Monday, 28 January 2013

Kepentingan Tasawwuf di Dalam Islam



Pendahuluan  
                                                                                                                               
Pelbagai definisi Tasawwuf dari segi bahasa yang dikemukakan oleh ulama’-ulama’ antaranya ialah sufah,  suf,  suffah ,  suffi, sof, sofwah, sof, sufanah,sufah al-qafa, sofa’ namun perkataan sofa’  yang bermaksud suci  adalah pendapat yang sohih dan dipersetujui oleh kebanyakan ulama’berdasarkan kekuatannya dari segi bahasa. Adapun definisi Tasawwuf dari sudut istilah juga mempunyai pelbagai  penta’rifan bahkan mencapai sehingga dua ribu penta’rifan sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Zarruq r.a. Wujudnya pelbagai definisi Tasawwuf  di kalangan ulama’-ulama’ adalah berdasarkan pengalaman rohani yang mereka alami dalam mujahadah mereka menuju kepada Allah.  Syeikh Ahmad Zarruq rh mendefinisikan Tasawwuf sekaligus mengklasifikasikan ilmu Tasawwuf, Feqah, Usuluddin yang menjadi kewajipan terhadap semua mukallaf mempelajari dan mengamalkan ketiga-tiga ilmu tersebut, “Tasawwuf ialah suatu ilmu bertujuan memperbaiki hati dan mentafridkannya hanya kepada Allah Ta’ala semata-mata tanpa yang lain. Ilmu Feqah bertujuan membetulkan amalan, menjaga peraturan dan menzahirkan hikmah terhadap hukum hakam, Ilmu Usul (lmu Tauhid) untuk memantapkan muqaddimah keimanan dengan dalil-dalil serta menghiasi iman dengan keyakinan, ia seumpama ilmu peubatan yang bertujuan menjaga badan, ilmu nahu yang memperbetulkan lidah serta bermacam-macam lagi ilmu yang lain”.

Kepentingan Tasawwuf Di Dalam Mencapai Maqam Ihsan

Tasawwuf adalah sebahagian daripada agama Islam yang tidak boleh dipisahkan oleh mana-mana individu muslim kerana berdasarkan sebuah hadith[1] Rasulullah S.A.W  yang menceritakan tentang pertanyaan Jibril a.s tentang Islam, Iman dan Ihsan  sehigga kemudiannya baginda S.A.W bersabda kepada para sahabat “Ini adalah Jibril as, ia datang kepada kamu untuk mengajar tentang agamamu”  menjadikan maqam Ihsan sebagai “Din” cara hidup dan merupakan salah satu rukun agama yang tiga.

Dalam hadith Nabi S.A.W  ini disebut “An Ta’budallah” bermaksud: “Kamu menyembah atau beribadat kepada Allah”. Beribadat kepada Allah, tentulah berdasarkan kepada Iman dan Islam. Ini bermakna, ibadah itu merupakan penghayatan ilmu tauhid dan feqah. Menurut Hadith tersebut , ibadah itu jika dapat ditingkatkan sehingga mendapat pengalaman rasa seakan-akan atau seolah-olah melihat atau menyaksikan hakikat Allah, maka pengalaman rasa seakan-akan melihat Allah itulah ihsan yang dikenali sebagai Tasawwuf atau Tariqah. Oleh sebab  itulah, maka ilmu Tasawwuf  atau Tariqah[2] dianggap sebagai ilmu rasa (ilmu zauqi) yang mana menurut Imam  Ghazali r.a., tidak dapat dicapai dengan jalan mendengar atau ta’lim seperti ilmu-ilmu yang lain kecuali dengan zauq dan suluk sahaja. Apabila ibadah itu telah sampai ke peringkat zauq, maka ibadah itu akan bertukar menjadi ubudiyyah.[3]

Seorang penulis Islam yang terkenal iaiu Syeikh Ahmad Asy-Syarbashi yang juga merupakan salah seorang tenaga pengajar di Al-Azhar Asy-Syarif telah menyebut di dalam majalah Al- Ishhah Al-Ijtimaie di bawah tajuk; Akhlak  di Sisi Kaum Sufi. Setelah beliau memperkatakan tentang Tasawwuf, taarif serta asal usulnya, beliau menyebut: “Aku yakin dan berpegang bahawa hakikat Tasawwuf” yang sempurna adalah martabat Ihsan yang telah digariskan oleh Rasul Islam Sayyidina Muhammad ‘alaihisshalatu wassalam dalam hadis Jibril iaitu ketika baginda mengatakan:
الإحسان أن تعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك.[4]

Gerakan tariqah mempunyai peranan dan pengaruh yang mendalam dalam dakwah Islam di Malaysia semenjak dahulu hingga kini. Dengan metod, kaedah dan uslub yang khusus untuk merealisasikan tawhid hakiki melalui kalimah syahadah La Ilaha illa Allah dan Muhammad Rasulullah S.A.W., ahli tariqah menghayati rahsia tawhid hingga ke darjat maqam al-ihsan, sejajar dengan hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
“Ihsan itu, hendaklah kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya, sekalipun kamu tidak dapat melihatNya, maka sesungguhNya Dia melihat mu.”[5]
Ilmu usuluddin dan Ilmu feqah kesempurnaannya adalah dengan Ilmu Tasawwuf.  Ilmu usuluddin untuk mengesahkan Iman.Ilmu feqah untuk mengesahkan Amal manakala Ilmu Tasawwuf untuk menjernihkan Iman dan Amal. Kalau alim Ilmu usuluddin, Ilmu feqah tetapi tidak ada Ilmu Tasawwuf tidak beramal  seperti bersifat dengan sifat riya’, ‘ujub,takabbur, mencari ‘aib orang lain,mencari kelemahan orang, dan mencari kesalahan orang maka tidak sempurna imannya dan islamnya.
مقام الإحسان شرط لكمال الإيمان والإسلام
Maqam Ihsan merupakan SYARAT bagi kesempurnaan Iman dan Islam.
Walaupun maqam Ihsan merupakan pelengkap dan penyempurna Iman dan Islam namun harus diingat untuk menceburi di dalam bidang Tasawwuf  mestilah terlebih dahulu melalui ilmu syariat  yang terdiri daripada Feqah dan Usuluddin. Dikhuatiri apabila seseorang terus berada di dalam bidang Tasawwuf tanpa mengetahul ilmu syariat dan beramal dengannya maka ia boleh membahayakan dirinya kerana akan tertipu dek kerana berasa tinggi akan ilmu dan amalnya tanpa perlu melalui syariat dan juga telah merasa kelazatan di dalam Tasawwuf yang membuatkannya malas untuk melalui perjalanan ilmu Syariat yang dituntut supaya mempelajarinya.  Dikhuatiri dia terperangkap dengan tipu daya syaitan bahawa merasakan amalannya itu diterima oleh Allah S.W.T. Di sinilah pentingnya ilmu Syariat sebagai kayu ukur untuk mengetahui dan menilai sama ada amal ‘ibadat kita itu sah di sisi Allah S.W.T ataupun tidak.

Dan diketahui daripada demikian itu, bahawa Tasawwuf  adalah Ihsan yang disebut di dalam hadith Jibril ‘Alaihi as Salam sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:  ((Ihsan ialah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya, jika kamu tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia melihatmu)). Maka sesungguhnya Ihsan itu disebut selepas Islam dan Iman, dan pada demikian itu berkata oleh al-Imam Ahmad bin Abi Bakar bin Sumait “dan adapun Tasawwuf itu maka tidak dianggap seseorang itu sebagai ahlinya tanpa dia faqih (di dalam ilmu Syariat), dan sesungguhnya Syari’ (Allah) telah menerangkan Islam dan Iman dahulu sebelum Ihsan sebagaimana yang telah disebutkan  di dalam hadith  Jibril ‘alaihi as-Salam maka jadilah di dalam menuntut ilmu juga seperti yang demikian itu (yakni mempelajari Ilmu Islam iaitu Feqah dan Ilmu Iman iaitu Tauhid dahulu daripada Ihsan iaitu Ilmu Tasawwuf). Telah berkata oleh Imam al-Ghazali  “Sesiapa yang berilmu kemudian bertasawwuf maka dia telah berjaya, dan sesiapa yang bertasawwuf  sebelum menjadi faqih maka membahayakan akan dirinya.”[6]

Kepentingan Tasawwuf di Dalam Pembersihan Hati

Taklif syara’ yang diperintahkan kepada manusia iaitu yang khusus pada dirinya merujuk kepada dua bahagian:-
Hukum-hukum yang berkaitan dengan amalan zhahir .
Hukum-hukum yang berkaitan dengan amalan batin.
Atau dengan lain perkataan;
Hukum hakam yang bersangkut paut dengan tubuh badan manusia.
Amalan-amalan yang bersangkut paut dengan hati.
Amalan tubuh badan mempunyai dua jenis iaitu yang berupa suruhan dan larangan. Suruhan Allah adalah seperti solat, haji, dan sebagainya manakala larangan pula seperti membunuh, berzina, mencuri, minum arak dan seumpama dengannya. Amalan hati juaga ada yang berupa suruhan dan ada pula yang berupa larangan. Suruhan seperti beriman kepada Allah, malaikat-malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul seluruhnya dan banyak lagi. Juga seperti ikhlas, redha, benar, khusyu’, tawakkal, dan sebagainya. Tegahan pula seperti kufur nifaq, bangga diri, sombong, riya’, tipu daya, hasad dengki dan banyak lagi. Sekalipun kedua-duanya dikira penting di sisi syara’  tetapi bahagian kedua yang berkaitan dengan hati ini adalah lebih penting jika dibandingkan  dengan bahagian yang pertama. Ini kerana yang batin adalah asas kepada yang zahir serta sumbernya, amalan batin juga punca amalan zahir. Kerosakan amalan batin mengurangkan kualiti amalan zahir. [7]

Menurut Mufti Besar Mesir, Syaikh Dr. Ali Jum’ah,  Tasawwuf merupakan program tarbiyah yang mementingkan penyucian jiwa  dari segala penyakitnya yang menghijab manusia daripada Allah S.W.T. Ilmu Tasawwuf juga bertujuan memperbetulkan dan memperbaiki penyelewengan jiwa dan akhlak yang berkaitan dengan hubungan seseorang insan dengan Allah, hubungan dengan masyarakat dan hubungan dengan diri sendiri  . [8]

Hidup ber’ibadah dan memuji-muji Allah itu meminta Ruhaniah manusia itu suci. Ini meminta kehidupan seorang itu suci. Cara-cara hidup suci mempunyai ketentuan-ketentuan yang luas, dan inilah yang menjadi lapangan Tasawwuf. Bagaimana supaya apa pun pekerjaan manusia itu, dengan pekerjaan itu ia dapt menambah suci hatinya kepada Tuhannya, ini pekerjaan Tasawwuf.[9]
Terdapat banyak dalil-dalil syara’ yang menunjukkan kedudukan hati di sisi Allah S.W.T. Antaranya ialah
فَمَن كَانَ يَرْجُوا لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَلِحًا وَلاَ يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ  أَحَدَا
“Barangsiapa mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia beramal dengan amalan yang soleh dan janganlah dia menyekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya”.[10]
يَوْمَ لاَ يَنفَعُ مَالٌ وَلاَ بَنُونَ (88) إِلاَّ مَن أَتَى الَّلهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (89)
“Pada hari yang tidak bermanfaat harta benda dan anak pinak melainkan orang yang datang menemui Allah dengan hati yang sejahtera”.[11]

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد الجسد كله، ألا وهي القلب.
Ingatlah bahawa pada jasad itu terdapat seketul daging , apabila daging itu baik maka baiklah jasad seluruhnya dan apabila ia rosak maka rosaklahjasad seluruhnya, ingatlah bahawa itu adalah hati.[12]

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن الله لا ينظر أجسادكم ولا إلى صوركم ولكن ينظر إلى قلوبكم.
Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan kamu dan tidak pula kepada rupa parasmu akan tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu.[13]

