Friday, 9 November 2012

Peringatan Bagi Penuntut Ilmu

 

Hendaklah berniat dengan menuntut ‘ilmu itu akan keredhaan Allah dan akan negeri akhirat dan menghilangkan jahil daripada dirinya dan terjauh daripada orang yang jahil dan menghidupkan agama kerana bahawasanya kekal agama Islam itu dengan ‘ilmu . Dan tiada sah zuhud dan taqwa melainkan dengan ‘ilmu dan berniat syukur atas nikmat iman dan aqal dan sihat badan .

 

 

Dan jangan berniat dengan berniat menuntut ‘ilmu itu akan berhadap manusia kepadanya dan mendatangkan dunia dan kemuliaan pada raja-raja dan lainnya daripada dunia . Dan hendaklah bagi orang yang menuntut itu memelihara akan adabnya kerana tiada mencapai akan ‘ilmu dan tiada manfaat dengan dia dan tiada berkat padanya melainkan dengan beradab .

 

 

Setengah daripadanya membesarkan ‘ilmu dan ahlinya dan membesarkan gurunya dan jangan berjalan di hadapannya dan jangan duduk pada tempatnya dan jangan memulai perkataan dan jangan membanyakkan perkataan dan tertawa-tawa di hadapannya melainkan dengan izinnya atau redhanya .

 

 

Dan jangan bertanya akan dia masalah pada ketika ia jemu dan jangan diserukan dia dengan namanya seperti jangan diserukan dua ibu bapanya dengan nama keduanya .

 

 

Dan jangan memegang kitab melainkan dengan wudhu΄ kerana bahawasanya ‘ilmu itu nur dan wudhu΄ itu nur, maka bertambah nur ‘ilmu itu dengan nur wudhu΄ dan jangan menghanjurkan kakinya kepada kitab dan jangan meletakkankan atasnya sesuatu, maka iaitu haram melainkan kerana hajat .

 

 

Dan lagi, menghormati taulannya yang bersekutu pada menuntut ‘ilmu dan memeliharakan daripada perangai yang keji-keji serta memelihara ia daripada kenyang dan banyak tidur dan daripada membanyak perkataan yang sia-sia dan memelihara ia daripada makan akan makanan pekan kerana makanan pekan itu terlebih hampir bagi najis dan khianat dan terlebih jauh daripada dzikrullah dan terlebih hampir kepada lalai dan lagi kerana bahawasanya mata segala faqir jatuh atasnya dan tiada kuasa mereka itu membeli akan dia dan jadi menyakiti mereka itu dengan demikian itu, maka hilang berkatnya .

 

Kitab : Pelita Bagi Penuntut

 

SUMBER:

http://kitabjawilama.blogspot.com/2012/04/peringatan-bagi-penuntut.html

 

1 comment: