Monday, 12 September 2011

Bagaimana Memotivasikan (Mendorongkan) Khusyu’ Dalam Sembahyang?




Untuk mendapat khusyu’ dalam sembahyang, terutamanya hendaklah kita berdo’a memohon restu kepada Allah Azza wa Jalla supaya Dia mengurniakan kepada kita khusyu’, taufiq hidayah dan ‘inayahNya dalam mengerjakan ‘ibadat sembahyang, di samping kita melaksanakan usaha-usaha dan langkah-langkah berikut:

 

1 ) Sebelum masuk bertakbiratul ihram, terlebih dahulu anda mestilah mempunyai kesedaran  ((الوعي  : Bahawa anda bersembahyang adalah mengadap dan menyembah Allah Yang Maha Besar.

 

Anda mestilah faham : Kenapa disunatkan bang (azan) dan iqamat sebelum sembahyang? Jawabnya: Ialah untuk menimbulkan dalam jiwa seseorang rasa kasih sayang dan rindu kepada Allah, serta pengagungan  terhadapNya. Langsung dengan mendengar seruan bang dan qamat itu menaikkan semangat, lalu dia bangun dengan penuh segar dan cergas, bukan dengan keadaan malas dan lemah. Bang dan qamat telah merangsang dan memberi kesedaran kepada jiwanya: Bahawa Tuhan yang akan disembahNya nanti bukanlah patung berhala yang kaku beku, pekak bisu, buta tuli dan tiada daya upaya. Tetapi Tuhan yang disembahNya itu adalah Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya, yang benar-benar ada, bukan yang hanya khayalan. Dia Tuhan Yang Maha Besar, Yang Maha Agung, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Mendengar, Yang Maha Melihat, lagi Yang Maha Sempurna… Ya, Allah melihat perbuatan solatnya dan lagi Allah mengetahui batin dirinya: samada dia bersembahyang atau  bermain wayang dalam sembahyang.

 

Dia sedar bahawa Allah yang akan disembahNya nanti adalah Tuhan yang telah menjadikannya, yang telah melimpah kurniakan ke atasnya dengan berbagai ni’mat yang tidak terkira banyak dan amat besar nilainya. Ni’mat paling terbesar ialah ni’mat iman, taufiq, hidayah dan ‘inayahNya. Kemudian disusuli pula ni’mat hidup, sihat, rezeki dan lain-lain lagi yang tidak mampu dihitung oleh dirinya yang serba lemah dan kekurangan.

 

Dengan adanya kesedaran tersebut baharulah hatinya merasa keagungan, kebesaran, ketinggian, kemuliaan, kemurahan, dan kebaikan Allah. Dari situ lahirlah rasa syukur dan rasa kasih sayang kepada Allah Tuhan yang akan disembahNya nanti. Justeru itu ‘ibadat yang akan dilaksanakan itu nanti akan dilakukan dengan penuh rela, penuh lazat, penuh ni’mat dan sedap. Dengan itu kosonglah hati sanubarinya dari ingatan kepada dunia dan segala isinya, hanya Allah dan perkara-perkara keutamaan yang berkaitan dengan sembahyang sahaja yang diingatinya. Dengan itu jadilah hatinya dalam sembahyangnya nanti penuh bermunajat dengan Allah s.w.t, lalu terhasillah khusyu’ dalam sembahyangnya.

 

2 ) Kosongkan hati sanubari dari mengasihi, memikir dan mengingati urusan-urusan dunia dan segala isinya ketika bersembahyang.

 

Ingatlah! Bahawa urusan-urusan dunia yang belum selesai anda kerjakan atau yang anda akan laksanakan nanti tidak dapat pun dibuat ketika anda bersembahyang. Oleh itu tunggulah selepas selesai sembahyang nanti. Kemudian fikir dan rancanglah sebanyak mungkin sesudah selesai sembahyang nanti. Tiada gunanya difikirkan semasa bersembahyang, dia akan merosakkan sembahyang anda jua.

 

3 ) Ketika bersembahyang, hati hendaklah berqiblatkan Allah (ingatkan kepada Allah), atau dengan kata yang lain: Hati hendaklah sentiasa mengingati Allah yang diistilah juga dengan   حضور القلب  (hadhir hati bersama Allah).

 

Hudhur  al-qalb ini hendaklah diusaha dengan bersungguh-sungguh hingga sampai kepada kepada maqam Ihsan yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w:

 

"الإحسان أن تعبد الله كأنك تراه، فإن لم تكن تراه فإنه يراك".



Bermaksud: Ihsan itu ialah anda ber’ibadat kepada Allah seola-olah anda melihatNya, maka sekiranya anda tidak dapat melihatNya (dengan mata lendir) maka sesungguhnya Allah melihat anda.

 

Untuk mencapai hudhur al-qalb ini hendaklah anda ingat gunakan pelajaran ilmu Tauhid yang telah anda pelajari yang mengatakan: Bahawa Allah itu Yang Maha Ada, Yang Maha Hidup, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Mendengar lagi Yang Maha Melihat.

 

Untuk memperkukuhkan lagi ingatan ini, cubalah anda mengulang-ulangkan dalam hati anda sebelum bertakbiratul ihram  akan ungkapan kata pesanan Muhammad bin Sawwar kepada anak saudaranya, Sahl bin Abdullah at-Tustari. Ungkapan itu berbunyi:

 

الله معي، الله ناظر إلي، الله شاهدي.



Ertinya: Allah bersama saya, Allah melihat saya, Allah menyaksi saya.

 

Selain itu, untuk mencapai hudhur al-qalb dalam sembahyang hendaklah juga anda memperbanyakkan zikrullah di masa di luar sembahyang dengan berwirid, bertawajjuh, dan bersuluk; semoga dengan usaha itu hati anda menjadi sebati dengan ingatan terhadap Allah sehinggakan terbawa dalam sembahyang dan di luar sembahyang.

 

4 ) Tanamkan rasa cinta kasih (الحب)  yang mendalam tanpa terbelah bahagi terhadap Allah.

 

Perasaan cinta kasih ini tidak akan timbul kecuali terlebih dahulu anda mengenal Allah Ta’ala ( معرفة الله ). Peribahasa pun ada berkata: “Tak kenal maka tidak cinta”, dan “Baharu kenal belum mesra lagi”.

 

Oleh itu untuk mendapat  khusyu’ dalam sembahyang hendaklah anda mengenali Allah terlebih dahulu. Paling kurangnya anda mengenaliNya: Bahawa Dia adalah Tuhan anda yang telah menciptakan anda, yang telah member rezeki kepada anda.

 

Anda memang amat bertuah sekali kerana Dia telah memilih anda menjadi seorang muslim. Dia amat berbuat baik kepada anda. Dia telah melimpahkan ke atas anda kurniaan ni’mat dan rahmatNya yang tak dapat dibayar dengan langit dan bumi serta seluruh isi kandungannya. Dengan benar-benar mengenali dan mengingati kebaikan Allah kepada anda itu akan melahirkan kasih kepadaNya, dan dengan cinta kasih itulah akan menghasilkan ‘ibadat solat yang amat indah, yang amat manis, yang amat enak, yang amat sedap lagi amat lazat citarasanya, lalulah diri anda tenggelam dalam ni’mat yang amat quddus dapat memadu kasih dengan sebenar-benar kekasih iaitu Allah s.w.t.

 

5 ) Menaruh perasaan at-ta’zim (التعظيم) yakni merasai keagungan, kebesaran, ketinggian, dan kesucian Allah yang sedang dia menghadap dan menyembahNya.

 

Perasaan mengagungkan Allah ini akan lahir dalam hati kita sekiranya kita ada kesedaran diri (mengenal diri) dan ma’rifatullah. Oleh itu pupuklah kesedaran ini dan pertingkatkan ma’rifatullah dengan mempelajari  dan mengamali ilmu Tauhid dan Tasawwuf.

 

6 ) Menaruh perasaan al-Haibah  (الهيبة) dan al-khauf (الخوف) yakni merasa gerun dan hebat berhadapan  dengan Allah serta merasa takut dan bimbang kiranya sembahyang anda tidak diterima Allah, bahkan dimurkaiNya pula.

 

Perasaan takut dan gerun kepada Allah ini pun akan lahir dalam hati dengan adanya kesedaran ma’rifatullah. Firman Allah:

 

إنما يخشى الله من عباده العلماء (28:فاطر).



Maksudnya: Sesungguhnya yang takut kepada Allah daripada segala hambaNya ialah para ulama.

 

7 ) Menaruh sepenuh harapan (الرجاء) kepada Allah s.w.t supaya Dia menerima ‘ibadat  sembahyang anda.

 

Ulangkan selalu dalam hati anda sebelum bertakbiratul ihram akan ucapan para sufi:

 

إلهي أنت مقصودي، ورضاك مطلوبي.



Ertinya: Tuhanku! Engkaulah jua maksud tujuanku, dan keredhaanMu jua tuntutanku.

 

 

8 ) Merasa malu (الحياء) kepada Allah Azza wa Jalla. Malu kerana kekurangan, kecacatan, kecuaian dan kelalaian yang berlaku dalam sembahyang samada dari segi bacaan, penghayatan pengertian bacaan, perlakuan perbuatan kekhusyu’kan hati terhadap Allah yang sedang disembahnya.

 

Dengan adanya perasaan kasih, pengagungan,  gerun dan takut, harapan dan malu kepada Allah Jalla Jalaluh sebagaimana yang tersebut baharulah nanti akan timbul kesungguhan dan khusyu’ dalam mengerjakan sembahyang.

 

9 ) Memahami dan mengerti bacaan-bacaan  yang dibaca (التفهم), paling kurangnya mengetahui tujuan-tujuan dan maksud-maksudnya.

 

10 ) Menghindarkan situasi-situasi dan keadaan-keadaan yang mengganggu serta memalingkan hati dari khusyu’ seperti kebisingan, kerunsingan hati, keliaran, pandangan mata, lintasan-lintasan hati, keletihan tubuh badan dan lain-lain lagi.

 

11 ) Mendengar cerita-cerita orang yang khusyu’ dalam sembahyang.

 

12 ) Hendaklah selalu megulangi dan mengingati firman-firman Allah dan sabda-sabda rasulNya yang berikut:

 

Firman Allah:

 

وأقم الصلاة لذكري (14: طه .



Bermaksud: Dan dirikanlah sembahyang untuk mengingatiKu.

 

 

 

فاذكرني أذكركم (152: البقرة).



Bermaksud: Oleh itu, ingatlah kamu kepada Aku nescaya Aku ingat kepada kamu.

 

ولا تكن من الغافلين (205: الأعراف).



Bermaksud: Dan janganlah kamu menjadi dari golongan orang-orang yang lalai.

 

فويل للمصلين، الذين هم عن صلاتهم ساهون (4-5: الماعون).



Bermaksud: Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solat mereka.

 

Sabda Rasulullah s.a.w:

 

"إن العبد ليصلي الصلاة لا يكتب له سدسها ولا عشرها، وإنما يكتب للعبد من صلاته ما عقل منها".



Bermaksud: Sesungguhnya hamba bersembahyang ia, padahal tidak ditulis padanya pahala:

Seperenam pun tidak, dan sepersepuluh pun tidak; hanya sanya ditulis untuk hamba itu pahala mengikut apa yang diingatkan oleh akalnya dari ‘ibadat sembahyangnya. (Diriwayatkan oleh Abu Daud, an-Nasaie dan Ibnu Hibban).

 

"كم من قائم حظه من صلاته التعب والنصب".



Bermaksud: Berapa ramai orang yang mendirikan sembahyang adalah habuan daripada sembahyangnya hanyalah kepenatan dan keletihan jua. (Hadith riwayat Ibnu Majah).

 

"أول ما يحاسب عليه العبد يوم القيامة الصلاة، فإن  صلحت صلح سائر عمله، وإن فسدت فسد سائر عمله".



Bermaksud: Awal-awal perkara yang dihisab atas hamba pada hari Kiamat ialah sembahyang. Maka sekiranya ianya elok eloklah lain-lain amalannya (diterima Allah), dan sekiranya ianya rosak nescaya rosaklah lain-lain amalannya (ditolak oleh Allah). (Diriwayatkan oleh at-Tobrani).

 

13 ) Menyedari dan memahami bahawa sembahyang merupakan dialog dan munajat hamba dengan Tuhannya.

 

Sembahyang adalah penghubung langsung antara si hamba dengan Tuhannya. Sabda Rasulullah s.a.w:

 

"لا يزال الله مقبلا على العبد في صلاته ما لم يلتفت فإذا صرف وجهه انصرف عنه".



Bermaksud: Sentiasalah Allah berhadap kepada hambaNya di dalam sembahyangnya selama dia tidak berpaling (kepada yang lain daripadaNya). (Hadith riwayat Ahmad dan Abu Daud, an-Nasaie, Ibnu Khuzaimah dan al-Hakim).

 

Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan hadith qudsi, bahawa beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Azza wa Jalla telah berfirman:

 

"قسمت الصلاة بيني وبين عبدي نصفين، ولعبدي ما سأل".



Maksudnya: Aku telah bahagikan solat (yakni bacaan al-Fatihah itu) di antaraKu dan diantara hambaKu kepada dua bahagian, dan untuk hambaKu apa yang dia mohon.

 

 

 

 

فإذا قال العبد: الحمد لله رب العلمين، قال الله: حمدني عبدي



Maksudnya: Maka apabila hamba berkata:   الحمد لله رب العلمين(Kepujian bagi Allah Tuhan sekelian alam), Allah menjawab: Hambaku telah memujiKu.

وإذا قال: الرحمن الرحيم. قال الله: أثنى علي عبدي.



Maksudnya:  Dan apabila hamba berkata: الرحمن الرحيم (Allah yang Maha Pemurah yang Maha Pengasihani), Allah menjawab: HambaKu telah menyanjungiKu.

 

فإذا قال: مالك يوم الدين. قال الله: مجدني عبدي وقال مرة: فوض إلي عبدي.



Maksudnya: Maka apabila hamba berkata مالك يوم الدين (Allah yang memiliki hari pembalasan), Allah menjawab: HambaKu telah mengagungkan Daku. Kadang-kadang Allah menjawab: HambaKu telah menyerah diri kepadaKu.

 

فإذا قال: إياك نعبد وإيااك نستعين. قال: هذا بيني وبين عبدي ولعبدي ما سأل.



Maksudnya: Maka apabila hamba berkata: إياك نعبد وإياك نستعين (Akan Dikau jua kami ber’ibadat dan akan Dikau jua kami meminta tolong), Allah menjawab: Inilah (perjanjian) antaraKu dan hambaKu, dan bagi hambaKu yang dia mohon.

 

فإذا قال: اهدنا الصراط المستقيم، صراط الذين أنعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولا الضالين. قال الله: هذا لعبدي ولعبدي ما سأل.



Maksudnya: Maka apabila hamba berkata:  : اهدنا الصراط المستقيم، صراط الذين أنعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولا الضالين (Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan orang yang telah Engkau kurniakan ni’mat keatas mereka itu, bukan (jalan) orang yang dimurkai atas mereka itu, dan bukan (jalan) orang-orang yang sesat, Allah menjawab: Inilah untuk hambaKu, dan bagi hambaKu apa yang dia mohon.

Kesimpulannya: Untuk memperolehi khusyu’ dalam sembahyang bukanlah sesuatu perkara yang mudah, atau pun semudah apa yang telah disebutkan dalam usaha-usaha dan langkah-langkah untuk mendapat khusyu’ itu. Dikatakan begitu, kerana kita manusia ini pada dalaman dirinya mempunyai khayalan fikiran, lintasan hati, emosi, imaginasi, fantasi, nostalgia, deria lihat, deria dengar, deria rasa, hawa nafsu dan cita berahi kepada dunia. Sementara di luaran pula ada bisikan-bisikan Iblis dan syaitan yang acap kali berjaya meresap ke dalam lubuk hati lalu bersekongkol dengan nafsu ammarah yang sedia ada dalam diri manusia.

 

Oleh itu untuk mencapai khusyu’ ini, anda perlu kepada mujahadah, ketabahan, kesungguhan, daya tahan, keazaman dan permohonan do’a kepada Allah yang Maha Pemurah lagi yang Maha Pengasihani, kerana kuasa mutlaknya terletak kepadaNya jua.

 

"ولا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم"



          Kita adalah diperintah untuk berusaha sedaya upaya dengan penuh tawakkal dan tafwidh sedangkan Dia telah berjanji akan merestuinya jika benar-benar kita ikhlas. FirmanNya:

 

والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا، وإن الله لمع المحسنين (69: العنكبوت).



Maksudnya: Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh pada (jalan) Kami, sesungguhnya Kami akan menghidayatkan mereka ke jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

 

Rujukan:  Fiqh Solat oleh Haji Engku Ali bin Engku Endut

(Muhammad) al-‘Idrusi Terbitan Syarikat Jaffar Rawas

Sdn. Bhd.

 

 

Saturday, 10 September 2011

HALAL,SYUBHAH DAN HARAM

Jenis-Jenis yang halal


Ketahuilah bahawa keterangan yang halal dan yang haram itu dapat dipelajari perinciannya di dalam kitab-kitab fiqh. Seorang murid tidak perlu lagi kepada huraian yang lebih lengkap, sebab di situ telah pun diterangkan mana-mana makanan yang telah difatwakan hukumnya sebagai yang halal, dan ia tidak lagi perlu mencari makanan selain dari yang telah ditentukan itu.

Tetapi bagi orang yang memang sikapnya suka memakan bermacam-macam makanan, maka sudah tentulah ia memerlukan untuk mendalami ilmu agama yang menentukan mana yang dikatakan halal, dan mana pula dikatakan haram.

Kini kita suka menunjukkan satu kesimpulan dalam pokok pembahagiannya; iaitu:

1.      Sesuatu benda itu menjadi haram kerana keadaan zat benda itu sendiri, ataupun

2.      Sesuatu itu menjadi haram kerana sesuatu punca dari segi cara memperolehinya.

 

 

Membersihkan diri dan cara membelanjakan harta yang haram


Ada tiga cara untuk membersihkan diri dengan membelanjakan harta yang haram iaitu:

(1) Jika harta itu ada pemiliknya yang tertentu, maka hendaklah ia diserahkan kepadanya. Jika ia sudah mati hendaklah diserahkan kepada ali warisnya. Jika ia tidak ada di dalam negeri (ghaib), maka hendaklah ditunggu kembalinya, ataupun dikirimkan harta itu kepadanya.

Begitu pula jika harta itu bertambah atau ada hasilnya, maka hendaklah ia menyimpan segala faedah-faedah harta itu, sehingga pemiliknya kembali semula ke negeri itu, di mana harta itu harus diserahkan kepadanya.

(2) Jika harta itu tidak diketahui pemiliknya yang tertentu, dan setelah dicari tiada ditemui pula, dan tiada juga diketahui sama ada ia telah mati atau telah meninggalkan waris-waris yang tertentu.

Dalam hal ini tiada boleh dikembalikan kepada pemiliknya, malah ditahan harta itu sehingga ternyata perkaranya. Atau mungkin juga tiada boleh dikembalikan disebabkan orang yang mendakwa menjadi pemiliknya amat banyak bilangannya, sehingga sukar hendak ditentukan yang mana satu.

Dalam misal-misal yang tersebut, sewajarnyalah harta itu disedekahkan, sehingga tiada terbiar begitu saja, dan lenyap manfaatnya kepada pemilik mahupun orang lain. Sekiranya ia sendiri seorang fakir yang berhak menerima sedekah maka boleh diambil dari harta itu sekadarnya sebagai sedekah untuk dibelanjakan atas dirinya dan atas tanggungannya.

(3) Jika harta itu berasal dari rampasan perang, ataupun daripada milik badan-badan yang menguruskan kepentingan kaum Muslimin, maka hendaklah ia dibelanjakan kepada maslahat umum, seperti membina jambatan-jambatan, masjid-masjid, sekolah-sekolah agama dan jalan-jalan yang menyampaikan orang ramai ke Makkah al-Mukarramah, ataupun yang seumpamanya, yang mana manfaatnya dapat dirasakan oleh seumum kaum Muslimin bersama.

 

 

Membersihkan diri dan cara memisahkan harta yang haram


Seorang yang bertaubat, dan dalam simpanannya ada sesuatu barang haram yang sudah tertentu bendanya, seperti yang diambilnya dari rampasan atau yang diamanahkan kepadanya atau sebagainya, maka perkaranya senang sekali; iaitu hendaklah ia memisahkan benda haram itu berasingan dan kembalikan kepada pemiliknya atau warisnya.

Sekiranya benda itu telah bercampur aduk, ataupun tidak dapat dipisahkan, misalnya benda yang serupa bentuknya seperti biji-bijian, mata wang, minyak; ataupun benda-benda yang boleh ditentukan seperti rumah atau pakaian, ataupun benda-benda yang serupa jenisnya dan yang biasa berlaku pada harta kekayaan, seperti seorang yang mendapat wang menerusi perniagaan tetapi dia pernah berbohong dalam setengah perniagaannya ataupun seperti seorang yang mencuri minyak lalu ia mencampurkan minyak itu dengan minyak yang dipunyainya, demikian pula jika dia melakukan yang sama pada biji-bijian, atau wangnya.

Hukumnya jika benda yang dicampurkan itu diketahui kadarnya, seperti dia mengetahui bahawa separuh dari jumlah hartanya itu adalah haram, maka wajiblah ia memisahkan kadar yang separuh lagi.

Tetapi jika ia terkeliru, maka baginya ada dua jalan:

(1) Berpegang kepada apa yang diyakininya.

(2) Berpegang kepada yang lebih diberatkan oleh sangkaanya.

Mengambil sikap yang pertama lebih utama dari segi kewara’an, iaitu dengan memiliki hanya kadar yang sudah diyakini oleh dirinya sebagai halal saja.

Masalah: Barangsiapa mewarisi harta pusaka, sedang ia tiada mengetahui dari mana harta itu diperolehi oleh orang yang mewariskannya (orang mati itu); apakah dari usaha yang halal ataupun dari usaha yang haram dan tiada pula tanda-tanda yang menentukan perkara sebenar tentang harta itu, maka para ulama sepakat menghukumkan bahawa harta itu halal.

Tetapi jika ia mengetahui bahawa harta itu bercampur dengan yang haram, malangnya ia tiada mengetahui berapa kadarnya; maka dalam misal seumpama ini hendaklah ia mengeluarkan kadar yang disangsikan haram itu setelah ia menghalusi perkara itu. Sekiranya ia mengetahui, bahawa sebahagian dari hartanya diperolehi secara penganiyaan, maka wajiblah ia mengeluarkan kadar yang disangsikan itu dengan berijtihad.

Ada pula setengah ulama mengatakan, tidak wajib ia mengeluarkan bahagian itu, dan dosanya tertimpa atas orang yang mewariskan harta itu.

 

 

 

Cara membersihkan diri dari penganiayaan kewangan


Ketahuilah, bahawa setiap orang yang bertaubat sedangkan dalam tangannya masih ada lagi harta yang bercampur aduk dengan yang haram, maka tugas utamanya ialah membedakan yang haram dan memisahkannya tersendiri.

Sesudah itu, ada suatu tugas lain, iaitu mengeluarkannya dan membelanjakannya. Kedua perkara ini harus diperhatikan oleh orang itu dengan cara-cara berikut:

1.      Cara Memisahkan Harta Yang Haram

2.      Cara Membelanjakan Harta Yang Haram

Ulasan lanjut akan disiarkan dalam posting berikut nanti.

 

 

 

Perbahasan lanjut tentang haram dan halal


Ketahuilah bahawasanya setiap orang yang ingin memberikan kepada anda makanan atau hadiah, ataupun anda ingin membeli sesuatu daripadanya atau hendak memberikan sesuatu kepadanya, tidak perlulah anda memeriksa terlebih dulu, ataupun bertanyakan latar belakangnya, atau anda berkata pada diri sendiri: Ini antara hal yang belum aku meyakini penghalalannya, tidak patut aku menerima sekarang, bahkan aku harus memeriksanya terlebih dulu.

Dalam pada itu, bukanlah dalam semua hal harus mengambil sikap seperti di atas tadi, bahkan pada sesetengah persoalan harus menyelidiki dan bertanya, terutama sekali dalam perkara syubhah yang masih diragukan.

Punca keraguan itu harus ditujukan kepada orang yang mempunyai harta itu, sama ada peribadinya masih diragukan, ataupun kejujurannya memang sudah terkenal dengan adanya sangkaan yang bersandarkan kepada bukti-bukti yang tertentu.

Kemudian kepada harta bendanya pula, adakah percampuran yang haram dengan yang halal, ataupun yang haram lebih banyak dengan adanya bukti-bukti yang sah. Andaikata yang haram lebih sedikit, ataupun pada sangkaannya memang tidak mungkin ada yang haram pada hartanya ketika itu, maka memakan dari hidangannya tidaklah haram hukumnya. Tetapi sewajarnya ia menyiasat untuk meyakinkan dirinya dan kalau boleh ditinggalkan lebih baik sebagai tanda kewara’an.

Pertanyaan boleh diajukan kepada tuan punya harta itu, kiranya ia tiada terkira curang dalam usahanya. Tetapi kiranya ia memang terkenal curang, umpamanya ia tiada mengenal jalan halal dalam mengusahakan kekayaan, ataupun kata-katanya memang tidak dapat dipercayai, ataupun amanahnya masih dicurigai, maka hendaklah diajukan pertanyaan itu kepada orang lain.

Apabila perkaranya diberitahu oleh seorang yang dipercayai sekalipun seorang saja, maka berita itu harus diterima dan dipercayai.

Begitu pula, jika perkaranya diberitahu oleh orang fasik yang kebenarannya tidak dapat disangsikan, kerana tidak ada maslahat sampai ia boleh berbohong, maka boleh juga berita itu diterima dan dipercayai. Sebab maksud utama berita itu, ialah keyakinan dalam diri, dan dalam perkara serupa ini tempat yang menentukan ialah hati. Manakala hati pula mempunyai perhatian terhadap semua gerak-geri yang tersembunyi yang tidak dapat dijangkau oleh kuasa renungan lahiriah.

Oleh itu hendaklah diperhatikan perkara ini dengan sehalus-halusnya. Apabila hati merasa tenang puas, maka menghindarkan diri dari perkara-perkara yang tidak suci menjadi suatu kewajiban yang mesti.

 

 

Peringatan berhubung kewara’an


Tiada harus seseorang itu mementingkan persoalan-persoalan kewara’an, melainkan dengan bimbingan seorang alim yang teliti. Sebab kiranya ia melampaui batas yang ditentukan, lalu membuat sesuka hati tanpa berpandukan kepada arahan-arahan yang tertentu, nescaya akan timbul perkara-perkara yang membinasakan lebih banyak daripada perkara-perkara yang membaikkan.

Orang-orang yang berlebihan-lebihan dalam kewara’an dikhuatirkan akan termasuk ke dalam golongan mereka yang disifatkan oleh Allah Ta’ala dalam firmanNya:

“Mereka itulah orang-orang yang sesat perjalanannya dalam kehidupan dunia, sedang mereka menyangka bahawasanya mereka melakukan sesuatu perkara yang baik.” (al-Kahf: 104)

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Keutamaan orang alim ke atas orang ‘abid (banyak ibadatnya) seperti keutamaanku ke atas orang yang paling rendah dari para sahabatku.”

 

 

Timbulnya syubhah kerana ada bercampur-aduknya antara yang halal dengan yang haram


Syubhah ini timbul kerana ada bercampur-aduknya antara yang halal dengan yang haram, sedangkan perkaranya tidak boleh diperbedakan, ataupun dipisahkan antara satu dengan yang lain.

Percampuran itu ada bermacam-macam contohnya:

(1) Percampuran yang berlaku dengan bilangan yang tertentu, misalnya seekor bangkai yang bercampur aduk dengan seekor binatang yang disembelih, ataupun bercampur aduk dengan sepuluh ekor binatang yang disembelih.

Contoh yang lain: Seorang saudara perempuan sesusuan bercampur aduk dengan sepuluh orang wanita lain (yang tiada dikenali mana satu).

Inilah syubhah yang wajib dijauhi menurut ijma’ para ulama, kerana amat sukar dan tidak ada jalan sama sekali untuk menyiasat atau berijtihad lagi, apatah lagi jika tanda-tandanya tidak dapat dikenali.

Menurut dasar hukum, yang bercampur aduk dengan bilangan yang tertentu (kecil) jadilah ia seperti benda yang satu, dan kemungkinan keyakinan penghalalanya dan pengharamannya sama sedarjat.

Dengan itu hujah untuk memberatkan penghalalannya menjadi lemah, sedangkan wajah larangannya dianggap lebih berat dalam kacamata syariat Islam, maka oleh itu hukum larangannya lebih diberatkan.

(2) Percampuran haram yang sedikit dengan halal yang banyak. Misalnya: Jika bercampur seorang saudara perempuan sesusuan atau sepuluh saudara perempuan sesusuan dengan sekalian penduduk wanita sebuah negeri yang luas. Maka hukumnya tiadalah dilarang ia untuk berkahwin dengan sesiapa saja yang dipilihnya dari wanita-wanita negeri itu.

Alasannya ialah kemungkinan halalnya lebih berat, dan keperluan kepada perkahwinan pula tidak boleh ditahan. Seorang yang kehilangan saudara sesusuannya atau adik beradiknya, atau mahramnya kerana sebab beripar-ipar, ataupun kerana sebab-sebab lain, tiadalah wajar untuk ditutup kepadanya pintu perkahwinan.

Begitulah pula, jika ia meyakini bahawa semua harta kekayaan dunia ini telah bercampur aduk dengan yang haram, tidaklah wajib baginya meninggalkan membeli barang atau memakan sesuatu, kerana yang demikian itu akan menimbulkan kesukaran pada jiwa dan diri.

Firman Allah Ta’ala:

“Allah tiada membuat kesukaran ke atas kamu dalam perkara agama.” (al-Haj: 78)

Perihal semacam ini pernah berlaku dalam zaman Rasulullah s.a.w. iaitu pernah dicuri perisai dalam zamannya ataupun pernah digelapkan sehelai baju ‘aba’ah dari harta rampasan perang, maka tiada seorang pun yang menahan dirinya dari membeli perisai atau baju ‘aba’ah dalam dunia. Begitu pula halnya kepada segala barang-barang curian yang lain.

Demikianlah halnya dengan keadaan Rasulullah s.a.w., baginda mengetahui adanya orang yang ber mu’amalah dengan riba (bunga) pada hartanya, dirhamnya atau dinarnya tetapi Rasulullah s.a.w. dan para sahabat tidak pernah meninggalkan penggunaan dirham atau dinar sekali.

Adapun jika bercampur antara haram yang banyak dengan halal yang banyak yang tak dapat dihitung banyaknya, iaitu sebagaimana yang berlaku pada zaman kita ini, maka hukumnya tiadalah terlarang menggunakan sesuatu hanya semata-mata disebabkan percampuran itu, sama ada berkemungkinan ia dari yang haram ataupun yang halal, sehingga dapat dikesan atau terbukti pada benda itu tanda-tanda yang menunjukkan ia itu haram.

Jika ada orang yang mendakwa, bahawa kebanyakan harta kekayaan pada zaman kita ini haram, maka itu adalah suatu dakwaan yang salah dan keliru. Mungkin dakwaan itu timbul kerana kebanyakkan manusia hari ini telah rosak moralnya, dan mereka membanggakan keadaan itu, sekalipun perkara ini, jarang-jarang berlaku pada sesuatu tempat yang tertentu.

Mungkin sekali kerana ia menganggap bahawa penzina-penzina dan peminum-peminum arak telah berleluasa di mana-mana tempat, sebagaimana berleluasanya perbuatan perkara-perkara haram yang lain, sehingga ia mengira orang-orang yang membuat kesalahan ini lebih banyak dari yang lainnya. Ternyata sangkaan serupa ini adalah salah, kerana mereka ini adalah sedikit bilangannya, jika dibandingkan dengan yang lain-lainnya, meskipun jumlahnya semakin bertambah.

Kesimpulannya, sesuatu benda itu dihukumkan halal selagi tidak ada padanya tanda-tanda yang tertentu yang menunjukkan bahawa ia itu haram.

 

 

Syubhah – keraguan pada sebab-sebab menghalalkan atau yang mengharamkan


Dalam persoalan syubhah ini, wajar diperhatikan jika adanya keraguan pada sebab-sebab yang menghalalkan atau yang mengharamkan.

Kiranya kedua-dua kemungkinan halal dan haramnya itu sama, maka hukumnya dikembalikan kepada hukum yang telah ada sebelumnya, dan hukum inilah yang harus dipegang, dan tidak boleh ditinggalkan perkaranya terbiar di dalam keraguan terus-menerus.

Kemudian andaikata suatu kemungkinan baru ditimbulkan, mengalahkan (mengatasi) kemungkinan yang telah ada serta dibuktikan dengan dalil-dalil yang kuat dan mu’tabar (sah), maka hendaklah dihukumkan menurut kemungkinan yang baru yang telah mengatasinya itu.

Perkara-perkara serupa ini tidak akan jelas melainkan dengan contoh-contoh dan dalil-dalil yang terang, maka oleh itu kami bahagikan kepada empat bahagian:

(1) Perkara yang telah nyata pengharamannya sebelum itu, kemudian timbullah keraguan dalam dalil atau hujah untuk menghalalkannya. Perkara serupa inilah yang dikatakan syubhah yang harus dijauhi dan diharamkan memberanikan diri untuk menghalalkannya.

(2) Perkara yang sudah diketahui penghalalannya lalu timbullah keraguan dalam dalil atau hujah untuk mengharamkannya. Maka hukumnya yang diberatkan ialah halal dan harus dipegang dengan hukum yang tersebut.

(3) Perkara yang asalnya sudah jelas haram, akan tetapi timbullah sesuatu sebab yang mewajibkan perkara itu menjadi halal dengan suatu sangkaan yang kuat, sedangkan perkara itu masih juga dalam keraguan, hanya yang patut diberatkan ialah penghalalannya.

Dalam perkara serupa ini haruslah diperhatikan sebabnya terlebih dulu. Kiranya kemungkinan penghalalannya bersandar kepada suatu sebab yang mu’tabar dalam hukum syariat, maka hukum yang dipilih untuknya ialah halal, hanya menjauhinya dikira suatu kewara’an.

Misalnya: Seseorang pemburu memanah seekor buruan, tetapi binatang itu dapat melarikan diri sehingga bila ditemui didapati binatang itu sudah mati, dan tidak ada tanda-tanda lain pada badan binatang itu hanya anak panah pemburu itu saja, padahal berkemungkinan sekali bahawa binatang itu mati kerana jatuh terhempas atau kerana sebab-sebab lain, bukan kerana anak panah pemburu tadi.

Maka dalam hal yang serupa ini, hukum yang dipilih oleh syariat ialah halal, kerana luka tersebab anak panah tadi adalah sebab yang lahir yang menjadikan binatang itu mati, dan yang demikian itu telah terbukti. Jadi diberatkan hukum matinya binatang itu kerana terkena anak panah, dan bukan kerana sebab-sebab yang lain, dan kemungkinan matinya oleh sebab-sebab yang lain itu masih diragukan dan tidak ada buktinya.

Dalam istilah hukum syariat, sesuatu yang telah ditentukan keyakinannya tidak boleh ditolak dengan lahirnya keraguan yang belum tentu betul.

(4) Perkara yang sudah diketahui penghalalannya akan tetapi timbul sesuatu yang baru dalam kemungkinan yang memberatkan pengharamannya, bergantung atas sebab yang mu’tabar dalam syariat, maka hendaklah ditolak hukum asalnya yang halal dan dihukumkan haram.

Misalnya: Seorang yang meneliti keadaan dua bejana, lalu dengan ijtihadnya bersandarkan kepada sesuatu tanda yang tertentu, dia dapat menentukan kemungkinan salah satu dari dua bejana itu mengandungi najis, maka dalam hal serupa ini hendaklah dihukumkan haram meminum air dari bejana itu, sepertimana diharamkan mengambil wudhu’ dari air tersebut.

 

 

Beberapa persoalan berhubung syubhah


 

Dalam persoalan syubhah ini ada beberapa hal yang harus diperhatikan, iaitu:

1. Adanya keraguan pada sebab-sebab yang menghalalkan atau yang mengharamkan.

2. Syubhah yang timbul kerana bercampur-aduk antara yang halal dengan yang haram, sedangkan perkaranya tidak boleh diperbedakan, ataupun dipisahkan antara satu dengan yang lain.

3. Syubhah yang sebab penghalalannya berkait dengan maksiat. Ianya menjadi terlarang dalam cara berakad jual beli, meskipun akad jual beli itu tidak rosak, yakni tetap sah.

Ketiga-tiga perkara di atas akan diulas lanjut dalam posting akan datang.

 

 

Peringkat-peringkat syubhah


Bersabda Rasulullah s.a.w.

“Sesungguhnya yang halal itu telah nyata, dan haram juga telah nyata, dan di antara keduanya perkara-perkara yang masih diragukan (syubhah), yang kebanyakan orang ramai tiada mengetahui. Orang-orang yang memelihara diri dari perkara-perkara yang syubhah itu samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara-perkara yang syubhah itu akan tergelincir pula ke dalam perkara yang haram, laksana seorang pengembala yang sedang menggembala di sekitar tempat larangan, akhirnya ia lalai memasuki tempat larangan itu.”

Hadis tersebut merupakan suatu nas yang menunjukkan tiga bahagian dari peringkat-peringkat hukum, iaitu:

1. Perkara syubhah, iaitu peringkat yang paling rumit sekali antara tiga bahagian itu. Perkara syubhah ini biasanya banyak orang ramai tidak mengetahui, oleh itu haruslah ia diberikan penerangan seluas-luasnya, sebab perkara yang tiada diketahui orang ramai kadang-kadang diketahui pula oleh orang sedikit, jadi patutlah ia dijelaskan kepada orang ramai.

2. Perkara halal mutlak, atau halal yang sudah jelas hukumnya iaitu perkara yang telah sunyi zatnya (bendanya) dari segala sifat yang menyebabkan pengharaman pada benda itu, dan ia terlepas dari sebab-sebab yang menghukumkan pengharaman atau kemakhruhannya.

3. Perkara haram mahadh, atau haram yang sudah jelas hukumnya; iaitu perkara yang ada padanya sifat yang mengharamkan yang sudah tidak payah diragukan lagi, seperti arak kerana terlalu berat pengaruhnya terhadap diri, atau air kencing kerana sudah terang kenajisannya. Ataupun sesuatu yang diperolehi dengan cara-cara yang terlarang sama sekali oleh agama, seperti penghasilan sesuatu dengan jalan penganiayaan atau riba atau yang seumpamanya.

Dua perkara yang halal dan yang haram itu telah jelas hukumnya. Kemudian akan dimasukkan ke dalam dua kategori ini mana-mana yang telah ternyata perkaranya, tetapi besar kemungkinan berubah keadaannya kelak, dan kemungkinan perubahannya tidak ada sebab-sebab yang tertentu yang boleh menunjukkan kepada perubahan itu. Kemungkinan yang tiada dapat dicarikan dalilnya, sama seperti kemungkinan yang tiada pada bendanya.

Ada pun perkara syubhah itu ialah segala sesuatu yang belum jelasnya perkaranya, umpamanya dua keyakinan yang timbul dari dua sebab yang berkaitan dengan kedua-dua keyakinannya tadi.

 

 

 

Beberapa kisah kewara’an para siddiqin


Diceritakan suatu peristiwa dari Ibnu Sirin, bahawasanya ia telah menolak untuk menerima dari kongsinya wang sebanyak 4,000 dirham, kerana terlintas di dalam hatinya bahawa orang itu tidak bersih, meskipun para alim ulama dalam zamannya telah bersepakat mengatakan bahawa tidak ada apa-apa yang harus diragukan tentang wang tersebut.

Peristiwa lain yang diceritakan oleh setengah orang, bahawa seorang ahli salaf harus menerima wang yang diberi pinjam sebanyak 100 dirham dari seseorang yang berhutang. Apabila hutang itu mahu diselesaikan, dia hanya menerima 99 dirham saja, dibiarkan satu dirham yang baki pada si piutang, kerana dikhuatiri barangkali dengan menerima secukupnya 100 dirham itu nanti terdapat kelebihan dari hak yang mesti diterimanya.

Ada setengah mereka pula, bila dalam perniagaan, mereka sentiasa menerima kurang sebutir dalam timbangan dan bila menjual mereka sentiasa melebihkan sebutir pula.

Di antaranya ada pula yang menjaga betul-betul tentang barang-barang yang direlakan oleh orang, sama ada yang berupakan kelebihan atau kekurangan, kerana jika telah direlakan memanglah halal hukumnya. Tetapi dikhuatiri cara begitu akan membuka pintu, atau menjadi tabiat baginya untuk membuat perkara yang serupa kepada orang lain, sehingga tabiat itu menjadi biasa pula; iaitu bila memberi suka mengurangkan dan bila menerima suka dilebihkan. Dengan begitu, tidak dapat tidak jiwanya akan jauh dari bersifat wara’.

Membicarakan tentang kewara’an lagi, ada setengah orang sampai enggan mengambil debu dari tembok rumahnya sendiri, bila rumah itu disewakan, kerana dikhuartiri dia tiada berhak di atas debu itu.

Pernah diceritakan dari Khalifah Umar bin Abdul Aziz, pada suatu masa ketika beliau menyukat minyak wangi bagi kaum Muslimin, beliau menutup hidung supaya tidak tercium baunya. Setelah selesai menyukat, beliau lalu berujar kepada orang ramai di situ: Ya bukankah minyak wangi itu tidak ada manfaatnya selain dari baunya saja.

Cerita yang lain tentang kewara’an ialah ada seorang yang sedang menunggu orang yang sakit tenat, lalu pesakit itu pun meninggal dunia pada malamnya. Maka berkatalah orang yang menunggu itu tadi: Kini matikanlah lampu-lampu yang ada, kerana lampu-lampu dan minyaknya sekarang telah berpindah milik kepada para waris.

Yang lain lagi ialah mengenai peristiwa al-Hasan bin Ali r.a. ketika masih kecil, telah memakan sebiji kurma sedekah, maka Rasulullah s.a.w. pun mengorek mulutnya seraya berkata: Kakh…Kakh, yakni keluarkan ia… keluarkan ia!

Pernah diceritakan sebelum ini bahawa Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq telah memuntahkan susu yang diberi minum oleh hamba sahayanya, semata-mata kerana ia hasil upah dari ramalan yang dibuatnya oleh hamba sahayanya itu.

Beliau telah melakukan itu kerana takut perutnya dimasuki sesuatu yang haram, ataupun yang haram itu akan menambah kekuatan dalam badannya, padahal bila meneguknya beliau tiada mengetahui sumber minuman itu dari mana, dan menurut hukum tidak wajib memuntahkannya semula. Akan tetapi membersihkan perut dari segala yang jelek itu adalah suatu sifat wara’ para siddiqin.

Sebagai kesimpulan mengenai perkara yang dibicarakan ini maka setiap kali seseorang hamba itu menjaga diri dengan tegas dari yang diragukan kebersihannya, setiap itulah bebanannya akan menjadi ringan kelak di Hari Kiamat, dan ia akan terjauh dari neraca kejelekan, manakala neraca kebajikannya akan menjadi lebih berat pula.

Kini anda telah mengetahui kedudukan yang sebenarnya, maka terserahlah kepada anda untuk membuat pilihan. Anda boleh mengambil sikap berhati-hati dan memelihara diri, ataupun boleh juga mengambil sikap mempermudah dan meringankan.

Tetapi sebaliknya hendaklah anda berjaga-jaga kalau perkara itu bagi kepentingan diri sendiri dan tidak mengapalah dipermudahkan kalau perkara itu menyentuh kepentingan orang lain.

 

 

 

 Haram kerana cara memperolehinya


Selain dari sesuatu benda itu boleh menjadi haram kerana sesuatu sifat, satu lagi sebab sesuatu benda itu menjadi haram adalah kerana punca usaha tangan ke atasnya, yakni cara memperolehinya. Cara punca ini terbahagi kepada tiga bahagian di bawah:

1. Sesuatu yang diperolehi tanpa ada pemiliknya, seperti memperolehi galian dari tanah atau menghidupkan tanah yang mati, memburu, mengutip kayu-kayan, mengambil air dari sungai dan memotong rumput, maka semua ini adalah halal dengan syarat segala yang diperolehi dari benda-benda yang tersebut tadi tidak terkhusus kepunyaan seseorang, tegasnya tidak ada pemiliknya yang sah.

2. Sesuatu yang diperolehi secara paksa dari orang-orang yang tiada dilindungi oleh hukum agama, seperti fai; iaitu harta pampasan dalam peperangan atau, ghanimah; iaitu pembahagian harta yang diperolehi dalam peperangan. Begitu juga dengan harta kekayaan orang-orang kafir yang masuk berperang dengan kaum Muslimin. Maka segala harta benda seumpama itu semuanya halal bagi kaum Muslimin, setelah dikeluarkan daripadanya seperlima bahagian sebagai zakatnya, kemudian boleh dibahagikan-dibahagikannya kepada orang-orang yang berhak secara adil dan jujur.

Harta benda yang dirampas dari orang-orang kafir yang telah dilindungi oleh Pemerintah Islam, atau yang telah diberikan keamanan dan perjanjian oleh Pemerintah Islam, tidak halal untuk dimiliki, melainkan harus dikembalikan kepada yang mempunyainya.

3. Sesuatu yang diperolehi dengan jalan tukar-menukar dengan syarat masing-masing, maka hukumnya halal juga dengan syarat harta warisan yang akan diwarisi itu didapati dengan cara yang halal (bukan haram).

Harta warisan itu hanya boleh dibahagi-bahagikan, setelah ditunaikan segala piutang si mati, dan sesudah dijalankan wasiat yang ditinggalkannya terlebih dulu. Manakala pembahagiannya kepada ahli waris pula, mestilah dijalankan dengan adil menurut syariat; iaitu sesudah dikeluarkan hak-hak atas si mati, seperti haji yang wajib, zakat yang belum dikeluarkan atas hartanya dan kaffarah (denda yang mesti dibayar) dan sebagainya.

Masih ada lagi bahagian-bahagian yang lain, tetapi memadailah di sini kami terangkan pokok-pokok yang penting saja.

Walau bagaimanapun, perlu bagi setiap murid mengetahui, bahawa segala yang dimakannya itu benar-benar dari jurusan-jurusan yang diredhai Allah. Kalau tidak, maka sewajarnya dia menanyakan seorang alim yang mengetahui tentang perkara itu.

Awas jangan sekali-sekali memberanikan diri membuat sesuatu dengan kejahilan, sebab sebagaimana orang alim itu akan disoal: Mengapa engkau telah menyalahi ilmumu bila melakukan sesuatu, maka orang jahil juga akan disoal: Mengapa engkau tetap dalam kejahilanmu dan tidak mahu belajar, sesudah engkau mengetahui bahawasanya: Menuntut ilmu itu wajib atas setiap Muslim.

 

SUMBER:

http://bimbinganmukmin.wordpress.com/2011/02/02/kitab-halal-dan-haram-kandungan/

Friday, 9 September 2011

Keutamaan yang halal dan kecelakaan yang haram

Keutamaan yang halal dan kecelakaan yang haram (1)


Perbincangan tentang keutamaan yang halal dan kecelakaan yang haram dibahagi kepada 3 bahagian berikut:

  • Dari rujukan Al Quran

  • Dari rujukan Al Hadith

  • Dari atsar kisah sahabat dan yang kemudian


Berikut adalah dari rujukan Al-Quran

************


Allah telah berfirman:

“Makanlah dari yang baik (halal) dan kerjakanlah amalan yang saleh.” (al-Mu’minun: 51)

Tuhan telah memerintah kita memakan barang-barang yang baik, sebelum membuat amalan yang saleh. Makanan yang baik, maksudnya makanan yang halal.

Allah telah berfirman lagi:

“Janganlah setengah kamu, memakan harta setengah yang lain dengan cara kebatilan.” (al-Baqarah: 188)

Berfirman Allah:

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta benda anak-anak yatim secara aniaya, sebenarnya mereka menelan api ke dalam perut-perut mereka, dan mereka nanti akan dihumban ke dalam neraka yang benama Sa’ir.” (an-Nisa’: 10)

FirmanNya lagi:

Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan tinggalkanlah sisa-sisa dari riba, jika kamu sekalian sebenarnya orang-orang Mu’min.” (al-Baqarah: 278)

Seterusnya Allah berfirman lagi:

“Jika kamu sekalian tidak mengerjakan, maka izinkanlah dengan peperangan dari Allah dan RasulNya.” (al-Baqarah: 279)

Dan firmanNya:

“Jika kamu bertaubat, maka bolehlah kamu mengambil semula pokok harta kamu.” (al-Baqarah: 279)

FirmanNya lagi:

“Dan barangsiapa mengulangi lagi, maka mereka itu adalah ahli-ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (al-Baqarah: 275)

Allah s.w.t. telah menjanjikan pemakan riba pada permulaan kalinya dengan peperangan dari Allah, dan pada pengakhirannya dengan ancaman masuk neraka. Ayat-ayat yang berhubungan dengan perkara yang halal dan haram amat banyak sekali.

