Sunday, 4 September 2011

Tugas utama kaum wanita


Tugas utama kaum wanita ialah:





  1. Memperbaiki urusannya sendiri dan urusan rumahtangganya, tetap menunaikan semua sembahyang dan puasa.

  2. Jika rakan suaminya meminta izin masuk ke dalam rumahnya sedang suami tiada di rumah, maka tidak boleh diizinkan masuk dan tiada boleh banyak berbicara dengannya, sebagai menunjukkan tanda cemburu atas dirinya sendiri dan suaminya.

  3. Hendaklah isteri sentiasa merasa puas dengan segala yang diberikan oleh suaminya, sebagai rezeki dari Allah ta’ala.

  4. Ia harus selalu mengutamakan hak suami atas dirinya sendiri, begitu pula atas segala hak kaum kerabatnya.

  5. Sering membersihkan dirinya sendiri, serta bersedia, pada bila-bila masa untuk menerima keinginan suami.

  6. Hendaklah ia sentiasa bersifat belas kasihan terhadap anak-anaknya, memelihara dan melindungi mereka dari segala yang tidak baik, tidak mengeluarkan caci-maki terhadap anak-anak dan tiada menggunakan lidahnya hanya untuk menjawab dan menentang suami.


Di antara adab-adabnya pula ialah: isteri tiada terlalu bermegah-megah dengan kecantikan dirinya, dan tiada pula mengeji suaminya kerana keburukannya.

Adab yang lain lagi ialah: Hendaklah isteri sentiasa melazimkan dirinya dalam kebaikan dan memelihara dirinya pada masa ketiadaan suaminya. Apabila suami kembali bergembiralah ia bersenang-hatilah ia semula bersamanya.

 

SUMBER:

http://bimbinganmukmin.wordpress.com/2010/12/24/tugas-utama-kaum-wanita/

 

Saturday, 3 September 2011

Memilih Jodoh

Terdapat beberapa perkara yang harus diperhatikan bila memilih jodoh. Hal-hal baik harus diperhatikan untuk mencapai kehidupan yang tenteram yang berkaitan dengan persoalan wanita supaya ikatan perkahwinan menjadi kekal serta tujuan-tujuan yang baik dari perkahwinan itu akan tercapai ialah delapan perkara:

  1. Agama

  2. Kelakuan

  3. Kecantikan

  4. Ringan maskahwin

  5. Boleh melahirkan anak (tidak mandul)

  6. Perawan

  7. Keturunan baik

  8. Bukan keluarga yang dekat




Memilih isteri solehah



    1. Perkara  pertama yang harus diperhatikan bila memilih jodoh (yang berkaitan dengan persoalan wanita) demi untuk mencapai kehidupan yang tenteram  supaya ikatan perkahwinan menjadi kekal serta tujuan-tujuan yang baik dari perkahwinan itu ialah memilih isteri solehah.

    2. Hendaklah isteri itu seorang yang soleh dan berpegang teguh kepada agama. Inilah tujuan utama perkahwinan yang harus diambil berat. Sebab sekiranya isteri itu lemah agamanya, bagaimana dapat ia memelihara diri dan maruahnya. Kalaulah berlaku sesuatu kecemaran yang menyentuh kehormatan dirinya, tentulah muka suami akan terconteng arang, sedang hatinya akan tergoda oleh perasaan cemburu, manakala kehidupannya ketika itu akan menjadi sempit. Kemudian jika si suami mengikutkan kata hati yang penuh dengan cemburu itu, tentulah akan porak-peranda seluruh kehidupannya, dan jika dia mengambil sikap mempermudahkan tentang perkara yang berlaku, tentulah dia akan dituduh mengambil sikap enteng saja tentang agama dan maruahnya, dan akan dituduh sebagai suami yang dayus. Walhasil si suami akan berada dalam keadaan yang serba-salah sekali.

    3. Demikian pula sifat wanita yang rosak agamanya akan sering mempermain-mainkan harta benda suaminya atau sebagainya, sehingga hidup si suami dengannya akan sentiasa kurang tenteram. Jika suami terus mendiamkan diri dan tidak melarang kelakuannya, nescaya ia menjadi kongsi dalam maksiat dengan isterinya dan bererti menentang firman Allah Ta’ala.

    4. 5.        “Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari api neraka.” (at-Tahrim: 6)

    5. Jika si suami menegah si isteri dan melarang kemahuannya akan timbul pula pertengkaran sehingga boleh memendekkan umur si suami. Sebab itulah Rasulullah s.a.w sangat-sangat menggalakkan dan meransang supaya memilih wanita yang kukuh agamanya. Baginda bersabda:

    6. 7.        Wanita itu dikahwini kerana hartanya atau kecantikannya, keturunannya atau agamanya, maka hendaklah anda memilih yang mempunyai agama yang kukuh, nescaya anda akan bernasib baik.”




 

Memilih isteri yang baik budi pekertinya


Perkara kedua yang harus diperhatikan bila memilih jodoh (yang berkaitan dengan persoalan wanita) demi untuk mencapai kehidupan yang tenteram  supaya ikatan perkahwinan menjadi kekal serta tujuan-tujuan yang baik dari perkahwinan itu ialah memilih isteri yang baik budi pekertinya.

Baik budi pekertinya, sebab jika isteri itu banyak mulutnya, lidahnya suka menyebut kata-kata yang rendah, suka mengingkari nikmat, nescaya akan lahir daripadanya lebih banyak bahaya daripada manfaat. Kesabaran atas lidah kaum wanita seumpama ini adalah suatu cubaan yang biasanya dicubakan oleh Allah ke atas para aulianya.

 

Memilih isteri cantik rupanya


Perkara ketiga yang harus diperhatikan bila memilih jodoh (yang berkaitan dengan persoalan wanita) demi untuk mencapai kehidupan yang tenteram  supaya ikatan perkahwinan menjadi kekal serta tujuan-tujuan yang baik dari perkahwinan itu ialah memilih isteri yang manis atau cantik rupanya.

Manis atau cantik rupanya ini juga sering dituntut oleh orang kerana dengannya akan terpelihara diri dari mencari yang lain, sebab tabiat manusia biasanya tiada puas dengan isteri yang buruk rupa.

Apa yang kami sebutkan supaya memilih yang teguh agamanya bukanlah bererti melarang memilih yang cantik rupanya, bahkan yang dilarang ialah memilih yang cantik semata-mata tanpa mementingkan perkara agama. Sebab biasanya wanita yang cantik itu menarik orang kepada perkahwinan, sedangkan urusan keagamaannya sering diletakkan di belakang saja.

Jadi anjuran untuk memilih isteri yang cantik itu untuk menjaga rumahtangga menjadi rukun dan damai. Malah syariat sering mementingkan supaya memerhatikan sebab-sebab kerukunan rumahtangga antara suami dan isteri, kerana itulah disunatkan melihat bakal isteri sebelum berkahwin, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

 

“Apabila Allah telah mentakdirkan cinta dalam diri seseorang dari kamu, hendaklah dia melihat kepadanya (wanita) kerana yang demikian itu lebih terjamin untuk mengeratkan perhubungan antara keduanya.”

 

Setengah para ahli wara’ tidak akan mengahwinkan anak-anak perempuan mereka melainkan setelah dilihat oleh calon-calon suaminya untuk memelihara diri dari tuduhan menipu.

 

Berkata al-A’masy: Semua perkahwinan dijalankan tanpa diberi peluang kepada calon suami untuk melihat terlebih dulu akan berkesudahan dengan kesusahan dan kekesalan.

 

Pernah diriwayatkan, seorang lelaki berkahwin dalam zaman Khalifah Umar Ibnul-Khattab r.a. Orang ini mengecat rambutnya yang beruban itu sehingga kelihatan sebagai seorang anak muda. Apabila ternyata perkara itu kemudiannya, keluarga si isteri pun mengadu kepada khalifah Umar, kata mereka: Kita menyangka ia seorang anak muda. Maka oleh Umar dipukulnya orang itu sehingga ia mengaduh. Khalifah berkata: Engkau telah menipu keluarga isterimu.

 

Penipuan serupa itu boleh berlaku pada perkara kecantikan dan budi pekerti. Maka sewajarnyalah dilenyapkan tipu daya dalam kecantikan itu dengan diberi tontonan terlebih dulu.

Dalam akhlak dan budi pekerti pula, dapat diketahui dengan ditanyakan kepada orang lain ataupun dengan menyaksikan sendiri orangnya. Dan janganlah seseorang itu berani menceritakan kelakuan orang lain, melainkan ia memang benar-benar seorang bijaksana dan mengetahui selok-belok orang yang diceritakan itu secara lahir dan batin, tidak cenderung kepadanya lalu dipuji secara berlebih-lebihan, dan tidak pula membenci sehingga ia mencacinya dan mengatakan yang bukan-bukan.

Sebenarnya memang sukar sekali ditemui seorang orang menikmati syarat-syarat ini, dan biasanya amat jarang pula seseorang itu dapat bercakap benar dalam perkara serupa ini, malah kebohongan dan pengeliruan sering melanda suasana ini. Maka sayugialah bagi orang yang ingin menjaga diri, haruslah berhati-hati dalam perkara seumpama ini.

Ringan mas kahwin


Perkara keempat yang harus diperhatikan bila memilih jodoh (yang berkaitan dengan persoalan wanita) demi untuk mencapai kehidupan yang tenteram  supaya ikatan perkahwinan menjadi kekal serta tujuan-tujuan yang baik dari perkahwinan itu ialah ringan mas kahwinnya.

Hendaklah maskahwin si isteri tidak memberatkan kerana memang dilarang oleh agama untuk memahal-mahalkan maskahwin. Setengah para sahabat berkahwin dengan maskahwinnya emas seberat biji kurma yang dianggarkan berharga tidak lebih dari dari lima dirham.

Said Ibnul-Musaiyab mengahwinkan puterinya kepada Abu Hurairah r.a dengan maskahwinnya sebanyak dua dirham saja, kemudian dia pun menghantarkan puterinya itu kepada Abu Hurairah pada malam itu juga dan setelah diserahkannya di rumah Abu Hurairah lalu dia kembali, Said tidak kembali lagi ke rumah Abu Hurairah itu melainkan setelah berlalu tujuh hari untuk bertanyakan khabar saja.

Ada sebuah Hadis yang mengatakan bahawa antara keberkahan seorang wanita ialah melekaskan perkahwinannnya sehingga ia dapat melahirkan anak dan ringan pula maskahwinnya.

Sebagaimana makruh hukumnya memahalkan maskahwin wanita ke atas lelaki, demikian pula makruh hukumnya bertanyakan harta kekayaan wanita oleh lelaki. Tidak sewajarnyalah bagi lelaki untuk menikahi seorang wanita, kerana tamak pada harta kekayaannya semata-mata. Jika lelaki memberikan hadiah kepada keluarga si wanita, maka janganlah ia mengharapkan balasan dari pihak wanita dengan hadiah-hadiah yang lebih banyak lagi.

Demikianlah pula halnya dengan pihak wanita, kerana niat menginginkan balasan adalah suatu niat yang tidak baik, dan termasuk ke dalam larangan maksud ayat berikut:

Janganlah engkau memberikan lantaran menginginkan balasan yang lebih banyak.” (al-Muddatstsir: 6)

 

Perkara kelima yang harus diperhatikan bila memilih jodoh (yang berkaitan dengan persoalan wanita) demi untuk mencapai kehidupan yang tenteram supaya ikatan perkahwinan menjadi kekal serta tujuan-tujuan yang baik dari perkahwinan itu ialah berkenaan kesuburan si wanita itu.

Hendaklah ia mengetahui, bahawasanya si wanita itu boleh melahirkan anak, kiranya diketahui kemandulannya, maka hendaklah ia menahan diri dari berkahwin dengannya.

 

Memilih jodoh yang perawan


Perkara keenam yang harus diperhatikan bila memilih jodoh (yang berkaitan dengan persoalan wanita) demi untuk mencapai kehidupan yang tenteram supaya ikatan perkahwinan menjadi kekal serta tujuan-tujuan yang baik dari perkahwinan itu ialah memilih gadis perawan.

Hendaklah wanita itu seorang gadis. Berkata Rasulullah s.a.w. kepada Jabir yang baru menikahi seorang janda: “Mengapa tidak menikahi si gadis yang boleh engkau bergurau senda denganmu.”

 

Memilih jodoh dari keturunan baik


Perkara ketujuh yang harus diperhatikan bila memilih jodoh (yang berkaitan dengan persoalan wanita) demi untuk mencapai kehidupan yang tenteram supaya ikatan perkahwinan menjadi kekal serta tujuan-tujuan yang baik dari perkahwinan itu ialah memilih gadis dari keturunan yang baik.

Hendaklah wanita itu dari golongan keturunan yang baik, maksudnya dari kaum yang terkenal menjaga urusan agamanya dan termasyhur dengan perjalanannya yang lurus. Sebab wanita dari rumahtangga yang seumpama itu akan memelihara dan mendidik putera-puterinya pada jalan yang diredhai oleh Allah dan RasulNya.

Andaikata ia seorang yang tidak berpendidikan bagaimana ia dapat mendidik dan memelihara anak-anaknya. Dalam sebuah Hadis: “Pilih-pilihlah tempat meletakkan air mani kamu, kerana urat itu beradu

 

Memilih jodoh bukan dari kerabat dekat


Perkara kelapan dan terakhir yang harus diperhatikan bila memilih jodoh (yang berkaitan dengan persoalan wanita) demi untuk mencapai kehidupan yang tenteram supaya ikatan perkahwinan menjadi kekal serta tujuan-tujuan yang baik dari perkahwinan itu ialah memilih gadis bukan dari keluarga kerabat yang terdekat.

Hendaklah wanita itu bukan dari kerabat yang dekat, sebab yang demikian itu akan mengurangkan syahwat, sedangkan itu merupakan perkara utama yang menarik kepada wanita.

SUMBER:

http://bimbinganmukmin.wordpress.com/2010/10/31/memilih-jodoh/

Friday, 2 September 2011

Murahnya Gelaran "Ulama'" Pada Zaman Ini

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh; Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam; Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, Rahmat ke seluruh alam; Juga kepada ahli keluarga baginda dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;

1. Pertama sekali, penulis memohon maaf kepada para pembaca kerana tidak dapat "update" penulisan di blog ini seperti blog2 yang lain-lain. Ini adalah kerana kelemahan penulis sendiri dan semoga Allah memberi tawfiqNya untuk penulis terus berkongsi serba sedikit ilmu ("Dan tidaklah kamu semua diberikan ilmu melainkan sangat sedikit."), pengalaman dan pemerhatian penulis bersama para pembaca.

2. Pada posting yang ringkas kali ini, penulis ingin meluahkan rasa kesal di atas sikap sebahagian manusia yang terlalu mudah menggelarkan seseorang itu sebagai salah seorang daripada kalangan ulama'. Kalaupun hendak memuji, janganlah membuat pujian dan dakwaan bukan pada tempatnya.

3. Betapa mahalnya gelaran ulama' ini sehinggakan Al-Quran hanya menyebut kalimah "al-Ulama'" ini hanya sekali sahaja iaitu dalam surah Fatir ayat 29 iaitu [tidak termasuk istilah "Ulama' Bani Israil" di dalam al-Shu'ara': 197]:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

Terjemahan: 'Hanyasanya yang takut kepada Allah SWT itu di kalangan hamba-hambanya ialah orang-orang berilmu (al-Ulama')".

4. Dan Rasulullah SAW ialah hamba Allah yang paling takut kepada Allah dan yang paling mengenali Allah SWT sepertimana sabdaan baginda SAW (Sahih Ibn Hibban):

والله إني أتقاكم لله وأخشاكم له

Terjemahan: "Demi Allah, akulah yang paling bertaqwa kepada Allah di kalangan kamu, dan yang paling takut kepadaNya di kalangan kamu."

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda (Sahih Bukhari):

إِنَّ أَتْقَاكُمْ وَأَعْلَمَكُمْ بِاللَّهِ أَنَا

Terjemahan: "Sesungguhnya yang paling bertaqwa dan yang paling mengenal Allah di kalangan kamu ialah daku"

 

5. Berdasarkan ini, seorang alim di kalangan para ulama' itu mempunyai kedudukan yang paling hampir dengan Rasulullah SAW.

 

6. Al-Quran tidak menyatakan sifat para ulama itu sebagai suka berdebat2 atau petah berkata2 atau banyak karangannya atau banyak pengikutnya atau luas pengaruhnya atau hebat fizikalnya atau memiliki PhD atau gelaran Profesor dan lain-lain. Perkara-perkara tersebut masih belum menjadi petunjuk2 yang pasti kecuali dizahirkan dengan sokongan-sokongan yang lain seperti persepakatan ummah di atas penerimaannya sebagai ulama', dan lain-lain.

 

7. Namun begitu, al-Quran mengunci kemas istilah ulama' itu dengan "ketakutan kepada Allah SWT". Dari sudut bahasa Arab, kalimah "innama" itu adalah salah satu bentuk uslub al-hasr wa al-ikhtisas yang memberi makna limitation dan privilege. Bukankah sifat Takut (dan iman) itu sesuatu yang tidak zahir dan berada di dalam hati seseorang ulama'? Ya, maknanya bukan mudah untuk mengenal hakikat para ulama' itu.

 

8. Imam al-Ghazali menyatakan lima ciri-ciri yang ada pada para ulama' yang besar yang disepakati ummat ini seperti Imam al-Shafie, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad Ibn Hanbal dan Imam Sufyan al-Thawi iaitu:

وكل واحد منهم كان عابداً وزاهداً وعالماً بعلوم الآخرة وفقيهاً في مصالح الخلق في الدنيا ومريداً بفقهه وجه الله تعالى

Tejamahan: "Setiap daripada mereka itu kuat ibadahnya, zuhud, berilmu dengan ilmu-ilmu akhirat, dan faqih di dalam maslahat makhluq di dunia (faqih dalam ilmu hukum ahkam zahir fiqh), dan mengkehendaki dengan ilmu mereka keredaan Allah"

Seorang ulama' bukan sahaja mempunyai ciri-ciri ini, namun dia juga mampu mendidik ciri-ciri ini pada anak-anak didiknya dan masyarakat sekiranya sekaliannya mempunyai niat yang benar dan sahih.

 

9. Jadi, sedarlah kita bahawa kedudukan ulama' itu terlalu tinggi untuk dimurahkan istilahnya pada hari ini.  Ambillah pengajaran al-Quran.

 

10. Hari ini, orang yang berkata-kata kesat, tidak memelihara hak sesama Muslim, merendah2kan umat Islam, bahkan mencaci dan mengkafir sesama Muslim, tidak menghormati Rasulullah SAW dan ahli keluarga baginda r.a., tidak menghormati ulama'2 terdahulu terus dipanggil seorang ulama' kerana zahir di dalam program televisyen dan internet ataupun menggenggam segulung ijazah PhD ataupun menang bertanding di dalam sebuah parti politik atau memasuki parti politik atau menubuhkan persatuan di atas nama ulama' atau pakaiannya dan sebagainya. Sungguh murah gelaran ulama' ini untuk dijadikan batu loncatan dan pakaian.

 

11. Ya! Banyak penggunaan istilah agama berkaitan gelaran kepada para ilmuan agama pada hari ini termasuk di dalam bab "al-tawassu' fi al-istilah" iaitu kelonggaran penggunaan istilah dan bukan kerana tahqiqnya individu tersebut pada gelarannya... melainkan sangat sedikit.

 

12. Selain daripada istilah ulama', istilah tajdid, islah, jihad dan lain-lain begitu mudah digunakan untuk menghalalkan tindakan masing-masing dan pendapat masing-masing dan menyalahkan orang lain.

 

11. Istilah2 ini dapat menjadi pakaian menutupi kebatilan yang terselindung di sebaliknya, khususnya fitnah dan bid'ah di dalam agama, sebagaimana ahli bid'ah, si jahil dan si fasiq boleh menutup bid'ah, kejahilan dan kefasiqan di sebalik pakaian seorang alim. [hal ini dipanggil tadlis]

 

13. Maka, berhati-hatilah kita di dalam urusan agama kita dan semoga Allah tidak menjadikan musibah kita di dalam agama kita sepertimana doa Rasulullah SAW (Sunan al-Tirmizi):

وَلَا تَجْعَلْ مُصِيبَتَنَا فِي دِينِنَا

Terjemahan: "Dan janganlah engkau (Ya Allah!) menjadikan musibah kami di dalam agama kami."

 

14. Semoga Allah SWT menunjukkan kita jalan yang lurus. Al-Fatihah.

Wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

SUMBER:

http://al-ashairah.blogspot.com/2011/08/murahnya-gelaran-ulama-pada-zaman-ini.html

 


PETUA SUPAYA SENTIASA MAHU MENUNAIKAN SEMBAHYANG

 

 

 

PETUA SUPAYA SENTIASA MAHU MENUNAIKAN SEMBAHYANG

 




 

Sebagai ikhtiar, agar kita sentiasa mahu menunaikan sembahyang, maka petua-petua berikut hendaklah sentiasa diingati dalam hati sanubari, insyaAllah dengan pertolongan, taufiq dan hidayah Allah kita akan tergolong daripada kalangan orang yang cinta mengerjakan sembahyang.

 

 

 

Di antara petua-petua itu ialah:

 

 

 

1 ) Semaikan kesedaran diri bahawa sembahyang adalah kewajipan yang mesti ditunaikan oleh setiap orang mukallaf. Ia adalah rukun Islam yang paling penting selepas mengucap dua kalimah syahadat.  Orang  yang meninggalkan sembahyang adalah peruntuh dan perosak agamanya sendiri.

 

 

 

2 ) Tanamkan rasa cinta kasih kepada ‘ibadat sembahyang dengan merasakan betapa quddusnya ‘ibadat  ini, dan betapa pula besar faedah dan manfa’atnya kepada jasmani, rohani, kesihatan,  kebersihan zahir  dan batin; dan lagi betapa berkesannya sembahyang itu kiranya difahami benar-benar dalam pendidikan akhlak muslim dan muslimah agar berbudi pekerti mulia. Memang besar sekali sumbangan sembahyang kepada pembentukan masyarakat kerjasama, harmoni dan bersatu padu.

 

 

 

3 ) Tanamkan rasa bertuah, bangga dan mulia dengan ‘ibadat sembahyang kerana ia adalah satu penghormatan besar bagi si hamba yang hina lagi lemah kerana dibenar menghadap Tuhan yang Maha Besar lagi yang Maha Agung daripada segala yang agung.

 

 

 

4 ) Semaikan rasa penuh cinta kasih, ketaqwaan, keimanan dan kesyukuran kepada Allah yang Maha Esa, yang Maha Pemurah lagi yang Maha Pengasihani. Rasakan dalam hati betapa banyaknya budi baik Allah Ta’ala terhadap dirinya yang memang tidak dapat dibalas dan ditebus dengan apa juapun.

 

 

 

5 ) Ingatlah! Orang yang tidak bersembahyang terletak diantara kufur atau berdosa besar. Adakah kita rela berkeadaan demikian? Sudah pasti keadaan sedemikian tidak menjaminkan keselamatan diri dan agama. Maka kecelakaan dan nerakalah padahnya nanti, wal ‘iyazu billah.

 

 

 

6 ) Ingatlah pula! Bahawa orang yang tidak bersembahyang adalah manusia paling jahat dan paling keji. Dia adalah merupakan seorang yang tidak sedarkan diri, seorang yang tidak mengenang budi baik, lagi tidak bersyukur kepada Allah jalla wa ‘ala, pengurnia segala ni’mat. Tanyalah diri: “Mampukah agaknya menerima kemurkaan Allah yang Maha Agung sedangkan kemurkaan sesama manusia pun tidak terdaya?.

 

 

 

7 ) Ingatlah lagi! Orang yang enggan bersembahyang adalah seorang penderhaka kepada Tuhannya dan Penciptanya. Akibatnya nanti dia akan diseksa dengan ‘azab neraka; dan sebaliknya orang yang bersembahyang adalah seorang yang ta’at kepada Allah dan dia akan diberikan ganjaran syurga.

 

 

 

8 ) Perbanyakkan berdo’a dan bermohon kepada Allah Ta’ala pada setiap waktu untuk mendapat taufiq dan ‘inayahNya. Janganlah ditinggalkan membaca do’a yang dibaca oleh Nabi Ibrahim pada setiap kali berdo’a selepas sembahyang, azan, dan iqamat. Do’anya ialah:

 

 

 

رَبِّ ٱجۡعَلۡنِى مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِى‌ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَآءِ (٤٠) رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لِى وَلِوَٲلِدَىَّ وَلِلۡمُؤۡمِنِينَ يَوۡمَ يَقُومُ ٱلۡحِسَابُ (٤١)

 

 

 

Ertinya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang . dandemikianlah juga zuriat keturunanku . Wahai Tuhan kami! Perkenankanlah do’a permohonanku . Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah keampunan kepadaku, dan kepada kedua ibu bapaku serta kepada orang-orang yang beriman pada hari berlakunya Hisab”.

 

 

 

Akhir kata: Dengan mengingati petua-petua tersebut tadi, dan juga mengetahui tentang kedudukan mulia dan kepentingan ‘ibadat sembahyang dalam Islam, dan lagi dengan memahami dan mengerti tentang hikmat-hikmat sembahyang, serta dengan adanya perasaan takut terhadap dosa dan seksa yang akan menimpa orang yang meninggalkan sembahyang; insya Allah dapat menolong dan mendorongkan seseorang menunaikan kewajipan sembahyang

 

والله الموفق.

 

 

 

TEPUK DADA TANYA IMAN.


 

 


 

Rujukan: Fiqh Solat oleh Haji Engku Ali bin Engku Endut (Muhammad) al-‘Idrusi

 

Terbitan Syarikat Jaffar Rawas Sdn. Bhd.




 

Thursday, 1 September 2011

Syarat sah mengucap 2 kalimah syahadah




Syarat sah mengucap 2 kalimah syahadah ada 6:








1)      ucapan dengan lidah bagi orang yang tidak bisu

2)      di dahulukan jumlah “ أشهد أن لا إله إلا الله "  daripada jumlah “ وأن محمدا رسول الله "

3)      di ucap dengan berturut-turut

4)      lafaz dengan bahasa Arab

5)      mengetahui makna 2 kalimah syahadah dengan sempurna

6)      beramal dengan apa yang difahami  daripada 2 kalimah syahadah

Rujukan:

Kitab Kifayatul Muhtadi karangan Syaikh Muhammad Nur bin Muhammad bin Ismail al-Fathoni, cetakan Matba'ah  Halabi, m/s 8.


Hukum Mencium Tangan Ulama dan Orang Soleh

Soalan:



Apakah hukum mencium tangan para ulama dan orang soleh? Adakah ia suatu bid'ah atau ia dianjurkan oleh syarak?Jawapan :

Mencium tangan ulama, orang-orang soleh dan pemimpin yang adil adalah sunat dan bukanlah suatu yang bid'ah selagi mana ia tidak menyebabkan mereka yang dicium tangan itu tertipu (ghurur). Sekiranya keadaan itu terjadi, dosa dibebankan kepada orang yang diciumkan tangannya dan bukannya kepada orang yang mencium, kerana yang mencium itu hanya bermaksud untuk memuliakan dan menghormatinya.

Dalil bagi masalah ini adalah seperti berikut :

1. Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh At Tirmidzi dan Abu Daud dengan sanad yang hasan sahih daripada Safwan bin 'Assal radiyaLLahu 'anhu katanya : "Seorang Yahudi berkata kepada sahabatnya: "Mari kita pergi bertemu dengan nabi ini." Lalu mereka berdua pergi menemui Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam dan bertanyakan kepadanya sembilan tanda yang nyata. Maka RasuluLlah pun menjawab : "Janganlah kamu mensyirikkan ALLah dengan sesuatu apapun, jangan kamu mencuri, jangan kamu berzina, jangan kamu membunuh jiwa yang diharamkan ALLah melainkan dengan haknya, jangan kamu berjalan dengan bebas kepada seorang yang mempunyai kekuasaan lalu dia membunuh kamu, jangan kamu mengamalkan sihir, jangan kamu memakan riba, jangan kamu menuduh melakukan zina kepada seorang wanita yang suci, jangan kamu berpaling tadah (berundur) dari medan peperangan, jangan kamu bekerja pada hari sabtu."

Safwan berkata: "Lalu kedua Yahudi itu mencium tangan dan kaki baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam dan berkata : "Kami bersaksi bahawa engkau adalah seorang nabi." Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam bertanya: "Apakah yang menghalang kamu daripada mengikutiku?" Salah seorangnya menjawab : "Sesungguhnya Nabi Daud 'alaihissalam pernah berdoa kepada Tuhannya supaya sentiasa mengutuskan nabi di kalangan zuriatnya, dan kami takut sekiranya kami mengikutimu, kami akan dibunuh oleh orang-orang Yahudi."

2. Hadith yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih bahawa Ummu Aban binti Wazei' bin Zarei' daripada datuknya Zarei' radiyaLLahu 'anhu dan beliau bersama-sama di dalam rombongan qabilah Abdul Qais katanya: "Tatkala kami tiba di Madinah, kami segera meninggalkan kenderaan-kenderaan kami, lalu kami mengucup tangan dan kaki RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam. Tetapi al Munzir al Arsyah menunggu sehingga tibanya Utbah, lalu beliau memakai kedua pakaiannya, kemudian pergi menemui Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam. Nabi bersabda kepadanya :

"Sesungguhnya pada kamu ada dua sifat yang dikasihi oleh ALLah iaitu : sabar dan lemah lembut." Al Munzir bertanya : "Wahai RasuluLLah adakah aku yang berusaha untuk berakhlak dengan kedua-dua sifat itu atau ianya dikurniakan oleh ALlah? RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam menjawab : Ia dikurniakan oleh ALlah kepada kamu." Lalu Munzir mengucap: "AlhamduliLlah yang telah mengurniakan kepadaku dua sifat yang dicintai ALlah dan rasul-Nya."

Jika terdapat dakwaan mengatakan ia hanya dikhususkan kepada Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam. Maka kami akan menjawab begini : Dakwaan ini perlulah dikemukakan bersama dalil yang menyatakan mengucup tangan dan kaki hanya khusus untuk RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam tetapi tidak ada satupun dalil mengenai perkara tersebut.

Prinsip asalnya ialah setiap sesuatu yang diakui oleh RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam atau dilakukan dan diucapkan oleh baginda menjadi syariat untuk baginda dan umatnya selagimana tiada dalil yang menyatakan ia dikhususkan untuk RasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam.

Manakala pendapat yang mengatakan sekiranya diharuskan mengucup tangan atau kaki, nescaya ia membawa kepada tunduk yang dilarang. Maka jawapannya begini : Bukan semestinya setiap bentuk tunduk itu ditegah syarak, tetapi yang ditegah ialah tunduk untuk tujuan mengagungkan dan rukuk. Bukankah apabila sesuatu barang kamu jatuh ke tanah, maka kamu menundukkan badan untuk mengambilnya? Jadi, begitulah juga menundukkan badan di sini adalah untuk mengucup tangan atau kaki, bukannya untuk menyembah atau mengagungkan.

Sumber Ambilan : Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur

SUMBER:

http://jomfaham.blogspot.com/2008/12/hukum-mencium-tangan-ulama-dan-orang.html

 




Hukum Azan 2 Kali Sebelum Solat Jumaat

 

Tersebut dalam kitab fikh mazhab syafie : Syeikh Sayid Bakri Syatha mengatakan "

 
Dan dua azan solat Jumaat dihubungkan dengan 2 azan untuk solat Subuh ertinya : dan sunat juga 2 azan bagi solat Jumaat

(I'anatut Tholibin Juz 1, Hal 232).

Dalil dari fatwa di atas ialah :

1. Dalam kitab Hadith Bukhari :

Dari Saib bin Yazid, beliau berkata :

adalah azan pada hari Jumaat mula-mulanya manakala Imam telah duduk di atas mimbar, begitu pada masa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam pada masa Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar radiyaLlahu 'anhu ketika pada masa Saidina Uthman bin Affan RadiyaLlahu 'anhu dan manusia sudah banyak beliau menambah 'azan yang ketiga' di atas Zaura

(Hadith diriwayatkan oleh Bukhari - sahih Bukhari Juz 1, hal 116).

Hadith ini menyatakan :

1. Pada mulanya, iaitu pada zaman rasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam dan seterusnya pada zaman Khalifah Abu Bakar dan Umar RadiyaLlahu anhuma iaitu sampai pada tahun 23 Hijrah. Azan solat Jumaat hanya sekali iaitu pada ketika Imam telah duduk di atas mimbar. Azan ini dinamakan sebagai 'azan pertama'

2. Kemudian khalifah yang ketiga saidina Uthman bin Affan (berkuasa dari tahun 23 Hijrah-35 hijrah) menambah sebuah azan lagi di atas zaura. Azan tambahan ini dinamai dalam hadith ini 'azan ketiga' kerana Qamat dianggap 'azan kedua'

Secara tertibnya : 1. Azan 1 pada ketika Imam telah duduk di atas mimbar
2. Azan 2 -Qamat atau Iqamat
3. Azan 3 - azan tambahan dari Saidina Uthman.

3. Azan ketiga ini ditambah oleh Khalifah Uthman kerana melihat bahawa manusia sudah ramai, brejauhan tempat bekerja sehingga diperlukan satu azan lagi yang diletakkan terdahulu dari 'azan kedua' iaitu dinamakan azan ketiga.

Azan ketiga yang dikerjakan terdahulu ini boleh ibaratnya boleh - dianggap 'lonceng baru' yang memberitahu penumpang bahawa keretapi akan berangkat, dan hendaklah bersiap-siap.

2. Hadith Riwayat Imam Bukhari :

Dari Saib bin Yazid berkata :

Pada mulanya azan Hari Jumaat itu ketika Imam telah duduk di mimbar. Hal ini terjadi pada ketika zaman Nabi, zaman Abu Bakar dan Umar radiyaLlahu 'anhu. Maka ketika tiba zaman Khalifa Uthman bin Affan radiyaLlahu 'anhu iaitu pada ketika manusia sudah ramai, beliau memerintahkan agar diadakan azan ketiga di atas Zaura'. Maka tetaplah situasi secara demikian

(Hadith riwayat Bukhari - Sahih Bukhari Juz 1 halaman 117).

Hadith yang kedua ini sama dengan hadith yang pertama, tetapi yang kedua bertambah kalimah 'maka tetaplah situasi secara demikian' . Kalimah ini bererti, bahawa azan ketiga itu diterima baik oleh seluruh ulama Islam, tiada yang membantah sehingga diamalkan secara demikian terus menerus sehingga sekarang.

Di dalam Kitab Mawahibul Laduniyah karangan Imam Qasthalani :

Kemudian dari itu, bahawasanya perbuatan Saidina Uthman menjadi IJMAK SUKUTHI, kerana tiada seorang yang membantah (Mawahibul Laduniyah Juz II, halaman 249 - zarqani Juz II hal 382).

Jika sudah dinamakan IJMAK maka ia adalah dalil yang kuat bahawa azan ketiga sunat hukumnya. Bolehkah menolak IJMAK ? Sila rujuk : Hukum Mengikut Jemaah/Ijmak Ulamak

Tersebut dalam kitab hadith yang bererti :

Berkata RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam : Pegang teguhlah sunnah aku dan sunnah khalifah-khalifah ar Rasyidin sesudah aku

(Hadith riwayat Abu Daud - Sunan Abi Daud Juz 4 Halaman 201).

Imam Syafie dalam kitab Al Umm menerangkan :


Dan yang mana di antara yang kedua itu yang terjadi pada masa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam lebih saya sukai

(Umm Juz I, halaman 195).

Imam syafie adalah mujtahid mutlaq terkenal dengan Ahlu Hadith tentu sangat menyukai ibadat yang terjadi pada masa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam tetapi beliau menyukai juga apa yang diperintahkan oleh Saidina Uthman sebagai Khalifah ar Rasyidin, walaupun yang terjadi pada masa RasuluLlah lebih disukai.

Lihat bagaimana Imam Syafie mengggunakan af'al tafdhil. Lebih mengutamakan, melebihkan. Tiada pun sebut larangan.

WaLlahua'lam

Sumber Rujukan :

1. K.H Sirajuddin Abbas, 40 Masalah Agama, Pustaka Aman Press, Kelantan, Malaysia

2. Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur


SUMBER:

http://jomfaham.blogspot.com/2009/04/hukum-azan-2-kali-sebelum-solat-jumaat.html