Monday, 28 January 2013
Apa itu Agama dan Rukun-rukunnya?
Ta’rif Agama
Bermula Ugama itu ialah ibarat yakni satu tuturan dan cakapan daripada sekumpulan dan perhimpunan undang-undang yang datang daripada Allah Ta’ala keatas RasulNya supaya menyampaikan akan dia kepada umat manusia. Atau dikatakan Ugama itu ialah terkena kepada segala undang-undang yang datang daripada Allah Ta’ala kepada Rasul-rasulnya kemudian menyampaikan mereka itu akan segala umat. Iaitulah yang dinamakan Ugama Islam dan orang-orang yang mengikut undang-undang itu dinamakan muslim, yakni orang yang berugama Islam.
Maka nyata daripada ta’rif itu bahawa yang disebutkan ugama itu ialah kena kepada undang-undang Allah Ta’ala yang dihantar akan dia dengan melalui Rasul-rasulNya, daripada yang bersangkutan dengan aqidah dan dengan ibadah dan mu’amalah dan sebagainya. Bermula undang-undang Allah Ta’ala lima perkara iaitu wajib, sunat, haram, makruh, harus. Maka tiap-tiap daripada apa kerja manusia itu tidak keluar daripada salah satu daripada lima undang-undang yang tersebut yang dinama akan dia dengan hukum-hukum syara’ atau hukum-hukum taklifiyyah, yang lagi akan datang menyebut akan dia di dalam huraian hukum-hukum syara’ insya Allah.
Maka nyata pula daripada huraian ini bahawa pengenalan Ugama itu, ramainya orang-orang yang tidak mengenal Ugama yang tersebut maka setengahnya sembahyang sahaja, puasanya tidak dan setengahnya sembahyang, puasa, menunaikan haji, tidak mengeluar pula zakat dan bermacam-macamlah berlakunya. Ada kala membuat yang sunat-sunat jua tidak yang wajib. Semuanya itu daripada sebab tidak mengenal Ugama. Kalau begitu, hendaklah kamu mempelajari akan dia dengan bersungguh-sungguh sehingga mengenal akan dia.
Rukun Agama
Dan kejadian Ugama atau terbentuknya Ugama itu diatas tiga perkara iaitu Islam, Iman dan Ihsan.
1) Islam
Bermula Islam itu mengikut zohir dan mengaku zohir oleh seseorang akan segala perkara yang dibawa datang akan dia oleh Rasul daripada pekerjaan Ugama yang diketahui akan dia dengan dhorurah, yakni ketiadaan fikir bahkan semua orang tahu belaka kata perkara itu daripada pekerjaan Ugama sehingga kanak-kanak pun tahu seperti sembahyang, puasa. Dan rukun itu 5 perkara yakni terbentuklah segala pekerjaan Ugama itu diatas 5 rukun yang dinamakan dia rukun Islam.
Dan makna rukun itu ialah perkara-perkara yang jadi sesuatu dengan dia dan ia pula juzu’ suatu atau suku sesuatu itu, yakni rukun itu asas atau tunjang bagi sesuatu. Maka rukun Islam atau asas atau tunjang Islam itu 5 perkara:
Pertamanya mengucap dua kalimah syahadah iaitu
اشهد ان لا إله الا الله و اشهد ان محمد رسول الله
Ertinya: Aku menyaksi dan aku mengaku dengan lidahku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku menyaksi dan aku mengaku bahawa Muhammad itu Rasulullah atau utusan Allah.
Dan rukun yang pertama inilah sebagai asas dan tunjang utama bagi seseorang Islam, sehingga-hingga tidak dihukumkan dengan seseorang itu dengan Islam kecuali ianya menyebut dengan lidahnya akan dua kalimah itu tetapi orang-orang yang sudah Islam dua ibu bapanya tidak wajib lagi mereka itu menyebut dua kalimah itu kerana memadai dengan menurut jua. Dan berkata setengah ulama’ wajib juga berkata didalam seumur hidupnya sekali supaya lepas tuntutan Allah Ta’ala. Sabda Nabi s.a.w didalam hadith yang sohih. Bersabda ia:
اُمِرْتُ اَن أُقَاتِلَ النَّاس حَتَّى يَشْهَدُوا اَن لاَ اِلَهَ اِلاَّ الله. (الحديث)
Ertinya:
Diperintah akan daku bahawa aku membunuh akan segala manusia sehingga menyaksi dan mengaku lidah mereka itu bahawasanya tidak ada Tuhan melain Allah hingga akhir. (hadith).
Keduanya sembahyang lima waktu, ketiganya memberi zakat, keempatnya puasa dibulan ramadhan dan kelimanya menunaikan haji ke baitullah bagi mereka yang kuasa kepadanya akan jalan. Sabda nabi s.a.w didalam hadith yang sohih:
بُنِيَ الاِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ اَن لاَ اِلَهَ اِلَّا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ وَاِقَامِ الصَّلاَةِ وَاِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَصَومِ رَمَضَانَ وَحَجِّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ اِلَيْهِ سَبِيْلاً.
Ertinya:
Dibinakan pekerjaan Islam itu diatas lima perkara : Menyaksikan tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu Rasulullah, dan mendirikan sembahyang, dan mengeluarkan zakat, dan berpuasa di bulan ramadhan, dan menunaikan haji di baitulllah bagi mereka yang kuasa kepadanya akan jalan.
Maka nyata daripadanya bahawasanya orang-orang yang tidak mengerjakan lima-lima perkara tersebut itu, mereka itu tidak ada asas dan tunjang pada Ugama Islam seperti binaan – binaan yang tidak ada asas dan tunjang, maka adalah binaan itu menjadi runtuh. Demikianlah menjadi runtuh Ugama apabila tidak ada asas dan tidak ada lima tunjang yang tersebut atau mengingkari dengan lidahnya dan jikalau dengan selora sekalipun.
2) Iman
Bermula Iman itu percaya hati seseorang serta mengaku putus didalam hatinya akan sungguh segala perkara yang dibawa datang akan dia oleh Rasul s.a.w daripada pekerjaan Ugama yang diketahuikan dia dengan dhorurah benar dengan tidak kena fikir dan bicara bahkan tahu belaka tua dan muda akan bahawa perkara itu daripada pekerjaan Ugama Islam.
Dan terbentuklah iman itu diatas 6 asas atau 6 tunjang yang dinamakan dia dengan rukun iman. Yang pertama, percayakan Allah. Maknanya mengaku putus didalam hati seseorang dengan tentu sungguh Allah Ta’ala itu Tuhan yang bersifat ia dengan segala sifat-sifat ketuhanan. Maka jika seseorang itu tidak mengaku putus dengan sungguh begitu atau ia mengetahui jua dengan tidak mengaku maka adalah ia tidak beriman dengan Allah Ta’ala dan adalah ia orang yang kafir di sisi Allah Ta’ala dan jikalau sembahyang, puasa sekalipun.
Yang kedua percayakan akan malaikat. Maknanya mengaku putus didalam hati seseorang akan bahawasa malaikat itu tentu sungguh ada dan ia setengah daripada makhluk Allah Ta’ala.
Yang ketiganya percaya akan segala kitab dengan maknanya. Mengaku putus seorang didalam hatinya dengan tentu sungguh ada segala kitab yang datang daripada Allah Ta’ala seperti Qur’an dan Taurat dan lain-lainnya dan sungguh segala perkara-perkara yang disebut didalamnya.
Yang keempatnya percaya akan segala Rasul-rasul Allah, dengan maknanya mengaku putus seseorang didalam hatinya dengan tentu sungguh ada segala Rasul Allah Ta’ala itu, dan mengaku sungguh akan segala perkara yang mereka itu menyampaikan kepada umatnya.
Yang kelimanya percaya akan hari qiamat dengan maknanya mengaku putus seseorang didalam hatinya dengan tentu sungguh ada hari qiamat itu bila-bila masa jua akan datang berlakunya.
Yang keenamnya percaya dengan qadho’ dan qadar, dengan maknanya qodho’ itu penentuan yang telah menentu akan dia Allah Ta’ala dengan iradat. Dan makna qadar itu takdir Allah Ta’ala. Maksudnya perbuatan yang telah perbuat akan dia oleh Allah Ta’ala dengan qudratNya. Maka percaya dengan qodho’ dan qadar itu maknanya mengaku putus didalam hati seseorang dengan tentu sungguh akan bahawa segala perkara yang berlaku daripada baik dan jahat semuanya dengan kehendak Allah Ta’ala dan menjadi ia akan dia. Inilah enam perkara yang dinamakan dia rukun iman. Maka barangsiapa tidak percaya dengan maknanya tidak mengaku sungguh segala perkara itu, maka adalah ia kafir tidak dinamakan dia orang yang beriman.
Firman Allah Ta’ala:
وَمَنْ يَكْفُرْ بِاللهِ وَمَلاَئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلاَلاً بَعِيدًا.
Ertiya: Dan barangsiapa kafir ia yakni tidak percaya dan tidak mengaku sungguh dengan Allah Ta’ala dan segala malaikatNya dan segala kitabNya dan sekelian rasulNya dan dengan hari akhir yakni hari qiamat maka sesungguhnya sesat ia akan sebagai sesat yang jauh.
3) Ihsan
Bermula ihsan itu berbuat baik, dengan maknanya mengerjakan segala perintah Allah seperti sembahyang, puasa dan sebagainya daripada segala yang disuruh itu dengan elok yang mencukupi segala syarat –syarat dan sempurna rukun-rukunnya, seolah-olah mengerjakan dan menunaikan perintah Allah itu dihadapan Allah Ta’ala dan jikalau kita tidak melihat akan dia sekalipun. Dan Ihsan ini syarat bagi kesempurnaan Ugama Islam jua. Bukanlah syarat bagi sah Ugama Islam. Dan orang yang tidak mengerjakan ibadat dengan elok, dengan bahawa tidak cukup syarat dan rukun dan tidak ada ikhlas dan tidak khusyu’ dan tawadhu’, maka dinamakan dia orang yang tidak berbuat elok. Maka tidak sempurnalah Ugama Islam dan tidak ada hak lagi menerima pahala daripada Allah Ta’ala.
Sabda Nabi S.A.W: Daripada Umar ibn al-Khatab, berkata ia:
بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتِ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيْدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيْدُ سَوَادِ الشَعْرِ لاَ يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلاَ يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ حَتَّى جَلَسَ إلَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهِ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَىْ فَخِذَيْهِ وَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَلَى الْإسْلاَمِ. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الإسلام أَنْ تَشْهَدَ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ وَتُقِيمَ الصَّلاَةَ وَتُؤْتِيَ الزَّكاَةُ وَتَصُومَ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنِ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيْلاً. قَالَ صَدَقْتَ. قَالَ فَعَجِبْنَا لَهُ يُسْأَلَهُ وَيُصَدِّقُهُ. قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنِ الْإِيمَانِ. قَالَ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ وَمَلاَئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدْرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ. قَالَ: صَدَقْتَ. قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنِ الْإِحْسَانِ. قاَلَ أَن تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِن لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِّنَهُ يَرَاكَ
(روايت مسلم)
Ertinya:
Di antaranya kami menduduki kami disisi Rasulullah S.A.W pada suatu hari tiba-tiba kelihatan diatas kami seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya dan bersangatan hitam rambutnya, tidak nampak bekas-bekas perjalanannya, dan tidak mengenal akan dia oleh seseorang daripada puak kami sehingga ia menduduki akan Rasulullah S.A.W. Dan sandar ia akan dua lututnya kepada dua lutut Rasulullah. Dan meletak ia akan dua tangannya keatas dua peha Rasulullah, lalu berkata ia: Ya Muhammad, beritahu akan saya daripada Islam. Sabdanya bahawa menyaksi engkau bahawa tidak ada tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad Rasulullah. Dan mendirikan engkau akan sembahyang. Dan mengeluar engkau akan zakat. Dan berpuasa engkau di bulan ramadhan. Dan menunaikan engkau akan fardhu haji ke Baitullah jika kuasa engkau kepadanya akan jalan. Berkata lelaki itu benar engakau. Kemudian menanya lagi lelaki itu: wahai Muhammad beritahu akan saya daripada iman. Sabdanya: bahawa percaya engkau akan Allah, dan akan malaikat, dan segala kitab-kitabNya, dan sekelian rasul-rasulNya, dan akan hari kiamat, dan percaya engkau dengan qadarNya baiknya dan jahatnya. Berkata lelaki itu benar engkau ya Muhammad. Kemudian menanya pula lelaki itu: beritahu akan saya Muhammad daripada ihsan. Sabdanya: bahawa engkau mengerjakan ibadat akan Allah Ta’ala itu seolah-seolahnya engkau melihat akan Allah, maka jika engkau tidak nampak akan Dia maka Ia tetap melihat akan dikau.
Maka nyatalah bahawa kebentukan Islam yang sempurna itu adalah dengan berhimpun tiga perkara yang tersebut, bukanlah dengan semata-mata mengaku lidah dengan Islam jua. Padahalnya tidak menunaikan segala Rukun Islam dan Rukun Iman dan Ihsan yang tersebut, maka adalah pada hakikatnya tidak mengenal Ugama. Bahkan mengetahui jua dengan tidak mengaku didalam hatinya, seperti yang banyak berlaku pada umat Nabi Muhammad S.A.W di masa-masa ini dengan mengetahui sembahyang, tetapi tidak sembahyang, dan mengetahui puasa tetapi tidak puasa dan ila akhir dan sebagainya. Maka dengan huraian yang panjang, hendaklah engkau lihat di dalam risalah yang bernama Al-Hablu Al-Matin Fi Ma’rifati Al-Din. Wallahu A’lam.
Rujukan:
Risalah al-Misbah al-Munir, karangan Abdul Aziz bin Ismail al-Fathoni, Cetakan Matba’ah Halabi, hal. 4-8.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment