Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Ulama ini tidak menjelaskan dari mana beliau berasal. Kebiasaannya penulisan oleh para ulama zamannya (1193H/1779M) akan menyebut nama negeri di hujung nama, seperti al-Asyi, al-Fatani, al-Falimbani, al-Banjari, as-Sumbawi dan lain-lain.
Untuk menentukan dari mana beliau berasal dengan berdasarkan andaian sahaja tidak memenuhi kriteria sejarah. Berdasarkan sebuah salinan dari sekian banyak salinan karya ulama tersebut, terdapat nama Muhammad Salih bin Ibnu Mu’ti bin Syeikh Muhammad Salih al-Kalantani.
Melihatkan pada hujung namanya tertulis al-Kalantani, maka kemungkinan Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti berasal dari Kelantan.
Namun demikian, dengan hanya sebuah naskhah salinan beliau sahaja belum cukup kuat untuk dijadikan bukti bahawa ulama tersebut berasal dari Kelantan. Ia masih perlu disokong dengan naskhah-naskhah lain.
Mengenai namanya juga tidak cukup jelas. Apakah ‘Ibnu’ itu namanya yang sebenar atau adakah pernyataan bahawa dia adalah ‘anak’ (terjemahan dari ‘Ibnu’) kepada Syeikh Abdul Mu’ti. Semua salinan karyanya menggunakan nama Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti Ibnu Syeikh Muhammad Salih.
Berdasarkan tahun yang terdapat pada karyanya mengenai ilmu tajwid iaitu tahun 1193H/1779M adalah tarikh terawal mengenai ilmu itu yang ditulis dalam bahasa Melayu.
Ilmu tajwid yang dikarang atau disusun oleh ulama-ulama Melayu yang lain jauh ketinggalan berbanding ulama ini. Karya beliau yang terawal tersebut iaitu Mir’atul Quran yang pernah disalin oleh Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Raman -Terengganu yang pernah dibicarakan sebelum ini.
Pendidikan
Apabila memperhatikan kemunculan kitab Mir'atul Quran tahun 1193H/1779M hasil karangan ulama yang dibicarakan ini, maka dapat dipastikan bahawa beliau adalah sezaman dengan beberapa ulama. Antaranya Syeikh Abdus Samad al-Falimbani yang menyelesaikan karyanya Hidayatus Salikin tahun 1192H/1778M, Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang menyelesaikan karya Lugthatul ‘Ajlan tahun 1192H/1778M juga.
Selain itu juga sezaman dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani yang menyelesaikan Syarh Hikam (bahasa Arab) tahun 1193H/1779M. Oleh itu, jika Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti bin Muhammad Salih belajar dalam tahun-tahun yang sama dengan ketiga-tiga ulama yang berasal dari tanah Jawi/dunia Melayu itu, maka mudah untuk dikenalpasti dengan siapa beliau belajar.
Namun tidak terdapat satu maklumat dalam karyanya dengan siapa beliau belajar. Dalam sejarah perkembangan Islam di Asia Tenggara, sangat mudah kita menentukan ulama-ulama yang pakar dalam beberapa ilmu seperti tasauf, usuluddin, tafsir, fikah, hadis dan lain-lain. Namun belum ditemui maklumat siapakah ulama Melayu pada peringkat awal yang pakar dalam ilmu tajwid.
Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti bin Syeikh Muhammad Salih hanyalah menyebut pada mukadimah karyanya “…dan daripada tajwid yang telah dijawikan oleh segala guru-guru kita sekalian.” Dari perkataan beliau yang singkat tersebut dapat dibuat dua kesimpulan.
Kesimpulan pertama, sebelum karya beliau telah ada kitab tajwid yang dijawikan atau yang diterjemah ke bahasa Melayu. Yang kedua, kitab-kitab tajwid dalam bahasa Melayu itu diusahakan oleh guru-guru kepada Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti sendiri.
Namun amat dikesali kerana beliau tidak menyenaraikan nama-nama kitab dalam bahasa Melayu tersebut dan menyebut nama guru-gurunya itu.
Data karya
Tajuk lengkap karya beliau ialah Mir’atul Quran fi Tashili Ma’rifati Ahkamit Tajwid lil Mulkil Wahhab. Manuskrip kitab ini sangat banyak ditemui. Beberapa buah disimpan di Muzium Islam Pusat Islam Kuala Lumpur dan juga di Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia.
Dalam koleksi peribadi penulis terdapat beberapa buah, tetapi data yang dimuatkan dalam rencana ini diambil daripada karya beliau yang telah disalin oleh Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu.
Menurut keterangan ulama yang berasal dari Kemaman, Terenganu itu adalah beliau menyalin daripada naskhah yang asal dan diselesaikan pada tahun 1265H/1848M.
Walaupun jarak waktu ketika Mir’atul Quran yang ditulis tahun 1193H/1779M itu agak jauh dengan salinan Haji Mahmud Terengganu yang selesai tahun 1265H/1848M (kira-kira 72 tahun) namun masih ada kemungkinan kedua-dua ulama ini sempat berjumpa.
Ini kerana sewaktu di Mekah, Haji Mahmud Terengganu sempat belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, sedangkan Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti adalah hidup sezaman dengan Syeikh Daud al-Fatani.
Tambahan pula, Haji Mahmud Terengganu memulakan aktiviti penyalinan tahun 1235H/1819M, iaitu jarak waktu sekitar 42 tahun sesudah kitab Mir’atul Quran.
Dalam karyanya, Sesudah Basmalah, Hamdalah dan Salawat, Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti menulis, “Adapun kemudian daripada itu, maka tatkala hijratun Nabi s.a.w 1193, bahawasanya telah meminta padaku, seorang sahabatku yang besar, pada menghimpunkan suatu kitab pada menyatakan ilmu tajwid, menterjemahkan daripada bahasa Arab kepada bahasa Jawi.…”
Setelah menyebut namanya dan judul kitab dalam bahasa Arab, maka beliau menyebut terjemahan judulnya dalam Bahasa Melayu iaitu ‘cermin’ bagi segala mereka itu yang minat membaca al-Quran pada memudahkan mengenal segala hukum at-tajwid.
Untuk memenuhi syarat ilmiah bagi sesuatu karya, beliau juga menyebut kitab-kitab rujukan yang menurut istilah beliau ‘segala pohon kitab ini’ iaitu:
* Tuhfatut Talibin fi Tajwid Kitabi Rabbil ‘Alamin, karya Syeikh Mansur ibnu Isa ibnu ‘Azi al-Ansari al-Mu’ir.
* Ahwasul Mufahhamah fi Syarhil Muqaddimah fi ‘Ilmit Tajwid karya Syaikhul Islam.
* Daqaiqul Mu’akkah karya Syaikhul Islam juga.
* Kanzul Ma’ani min Syarhi Hirzil Ma’ani.
* Husnul Qari.
* Masalatul Mufiddin.
Sifat-sifat tawaduk Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti yang mencorakkan beliau sebagai seorang ulama tasauf juga jelas dari kalimat beliau, “Hai saudaraku! Apabila kau lihat bersalahan suatu masalah daripada segala masalahnya dengan dalil dan hadis, atau salah ambilannya daripada segala pohon kitab kitab ini, maka perbaiki kiranya olehmu dengan ibarat yang sahih….”
Sesudah mukadimah serta menyebut kitab-kitab rujukan, Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti menjelaskan hukum mempelajari ilmu tajwid, katanya, …menuntut ilmu tajwid itu fardu ain atas tiap-tiap Islam laki-laki dan perempuan daripada diberat sekalian itu….
Beberapa hadis Nabi s.a.w. dan pendapat para ulama yang bersangkut-paut dengan membaca al-Quran dikemukakan pula sebagai mukadimah bagi bab yang dinamakan Isti’azah, iaitu bab yang menyatakan membaca A’uzubillah.
Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti bin Muhammad Salih memulakan bahasan bab ini dengan menulis, “Bahawasanya mengucap A’uzubillah itu sunat dahulu daripada membaca al-Quran. Dan wajib mengucap A’uzubillah.
“Maka sunat mengucap A’uzu billah itu dengan barang yang permulaan membaca al-Quran apabila ada hadir orang yang mendengar. Maka adapun barang siapa membaca pada tempat yang sunyi atau di dalam sembahyang, maka diperlahankan terlebih aula daripada dinyaringkan. Dan sama ada pada awal kemudian pula dengan bab Basmalah, dimulai dengan kata beliau, …bahawa hukum Basmalah, tiada dapat tiada daripadanya pada permulaan tiap-tiap surah bagi resamnya pada Masahif al-Utsmani, seperti yang demikian itu, barang yang lain daripada surah Baraah (surah Taubat) kerana bahawasanya mereka itu tiada meresamkan mereka itu dengan Basmalah pada awal surah.”
Susunan Mir’atul Quran karya beliau yang tersebut sebelum memasuki hukum-hukum tajwid yang biasa dibicarakan dalam kitab-kitab lain, terlebih dulu meletakkan bab Lam Takrif sebagai bab yang ketiga sesudah dua bab yang tersebut sebelumnya.
Mengenai bab ini dimulainya dengan, …bermula Lam Takrif itu dibahagi segala huruf hijaiyah , ertinya huruf hijaiyah itu adalah 28 huruf. Dibangsakan atasnya dua bahasa. Suatu bahagian Lam Takrif Syamsiah, dan kedua Lam Takrif Qamariah.
Mulai bab yang keempat barulah beliau membicarakan perkara-perkara yang pokok dalam ilmu tajwid iaitu bab Pada Menyatakan Nun Yang Mati dan Tanwin.
Pada bab ini membicarakan fasal-fasal dan beliau mula membandingkan wajah-wajah bacaan imam-imam qiraat yang terkenal seumpama Syeikh Hafas, Syeikh Qalun, Syeikh Nafi’, Syeikh Abu Umar, Syeikh Ibnu Katsir, Syeikh Ibnu ‘Amir, Syeikh Kisa-I, Syeikh ‘Asim dan ramai lagi.
Dalam bahagian ini juga terdapat rujukan beliau iaitu kitab tafsir bahasa Melayu Turjumanul Mustafid karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Ia adalah terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Melayu.
Pendek kata Mir’atul Quran karya beliau adalah kitab tajwid yang menyentuh seluruh aspek perbicaraan tajwid yang fardu ain. Bahkan juga menyentuh lebih daripada itu iaitu kepada peringkat fardu kifayah.
Sebagai penutup kitab tersebut, telah dinyatakan oleh penyusunnya iaitu, “Faedah pada menyatakan hadis, datang pada menyatakan fadilat al-Quran serta dengan membaiki baca. Iaitu amat banyak…. Beberapa petikan hadis mengenainya dinyatakan oleh pengarang kitab tersebut, yang di antaranya adalah seperti berikut:
Sabda Nabi s.a.w, “Barang siapa mengaji al-Quran, maka dibaiki bacaannya dengan dia nescaya adalah baginya tiap-tiap satu huruf, 20 kebajikan. Dan barang siapa tiada membaik daripadanya sesuatu, nescaya adalah baginya dengan tiap-tiap satu huruf 10 kebajikan.”
Dan setengah daripadanya cerita daripada Ibnu Mas’ud, sabda Nabi s.a.w, “Barang siapa mengaji al-Quran, maka dihafalkan akan dia, dan dibacanya ia dengan tiada menilik surat dan dihalalkannya yang halalnya dan diharamkannya yang haramnya, nescaya dimasukan-Nya ia ke dalam syurga. Dan diterima syafaatnya 10 orang daripada isi rumahnya yang telah patut akan mereka itu neraka.”
Hadis, “Barang siapa mengaji al-Quran di dalam mushaf, nescaya disuratkan oleh Allah baginya 2,000 kebajikan. Dan barang siapa mengaji Qur'an pada yang lain, pada mushaf maka disuratkan oleh Allah baginya 1,000 kebajikan.”
Hadis, “Ahli al-Quran itu ahlillah dan tertentulah. Barang siapa memuliakan akan dia, mereka itu dimuliakan akan dia oleh Allah. Dan barang siapa menghinakan dia, mereka itu dihinakan oleh Allah s.w.t.
Demikianlah contoh beberapa hadis yang termaktub dalam kitab Mir’atul Quran karya Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti yang dibicarakan ini. Hadis tersebut beliau tulis lengkap dengan lafaz Arabnya, kesemuanya melebihi 30 hadis dan hanya dinyatakan beberapa contoh sahaja, tidak dinyatakan kesemuanya.
Mengenai keturunannya, penulis belum menemui data yang lengkap untuk dibicarakan, maka sampai di sini sahaja dapat penulis bicarakan mengenai ulama ini.
Kitab ilmu tajwid yang lain
* Tuhfatul Murid karya Muhammad Said Ibnu Hasan, diselesaikan tahun 1266H/1849M,
* Risalah Tajwid karya Aminuddin bin Nuruddin bin Husein, diselesaikan tahun 1286H/1869M,
* Al-Mawahibul Makkiyah karya Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fatani diselesaikan tahun 1296H/1879M,
* Sirajul Qari karya Syeikh Muhammad Salih bin Zainal Abidin al-Fatani diselesaikan tahun 1308H/1891M,
* Tuhfatul Ikhwan karya Syeikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi, diselesaikan tahun 1311H/1893M.
* Ilmu Tajwid dalam bahasa Melayu ialah Mauriduz Zumaan karya Syeikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri (Senggora) diselesaikan tahun 1315H/1898M.
SUMBER:
[...] Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti — Penyusun Ilmu Tajwid pertama Bahasa Melayu [...]
ReplyDelete