Wednesday, 14 September 2011

Hukum Membaca al Quran dan Menghadiahkan Kepada Orang yang Telah Meninggal Dunia


Hukum Membaca Al Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada Orang Yang Sudah meninggal dunia 





Persoalan mengenai bid'ah sebenarnya telah diselesaikan oleh ulamak lama dahulu dan sekarang ini telah ditimbulkan semula oleh golongan yang tidak memahami khilaf ijtihad ulamak yang kemudiannya mengatakan bahawa ia adalah bid'ah sesat walaupun sudah ada dalil dan hujjah dari al Quran dan hadith.

Sekiranya ada yang mengatakan bacaan al Quran dan doa ia tidak sampai kepada simayyit maka tidak perlu mengatakan ia sebagai bid'ah, kerana ijtihad yang memngatakan ia boleh adalah hasil dari penyelidikan ulamak dari al Quran dan hadith sebelum mengeluarkan hukum bahawa sampainya pahala kepada si mayyit. Ulamak terdahulu apabila berbeza pendapat mereka tidak akan membid'ahkan pendapat ulamak yang membolehkan.

Menurut Prof Dr Wahbah az Zuhaili Mazhab Imam Ahmad dan Jumhur salaf dan mazhab empat dan di antara mereka Malikiyah dan Syafi'iyah yang kemudian berpendapat sampai pahala amalan tersebut.

Imam Abu Hanifah berpendapat :
"Segala pahala dari sedekah dan lainnya sampai kepada mayat. Ia juga berkata : "Bacalah ayat Kursi tiga kali' dan "qul huwaLLahu Ahad" dan katakanlah : "Ya ALlah, Ya Tuhan kami, pahalanya untuk ahli kubur."

Dalil dari Al Quran

Asy Sya'ani juga menyebutkan dalil pendapat kedua dari KitabuLLah, sunnah dan ijmak serta kaedah syariat. Iaitu mereka yang mengatakan bahawa mayat mendapat manfaat atas apa yang dilakukan oleh orang-orang yang masih hidup untuknya. Adapun dalil dari Al Quran adalah firman aLLah s.w.t yang bererti :
"Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan tangan), berkata : "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kamu yang mendahului kami dalam iman..........." (Al Hasyr : 10)

Maka ALLah s.w.t memuji mereka atas istighfar mereka kepada kaum Mukminin sebelum mereka. Maka hal itu menunjukkan bahawa mayat mendapat manfaat daripada doa adalah kesepakatan umat atas doa terhadap mereka dalam solat jenazah.

Juga telah ijmak bahawa membayar hutang orang yang sudah meninggal adalah boleh sama ada oleh kerabat atau bukan. Dan juga jika orang yang masih hidup memiliki hak pada orang yang sudah meninggal, lalu ia menggugurkan haknya dan mengikhlaskannya, maka hal itu boleh dan dapat membebaskan orang yang sudah meninggal.

Dalil Dari Hadith :

Ibn Hibban dalam kitab sahihnya meriwayatkan hadith Jundab bin AbdiLLah, RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :
"Surah al Baqarah adalah tulang belakang al Quran, ia diturunkan oleh lapan puluh malaikat dengan membawa satu persatu ayat. Sedangkan ayat kursi diturunkan dari bawah Arsy'. kemudian ia dikumpulkan dengan ayat-ayat surah al Baqarah. Surah Yasin pula adalah hati al Quran, tidak ada orang yang membacanya dengan mengharap redha ALlah dan pahala akhirat melainkan dia akan mendapat ampunan dari-Nya. Bacalah surah Yasin untuk saudara-saudara kamu yang telah meninggal dunia."

(Ditakhrij oleh Ibn Hibban di dalam Kitab Sahihnya pada bab Fadhilat Surah al Baqarah. Demikian juga al Haithami meriwayatkannya di dalam kitab Mawarid al Dzam'an, (jilid V, h 397). Imam Ahmad juga meriwayatkannya di dalam al Musnad dari Ma'qal bin Yasar (jilid v h 26). Al Haithami mengulas hadith tersebut di dalam kitab Majma' al Zawaid, "Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di dalamnya ada salah seorang perawi yang tidak disebut namanya, bagaimanapun perawi perawi lainnya adalah sahih (jilid VI h 311)




Pendapat dari Imam An Nawawi :

Imam Nawawi berkata
"Adalah sunnah hukumnya bagi para penziarah kubur untuk mengucapkan salam kepada mereka (penghuni kubur), mendoakan kepada orang yang diziarahi dan juga kepada ahli kubur semuanya. Lebih utama lagi, jika penziarah itu membaca doa-doa yang telah diterangkan dalam al hadith. Dan hukumnya sunnah pula membaca ayat-ayat al Quran dan setelah itu mendoakan para penghuni kubur. Ini semua adalah nas (pendapat) dari Imam al Syafie dan disepakati oleh murid-muridnya (para pengikutnya)

Imam al Nawawi, al majmu' syarh al muhazzab jilid V h 286.

Pendapat Imam Ahmad :

Imam Ahmad pada mulanya pernah melarang seorang buta daripada membaca al Quran di atas kubur, kemudian beliau (imam Ahmad) mengizinkannya setelah mendengar khabar yang mengatakan Ibnu Umar pernah berwasiat supaya dibacakan permulaan dan penghujung surah al Baqarah di sisinya ketika dikebumikan. Kisah ini disebut oleh Ibnu Qudamah di dalam kitabnya 'Al Mughni (2/567) di dalam masalah: Ziarah Kubur.

Berdoalah kepada ALLah agar pahala kita membaca ayat al Quran sampai kepada si mayyit kerana ALlah sendiri telah berfirman yang bererti :

“Dan Tuhan kamu berfirman:
“Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”


Al-Mukmin:60

Antara ulamak terkini lain yang mengatakan sampainya pahala seperti : Profesor Dr Sayyid Muhammad 'Alawi Almaliki Al Hasani, Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, dan ramai lagi.

Sumber Rujukan : 

1. Prof Dr Sayyid Muhammad 'Alawi Al Maliki Al Hasani, Kajian Mendalam ke Atas Manfaat Amalan Orang Hidup Terhadap Arwah, Tahqiq al amal fi ma yan fa'u al mayyitu min al a'mal, Jahabersa, 2007, Johor

2. Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur

3. Prof Dr Wahbah Az Zuhaili, Fatwa-fatwa Semasa, al Fatawa al mu'asaroh, iBook Publication, 2005, Kuala Lumpur

4. Dr Mustofa al Khin, Dr Mustofa al Bugho & Ali Asy Syarbaji, Kitab Fikah Mazhab Syafie, al Fiqhu al Manhaji, Pustaka Salam, 2005. Kuala Lumpur.

WaLlahua'lam


SUMBER:

10 Syarat sah baca fatihah di dalam solat

1) Dibaca akan dia (fatihah)  dengan bahasa arab.

2) (Dibaca akan fatihah) dengan tertib (ikut turutan) antara segala kalimahnya (fatihah).

3) (Dibaca akan fatihah) dengan muwalat(membaca secara terus dan tidak boleh berhenti lama antara satu-satu kalimah dan juga atara satu ayat dengan ayat yang lain) padanya (segala kalimah).

4) Memelihara (oleh musolli) akan segala hurufnya (fatihah) daripada makhrajnya (tempat keluar huruf) iaitu 141 huruf  jika tiada (dikira) alif pada مالك  dan tiada  dihisab (dikira) pula segala huruf musyaddadnya.

5) Memelihara segala tasydidnya yangg 14 tempat dan jika mentakhfif  (meninggalkan walaupun satu tashdid) daripadanya (fatihah)  dengan sengahjanya (sengaja) lagi (pula) diketahui akan haramnya dan mengubah ia akan maknanya (fatihah), maka (nescaya) batal sembahyangnya

dan jika mentakhfif (meninggalkan tasydid) ia dengan lupa atau jahil (yang ma’zur)  ia akan haramnya atau tiada mengubah ia akan maknanya, maka tiada batal sembahyangnya tetapi batal bacaanya jua, maka wajib mengulang (oleh musolli) akan (bacaan fatihah) dengan betulnya dahulu daripada turun kepada ruku’nya (musolli) dan jika tiada mengulang maka batal sembahyangnya dengan (sebab) turunnya (musolli) kepada ruku’nya (musolli).

6) Ketiadaan diam yang panjang (diantara ayat-ayat dan kalimah-kalimah) dengan tiada uzur, iaitu diam yang lebih daripada kadar bernafas (sekali nafas)  dan penat atau diam yg sedikit (pendek) yang diqasad dengan dia memutus akan bacaannya.

7) (Dibaca akan fatihah) dengan ketiadaan lahan (salah) yang mencederakan (merosakkan) akan maknanya (fatihah).

8) Bahawa membaca akan dia (fatihah) padahal berdiri (betul) atau gantinya (daripada berdiri iaitu duduk , mengiring di atas lambung dan bertelentang) pada ketika uzur.

9) Bahawa memperdengar (sekadar بقوة bukan بفعل)  akan dirinya (sendiri) (akan tiap-tiap huruf al-fatihah pada telinganya).

10) Bahawa tiada menyelangi antara segala kalimahnya (fatihah) itu oleh zikir yang ajnabi (tiada kaitan dengan fatihah seperti seseorang yang bersin mengucapkan الحمد لله dan menjawab salam kepada orang yang memberi salam).

 

Rujukan: Hidayatus Sibyan karangan Abu Abdullah Hussain Nasir bin

Muhammad Taib al-Mas’udi al-Banjari

 

 

Tuesday, 13 September 2011

Hukum Menggunakan Biji Tasbih


Soalan :




Adakah menggunakan biji tasbih dikira sebagai suatu yang bid'ah di dalam Islam atau ia sesuatu yang digalakkan oleh Syarak ?

Jawapan :

Membawa biji tasbih bukanlah satu ibadah, tetapi ia adalah sebahagian daripada adat. Tetapi membilang bacaan tasbih dan zikir dengan benda tersebut bukanlah sesuatu yang bid'ah, kerana RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam mengakui perlakuan seorang yang membilang bacaan tasbih dengan menggunakan anak batu atau biji tamar,

Biji tasbih termasuklah dalam kategori-kategori benda-benda itu, bahkan ia lebih baik daripada yang lain kerana kebersihan, penjagaan dan tidak mencemarkan suasana. Oleh itu, membawanya dan menjadikannya sebagai alat untuk mengira bacaan zikir adalah lebih baik daripada menggunakan benda-benda yang terkena najis atau kekotoran.

Untuk itu, saya ingin mengemukakan sebilangan dalil berhubung masalah ini :

1. sebuah hadith yang diriwayatkan oleh At Tirmidzi daripada Safiyyah katanya : RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam pernah masuk untuk menemuiku dan di hadapan ku ada empat ribu biji-biji tamar yang aku gunakan untuk membilang tasbih dengannya, lalu baginda bersabda : "Engkau bertasbih dengan benda ini? Mahukah aku ajarkan kamu sesuatu yang lebih banyak daripada apa yang kamu jadikan untuk membilang tasbih dengannya?" Sofiah berkata: "Ajarkanlah daku". Maka RasuluLLah menyambung : Ucapkanlah :

SubhanaLLah 'adada kholqiHi

Yang boleh dijadikan dalil di sini ialah RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam tidakpun menegah perempuan tersebut daripada mengunakan biji-biji tamar itu untuk mengira tasbih, tetapi baginda hanya mengajar sesuatu yang lebih afdhal daripada itu. Sesuatu yang bukan afdhal bukan semestinya dikira bid'ah.

2. Abu Sofiyah , seorang bekas hamba yang dibebaskan oleh RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam dihampar untuknya hamparan dan dibawakan kepadanya satu bekas yang berisi anak-anak batu, lalu dia bertasbih dengan menggunakan anak-anak batu itu sehingga ke tengahari, kemudian diangkat hamparan. Apabila dia mengerjakan solat (zuhur), dibakan semula lalu dia bertasbih dengannya sehinggalah ke petan." Kisah diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam kitabnya Zuhud.

3. Ibnu Saad juga meriwayatkan di dalam kitabnya 'At Thabaqat bahawa Fatimah binti Husain bin Ali bin Abi Talib radiyaLLahu 'anhu pernah bertasbih dengan menggunakan benang yang disimpul padanya.

4. Imam Ahmad juga meriwayatkan di dalam kitabnya az Zuhud bahawa Abu Hurairah mempunyai seutas benang yang padanya terdapat dua ribu simpulan. Beliau tidak tidur sehingga beliau bertasbih (sebanyak itu).

Athar-athar (kata-kata dan perlakuan sahabat) berhubuung dengan masalah ini terlalu banyak. Tetapi ini sudah cukup untuk menyekat peluang supaya tidak menghukumkannya sebagai satu bid'ah.

Ibnu Taimiyyah menyatakan dalam Majmu' Fatawanya Jili 5, Hal 225 :
Adapun menghitung zikir dengan biji-biji tamar dan anak-anak batu dan yang sepertinya, maka itu suatu amalan yang baik. Sesungguhnya telah ada sebahagian sahabat RadiyaLlahu 'anhum yang mengamalkan cara ini. RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam sendiri telah melihat Ummu Mukminin radiyaLlahu 'anhum iaitu isteri-isterinya bertasbih dengan anak-anak batu, lalu Baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam memperakuinya. Sebagaimana diriwayatkan sesungguhnya Abu Hurairah radiyaLlahu 'anhu telah bertasbih dengan anak-anak batu.

Di dalam athar : Imam Bukhari telah meriwayatkan dalam kitabnya Taikrh al Kabir jilid 9, hal 99 ertinya :

Berkenaan Abu Sofiah, khadam RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam : "Diriwayatkan daripada Yunus bin Ubaid, beliau berkata kepada ibunya : "Apakah yang pernah engkau tengok mengenai amalan Abu Sofiah?" Jawab ibunya: "Aku telah melihat Abu Sofiah yang merupakan salah seorang sahabat RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam dari golongan muhajirin, bertasbih dengan biji-biji tamar".


(Diriwayatkan juga oleh Imam Muslim, Imam Ibnu Abdul Barri, Imam Abu Hatim al Raazi, Al Hafiz Ibn Hajar al Asqolani dan Ibnu sa'ad)


Rujukan :

1. Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur

2. Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman al Hafiz, Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya, Suatu Kajian Terperinci Berdasarkan Hadith Dan Ulama'Muktabar, Cetakan Pertama 2008, D'nonce Sdn Bhd, Kelantan

SUMBER:

Hukum Memelihara Janggut

Apakah hukumnya, membiarkan dan memeliharakan tumbuhnya janggut?





Jawapan :

Terdapat perintah untuk membiarkan tumbuhnya janggut kerana banyak hadith Nabi s.a.w di antaranya sabda Nabi s.a.w yang bererti :

"Berbezalah daripada kaum Musyrik, bebaskanlah (biarkanlah sebagaimana adanya) janggut dan cukurlah kumis (misai)." (Hadith riwayat Bukhari, Sahih Bukari, vol 5, hlmn 2209; dan Muslim, Sahih Muslim, vol 1, hlmn 222)

Perbezaan Pendapat Ahli Feqh 


Para ahli feqah berbeza pendapat di dalam memahami perintah Nabi s.a.w ini,apakah ia menunjukkan bahawa hukumnya (janggut) wajib ataupun sunnah?

Jumhur Fuqaha' (ahli feqah) berpendapat bahawa (menyimpan janggut) adalah wajib. Sementara, para ulama' Mazhab Syafie berpendapat hukumnya (menyimpan janggut) adaah sunnah.

Kebanyakan 'ulama Mazhab Syafie yang menetapkan hukum ini (menyimpan janggut) di dalam kitab-kitab mereka. Kami kemukakan sebahagian di antaranya di sini :

1. Perkataan syeikhul Islam - Imam Zakaria al Ansari 

"(Dan), Makhruh (mencabutnya) iaitu jangut pada awal pertumbuhannya, sebab mengutamakan ketampanan (kekacakan) dan keelokan paras rupa". - Sheikhul Islam Zakaria al Ansari, Asna al Muthalib, vol 1, hlmn 551.

2. Al 'Allamah Imam ar Ramli memberikan pandangan terhadap pernyataan ini, di dalam huraiannya (Hasiyah) terhadap Kitab "Isna' al Mutholib". Beliau menyatakan, "Pernyataan (dan makhruh mencabutnya), iaitu janggut. Dan seumpamanya, adalah mencukurnya."

3. Manakala perkataan Al Hulaimi di dalam kitabnya Al Minhaj, "Tidaklah boleh (haram) bagi seseorang mencukur jangutnya dan juga kedua-dua alisnya (bulu kening), " ini adalah pendapat yang lemah. - Al Allamah Imam ar Ramli, Hasiyah Asna Al Muthalib, vol 1, hlmn 551.

4. Ibnu Hajar al Haitami (semoga ALlah merahmati beliau) berkata,
 "(Masalah cabang) mereka kemukakan di sini berkenaan dengan masalah janggut, dan seumpamanya tentang beberapa perkara yang dimakhruhkan, di antaranya : mencabutnya, dan mencukurnya (janggut). Demikian juga, kedua-dua alis (bulu kening) - Ibnu Hajar al Haithami, Tuhfat al Muhtaj : Syarah al Minhaj, vol 9, hlmn 375-376. "

5. Imam Ibnu Qasim al Ubbadi r.a di dalam huraiannya (Hasiyah) terhadap Tuhfat al Muhtaj mengguatkan pernyataan ini dan berkata, "Perkataannya (diharamkan), berbeza pendapat dengan pendapat yang kuat (muktamad), Di dalam Syarah al Ubad terdapat faedah ; kedua syeikh (Imam Nawawi dan Imam Rafi'e) mengatakan makruh mencukur janggut." - Ibnu Qasim al al Ubbadi, Hasiyah Tuhfat al Muhtaf syarh al Minhaj, vol 9, hlmn 375-376

6. Al Allamah al Bujirmi,dalam huraiannya (hasiyah) terhadap Kitab Syarh al Khatib berkata :


"Sesungguhnya mencukur janggut itu adalah dimakhruhkan walaupun daripada lelaki (dewasa), bukan haram. - Al Bujirmi, Hasiyah al Bujirmi, "ala Syarh al Khatib, vol 4 hlmn 346.

Penyebutan lelaki di sini, bukanlah lawan kata dari wanita, tetapi lawan kta kepada pemuda yang masih kecil. Sebab daripada segi kacamata perbicaraan ini adalah - dimakhruhkan mencukurnya (janggut) pada awal pertumbuhannya, iaitu bagi pemuda yang masih kecil. Lalu, beliau memberikan pandangan bahawa "pada masa awal pertumbuhannya" itu bukanlah suatu ketetapan, tetapi bagi kaum lelaki yang dewasa juga dimakruhkan.

Pendapat dari Ulama dari Mazhab selain Syafieyyah


Juga terdapat pendapat yang menyatakan bahawa makhruh mencukur janggut dari para ulama' selain para ulama' Mazhab Syafie. Di antaranya ialah para ulama seperti al Imam Qadhi al Iyadh (semoga ALlah merahmatinya) pengarang kitab asy Syifa', iaitu salah seorang Imam MAzhab Maliki. Beliau mengatakan bahawa "Makhruh mencabutkannya, mencukurkannya dan membakarkannya (janggut)." - Perkataan ini diambil daripada al Hafiz al Iraqi di dalam kitabnya "Tharhu at Tasyrib", vol 2, hlmn 83; dan Imam Syaukani di dalam kitabnya Nail al Authar, vol 1 hlmn 143.

Sumber : Al Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, “Penjelasan Terhadap Masalah-masalah Khilafiah”. Prof Dr Ali Jum’ah, 2008, Penerbitan Dar Hakamah, Selangor

 

SUMBER:

http://jomfaham.blogspot.com/2008/12/hukum-memelihara-janggut.html




Syarat Qiyam (Berdiri betul)

Bermula syarat (nak sah) qiyam (bagi yang kuasa) iaitu membetul akan tulang belakangnya dan jikalau dengan bersandar ia  (musolli) kepada sesuatu atau dengan berpegang ia atasnya (sesuatu)  atau dengan dipegang (oleh) orang  akan dia (musolli) sekalipun memadailah ia..

 

Dan jika tiada kuasa ia (musolli) berdiri betul maka wajib ia (musolli) berdiri qadar sehabis-habis kuasa (seqadar mana yang mampu dibuat)

 

Dan jika tiada kuasa (mampu) berdiri sekali-kali (langsung) seperti hasil baginya (musolli) dengan dia (berdiri) masyaqqah (kesukaran) yang sangat yang menghilang ia akan khusyu’ dan hudhur hati atau takut ia (musolli) akan jatuh ke dalam laut atau karam (bagi mereka yang berada diatas kapal) atau pusing (pening) kepalanya atau takut keluar kencingnya bagi orang yang silsil baul (sentiasa keluar air kencing)  atau keluar bawasir bagi orang yang basur (orang yang sakit buasir) dan yang umpama keduanya (silsil baul dan buasir) maka hendaklah ia sembahyang (hal keadaannya) duduk.

 

Dan jika lemah ia (musolli) daripada sembahyang (hal keadaannya) duduk maka hendaklah (wajiblah) ia berguling (mengiring) atas lambungnya (samada kanan atau kiri tetapi yang afdhalnya diatas lambung kanan dan sekiranya tidak mampu mengiring diatas lambung kanan maka barulah mengiring diatas lambungnya yang kiri)  dan dijadikan mukanya (musolli) dan hadapan badannya (musolli) kepada qiblat  dan hendaklah ia (musolli) bangun bagi ruku’nya dan sujudnya qadar dapatnya.

 

Dan jika lemah ia daripada sembahyang berbaring atas lambungnya maka hendaklah (wajiblah) ia (musolli) sembahyang bertelentang atas belakangnya dan mendiri ia akan mukanya (muka diangkat sedikit ke arah qiblat dengan dilapik sesuatu benda seperti bantal) dan (padahal) dua tapak kakinya berhadap kepada qiblat maka memperbuatlah ia (musolli) dengan ruku’nya dan sujudnya qadar kuasanya (mampunya).

 

Dan jika tiada (kuasa memperbuat ruku’ dan sujud) maka mengisyarat ia (musolli) bagi keduanya (ruku’ dan sujud) dengan kepalanya.

 

Dan jika lemah ia (musolli) daripadanya (mengisyarat dengan kepala) maka dengan kelopak matanya.

 

Dan jika lemah ia (musolli) mengisyarat dengan kelopak matanya maka hendaklah dilakukan sekelian perbuatan sembahyang itu dengan hatinya jua inilah sehingga-hingga (sehabis-habis)  lemahnya.

 

Maka tiada gugur wajib sembahyang daripadanya sekali-kali selama-lama ada aqalnya itu maujud inilah hal sembahyang fardhu.

 

Rujukan: Hidayatus Sibyan karangan Abu Abdullah Hussain Nasir bin

Muhammad Taib al-Mas’udi al-Banjari

 

Monday, 12 September 2011

Hukum Bersalaman Selepas Solat


Soalan :




Apakah hukum berjabatan tangan bagi seorang Muslim kepada saudara seagamanya setelah selesai solat?

Jawapan :

Berjabatan tangan itu adalah Sunnah pada hukum dasarnya. Imam Nawawi berkata,
"Ketahuilah bahawa berjabat tangan ketika berjumpa itu adalah Sunnah hukumnya. Ini sudah menjadi ijma' di kalangan para 'alim ulama." (Al Hafiz Ibnu Hajar, Fathul Bari, vol 11, hlm 55 diambil daripada pendapat Imam Nawawi).

Ibnu Baththal berkata,
"Hukum dasar berjabat tangan itu adalah baik dan elok sekali menurut para ulama' umumnya." (Al Hafiz Ibnu Hajar, Fathul Bari, vol 11, hlm 55 di ambil daripada pendapat Imam An Nawawi : dan Al Mubarakfuri, Tuhfat al Ahwazi vol 7, hlm 426).

Banyak di kalangan para ahli feqah dari pelbagai mazhab yang menyatakan dengan tegas bahawa sunnahnya berjabat tangan di antara sesama kaum lelaki. Mereka mengambil dalil di atas hal itu dari sejumlah hadith-hadith sohih dan hasan, antara lainnya hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Ka'ab bin Malik RadiyaLLahu 'anhu, beliau berkata :
"Aku memasuki Masjid, ternyata bahawa di dalamnya (masjid) ada RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam. Lalu saidina Abu Talhah bin UbaiduLLah radiyaLLahu 'anhu yang berdiri kepadaku (menyambut) dengan langkah cepat (bergegas) hingga dia menjabat tanganku dan mengucapkan selamat padaku." (Hadith riwayat Ahmad, Musnad Ahmad vol 3, hlm 458 : Bukhari, Sohih BUkhari, vol 4, hlm 1607 dan Muslim, Sohih Muslim vol 4, hlm 2126)

Juga hadith yang diriwayatkan daripada Saidina Qatadah radiyaLLahu 'anhu, bahawa beliau berkata,
"Aku bertanya kepada Saidina Anas radiyaLlahu 'anhu. Apakah berjabat tangan itu dilakukan oleh para Sahabat Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam? " beliau (Anas radiyaLLahu 'anhu) menjawab, "Ya" (Hadith Riwayat Bukhari, Sohih Bukhari, vol 5, hlm 231 ; dan Ibnu Hibban, Sunan Ibnu Hibban, vol 2 hlm 245).

Hadith yang diriwayatkan daripada Atha' bin Abu Muslim AbduLlah Al Khurasani bahawa beliau berkata, RasuluLLah SallaLLahu 'alaihi wasallam telah bersabda (yang bererti) :
"Berjabat tanganlah kalian, pasti hilang kedengkian. Dan saling kalian memberi hadiah, pasti kalian saling sayang menyayangi dan hilanglah kebencian (sifat saling bermusuhan). " (Hadith riwayat Dailami, Musnad al Firdaus, vol 2, hlm 47)

Manakala berjabat tangan setelah selesai solat, tidak ada seorang pun dari para ulama' yang mengharamkan berjabat tangan. Mereka berpendapat, hukumnya (berjabat tangan) adalah Sunnah dan itu adalah bid'ah hasanah, atau bid'ah yang mubah (diharuskan).

Imam Nawawi memperincikan penjelasan tentang masalah ini dan berkata :
" Jika seseorang yang berjabat tangan sebelum solat, maka itu adalah Sunnah yang baik. Jika dia mengucapkan salam kepadanya (yang berjabat tangan) sebelumnya (solat) maka hukumnya adalah mubah (harus)" (Imam Nawawi, Al Majmu' vol 3, hlm 469-470)

Al Hashkafi berkata,
"Sebutan secara mutlaq (menyebutkan secara mutlaq 'bersalaman setelah selesai solat' tanpa mengaitkannya dengan solat tertentu atau keadaan tertentu) daripada pengarang (iaitu al Tamartasyi) mengikut ad Durar, al Kanz, al Wiqayah, An Niqayah, al Majmu', al Multaqa' dan selainnya menunjukkan hukumnya (berjabat tangan) adalah boleh, walaupun setelah selesai solat Asar."

Adapun ucapan mereka. "Sesungguhnya itu bid'ah maksudnya adalah bid'ah hasanah yang diperbolehkan' sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Nawawi di dalam kitab al Azkar. "
(Al Hashkafi. Al Durr Al Mukhtar, dicetak Kitab Hasyiah 'Abidin di bahagian tepinya, vol 6, hlm 380)

Setelah menyebutkan pendapat sebahagian daripada ulama Mazhab Hanafi yang menyatakan bahawa hukumnya adalah sunnah secara mutlaq. Ibnu Abidin memberikan pandangan mengenai kenyataan tersebut dan berkata :...
"Itulah pendapat yang seiring dengan apa yang telah dikemukakan oleh Syarah (Al Hashkafi) dari pemutlaqan ungkapan kitab-kitab matan. Beliau berdalil terhadap pendapat itu daripada umumnya nas-nas yang diriwayatkan berkenaan dengan disyariatkannya kita berjabat tangan. "

(Ibnu Abidin Radd al Muhtar 'Ala Ad Durr Al Mukhtar yang dikenali dengan Hasyiah Ibnu 'Abidin, vol 6, hlm 381) Mereka menyatakan bahawa berjabat tangan setelah selesai solat adalah sunnah secara mutlak.

Imam Thobari menguatkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad radiyaLlahu 'anhu dan Bukhari dari Abu Juhaifah radiyaLLahu 'anhu, beliau berkata :
"RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam telah keluar pada tengahari yang panas ke lembah (di luar batas Mekah; pada masa lalu). Lalu Baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam berwuduk kemudian melakukan solat Zohor 2 rakaat dan Asar 2 rakaat (solat jamak dan qasar). Dan di depannya ada tongkat (bermata yang lebih pendek dari tombak) yang di belakangnya telah lalu seorang wanita. Orang-orang pun berdiri, lalu mereka mulai meraih (mengambil) kedua tangan Baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam dan mengusap-usap dengannya (tangan Baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam) ke wajah-wajah mereka. Abu Juhaifah radiyaLlahu 'anhu berkata, "Lalu aku meraih (mengambil) tangannya (tangan Baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam) dan aku meletakkannya ke wajahku; ternyata ia (tangan Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam) lebih sejuk daripada salju dan lebih wangi daripada misk (minyak wangi) ". (Riwayat Bukhari, Sahih Bukhari, vol 3, hlm 1304)

Al Muhib At Thobari berkata, "Dijadikan sandaran kuat dengan halitu, (bersalaman) terhadap apa yang sesuai dalam tradisi orang ramai, iaitu berjabat tangan (bersalaman) setelah selesai solat berjemaah. Khususnya Solat Asar dan Solat Maghrib. Apabila disertai dengan tujuan yang baik seperti mengambil keberkatan, mengakrabkan diri, dan seumpamanya.

Sementara Izzuddin Abdissalam. setelah membahagi-bahagikan perkara-perkara bid'ah ke dalam 5 bahagian iaitu : Wajib, Haram, Makruh, Sunnah dan Mubah (harus), beliau berkata :
"Bid'ah-bid'ah yang mubah (harus) ada beberapa, antara lainnya ialah : berjabat tangan (bersalaman) setelah selesai Solat Subuh dan Solat Asar." (Izzuddin Ibnu Abdissalam, Qawa'id al Ahkam fi Mashalih al Anam, vol 2, hlm 205)




Imam Nawawi berkata, "Adapun berjabat tangan (bersalaman), yang telah mentradisi atau mengamalkannya setelah selesai Solat Subuh dan Solat Asar ialah :

Syaikh Imam Abu Muhammad bin Abdissalam (semoga ALLah subahanahu wa ata'ala merahmati beliau) telah menyebutkan bahawa itu termasuk di dalam bid'ah yang mubah (harus) ; tidaklah disifatkan sebagai makruh dan galakan. Apa yang beliau sebutkan ini adalah baik. Pendapat yang dipilih disebutkan begini : apabila seseorang yang berjabat tangan (bersalaman) dengan orang yang bersamanya sebelum solat, maka hukumnya adalah mubah (harus), sebagaimana yang telah kami kemukakan. Apabila seseorang berjabat tangan (bersalaman) dengan orang yang tidak bersamanya sebelum solat, maka hukumnya adalah Sunnah. Ini adalah sebab berjabat tangan (bersalaman) ketika berjumpa adalah perbuatan Sunnah Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam berdasarkan ijma' yang bersandarkan kepada hadith-hadith sahih tentang hal itu (bersalaman). (Imam An Nawawi, Al Majmu', vol 3, h;m 469-470)

Dengan ini, maka bolehlah kita ketahui bahawa siapa yang mengingkari perbuatan ini (bersalaman), maka boleh jadi dia tidak mempunyai pengetahuan tentang apa yang kami sebutkan atau dia tidak berjalan di atas bidang 'ilmiah sama sekali. Dan ALLah subahanahu wa ta'ala Maha Tinggi lagi Maha Mengetahui.

Sumber : Prof Dr Ali Jum’ah, Penjelasan Terhadap Masalah-masalah KhilafiahAl Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, .2008, Penerbitan Dar Hakamah, Selangor

SUMBER:

21 Syarat Takbiratul Ihram

Faslun, bermula takbiratul ihram iaitu ada 21 syarat iaitu:

 

1 ) Ditakbir (dilafaz) dengan bahasa Arab (hal keadaan) bagi orang

yang kuasa (mampu) (bertutur) dengan dia (bahasa Arab), dan

jika tiada (kuasa) (nescaya) diterjemah akan dia  (takbiratul

ihram) dengan barang apa bahasa ada ia (walau apa pun bahasa

selain bahasa Arab).

 

2 ) Dan dengan lafaz الله

 

3 ) Dan dengan lafaz أكبر

 

4 ) Dan dengan tertib antara keduanya (dahulukan lafaz الله sebelum

lafaz أكبر )

 

5 ) Dan pada ketika berdiri (betul) (bagi yang mampu berdiri)

pada sembahyang fardhu.

 

6 ) Dan ketiadaan mad (panjang 2 harkat atau lebih, mesti dibaca

pendek iaitu satu harkat sahaja)  akan hamzah (wasol) lafaz  الله

*satu alif = 2 harkat

satu harkat = 2 gerak anak jari buka dan tutup dari genggaman.

 

7 ) Dan tiada menggugurkan lafaz hamzah (qoto’)  أكبر

* contoh: الله كبر

 

8 ) Dan ketiadaan mad akan ba’ أكبر

*contoh :  أكبار

 

9 ) Dan ketiadaan tasydid akan dia (ba’ أكبر)

*contoh: أكبّر

 

10) Dan ketiadaan menambah wau sakin atau yang berbaris antara

2 kalimahnya ( الله  dan أكبر ).

*contoh: اللهو أكبر

الله وَأكبر

 

11) Dan ketiadaan wau dahulu daripada lafaz الله

*contoh: والله

 

12) Dan ketiadaan menukar hamzah (أكبر) dengan wau.

*contoh: الله وكبر

 

13) Dan ketiadaan menukar kaf أكبر itu dengan hamzah (أكبر)

*contoh: كأبر

 

14) Dan ketiadaan memanjang akan alif yang antara lam dan ha’

(الله) itu lebih daripada 14 harkat.

 

15) Dan ketiadaan diam yang panjang antara dua kalimahnya

(takbiratul ihram) iaitu diam yang lebih daripada kadar

bernafas dan penat atau diam yang pendek yang diqosad

dengan dia memutus akan takbirnya.

 

16) Dan memperdengar akan dirinya akan sekelian hurufnya

 

17) Dan masuk waktu

 

18) Dan padahal menghadap qiblat

 

19) Dan dita’khir akan dia (takbiratul ma’mum) kemudian

daripada takbiratul ihram imamnya pada hak makmum

 

20) Dan ketiadaan mempaling akan dia daripada takbiratul ihram

kepada takbir yang lain daripadanya

 

21) Wajib dimuqoronah ertinya diserta akan niat sembahyang itu

dengan dia (takbiratul ihram).

 

Rujukan: Hidayatus Sibyan karangan Abu Abdullah Hussain Nasir bin

Muhammad Taib al-Mas’udi al-Banjari