 

Keutamaan yang halal dan kecelakaan yang haram (2)


Seterusnya ialah perbincangan tentang keutamaan yang halal dan kecelakaan yang haram yang dirujuk dari Al Hadith:

 

Ibnu Mas’ud r.a telah meriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. katanya:

“Mencari yang halal itu adalah wajib atas setiap Muslim.”

Setengah para ulama mentafsirkan Hadis berikut:

“Menuntut ilmu pengetahuan wajib atas setiap Muslim.”

Maksudnya menuntut ilmu yang boleh membezakan yang halal dan yang haram. Nyatalah maksud dari kedua Hadis tersebut itu sama.

Apabila disebutkan kepada Rasulullah s.a.w. tentang orang yang amat memberatkan urusan keduniaan, baginda bersabda:

“Betapa banyaknya orang yang rambutnya kusut-masai, badannya berdebu lantaran terlalu lama dalam pelayaran, makanannya dari yang haram dan pakaiannya dari yang haram, dan perutnya dipenuhi dari yang haram, diangkatkan kedua tangannya seraya berdoa: Wahai Tuhan! Wahai Tuhan! Bagaimana boleh Tuhan mengabulkannya.”

Bersabda Rasulullah s.a.w lagi:

“Setiap daging yang tumbuh dari yang haram, maka api neraka lebih utama baginya.”

 

Keutamaan yang halal dan kecelakaan yang haram (3)


Seterusnya ialah perbincangan tentang keutamaan yang halal dan kecelakaan yang haram yang dirujuk dari Atsar atau cerita-cerita para sahabat di antaranya:

Diceritakan bahawa Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. pada suatu hari telah minum susu dari usaha seorang hamba sahayanya, kemudian tergerak hatinya untuk bertanya kepada hamba sahaya itu.

Dia berkata: Susu itu diberikan kepada saya, setelah saya meramalkan sesuatu pada sekelompok manusia.

Maka Abu Bakar pun memasukkan jarinya ke dalam mulut dan menggorek anak tekaknya untuk memuntahkan susu tadi. Saya lihat Abu bakar kemudian muntah-muntah, sehingga saya sangka isi perutnya seperti kehendak terkeluar.

Sesudah itu, Abu Bakar berdoa: Ya Allah! Ya Tuhanku! Aku memohon keampunan terhadap apa-apa yang telah mengalir dalam urat-urat apa-apa yang telah bercampur aduk di dalam tali perut.

Peristiwa serupa ini pernah juga berlaku kepada Umar Ibnul Khattab apabila beliau tersalah minum dari susu unta sedekah. Beliau juga mencucuk anak-tekaknya dengan jari sehingga termuntah-muntah.

Sahal at-Tasturi berkata: Seseorang itu tidak akan mencapai keimanan yang hakiki sehingga ada padanya empat perkara berikut:

  1. Menunaikan segala fardhunya dengan diiringi sunnat-sunnat

  2. Memakan yang halal dengan penuh kewara’an

  3. Menjauhi segala larangan Allah lahir dan batin

  4. Bersabar dalam keadaan serupa itu sehingga akhir hayat.


Bisyr al-Hafi r.a. adalah salah seorang yang terkenal kewara’annya. Ia pernah ditanya; Dari mana datangnya makananmu? Jawabnya: dari sumber yang sama kamu mendapat makananmu. Tetapi takkan sama orang yang makan sambil menangis, dengan orang yang makan sambil ketawa.

Seterusnya ia berkata: Ada tangan lebih pendek dari tangan yang lain, dan ada suapan lebih kecil dari suapan yang lain.

Demikianlah keadaan mereka itu dalam menjaga diri daripada perkara-perkara yang syubhah.

 

SUMBER:

http://bimbinganmukmin.wordpress.com/2011/02/02/kitab-halal-dan-haram-kandungan/

Hukum Melabuhkan Pakaian (Isbal)

Isbal - melabuhkan pakaian hingga menutupi jari kaki, ada ulamak yang mengatakan orang yang melabuhkan pakaian seperti itu adalah lambang orang yang sombong berjalan di muka bumi.




Tetapi ada juga ulamak yang mengatakan bahawa ia bergantung pada niat, sekiranya tujuannya untuk menyombong maka ia dilarang.

Keterangan dari ustaz al bakistani :

Dr ’Ali Jumaah pernah berkata bahawa ulama usul fiqh menyatakan, hukum yang lahir dari Nas, terbahagi kepada dua, iaitu ”Al-hukm Lizatih” dan ”Al-hukm lighairih”.

”Hukum lizatih” bermaksud, hukum yang sememangnya wujud pada diri atau zat sesuatu nas, seperti pengharaman arak, kewajipan solat, berpuasa dan sebagainya.

Adapun ”hukum lighairih” pula adalah, hukum yang difahami dari sudut yang lain, iaitu tidak memadai dengan merujuk kepada sesuatu nas sahaja, seperti hukum pengharaman terhadap memakai pakaian yang labuh sehingga menutup buku lali.

Merujuk kepada hadis-hadis nabi SAW, didapati bahawa Nabi SAW melarang memakai pakaian yang labuh sehingga menutup buku lali. Antara hadis tersebut adalah;

لَا يَنْظُرُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَى مَنْ يَجُرُّ ثَوْبَهُ خُيَلَاءَ

Maksudnya;
”Pada hari kiamat nanti, Allah tidak akan melihat mereka yang melabuhkan pakaiannya dalam keadaan sombong” (Muwatta’ : 1425)

Dari sudut ”hukum Lizatih”, daripada hadis ini, maka ulama mengeluarkan hukum bahawa haram memakai pakaian yang labuh sehingga menutup buku lali. Pun begitu, jika difahami hadis ini dari sudut ”Al-Hukm Lighairih”, pengharaman itu bukanlah dari sudut semata-mata melabuhkan pakaian, tetapi pengharaman itu bersebab wujudnya unsur sombong dikala memakai pakaian yang labuh.

Justeru itu, ulama menyatakan, keharaman melabuhkan pakaian bukannya bersifat mutlak, tetapi bersifat ”Lighairih” iaitu pengharaman yang mempunyai ”sebab”, iaitu ”sombong”.

Dengan itu, apabila seseorang memakai pakaian yang labuh sehingga menutup buku lali, tetapi tidak terdapat unsur sombong, maka ketika itu, hukumnya tidak haram.

Diterangkan juga di dalam laman web era muslim :

dan ada juga hadith yang menyentuh mengenai isbal ini iaitu :

“Siapa yang memanjangkan pakaiannya karena khaila’(karena sombong dan bangga diri), Allah tidak melihatnya pada hari kiamat.” Abu Bakar As-Shiddiq ra berkata, “Ya Rasulullah, kainku ini longgar namun aku tetap menjaganya.” Rasulullah SAW bersabda,”Kamu bukan termasuk orang yang sombong dan bangga diri.” (HR Bukhari dan Muslim)

WaLlahua'lam

SUMBER :

http://jomfaham.blogspot.com/2008/12/hukum-melabuhkan-pakaian-isbal.html





Thursday, 8 September 2011

HUKUM BERLAFAZ NIAT SEBELUM SOLAT

Hukumnya adalah sunat. - Minhajut Thalibin li Imam An Nawawi.

Begitu juga pendapat Ibnu Hajar al Haithami pengarang kitab Tuhfah iaitu syarah kepada Minhajut Thalibin.

Begitu juga pendapat Imam Ramli - Nihayatul Muhtaj.

Begitu juga pendapat Imam Khatib Syarbini


Ia adalah diqiyaskan dari lafaz niat haji.

Di dalam hadith ertinya :

Dari saidina umar r.a, beliau berkata : Saya dengan RasuluLLah s.a.w berkata di Wadi Aqiq : datang tadi malam pesuruh dari Tuhanku, ia memerintahkan supaya kita solat di lembah yang diberi berkah ini, dan ucapkanlah "Ini Umrah dalam Haji" (Hadith Sahih riwayat Imam-Bukhari, Sahih BUkhari I hal. 189 - Fathul Bari Juz IV hal 135)

Imam Ibnu Hajar mengatakan dalam Tuhfah, bahawa Usolli ini diqiyaskan kepada haji. Qiyas adalah salah satu sumber hukum agama.

Di dalam hadith Muslim :

Dari Anas bin Malik, beliau berkata : Saya dengar RasuluLLah s.a.w mengucapkan "Labbaika, Aku sengaja mengerjakan umrah dan Haji (Hadith riwayat Muslim - Syarah Muslim Juz VIII, hal 216)

Berdasarkan hadith ini, maka lafaz niat hukumnya adalah sunat sebelum solat di dalam Mazhab Syafie.

SUMBER:

http://jomfaham.blogspot.com/2008/12/hukum-berlafaz-niat-sebelum-solat.html

Wednesday, 7 September 2011

Hukum Qadha' Solat


Imam An Nawawi seorang mujtahid fatwa dalam Mazhab Syafie menerangkan dalam kitab Syarah Muslim Juzu' V, halaman 181 ertinya :


 



Seorang yang meninggalkan solat fardhu, wajib diqadha'. Sekiranya ditinggalkan kerana uzur yang memaksa maka qadha' boleh dilambatkan tetapi sunat menyegerakan. Sekiranya ketinggalan itu tanpa uzur contohnya disengajakan, maka wajib diqadha' segera.

Membayar solat yang banyak tertinggal harus dibayar mengikut tertib cara ditinggalkannya. Yang dahulu hendaklah didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan. Tertib ini hukumnya sunat.Jika yang ditinggal itu solat sunat rawatib iaitu solat sunta biasa yang dikerjakan sebelum dan sesusah solat, harus juga diqadha'. Tetapi solat sunat yang dikerjakan kerana sebab khusus seperti solat khusuf matahari (gerhana matahari), solat khusuf bulan (gerhana bulan), solat sunat istisqa' (solat sunat meminta hujan) maka tidaklah disyari'atkan mengqadha'nya, jika sudah terlepas dari waktunya.

Dalil

Hadith :

Dari Abu Hurairah radiyaLLahu 'anhu bahawasanya Nabi Muhammad sallaLLahu 'alaihi wasallam ketika kembali dari Peperangan Khaibar, beliau berjalan malam hari, sampai beliau mengantuk dan lalu berhenti untuk tidur.

Nabi memerintahkan kepada sahabat beliau bernama Bilal supaya berjaga-jaga jangan tidur, dihuatirkan jangan tertidur semuanya. Nabi terus tidur dan Bilal terus sembahyang pada malamitu.

Tetapi setelah dekat fajar, Bilal pun mengantuk tidak tahan matanya dan bersandar pada kenderaannya dan lalu tertidur dengan nyenyak.

Maka RasuluLlah dan sahabat-sahabat, begitu juga Bilal yang disuruh berjaga-jaga dibangunkan oleh matahari yang sudah tingg, dan waktu subuh luput. RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam mula-mula terbangun dan beliau sangat susah, lalu bersabda kepada Bilal : Wahai Bilal bagaimana ni?

Bilal menjawab : Saya juga tertidur ya RasuluLLah, saya tidak kuat menahan mata saya. Lalu RasuluLLah memerintahkan supaya seluruh sahabatnya berangkat, naik unta semuanya.

Tidak jauh dari tempat itu, beliau berhenti lagi dan langsung berwudhuk memerintahkan kepada Bilal supaya qamat. Maka Nabi sembahyang subuh bersama-sama mereka, mengqadha' sembahyang yang luput.

Setelah selesai mengqadha' sembahyang, Nabi bersabda : Barangsiapa kelupaan sembahyang, maka hendaklah ia bayar (qadha') sembahyang itu bila dia teringat, kerana ALLah berfirman; "Tegakkanlah sembahyang untuk mengingatiKu." (Hadith riwayat Muslim dan lain-lain - Lihat syarh Muslim juzu' V halaman 18-184)

Di dalam Sahih Muslim :

Hadith RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam yang bererti :
Ketahuilah bahawasanya dalam keadaan tertidur tidak ada sia-sia; yang sia-sia (yang akan mendapat hukuman) adalah orang yang tidak mengerjakan solat sehingga sampai waktu solat yang lain. Maka barangsiapa yang memperbuat demikian hendaklah ia bayar ketika ia ingat akan solat itu."

(Hadith riwayat Muslim)

Hadith Riwayat Muslim

RasuluLlah bersabda yang bererti :
Barangsiapa yang lupa solat atau tertidur, maka ia harus menggantikannya apabila ia teringat. Tiada kaffarah bagi mereka selain itu."

(Hadith Riwayat Muslim, Syarah Juzu' V halaman 193)

Dari Jabir bin 'AbdiLLah beliau berkata :
Bahawasanya Saidina Umar radiyaLlahu 'anhu datang kepada RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam pada ketika Peperangan Khandaq, sesudah terbenam matahari. Saidina Umar ketika itu memaki-maki kafir Quraisy dan berkata kepada RasuluLlah: Wahai RasuluLlah, saya hampir tidak solat 'asar sampai matahari terbenam, maka Nabi menjawab : Demi ALlah, saya juga belum solat 'Asar.

Berkata Jabir : "Maka kami semuanya berangkat ke Buthan maka berwudhuklah Nabi dan kami berwudhuk pula, lalu Nabi solat 'Asar sesudah terbenam matahari dan sesudah itu baru Nabi solat Maghrib


(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)Hadith ini diletakkan oleh Imam Bukhari dalam kitabnya pada 3 tempat dengan judul yang berlainan iaitu :

1. Bab menyatakan solat Jemaah sesudah habis waktu (Fathul Bari, juzu' II halaman 208)
2. Bab mengqadha' solat (Fathul Bari juzu' II halaman 212)
3. Bab Perang Khandaq (Fathul Bari, juzu' VIII halaman 409).

Sumber diambil dari : K.H Sirajuddin Abbas, 40 Masalah Agama, Cet Kedua 1980, Pustaka Aman Press, Kelantan.


SUMBER:

Tuesday, 6 September 2011

Hak-hak suami atas isteri


Isteri wajib mentaati suami pada segala yang dikehendaki oleh suami daripada perkara-perkara yang tiada maksiat padanya. Di sana terdapat banyak hadis yang diriwayatkan dalam menentukan hak suami atas isteri.





Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Mana saja wanita yang meninggal dunia, sedangkan suaminya redha terhadapnya maka ia akan masuk syurga.”

Sabdanya lagi:
“Apabila seorang wanita bersembahyang lima waktunya, berpuasa sebulannya, memelihara kemaluannya dan mentaati suaminya nescaya ia akan masuk syurga yang disediakan oleh Tuhannya.”

Berkata Ibnu Abbas: Telah datang seorang wanita dari Khats’am kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: Saya ini seorang wanita yang janda dan saya akan berkahwin. Apakah haknya suami? Baginda menerangkan: Di antara hak suami atas isteri, ialah apabila ia mengingininya serta memujuknya supaya menyerahkan diri sedang isteri suci dari haidh, janganlah menolaknya.

Isteri juga tidak boleh memberi apa-apa yang ada di dalam rumah kepada orang lain, melainkan dengan izin suami. Jika ia melanggar juga maka berdosalah isteri itu manakala suami mendapat pahala dari pemberian itu.

Isteri tidak boleh berpuasa secara sukarela, melainkan dengan izin suami, jika isteri melanggar juga, nescaya jadilah puasanya itu lapar dan dahaga semata-mata, tanpa mendapat apa-apa balasan dari Allah.

Jika isteri keluar dari rumah tanpa izin suami, nescaya Malaikat akan melaknatinya sehingga ia kembali ataupun bertaubat.

Kesimpulannya, hak-hak suami atas isteri itu ada banyak, tetapi yang terpenting sekali ialah dua perkara:

  1. Memelihara diri dan menutup rahsia

  2. Tidak terlampau menuntut perkara-perkara yang tidak diperlukan, dan menjaga agar usahanya tidak termasuk perkara yang haram.


SUMBER: