Dipetik dari buku: Penjelasan Mengenai Bilangan Rakaat Solat Tarawih
Oleh: Prof. Dr. Ali Jumu’ah (Mufti Besar Mesir)
Dikeluarkan oleh: Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al Maliki.
Terbitan: SOFA Production.
Soalan:
Orang ramai telah berselisih pendapat pada bulan Ramadhan Al Mubarak mengenai permasalahan solat tarawih. Apakah pendapat yang sohih mengenai bilangan rakaatnya?
Jawapan:
Kembali kita hidup dalam persengketaan tahunan didalam bulan Ramadhan Al Mubarak antara setengah golongan yang berkeras dengan pendapat mereka dan inginkan orang ramai menurut pendapat mazhab mereka dan orang awam yang kadangkala tidak menemui sesiapa yang mampun menyelematkan mereka dari golongan tersebut.
Sebab tercetusnya perselisihan ini ialah permasalahan bilangan rakaat solat tarawih. Maka golongan yang terpekik terlolong sewenang-wenangnya menyalahkan pendapat imam-imam(ulama) dan umat Islam yang menunaikannya(20 rakaat) semenjak sekian lama. Mereka juga mengingkarinya dengan seingkar-ingkarnya dan menuduh mereka yang mengamalkannya sebagai pelaku bid’ah. Mereka mengharamkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah tatkala mereka berkata, “Tidak boleh menambah lebih dari 8 rakaat dalam solat tarawih”.
Al Tarawih(التراويح)dari segi bahasa ialah lafaz jama’ bagi perkataan Al Tarwihah(الترويحة).
Ibnu Manzur berkata: Al Tarwihah(الترويحة) pada bulan Ramadhan dinamakan sedemikian kerana manusia berhenti rehat selepas setiap 4 rakaat. Didalam hadith, disebut solat tarawih kerana mereka beristirehat diantara selepas setiap dua salam.
Perkataan tarawih adalah kata jama’ bagi lafaz tarwihah(الترويحة) yang bermaksud satu kali rehat (الراحة) atas wazan(kata timbangan) taf’ilah(تفعيلة) sepertimana perkataan taslimah(تسليمة) daripada perkataan salam(السلام).(Ibnu Manzur, Lisan al ‘Arab; jilid 1 H: 615)
Dengan hanya meneliti pentakrifannya dari aspek bahasa, sudah dapat menjelaskan kepada kita bahawa bilangan rakaat solat tarawih ialah lebih dari 8 rakaat kerana satu tarwihah itu ialah selepas mengerjakan 4 rakaat solat. Jika melakukan dua kali tarwihah maka semestinya bilangan rakaat solat tarawih menjadi 12 rakaat.
Pendapat yang tepat ialah umat Islam telah berijma’ bahawa solat tarawih ialah sebanyak 20 rakaat tidak termasuk witir, dan sebanyak 23 rakaat termasuk witir. Ia adalah perndapat muktamad disisi mazhab Feqah yang empat iaitu mazhab Hanafi, Maliki disisi pendapat masyhur, Syafi’i dan Hanbali.
Disana juga terdapat satu pendapat kurang masyhur yang dinaqalkan dari mazhab Maliki bahawa bilangan rakaatnya ialah sebanyak 36 rakaat.
Tidak pernah diketahui oleh umat ini pendapat yang menyatakan bilangan rakaat solat tarawih ialah 8 rakaat melainkan pada zaman ini. Sebab yang menjerumuskan mereka kepada kesilapan ini ialah kesalahfahaman mereka dalam memahami maksud yang dikehendaki oleh Sunnah Nabawiyyah, ketidakmampuan mereka menghimpunkan satu kefahaman antara pelbagai maksud hadith-hadith dan keengganan mereka menoleh atau memerhatikan Ijma’ Qauli dan Fe’li(persepakatan perbuatan dan perkataan) yang telah diputuskan semenjak zaman sahabat r.a sehinggalah ke hari ini. Justeru, mereka sekadar berdalilikan dan memetik hokum dari hadith yang diriwayatkan oleh A’isyah r.a yang berkata:
مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلَا فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي ثَلَاثًا قَالَتْ عَائِشَةُ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَنَامُ قَبْلَ أَنْ تُوتِرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ إِنَّ عَيْنَيَّ تَنَامَانِ وَلَا يَنَامُ قَلْبِي
“Tidaklah Rasulullah SAW menambah pada bulan Ramadhan dan bulan-bulan yang lain rakaat solat malam melebihi 11 rakaat. Baginda SAW mengerjakan solat malam empat rakaat dan janganlah kamu bertanya mengenai keelokan dan panjangnya solat tersebut. Kemudian Nabi SAW mengerjakan lagi solat empat rakaat dan janganlah kamu bertanya mengenai keelokan dan panjangnya solat tersebut, kemudian Nabi SAW mengerjakan solat tiga rakaat. A’isyah r.a berkata: Aku bertanya, Wahai Rasulullah! Adakah kamu akan tidur sebelum mengerjakan solat witir? Rasulullah SAW menjawab, Wahai A’isyah! Sesungguhnya kedua-dua mataku tidur tetapi hatiku tidak tidur.”(Dikeluarkan oleh Al Bukhari didalam sohihnya, jilid 1 H: 385 dan Muslim didalam sohihnya, jilid 1 H:509)
Hadith ini menceritakan tentang petunjuk/pedoman yang diberikan oleh Nabi SAW mengenai solat sunat ketika Qiyamullail secara umum. Ia tidak dilafazkan bagi menerangkan tentang solat tarawih kerana solat tarawih adalah tatacara melakukan Qiyamullail yang dikhususkan pada bulan Ramadhan.
Asal pensyariatannya dari Sunnah Nabi SAW, manakala kaifiyatnya diambil dari perintah Sayyiduna Umar r.a.
Maknanya, umat Islam telah melakukan solat tarawih berdasarkan apa yang dipelopori oleh Sayyiduna Umar ibn Al Khattab r.a menghimpunkan orang ramai untuk mengerjakan solat secara berjemaah pada setiap malam Ramadhan dan berdasarkan bilangan rakaat ketika beliau menghimpunkan manusia solat berjemaah dibelakang Ubai ibn Ka’ab r.a.
Dalam hal ini, Nabi SAW pernah bsersabda:
عَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ
“Hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah khalifah-khalifah yang memberi pedoman dan petunjuk. Berpeganglah kalian dengannya dengan pegangan yang teguh.”(Dikeluarkan oleh Ahmad didalam Musnadnya, jilid 4 H: 126 dan Al Tirmizi didalam Sunannya, jilid 5 H: 44)
Jika umat Islam(dikatakan) tidak bersandar kepada perbuatan Sayyiduna Umar r.a ini, mengapa pula mereka menunaikan solat tarawih secara berjemaah didalam masjid dibelakang seorang imam? Seolah-olah mereka yang ingkar ini memakai sunnah Sayyiduna Umar r.a dalam bab menghimpunkan manusia dibelakang satu imam sepanjang bulan Ramadhan, dan ia tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW, tetapi meninggalkan bilangan rakaat yang ditetapkan oleh Sayyiduna Umar r.a atas alasan dan dakwaan mempraktikkan Sunnah Nabi SAW.
Sekiranya cara yang kalian praktikkan ini adalah sohih dan kalian tidak mahu menoleh kepada perbuatan Sayyiduna Umar r.a, maka wajiblah ke atas kalian mengerjakan solat tarawih dirumah dan meninggalkan manusia mempraktikkan suruhan agama Allah seperti mana yang mereka warisi. Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan kurniaan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.
Dalil-dalil yang menunjukkan perkara sedemikian merupakan perbuatan Sayyiduna Umar r.a ialah seperti yang telah diriwayatkan oleh Abdur Rahman ibn Abdul Qaari r.a bahawa beliau berkata:
خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فِي رَمَضَانَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلَاتِهِ الرَّهْطُ فَقَالَ عُمَرُ وَاللَّهِ إِنِّي لَأَرَانِي لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلَاءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ قَالَ ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلَاةِ قَارِئِهِمْ فَقَالَ عُمَرُ نِعْمَتِ الْبِدْعَةُ هَذِهِ وَالَّتِي تَنَامُونَ عَنْهَا أَفْضَلُ مِنْ الَّتِي تَقُومُونَ يَعْنِي آخِرَ اللَّيْلِ وَكَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ أَوَّلَهُ
“Pada satu malam dalam bulan Ramadhan, aku keluar ke masjid bersama Umar ibn Al Khattab r.a. ketika itu, orang ramai mengerjakan solat tarawih dalam beberapa jemaah berasingan; terdapat seorang lelaki sembahyang bersendirian, dan ada seorang lelaki yang solat diikuti oleh sejumlah 3 hingga 7 orang. Maka Umar r.a berkata: Aku berpendapat sekiranya aku himpunkan mereka semua dibelakang seorang imam, maka ia adalah lebih praktikal. Umar r.a bertekad untuk melakukannya lalu menghimpunkan mereka berjemaah dibelakang Ubai ibn Ka’ab r.a. setelah hari itu, aku keluar lagi bersamanya pada malam yang lain dan manusia mengerjakan solat dibelakang seorang imam. Umar r.a berkata, Sebaik-baik bid’ah adalah ini. Sesiapa yang mendirikan awal malam kemudian dia tidur selepasnya adalah lebih utama daripada mereka yang tidur kemudian bangun mengerjakannya pada akhir malam.”
Maksudnya ialah afdhal mengerjakannya pada awal malam dan manusia ketika itu terus mengerjakannya pada akhir malam.(Dikeluarkan oleh Al Bukhari didalam sohihnya, jilid 2 H: 707, Al Baihaqi didalam Sunan Al Kubra, jilid 2 H: 492 dan Malik didalam Muwatta’, jilid 1 H: 114)
Solat yang diperintahkan oleh Umar r.a dikerjakan secara berjemaah itu ialah solat tarawih, dan ia sebanyak 20 rakaat.
Perkara ini turut ditunjukkan oleh beberapa hadith yang lain. Diantaranya ialah hadith yang diriwayatkan oleh Al Saib ibn Yazid r.a, beliau berkata:
كانوا يقومون على عهد عمر بن الخطاب رضى الله عنها في شهر رمضان بعشرين ركعة قال وكانوا يقرؤن بالمئين وكانوا يتوكؤن على عصيهم في عهد عثمان بن عفان رضى الله عنه من شدة القيام
“Mereka mendirikan solat Tarawih pada bulan Ramadhan secara berjemaah pada zaman pemerintahan Umar ibn Al Khattab r.a sebanyak 20 rakaat. Beliau berkata: Mereka yang menjadi imam membaca sebanyak 200 ayat dalam satu rakaat. Mereka yang menjadi ma’mum bersolat dalam keadaan bertupang dengan tongkat mereka pada zaman Uthman ibn Affan r.a kerana keletihan disebabkan terlalu lama berdiri.”(Diriwayatkan oleh Al Baihaqi dalam Sunan Al Kubra, jilid 2 H: 492 dan Malik didalam Al Muwatta’, jilid 1 H: 114)
Daripada Yazid ibn Ruman r.a berkata:
كَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ فِي زَمَانِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فِي رَمَضَانَ بِثَلَاثٍ وَعِشْرِينَ رَكْعَةً
“Manusia mendirikan solat tarawih dalam bulan Ramadhan pada zaman Umar ibn Al Khattab r.a sebanyak 23 rakaat”.(Diriwayatkan oleh Al Baihaqi dalam Sunan Al Kubra, jilid 2 H: 492 dan Malik didalam Al Muwatta’, jilid 1 H: 115)
PENDAPAT MAZHAB EMPAT
Telah bersepakat pendapat mazhab Feqah yang empat atas ketetapan demekian.
MAZHAB HANAFI
Ulama’ mazhab Hanafi telah menyatakan sedemikian.
Berkata Al Sarakhsi mengenai solat tarawih. Disisi mazhab kami, bilangan rakaatnya ialah 20 rakaat tidak termasuk witir. Malik r.a berkata: Sunnah bilangan rakaat tarawih ialah 36 rakaat.(Al Sarakhsi, Al Mabsut, jilid 2 H: 144)
Al Kasaani menguatkan lagi pendapat sedemikian dengan berkata: “Manakala kadar bilangan rakaatnya ialah 20 rakaat dengan 10 kali salam, 5 kali tarwihah, satu tarwihah sejurus selepas 2 kali salam dan ini adalah pendapat sekelian ulama’”.(Al Kasaani, Badai’ al Sonai’,jilid 1 H: 288)
Turut mendukung pendapat sedemikian ialah apa yang dinaqalkan oleh Ibnu ‘Abidin didalam Hasyiahnya, sebagaimana katanya: (Pendapat yang menyatakan bilangan rakaat solat tarawih ialah 20) adalah pendapat jumhur ulama’ dan ia adalah bilangan rakaat yang telah dipraktikkan oleh manusia di timur dan barat.(Radd Al Muhtar ‘ala Al Durr Al Mukhtar yang dinamakan dengan Hasyiah Ibni Abidin, jilid 2 H: 46)
MAZHAB MALIKI
Manakala disisi ulama mazhab Maliki, pendapat yang masyhur dari mazhab mereka bertepatan dengan pendapat jumhur ulama’.
Al Allamah Al Dardir berkata: “Dan solat tarawih pada bulan Ramadhan ialah solat sebanyak 20 rakaat dilakukan selepas solat Isya’ dengan salam setiap kali selesai menunaikan 2 rakaat solat dan (20 rakaat ini) tidak termasuk Syaf(muqaddimah witir yang genap bilangannya) dan witir(witir yang ganjil). Disunatkan mengkhatamkan Al Quran dalam solat tersebut iaitu solat tarawih, dengan membaca pada setiap malam satu juzu’ Al Quran yang dibahagi-bahagikan dalam 20 rakaat.”(Al Syarh Al Saghir karangan Al Allamah Al Dardir beserta Hasyiah Al Allamah Al Sowi, jilid 1 H: 404-405)
Al Allamah Al Nifrawi menyebut tentang kekuatan pendapat mazhab jumhur ulama’ dan juga persetujuan pendapat dari beberapa pengikut Imam Malik r.a yang lain. Selanjutnya beliau berkata:
“Salafussoleh iaitu para sahabat r.a mendirikannya pada zaman pemerintahan Umar ibn Al Khattab r.a dan dengan perintahnya seperti perbahasan yang telah lalu(dilakukan di masjid-masjid sebanyak 20 rakaat) ia adalah pendapat yang dipilih oleh Abu Hanifah, Al Syafi’I dan Ahmad r.a serta dipraktikkan sekarang ini disetiap negara. Kemudian setelah menunaikan 20 rakaat mereka berwitir sebanyak 3 rakaat.”(Al Nifrawi, Al Fawakih Al Dawani, jilid 1 H: 318-319)
MAZHAB SYAFI’I
Manakala ulama mazhab Syafi’I secara jelas menyatakan bahawa solat tarawih adalah 20 rakaat.
Imam Nawawi r.a menyatakan sedemikian dengan berkata: Pendapat kami bahawa solat tarawih ialah 20 rakaat dengan 10 kali salam tidak termasuk witir. Yang demikian itu, dengan 5 kali tarwihah. Satu tarwihah ialah selepas menunaikan 4 rakaat dengan dua salam. Ini adalah pendapat mazhab kami dan pendapat yang sama dengan Abu Hanifah r.a dan sahabat-sahabat pendukung mazhabnya, Ahmad, Daud dan lain-lainnya. Al Qadhi ‘Iyadh turut menaqalkan dari jumhur ulama’.
Diceritakan bahawa Al Aswad ibn Yazid mengerjakan solat tarawih sebanyak 40 rakaat dengan solat witir sebanyak 7 rakaat.
Imam Malik r.a berkata: Solat tarawih itu 9 kali tarwihah, iaitu 36 rakaat tidak termasuk solat witir. Beliau berhujjah berdasarkan perbuatan penduduk Madinah.(Imam Nawawi, Al Majmu’, jilid 3 H: 527)
Manakala ulama’ mazhab Syafi’I telah menggabungkan pendapat mazhab Maliki (36 rakaat) dengan pendapat mazhab jumhur dimana sebab penambahan rakaat disisi Imam Malik r.a bagi menggantikan jumlah tawaf di Masjid Al Haram.
Berkata Ibnu Hajar Al Haitami: Solat tarawih disisi kami bagi selain penduduk Madinah ialah sebanyak 20 rakaat, seperti mana yang telah dipraktikkan pada zaman Umar r.a tatkala melaksanakan pandangannya yang tepat; menghimpunkan manusia dibelakang seorang imam, lalu ia dipersetujui oleh para sahabat r.a dan mereka melakukan witir sebanyak 3 rakaat. Rahsia bilangannya menjadi 20 rakaat ialah solat sunat rawatib yang muakkad-(solat sunat rawatib yang muakkad disisi mazhab Syafi’I dan menjadi kelaziman Nabi SAW ialah 2 rakaat sebelum solat subuh, 2 rakaat sebelum dan selepas solat Zuhur, 2 rakaat selepas solat Maghrib dan Isya’)-yang biasa dilakukan pada selain bulan Ramadhan sebanyak 10 rakaat, maka digandakan jumlahnya pada bulan Ramadhan kerana ia adalah waktu diperintahkan supaya bersungguh-sungguh dan berazam untuk melakukan ibadah.
Maka bilangan 36 rakaat hanya bagi penduduk Madinah sahaja kerana kemuliaan mereka hidup disisi Rasulullah SAW dimana penambahan 16 rakaat itu sebagai ganti tawaf penduduk Makkah sebanyak 4 tawaf(1 tawaf sama dengan 7 kali pusingan)-(disebut didalam kitab Al Bayan fi Mazhab Al Imam Al Syafi’I jilid 2, H: 278, bahawa penduduk Madinah melakukan solat tarawih 36 rakaat kerana mereka mahu menyamai solat tarawih penduduk Makkah. Penduduk Makkah setiap kali selesai satu tarwihah iairu 4 rakaat, maka mereka akan mengerjakan tawaf di Baitullah sebanyak 7 kali sehinggalah selesia 20 rakaat maka mereka dapat melakukan 4 kali tawaf. Penduduk Madinah tidak mempunyai Baitullah untuk mengerjakan tawawf seperti yang dilakukan oleh penduduk Makkah. Oleh kerena itu, penduduk Madinah menggantikan setiap satu tawaf dengan satu tarwihah dengan 4 rakaat solat. Mereka menambah 4 tarwihah iaitu 16 rakaat bersama tarawih 20 rakaat dan witir 3 rakaat. Maka terhasillah bagi mereka 39 rakaat kesemuanya termasuk witir)-di antara setiap tarwihah dari 20 rakaat.(Ibnu Hajar Al Haitami, Tuhfah Al Muhtaj jilid 1 H:240-241)
Perkara ini dikuatkan lagi dengan pendapat yang dinyatakan oleh Al Allamah Al Ramli, beliau berkata:
Ia adalah sebanyak 20 rakaat dengan 10 kali salam pada setiap malam Ramadhan berdasarkan riwayat bahawa mereka menunaikannya pada zaman Umar ibn Al Khattab r.a sebanyak 20 rakaat. Didalam satu riwayat Imam Malik r.a didalam kitab Al Muwatta’ disebut sebanyak 23 rakaat. Al Baihaqi telah menggabungkan antara dua pendapat witir sebanyak 3 rakaat. Sesungguhnya Sayyiduna Umar r.a telah mengimpunkan manusia bagi mendirikan solat tarawih pada bulan Ramadhan dibelakang Ubai ib Ka’ab r.a, manakala kaum wanita dibelakang Sulaiman ibn Abi Hathmah r.a. solat ini telah pun terputus daripada dilakukan secara bejemaah didalam masjid sehinggalah zaman pemerintahan Sayyiduna Umar r.a. dinamakan setiap empat rakaat daripada solat tarawih sebagai tarwihah, kerana mereka beristirehat selepasnya.(Al Ramli, Nihayah Al Muhtaj, jilid 2 H: 127)
MAZHAB HANBALI
Manakala para ulama’ mazhab Hanbali dengan jelasnya menyatakan pendapat yang terpilih disisi Imam Ahmad r.a solat tarawih ialah sebanyak 20 rakaat.
Berkata Al Allamah Ibnu Qudamah Al Maqdisi: “Pendapat yang terpilih disisi Abi Abdullah r.a. ialah 20 rakaat. Ini juga adalah pendapat Al Thauri, Abu Hanifah dan Al Syafi’I r.a.”
Berkata Malik r.a: “Ia sebanyak 36 rakaat”. Beliau mendakwa bahawa ia telah dilakukan semenjak zaman yang lampau dan berkait rapay dengan amalan penduduk Madinah.
Soleh Maula Al Tau’amah berkata: “Aku telah menemui manusia yang solat tarawih sebanyak 41 rakaat dan 5 daripadanya adalah solat witir”.(Ibnu Qudamah, Al Mughni jilid 1 H: 456)
Al Allamah Al Buhuti yang merupakan zandaran muktamad dalam mazhab Hanbali juga menaqalkan pendapat sedemikian, beliau menyatakan tentang solat tarawih:
“Dinamakan sedemikian kerana mereka duduk beristirehat antara empat rakaat. Dikatakan, solat tarawih berasal dari perkataan Al Murawahah yang bermaksud berulang-ulang dalam melakukan sesuatu perbuatan, iaitu solat 20 rakaat pada bulan Ramadhan, seperti yang telah diriwayatkan oleh Malik r.a daripada Yazid ibn Ruman r.a berkata: Manusia melakukannya pada zaman Umar r.a dalam bulan Ramadhan sebanyak 23 rakaat”.(Al Buhuti, Kasysyaf Al Qina’ jilid 1 H: 425)
Sehinggakan Ibnu Taimiyah sendiri yang menjadi sandaran golongan yang bersikap keras, menyokong pendapat imam-imam dan mengakui bahawa ia adalah sunnah disisi kebanyakan ulama’. Beliau berkata:
“Serupa dengan yang demikian itu dari beberapa aspek, perselisihan ulama’ dalam menentukan bilangan rakaat solat tarawih pada bulan Ramadhan. Sesungguhnya telah thabit bahawa Ubai ibn Ka’ab r.a solat dengan oran ramai(menjadi imam) sebanyak 20 rakaat dalam solat tarawih bulan Ramadhan dan menunaikan solat witir sebanyak 3 rakaat. Maka ramai dari kalangan ulama’ berpendapat ia adalah sunnah kerana beliau mendirikannya bersama kaum Muhajirin dan Ansar serta tiada seorang pun yang mengingkarnya. Ulama’ yang lain pula menghukum sunat bilangan rakaatnya sebanyak 39 rakaat, berasaskan amalan penduduk Madinah yang terdahulu.
Berkata segolongan manusia: Sesungguhnya telah thabit melalui hadith sohih daripada A’isyah r.a: “Sesungguhnya Nabi SAW tidak menambah bilangan rakaat solat malam pada bulan Ramadhan dan bulan-bulan yang lain melebihi 13 rakaat.”
Terdapat sekolompok manusia telah bergoncang keyakinannya mengenai asal penetapan solat ini(solat tarawih 20 rakaat) kerana menyangka berlaku percanggahan hadith sohih ini dengan apa yang telah dithabitkan dari sunnah Al Khulafa’ Al Rasyidin dan amalan kaum muslimin. Apapun pendapat yang benar bahawa pendapat-pendapat ini kesemuanya adalah baik.”(Ibnu Taimiyah, Al Fatawa Al Kubra, jilid 2 H:249)
KESIMPULAN
Dari perbahasan yang lepas, kami berpendapat bahawa pendapat imam-imam, ulama’ dari mazhab Feqah pada setiap zaman, dahulu dan kemudian, timur dan barat, bahawa solat tarawih ditunaikan sebanyak 20 rakaat, adalah sunnat muakkad dan tidak wajib. Maka sesiapa yang meninggalkannya, diharamkan baginya memperolehi ganjaran yang besar. Sesiapa yang menambah bilangan rakaatnya pula, tidak ada halangan ke atasnya. Sesiapa yang mengurangkan rakaatnya pun tidak mengapa, Cuma ia akan dikira sebagai Qiyamullail dan tidak dikira sebagai solat sunat tarawih seperti yang telah disebut.
[...] Penjelasan Mengenai Bilangan Rakaat Solat Tarawih oleh Prof Dr Ali Jumu’ah-MUfti Besar Mesir [...]
ReplyDelete