Thursday, 21 June 2012

Ilmu akidah Islamiah karya ulama silam Melayu


 
Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah

 










Tuan Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari mengarang sekurang-kurangnya empat buah karya ilmu tauhid.






 

PENDAHULUAN

SETELAH kita mengetahui serba ringkas pengajian tradisional akidah di peringkat awal, maka penulis memperkenalkan pula pengajian akidah pada peringkat menengah untuk masyarakat pondok ataupun bukan pondok.

Perbicaraan dalam ruangan yang terbatas ini adalah pengenalan awal tentang karya-karya dan tokoh-tokoh yang bertanggungjawab dalam menyebarkan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah di Dunia Melayu.

Bagi memaparkan keseluruhan kandungan kitab-kitab yang berkaitan seperti Warduz Zawahirdan lainnya adalah terlalu panjang untuk dibicarakan. Maka penulis memilih membahasnya sedikit sahaja sebagai pengenalan untuk maklumat umum.

PERINGKAT MENENGAH DAN ATAS

Pada peringkat kedua ini, dilihat bahawa kitab-kitab akidah yang ditulis dalam bahasa Melayu juga mendapat tempat di kalangan pengajian pondok hingga ke Kemboja, Vietnam dan Burma.

Boleh diakui bahawa kitab-kitab Melayu/Jawi tentang akidah telah menemui sasaran dan keberkesanan di masyarakat Dunia Melayu zaman berzaman dari dahulu hingga kini. Ini ada perbezaan dengan kitab-kitab akidah yang ditulis oleh ulama Dunia Melayu yang mempergunakan bahasa Arab, dilihat hanya sedikit sekali dikenal oleh masyarakat luas.

Kitab-kitab akidah yang ditulis dalam bahasa Arab hanya terhad di pengajian-pengajian pondok sahaja. Amat sedikit kitab dalam bentuk bahasa Arab diajarkan di surau-surau ataupun di masjid-masjid.

Jika ditinjau kandungan kitab-kitab Melayu/Jawi secara menyeluruh, adalah diperuntukkan kepada peringkat menengah dan atas, yang jumlahnya jauh lebih banyak dari peringkat-peringkat lainnya.

Beberapa contoh kitab paling popular di antaranya:

Faridatul Faraid karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani

Sirajul Huda karya Sheikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi (Sumbawa, Indonesia)

'Aqidatun Najin karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani

Ad-Durrust Stamin karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Yang ditulis dalam bahasa Arab untuk peringkat ini di antaranya:

Sabilus Salam karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani

Fat-hul Majid karya Sheikh Nawawi al-Bantani

Nuruzh Zhalam juga karya Sheikh Nawawi al-Bantani.

Faridatul Faraid pernah diringkaskan dengan judul Pati Faridatul Faraid yang diusahakan oleh Tuan Guru Nik Abdullah al-Jambui al-Fathani.

Pernah disyarahkan dengan judul 'Umdatu Thalibil Mujtahid bi Syarhi Faridatil Faraiddiusahakan oleh Tuan Guru Hj. Abdullah bin Hj. Ibrahim bin Abdul Karim al-Fathani al-Jabi.

Pada Jun 1990 telah diterbitkan Faridatul Faraid dalam edisi Rumi/Latin yang diusahakan penulis sendiri.

Di dalam kitab Ad-Durrust Stamin fi 'Aqaidil Mu'minin dan 'Aqidatun Najin fi 'Ilmi Ushuliddintelah diperkenalkan pendapat Sheikh Ahmad bin Muhammad as-Suhaimi tentang Mabadil 'Asyarah pada mempelajari akidah.

Nama ilmu tersebut diberikan sebanyak lapan nama. Antaranya dinamakan Ilmu Kalam, Ilmu Usuluddin dan lain-lainnya.

Dalam Ad-Durrust Stamin, Sheikh Daud al-Fathani telah memperkenalkan serba ringkas riwayat orang yang pertama mendewankan/menulis ilmu ini berupa risalah atau kitab iaitu Imam Abul Hassan al Asy'ari.

Riwayat yang lebih lengkap beliau perkenalkan pula dalam kitab Warduz Zawahir. Kedua-dua kitab tersebut adalah merupakan maklumat terawal yang dibicarakan secara lengkap dalam kitab bahasa Melayu.

Walaupun 'Aqidatun Najin dikategorikan pada peringkat ini, namun dalam pengamatan penulis ia merupakan kitab akidah yang kedua lengkap dan besar dalam bahasa Melayu sesudahWarduz Zawahir.

Sebuah kitab lain yang juga dikategorikan dalam peringkat ini ialah Al-Bahjatus Saniyah, karya Sheikh Daud al-Fathani. Ia merupakan terjemahan dan syarahan dari kitab Tahshilu Nailil Maram Syarhu 'Aqidatil 'Awam karya As-Saiyid asy- Syarif Ahmad al-Marzuqi, salah seorang guru beliau.

Kitab karangan ulama ini (Ahmad al-Marzuqi) dengan judul yang sama pernah disyarah oleh Sheikh Nawawi al-Bantani dalam bahasa Arab.

Kitab tersebut ialah Nuruzh Zhalam 'alal Manzhumati al-Musammatu bi 'Aqidatil Iman. Syarahan Sheikh Nawawi al-Bantani bersama-sama dengan kitab Sabilus Salam karya Sheikh Ahmad al-Fathani, yang sama-sama ditulis dalam bahasa Arab tersebut telah mewakili pengajian kitab-kitab akidah bahasa Arab sebagai lanjutan kitab-kitab bahasa Arab pada peringkat pertama yang telah disebutkan.

Kitab-kitab bahasa Arab karya kedua-dua ulama Dunia Melayu itu bukan saja diajar di Dunia Melayu, tetapi pernah berperanan di dunia Arab sendiri seperti di Mesir, Mekah dan lain-lain di Timur Tengah.

Sebagaimana maklum dan diakui bahawa Sheikh Daud al-Fathani adalah ulama Dunia Melayu yang paling banyak meninggalkan karangan dan terjemahan ilmu-ilmu keislaman termasuk akidah.

Dalam karya fikah beliau berjudul Hidayatul Muta'allim, selain memperkenalkan sifat-sifat Tuhan, turut diperkenalkan cabang-cabang iman (firqah) yang melebihi 70 banyaknya. Barangkali ini adalah merupakan yang pertama sekali dalam bahasa Melayu.

Cabang-cabang iman di dalam Hidayatul Muta'allim itu kemudian dipetik oleh Sheikh Umar bin Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, lalu dicetak bersama-sama dengan Miftahul Murid karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani itu.

Tentang cabang-cabang iman yang melebihi 70 tersebut, Sheikh Nawawi al-Bantani pernah membuat sebuah syarahan dalam sebuah kitab berjudul Syarhul Futuhatil Madaniyah fisy Syu'bil Imaniyah.

Terdapat sebuah kitab bercorak metod melaksanakan zikrullah dalam sektor Tarekat Syathariyah, iaitu hasil karya Sheikh Daud al-Fathani yang beliau tulis sewaktu berada di Sambas (Indonesia) dengan judul Dhiya'ul Murid fi Ma'rifati Kalimatit Tauhid.

Suatu konsep penegasan supaya kita tetap berpegang kepada Ahlus Sunnah wal Jamaah, juga diperkenalkan secara mantap penulisan yang bercorak demikian. Antaranya seperti ditulis oleh Sheikh Daud al-Fathani di bahagian awal kitab fikah berjudul Jawahirus Saniyah.

Sheikh Daud al-Fathani menulis: "Ketahui olehmu, bahawasanya thariq yang sebenarnya satu jua, iaitu thariqat Ahlus Sunnah dan Jamaah. Kerana bahawasanya aimmah yang Mujtahidun yang empat, iaitu Imam Syafiie dan Imam Malik dan Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad ibnu Hanbal Radhiallahu anhum ajmain, dan jikalau bersalah-salahan mereka itu hanya pada furuk syari'at, maka bahawasanya mereka itu muafakat pada usuluddin, yakni pada 'aqaid addin. Maka hendaklah kita ikut salah seorang daripada mereka itu ..."

Pada kalimat yang lain, beliau menegaskan pandangannya tentang mengikut selain Ahlus Sunnah wal Jamaah. Kata beliau: "Maka hendaklah kita jauhkan iktikad orang yang benci akan mereka itu (maksudnya para sahabat Nabi) atau akan setengah-setengah mereka itu.

"Maka tiada memberi faedah kasih akan setengah mereka itu, iaitu satu thaifah umpama nujum, kasih mereka itu akan Saidina Ali dan benci mereka itu akan Saidina Abu Bakar dan Umar, maka sekelian mereka itu ahlidh dhalal dan Rawafidh dan Mu'tazilah dan segala firqah yang menyalahi Ahlus Sunnah seperti Qadariah dan Jabariah, maka segala mereka itu thaifahyang sesat, jangan diikuti akan perkataan mereka itu dan kelakuannya.

"Hendak kita jauhkan perkataannya dan af'alnya dan ehwalnya. Maka orang yang benci akan setengah sahabat tiada berguna amal mereka itu ...".

Pada kalimat yang lain tertulis pula: "Maka tiap-tiap orang yang menyalahi akan Ahlus Sunnah, iaitu orang yang menolakkan barang yang kami sebut, iaitu Ahlus Sunnah, maka iaitu bidaah dan jangan engkau dengarkan pada baiknya pada perkataan mereka itu ...

"Dan tiap-tiap yang mempunyai bidaah itu jikalau ada ia mendakwa akan mempunyai ilmu, bahawasanya meninggikan martabat, seperti tinggi bintang Zukhal di langit sekalipun, jangan didengar akan perkataannya. Kerana mereka itu adalah buta mata hatinya, tiada boleh nyata melihat rahsia ilmu, hanya ia duduk taraddud di dalam sesatnya ..."

Peringkat pembahasan dan penyelidikan

Tidak banyak kitab akidah dalam bahasa Melayu untuk peringkat yang tinggi ini.

Antara yang dapat ditonjolkan ialah kitab Warduz Zawahir karya Sheikh Daud al-Fathani. Sebuah lagi ialah karya Sheikh Nuruddin ar Raniri yang menggabungkan antara Ilmu Tauhid dan Ilmu Tasauf berjudul Tibyan fi Ma'rifatil Adyan.

Sebelum penulis membicarakan Warduz Zawahir lebih lanjut, diperkenalkan dahulu secara ringkasnya kitab Tibyan dan sebuah kitab lain sesudahnya iaitu Tuhfatur Raghibin karya Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari.

Kedua-dua kitab tersebut membicarakan secara mendalam firqah-firqah dalam Islam.

Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri pula dalam Sullamul Mustafidin dalam bentuk yang agak ringkas juga pernah membicarakan tentang firqah-firqah itu.

Dalam Tibyan, Sheikh Nuruddin ar-Raniri menyebut bahawa firqah yang 72 dalam Islam adalah berasal dari enam firqah.

Ini sama dengan yang dibicarakan oleh Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari di dalamTuhfatur Raghibin, tetapi berbeza dengan yang ditulis oleh Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri di dalam Sullamul Mustafidin, bukan enam tetapi adalah lapan firqah.

Firqah-firqah yang enam yang disebut dalam Tibyan dan Tuhfatur Raghibin itu adalah:

Rafidiah, Kharijiah, Jabariah, Qadariah, Jahmiah, dan Murjiah.

Adapun lapan firqah yang disebut oleh Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri di dalam Sullamul Mustafidin adalah: Muktazilah, Syiah, Khawarij, Murjiah, Najjariah, Jabariah, Musyabbihah dan Najiah.

Ternyata dua firqah dalam senarai Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri iaitu Murjiah dan Jabariah saja yang sama dengan senarai Sheikh Nuruddin ar-Raniri dan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari tersebut.

Perkara yang sama dengan yang beliau tulis dalam Sullamul Mustafiddin. Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri juga pernah membicarakan hal itu di dalam karyanya berjudul Syarah Hadis Arba'in Imam Nawawi.

Dari enam firqah yang disenaraikan oleh Sheikh Nuruddin ar-Raniri di dalam Tibyan dan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari di dalam Tuhfatur Raghibin, terjadi 72 firqah.

Dalam Tibyan disenaraikan dengan lengkap hingga ke 72-nya, manakala di dalam Tauhfatur Raghibin hanya memberikan takrif dan contoh-contoh iktikad sesuatu firqah itu, tanpa menyebut nama-nama firqah yang cabang-cabang dari yang enam itu.

Kita kembali membicarakan kitab Warduz Zawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah. Walaupun kitab ini penulis masukkan kategori golongan tertinggi dalam pemantapan dan pengkajian akidah tradisional Dunia Melayu, namun Sheikh Daud al-Fathani pada mukadimah kitab ini menyebut seperti berikut; "Supaya mengambil manfaat dengannya orang yang mubtadi".

Istilah mubtadi biasa diertikan "orang-orang yang baru belajar sesuatu pengetahuan di peringkat yang terendah". Tetapi pengertian di sini bukanlah itu yang dimaksudkan oleh pengarang.

Ini adalah suatu kalimat yang bersifat sindiran yang mencerminkan ketawadukan dan kewarakan ulama-ulama silam kita.

Walaupun ilmu mereka sangat melaut, kitab-kitab yang mereka karang sangat banyak dan tebal-tebal, kita tiada berkemampuan membaca dari awal hingga ke akhir sesuatu kitab. Namun mereka tetap merendahkan diri.

Maka itulah tercipta pepatah Melayu, "Ibarat padi, kian berisi kian tunduk".

Dalam penelitian penulis, memang belum ditemui kitab akidah bahasa Melayu yang lebih tebal dan lengkap selain Warduz Zawahir tersebut. Oleh itu, penulis tempatkan kitab itu sebagai kajian peringkat terakhir.

Kandungannya selain yang pernah dibicarakan dalam kitab-kitab akidah yang lain, sangat banyak perkara nadir yang tidak pernah terdapat dalam kitab-kitab selainnya. Bahkan perkara-perkara yang nadir yang tersebut dalam Warduz Zawahir hanya terdapat dalam kitab-kitab bahasa Arab yang besar-besar. Sesetengah kandungannya pula belum diketemukan sumber dari kitab bahasa Arabnya.

Ini adalah suatu bukti luasnya pengetahuan Sheikh Daud al-Fathani di samping sangat banyak kitab yang telah beliau pelajari.

Kesimpulan

Berdasarkan kandungan yang dipaparkan, dapat diambil kesimpulan seperti berikut:

1. Kitab-kitab yang disusun dan diterjemah oleh ulama silam Melayu dapat memenuhi kehendak masyarakat dari tahap yang paling rendah hingga ke tahap yang paling tinggi, sama ada untuk zaman silam mahupun zaman kita.

Bahkan akan berkesinambungan ke zaman-zaman berikut selagi ilmu pengetahuan dibicarakan orang.

2. Bahawa juga terdapat di antara kitab-kitab karya ulama silam telah diulang cetak ratusan kali. Bahkan ada yang ribuan kali sejak mulai dikarang hingga sekarang ini, dan diajarkan pula di sepanjang zaman.

3. Ditinjau dari segi penyebarannya pula, kitab-kitab akidah ulama silam kita telah dipelajari dan dikenal pasti termasuk di Kemboja, Vietnam dan Burma selain yang terbentang mulai Bangkok hingga ke Indonesia dan Filipina; sedangkan karya-karya yang dalam bentuk Rumi/Latin hanya dikenal dalam negara di mana buku-buku tersebut dikarang.

Tidak dinafikan karya-karya tokoh Indonesia memang terdapat di Malaysia, tetapi tidak terjual di kedai-kedai buku di Thailand.

Sebaliknya karya-karya tokoh-tokoh Malaysia tidak terjual di Indonesia.

Ini adalah contoh bagi membuktikan karya-karya ulama-ulama silam kita dalam bentuk aksara Melayu/ Jawi lebih luas penyebarannya.

4. Dalam karya-karya akidah tradisional, terdapat beberapa di antaranya menyentuh aspek pelbagai ilmu.

Antaranya termasuk: politik, sejarah, usul fiqh, tafsir al-Quran secara meluas termasuk pentafsiran secara yang tersiratnya, hadis dalam pelbagai aspek ilmunya, perbandingan mazhab dan lain-lain banyak lagi, seperti yang dijumpai dalam Warduz Zawahir.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0629&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

1 comment: