Friday, 24 May 2013
ADAB AL-IKHTILAF
Sebagai seorang muslim, kita perlu menghayati akhlak-akhlak Islamiyyah dalam semua keadaan sebagaimana yang diajar kepada kita oleh Islam dalam Al-Qur’an dan Al-Sunnah. Adapun adab atau etika dalam berhadapan dengan masalah-masalah khilafiyyah khususnya bagi kalangan bukan ulama’ mujtahidin perlu sekali diberi penekanan agar tidak menimbulkan porak peranda dan kecelaruan dalam masyarakat. Justeru itu, kita merasakan penting perkara ini diberi perhatian sewajarnya, termasuk perkara-perkara:
1 ) Setiap orang mesti membersihkan dirinya dari sentimen ta’asub mazhab secara buta tuli, kerana mazhab bukanlah sebagai faktor memecah belahkan Islam dan bukan sebagai agama-agama yang menasakhkan (membatalkan) Syariat Islam. Malah ia merupakan aliran pentafsiran dan pemahaman Syariah. Ia juga merupakan method (cara) dan kaedah penyelidikan dan kajian ilmiah dalam mengistinbat hukum. Kesemuanya bertujuan untuk mengetahui hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah S.W.T.
2 ) Kita tidak harus merasa sempit dada dengan sebab wujud perbezaan mazhab, kerana perbezaan dalam pemahaman dan istinbat hukum adalah suatu perkara yang lumrah dan tabi’iy bagi akal manusia, maka sudah pasti akan berbeza dalam istinbat dan fahaman. Malah kita boleh berbangga dengan perbezaan ilmu fiqh yang ditinggalkan kepada kita sebagai suatu perbendaharaan fiqh yang amat berharga. Ia juga merupakan bukti betapa berkembang subur dan hidupnya fiqh dan betapa luasnya pemikiran para fuqaha’ kita yang agung dalam melaksanakan kewajipan mereka memberi khidmat kepada Islam yang mulia.
3 ) Kita wajib menghargai segala usaha yang dicurahkan oleh ulama’-ulama’ mujtahidin dalam berbagai mazhab ini. Kita menghormati dan beradab dengan mereka dan kita percaya bahawa mereka akan diberi pahala sama ada betul mahupun salah, seterusnya kita berdoa untuk kebaikan mereka.
4 ) Kita tidak harus memaksa orang lain menerima pandangan kita dalam masalah khilafiyyah.
5 ) Kita tidak harus menentang amalan-amalan khilafiyyah yang tidak sesuai dengan pandangan mazhab yang kita anuti. Sebaliknya, kita hendaklah menentang amalan-amalan yang bercanggah dengan hukum-hukum yang disepekati para ulama’. Ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah: “Tidak atau jangan dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha’. Dan sesungguhnya yang perlu dibantah ialah perkara mungkar yang disepakati ulama’ atas pengharamannya.”
6 ) Kita mesti beradab dengan ulama’ yang berbeza pandangan dengan kita.
7 ) Jangan menuduh orang yang mengamalkan amalan yang kita tidak sependapat dengannya sebagai sesat, pembuat bid’ah, khurafat dan sebagainya kerana masing-masing ada hujah dan alas an yang perlu kita hormati.
8 ) Janganlah kita terpengaruh dengan pendekatan sebahagian anak muda yang berlagak “ alim besar ” menghentam ulama’-ulama’ silam yang tidak sealiran dengan mereka, sambil menyeru masyarakat menentang amalan-amalan yang sudah mantap dalam masyarakat sedangkan amalan itu khilaf ulama’ padanya. Lebih dahsyat dari itu terdapat sebahagian mereka yang biadap menyeru supaya membakar kitab-kitab jawi tua atau Jawi lama, kerana menurut pandangan mereka kitab-kitab tersebut menyesatkan. Subhanallah.
9 ) Kita sebagai seorang pendakwah , guru atau imam harus bijak dalam menangani masalah khilafiyyah. Amat rugi andainya seorang pendakwah membangkitkan perkara yang remeh-temeh dan khilafiyyah dalam ceramah-ceramahnya kerana ini boleh menimbulkan perpecahan dalam masyarakat dan tuduh-menuduh antara satu sama lain.
10 ) Sebagai seorang pendakwah kita perlu memfokuskan syarahan dan pengajaran pokok yang perlu kita berganding bahu dalam membangun atau meruntuhnya. Seperti mana yang diungkapkan oleh Syaikh Rasyid Redha: “ Saling bantu-membantu di antara kita dalam menegakkan perkara yang kita sepakati dan saling bertolak-ansur dan bermaafan di antara kita dalam perkara khilafiyyah.”
11 ) Mengelak dari melakukan masalah yang dipertikaikan memang digalakkan berdasarkan kaedah fiqhiyyah: “ Keluar dari khilaf itu digalakkan.”
12 ) Ikhlas dan mencari yang hak serta melepaskan diri dari hawa nafsu.
13 ) Berlapang dada menerima kritikan dan memahami bahawa ia adalah nasihat dari saudara seagama.
14 ) Menghindari sikap menonjolkan diri, membela diri serta mencari kemasyhuran publisiti murahan.
15 ) Berbincang dan bermuzakaran dengan cara dan kaedah yang terbaik.
16 ) Hendaklah memberikan ruang kepada orang lain mengemukakan pendapat atau hujjah samaada dari pihaknya atau pihak yang membangkang. Tidak boleh memotong percakapan orang lain atau menyakitinya.
17 ) Menghormati pandangan orang lain sebagaimana peristiwa Saidina Abu Bakar menerima cadangan tentang pengumpulan Al-Quran dari Saidina Umar.
18 ) Berbaik sangka kepada orang yang berbeza pendapat dengan kita dan tidak menuduh buruk niatnya, mencela dan menganggapnya cacat.
19 ) Berusaha untuk tidak memperuncing perselisihan, iaitu dengan cara menafsirkan pendapat yang keluar dari lawan atau yang dinisbahkan kepadanya dengan tafsiran yang tidak baik.
20 ) Tidak mudah menyalahkan orang lain, kecuali sesudah penelitian yang mendalam dan difikirkan secara matang.
21 ) Sedapat mungkin menghindari permasalahan-permasalahan khilafiyah dan fitnah. Berpegang teguh dengan etika berdialog dan menghindari perdebatan, bantah-membantah dan kasar menghadapi lawan.
SUMBER:
Buku Persoalan Khilafiyah & Penjelasan Ulama', Ustaz Muhadir Bin Haji Joll, Mawleed Publishing, Hal 873-875.
http://www.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=882&Itemid=1
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
[…] ADAB AL-IKHTILAF […]
ReplyDelete