            Betapa nilainya kedudukan hati seseorang di sisi Allah sehingga di dalam syarat untuk diterima amal ibadat seseorang itu juga berkaitan dengan hati umpama ikhlas dan khusyu’ di dalam solat. Berdasarkan Firman Allah:
وأقم الصلاة لذكري (14: طه) .
Bermaksud: Dan dirikanlah sembahyang untuk mengingatiKu.
فويل للمصلين، الذين هم عن صلاتهم ساهون (4-5: الماعون).
Bermaksud: Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solat mereka.
Dan Sabda Rasulullah s.a.w:
“إن العبد ليصلي الصلاة لا يكتب له سدسها ولا عشرها، وإنما يكتب للعبد من صلاته ما عقل منها”.
Bermaksud: Sesungguhnya hamba bersembahyang ia, padahal tidak ditulis padanya pahala:
Seperenam pun tidak, dan sepersepuluh pun tidak; hanya sanya ditulis untuk hamba itu pahala mengikut apa yang diingatkan oleh akalnya dari ‘ibadat sembahyangnya. (Diriwayatkan oleh Abu Daud, an-Nasaie dan Ibnu Hibban).
Andai hanya solat sah dari segi zahir tetapi batinnya tidak khusyu’ atau mempunya sifat riya’ atau takabbur maka hanya kepenatan jua yang akan diperolehinya sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:
“كم من قائم حظه من صلاته التعب والنصب”.
Bermaksud: Berapa ramai orang yang mendirikan sembahyang adalah habuan daripada sembahyangnya hanyalah kepenatan dan keletihan jua. (Hadith riwayat Ibnu Majah).
Membersihkan hati dan mendidik diri adalah diantara sepenting-penting fardhu ‘ain dan sewajib-wajib suruhan Ilahi berdasarkan dalil apa yang terdapat dalam al-Quran, Sunnah, serta kata-kata ulama’:-[14]
Dalil Al-Quran
Firman Allah S.W.T.:
قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ..
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya Tuhanku mengharamkan perkara-perkara yang keji, apa yang zahir daripadanya dan apa yang batin”.[15]
Firman Allah S.W.T. lagi:
وَلاَ تَقْرَبُوا الْفَوَحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ
“ Janganlah kamu menghampiri perkara-perkara yang keji apa yang zahir daripadanya dan apa yang batin”.
Kekejian batin sebagaimana yang disebut  oleh mufassirin ialah hasad dengki, riya’, nifaq dan sebagainya.
Dalil As-Sunnah
Dalilnya adalah semua hadis yang menyebut tentang hasad dengki, besar diri, riya’, iri hati dan sebagainya. Juga hadis-hadis yang menyuruh menghiasi diri dengan akhlak yang mulia serta muamalat yang baik maka rujuklah pada tempat-tempatnya.
Hadis Rasulullah S.A.W.:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: الإيمان بضع وسبعون شعبة، فأعلاها قول لا إله إلا الله، وأدناها إماطة الأذى عن الطريق، والحياء شعبة من الإيمان.
“Iman itu lebih daripada tujuh puluh bahagian, yang paling tinggi ialah kata-kata: Laa Ilaha illallah dan yang paling rendah ialah membuang benda yang menyakitkan dari jalan. Dan malu itu sebahagian daripada iman.”

Kesempurnaan iman terletak pada kesempurnaan  bahagian-bahagian tersebut serta menghiasi diri dengannya. Pertambahan iman juga bergantung kepada pertambahan sifat-sifat tersebut sementara penurunan iman pula adalah dengan berkurangnya perkara tersebut. Penyakit batin sahaja sudah cukup untuk menghapuskan amalan manusia walaupun amalan itu banyak.

Dalil Daripada Kata-kata Ulama’

Berkata al-Faqihul Kabir al-‘Allamah Ibnu ‘Abidin dalam Hasyiahnya yang masyhur: “Tegasnya ilmu ikhlas, ‘ujub, hasad dan riya’ adalah fardhu ‘ain. Begitu juga dengan sifat-sifat yang membinasakan jiwa seperti sombong, loba, hasad dengki, menipu, marah, perbalahan, permusuhan, tamak, bakhil, sombong, bermegah-megah, tipu menipu, angkuh daripada menerima kebenaran, tipu daya, keras hati, panjang angan-angan dan sebagainya yang telah jelas terdapat pada Kitab Ihya’ dalam tajuk perkara-perkara yang membinasakan. Tentang perkara tersebut Imam al-Ghazali berkata: “Manusia tidak akan terlepas daripadanya, maka wajib ia mempelajari perkara tersebut iaitu apa yang dianggap dirinya berhajat kepadanya. Menghilangkan penyakit hati adalah fardhu ‘ain. Tidak mungkin akan dapat menghilangkannya kecuali dengan mengetahui had batasannya, sebab-sebab, tanda-tanda serta cara mengubatinya. Sesiapa yang tidak mengenal kejahatan pasti terjebak ke dalamnya”.
Pengarang kitab Maraqi al-Falah pula berkata: “Thaharah atau penyucian zahir tidak bermanfaat kecuali setelah disertakan bersama thaharah batin dengan ikhlas dan menjauhkan diri daripada sifat iri hati, menipu dan hasad dengki, juga menyucikan hati sanubari daripada makhluk yang lain selain Allah. MenyembahNya kerana ZatNya, bukan kerana sebab atau ‘illah, bergantung harap kepadaNya justeru Dia mengurniakan pemberian dengan menunaikan segala hajat yang kamu memang memerlukan sebagai kasih sayangNya kepadamu. Di saat itu kamu menjadi hamba yang unggul kepada Raja yang satu lagi tunggal. Tiada sesuatupun yang memiliki dirimu selain Allah dan di saat kamu berkhidmat kepada Tuhanmu hawa nafsu tidak memilikimu”
Kepentingan Tasawwuf dalam Memelihara Anggota Zahir

Antara proses untuk membersihkan hati ialah dengan memelihara anggota zahir daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T. Apabila diri seseorang sudah terpelihara daripada perbuatan-perbuatan yang dikeji maka sudah pasti hatinya akan menjadi bersih kerana hubungan rapat di antara anggota zahir dan batin itu yang saling berkait.
Maksud daripada ilmu Tasawwuf  itu membersihkan segala anggota yang zahir daripada segala perbuatan yang dikeji , supaya ada ia menyampaikan kepada membersihkan hati daripada segala sifat kecelaan, dan dikehendaki dengan segala anggota yang zahir itu tujuh anggota. Pertama mata, dan kedua telinga, dan ketiga lidah, dan keempat perut, dan kelima faraj, dan keenam dua tangan, dan ketujuh dua kaki.[16]

Ketahuilah bahawasanya apabila engkau melakukan sesuatu maksiat maka sebenarnya engkau melakukan maksiat itu dengan menggunakan anggota badanmu yang merupakan nikmat Allah yang dianugerahkannya kepadamu dan menggunakan amanat yang diberikan kepadamu. Jadi ketika engkau menggunakan anggotamu untuk melakukan maksiat bermakna engkau menyalahgunakan nikmat yang dianugerahkan dan mengkhianat terhadap amanah yang diberikan. Dan anggotamu adalah rakyatmu maka hendaklah engkau berfikir baik-baik bagaimana sepatutnya engkau menjaganya. Sabda Rasulullah S.A.W.:
فَكُلُّكُم رَاعٍ، وَكُلُّكُم مَسْؤُولٌ عَن رَعِيَّتِهِ
“ Maka kamu semua adalah pengembala (pemimpin) dan kamu semua akan ditanyai tentang pengembalaannya (kepimpinannya)”[17]
Maka jagalah baik-baik seluruh anggotamu. Khususnya anggotamu yang tujuh kerana pintu neraka itu tujuh pula dan telah ditentukan setiap pintu itu untuk dimasuki oleh kumpulan yang telah melakukan perbuatan maksiat dengan salah satu di antara tujuh anggota badan, iaitu mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki.[18]

Perkataan Ulama’ Yang Menunjuk Kepada Kepentingan Tasawwuf

            Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali rahimahullah membicarakan dalam kitabnya al-Munqiz Minadh Dhalal tentang ahli sufi, suluk serta jalan mereka yang benar yang menyampaikan kepada Allah Ta’ala. Beliau berkata: “Sesungguhnya secara yakin aku mengetahui bahwa ahli sufi ialah mereka yang salik pada jalan Allah Ta’ala yang khusus. Perjalanan hidup mereka adalah sebaik-baik perjalanan dan jalan yang paling betul serta akhlak mereka adalah akhlak yang paling bersih. Setelah itu beliau menyebut sebagai menolak dakwaan orang yang ingkar kepada ahli sufi dan menyerang mereka: Secara amnya, apakah yang perlu disebut oleh mereka yang sering mempertikaikan terhadap thariqah atau jalan yang menjadikan thaharah sebagai syarat pertama untuk menyucikan hati secara total terhadap selain Allah. Pembukaannya adalah sama seperti apa yang berlaku pada takbiratul ihram di permulaan solat iaitu hati tenggelam secara keseluruhannya dengan mengingati Allah sementara penghujungnya pula adalah fana’ fillah secara keseluruhannya”.[19]
Pendapat Ibnu Khaldun Tasawwuf itu suatu ‘Ilmu dari Syariat Islam. Kata negarawan besar dan ahli sejarah ini di dalam muqaddimahnya, bahawa ‘imu Tasawwuf ini satu ‘ilmu daripada  Syariat-syariat Islam. Asalnya jalan yang ditempuh oleh salaf al-ummah, yang ditempuh sahabat-sahabat besar dan tabi’in juga yang ditempuh orang-orang yang kemudian mereka. Asal Tasawwuf itu berhadap untuk ber’ibadat dan memutuskan diri dari yang lain Allah dan bertekun menghadapnya sahaja, serta memalingkan diri dari dunia dan perhiasan-perhiasannya. Ditambah lagi dengan zuhud dalam hal-hal yang direbutkan orang ramai, iaitu kelazatan harta dan pangkat (pengaruh) yang besar, serta berseorang diri terlepas diri dari orang ramai dalam khulwah menyembah Allah S.W.T. Sifat-sifat ini adalah sifat-sifat ‘umum sahabat dan salaf. Salaf iaitu tiga tingkatan ummah. Pertama sahabat, kedua tabi’in dan ketiga tabi’ tabi’in. umat yang datang sesudah tabi’ tabi’in disebut khalaf. Kemudian tatkala pada ‘abad kedua hijriyyah dan masa-masa yang dibelakang itu, perhatian manusia kepada dunia sudah semakin hebat dan dahsyat, dan banyaklah manusia yang turut ambil bahagian merebut dunia ini. Maka ketika itu orang-orang yang tetap pada pendiriannya semula, hanya berharap kepada Allah, lalu disebut sufi.[20]

Kesimpulan  

Ihsan itu merupakan satu daripada salah satu rukun daripada rukun-rukun agama maka wajib atas setiap seseorang mencapai maqam Ihsan dengan mempelajari dan mengamalkan ‘Ilmu Tasawwuf.
Biliografi
Zakaria Stapa. 1995. Akhlak & Tasawuf Islam. Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd. 1993.
Al-Maliki Mohammad Fuad Kamaluddin, Kepentingan Tariqah Dan Tasawwuf , Johor: Sekretariat
Menangani Isu-isu Akidah Dan Syariah Majlis Agama Islam Negeri Johor, Bil 7, April 2009.
Syeikh Abdul Qadir Isa, Haqai’q Tasawuf, c. 11. Syiria: Dar al-‘Irfan.
Prof. Madya Dr. Idris Abdullah dan Ideris bin Endot (2008), “Peranan Tariqah Tasawwuf Dalam Dakwah
dan Penyebaran Ilmu Pengetahuan di Malaysia”, Penjanaan Tariqah Tasawwuf Dalam Pembangunan
Rohani Negara, c. 1. Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.
Hussain bin Muhammad al-Haddad (2003), at-Tahzir min Khatr at-Tafkir, c. 3.  T.P., T.T.P.
Syeikh Ali Jumaah, Al-Bayan Al-Qawim li Tashih Ba’dhi Al- Mafahim, c. 1. Kaherah: Dar as-Sundus.
Haji Zainul ‘Arifin ‘Abbas (1994), ‘Ilmu Tasawwuf, c. 7.  Kelantan: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.
Syeikh Abdul Qadir al-Mandili, Penawar Bagi Hati , Fathani: Matba’ah Bin Halabi, h. 4.
Al-Imam Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali, Bidayatul Hidayah. Ahmad Fahmi Zamzam (terj.), c. 4.
Kedah: Khazanah Banjariah, h. 113 – 114.
[1]  Lihat Sohih Muslim bi Syarh al-Nawawi Jilid: 1, hal. 131-133. hadith no: 8
[2]  Istilah tarekat itu boleh dirujukkan kepada cara, kaedah, atau peraturan-peraturan khusus yang diikuti
dan dihayati kehendak-kehendaknya oleh seorang murid di bawah naungan satu kumpulan kesufian
yang mengikuti panduan seseorang syeikh yang terkemuka. Lihat  Zakaria Stapa. 1995. Akhlak &
Tasawuf Islam. Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd. 1993(i). “Kefahaman Tasawuf Di Kalangan
Muslim Kelantan”. Dalam Mohammed Yusoff Hussain etal (pyt.) Isu-isu Dalam Usuluddin dan Falsafah.
Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. 1993 (ii). “Beberapa Konsep Utama Dalam Tarekat
Tasawuf: Satu Analisis. Kertas Kerja Bengkel Peningkatan Kefahaman Akidah Islamiah, anjuran
Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, pada 5 – 7hb. Julai, 1993 di Langkawi. 1989.
“Tasawuf dan Tariqat: Satu pendekatan pengenalan” Pengasuh. 500 (Sept. – Okt., 1989): 53-60.
[3]  Al-Maliki Mohammad Fuad Kamaluddin, Kepentingan Tariqah Dan Tasawwuf , Johor: Sekretariat
Menangani Isu-isu Akidah Dan Syariah Majlis Agama Islam Negeri Johor, Bil 7, April 2009, h. 17
[4]  Syeikh Abdul Qadir Isa (2011), Haqai’q Tasawuf, c. 11. Syiria: Dar al-‘Irfan, h. 480.
[5] Prof. Madya Dr. Idris Abdullah dan Ideris bin Endot (2008), “Peranan Tariqah Tasawwuf Dalam Dakwah
dan Penyebaran Ilmu Pengetahuan di Malaysia”, Penjanaan Tariqah Tasawwuf Dalam Pembangunan
Rohani Negara, c. 1. Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, h. 63.
[6] Hussain bin Muhammad al-Haddad (2003), at-Tahzir min Khatr at-Tafkir, c. 3.  T.P., T.T.P, hal. 134 –
135.
[7]Syeikh Abdul Qadir Isa (2011), Haqai’q Tasawuf, c. 11. Syiria: Dar al-‘Irfan, h. 28.
[8] Syeikh Ali Jumaah, Al-Byan Al-Qawim li Tashih Ba’dhi Al- Mafahim, c. 1. Kaherah: Dar as-Sundus,
h. 87.
[9] Haji Zainul ‘Arifin ‘Abbas (1994), ‘Ilmu Tasawwuf, c. 7.  Kelantan: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.,
h. 34.
[10] Surah al-Kahf: 110.
[11] Surah Asy-Syu’araa’: 88-89.
[12] Riwayat al-Bukhari
[13] Riwayat Muslim
[14] Syeikh Abdul Qadir Isa (2011), op.cit., h. 29 – 32.
[15] Surah Al-A’raaf: 33.
[16] Syeikh Abdul Qadir al-Mandili, Penawar Bagi Hati , Fathani: Matba’ah Bin Halabi, h. 4.
[17] Riwayat Bukhari dan Muslim
[18] Al-Imam Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali, Bidayatul Hidayah. Ahmad Fahmi Zamzam (terj.), c. 4. Kedah: Khazanah Banjariah, h. 113 – 114.
[19] Syeikh Abdul Qadir Isa, op.cit., h. 464.
[20] Haji Zainul ‘Arifin ‘Abbas (1994), ‘Ilmu Tasawwuf, c. 7.  Kelantan: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd., h. 76 –  77.

No comments:

Post a Comment