Thursday, 5 July 2012

Puisi pujian, penghargaan kepada Sultan Terengganu


Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 

PUISI pujian dan pengharapan kepada Sultan Terengganu terdiri daripada 33 bait dalam bahasa Arab, ditujukan kepada Sultan Terengganu, iaitu Sultan Zainal Abidin III. Sultan tersebut termasuk salah seorang murid Sheikh Ahmad Al-Fathani. Sesuatu permasalahan yang tidak dapat diselesaikan oleh Sultan Zainal Abidin III akan sentiasa dirujuk kepada Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah, sama ada dengan mengirim surat atau mengirim utusan yang khas.

Sewaktu Sheikh Ahmad al-Fathani datang ke Kota Bharu, Kelantan, Sultan Zainal Abidin III berserta beberapa pembesar Terengganu datang menjemput beliau supaya sudi mengunjungi Kuala Terengganu. Oleh itu, ada pendapat yang mengatakan bahawa puisi tersebut adalah ucapan Sheikh Ahmad al-Fathani sewaktu beliau berkunjung ke Terengganu. Pendapat yang lain menyebut bahawa diucapkannya sewaktu Sultan Zainal Abidin III datang ke Mekah, ketika Sultan Terengganu itu bertemu dengan Syarif Mekah. Berikut adalah terjemahan puisi pujian dan pengharapan kepada Sultan Terengganu, iaitu:

1. Taman harapan, dibasahi oleh embun pertolongan,

Lalu ia bertambah segar, bersih dan berseri-seri

2. Embun penyegar datang

membasahi seluruh permukaan taman,

Maka jangan kau heran !

Embun penyegar memang berpasangan dengan taman harapan

3. Diiringi dengan tiupan

angin lembut datang membelai

syahdu meng'asyiqkan

Tiada tara, luar dugaan

4. Lalu ia mengorak dan memekarkan

bunga-bungaan harum mewangi

Indah, tiada bandingan

5. Dahan berayun

dan daun pun melambai

kegirangan

Burung berkicau

kegembiraan

6. Diiringi oleh pujian

dengan pelbagai lagu dan nada

tanda kesyukuran kepada Allah

Pemberi nikmat, pemberi bahagia

7. Bagaikan mentari, penuh megah

Bagaikan bulan, penuh sinaran damai,

cahaya suci

harapan jiwa, penawar hati

8. Bagaikan laut, pemurah tiada tepi

Bagaikan hujan, penolong tiada beza

Memberi sebelum diminta.

9. Pengasih kepada rakyat

Jasa ditabur tiada putus

10. Hiasan negeri

Kebanggaan rakyat

Tempat tumpahan hati

Nurani rakyat

11. Itulah Sultan Terengganu

Raja yang berani, bermaruah

dan bertuah

12. Raja yang agung lagi bijaksana

Pandai mentadbir

Banyak berilmu

Petunjuk jalan bahagia

13. Kemuncak usahanya ialah

menggali ilmu, menyelami ma'rifah

menunjukkan jalan hidayah

14. Dunia Melayu belum pernah menzhahirkan

Raja agung seperti baginda

Raja memiliki akhlak yang mulia

15. Baginda ialah cermin agama

wadah amanah

neraca keadilan

Maka jangan engkau ragukan

16. Jauh berbeza daripada raja-raja yang lain

di segi akhlak, pangkat,

kemuliaan dan keturunan

17. Baginda, di kalangan raja-raja Melayu,

laksana bulan

apabila ia timbul mengambang

maka hilanglah segala cahaya bintang

18. Baginda adalah orang yang mulia,

bahkan kemuliaan itu warisan daripada

datuk neneknya

keturunan mulia

dari dahulu sampai sekarang

19. Memang raja putera raja

Keturunan yang mempunyai rantai kemuliaan

yang tak pernah putusnya

20. Keturunan Saiyidina 'Ali

Saiyid anak Saiyid

Keturunan yang tak menzhahirkan,

kecuali hanya kemuliaan

21. Himmahnya yang tinggi,

melebihi penghuni maya persada ini

bahkan lebih tinggi,

daripada bintang Suraya dan Farqad

22. Aku berharap,

semoga bangsa Melayu dapat maju dengan pimpinannya

Dan dapat mencapai kemuncak peradaban

dan kesejahteraannya.

23. Aku berharap,

semoga baginda berkenan menyebarkan ilmu,

ma'rifah dan petunjuk

Lalu baginda menjadi kebanggaan

dan rakyat mendapat kejayaan

24. Dan yang lebih besar lagi, aku berharap,

semoga baginda berkenan menyuruh 'ulama',

dan cendekiawan yang memahami petunjuk

 

25. Agar mereka dapat membukukan bahasa Melayu

Kerana aku bimbang ia akan hilang,

atau dirusak oleh perubahan

yang berlaku dari masa ke masa

26. Begitu pula hendaklah mereka itu mengarang se-jarah Melayu,

yang meliputi segala perihal orang Melayu

Kalau tidak, mereka nanti akan hilang, dalam lipatan sejarah

27. Ayuhai segala cerdik pandai !

Hidupkan sejarah bangsamu !

Dengan itu, kamu akan disebut dalam sejarah

dan namamu akan harum sepanjang masa

28. Dalam menulis sejarah

hendaklah ambil perhatian !

Tampilkan kebaikan raja-raja Melayu,

sebutan baik dikekalkan

29. Dengan itu, kamu akan jadi gembira

dan bernilai di mata lain bangsa

Kerana kamu telah dipimpin oleh raja yang bijak, berilmu, dan berwibawa

30. Inilah Qashidah atau Syair

yang dipersembahkan ke pangkuannya

Baginda, laksana Ka'bah,

sangat beruntung orang yang datang ke sisinya

31. Qashidah ini datang berharap,

supaya ia berkenan di hati baginda sultan

walau ia lemah dan taqshir

32. Ia bersembah dengan doanya,

"Semoga Allah memelihara baginda

dan mengekalkan kebahagiaan baginya"

33. Kemudian, maka ditutup syair ini dengan

Shalawat dan Salam yang diaturkan

untuk junjungan tercinta dan untuk keluarganya

selama taman harapan

masih dibasahi oleh embun pertolongan

Syarah Puisi

Hubungan antara Sheikh Ahmad al-Fathani dengan Sultan Zainal Abidin III memang erat, ini dapat dibuktikan dengan beberapa pucuk surat yang ada hubungkaitnya dengan puisi yang tersebut. Puisi yang dibicarakan ini jika kita teliti dapat kita bahagikan kepada beberapa kelompok, iaitu:

i. Merupakan mukadimah, iaitu mulai bait yang pertama hingga bait yang ke-10.

ii. Merupakan pujian khusus untuk Sultan Terengganu, pada bait yang ke-11 hingga bait ke-21.

iii. Merupakan pengharapan Sheikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu untuk umat Islam dan Melayu pada bait yang ke-22 hingga bait yang ke-26.

iv. Merupakan pengharapan kepada cendekiawan, pada bait yang ke-27 hingga bait yang ke-29.

v. Merupakan penutup puisi, pada bait yang ke-30 hingga bait yang ke-33.

Beberapa bait pada bahagian mukadimah (angka 1) adalah pujian untuk Sultan Terengganu yang banyak persamaannya dengan Syair Tuan Hampris, karya Hajah Wok Aisyah binti al-Haji Nik Idris Terengganu yang dikarang jauh kemudian daripada puisi Sheikh Ahmad al-Fathani. Sebagai contoh beberapa bait untuk perbandingan dapat disemak di bawah ini:

i. Puisi Syeikh Ahmad al-Fathani

"Itulah Sultan Terengganu

Raja yang berani

Bermurah

Dan bertuah." (bait yang ke-11)

ii. Syair Tuan Hampris

"Negeri khabarnya itu

seorang raja memerintah tentu

adil dan murah bukan suatu

sangatlah alim paduka ratu." (bait yang ke-18)

"Perangainya halim tangannya murah sekalian kasih memandang wajah ...

…" (bait yang ke-22, dua baris awal)

Kesimpulan daripada petikan kedua-dua puisi di atas, ia membuktikan bahawa Sultan Terengganu itu adalah seorang yang pemurah. Mengenai sifat pemurah itu disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani pada bait yang lain, iaitu bait yang ke- 8, katanya:

"Bagaikan laut,

pemurah tiada tepi

Bagaikan hujan

penolong tiada beza

Memberi sebelum diminta."

Watak seorang sultan yang berilmu pengetahuan juga terdapat pada Syair Tuan Hampris, disebut juga oleh Sheikh Ahmad al-Fathani pada bait ke-12 dan 13, katanya: (maksudnya)

"Raja yang agung lagi bijaksana

Pandai mentadbir

Banyak berilmu

Petunjuk jalan bahagia.

Kemuncak usahanya ialah

menggali ilmu, menyelami ma'rifah

menunjuk jalan hidayah."

Pada Syair Tuan Hampris yang sama maksudnya dengan puisi di atas, terdapat pada bait yang ke-20, 21 dan 22, iaitu:

"Rajanya alim lagi jauhari

kitab Quran sangat pelajari

alimnya tidak lagi terperi

termasyhurlah khabar ke sana ke mari.

Saleh dan warak lagi pendeta

bijak laksana jangan lagi dikata

masyhurlah khabar di dalam warta

di alam Melayu sekalian rata.

Perangainya halim tangannya murah

sekalian kasih memandang wajah

cukup fahamnya ilmu 'Arabiyah

baginda nan gemar ilmu falakiah."

Penutup

Adapun syarah pada bahagian ini adalah mukadimah tentang pujian untuk Sultan Terengganu. Mengenai syarah-syarah puisi yang lainnya akan dilanjutkan pada bahagian seterusnya. Bahagian-bahagian lain yang tidak dibicarakan lagi adalah mengenai pujian khusus untuk Sultan Terengganu, pengharapan Sheikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu untuk umat Islam dan Melayu, dan pengharapan kepada cendekiawan.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0825&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm&arc=hive

1 comment: