Oleh Juhaidi Yean Abdullah
Penulis ialah Pengerusi Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia
Penulis ialah Pengerusi Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia
Masyarakat Arab jahiliyah adalah buta huruf kerana tiada sistem pendidikan. Semasa kedatangan Islam, hanya 17 orang Quraisy yang tahu menulis (Prof. Dr. Ahmad Shalaby dalam 'Sejarah Pendidikan Islam', Bulan Bintang, Jakarta, 1973:33). Menurut Ibn Khaldun, orang Mekah pertama yang tahu menulis ialah Subyan ibn Harb ibn Umayyah ibn 'Abd Shams, yang belajar di Hirah, satu tempat perdagangan yang lebih maju daripada Mekah.
Kumpulan orang terawal yang belajar menulis Arab telah mengembangkan kepandaian ini ke merata tempat, termasuk Anbar, Iraq, Hirah dan Mekah. Ketika Rasulullah belajar di Madinah, beberapa anak Arab diajar menulis oleh orang Yahudi. Mereka termasuk Mundhir ibn 'Amr, Ubay ibn Wahab dan 'Amr ibn Said. Rasulullah SAW juga pernah menyuruh Zaid ibn Thabit belajar bahasa Hebrew daripada Yahudi yang pandai.
Nabi Muhammad SAW menggalakkan umat Islam belajar menulis untuk membasmi buta huruf. Kepandaian ini seterusnya membolehkan umat Islam berpengetahuan dan membina tamadun. Pentingnya kebolehan ini boleh dilihat daripada keputusan Rasulullah SAW yang pernah menggantikan hukuman bunuh ke atas tawanan perang yang pandai menulis dengan hukuman mengajar anak-anak Muslim menulis. Kebolehan ini jugalah yang membolehkan para sahabat untuk mencatat wahyu Ilahi.
Rasulullah SAW juga mengajar akidah dan membaca al-Quran kepada para sahabat di rumahnya dan juga di rumah Arqam ibn Abi Arqam. Apabila terlalu ramai yang datang ke rumah baginda sehingga timbul keadaan tidak selesa, maka dakwah Islamiyah pada peringkat ini juga dibuat secara halaqah (bulatan) di dalam masjid.
Di Masjid Nabawi misalnya, para sahabat duduk mengelilingi Rasulullah SAW yang bertindak sebagai guru. Jadi, masjid adalah 'sekolah' pertama dalam tamadun Islam. Anas ibn Malik r.a meriwayatkan bahawa selepas Asar, para sahabat duduk dalam beberapa halaqah membaca al-Quran dan belajar perkara fardu dan sunat, termasuk kanak-kanak antaranya Ali bin Abi Talib dan Abdullah ibn Abbas (Dr. Shalaby, 1973: 27)
Masjid menjadi pusat pengajian Islam seperti al-Quran, menulis dan membaca. Guru-guru yang mengajar di masjid dipanggil qurra atau qaari (untuk bacaan al-Quran), al-rawi (untuk sampaikan riwayat daripada hadis) dan al-qaas (untuk sampaikan cerita bermoral daripada Quran dan kisah sahabat). Antara guru awal ialah Sa'd ibn al-Rabi'al-Khazraji, Bashir ibn Sa'd ibn Tha'labah dan Aban ibn Sa'id ibn Al-'As. Halaqah ilmu berkembang dengan tersebarnya Islam.
Sambutan kepada pendidikan Islam cukup menggalakkan. Menurut Muslim ibn Mashkam, Abu Darda' telah berkata kepadanya: "Pelajar-pelajar al-Quran dalam majlis ilmuku lebih dari 1,000 orang." Untuk kanak-kanak, ada kuttab (sekolah) khas untuk mereka. Pada akhir abad pertama Hijrah, sekolah seperti ini terdapat di mana-mana namun bilangan murid terus bertambah. Seorang guru, al-Dahhaq ibn Muzahim misalnya, ada 3,000 pelajar kanak-kanak.
Sistem pengajian yang diasaskan Rasulullah turut diamalkan oleh pondok di Malaysia dan beberapa negara lain di Nusantara. Dalam Sejarah Melayu, disebut mengenai pendidikan khas (tutor) bergelar syeikh, maulana atau makhdum di istana raja. Dalam Hikayat Abdullah, disebut mengenai seorang guru Quran bernama Lebai Abdul Razak yang mencadangkan supaya anak-anak belajar Quran dan selepas itu, belajar bahasa. Ringkasnya, sumbangan ulama secara individu atau kumpulan kepada perkembangan pendidikan Islam di Tanah Melayu sudah pun bermula sejak abad ke-13.
Pada awal abad ke-15, sekolah mula didirikan untuk menampung pertambahan pelajar. Guru-guru mengajar menulis dan mengaji al-Quran secara informal. Majoriti adalah daripada keturunan Arab yang datang ke Nusantara untuk berniaga dan berdakwah. Ada juga yang berasal dari Tanah Jawa. Antara mubaligh dan ulama generasi awal, ada yang berkahwin dengan wanita tempatan dan menetap di negara ini. Anak-anak mereka meneruskan bidang dakwah dan pendidikan Islam kepada generasi mereka.
Pada peringkat permulaan, pondok wujud kerana pertambahan bilangan murid dan atas permintaan untuk tempat belajar dengan tok guru yang bermastautin di sesuatu kampung. Rumah tok guru atau mudir tidak mampu menampung bilangan murid yang ramai, lantaran dibina pondok-pondok kecil untuk kediaman mereka. Balai besar atau madrasah (di Kelantan, dipanggil balaisah) ialah tempat belajar menadah atau mendabit kitab dan bersolat jemaah.
Pada awal abad ke-19, kebanyakan ulama yang mengasas pondok adalah mereka yang pulang setelah belajar di Mekah, Madinah, Aceh atau Patani. Antara yang terkenal termasuk Sheikh Abdul Malik bin Abdullah, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatoni, Sayid Abdul Rahman dan Sayid Mustaffa di Terengganu.
Beberapa tokoh pondok Kelantan yang terkenal ialah Tok Kemuning (Machang), Hj Abdul Samad bin Muhammad Salleh al-Kelantani (Tun Tabal), Guru Haji Ahmad (Tok Jelapang) dan Haji Muhammad Yusof Ahmad atau Tok Kenali, yang menjadi guru kepada ramai ulama, hampir kesemuanya mengasaskan pondong masing-masing di seluruh negara. Dengan cara ini, sistem pengajian pondok berkembang.
Ada kecenderungan dalam kalangan pondok untuk mengguna kitab dan mata pelajaran yang sama, justeru ada semacam keseragaman dari segi isi pengajian, kaedah pengajaran dan tasawur. Namun, terdapat kefleksibelan dari segi umur pelajar dan tempoh belajar. Pelajar dewasa dan warga emas tinggal di pondok, begitu juga kanak-kanak asalkan mereka pandai mengurus keperluan diri. Mereka boleh tinggal di pondok bertahun-tahun kerana tiada tekanan untuk menamatkan pengajian. Dalam sistem pondok, tiada ujian khusus atau persijilan. Pelajar yang bagus dan cekap dari segi bacaan, hafalan dan amali boleh sambung pelajaran ke Asia Barat.
Tetapi mulai abad ke-20, sistem pondok mendapat kritikan ulama yang balik dari Mesir, kebanyakan mereka mendapat pendidikan atau dipengaruhi pemikiran reformis seperti Sheikh Jamaluddin al-Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh. Golongan kaum muda ini membuka sekolah Arab atau sekolah agama, yang berbeza dari segi kurikulum (ada subjek Sejarah, Geografi, Matematik), mengguna kerusi meja bersuasana kelas, mempunyai pembahagian peringkat yang jelas (ibtidai dan thanawi), ada jadual waktu dan tiada asrama. Pada tahun 1970-an, kebanyakan sekolah Arab dan agama ini diambil alih oleh Majlis Agama Islam Negeri atau di bawah Kementerian Pelajaran.
Justeru, penubuhan Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia (YPP1M) pada 1 Ogos membuka lembaran baru dalam sejarah pengajian pondok di negara kita. Bermatlamat memelihara, mengembang dan memperkasakan institusi pondok, YPP1M mempunyai perancangan dan bakal melaksana pelbagai kegiatan untuk mendaulatkan pengajian pondok dan mengiktiraf jasa bakti ulama, tok guru dan mudir. Ia akan mengubah persepsi masyarakat bahawa pengajian pondok adalah terpinggir dan pelajarnya sebagai kelas kedua. Dalam konteks transformasi pendidikan dan kemanusiaan, sistem pondok akan diarusperdanakan.
Pembabitan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melancar YPP1M pada Khamis 8 November di Masjid Taman Bukit Indah Ampang, Selangor dan bertindak sebagai penaungnya pasti memberi keyakinan kepada warga pondok terhadap masa depan yang lebih cerah.
Dengan gabungan pengalaman tokoh pondok, golongan intelek, ahli akademik dan pentadbir serta aktivis sosial yang menjadi tulang belakang YPP1M, masyarakat berharap kegemilangan institusi pondok seperti pada awal abad ke-19 dapat dikembalikan.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121108/re_05/Mengembalikan-kegemilangan-institusi-pondok
[...] Mengembalikan Kegemilangan Institusi Pondok [...]
ReplyDelete