TOKOH TASAWWUF TERKEMUKA: SAYYID AHMAD AL-RIFAIE AL-HUSAINI
Oleh :
Ustaz Mohd Jailani bin Mohd Noor
Pendahuluan
Sayyid Ahmad al-Rifaie al-Husaini merupakan tokoh terkemuka dalam bidang tasawwuf pada abad ke-5 hijrah. Beliaulah ahli sufi yang masyhur dengan “ Pemilik Kucupan Tangan Rasulullah Sallallahu `alaihiwasallam”. Suatu ketika beliu telah menziarahi maqam baginda Rasulullah Sallallahu `alaihiwasallam ketika musim haji. Semasa berada di maqam itu beliau telah mengungkapkan sebuah syair lalu ketika itulah keluar tangan daripada kubur. Lalu Sayyid Ahmad al-Rifaie telah mengucup tangan Rasulullah Sallallahu `alaihiwasallam tersebut. Peristiwa tersebut telah disaksikan oleh lebih kurang 90 ribu orang jemaah haji[1]. Kisah ini telah dikira sebagai khabar mutawatir kerana telah diriwayatkan oleh sejumlah manusia yang mustahil dalam jumlah tersebut mereka menipu atau tersalah.Telah ramai ulama-ulama muktabar menceritakan kisah kekeramatan al-Imam al-Rifaie ini di dalam kitab-kitab mereka. Oleh itu tidak ada yang dapat menafikan kesahihan cerita ini melainkan mereka-mereka yang memusuhi para wali Allah serta mengingkari kekeramatan mereka.
Sayyid Ahmad al-Rifaie juga digelar dengan al-Imam Ahmad al-Rifaie atau al-Imam al-Rifaie didalam kitab-kitab ulama. Nama sebenar beliau adalah Abu al-`Abbas al-Qutb al-Ghauts al-Jami` al-Sheikh al-Sayyid Ahmad bin `Ali al-Rifaie al-Husaini radhiallahu`anhu. Nasab keturunan beliau sampai kepada Rasulullah Sallallahu `alaihiwasallam.
Perjalanan Keilmuan Imam al-Rifaie
Imam al-Rifaie menuntut ilmu agama sejak dari kecil lagi. Beliau telah mempelajari al-Quran secara tartil dengan Sheikh Abd al-Sami` al-Harbuni semasa berumur 8 tahun di kampungnya. Kemudian beliau telah berpindah bersama keluarganya ke “ Nahr Dafli” iaitu sebuah kampung di tengah negara Iraq. Bapa saudaranya telah mentarbiah beliau di samping membawa beliau untuk belajar dengan al-Imam al-Faqih al-Sheikh Abi al-Fadhl Ali al-Wasiti yang merupakan seorang qari, muhaddis serta mempunyai akhlak yang sangat tinggi. Lalu imam tersebut telah membimbing Imam al-Rifaie serta mengajar dan mentarbiahnya. Maka jadilah Imam al-Rifaie seorang yang alim di dalam bidang agama sama ada daripada segi aqal dan naqal.
Al-Imam al-Rifaie sentiasa melazimi dirinya dengan menuntut ilmu agama dan duduk bersama para ulama. Beliau selalu belajar di dalam majlis bersama bapa saudaranya Sheikh Abu Bakar yang merupakan salah seorang ulama terkemuka pada zamannya. Beliau juga sentiasa melazimi majlis Sheikh Mansur al-Bataihi yang juga merupakan bapa saudaranya. Di samping itu Imam al-Rifaie belajar dengan Sheikh Abd al-Malik al-Harbuni. Dengan Sheikh tersebut beliau telah belajar dan menghafal kitab al-Tanbih[2] lalu beliau mengarang kitab syarah kepadanya.
Al-Imam al-Rifai telah menuntut ilmu dengan bersungguh-bersungguh sehingga banyak ilmu agama yang beliau kuasai. Disamping menuntut ilmu beliau sentiasa memperbanyakkan amal ibadat sehingga Allah mengurniakan ilmu ladunni kepada beliau. Berkat kegigihan beliau itu, beliau telah menjadi seorang yang sangat faqih di dalam mazhab al-Syafie.
Ketika al-Imam al-Rifaie berumur 20 tahun, beliau telah diijazahkan dengan semua cabang ilmu syariah dan tariqat oleh Sheikh al-Jalil Abu al-Fadl Ali lalu Imam al-Rifaie digelar dengan “ Abu al-`Alamain” yang bermaksud orang yang zahir dan yang batinnya mempunyai sangat banyak ilmu.
Manaqib al-Imam al-Rifaie
Seorang tokoh ulama terkenal dan juga seorang ulama muktabar dalam mazhab al-Syafie iaitu al-Imam Abu al-Qasim Abd al-Karim al-Rafie[3] di dalam kitabnya “ Sawad al-`Ainain fi Manaqib al-Ghauts Abi al-`Aalamain” menyebut[4]:
“ Telah menceritakan kepadaku oleh al-Imam Syuja` al-Syafie[5] bahawa al-Imam al-Rifaie merupakan seorang yang sangat alim, seorang rasikh, muhaddis yang faqih, seorang mufasir, mempunyai riwayat yang tinggi, qari yang sangat merdu, sangat mudah dengan kaum Muslimin, keras dengan orang yang sesat, tidak akan beredar dari majlis ilmu melainkan untuk beribadat, sangat menepati janji, sabar apabila dibenci, sangat tawadhu`, sangat mendalam ilmunya berkaitan al-Quran dan al-hadis. “
Beliau juga menyebutkan di dalam kitabnya itu:
“ Telah menceritakan kepadaku oleh guruku Sheikh Umar al-Farusi bahawa telah mengkhabarkan kepadaku oleh al-Sheikh Badr al-Ansari daripada al-Sheikh al-Imam Mansur al-Bataihi al-Rabbani katanya: Aku telah berjumpa Rasulullah sallallahu `alaihi wasallam 40 hari sebelum kelahiran anak saudaraku al-Imam al-Rifaie lalu baginda Sallallahu `alaihi wasallam bersabda kepadaku Wahai Mansur aku mengkhabarkan berita gembira kepadamu bahawasanya Allah akan mengurniakan kepada saudara perempuanmu seorang anak selepas 40 hari yang namanya Ahmad al-Rifaie, seperti aku adalah ketua para nabi begitu juga dia adalah ketua para wali. Apabila dia besar bawalah dia kepada Ali al-Qari al-Wasithi supaya dia membimbingnya jangan engkau mencuaikannya. Lalu aku menjawab : perintah ini aku junjung wahai Rasulullah selawat dan keatasmu “
Kekeramatan Imam al-Rifaie Yang Terbesar
Telah meriwayatkan oleh al-Imam al-Rafie juga di dalam kitab “ Sawad al-`Ainain fi Manaqib al-Ghauts Abi al-`Aalamain” bahawa dia berkata:
“ Telah mengkhabarkan kepadaku daripada guruku al-Imam al-Hujjah al-Qudwah Abu al-Farj Umar al-Farusi al-Wasithi katanya : Guru kami Sayyid Ahmad al-Rifaie telah mengerjakan haji pada tahun 555 Hijrah. Tatkala beliau sampai ke madinah lalu beliau memuliakan datuknya dengan menziarahi maqam baginda Rasulullah sallallahu `alaihi wasallam. Beliau telah berdiri menghadap maqam baginda dan kami pula berdiri di belakang beliau lalu beliau berkata: Salam sejahtera wahai datukku lalu dijawab oleh suatu suara daripada maqam Rasulullah sallallahu `alaihi wasallam: Dan sejahtera ke atas engkau wahai cucuku. Maka al-Imam al-Rifaie menguntaikan suatu syair dengan suara yang merdu:
فِي حَالَةِ الْبُعْدِ رُوحِي كُنْتُ أُرْسِلُهَا تُقَبِّلُ الأَرْضَ عَنِّي وَهِيَ نَائِبَتِي
وَهَذِهِ دَولَةُ الأَشْبَاحِ قَدْ حَضَرَتْ فَامْدُدْ يَمِيْنَكَ كَي تَحْظَى بِهَا شَفَتِيْ
Dari kejauhan kukirimkan rohku
Untuk mencium tanah sebagai pengganti diriku
Inilah diriku sekarang hadir
Maka julurkanlah tanganmu agar bibirku mampu menciumnyanya
Ketika itu juga keluar tangan melalui maqam baginda sallallahu`alaihiwasallam yang amat wangi lalu imam Ahmad al-Rifai menciumnya. Peristiwa tersebut disaksikan oleh lebih kurang 90 ribu manusia yang berada disekitar maqam ketika itu. Mereka semua mendengar suara Rasulullah dan juga telah melihat tangan baginda tersebut. Dan antara ulama lain yang berada di situ ketika kejadian tersebut ialah Sheikh Hayat ibn Qais al-Harrani, Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani, Sheikh `Adi al-Syami dan ramai lagi.”
Imam al-Rifaie Memerangi Fahaman Tasybih
Al-Imam al-Rifaie merupakan seorang yang sangat menitikberatkan hal-hal akidah walaupun beliau merupakan ulama besar dalam kesufian bahkan beliau merupakan wali qutub pada zamannya. Beliau amat tegas terhadap firqah-firqah yang keluar daripada Ahli al-Sunah wa al-Jama`ah antaranya firqah tasybih. Di dalam kitabnya “Al-Burhan al-Muayyad”[6] beliau memberi peringatan:
وَصُونُوا عَقَائِدَكُم مِنَ التَّمَسُّكِ بِظَاهِرِ مَا تَشَابَهَ مِنَ الْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ لِأَنَّ ذَلِكَ مِن أُصُولِ الْكُفْرِ
Terjemahannya: Dan jagalah pegangan-pegangan akidahmu daripada berpegang dengan zahir ayat mutasyabihah daripada kitab al-Quran dan al-Sunah kerana yang demikian adalah daripada asal kekufuran
Beliau juga berkata:
نَزِّهُوا اللهَ عَن سَمَات المحدثِين, وَصِفَات المخلوقِين, وَطَهِّرُوا عَقَائِدَكُمْ مِن تَفْسِيرِ مَعْنَى الِاسْتِوَاءِ فِي حَقِّهِ تَعَالَى بِالِاسْتِقْرَارِ كَاسْتِوَاءِ الأَجْسَامِ عَلَى الأَجْسَامِ الْمُستلزم لِلْحُلُولِ, تَعَالَى عَن ذَلِكَ, وَإِيَّاكُمْ وَالْقَولَ بِالْفَوقِيَّةِ وَالسُّفْلِيَّة وَالْمَكَان وَالْيَد وَالْعَين بِالْجَارِحَة, وَالنُّزولِ بِالِإتْيَانِ وَالِانْتِقَال.
Terjemahannya: Sucikanlah Allah olehmu daripada mempernamakan dengan perkara baru, sifat-sifat makhluk, dan bersihkanlah pegangan akidahmu daripada mentafsirkan makna ‘al-Istiwa’ pada hak Allah Ta`ala dengan menetap seumpama menetapnya suatu jisim yang melazimi kesatuan. (dikatakan bersatu apabila suatu jisim bertempel dengan jisim lain), Maha suci Allah daripada yang tersebut itu. Jaga-jagalah daripada menyandarkan kepada Allah dengan atas, bawah, tempat, tangan dan mata dengan makna anggota, turun, datang dan berpindah.
Karangan Imam al-Rifaie
Al-Imam al-Rifai seorang wali yang sangat alim. Beliau telah mengarang banyak buah kitab tetapi banyak yang telah musnah dan hilang ketika serangan tentera Tartar[7]. Antara kitab masih tinggal hingga hari ini dapat didapati secara bercetak adalah:
- Haalat Ahl al-Haqiqat Ma`a Allah
- Al-Sirat al-Mustaqim
- Kitab al-Hikam Syarh al-Tanbih
- Al-Burhan al-Mu`ayyad
- Ma`ani Bismillahirrahmaanirrahiim
- Tafsir Surah al-Qadr
- Al-Bahjah
- Al-Nizam al-Khas li Ahl al-Ikhtisas
- Majalis al-Ahmadiyyah
- Al-Tariq ila Allah
Tema-Tema Utama Yang Dikemukakan
Di dalam karya-karya al-Imam al-Rifaie beliau mengemukakan tema-tema yang berbagai-bagai. Penulis akan membincangkan dua tema di dalam kitab Al-Burhan al-Mu`ayyad:
1. Al-Imam al-Rifaie seorang ulama yang telah menggabungjalinkan akidah dan tasawwuf. Di dalam kitab ini beliau membincangkan perkara akidah pada bahagian permulaan kitab. Antaranya beliau telah berkata:
وَصُونُوا عَقَائِدَكُم مِنَ التَّمَسُّكِ بِظَاهِرِ مَا تَشَابَهَ مِنَ الْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ لِأَنَّ ذَلِكَ مِن أُصُولِ الْكُفْرِ
Terjemahannya: Dan jagalah pegangan-pegangan akidahmu daripada berpegang dengan zahir ayat mutasyabihah daripada kitab al-Quran dan al-Sunah kerana yang demikian adalah daripada asal kekufuran[8].
2. Al-Imam al-Rifaie di dalam kitab ini juga menekankan doktrin tarikatnya walaupun tidaklah secara terang-terangan. Ini dapat diketahui apabila pembaca membacanya daripada awal sehingga akhir.
Aliran Pemikiran
Aliran pemikiran yang dapat dikenal pasti di dalam kitab ini adalah beliau berpegang dengan al-Imam al-Syafie. Al-Imam al-Rifaie sendiri menghafal kitab al-Tanbih dan mengarang kitab syarahnya. Di dalam akidah pula al-Imam al-Rifaie berpegang dengan pegangan ahl al-Sunnah wa al-Jemaah iaitu al-Imam Abu Hassan al-Asy`ari. Di dalam kitab ini diterapkan akidah yang sama dengan yang Imam Abu Hassan al-Asy`ari.
Metodologi Penulisan
Metodologi penulisan yang Al-Imam al-Rifaie gunakan di dalam kitab “ al-Burhan al-Mu`ayyad” ini adalah:
- Beliau memulakan tulisan beliau dengan perbincangan Akidah ahl al-sunnah wa al-Jamaah kemudian barulah beliau memulakan perbincangan dengan tasawwuf. Kita dapat lihat apabila beliau membincangkan berkaitan sifat Allah dahulu supaya orang yang membaca kitabnya ini tidak akan lalai daripada akidah yang benar dahulu sebelum membincangkan hal-hal berkaitan tasawuf.
- Dalam kitabnya ini beliau banyak menyampaikan pesanan dalam bentuk nasihat. Beliau banyak memulakan dengan perkataan (أي سادة) pada permulaan setiap nasihatnya. Beliau banyak menasihatkan para pembaca supaya menuntut ilmu dan beramal kerana perkara ini amat penting dalam hidup seseorang. Orang yang tidak menuntut ilmu tidak akan dapat beramal manakala orang yang hanya menuntut ilmu tanpa beramal pula diibaratkan seperti pokok yang tidak berbuah.
Kata-Kata Hikmah Imam al-Rifae
Al-Imam al-Rifae merupakan seorang wali qutub yang terkenal. Antara kata-kata hikmah beliau adalah:
" يَا وَلَدِي إِذَا تَعَلَّمْتَ عِلْمًا وَسَمِعْتَ نَقْلًا حسنًا فَاعْمَلْ بهِ وَلَا تَكُنْ مِنَ الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَلَا يَعْمَلُونَ "
Terjemahannya: Wahai anakku apabila engkau menuntut suatu ilmu dan mendengar nukilan yang baik maka beramallah dan janganlah engkau menjadi golongan mereka yang menuntut ilmu tetapi tidak mengamalkannya.
" العَجَبُ مِمَّنْ يَعْلَمُ أَنَّهُ يَمُوتُ كَيفَ يَنْسَى الْمَوتَ, وَالْعَجَبُ مِمَّنْ يَعْلَمُ أَنَّهُ مُفَارِقُ الدُّنْيَا كَيفَ يَنْكَبُّ عَلَيهَا وَيَقْطَعُ أَيَّامَهُ بِمَحَبَّتِهَا "
Terjemahannya: Adalah satu kepelikan bagi mereka yang mengetahui bahawasanya dia akan mati bagaimana dia boleh melupakan mati, Dan satu kepelikan bagi mereka yang tahu dia akan berpisah dengan dunia bagaimana dia mengharungi hari-harinya dengan kecintaan kepadanya.
" الدُّنْيَا أَوَّلُهَا ضَعْفٌ وَفُتُورٌ وَآخِرُهَا مَوتٌ وَقُبُورٌ "
Terjemahannya: Dunia ini permulaannya lemah dan pengakhirannya adalah kematian dan kubur.
Kesesuaian Idea Tokoh Dalam Menyelesaikan Isu Semasa Tempatan
Pada masa kini negara banyak dikejutkan dengan fahaman-fahaman yang terkeluar daripada landasan akidah ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah serta gejala sosial yang semakin meruncing:
- Isu pemikiran tasybih dan tajsim yang disebarkan oleh kebanyakan tokoh-tokoh fahaman Wahabi boleh ditangani jika masyarakat mendengar dan mengamalkan nasihat beliau supaya tidak berpegang dengan zahir ayat daripada al-Quran dan al-Hadis. Dengan ini masalah fahaman tasybih tersebut akan dapat dikurangkan.
- Masalah gejala sosial dapat diselesaikan jika ibu bapa dan penjaga menitikberatkan ilmu fardu `ain seperti yang ditekankan oleh al-Imam al-Rifaie di dalam kitabnya. Seseorang islam hendaklah mempelajari ilmu-ilmu tersebut semenjak dari kecil lagi sehingga ia betul-betul melekat di hati justeru melimpahkan rasa takut kepada Allah untuk melakukan maksiat.
- Fahaman hulul yang berlaku pada banyak ajaran sesat pada masa kini amat meruncing. Ada yang hanya solat dengan niat sahaja dan mendakwa mereka berjumpa dengan Allah sendiri untuk menerima wahyu. Jika masyarakat sentiasa didedahkan dengan bahawa akidah hulul, pasti ajaran sesat di Malaysia akan dapat dikurangkan.
Kewafatan Imam al-Rifaie
Ketika Imam al-Rifaie berumur 66 tahun beliau telah diserang sakit di dalam perut yang amat sangat. Sakitnya itu telah berlarutan beberapa bulan. Walaupun dalam keadaan sakit yang amat sangat beliau tetap mengerjakan amal ibadat semampunya seperti ketika sihat. Maka pada hari khamis 12 Jamadil Awal tahun 578 hijrah. Dan dikebumikan di tepi maqam datuknya al-Shekh Yahya al-Najjari di daerah Ummu `Ubaidah.
RUJUKAN
Al-Rifai. Ahmad ibn `Ali. al-Burhan al-Mu`ayyad. Beirut, Darul Masyari`.
Al-Rifai. Ahmad ibn `Ali. Haalat Ahl al-Haqiqat Ma`a Allah. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah
Al-Rifai. Ahmad ibn `Ali. Al-Qawaid al-Syar`iyyah fi al-Rad ala Man Iftara ala al-Sufiah.
Beirut, Darul Masyari`.
Al-Subki, Tajuddin Abd al-Wahhab bin Ali. Tabaqat al-Syafi`iyyah al-Kubro. Jld 4. Beirut:
Dar al-Kutub al-Ilmiah
Al-Rafie. Abu al-Qasim Abd al-Karim. Sawad al-`Ainain fi Manaqib al-Ghauts Abi al-
`Aalamain. Mesir: Matba`ah al-Miriah.
Al-Kallal. Abu Muhammad. Karamat al-Aulia. Beirut: Syarikat Dar al-Masyari`.
Jamil Halim. Al-Tasyarraf Bi Zikr Ahl al-Tasawwuf. Beirut: Syarikat Dar al-Masyari`.
Ibn al-Atsir. Ali bin Muhammad. Al-Kamil fi al-Tarikh. Kaherah: Idarah al-Tibaat al-
Muniriah.
Ibn Taghghi Bardi. Al-Nujum al-Zahirah. Kaherah: Darul Kutub al-Misriah.
[2] Kitab al-Tanbih merupakan kitab muktabar dalam mazhab al-Syafie karangan al-Imam Abu Ishak al-Syairazi.
[3] Digelar dengan al-Imam al-Rafie. Tokoh ini juga sangat terkenal dengan keilmuan, kezuhudan dan
kekeramatannya.
[4] Al-Rafie, Abu al-Qasim Abd al-Karim, Sawad al-`Ainain fi Manaqib al-Ghauts Abi al-`Aalamain,
Mesir: Matba`ah al-Miriah, h. 6.
[7] Al-Rifai. Ahmad ibn `Ali. Haalat Ahl al-Haqiqat Ma`a Allah. hlm 8. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah
[...] TOKOH TASAWWUF TERKEMUKA: SAYYID AHMAD AL-RIFAIE AL-HUSAINI [...]
ReplyDelete