Monday, 2 July 2012

Imam pertama Masjid Jamek Sabang Barat



 
WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 










HAJI Wan Abdullah anak tunggal Haji Wan Abdur Rahman Wan Abu Bakar.






Sejak mula berdirinya Masjid Jamek Sabang Barat pada 1 Syawal 1342 H bersamaan 6 Mei 1924 M, hingga dirasmikan nama baru Baitur Rahman, tercatat jumlah yang menjadi imam ialah 10 orang. Mereka ialah:

1. Al-alim al-'allamah Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar al-Bughurani.

2. Al-alim al-'allamah Haji Abdullah bin Yusuf al-Bughurani.

3. Al-alim al-allamah Haji Abdur Rahman bin Haji Muhammad Nur al-Ambuni.

4. Al-Fadhil Haji Mat Tali.

5. Al-Fadhil Haji Bujang bin Ahmad Sulung.

6. Al-alim al-Fadhil Haji Muhammad bin Mirun.

7. Al-alim al-Fadhil Haji Muhammad Jamin bin Abdul Hamid.

8. Al-Fadhil Haji Musa Muhammad bin Qasim.

9. Al-Fadhil Haji Abdur Rahman al-Mahmudi.

10. Al-Fadhil Haji Sabkie bin Haji Musa.

Daripada kesemua imam tersebut, lima daripadanya mendapat pendidikan di Makkatul Mukarramah.

Mereka ialah Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar al-Bughurani, Haji Abdullah bin Yusuf al-Bughurani, Haji Abdur Rahman bin Haji Muhammad Nur al-Ambuni, Haji Muhammad Jamin bin Abdul Hamid dan Haji Abdur Rahman al-Mahmudi.

Sementara, dua orang di antaranya mendapat surat tauliah mengajar di Masjidil Haram, Mekah. Mereka ialah Haji Abdullah bin Yusuf al-Bughurani dan Haji Abdur Rahman bin Haji Muhammad Nur al-Ambuni.

Untuk lebih terperinci, maka disertakan riwayat hidup kesepuluh imam tersebut di bawah ini. Riwayat mengenai mereka ini dibicarakan secara tertib, dari imam yang awal hinggalah yang terakhir. Berikut dimulai dengan Imam Masjid Jamek Sabang Barat yang pertama, iaitu:

Haji Wan Abdur Rahman Bin Abu Bakar

Nama lengkap beliau ialah Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar bin Wan Ta'sim. Berasal dari Pulau Bunguran (Natuna), Indonesia. Asal-usulnya adalah dari Johor, yang mana datuk-datuknya adalah seorang pembesar kerajaan Johor.

Oleh kerana berlaku sesuatu perselisihan, maka beliau melarikan diri ke Pulau Bunguran (Natuna), Indonesia. Hal seperti itu adalah perkara biasa bagi keturunan beliau. Ini kerana pernah terjadi kepada moyangnya yang berasal dari kerajaan Patani, di mana apabila berlaku perang antara Patani melawan Siam sekitar tahun 1632 M, lalu moyangnya bernama Faqih Ali berangkat ke Sulawesi dengan tujuan mencari bantuan untuk melawan Siam.

Dalam pelarian itu, beliau (Faqih Ali) membawa Bendera Patani yang disebut bendera Buluh Perindu. Maka Faqih Ali diangkat oleh Sultan sebagai ketua orang Melayu di sana setelah beberapa lama pulang ke Johor.

Beliau dikurrniakan ramai keturunan, dan dari sekelian ramai keturunannya itu adalah Haji Wan Abdur Rahman yang dibicarakan ini.

Berangkat ke Mekah

Haji Abdur Rahman sejak mudanya telah berangkat ke Mekah. Di Mekah beliau ditampung oleh seorang ulama terkenal dengan karyanya Mathla' al-Badrain, iaitu Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani atau nama lainnya Sheikh Muhammad Shaghir, juga terkenal dengan nama Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani.

Bahkan di bawah pinggir kitab Bahjatul Mardhiah, dicatatnya bahawa beliau belajar kitab itu kepada pengarangnya tahun 1321 H. Beliau adalah tempat pertama Haji Abdur Rahman menuntut ilmu-ilmunya di Mekah.

Selain itu, Haji Abdur Rahman juga belajar kepada ulama Patani yang terkenal di seluruh dunia Islam, iaitu Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Muusthafa al-Fathani. Dengan takdir Allah, Haji Abdur Rahman berbiras dengan ulama tersebut, kerana anaknya, Haji Wan Abdullah berkahwin dengan anak Sheikh Ahmad al-Fathani yang bernama Hajah Wan Zainab.

Haji Abdur Rahman juga belajar daripada ulama yang berasal dari Kelantan iaitu Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani.

Kitab-kitab yang diajar

Berdasarkan catatan-catatannya, terdapat beberapa kitab yang diajarnya di Masjid Jamek Sabang Barat. Semuanya adalah kitab Melayu/Jawi.

Selain menjadi imam dan mengajar, beliau juga adalah seorang 'tukang nikah' atau kadi. Ini kerana di zaman tersebut masih belum ada tempat yang khusus seperti sekarang.

Khutbah Jumaat pada zaman beliau masih menggunakan bahasa Arab secara keseluruhannya. Khatib memakai tongkat dan bertutup kepala. Pada hari Jumaat, beduk berbunyi pada masa tertentu, iaitu pukul 6 pagi, 9 pagi, 11 pagi, 12 tengah hari dan 3.30 petang.

Selain Jumaat pula, beduk akan dipukul semasa 12.30 tengah hari, 3.30 petang, 6 petang, 7 petang dan jam 4.30 pagi, iaitu sebagai petanda masuk waktu solat. Pada hari raya, beduk dibunyi dengan agak panjang.

Haji Wan Abdur Rahman Wan Abu Bakar menjadi Imam Masjid Jamek Sabang Barat mulai 1 Syawal 1342 H / 6 Mei 1924 M sehinggalah wafatnya pada 22 Rejab 1344 H/ 18 Februari 1926 M (hari Isnin).

Keturunan

Haji Abdur Rahman hanya dikurniakan seorang anak iaitu Haji Wan Abdullah, seorang penguasa Ahmadi & Co Midai sejak tahun 1936 sehingga 1958.

Hasil perkahwinan Haji Wan Abdullah dengan anak kepada Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu Hajah Wan Zainab, mereka dikurniakan 12 orang anak, iaitu:

1. Wan Mohd Zain.

2. Wan Ali.

3. Wan Kalthum.

4. Wan Nur.

5. Wan Abdur Rahman.

6. Wan Nafisah.

7. Wan Abdur Rahim.

8. Wan Abdul Halim.

9. Wan Muhammad Shaghir.

10. Wan Shaghiriah.

11. Wan Taufiqiah.

12. Wan Qadariyah.

Demikianlah riwayat ringkas Imam Masjid Jamek Sabang Barat yang pertama.

Imam kedua: Haji Abdullah Yusuf Al-Bughurani

Ulama ini lebih muda dari Haji Wan Abdur Rahman. Beliau juga berasal dari Pulau Bunguran (Natuna), dan juga belajar di Mekah.

Di Mekah, beliau belajar daripada ulama-ulama tempat di mana Haji Abdur Rahman juga belajar. Ini berkemungkinan beliau dibawa ke Mekah dari Midai oleh Haji Wan Abdur Rahman sendiri.

Berkahwin dengan Hajah Dayang, namun tidak memperolehi zuriat.

Walaupun beliau seorang ulama besar, namun ketika di Midai beliau juga adalah seorang pedagang. Beliau mendirikan satu syarikat dagang dengan nama Air Putih Syarkah.

Air Putih Syarkah ini pernah bergabung dengan Syarikat Ahmadi Midai, Syarikat Kampar-Kuantan dan syarikat-syarikat dagang bumiputera lainnya di seluruh Pulau Tujuh membuka perwakilan di Singapura tahun 1915 M.

Segala pentadbiran dan pengelolaan diserahkan bulat-bulat kepada Syarikat Ahmadi Midai yang kemudiannya memakai nama Ahmadi & Co Midai cawangan Singapura.

Di Mekah, beliau dikurniakan surat tauliah, yang mana membolehkannya mengajar di Masjidil Haram. Surat berharga itu ditulis dengan tinta emas dan merupakan satu jaminan bahawa beliau menguasai ilmu yang banyak dan kuat berhujah.

Tidak banyak perkara yang dapat diketahui tentang beliau ini, namun beliau juga mengajar di masjid tersebut.

Haji Abdullah Yusuf meninggal dunia di Singapura dalam perjalanan ke Mekah. Setelah meninggal, semua hak miliknya di Midai dijual kesemuanya oleh isteri beliau yang kemudiannya pulang ke Mekah. Dikatakan beliau meninggal dunia di Geylang, Singapura pada hari Sabtu, iaitu 30 Rabiulakhir 1345 H dan dikebumikan di Bukit Wakaf.

Penutup

Maka tamatlah riwayat hidup mengenai kedua-dua imam tersebut. Sejarah hidup mengenai keduanya tidak dapat diketahui secara terperinci, sekadar umum sahaja.

Selanjutnya akan disambung lapan imam yang tidak dibicarakan lagi, kerana keterbatasan ruangan ini untuk menceritakan kesemuanya.



SUMBER:

1 comment: