrahim, tetapi adalah anak Saiyid Ibrahim al-Ghozi/Ibrahim Asmoro/Ibrahim al-Hadhrami.



SUMBER: