Thursday, 30 August 2012

Tuanku Tambusai pejuang Melayu Riau


Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

 

NAMA beliau turut disentuh dalam kertas kerja saya pada seminar oleh keluarga Rao atau Rawa di Raub, Pahang dan artikel Syeikh Muhammad Murid Rawa, disiarkan Utusan Malaysia, bertarikh 19 Mac 2007.

Tidak ramai memahami bahawa ulama dan pahlawan ini telah menyemaikan benih anti penjajah. Beliau ikut dalam peperangan Imam Bonjol di Sumatera Barat. Akhirnya terpaksa hijrah ke Negeri Sembilan dan meninggal dunia di situ.

Wujud persamaan dengan Raja Haji berperang melawan Belanda bermula di Riau melalui Linggi, Rembau dan lain-lain di beberapa tempat dalam Negeri Sembilan akhirnya tewas di Melaka sebagai seorang syahid fi sabilillah. Oleh kerana Tuanku Tambusai meninggal dunia di Negeri Sembilan sedikit sebanyak tentu beliau telah menyemaikan benih berjuang kepada bangsa Melayu di Negeri Sembilan khususnya dan Semenanjung umumnya yang dijajah oleh Inggeris pada zaman itu.

Sejarah adalah penting perlu kita kaji dan perkenalkan kepada masyarakat luas. Ketika saya menghadiri seminar yang diadakan oleh keluarga Rao atau Rawa di Raub, Pahang, Ahad, 18 Mac 2007 M/28 Safar 1428 H yang lalu, di luar acara rasmi Tuan Mohd. Said bin Haji Mohd. Razi, Pengerusi dan Ketua Projek, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor menghadiahkan kepada saya sebuah buku berjudul, Sejarah Negeri Selangor, Dari Zaman Prasejarah Hingga Kemerdekaan, diterbitkan tahun 2005.

Manakala saya baca Perutusan Menteri Besar Selangor dan Kata Pengantar Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor, saya simpulkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan dana yang besar untuk melakukan penyelidikan. Termasuk beberapa orang panel penulis ke tempat-tempat di Indonesia yang ada hubungan dengan Selangor. Saya berkesimpulan bahawa hampir semua tokoh, sama ada di Malaysia atau sebaliknya Indonesia termasuk Tuanku Tambusai, dan lain-lain mempunyai hubungan yang sangat erat.

Bahkan sejak lama serumpun Melayu sejagat selalu bekerjasama dalam gerakan dakwah Islam, politik, ekonomi, budaya, dan lain-lain. Jadi tidak hairanlah Tuanku Tambusai berkemungkinan sebab-sebab tertentu terpaksa berpindah dari Sumatera (beliau beroperasi di Minangkabau dan Riau) ke Negeri Sembilan.

PENDIDIKAN

Bermacam-macam ramalan sewaktu anaknya yang dinamakan Muhammad Shalih dilahirkan kerana pada waktu itu terjadi hujan ribut disambut kilat, guruh-petir sabung-menyabung. Tetapi kerana Imam Maulana Qadhi seorang alim yang terpelajar, yang faham akidah Islam beliau tolak sekalian ramalan yang bercorak khurafat secara bijaksana.

Bayi tersebut dipersembahkan kepada Duli Yang Dipertuan Besar Raja, Permaisuri Duli Yang Dipertuan Besar Raja berkata, “Kita doakan apabila dia alim nanti menjadi suluh dalam negeri. Kalau dia seorang berani menjadi pahlawan. Sekiranya dia kaya menjadi penutup malu. Sekiranya dia menjadi cerdik bijaksana adalah penyambung lidah untuk kebenaran dan keadilan." (Rokan Tuanku Tambusai Berjuang, H. Mahidin Said, cetakan kedua, hlm. 30).

Oleh sebab ayahnya seorang Imam Tambusai dan seorang alim sudah pasti Muhammad Shalih mendapat pendidikan awal dan asas daripada ayahnya sendiri. Sungguhpun ketika Muhammad Shalih meningkat dewasa beliau dihantar ke Rao yang lokasinya berdekatan dengan Tambusai. Setelah mendapat pendidikan Islam di Rao dan Bonjol beliau lebih dikenali dengan nama “Faqih Shalih”.

Menurut tradisi di daerah, apabila seseorang itu menguasai ilmu fikah maka dia digelar dengan “Faqih”. Ini bererti Muhammad Shalih sejak muda lagi telah diakui oleh masyarakat sebagai seorang yang alim dalam bidang ilmu fikah. Sudah menjadi lumrah dalam dunia dari dulu hingga kini ada saja raja atau umara (pemerintah) yang sepakat dengan ulama. Yang inilah yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. Ada pula antara umara yang tidak sepakat dengan ulama. Ulama yang masih muda bernama Faqih Shalih yang tersebut diriwayat memang bertentang dengan raja yang memerintah ketika itu.

Walau bagaimanapun Faqih Shalih meminta nasihat kepada dua orang ulama. Yang pertama ialah Tuanku Imam Bonjol (nama yang sebenarnya ialah Peto Syarif). Yang kedua ialah Tuanku Rao (nama yang sebenarnya dipertikai pendapat). Kedua-duanya menasihatkan supaya Faqih Shalih pergi haji ke Mekah. Sewaktu di Mekah, Faqih Shalih sempat memdalami ilmu di sana. Di antara ulama yang sedaerah dengannya (yang saya maksudkan berasal dari persekitaran Minangkabau, Tapanuli dan Riau) di antaranya ialah Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi an-Naqsyabandi dan lain-lain.

Beliau ini termasuk murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dipercayai Faqih Shalih selama berada di Mekah sempat belajar kepada ulama yang berasal dari Patani itu.

Sebagaimana tulisan saya dalam kertas kerja seminar di Raub, Pahang bahawa sukar menjejaki yang bernama Muhammad Shalih itu, dalam zaman yang sama ada Muhammad Shalih bin Muhammad Murid Rawa dan ada pula Faqih Shalih sedang Tuanku Rao tidak diketahui nama sebenarnya. Ada pendapat bahawa Tuanku Rao seorang guru pada Faqih Shalih. Ada kemungkinan Tuanku Rao adalah orang tua (ayah Faqih Shalih).

Setelah kembali dari Mekah, Faqih Shalih lebih dikenali "Haji Muhammad Shalih". Dan selanjutnya dalam Perang Imam Bonjol atau Perang Paderi, beliau lebih dikenali sebagai "Tuanku Tambusai" selanjutnya digunakan nama ini.

Sudah menjadi sejarah perkembangan dunia bahawa sama ada disukai atau pun tidak, peperangan bila-bila masa boleh terjadi. Agama Islam bukanlah agama yang menganjurkan peperangan tetapi jika ada usaha-usaha agama selainnya menodai Islam maka konsep jihad memang sudah menjiwai hampir seluruh individu Muslim. Hal ini adalah hampir sama dengan jiwa kebangsaan individu sesuatu negara atau sesuatu bangsa bahawa hampir setiap individu dalam sesuatu negara adalah tidak suka negaranya dijajah.

Memperjuangkan sesuatu negara atau bangsa telah menjiwai setiap penduduk dunia sama ada yang beragama Islam dan agama-agama lainnya termasuk orang yang tidak beragama sekalipun. Oleh sebab Belanda telah menjajah Minangkabau, Sumatera Barat, maka adalah wajar rakyat bertindak melawan penjajah itu apatah lagi yang datang menjajah itu tidak seagama pula.

Tuanku Tambusai dan kawan-kawan bersamanya bergabung dalam satu wadah yang dinamakan "Kaum Paderi" yang dipimpin oleh Peto Syarif yang kemudian terkenal dengan sebutan Tuanku Imam Bonjol. Menurut buku, 101 Pahlawan Nasional, Departemen Sosial Republik Indonesia bahawa "Tuanku Imam Bonjol, Tuanku Rao dan Tuanku Tambusai bekerjasama dalam perjuangan tetapi tidak bererti yang satu membawahi yang lain kerana mereka merupakan tokoh-tokoh yang otonom." (hlm. 517).

Perang paderi

Bunga api Perang Paderi mulai bertaburan pada tahun 1803 yang dihidupkan oleh Haji Miskin dari Pandai Sikat, Haji Sumanik dari Tiga Belas Koto dan Haji Piobang dari Tanah Datar. Kemunculan Tuanku Tambusai dengan pasukannya di bahagian utara terutama sekitar daerah Hulu Sungai Rokan menyebabkan Tuanku Imam Bonjol dapat bertahan dari serangan Belanda lebih lama kerana pasukan Tuanku Imam Bonjol posisinya di bahagian tengah. Taktik dan strategi perang diatur dua bahagian oleh Tuanku Rao dan Tuanku Tambusai. Tuanku Rao melalui Padangsidempana dan Tuanku Tambusai melalui Padanglawas, Gunung Tua, Bilah Panai berhimpun di Sipiruk. Pada mulanya Belanda telah menguasai Bonjol pada bulan September 1832 akhirnya terpaksa keluar pada Januari 1833 akibat serangan Kaum Paderi yang diperanani oleh Tuanku Tambusai.

Dalam perang melawan penjajah Belanda itu di antara jasa besar Tuanku Tambusai, beliau dapat menyatupadukan tiga etnik iaitu Minangkabau/Rao, Melayu dan Mandailing. Bahawa mereka bersatu tekad dan semangat bumi pusaka bukan milik bangsa penjajah. Bumi ini adalah kepunyaan bangsa kita yang beragama Islam.

Membela agama Islam dan tanahair adalah wajib. Menang dalam peperangan bererti mencapai kemerdekaan. Jika mati dalam perjuangan adalah mati syahid. Menang bererti beruntung. Jika mati pun beruntung juga. Orang yang tidak mengenal bangsa, tanahair dan Islam agamanya, yang tiada perjuangan itulah yang sebenar-benar rugi pada hakikatnya.

Apabila kita menoleh zaman lampau etnik yang tersebut mendiami daerah yang sangat luas, yang pada masa ini terbahagi dalam tiga daerah iaitu; daerah Sumatera Barat majoriti penduduknya ialah Minangkabau, daerah Riau Daratan majoriti penduduknya ialah Melayu dan daerah Sumatera Utara majoriti penduduknya ialah Batak dan yang beragama Islam mempunyai nama tersendiri iaitu Mandailing.

Daripada rakaman ini kita dapat membayangkan bahawa Tuanku Tambusai mempunyai kehebatan atau kekuatan yang tersendiri sehingga beliau dapat menyatupadukan etnik dalam bumi yang demikian luas itu. Setelah banyak mengapai kemenangan dan keberhasilan perjuangan, Tuanku Tambusai menjadikan pusat perjuangan, pentadbiran dan pertahanan di Dalu-Dalu (sekarang dalam daerah Riau Daratan).

Bertahan

Sampai tahun 1838 Tuanku Tambusai masih tetap bertahan sehingga Belanda tidak dapat masuk ke Inderagiri Hulu (Riau Daratan). Tuanku Tambusai adalah seorang ulama dan pahlawan yang berpendirian keras tidak mahu berunding dengan pihak penjajah Belanda. Beliau faham benar bahawa berunding dengan pihak penjajah Belanda bererti menyerah diri atau terperangkap dengan umpan lazat yang disediakan pemburu.

Sudah banyak contoh yang beliau bandingkan seumpama Tuanku Imam Bonjol sendiri terkorban bukan sebagai syahid di medan peperangan tetapi adalah tertipu kelicikan pihak penjajah Belanda. Tuanku Tambusai berpendirian terus berjuang sekiranya tidak berhasil hijrah ke Negeri Sembilan beliau memilih jalan terakhir iaitu mati sebagi syahid lebih utama daripada berunding apatah lagi menyerah kepada pihak musuh.

Pendirian keras Tuanku Tambusai seperti tersebut itu ada orang yang tidak menyetujui dan ramai pula yang menyetujuinya. Jika kita teliti sejarah perjuangan kemerdekaan Indonesia secara keseluruhan pendirian Tuanku Tambusai itu ada benarnya. Kerana hampir semua pemimpin yang mahu berunding dengan penjajah Belanda adalah merugikan pemimpin pejuang. Yang untung adalah pihak Belanda sendiri.

Semua pemimpin yang menerima perundingan ditangkap akhirnya dibuang keluar dari negeri asalnya. Peristiwa Tuanku Tambusai dapat kita bandingkan dengan peristiwa dunia antarabangsa sekarang ini, ada negara yang tidak menerima perundingan dengan Amerika seperti Iran tentang isu nuklear. Ada negara menerima perundingan tetapi tidak mudah menerima tipu helah Amerika seperti Korea Utara. Iraq akhirnya menerima perundingan. Apa jadinya? Hanyalah merugikan Iraq sendiri menjadi negara yang dijajah oleh Amerika dan sekutu-sekutunya.

Pengorbanan tenaga, harta dan pemikiran Tuanku Tambusai adalah besar, kecuali jiwa dan raganya saja dapat berhijrah ke Negeri Sembilan. Peristiwa beliau hampir serupa dengan gurunya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam perang Patani melawan pencerobohan Siam bahawa beliau hijrah ke Pulau Duyung Kecil, Terengganu. Hijrah seseorang tokoh atau ulama bukan bererti lari tetapi bertujuan menyusun taktik dan strategi untuk mencapai kemenangan yang diredai Allah di dunia dan akhirat. Dengan tidak menafikan perjuangan Tuanku Tambusai beliau telah diberi gelaran, ‘Pahlawan Nasional Republik Indonesia’ dengan SK. No. 071/TK/Tahun 1995, Tanggal 7 Ogos 1995.

Untuk maklumat lanjut mengenai Ulama Nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat: pengkaji_khazanah @yahoo.com atau hubungi talian 03-6189 7231.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0409&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Monday, 27 August 2012

Raja Ahmad Riau pengasas ‘al-Ahmadiah’ di Singapura



 
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 

DIRI dan jiwa mengembara dari tempat yang kecil dan terpencil ke Singapura, Johor dan Mekah akhirnya membuka usaha kemuncaknya di Singapura.

Itulah insan keturunan kaum bangsawan Riau bernama Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar Tengku Endut yang diperkenalkan artikel ini. Dari tempat yang kecil sebuah pulau, iaitu Pulau Penyengat Indera Sakti, bekas pusat Kerajaan Riau-Lingga, Johor dan Pahang di sanalah Raja Ahmad dilahirkan. Dan terpencil, nun jauh di sana Pulau Midai di Laut Cina Selatan.

Ayahnya Raja Haji Umar Tengku Endut itu dalam beberapa halaman Tuhfah an-Nafis ada disebut oleh saudaranya Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad Riau pujangga Melayu yang sangat terkenal itu, namun yang saya rakamkan di sini banyak perkara yang tidak sempat ditulis oleh Raja Ali Haji.

Walau bagaimanapun tulisan ini adalah sumber yang sahih kerana banyak hal saya dengar sendiri daripada Raja Haji Ahmad dalam tahun 1950-an hingga 1960-an, termasuk juga sumber-sumber yang lain dari kerabat keluarga ini. Raja Haji Umar Tengku Endut adalah orang pertama dilantik oleh Sultan Riau menjadi Amir (Ketua Pemerintahan wakil raja) di seluruh Tokong Pulau Tujuh yang sekarang dikenali beberapa kelompok kepulauan yang terkenal.

Yang paling terkenal sekarang ialah Kepulauan Natuna. Dia terkenal kerana diketemukan minyak dan gas. Sekarang dibentuk sebuah kabupaten dinamakan Kabupaten Natuna, pusat pemerintahannya Ranai. Setelah Natuna mulai terkenal nama-nama yang dahulu terkenal seumpama Kepulauan Siantan, Kepulauan Jemaja, dan lain-lain kurang dipercakapkan orang. Kepulauan Serasan pula terletak yang paling Sararak (di bahagian utara).

Susur galur Raja Haji Ahmad dari pihak sebelah ayahnya tidak perlu saya bicarakan di sini kerana telah saya tulis sebelum ini dan mudah mendapatkannya dalam susur galur kaum raja-raja Riau-Lingga atau pun Johor atau pun Selangor. Dari pihak sebelah ibunya pula memang tidak dibiasakan orang kecuali salasilah yang ditulis oleh abang saya Muhammad Zain Abdullah. Dalam tahun 1950-an beliau bersama saya mendengar daripada Haji Wan Abu Bakar saudara sepupu Raja Haji Ahmad daripada pihak sebelah ibu.

Bahawa ibu Raja Haji Ahmad bernama Hajah Nik Wan Siti binti Nik Wan Muhammad Nara, berasal dari Natuna. Asal usul selanjutnya dari Patani dan Kelantan. Datang ke Natuna terlebih dulu dan Batu Bahara di Sumatera. Ibu Hajah Nik Wan Siti bernama Wan Qamariyah binti Encik Wan Mat Thalib, berasal dari Pontianak, Kalimantan Barat.

Dalam salasilah yang saya peroleh di Pontianak menyebut Wan Qamariyah binti Encik Wan Mat Thalib bin Encik Wan Jaramat/Orang Kaya Setia Maharaja Lela Pahlawan Tambelan bin Encik Wan Umar/Megat Laksamana bin Encik Wan Utsman/Orang Kaya Megat Patan di Pahang bin Encik Wan Ahmad/Tuan Qadhi Menteri Danageraha Habung. Encik Wan Ahmad/Tuan Qadhi Menteri Danageraha Habung inilah ulama yang bersama Sultan Melaka yang hijrah ke Batu Sawar, Johor, selanjutnya ke Bintan, selanjutnya ke Minangkabau, selanjutnya ke Kampar.

Beberapa orang keturunannya berpatah balik ke Johor, Pahang dan lainnya, ramai yang menjadi pembesar. Keturunan beliau juga menjadi pembesar-pembesar dalam beberapa kerajaan Melayu, termasuk Pontianak dan Cam yang menyatu dengan keturunan yang berasal dari Patani.

Hendaklah dikenalpasti bahawa dalam sejarah Riau terdapat dua orang tokoh yang bernama Raja Ahmad. Seorang adalah anak Raja Haji asy-Syahidu fi Sabillilah, dan seorang lagi ialah cicitnya. Cicit Raja Haji adalah Raja Haji Ahmad yang pertama. Peranan kedua-dua tokoh itu sama penting, namun Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar Tengku Endut tidak dibicarakan dalam Tuhfat an-Nafis, salasilah Melayu dan Bugis dan sejarah-sejarah Riau lainnya.

Hal tersebut disebabkan sewaktu Raja Ali Haji (saudara kandung Tengku Endut) mengarang pelbagai karyanya, Raja Haji Ahmad bin Tengku Endut masih kecil.

Raja Haji Ahmad yang pertama digelar orang Engku Haji Tua. Daripada khazanah peninggalan keturunan beliau ada dicatatkan bahawa Raja Haji Ahmad ketika mudanya amat gemar memancing ikan di laut. “Pada suatu masa Raja Haji Ahmad sedang memancing di laut ... (tak dapat dibaca) berdekatan dengan sebuah pulau, di depan muka selat Tiong, maka datanglah sebuah kapal kepunyaan orang barat. Tiba-tiba dilanggarnya sampan Raja Ahmad sampai karam. Sebaliknya pada waktu itu Raja Ahmad dapat berpegang pada kapal orang barat itu, lalu naik ke atas kapal tersebut. Lalu dihamuknya segala orang dalam kapal itu sehingga habis.”

Setelah orang-orang kapal itu mati maka Raja Ahmad susah pula bagaimana akan membawa kapal itu masuk ke Tanjung Pinang sedangkan kapal itu sangat besar, tentu tidak dapat dikayuhkan. Sedangkan dia hanya seorang diri. Pada waktu itu terbit fikirannya, “Baik aku tunda saja kapal ini dengan sampanku supaya dapat aku bawa masuk ke Tanjung Pinang.” Maka Raja Ahmad turun ke sampannya. Lalu dikayuhnya masuk ke selat Tiong sampai ke Pulau Bayan ... " Selanjutnya diceritakan dari kisah di atas tergubahlah seuntai pantun:

Anak ulat di buku kayu,

Anak Belanda main teropong,

Besar daulat Raja Melayu,

Kapal ditunda dengan jongkong.

Pencetus usaha

Raja Haji Ahmad Muda adalah cucu Raja Haji Ahmad Engku Tua setelah memperhatikan banyak kegoncangan dalam pemerintahan Riau-Lingga, telah menghadap Sultan Abdur Rahman Mu'azzam Syah. Kata beliau kepada sultan, “Pada pandangan patik di belakang hari kaum kita akan disingkirkan Belanda. Kita akan papa kedana.

Akibat papa kedana kaum kita Melayu boleh menukar agama daripada Islam kepada agama Serani. (Maksudnya Nasrani atau Kristian). Patik mohon keizinan Paduka untuk membangun satu syarikat perniagaan.” Titah baginda Sultan Abdur Rahman, “Bagaimana yang elok menurut engkau perbuatlah ! Aku sangat-sangatlah bersetuju.” (Ucapan Raja Haji Ahmad tahun 1961 di rumahnya Istana Laut, Pulau Penyengat).

Setelah mendapat persetujuan daripada Sultan Abdur Rahman Mu'azzam Syah, maka Raja Haji Ahmad memanggil kaum intelektual kerajaan Riau bermusyawarat. Di antaranya ialah Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong, Raja Haji Idris bin Tengku Endut, Raja Haji Ja'afar bin Tengku Endut dan Raja Haji Muhammad bin Raja Ali. Dari situ mereka bersepakat untuk mendirikan sebuah perniagaan untuk mempertinggikan imej orang Melayu Islam terutama kerabat mereka. Sebagai langkah awal mereka membuka tanah perkebunan.

Oleh sebab tanah-tanah di sekitar Pulau Bintan kurang subur untuk perkebunan, selain tanah-tanah itu telah dikuasai oleh tauke-tauke bangsa Cina, Raja Haji Ahmad terpaksa mengarahkan tumpuan ke pulau-pulau yang masih kosong. Pulau-pulau tersebut ialah di kawasan Tukong Pulau Tujuh. Dengan sebuah perahu layar dia menuju ke Pulau Midai kerana di sana telah ada wakil sultan sejak tahun 1302 H/1883 M. Kebetulan pula wakil itu adalah saudara kandungnya, iaitu Raja Haji Ilyas bin Tengku Endut.

Dari Pulau Midai yang kecil terpencil di Laut Cina Selatan itu bermulalah segala kegiatan Syarkah Ahmadi Midai. Dari situ sebuah cawangan dibuka di Singapura, iaitu Mathba'ah Al-Ahmadiah atau Al-Ahmadiah Press 101 Jalan Sultan Singapura 7. Sejarah berdirinya Syarkah Ahmadi & Co. Midai dan cawangan Al-Ahmadiah Singapura secara jelas diceritakan oleh Raja Haji Ahmad dalam suratnya yang bertarikh 17 Ramadan 1373 H kepada Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman saudara sepupunya.

Beberapa perkara yang penting di antaranya saya petik, "Dan tentang pertanyaan adinda permulaan mendirikan Ahmadiah Midai ialah kekanda tarikhkan mendirikan rumah di laut Sabang Barat di hadapan rumah tauke Aniu. Lihatlah di dalam jurnal kekanda di Ahmadi dan Surat Kebenaran dari Yang Dipertuan Besar Riau masih ada kekanda simpan tinggal di Penyengat ... Maka pada masa itu berjalanlah perniagaan Ahmadi hingga kekanda dipanggil oleh Yang Dipertuan Besar Riau kerana muafakat hendak membeli kapal yang bernama Kapal Karang ... "

Setelah Kapal Karang dibeli maka terjadilah perkongsian antara Syarikat Ahmadi dengan Syarikat Batu Batam yang dipunyai oleh Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi. Syarikat Batu Batam ini diuruskan oleh anaknya, Raja Ali Kelana. Syarikat ini tidak dapat bertahan lama kerana dikhianati oleh beberapa peniaga Cina di Singapura. Walau bagaimanapun dengan kebijaksanaan Raja Haji Ahmad dan anak saudaranya, Raja Ali bin Raja Haji Muhammad Tengku Nong (cucu Marhum Mursyid), Ahmadi & Co. Midai tidak dapat dipermainkan oleh peniaga-peniaga Cina di Singapura.

Raja Haji Ahmad memang diakui seorang tokoh Riau yang sangat teliti dalam bidang pentadbiran. Dalam salah satu buku yang tersimpan di Ahmadi & Co. Midai telah ditemui tulisan ini. “Pada 10 Syaaban 1324 H bersamaan 17 September 1906 M dimulai membuka kedai di Pulau Midai, Sabang Barat”.

Sewaktu Raja Haji Ahmad berada di Mekah hubungan komunikasi surat-menyurat antara beliau dengan Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong tidak pernah terputus. Dalam surat Raja Ali yang bertarikh 28 Rejab 1332 nombor 19 dan 92 kepada Raja Haji Ahmad di Mekah ada dinyatakan bahawa syarikat Ahmadi akan mengembangkan perniagaannya. Raja Haji Ahmad bersetuju. “Syahdan adapun muafakat Paduka anakanda hendak membesarkan perniagaan Ahmadiah, dihamburkan modalnya di Pulau Tujuh hingga ke Singapura, maka pekerjaan itulah seelok-elok pekerjaan menurut peraturan orang-orang Eropah membesarkan pekerjaan dengan muafakat. Maka sangatlah ayahanda perkenan akan muafakat itu ...”

Setelah Raja Ali mendapat persetujuan Raja Haji Ahmad, dengan Akta Midai, 1 Syaaban 1333 H bersamaan 14 Jun 1915 M maka rasmilah pembukaan cawangan Ahmadiah Pulau Tujuh-Singapura yang berpejabat di Palembang Road No. 18B, Singapura. Cawangan itu kemudiannya berpindah ke Minto Road No. 50.

Cawangan ini berfungsi menguruskan hasil bumi dan hasil laut yang datang dari Pulau Tujuh, Sumatera dan Malaya. Dengan memakai tanda Syarikat Ahmadi & Co. Midai cawangan Singapura, syarikat tersebut melakukan kegiatan eksport hasil bumi dan hasil laut ke benua Eropah. Selain itu syarikat itu juga mengimport barangan dari Eropah, India dan Cina ke Singapura.

Pendek kata, Ahmadiah cawangan Singapura adalah sebagai lambang kemampuan bangsa Melayu dalam bidang perdagangan pada zaman itu. Pada hari Jumaat 20 Rabiulawal 1339 H bersamaan 3 Disember 1920 M muafakat pula mendirikan percetakan terkenal dengan nama Mathba’ah Al-Ahmadiah atau Al-Ahmadiah Press 101 Jalan Sultan Singapura.

Sejarah menuntut ilmu
* Raja Haji Ahmad menyerahkan pimpinan Syarkah Ahmadi & Co. Midai kepada Raja Ali (cucu Marhum Mursyid) pada 1914 untuk mendalami pelbagai bidang ilmu.

* Di Mekah - berguru dengan Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Daud bin Mushthafa al-Fathani (ilmu keislaman)

* Beliau belajar ilmu al-Quran daripada Syeikh Abdullah bin Qasim Senggora.

* Pernah mengembara ke beberapa negeri di Asia Barat serta mengunjungi Calcutta dan Bombay di India.

* Beliau juga adalah pengasas syarikat Ahmadi & Co. Midai pada 10 Syaaban 1324 H bersamaan 17 September 1906 di Pulau Midai, Sabang Barat.



SUMBER:

Sunday, 26 August 2012

Haji Mahmud Raman Terengganu ulama, penyalin pelbagai manuskrip Melayu


Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 

DALAM tahun 1980-an, penulis mula mengenali nama Haji Muhammad Hasyim bin Muhammad Yusuf yang berasal dari negeri Raman. Ini didorong berikutan penemuan beberapa manuskrip karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain salinan beliau dengan khat indah condong ke kiri.

Oleh kerana penulis mengagumi khat beliau, maka semenjak itulah penulis memulakan penyelidikan biografinya, sekali gus memaksa penulis berulang-alik ke negeri Raman dan sekitarnya.

Negeri Raman yang dimaksudkan adalah suatu negeri yang mempunyai raja dalam takluk kekuasaan kesultanan Fathani Darussalam dan dalam kawasan Raman terdapat satu kampung dinamakan Kampung Tok Pakeh.

Di kampung itulah terdapat sebuah kubur yang dikeramatkan orang yang nama sebenarnya yang disemadi di situ tidak jelas. Namun dikatakan bahawa beliau adalah seorang ulama besar yang kemudian anak cucunya ramai yang menjadi ulama. Antaranya termasuklah dua orang yang bersaudara kandung iaitu Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf dan Tuan Guru Haji Muhammad Hasyim bin Muhammad Yusuf.

Penulis mula mengetahui nama Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf pada Selasa 6 Zulhijjah 1412H/ 9 Jun 1992M kerana diketemukan sekelompok manuskrip salinannya.

Dua hari kemudian, di tempat yang lain pula diketemukan salinan beliau dan anak beliau bernama Ibnu Abdus Samad yang mencatat di hujung namanya dengan Tarkaniyan Fathaniyan yang bermaksud Terengganu dan Patani. Tiga hari sesudah itu, diketemukan pula dua buah manuskrip salinan Tuan Guru Haji Mahmud tersebut, yang sebuah karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengenai Imam Mahdi.

Pada manuskrip ini, beliau mencatat nama lengkapnya ‘Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir bin Nakhoda Muhammad Tina Ibnu al-Makhdum’. Sebuah lagi ialah karya Syeikh al-Alim al-Allamah al-Faqih Jalaluddin Aceh yang berjudul Manzharul Ajla ila Martabatil A'la.

Setelah seminggu penulis pulang ke Kuala Lumpur dari Patani, tiba-tiba pukul 2 pagi datang dua orang dari Patani membawa 16 buah manuskrip yang nadir, penting dan tebal yang kesemuanya adalah salinan yang dibuat oleh Tuan Guru Haji Mahmud Raman-Terengganu.

Keesokan harinya, penulis mengkatalogkan manuskrip-manuskrip di Muzium Islam di Pusat Islam Malaysia, Kuala Lumpur, lalu diketemukan pula manuskrip salinan beliau yang penulis beri nombor kelas MI 957. Di hujung namanya tercatat al-Jawi Tarkanu (maksudnya Terengganu).

Dengan penemuan salinan pelbagai manuskrip beliau, maka penulis membandingkannya dengan kegiatan penyalinan yang dijalankan oleh Tok Kelaba yang penulis tempatkan sebagai ‘Penyalin Manuskrip Melayu Terbesar di Asia Tenggara’.

Perkiraan pasti siapa yang lebih banyak hasil penyalinan antara kedua-dua tokoh ulama itu belum dapat dipastikan. Namun Haji Mahmud Raman-Terengganu mendahului Tok Kelaba hampir 100 tahun. Kelebihan Tok Kelaba pula di samping menghasilkan salinan manuskrip, beliau juga mempunyai karangan sendiri sedangkan Haji Mahmud Raman-Terengganu belum penulis temui karangannya yang asli.

Pendidikan

Dipercayai pendidikan asas beliau diterima daripada ayah dan datuknya yang sememang kedua-duanya adalah ulama dan mengajar di pondok yang dipusakai sejak datuk neneknya yang mula-mula datang ke kawasan Raman lagi. Kemudian beliau merantau ke Terengganu, belajar dengan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim Terengganu dan dalam masa yang sama, beliau menjalin persahabatan dengan Saiyid Muhammad bin Zainal Abidin (Tukku Tuan Besar Terengganu).

Kemudian melanjut pelajarannya ke Mekah dan di sana menemui beberapa sahabat baru di antaranya Syeikh Wan Ali bin Ishaq al-Fathani, Syeikh Wan Hasan bin Ishaq al-Fathani, Syeikh Ismail Minangkabau, Syeikh Ahmad Khatib Sambas dan ramai lagi. Ketika di Mekah, guru utama mereka adalah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan sempat belajar dengan beberapa ulama lain, di antaranya Syeikh Muhammad Salih bin Ibrahim, ketua Mazhab Syafie di Mekah pada masa itu.

Selain itu, juga belajar dengan Saiyid Ahmad al-Marzuqi. Beliau mendapat tarbiyah rohaniyah dan baiah musyafahah Tarekat Syatariyah daripada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Pun begitu, beliau mengaku pada sebuah catatannya bahawa Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani sebagai “syeikh kita dan guru kita yang alim lagi allamah”, katanya lagi bahawa Syeikh Abdur Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani khalifah Maulana al-Syeikh Daud Ibnu Abdullah al-Fathani.

Ini bererti Haji Mahmud Raman-Terengganu juga di bawah bimbingan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani yang merupakan ketua telaahnya (tutor).

Dipercayai setelah bertahun-tahun beliau belajar di Mekah, lalu pulang ke Terengganu dan mengajar di beberapa tempat. Kemudian beliau berpindah ke Kampung Pusin, Raman membuka pusat pengajian pondok di kampung itu. Murid beliau pula sangat ramai terutama dari Terengganu dan dari kawasan Raman sendiri. Pada zaman tersebut beliau dipandang sebagai ulama besar yang keramat, kerana beliau adalah seorang wali Allah. Kekeramatannya seolah-olah penurunan daripada nenek datuknya Tok Syeikh Pakeh. Kedua-dua mereka ini berkemampuan menyelesaikan penyalinan sebuah kitab suci al-Quran dari awal hingga akhir dalam tempoh satu malam saja, iaitu dari selesai sembahyang Isyak hingga sembahyang Subuh, sebagaimana yang diceritakan oleh salah seorang zuriatnya di Raman.

Pondok Pengajian Pusin yang diasaskan tokoh kajian ini adalah salah satu pondok tua yang bersejarah di Patani. Namanya sebaris dengan pondok-pondok tua lain, di antaranya Pondok Pauh Bok, Pondok Cenak, Pondok Bendang Daya dan banyak yang masih belum dikesan. Setelah ditemui, pelbagai peninggalan sejarah yang dapat dipastikan bahawa Pondok Pusin dan pengasasnya telah mengkaderkan alim ulama bukan sedikit di Patani, Kelantan dan Terengganu. Oleh itu, kajian demi kajian patut dijalankan secara terus-menerus.

 

Keturunannya

Di antara anak Tuan Guru Haji Mahmud Raman-Terengganu yang sangat terkenal ialah Tuan Guru Ibnu Abdus Samad Raman. Beliau adalah seorang ulama besar pada zamannya, meneruskan aktiviti-aktiviti yang pernah dilakukan oleh ayahnya. Pondok pengajian di Pusin berjalan dengan lancar di bawah pimpinannya setelah ayahnya meninggal dunia. Tuan Guru Ibnu Abdus Samad juga meninggalkan beberapa buah salinan manuskrip dan juga karya-karyanya sendiri.

Salah satu karyanya mencatatkan memenuhi permintaan Sultan Patani, menurut kata beliau, “Maka tatkala bercita oleh Ibnu as Sultan Muhammad Shalih, yang adil, bahagia dan kemuliaan daratan Patani al-Jalilah atas hamba yang bukan ahli bagi beramal dan ilmu, serta jahil bahasanya, Ibnu Abdus Samad ibnu al-Mahmud ibnu Muhammad Yusuf ibnu Qadir at-Tarkaniyah….” Beliau menyebut pula bahawa Sultan Patani itu adalah, “…yang bersahabat tolan berkasih, minta riwayat sekadar sepatah selidah mana-mana fikir yang membaik jalan…”.

Kesimpulan daripada kalimat-kalimat tersebut bahawa Tuan Guru Ibnu Abdus Samad adalah seorang ulama yang berpengaruh kepada Sultan Patani pada zaman itu. Selain karya tersebut, beliau juga menyusun sebuah kitab khutbah yang ditulis dalam bahasa Melayu, yang mana manuskrip asli tulisan beliau ada dalam simpanan penulis.

Beliau juga mendapat anak perempuan yang dikahwinkan dengan Tuan Guru Ahmad ibnu Abdusy Syukur. Adapun aktiviti menantu beliau yang tersebut ialah mengajar bersama-sama saudara iparnya Tuan Guru Ibnu Abdus Samad di pondok pengajian Pusin. Selain itu, terdapat beberapa buah manuskrip salinan Tuan Guru Ahmad bin Abdusy Syukur yang setiap salinannya, beliau nyatakan bahawa beliau adalah ‘benatu’ (maksudnya menantu) kepada Tuan Guru Haji Mahmud ibnu Muhammad Yusuf.

Keturunan beliau barangkali ramai, namun hanya setakat ini sahaja yang dinyatakan oleh penulis mengenai keturunan Tuan Guru Haji Mahmud Raman-Terengganu.

KARYA PENYALINAN
1. At-Targhib wat Tarhib lil Bai'i wasy Syira, yang merupakan karya Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim Bukit Bayas, Terengganu. Tuan Guru Haji Mahmud Raman-Terengganu membuat catatan pada akhir salinannya bahawa salinan tersebut dapat diselesaikan pada 9 Zulhijjah 1236H iaitu pada hari Isnin antara Zuhur dan Asar di Terengganu. Selain itu, beliau mencatatkan pula berupa terjemahan judul iaitu , "Ertinya inilah risalah yang dinamai akan dia dengan " Menggemari dan Menakuti Bagi Berjual Dan Beli, Hal Keadaannya Risalah Ini menghimpunkan Antara Takut Akan Azab Allah Dan Mengharapkan Akan Rahmat-Nya".

2. Ghayatut Taqrib fi Irtsi wat Ta'sib, karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Penyalinan ini dihabiskan pada 2 Muharram 1237H iaitu hari Jumaat yang juga dilakukan di Terengganu, sepertimana yang dinyatakan oleh beliau di akhir salinannya.

3. Manuskrip MI 957 koleksi Muzium Islam Pusat Islam Malaysia, pada akhir penyalinan tercatat,"….Mahmud bin Muhammad Yusuf al-Jawi Tarkanu melihat akan manzhum miz ini pada sanah seribu dua ratus enam puluh satu tahun pada empat hari bulan Rabiultsani (4 Rabiul Akhir 1261H), menyalin ia daripada naskhah manzhum miz bagi dirinya dan bagi mereka yang dikehendaki Allah kemudian daripada barang siapa adalah saudaraku fillah….

4. Mir-atul Qur'an fi Tashili Ma'rifati Ahkamit Tajwid lil Mulkil Wahhab, karya Ibnu Syeikh Abdul Mu'ti bin Syeikh Muhammad Salih.Salinan ini diselesaikan pada 23 Muharram 1265H/1848M iaitu pada likur daripada bulan Muharam waktu Zuhur. Kitab ini juga pernah disalin oleh saudara kandung beliau, iaitu Haji Muhammad Hasyim bin Muhammad Yusuf Raman dengan khat yang lebih indah.

5. Furu'ul Masail, karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang disalin oleh beliau bersama anaknya Tuan Guru Haji Abdus Samad pada 24 Rabiul Akhir 1268H/1851M yang pada akhir salinan terdapat ukiran yang indah berbentuk bunga dengan lingkaran daun.

6. Warduz Zawahir li Hilli Alfazhi Iqdatil Jawahir, karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Pada halaman muka, beliau catat tahun 1271H/1854M.

7. Faraidu Fawaidil Fikri fi Imamil Mahdi, karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Salinan ini diselesaikan pada tahun 1273H/1856M.

8. Manzharil Ajla ila Martabatil A'la, karya Syeikh Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh). Salinan ini disatukan dengan naskhah Faraidu Fawaidil Fikri fil Imamil Mahdi.

9. Fatwa Zakat, karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Salinan ini merupakan salinan terakhir beliau yang telah diketemui. Di akhir salinan tercatat tarikh 5 Rabiulakhir 1277H/1860M yang dilakukan di Mekah.

(Sumber: Koleksi penulis, daripada salinan Tuan Guru Haji Mahmud Raman-Terengganu dan saudaranya, Haji Muhammad Hasyim bin Muhammad Yusuf Raman)

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0423&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

 

Saturday, 25 August 2012

Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti -- Penyusun Ilmu Tajwid pertama Bahasa Melayu



 
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 

Ulama ini tidak menjelaskan dari mana beliau berasal. Kebiasaannya penulisan oleh para ulama zamannya (1193H/1779M) akan menyebut nama negeri di hujung nama, seperti al-Asyi, al-Fatani, al-Falimbani, al-Banjari, as-Sumbawi dan lain-lain.

Untuk menentukan dari mana beliau berasal dengan berdasarkan andaian sahaja tidak memenuhi kriteria sejarah. Berdasarkan sebuah salinan dari sekian banyak salinan karya ulama tersebut, terdapat nama Muhammad Salih bin Ibnu Mu’ti bin Syeikh Muhammad Salih al-Kalantani.

Melihatkan pada hujung namanya tertulis al-Kalantani, maka kemungkinan Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti berasal dari Kelantan.

Namun demikian, dengan hanya sebuah naskhah salinan beliau sahaja belum cukup kuat untuk dijadikan bukti bahawa ulama tersebut berasal dari Kelantan. Ia masih perlu disokong dengan naskhah-naskhah lain.

Mengenai namanya juga tidak cukup jelas. Apakah ‘Ibnu’ itu namanya yang sebenar atau adakah pernyataan bahawa dia adalah ‘anak’ (terjemahan dari ‘Ibnu’) kepada Syeikh Abdul Mu’ti. Semua salinan karyanya menggunakan nama Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti Ibnu Syeikh Muhammad Salih.

Berdasarkan tahun yang terdapat pada karyanya mengenai ilmu tajwid iaitu tahun 1193H/1779M adalah tarikh terawal mengenai ilmu itu yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Ilmu tajwid yang dikarang atau disusun oleh ulama-ulama Melayu yang lain jauh ketinggalan berbanding ulama ini. Karya beliau yang terawal tersebut iaitu Mir’atul Quran yang pernah disalin oleh Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Raman -Terengganu yang pernah dibicarakan sebelum ini.

Pendidikan

Apabila memperhatikan kemunculan kitab Mir'atul Quran tahun 1193H/1779M hasil karangan ulama yang dibicarakan ini, maka dapat dipastikan bahawa beliau adalah sezaman dengan beberapa ulama. Antaranya Syeikh Abdus Samad al-Falimbani yang menyelesaikan karyanya Hidayatus Salikin tahun 1192H/1778M, Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang menyelesaikan karya Lugthatul ‘Ajlan tahun 1192H/1778M juga.

Selain itu juga sezaman dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani yang menyelesaikan Syarh Hikam (bahasa Arab) tahun 1193H/1779M. Oleh itu, jika Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti bin Muhammad Salih belajar dalam tahun-tahun yang sama dengan ketiga-tiga ulama yang berasal dari tanah Jawi/dunia Melayu itu, maka mudah untuk dikenalpasti dengan siapa beliau belajar.

Namun tidak terdapat satu maklumat dalam karyanya dengan siapa beliau belajar. Dalam sejarah perkembangan Islam di Asia Tenggara, sangat mudah kita menentukan ulama-ulama yang pakar dalam beberapa ilmu seperti tasauf, usuluddin, tafsir, fikah, hadis dan lain-lain. Namun belum ditemui maklumat siapakah ulama Melayu pada peringkat awal yang pakar dalam ilmu tajwid.

Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti bin Syeikh Muhammad Salih hanyalah menyebut pada mukadimah karyanya “…dan daripada tajwid yang telah dijawikan oleh segala guru-guru kita sekalian.” Dari perkataan beliau yang singkat tersebut dapat dibuat dua kesimpulan.

Kesimpulan pertama, sebelum karya beliau telah ada kitab tajwid yang dijawikan atau yang diterjemah ke bahasa Melayu. Yang kedua, kitab-kitab tajwid dalam bahasa Melayu itu diusahakan oleh guru-guru kepada Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti sendiri.

Namun amat dikesali kerana beliau tidak menyenaraikan nama-nama kitab dalam bahasa Melayu tersebut dan menyebut nama guru-gurunya itu.

Data karya

Tajuk lengkap karya beliau ialah Mir’atul Quran fi Tashili Ma’rifati Ahkamit Tajwid lil Mulkil Wahhab. Manuskrip kitab ini sangat banyak ditemui. Beberapa buah disimpan di Muzium Islam Pusat Islam Kuala Lumpur dan juga di Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia.

Dalam koleksi peribadi penulis terdapat beberapa buah, tetapi data yang dimuatkan dalam rencana ini diambil daripada karya beliau yang telah disalin oleh Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu.

Menurut keterangan ulama yang berasal dari Kemaman, Terenganu itu adalah beliau menyalin daripada naskhah yang asal dan diselesaikan pada tahun 1265H/1848M.

Walaupun jarak waktu ketika Mir’atul Quran yang ditulis tahun 1193H/1779M itu agak jauh dengan salinan Haji Mahmud Terengganu yang selesai tahun 1265H/1848M (kira-kira 72 tahun) namun masih ada kemungkinan kedua-dua ulama ini sempat berjumpa.

Ini kerana sewaktu di Mekah, Haji Mahmud Terengganu sempat belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, sedangkan Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti adalah hidup sezaman dengan Syeikh Daud al-Fatani.

Tambahan pula, Haji Mahmud Terengganu memulakan aktiviti penyalinan tahun 1235H/1819M, iaitu jarak waktu sekitar 42 tahun sesudah kitab Mir’atul Quran.

Dalam karyanya, Sesudah Basmalah, Hamdalah dan Salawat, Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti menulis, “Adapun kemudian daripada itu, maka tatkala hijratun Nabi s.a.w 1193, bahawasanya telah meminta padaku, seorang sahabatku yang besar, pada menghimpunkan suatu kitab pada menyatakan ilmu tajwid, menterjemahkan daripada bahasa Arab kepada bahasa Jawi.…”

Setelah menyebut namanya dan judul kitab dalam bahasa Arab, maka beliau menyebut terjemahan judulnya dalam Bahasa Melayu iaitu ‘cermin’ bagi segala mereka itu yang minat membaca al-Quran pada memudahkan mengenal segala hukum at-tajwid.

Untuk memenuhi syarat ilmiah bagi sesuatu karya, beliau juga menyebut kitab-kitab rujukan yang menurut istilah beliau ‘segala pohon kitab ini’ iaitu:

* Tuhfatut Talibin fi Tajwid Kitabi Rabbil ‘Alamin, karya Syeikh Mansur ibnu Isa ibnu ‘Azi al-Ansari al-Mu’ir.

* Ahwasul Mufahhamah fi Syarhil Muqaddimah fi ‘Ilmit Tajwid karya Syaikhul Islam.

* Daqaiqul Mu’akkah karya Syaikhul Islam juga.

* Kanzul Ma’ani min Syarhi Hirzil Ma’ani.

* Husnul Qari.

* Masalatul Mufiddin.

Sifat-sifat tawaduk Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti yang mencorakkan beliau sebagai seorang ulama tasauf juga jelas dari kalimat beliau, “Hai saudaraku! Apabila kau lihat bersalahan suatu masalah daripada segala masalahnya dengan dalil dan hadis, atau salah ambilannya daripada segala pohon kitab kitab ini, maka perbaiki kiranya olehmu dengan ibarat yang sahih….”

Sesudah mukadimah serta menyebut kitab-kitab rujukan, Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti menjelaskan hukum mempelajari ilmu tajwid, katanya, …menuntut ilmu tajwid itu fardu ain atas tiap-tiap Islam laki-laki dan perempuan daripada diberat sekalian itu….

Beberapa hadis Nabi s.a.w. dan pendapat para ulama yang bersangkut-paut dengan membaca al-Quran dikemukakan pula sebagai mukadimah bagi bab yang dinamakan Isti’azah, iaitu bab yang menyatakan membaca A’uzubillah.

Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti bin Muhammad Salih memulakan bahasan bab ini dengan menulis, “Bahawasanya mengucap A’uzubillah itu sunat dahulu daripada membaca al-Quran. Dan wajib mengucap A’uzubillah.

“Maka sunat mengucap A’uzu billah itu dengan barang yang permulaan membaca al-Quran apabila ada hadir orang yang mendengar. Maka adapun barang siapa membaca pada tempat yang sunyi atau di dalam sembahyang, maka diperlahankan terlebih aula daripada dinyaringkan. Dan sama ada pada awal kemudian pula dengan bab Basmalah, dimulai dengan kata beliau, …bahawa hukum Basmalah, tiada dapat tiada daripadanya pada permulaan tiap-tiap surah bagi resamnya pada Masahif al-Utsmani, seperti yang demikian itu, barang yang lain daripada surah Baraah (surah Taubat) kerana bahawasanya mereka itu tiada meresamkan mereka itu dengan Basmalah pada awal surah.”

Susunan Mir’atul Quran karya beliau yang tersebut sebelum memasuki hukum-hukum tajwid yang biasa dibicarakan dalam kitab-kitab lain, terlebih dulu meletakkan bab Lam Takrif sebagai bab yang ketiga sesudah dua bab yang tersebut sebelumnya.

Mengenai bab ini dimulainya dengan, …bermula Lam Takrif itu dibahagi segala huruf hijaiyah , ertinya huruf hijaiyah itu adalah 28 huruf. Dibangsakan atasnya dua bahasa. Suatu bahagian Lam Takrif Syamsiah, dan kedua Lam Takrif Qamariah.

Mulai bab yang keempat barulah beliau membicarakan perkara-perkara yang pokok dalam ilmu tajwid iaitu bab Pada Menyatakan Nun Yang Mati dan Tanwin.

Pada bab ini membicarakan fasal-fasal dan beliau mula membandingkan wajah-wajah bacaan imam-imam qiraat yang terkenal seumpama Syeikh Hafas, Syeikh Qalun, Syeikh Nafi’, Syeikh Abu Umar, Syeikh Ibnu Katsir, Syeikh Ibnu ‘Amir, Syeikh Kisa-I, Syeikh ‘Asim dan ramai lagi.

Dalam bahagian ini juga terdapat rujukan beliau iaitu kitab tafsir bahasa Melayu Turjumanul Mustafid karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Ia adalah terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Melayu.

Pendek kata Mir’atul Quran karya beliau adalah kitab tajwid yang menyentuh seluruh aspek perbicaraan tajwid yang fardu ain. Bahkan juga menyentuh lebih daripada itu iaitu kepada peringkat fardu kifayah.

Sebagai penutup kitab tersebut, telah dinyatakan oleh penyusunnya iaitu, “Faedah pada menyatakan hadis, datang pada menyatakan fadilat al-Quran serta dengan membaiki baca. Iaitu amat banyak…. Beberapa petikan hadis mengenainya dinyatakan oleh pengarang kitab tersebut, yang di antaranya adalah seperti berikut:

Sabda Nabi s.a.w, “Barang siapa mengaji al-Quran, maka dibaiki bacaannya dengan dia nescaya adalah baginya tiap-tiap satu huruf, 20 kebajikan. Dan barang siapa tiada membaik daripadanya sesuatu, nescaya adalah baginya dengan tiap-tiap satu huruf 10 kebajikan.”

Dan setengah daripadanya cerita daripada Ibnu Mas’ud, sabda Nabi s.a.w, “Barang siapa mengaji al-Quran, maka dihafalkan akan dia, dan dibacanya ia dengan tiada menilik surat dan dihalalkannya yang halalnya dan diharamkannya yang haramnya, nescaya dimasukan-Nya ia ke dalam syurga. Dan diterima syafaatnya 10 orang daripada isi rumahnya yang telah patut akan mereka itu neraka.”

Hadis, “Barang siapa mengaji al-Quran di dalam mushaf, nescaya disuratkan oleh Allah baginya 2,000 kebajikan. Dan barang siapa mengaji Qur'an pada yang lain, pada mushaf maka disuratkan oleh Allah baginya 1,000 kebajikan.”

Hadis, “Ahli al-Quran itu ahlillah dan tertentulah. Barang siapa memuliakan akan dia, mereka itu dimuliakan akan dia oleh Allah. Dan barang siapa menghinakan dia, mereka itu dihinakan oleh Allah s.w.t.

Demikianlah contoh beberapa hadis yang termaktub dalam kitab Mir’atul Quran karya Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti yang dibicarakan ini. Hadis tersebut beliau tulis lengkap dengan lafaz Arabnya, kesemuanya melebihi 30 hadis dan hanya dinyatakan beberapa contoh sahaja, tidak dinyatakan kesemuanya.

Mengenai keturunannya, penulis belum menemui data yang lengkap untuk dibicarakan, maka sampai di sini sahaja dapat penulis bicarakan mengenai ulama ini.

Kitab ilmu tajwid yang lain
* Tuhfatul Murid karya Muhammad Said Ibnu Hasan, diselesaikan tahun 1266H/1849M,

* Risalah Tajwid karya Aminuddin bin Nuruddin bin Husein, diselesaikan tahun 1286H/1869M,

* Al-Mawahibul Makkiyah karya Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fatani diselesaikan tahun 1296H/1879M,

* Sirajul Qari karya Syeikh Muhammad Salih bin Zainal Abidin al-Fatani diselesaikan tahun 1308H/1891M,

* Tuhfatul Ikhwan karya Syeikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi, diselesaikan tahun 1311H/1893M.

* Ilmu Tajwid dalam bahasa Melayu ialah Mauriduz Zumaan karya Syeikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri (Senggora) diselesaikan tahun 1315H/1898M.



SUMBER:






Wednesday, 22 August 2012

Faqih Ali Al-Malbari moyang dan ulama raja-raja Melayu


Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

 

TOKOH yang diperkenalkan ini berbeza dengan beberapa tokoh bernama Ali yang pernah dibicarakan sebelum ini, iaitu Syeikh Wan Ali bin Ishaq al-Fathani, Syarif Ali Brunei dan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani.

Faqih Ali al-Malbari yang akan diperkenalkan dalam rencana kali ini juga bernama Andi' Ali. Terdapat percanggahan pendapat mengenai negeri asalnya kerana ada pendapat mengatakan beliau berasal dari negeri Malabar (India) dan pendapat yang lain pula mengatakan berasal dari negeri Bugis (Sulawesi Selatan, Indonesia).

Dalam zaman yang sama, terdapat seorang lagi tokoh yang bernama Syeikh Faqih Ali yang berasal dari Patani yang dikatakan orang yang sama dengan Faqih Ali al-Malbari atau Andi' Ali, kerana sama-sama menjalankan aktiviti di Sulawesi Selatan, Johor, Kelantan dan Patani.

Namun demikian, penulis tidak dapat memastikan tentang perkara tersebut, apakah benar orang yang sama atau tokoh yang berlainan. Tetapi dapat dipastikan bahawa tokoh yang akan diperkenalkan ini adalah seorang tokoh besar dunia Melayu yang mempunyai zuriat yang ramai menjadi ulama dan raja dalam beberapa kerajaan di Patani dan Kelantan, bahkan terdapat juga di beberapa tempat-tempat lain dunia Melayu.

Asal Usul

Dalam buku yang bertajuk Ringkasan Cetera Kelantan oleh Datuk Nik Mahmud, Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan, ada menyatakan seperti berikut, “Syahdan pada suatu masa, bulan sedang mengambang, di tepi langit, tersebutlah anak raja Bugis lari daripada saudaranya. Menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri di rumah Laksamana Kota Tinggi. Dipanggil orang 'Andi' Ali'. Tatkala Laksamana memandang kepadanya, berasa kasihan belas, dan dipeliharakannya sebagai anak sendiri. Tidak berapa tahun kemudian daripada itu, dijodohkan dengan anaknya yang bernama 'Wan Tija'.

Tidak berapa lama lepas itu, Andi' Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani. Menumpang di rumah Mekong Damit, Kampung Bira, pada tahun Hijrah 1049 (kira-kira 1640M). Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya, dan berpelajaran, orang di Patani memanggilnya Faqih Ali. Di situ ia beristeri Cik Dewi anak Seri Biji Diraja. Faqih Ali beroleh beberapa anak laki-laki dan perempuan dengan kedua-dua isterinya (Wan Tija dan Cik Dewi)…”

Dalam salah satu salasilah yang penulis peroleh dari Terengganu ada tertulis seperti berikut, “Faqih Ali Malbari, asal anak raja Bugis keluar daripada negerinya pergi ke Malabar kerana menuntut ilmu agama dan tinggal di sana dengan menyembunyikan bangsanya. Dan menamakan dirinya Faqih Ali, kemudian masuk ke Johor dan ke Patani. Anak cucunya di Patani, di Kelantan, di Terengganu, dan seluruh negeri Melayu.”

Riwayat yang lain pula berdasarkan beberapa silsilah terutama yang ditulis oleh Haji Nik Ishak, Tingkat, Kelantan, yang menyatakan bahawa Andi' Ali itu namanya juga ialah Syeikh Ali al-Malbari. Namun begitu, riwayat tokoh ini masih kabur kerana dalam versi yang lain dikatakan beliau berasal dari negeri Bugis dan ada pula yang menyebut dari Malabar. Malahan yang lebih menyukarkan apabila dikatakan salasilah yang ditemui di Patani menyebut bahawa Syeikh Shafiyuddin Datuk Pujuk Pemerintah Patani adalah anak Faqih Ali al-Malbari.

Sekiranya Syeikh Shafiyuddin yang dimaksudkan adalah yang bergelar Tok Raja Faqih, maka cukup jelas bahawa ia tidak tepat. Namun jika yang dimaksudkan adalah orang lain, masih boleh diambil kira sebagai satu catatan salasilah yang betul.

Adapun gelaran Tok Raja Faqih yang dimaksudkan tersebut adalah seorang tokoh Patani yang bernama Faqih Ali, iaitu putera Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin. Beliau merupakan orang pertama yang menyusun Tarikh Patani dalam bahasa Melayu yang berdasarkan karya datuk/neneknya Syeikh Shafiyuddin yang ditulis dalam bahasa Arab. Faqih Ali ini adalah seorang pembesar Patani yang digelar Datuk Maharajalela. Beliaulah yang mencari bantuan kerajaan Bone di Sulawesi apabila terjadinya peperangan antara Patani dengan Siam tahun 1632 M.

Diriwayatkan bahawa beliau wafat di Sulawesi dan juga dikatakan beliau pulang ke Semenanjung dengan menggunakan nama Faqih Ali al-Malbari atau Andi' Ali itu. Namun, masih sukar untuk dipastikan apakah yang bernama Faqih Ali itu hanya seorang atau dua atau tiga orang yang bernama sama tetapi hidup sezaman. Oleh kerana Faqih Ali al-Malbari tidak diketahui nama orang tuanya, maka masih belum boleh disimpulkan pendapat bahawa tokoh yang dimaksudkan hanya seorang sahaja, iaitulah Faqih Ali, pembesar Patani tersebut. Nama orang tuanya ialah Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin, iaitu Tok Raja Faqih.

Terdapat pendapat yang lain pula, dikatakan bahawa Faqih al-Malbari adalah saudara kandung Ibrahim Datu Kelantan VI (1632-1637 M) yang digelar dengan Ong Chai Nyek Ong Brohim Po Nrp yang menjadi raja di Campa tahun 1637 - 1648 M. Namun masih timbul keraguan kerana dikatakan bahawa ayah Faqih Ali dan Ibrahim bernama Mustafa Datu Jambu bergelar Sultan Abdul Hamid Syah atau Ong Tpouo atau Po Rome yang kemudiannya bergelar Raja Sri Sarvasades, iaitu raja Campa tahun 1577 - 1637 M.

Ayahnya pula bernama Abdul Muzaffar Waliullah. Berpunca daripada Abdul Muzaffar inilah menurunkan ulama-ulama dan tokoh-tokoh besar Patani, Kelantan, Terengganu dan lain-lain termasuklah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani dan ramai lagi.

Namun dalam penemuan penulis yang berdasarkan silsilah yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani di Makkah, nenek moyang mereka ialah Syeikh Ibrahim bin Abar al-Hadhrami. Perkara ini pertama kali penulis perkenalkan dalam Konvensyen Sejarah Kedah pada tahun 1996, dengan kertas kerja yang berjudul 'Hubungan Ulama Patani dan Kedah: Kekeluargaan, Pertalian Ilmu dan Karya.'

Apabila dibandingkan dengan catatan-catatan yang lain, beliau juga bernama Syeikh Ibrahim al-Hadhrami bin Saiyid Jamaluddin al-Kubra. Di Patani, beliau memperolehi lima orang anak yang menjadi tokoh dan ulama. Bermula kelima-lima anak beliau itu lahirnya ulama Patani dan Semenanjung yang sangat ramai.

Beliau pergi pula ke Kemboja dan memperolehi beberapa orang anak, salah seorang daripadanya ialah Raden Rahmatullah atau Raden Rahmat yang kemudiannya lebih masyhur dengan gelaran 'Sunan Ampel', iaitu salah seorang Wali Songo atau Wali Sembilan di Jawa.

Adapun Abdul Muzaffar Waliullah pula adalah bersaudara kandung dengan Syarif Hidayatullah atau lebih terkenal dengan gelaran Sunan Gunung Jati yang menyebarkan Islam di Jawa Barat. Melalui beliaulah berkembangnya ulama-ulama dan sultan-sultan Banten. Beliau juga adalah termasuk salah seorang dalam Wali Songo atau Wali Sembilan. Saudaranya pula ialah Sultan Babullah (Sultan Ternate). Ayah Abdul Muzaffar Waliullah, juga ayah kepada Sunan Gunung Jati dan Sultan Babullah ialah Sultan Abu Abdullah 'Umdatuddin atau Wan Abu atau Wan Bo (Bo Teri Teri) atau Maulana Israil iaitulah raja Campa tahun 1471 M. Manakala ayahnya pula ialah Saiyid Ali Nur Alam.

Terdapat Dua Kerajaan Patani

Yang dimaksudkan "terdapat dua kerajaan Patani" ialah sebuah Kerajaan Patani terletak di utara Semenanjung Tanah Melayu (sudah diketahui ramai) dan sebuah lagi yang terletak di Pulau Halmahera, Kepulauan Maluku, Indonesia. Sekiranya benar Sultan Babullah (Sultan Ternate) adalah putera Sultan Abu Abdullah 'Umdatuddin (Cam) yang asal usulnya dari Patani maka tidaklah mustahil bahawa kerabat Diraja Patani di utara Semenanjung Tanah Melayulah yang mengasaskan Kerajaan Patani di Ternate (Halmahera).

Dengan informasi di atas dapat dipastikan bahawa sejak lama ada hubungan antara Patani, Cam/Campa/Kemboja, Jawa, Ternate, dan tempat-tempat lainnya. Sehubungan dengan wujudnya dua Kerajaan Patani (di Segenting Kera dan Ternate) telah disebut mengenainya oleh Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi di dalam Pendidikan Islam di Malaysia (manuskrip) katanya, "...sebuah negeri bernama Patani di Halmahera, dalam daerah Tidore, di Timur Laut Semenanjung Halmahera berbatasan dengan daerah Maba dan Weda..." dan juga telah disebut oleh Pehin Orang Kaya Amar Diraja Dato Seri Utama(Dr.) Haji Awang Muhammad Jamil Al-Sufri di dalam bukunya Tarsilah Brunei tertulis ..." Sheikh Amin dan Sheikh Umar menyebarkan agama Islam di Halmahera Belakang, Maba, Patani dan sekitarnya...". Dengan terdapatnya informasi ini maka masih dapat diambil kira bahawa ada hubungan antara Patani (Segenting Kera) dengan Patani di (Ternate), dan dapat diterima akal bahawa melalui jalur dari Patani ke Cam sehingga melahirkan sekurang-kurangnya tiga orang bersaudara, iaitu: Abdul Muzaffar Waliyullah, Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati) dan Sultan Babullah (Sultan Ternate). Ketiga-tiganya adalah cucu Saiyid Ali Nur Alam, yang dibesarkan di Patani dan ramai keturunannya di sana. Baik salasilah Faqih Ali mahu pun salasilah Saiyid Ali nur Alam yang menurunkan tokoh-tokoh yang tersebut bercampur aduk dan membaur, masih sukar mencari titik temu secara pasti. Salasilah pila terdiri berbagai-bagai versi ada yang sama dan ada yang sangat jauh perbezaan antara satu dengan lainnya. Banyak faktor yang menyebabkan demikian di antaranya ialah kadang-kadang seorang tokoh mempunyai dua nama atau tiga nama gelar.

Keturunan Faqih Ali al-Malbari

Menurut Datuk Nik Mahmud dalam buku Ringkasan Cetera Kelantan, bahawa Faqih Ali/Andi' Ali mempunyai anak yang ramai tetapi yang dijelaskan namanya dalam salasilah ialah :

1. Wan Derahman

2. Wan Namah

3. Wan Nik (Datuk Wan)

4. Wan Siti

Salasilah versi Patani pula menyebut anak-anak Faqih Ali al-Malbari seperti berikut :

* Syeikh Shafiyuddin (Datuk Pujuk Pemerintah Patani)

* Nik Din Menteri Lagi Pahlawan Bagi Datuk Pujuk 1

* Wan Ismail Tok Kaya Pandak/Pendek

* Tok Kaya Rakna Diraja

* Wan Faqih Husein

* Wan Nguk (isteri Tok Kaya Banggul)

Salasilah versi Terengganu pula adalah sama dengan versi Patani, tetapi tiada dinyatakan dua nama iaitu Syeikh Shafiuddin dan Nik Din. Manakala Wan Nguk pula ditambah namanya juga Wan Ngah, isteri Tok Kaya Banggul, anak cucunya keturunan kepada Wan Ahmad di Perlis.

Silsilah keturunan tokoh ini jika dijabarkan keseluruhannya memerlukan keterangan yang panjang dalam sebuah buku. Oleh itu, penulis dapat nyatakan beberapa keturunan beliau yang menjadi tokoh dan ulama penting dunia Melayu, antaranya adalah:

lSyeikh Abdul Qadir al-Fathani, seorang ulama yang mendidik ramai ulama Terengganu. Salasilahnya : Syeikh Abdul Qadir al-Fatani Bukit Bayas bin Tok Wan Abdur Rahim bin Tok Wan Deraman bin Tok Wan Abu Bakar bin Wan Ismail Tok Kaya Pandak/Pendek.

lSyeikh Nik Mat Kecil al-Fathani, penyusun Matla' al-Badrain yang terkenal. Silsilahnya : Syeikh Muhammad bin Wan Ismail bin Wan Ahmad bin Wan Idris bin Haji Wan Tih, ibunya Wan Nik/Tok Wan Ti suaminya Wan Zubeid/Tok Wan Dahit, Wan Nik binti Tok Wan Abu Bakar bin Wan Ismail Tok Kaya Pandak/Pendek.

lLong Yunus. Silsilahnya : Long Yunus bin Long, Sulaiman bin Tuan Besar (Long Baha) Datuk Kelantan bin Wan Daim (Datu Pangkalan Tua) Raja Patani bin Wan Nik (Datuk Wan).

Datuk Nik Mahmud, Datuk' Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan menulis bahawa tiga anak Datuk Pangkalan Tua Raja Patani (Wan Daim) telah menghadap Raja Umar Jembal dan ketiga-tiganya berkahwin di Kelantan. Mereka adalah:

* Tuan Sulung dikahwinkan dengan Cik Biru anak Penghulu Hitam Kampung Laut.

* Tuan Besar dikahwinkan dengan Raja Pah puteri Raja Umar.

* Tuan Senik dikahwinkan dengan Cik Seku anak Penghulu Deramat Kampung Geting, menjadi Raja di negeri Bukit Jarum Legih, kotanya bernama Kota Pasir Mas.

Huraian susur galur salasilah yang dinyatakan dalam rencana ini hanya sebahagian sahaja, ini kerana keturunan beliau sangat ramai yang menjadi tokoh sama ada yang menjadi ulama mahupun menjadi sultan. Tetapi penulis tidak dapat menyenaraikan kesemuanya sekali, hanyalah sebagai pengenalan ringkas mengenainya. Sebagai penutupnya, penulis menyimpulkan bahawa sekiranya ditulis salasilah yang lengkap, boleh dikatakan kebanyakan golongan raja-raja Melayu mempunyai kaitan sebagai keturunan Faqih Ali al-Malbari, baik dari pihak sebelah lelaki mahupun dari pihak sebelah perempuan.

* Muslimin muslimat dari pertubuhan Islam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan yang ingin menghulurkan sumbangan ikhlas sama ada untuk majlis tahlil arwah, wakaf dewan pengajian atau hadiah kepada keluarga Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah yang kembali ke Rahmatullah pada 12 April lalu amatlah dialu-alukan.

Sumbangan boleh disalur menerusi Bank Muamalat atas nama Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara, No. Akaun 1406-000-2431-71-2 atau Bank Islam atas nama Khazanah Fathaniyah, No. Akaun 14023010010945. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Abdul Halim Mahmud (013-356 4496), Azrul Baharudin (016-352 0094), Kamal (013-3850361) atau pejabat 03-6189 7231

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0507&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Tuesday, 21 August 2012

Megat Sati Al-Asyi murid Syeikh Nuruddin Ar-Raniri



Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 

Tiada ditemui suatu senarai yang lengkap mengenai nama-nama murid Syeikh Nuruddin ar-Raniri, iaitu ulama terkenal yang berasal dari India yang menetap lama di Pahang dan Aceh.

Berdasarkan judul tersebut, penulis nyatakan bahawa ulama yang berasal dari Aceh ini murid kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah berpandukan karyanya yang akan dijelaskan dalam rencana ini. Dalam beberapa catatan sejarah ada menyatakan bahawa dua orang ulama Melayu yang terkenal iaitu Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati Makasar adalah antara murid Syeikh Nuruddin ar-Raniri.

Maka ulama yang akan diperkenalkan pada rencana ini adalah hidup sezaman dengan kedua-dua ulama yang berasal dari Aceh dan Bugis itu.

Walaupun Megat Sati al-Asyi mengaku sebagai seorang murid kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri, namun beliau tidak banyak membuat catatan tentang ulama yang berasal dari India itu. Bahkan dalam karyanya juga selari dengan jalan pemikiran yang bercorak sufisme dengan Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Samsuddin as-Sumatra-i.

Dalam penelitian yang penulis lakukan, ternyata memang belum ditemui sebuah karya dalam bahasa Melayu mengenai muqaranah sembahyang yang menggabungkan ajaran Mazhab Syafi‘ie dengan ajaran sufi seperti yang dilakukan oleh Megat Sati al-Asyi yang akan diperkenalkan dalam rencana ini.

Ulama ini menulis nama lengkapnya iaitu “Muhammad Ali namanya, dalam syajarah Mansur namanya. Yang masyhur Megat Sati Raja ibnu Amir Sulaiman ibnu Sa‘id Ja‘afar Sadiq ibnu Abdullah…”

Di akhir namanya, disambung pula dengan kalimat,”…diampun bahaginya dengan bagi mereka sekalian al-Asyi baladan…” Pada terjemahannya beliau menulis, “Aceh nama negerinya Par‘ani”.

Berdasarkan keterangan tersebut, dapat disimpulkan bahawa beliau adalah termasuk di kalangan orang besar atau ternama. Perkataannya “…dalam syajarah…”, bererti nama beliau juga terukir dalam sejarah, dan perkataan “syajarah” boleh diertikan dengan “susur galur keturunan yang terdapat dalam sesuatu salasilah orang baik-baik”. Oleh itu, baik dalam sejarah mahupun silsilah, nama beliau dikenali sebagai nama ‘Mansur’.

Kemudian beliau menyatakan namanya yang masyhur iaitu Megat Sati Raja ibnu Amir Sulaiman ibnu Sa’id Ja’afar Sadiq ibnu Abdullah al-Asyi. Oleh itu, namanya yang asli Muhammad Ali tidak disebut-sebut lagi kerana telah ada namanya yang masyhur.

Pendidikan

Mengenai pendidikan beliau sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini bahawa beliau adalah murid Syeikh Nuruddin ar-Raniri , beliau menulis, “Dan ia daripada tilmiz, murid Syeikh Nuruddin ibnu Ali ibnu Hasanji ibnu Muhammad Hamid, Raniri negerinya, Syafi‘ie nama mazhabnya, Bakri nama bangsanya”.

Penonjolan nama gurunya berkemungkinan disebabkan beberapa faktor, salah satu darinya berkemungkinan Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu adalah gurunya yang terakhir. Melalui gurunya itu berkemungkinan juga beliau memperoleh sebahagian besar ilmu pengetahuan yang ada padanya.

Mungkin juga untuk mengelakkan keraguan orang akan kandungan karyanya yang bercorak sufisme yang tidak bercanggah dengan pendirian Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Sedangkan beliau hidup pada zaman Sultan Iskandar Tsani yang menghendaki karya-karya sufi kedua-dua ulama terkenal itu dimusnahkan. Dengan ditampilkan nama gurunya, Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah diharap karyanya tidak menjadi korban pengharaman penguasa pada zamannya.

Tetapi menjadi persoalan penulis kerana ulama ini tidak menyebut nama guru-gurunya yang lain. Apakah sepanjang hidupnya hanya Syeikh Nuruddin ar-Raniri sahaja gurunya, sedangkan di Aceh pada zaman itu sangat ramai ulama.

Pegangan keagamaan yang dianuti oleh beliau dijelaskan melalui karyanya bahawa beliau mazhab Syafie dari segi pemahaman dan pengamalan fiqh dan Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah dari segi akidah. Pegangan mengenai tasawuf pula tidak dijelaskan oleh beliau, tetapi melalui karyanya menunjukkan bahawa beliau menggabungkan dua aliran tasauf, iaitu tasauf sunni dan tasauf falsafi.

Mengenai tarekat yang diamalkannya juga tidak jelas walaupun pada bahagian akhir karyanya membahas jenis dan metode zikir tetapi tidak menyebut nama sesuatu tarekat. Beliau hanya menamakannya dengan “zikir ahlillah” dan “zikir ahlis sufi” sahaja.

Data karya

Karya beliau yang ditemui hanya sebuah sahaja, iaitu Syarabul ‘Arifin li Ahlil Wasilin, diterjemahkan oleh beliau sendiri iaitu Minuman segala ‘Arif billah Bagi Segala Orang Yang Telah Wasil Kepada Allah.

Kitab ini diklasifikasikan kepada manuskrip nadir kerana tidak banyak diketemui, bahkan tidak diketahui di mana ianya tersimpan. Sepanjang pengalaman penulis mencari karya-karya lama sejak tahun 1958 hingga kini (Mac 2007), penulis menemui judul tersebut hanya tiga buah sahaja.

Sebuah pernah dimiliki oleh seorang teman di Kota Bharu, Kelantan (1977), sebuah manuskrip tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam yang berasal dari milik Syeikh Abdul Qadir Bin Musthafa al-Fathani (Tok Bendang Daya II). Naskhah ketiga ditemui oleh penulis sendiri di Chaiya pada awal tahun 1993, selanjutnya dijadikan bahan untuk data rencana ini.

Mukadimah karya tersebut menunjukkan satu karya sufi peringkat yang tinggi sebagaimana termaktub, iaitu, “Segala puji bagi Allah, ialah Tuhan yang mentahqiqkan dalam medan qadim. Maka tajallillah Ia bagi-Nya dengan diri-Nya kepada diri-Nya di dalam diri-Nya maka diibaratkanlah daripada-Nya sya’nun zatiyah”.

Oleh kerana ditinjau dari segi ilmu isti’arah yang menjurus syathahiyat perkataan sufi yang sangat mendalam ibaratnya, maka cukuplah sekadar itu sahaja yang penulis sanggup salin, kerana penulis tidak berani memindahkan data mukadimah selanjutnya dikhuatiri pentafsiran yang berbeza-beza dari setiap orang akan mengundang kontroversi. Perkataan syatahiyat sufi kita kembalikan kepada para ahlinya.

Setelah mukadimah, Megat Sati al-Asyi menjelaskan sebab-sebab beliau menyusun karangan, iaitu “Maka tatkala ku lihat adalah manusia amat banyak bersalahan pada bicaranya takbiratul ihram, serta muqaranah pada ilmu fiqh dan tasauf, maka tergerak pada hatiku dan terlintas pada cintaku, maka ku karang suatu risalah yang tersimpan pada menyatakan muqaranah niat takbiratul ihram pada ilmu fiqh dan tasawuf pada iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah”.

Sebelum memasuki kandungan yang menjadi pokok perbicaraannya, beliau meringkaskan pada mukadimah iaitu, “Mukadimah pada menyatakan segala ahli tasauf dan amalnya. Dan fasal yang pertama pada menyatakan muqaranah niat dengan takbiratul ihram pada istilah fiqh dan pada jalan syariat. Fasal yang kedua pada menyatakan muqaranah ahlis sufi yang ‘ariful murad pada iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah. Dan dalam kedua fasal itu enam juzuk. Tiga juzuk pada fasal yang kedua. Dan fasal yang ketiga pada menyatakan zikir segala ahlil fana’ dan ahlil mahwi dan ahlil baqa’. Dan khatimah pada menyatakan zikir segala ahlillah”.

Ulama ini memulakan perbahasan dengan mengemukakan pendapatnya bahawa orang yang belajar ilmu tasauf pada peringkat awal sebahagian besarnya menurut beliau iaitu, “nescaya jadilah gila atau jatuh kepada hulul atau ittihad atau jatuh kepada mengharuskan kepada mulhid hingga mulhid”. Lalu beliau menegaskan, “Dan bahawasanya merugilah ia dengan beberapa kerugian yang amat nyata…”

Huraian berikutnya adalah mengenai muqaranah niat yang dimulai dengan “Ketahui olehmu, bahawasanya muqaranah niat serta takbiratul ihram pada jalan syariat pada istilah segala ulama ahlil fiqh, atas tiga juzuk. Juzuk yang pertama menyatakan muqaranah ‘Urfiyah. Juzuk yang kedua, muqaranah Basthiyah. Juzuk ketiga, muqaranah Tauzi‘iyah”.

Beliau menghuraikan ketiga-tiga juzuk muqaranah niat yang tersebut menurut huraian ulama-ulama fiqh. Antaranya Imam Abdullah Muhammad ibnu Qasim dan Imam Nawawi, yang kedua-duanya merupakan ulama besar dalam lingkungan Mazhab Syafie.

Penghuraian diteruskan secara sufi, dimulai dengan kata beliau, “…muqaranah niat serta takbiratul ihram pada ulama ahlis sufi yang ‘ariful murad, dan inilah segala ehwal Nabi s.a.w dan segala ehwal khulafaur rasyidin, dan segala ehwal yang mengikut mereka itu sekalian, bagi mereka itu kebajikan hingga datang kepada hari kiamat. Dan dalamnya tiga juzuk…”.

Ketiga-tiga juzuk muqaranah niat pada istilah ulama fiqh tersebut masih tetap digunakan tetapi huraiannya menurut pandangan ulama sufi. Mengenai Muqaranah ‘Urfiyah dari kaca mata sufi dimulai dengan katanya, “Ketahui olehmu, bahawasanya muqaranah yang ‘urfiyah itu, iaitu muqaranah segala orang yang am diri pada segala ahlis sufiyah yang ‘ariful murad. Adapun ‘urfiyah Mu‘min pada segala ahlis sufiyah itu, iaitu dihudhurkannya yang menyahaja akan sembahyang itu daripada permulaan mengambil air sembahyang dan segala rukun sembahyang…”

Dibahas pula pengertian qasad’, menurut beliau, “Menyahaja akan mengerjakan sembahyang, maka yang menyahaja itu, iaitu hakikat dirinya yang pada martabat wahdatit tafsil. Maka ta‘arrudh itu, martabat ‘alam asrar. Maka ta‘aiyun itu, iaitu dirinya yang lathif yang pencar dan percik daripada abu arwah (asal sekalian roh)…” Demikianlah contoh huraiannya yang panjang mengenai bahagian muqaranah ‘Urfiyah.

Mengenai muqaranah Basthiyah menurut sufi, dimulai dengan perkataannya, “Ketahui olehmu, bahawasanya muqaranah basthiyah itu, iaitulah yang lebih tinggi daripada muqaranah yang lain pada yang pertama. Dan iaitulah muqaranah segala Nabi, dan segala Qutub, dan segala yang mengikut mereka itu”.

Huraian Muqaranah Basthiyah ini, beliau merujuk kepada Syeikh Muhyiddin Ibnu ‘Arabi. Syeikh Abu Taiyib al-Makki dan lain-lain, bahawa “niat itu rahsia daripada segala rahsia dan tempatnya pada sirrul khafi”.

Manakala Muqaranah Tauzi‘iyah menurut sufi, Megat Sati al-Asyi memulakan dengan katanya, "…maka niat yang dimuqaranahkannya itu, iaitu, “Ku sembahyang akan fardhu Zohor atau Asar”, atau barang sebagainya”. Maka sebenar-benarnya yang mengatakan “Aku” itu, iaitu yang sebenar-benar dirinya yang martabat ahadil jam‘i. Dan ta‘arrudh itu, iaitu yang sebenar-benar dirinya pada martabat wahdatit tafshil.

Megat Sati al-Asyi dengan tegas menolak muqaranah tauzi‘iyah tersebut, kata beliau, “Maka muqaranah inilah muqaranah segala Muhammadin zindik hululiyah, lagi ittihadiyah, sekali-kali tiada diterima oleh Allah sembahyangnya dan segala amalnya…”

Setelah menghuraikan perkara fana’fillah, baqa’billah dan mahwu, Megat Sati al-Asyi meneruskan perbicaraannya tentang zikir ahlillah pada segala sufi yang fana‘fillah dan baqa’billah, dimulai dengan katanya, “Ketahui olehmu bahawasanya segala zikir ahlis sufi itu dihimpunkan atas lima perkara:

Pertama : zikir lisan al-jasad

Kedua : zikir lisan al-qalbi

Ketiga : zikir lisan ar-ruh

Keempat : zikir lisan al-asrar

Kelima : zikir lisan az-zat dan lisan al-hal”.

Kelima-lima zikir tersebut juga dijelaskan dengan panjang. Setelah itu sebagai penutup, beliau membuat ringkasan dari perkara muqaranah niat menurut ilmu fiqh yang merujuk kepada beberapa kitab mazhab Syafie, di antaranya Nihayatul Muhtaj karya Syeikh Ramli.

Kitab yang tinggi nilai keilmuan sufiah ini tidak dinyatakan tahun selesai penulisannya. Oleh itu, sukar untuk penulis mengetahui tahun kehidupan beliau.

Walau bagaimanapun disebabkan beliau adalah murid kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri, maka diandaikan bahawa beliau adalah sezaman dengan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati dari Makasar.

Selain itu, salah sebuah karya Syeikh Yusuf yang ditulis dalam bahasa Arab banyak persamaan huraiannya seperti termaktub dalam Syarabul ‘Arifin karya Megat Sati al-Asyi. Masa kehidupan Syeikh Yusuf Makasar pula adalah tahun 1629M-1699M.

Selain itu, dibandingkan juga dengan Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang wafat 1693M. Perbandingan tahun-tahun hidup dan wafat kedua-dua ulama tersebut kerana mereka adalah murid Syeikh Nuruddin ar-Raniri, sedangkan Megat Sati al-Asyi juga murid ulama yang berasal dari India itu. Oleh itu, tahun kehidupan beliau diandaikan tidak jauh beza dengan kedua-dua ulama tersebut.

Mengenai murid dan keturunan beliau, tidak dapat penulis bicarakan kerana ketiadaan data yang lengkap.

Syarat mempelajari tasauf adalah banyak. Antaranya:

* Hendaklah mengerjakan ibadat yang zahir.

* Hendaklah sentiasa berzikir kepada Allah.

Kitab-kitab rujukan:

* Minhajul ‘Abidin

* ‘Ainul ‘Ilmi atau Munjiyat yang termaktub dalam Ihya’ Ulumiddin.




SUMBER:

Sunday, 19 August 2012

Syeikh Abdur Rasyid Al-Fathani - Tok keramat Pulau Bidan



 
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

 

Penulis mula mengenali tokoh yang digelar sebagai Tok Keramat Pulau Bidan ini setelah membaca buku Kanzul Mu’id karya Tuan Mufti Haji Ahmad bin Syeikh Muhammad Sa’id pada 1971.

Menurut salasilah yang dibuat oleh Haji Nik Ishak Tingkat, Kelantan pada 1976 ada mencatatkan nama Syeikh Abdur Rahman sebagai saudara kandung Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang suka mengembara sehingga tidak diketahui di mana letaknya kubur beliau.

Oleh kerana itu dalam buku karangan penulis berjudul Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara (Hizbi, 1990, hlm :14), penulis menyatakan “Berkemungkinan Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani adik Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani inilah yang disebut Tok Keramat Pulau Bidan.” Perkataan "Berkemungkinan" di awal kalimat adalah menunjukkan sesuatu yang belum pasti dalam pengkajian penulis.

Namun akhirnya penulis menemui kesahihan setelah menziarahi beberapa pusat pengajian pondok di Patani pada Mei 1991. Pusat pengajian pondok yang mempunyai kaitan dengan tokoh ulama kali ini terletak di kampung bernama Cenak, Wilayah Songkla, Thailand.

Di pondok pengajian tersebut juga tempat pertama Syeikh Zainal Abidin al-Fathani/Tuan Minal bin Muhammad al-Fathani belajar pelbagai ilmu keislaman sehingga beliau menjadi seorang ulama besar yang amat terkenal di Asia Tenggara.

Hasil perbualan dengan salah seorang keturunan pengasas pondok pengajian tersebut, barulah penulis mengetahui bahawa pondok yang penulis kunjungi itu adalah diasaskan oleh Syeikh Abdur Rasyid Pulau Bidan.

Maka terjawablah keraguan mengenai data lengkap biografinya yang penulis cari sejak tahun 1971 itu.

Pengenalan sahsiah Syeikh Abdur Rasyid

Riwayat hidup mengenai ulama di Cenak ini adalah berdasarkan cerita lisan daripada beberapa keturunan beliau yang penulis temu bual. Ayah beliau bernama Cik Din berasal dari Kampung Temperak, Cenak dalam Wilayah Senggora (Songkhla).

Ditakdirkan Allah pada suatu hari Abdur Rasyid hilang di tempat ia bermain-main. Sehingga ahli keluarga menyangka beliau telah dimakan oleh harimau. Oleh itu setelah berpuluh-puluh tahun lamanya, ahli keluarga menyangka beliau telah pasti meninggal dunia.

Setelah sekian lama, pada suatu hari ketika ibunya yang tua menjemur padi, tiba-tiba dikejutkan oleh seorang pemuda yang datang mengusiknya.

Lalu dimarahi oleh ibunya kerana beliau tidak kenal bahawa pemuda itu adalah anaknya yang telah hilang sekian lama.

Setelah dikerumuni orang yang datang, barulah pemuda itu mengaku bahawa beliau adalah Abdur Rasyid anak kepada perempuan tua yang diusiknya itu.

Beliau menceritakan riwayatnya yang hilang sewaktu umurnya belum sampai enam tahun. Beliau menceritakan bahawa pada mulanya beliau pergi belajar pondok di Patani dan seterusnya menyambung pondok di Kedah dan diteruskan di Pulau Pinang.

Pengembaraan dari Patani ke Kedah hanya dengan berjalan kaki, manakala ke Pulau Pinang pula dengan menumpang sampan kecil tanpa membawa wang walau sedikit. Hanya sehelai sepinggang yang ada pada dirinya.

Setelah ilmu yang dipelajari di Patani, Kedah dan Pulau Pinang sudah memadai, beliau meneruskan mencari ilmu ke Mekah dan seterusnya mengembara ke Baitul Maqdis. Beliau sempat mendalami pengetahuannya di Mekah tetapi tidak diceritakan bahawa beliau mengajar di Mekah, tetapi diceritakan beliau mengajar di Masjid Baitul Maqdis dan di kediamannya.

Bertahun-tahun beliau mengajar, tidak pernah terlintas untuk pulang ke kampung halamannya. Sehingga pada suatu malam ketika beliau mengajar, dilihatnya seekor kucing mengiau-ngiau.

Tidak lama kemudian beliau melihat kucing itu menggonggong anaknya. Lalu beliau menutup kitab yang sedang diajar dan termenung di hadapan murid-muridnya yang juga menjadi hairan dengan kelakuan beliau.

Lalu beliau berkata, “Sedangkan kucing atau pun binatang lainnya teringat dengan anaknya. Aku sendiri sebagai seorang manusia mulai saat ini baru terkenang dengan sanak saudaraku yang menjadi tanggungjawabku. Aku mesti kembali ke tempat asalku.”

Dipendekkan kisahnya, beliau kembali ke Cenak dengan membawa banyak kitab dengan gambaran diangkut oleh tiga ekor gajah. Bahkan terdapat kitab-kitab yang dibawanya masih tersimpan di pondok tersebut.

Tulisan mutawal tentang beliau yang ditulis oleh Haji Ahmad bin Syeikh Muhammad Said dalam Kanzul Mu'id, menurut beliau, “Al ‘Allamah al-Kabir al-Fahamah Shahib….asy-Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani yang dikubur akan dia di Pulau Bidan. Dan kuburnya di sana dikenal akan dia lagi masyhur menziarah kepadanya oleh manusia….”

Mengenai kekeramatan beliau, menurut Mufti Haji Ahmad dalam kitabnya, “Baginya beberapa karamah, yang adalah yang terlebih besar daripadanya bahawa menghimpunkan ia sekalian kitabnya pada setengah daripada peperangan yang terjadi di dalam negerinya.

Dan meletak ia akan dia pada tepi sungai pada suatu tempat yang tiadalah di antaranya dan antara langit dinding. Dan pergilah ia kepada satu negeri….Kemudian kembali ia kepada negerinya, maka mendapat ia akan sekalian kitabnya seperti barang yang ada ia, tiada berubah dan binasa ia….”

Masih banyak karamah yang diceritakan dalam kitab tersebut yang tidak dapat penulis senaraikan kesemuanya.

Oleh kerana riwayatnya telah jelas dinyatakan dalam kitab Kanzul Mu’id tersebut, maka Syeikh Abdur Rasyid Tok Keramat Pulau Bidan bukan saudara kandung Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang suka mengembara sehingga sampai kini belum ditemui riwayatnya.

Dari catatan Tok Kelaba al-Fathani dapat diketahui beberapa orang sahabat Syeikh Abdur Rasyid iaitu, Haji Abdus Shamad Kelaba, Imam Abdul Manaf, Haji Abdul Majid Setang, Haji Abdul Majid Langgar Jambu, Tuan Pulau Canang Kelantan dan Tuan Abdur Rasyid Cenak (Pulau Bidan).

Mengenai pemikiran beliau pula, terdapat satu catatan Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, iaitu murid Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, catatan itu berupa taqrir beliau mengenai pembahagian pusaka menurut Islam dan manuskripnya masih dalam simpanan penulis.

Sebuah lagi karya yang diketahui ialah mengenai fikah yang diselesaikan di Kelantan tahun 1263H/1846M yang disimpan naskhahnya di Muzium Budaya Melaka.

Keturunan yang menjadi ulama dan tokoh masyarakat

Sebagaimana yang dinyatakan bahawa sekembalinya Syeikh Abdur Rasyid dari Baitul Maqdis, beliau bersama besannya Haji Abdul Jalil dan Haji Muhammad Shalih membuka sistem pengajian pondok di Cenak. Sehingga sekian lama pondok pengajian yang diasaskan beliau masih diteruskan oleh keturunan beliau.

Setelah berkahwin dengan Fathimah, Syeikh Abdur Rasyid memperoleh empat orang anak.

Ketiga-tiga menantu beliau merupakan murid-murid beliau yang menjadi ulama. Oleh itu, setelah beliau meninggal dunia, pondok pengajian tersebut diganti oleh menantunya yang bernama Haji Hasan bin Haji Abdul Jalil, iaitu suami anak perempuan beliau iaitu Hajah Aisyah.

Apabila Haji Hasan meninggal dunia, diganti pula oleh Abdullah yang berasal dari Bangkok. Sesudahnya diganti oleh Haji Awang dan seterusnya diganti oleh Haji Abdul Syukur bin Syeikh Abdur Rasyid.

Sewaktu penulis menemu bual keturunan Syeikh Abdur Rasyid, beliau hanya mempunyai empat anak perempuan seperti yang dinyatakan.

Penulis turut menemui nama Haji Abduys Syukur dalam beberapa kitab bahawa beliau adalah anak Syeikh Abdur Rasyid.

Perkahwinan anak perempuan Syeikh Abdur Rasyid yang bernama Cik Wi dengan Haji Muhammad Shalih telah memperoleh anak yang bernama Haji Muhammad Nur. Beliau adalah seorang ulama yang sangat besar pengaruhnya di seluruh Wilayah Senggora (Songkhla) pada zamannya.

Beliau meninggalkan beberapa buah karya yang berupa risalah-risalah di antaranya Risalah Usuluddin yang diselesaikan pada 15 Rejab 1373 H (1953 M).

Risalah kecil tersebut dicetak pada cetakan kedua tahun 1381 H (1961 M). Di akhir karyanya itu, beliau memberi nasihat dengan sepuluh perkara, iaitu:

1. Jangan tuan-tuan cerca kepada seorang yang tuan lihat ada pada tuan sendiri.

2. Jangan tuan sesal akan suatu kebajikan yang tuan telah perbuat tetapi hendaklah tuan sesal atas kejahatan yang telah tuan kerjakan.

3. Jangan tuan marah jikalau dikata orang, “tuan bodoh”, apabila tuan membuatkan seperti perbuatan orang yang bodoh.

4. Jangan tuan nanti bantuan orang lain melainkan terlebih dahulu tuan bantu diri tuan sendiri.

5. Jangan tuan bersahabat dengan seseorang sebelum tuan tahu bagaimana ia berlaku dengan sahabat-sahabatnya yang dahulu.

6. Jangan segera tuan kata susah sesuatu pekerjaan sebelum tuan cuba lagi.

7. Jangan tuan takut akan perkataan tuan yang sebenar tetapi hendaklah tuan takut akan perkataan tuan yang salah.

8. Jangan tuan jaga diri orang lain sebelum tuan tahu bagaimana hendak menjaga diri tuan sendiri.

9. Jangan tuan rosakkan sesuatu benda itu apabila tiada boleh membaikinya.

10. Jangan tuan mengumpat-ngumpat atau mencacat-cacat suatu pakatan terlebih dahulu tuan mengesahkan terlebih banyaklah faedah daripada mudarat.

Nasihat atau wasiat Haji Muhammad Nur iaitu cucu Syeikh Abdur Rasyid telah disalin oleh anak beliau iaitu Tuan guru Haji Husein bin Haji Muhammad Nur, yang dimuat dalam risalah kecilnya yang berjudul Hidangan Hikmah.

Risalah tersebut dicetak dengan huruf Melayu/Jawi dan di bahagian bawahnya juga digantungkan dengan huruf Thai. Haji Husein bin Haji Muhammad Nur pula adalah seorang tokoh ulama Senggora.

Selain itu, cucu Syeikh Abdur Rasyid ini juga meninggalkan ramai anak murid yang menjadi ulama. Antaranya Tuan Guru Muhammad Encik muda, penyusun Risalah Maju’is Shaghir.

Mufti Haji Ahmad menulis tentang Hajah Wan Shafiyah iaitu salah seorang anak perempuan Syeikh Abdur Rasyid. Menurutnya, dalam kitab Kanzul Mu’id ,”…al-Hajah Shafiyah daripada anak negeri Patani dan ia seorang perempuan yang terlebih elok bacaan pada al-Quran. Lagi mengajar baginya dibilang akan dia daripada yang lebih-lebih perempuan-perempuan masanya….”

Sebagaimana yang diketahui, Hajah Shafiyah berkahwin dengan ulama bernama Syeikh Jamaluddin Linggi dan memperoleh anak yang iaitu Syeikh Muhammad Said, iaitu seorang ulama besar yang diakui masyarakat pada zamannya. Beliau pula memperoleh beberapa orang anak dan cucu yang menjadi ulama.

Antara anak-anak Syeikh Muhammad Said yang menjadi ulama ialah Haji Abdullah, Haji Ahmad Mufti Negeri Sembilan dan Tuan Guru Haji Mansur iaitu salah seorang saudaranya yang sempat penulis kenali pada tahun 1977 dan meninggal dunia tahun 1981.

Tuan Guru Haji Mansur sangat mengagumi Syeikh Ahmad al-Fathani, sehingga matan Ar-Risalatul Fathaniyah/Nahu, Abniyatul Asma’ wal Af’al/Sharaf dan Syair Syeikh Ahmad al-Fathani di akhir kitab I’anatut Thalibin dibaca olehnya di hadapan penulis secara menghafal.

Penulis juga sempat menemu bual saudaranya Haji Muhammad Nur dalam tahun yang sama iaitu pada 1971. Pada 1988, penulis menemu bual seorang lagi saudaranya iaitu Haji Abdul Hamid dan daripada beliau penulis memperoleh sepotong Syair Syeikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Arab yang terkumpul dalam sebuah buku Syeikh Muhammad Said tersebut.

Dalam tahun 1411 H/1991 M, Pondok Cenak peninggalan Syeikh Abdur Rasyid Pulau Bidan masih diteruskan. Ia dipimpin oleh Tuan Guru Haji Ismail bin Haji Abduys Syukur dan sekali gus menggantikan saudara kandungnya iaitu Haji Abdullah.

Beliau diberi nama Ismail kerana mengambil berkat kealiman Syeikh Ismail (Pak De El, Mekah) dan Haji Abduys Syukur juga adalah sezaman dengan ulama tersebut iaitu, Syeikh Ismail bin Abdul Qadir al-Fathani.

Tuan Guru Haji Ismail adalah kelulusan sarjana muda sastera Universiti Madinah yang pertama bersama sahabat beliau iaitu, Haji Yahya al-Lathifi yang merupakan ulama Thailand yang terkenal. Haji Yahya juga adalah sepupu Pak De El dan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Tuan Guru Haji Ismail meneruskan pengajian pondok tersebut dengan dibantu oleh anak-anaknya.

Kesimpulan

Menurut penelitian penulis, sejarah hidup mengenai tokoh yang dikatakan Tok Keramat Pulau Bidan ini cukup jelas. Selain sebagai seorang ulama besar, beliau juga menurunkan ulama-ulama besar yang terkenal selepasnya.

Bahkan institusi pengajian pondok yang dibinanya dapat diteruskan hasil kesinambungan daripada keturunan beliau. Oleh itu, penyelidikan sejarah mengenai beliau dan keturunannya perlu dijalankan dengan teliti kerana jasa yang amat besar kepada masyarakat.



SUMBER:

Saturday, 18 August 2012

Syeikh Abdullah Al-Qumairi ulama dan pencipta nama Kedah Darul Aman


 
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

 

ADA yang berpendapat bahawa tokoh penyebar Islam di Aceh yang juga penyusun kitab Bahr Al-Lahut iaitu Syeikh Abdullah Arif adalah sahabat kepada tokoh ulama yang diperkenalkan pada kali ini.

Namun ada pula berpendapat bahawa kedua-dua Syeikh Abdullah ini adalah orang yang sama.

Syeikh Abdullah Arif di Aceh dikatakan berada di Aceh sekitar tahun 560H/1165M-1177M, sedangkan Syeikh Abdullah al-Qumairi ini atau nama lengkapnya Tuan Syeikh Abdullah bin Tuan Syeikh Ahmad bin Tuan Syeikh Ja’far Qumairi berasal dari Syahir Yemen dan tiba di Kedah tahun 531 H.

Kisah lengkap Syeikh Abdullah al-Qumairi yang lengkap diriwayatkan oleh Muhammad Hassan bin Muhammad Arsyad dalam al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Ia ditransliterasi dari tulisan Melayu/Jawi kepada Latin/Rumi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1968.

Menurut Buyong Adil dalam Sejarah Kedah (Terbitan DBP, 1980), kedatangan Syeikh Abdullah ke Kedah tahun 531H itu bersamaan dengan tahun 1136M. Menurut Bahayuddin Haji Yahaya dalam Naskhah Jawi, tahun 531H itu bersamaan dengan tahun 1137M.

Diriwayatkan bahawa Syeikh Abdullah al-Qumairi adalah seorang ulama yang berasal dari Yaman dan datang bersama-sama dengan 11 orang sahabatnya.

Dalam buku Sejarah Kedah Sepintas Lalu (Diterbitkan oleh Jawatankuasa Penerbitan Universiti Utara Malaysia, cetakan pertama 1987 hlm 10) oleh Haji Ibrahim Ismail, disebutkan dalam Hikayat Merong Maha Wangsa bahawa Syeikh Abdullah al-Yamani (berkemungkinan maksudnya Syeikh Abdullah al-Qumairi al-Yamani) adalah murid kepada Syeikh Abdullah di Baghdad.

Jika disemak dengan teliti kandungan buku tersebut, penulis menyimpulkan Islam datang ke Kedah jauh lebih awal daripada kedatangan Syeikh Abdullah al-Qumairi.

Ini kerana dinyatakan dalam buku tersebut bahawa sesudah merdeka ditemui sebuah nisan di Langgar, Kedah yang berinskripsikan nama Syeikh Abdul Qadir ibnu Husein Syah Alirah/Alam dan tarikhnya 291H bersamaan 903M. Haji Ibrahim Ismail memetik dari kertas kerja berjudul ‘Sejarah Kedah Dalam Kebangkitan Islam’ (1982) oleh Ismail bin Haji Salleh.

Selain itu, ia juga disebut oleh Abdullah Abbas Nasution dalam Islam 14 Abad dan manuskripnya diserahkan kepada penulis. Lihat juga Pengiran Haji Muhammad bin Pengiran Haji Abd. Rahman dalam Islam di Brunei Darussalam, cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, cetakan pertama, 1992, halaman 30.

Mendahului

Melihat kepada perbandingan tahun kedatangan di antara kedua-dua tokoh ini iaitu Syeikh Abdullah Arif di Aceh (560H/1165M) dengan Syeikh Abdullah al-Qumairi berserta 11 orang sahabatnya di Kedah, ini bermakna Syeikh Abdullah al-Qumairi di Kedah mendahului kedatangan Syeikh Abdullah Arif di Aceh lebih kurang 29 tahun.

Namun apabila dibandingkan pula dengan tarikh batu nisan Syeikh Abdul Qadir ibnu Husein Syah Alirah di Langgar, Kedah pada tahun 291H/903M dengan tulisan M. Junus Djamil yang menyebut bahawa kerajaan Islam telah lahir di Perlak tahun 225H/840M, yang dilihat perbezaannya adalah lebih kurang 66 tahun.

Oleh itu, apabila dilihat tahun-tahun tersebut perbezaannya tidak jauh. Walaupun dinyatakan oleh Haji Ibrahim Ismail bahawa kerajaan itu lebih kurang 300 tahun lebih awal dari kewujudan Kedah (Lihat Sejarah Kedah Sepintas Lalu, halaman 18).

Menurut buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan dipetik oleh Buyong Adil bahawa Syeikh Abdullah al-Qumairi dan 11 orang sahabatnya telah berhasil mengislamkan Raja Kedah yang kesembilan, iaitu Maharaja Derbar/Durbar Raja II yang ketika itu berkedudukan di Istana Bukit Meriam.

Namun, dalam Hikayat Merong Maha Wangsa, bukan raja yang kesembilan, tetapi adalah raja yang ketujuh. Nama raja juga berbeza, raja Kedah menurut hikayat tersebut bernama Phra Ong Maha Wangsa.

Nama baginda raja itu juga ditukar oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi dari Maharaja Derbar/Durbar Raja II @ Phra Ong Maha Wangsa menjadi Sultan Muzaffar Syah I(mangkat pada 13 safar 575 Hijrah / 1179 M). Negeri Kedah pula diberi nama Kedah Darul Aman.

Pada hari pengislaman raja Kedah itu turut diislamkan pembesar-pembesar istana. Ini bererti dilakukan pengislaman secara massal.

Pengislaman terhadap rakyat pula diatur strategi bersama-sama di antara Syeikh Abdullah al-Qumairi berserta 11 orang sahabatnya, bahkan disertai Sultan Muzaffar Syah I sendiri. Dalam waktu yang singkat dan cepat, hasil kerjasama yang padu dan sepakat antara ulama (Syeikh Abdullah al-Qumairi) dengan umara (Sultan Muzaffar Syah I) tersebut, maka rakyat Melayu yang asal dalam kerajaan Kedah Darul Aman serta merta memeluk Islam kesemuanya.

Ini membuktikan kejayaan dakwah dan pendidikan Islam yang dijalankan oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi yang benar-benar ikhlas dan bertanggungjawab.

Oleh itu, secara langsung Syeikh Abdullah al-Qumairi adalah sebagai guru kepada Sultan Muzaffar Syah I, malah guru bagi pihak keluarga istana Sultan Kedah Darul Aman. Oleh kerana sangat kasih dan hormat Sultan Muzaffar Syah I kepada Syeikh Abdullah al-Qumairi, baginda melantik ulama tersebut sebagai orang tua dan penasihatnya.

Untuk mengembangkan lagi dakwahnya, Syeikh Abdullah al-Qumairi menyarankan supaya dibina sebuah menara sebagai tanda kebesaran Islam di puncak Gunung Jerai. Menara tersebut dijadikan sebagai tempat azan, untuk menyeru orang sembahyang. Maka, Sultan Muzaffar Syah I memerintahkan supaya dilaksanakan saranan ulama tersebut.

 

Wasiat

Setelah binaan menara tersebut hampir siap, Syeikh Abdullah al-Qumairi jatuh sakit dan ditakdirkan meninggal dunia beberapa hari selepas itu. Sebelum wafat, beliau sempat meninggalkan wasiat agar jenazahnya dikebumikan di tanah yang rata berdekatan dengan menara yang hampir siap itu. Sekitar kubur beliau itu dinamakan orang dengan Padang Tok Syeikh.

Tuan Guru Haji Mahmud Nasri bin Utsman (tokoh yang menghidupkan Silat Abjad), pernah bercerita kepada murid-muridnya bahawa seorang wali Allah yang sangat terkenal iaitu Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi beberapa kali. Beliau juga pernah sembahyang di tempat tanah lapang di Gunung Jerai itu.

Kisah mengenai Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi itu dapat diterima akal kerana wali Allah tersebut wafat dalam tahun 561H/166M sedangkan Syeikh Abdullah al-Qumairi wafat dalam sekitar tidak berapa lama setelah kedatangannya di Kedah itu (531H/1136M atau 1137M).

Mengenai Syeikh Abdullah Al-Qumairi

* Datang ke Kedah pada tahun 1136 atau 1137.

* Berasal dari Yemen.

* Mengislamkan maharaja Derbar/Durbar II di Istana Bukit Meriam.

* Menukar nama Raja kepada Sultan Muzaffar Shah I.

* Guru Sultan Muzaffar Syah I.

* Memberi nama Kedah Darul Aman.

* Mengarahkan dibina menara kebesaran Islam untuk azan di Gunung Jerai.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0528&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Friday, 17 August 2012

Malikush Shaleh penyelamat kerajaan Islam Samudera Pasai


Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 

RAMAI pengkaji sejarah menulis bahawa kerajaan Islam yang pertama di Nusantara atau Alam Melayu ialah Samudera Pasai yang didirikan oleh Malikush Shaleh. Sebelum bernama Malikush Shaleh dalam Hikayat Raja-Raja Pasai, beliau juga bernama Merah Sile. Dalam versi yang lain pula bernama Merah Selu. Ayahnya pula bernama Merah Gajah.

Menurut penyelidikan terdahulu berdasarkan Hikayat Raja-Raja Pasai, Merah Gajah dikatakan penganut agama Hindu. Tetapi dalam penyelidikan yang terbaru, bahawa ayah Malikush Shaleh / Merah Selu adalah penganut agama Islam yang berasal dari Perlak. Hal ini dapat dibuktikan melalui keturunan-keturunan yang diketahui dan akan dibicarakan dalam artikel ini.

Nama ayah beliau ialah Makhdum Malik Abdullah (Meurah Seulangan / Seurah Jaga) anak Makhdum Malik Ibrahim (Meurah Silo) anak Makhdum Malik Mesir (Meurah Mersa / Toe Me rsa) anak Makhdum Malik Ishaq (Meurah Ishaq) anak Sultan Makhdum Malik Ibrahim Syah Johan Serdaulat, Sultan Kerajaan Perlak yang memerintah pada tahun 365H/976M - 402H/1012M.

Berdasarkan tahun tersebut, ini membuktikan bahawa Kerajaan Perlak jauh lebih awal berdirinya dari kerajaan Islam Samudera Pasai.

Menurut penyelidikan terdahulu, Malikush Shaleh adalah nama setelah beliau memeluk agama Islam yang diberi oleh seorang ulama yang datang dari Mekah bernama Syeikh Ismail.

Mengenainya yang ditulis dalam hikayat, “Sebermula maka bermimpi Merah Selu, dilihatnya dalam mimpinya itu ada seorang orang menopang dagunya dengan segala jarinya, demikian katanya, “Hai Merah Selu, ujar oleh mu dua kalimah syahadah!”.

Maka sahut Merah Selu, “Tiada hamba tahu mengucap akan dia”. Maka ujarnya, “Bukakan mulutmu!”. Maka dibukanya mulut Merah Selu, maka diludahinya mulut Merah Selu itu. Maka ujarnya akan merah Selu, “Hai Merah Selu engkaulah Sultan Malikush Shaleh namamu, sekarang Islamlah engkau dengan mengucapkan dua kalimah itu. Sejak itulah dia menjadi sultan sebuah kerajaan Islam yang bernama Samudera Pasai”.

Walaupun namanya telah banyak disebut dalam beberapa hikayat, namun riwayat hidupnya secara terperinci masih belum jelas. Tarikh dan tempat kelahirannya juga belum diketahui secara pasti. Ada pun wafatnya diketahui kerana tercatat pada batu nisan kuburnya di Pasai.

Dicatatkan bahawa beliau mangkat pada bulan Ramadan tahun 696H kira-kira bersamaan dengan tahun 1297M.

Mengenai pendidikannya, penulis telah menemui salasilah pertalian daripada guru ke murid dalam sebuah manuskrip yang berjudul Najmul Huda karangan Muhammad Yusuf bin Abdul Karim Hindi.

Manuskrip tersebut, penulis memperolehinya di Kemaman, Terengganu pada Julai 1998 yang sebelumnya dimiliki oleh Syeikh Ahmad bin Syeikh Abdullah. Kandungan keseluruhan manuskrip ialah mengenai akidah dan tasawuf. Dalam manuskrip tersebut, dinyatakan bahawa Sultan Malikush Shaleh menerima ilmu daripada Hamad Akhbar. Pertalian daripada Hamad Akhbar berasal daripada Syeikh Syibli, berketurunan daripada Yunus ibnu Malik hingga sampai kepada Saiyidina Ali. Pada halaman yang sama, disebutkan pula bahawa penurunan ilmu daripada Sultan Malikush Shaleh kepada Sultan Ismail, turun kepada Zainal Abidin, turun kepada Sidi Ali, dan masih berhubung terus sehingga kini.

Setelah diteliti, terdapat banyak perbezaan di antara penyelidikan terdahulu dengan terkini mengenai Malikush Shaleh. Penyelidikan terdahulu mendapati bahawa kerajaan Islam yang pertama di Nusantara ialah kerajaan Samudera Pasai. Golongan Orientalis yang menguatkan pendapat ini di antaranya ialah Snouck Hurgronje, J. P. Moquette, J. L. Moens, J. Hushoff Poll, G. P. Rouffaer, H. K. J. Cowan dan lain-lain.

Tetapi penyelidikan terkini pula menemui maklumat bahawa kerajaan Islam yang tertua di Nusantara ialah Kerajaan Perlak. Pendapat ini adalah berdasarkan kajian Tengku M. Junus Jamil, Kampung Alui Banda Aceh, berdasarkan dua buah manuskrip yang dimilikinya iaitu; Idah al-Haqq fi Malakat Peurelak karya Abu Ishaq Makarani dan Tawarikh Raja-Raja Pasai. Menurut sumber ini, kerajaan Samudera Pasai sudah terbina pada tahun 443H/1042M.

Kerajaan yang dikuasai oleh Dinasti Meurah Khair ini terus berjalan sehingga tahun 607H/1210M. Pada tahun tersebut, baginda Raja meninggal dunia dan tidak meninggalkan putra. Setelah itu, negeri Samudera Pasai menjadi rebutan pembesar-pembesar istana. Ini menyebabkan keadaan politik menjadi tidak stabil dan berlarutan sehingga hampir lebih kurang lima puluh tahun.

Setelah naiknya Merah Selu, yang kemudian bergelar Malikush Shaleh, keadaan politik berubah menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Oleh itu, dengan berdasarkan sumber penyelidikan yang kedua ini, bererti Malikush Shaleh adalah sebagai penyelamat kerajaan Islam Samudera Pasai tetapi bukan sebagai pendiri kerajaan tersebut sebagaimana dinyatakan dalam sejarah yang terdahulu.

Setelah Sultan Malikush Shaleh mangkat pada Ramadan 696H/1297M, beliau diganti oleh puteranya bernama Sultan Muhammad Malik Zahir pada tahun 1297M - 1326M.

Mengenai Sultan Malikush Shaleh

*Mendirikan negeri Samudera Pasai

*Beliau juga dikenali dengan nama Merah Sile atau dalam versi lain bernama Merah Selu.

*Malikush Shaleh adalah nama setelah beliau memeluk agama Islam yang diberi oleh seorang ulama yang datang dari Mekah bernama Syeikh Ismail.

*Menerima ilmu daripada Hamad Akhbar.

*Malikush Shaleh adalah sebagai penyelamat kerajaan Islam Samudera Pasai.

*Ayahnya bernama Merah Gajah (berdasarkan Hikayat Raja-Raja Pasai).

*Mangkat pada Ramadhan 696H/1297M

*Pemerintahannya diganti oleh puteranya, Sultan Muhammad Malik Zahir

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0604&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive