Abdul Wahāb Al-Sha’rāni merupakan seorang tokoh tasawuf yang Berjaya dalam memurnikan semula aliran kesufian daripada segala tanggapan negatif. Beliau menentang keras amalan bertaqlid dan berpendirian bawasanya hikmah sesuatu ilmu tidak akan dapat diselami hanya dengan bertaqlid. Beliau juga lantang mengkritik serta menolak mana-mana amalan yang bertentangan dengan syariat Islam. Kemunculan beliau di tengah-tengah zaman kegawatan Mesir pada akhir pemerintahan Mamalik menyaksikan penderitaan masyarakat kesan dari kemerosotan ekonomi dan politik. Justeru , beliau menubuhkan madrasah tarbiah dan akhlak sebagai penawar bagi segala permasaalan kerana beliau beranggapan bahawa teori latihan kesufian adalah yang terbaik.[1]
RIWAYAT HIDUP
Berbeza dari tokoh-tokoh sufi yang lain, Al-Sha’rāni menulis sendiri[2] tentang riwayat hidup beliau didalam kitab Latoif al-Minan dengan gaya bahasa yang tersendiri.” Aku memuji Allah Ta’ala kerana melahirkan aku dari kerabat diraja. Maka dengan memujiNya jua, aku adalah Abdul Wahab bin Ahmad bin Ali bin Ahmad bin Ali bin Muhammad bin Zūfā bin al-syeikh Musa (yang digelar di Albahansa dengan Abi Imran), datukku yang keenam(yaitu Al-Syiekh Musa) bin Sultan Ahmad[3] bin Sultan Said bin Sultan Fāsyin bin Sultan Muhya bin Sultan Zūfa bin Sultan Rayān bin Sultan Muhammad bin Musa bin Al-Syed Muhammad bin Al-Hanafiah bin Imam Ali bin Abi Talib r.a”.
Beliau dilahirkan pada 27 ramadan 898 hijrah bersamaan dengan 1493 masihi, ditempat bernama Qala’syanadah[4] iaitu sebuah perkampungan datuk sebelah ibunya. Kemudian selepas 40 hari kelahirannya, beliau dipindahkan ke perkampungan bapanya iaitu Sāqiyah Abi Sya’roh dan disinilah beliau mula dikenali dengan gelaran Sya’rāni sehinggakan beliau sendiri turut meletakkan gelaran itu pada sesetengah penulisannya. Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya, ketika zaman kanak-kanak beliau telah dihantar oleh bapanya ke Kuttāb[5] bagi menghafal Al-Qur’an. Beliau juga tekun menunaikan solat tepat pada waktunya ketika masih lagi berumur 8 tahun. Sebagaimana yang disebutkan didalam Al-Minan beliau juga menghafal kitab Matan Abā Sujā’ dan Matan al-Ajrūmiah dibawah bimbingan abangnya Al-Syiekh Abdul Kadir. Belum sempat umurnya menjangkau 10 tahun, bapanya telahpun kembali kerahmatullah. Membesarlah beliau sebagai yatim piatu. Menyingkap kembali sejarah kehadirannya ke Kaherah dalam menimba ilmu. Beliau menceritakan “adapun kedatanganku ke Kaherah ialah pada awal tahun 910 hijrah, dan umurku pada ketika itu 12 tahun. Maka aku menziarahi masjid Sidi Abi Al-‘Abbās Al-Qamri, Disitulah aku mengenali Imam Masjid tersebut serta anak-anaknya. Sesungguhnya Allah telah melembutkan hati mereka. Aku tiggal bersama mereka seolah-olah ahli keluarga mereka, aku makan apa yang mereka makan, aku pakai apa yang mereka pakai sehinggalah aku berjaya menghafal berbagai-bagai matan kitab syariyah serta ilmu-ilmu alat yang lain diatas tangan guru-guru yang hebat”[6]. Beliau juga sebelum itu turut mendapat pendidikan di Al-Azhar selama lima tahun[7].
Antara guru-guru yang membimbing beliau sepanjang pengajiannya di Al-Azhar dan Masjid al-Qamri ialah Jalāluddin al-Sayūti, Zakariā al-Ansori, Nāsiruddin al-Qoni, Imam Ramli, Syamsyuddin al-Samanūdi, Syiekh Aminuddin imam masjid Al-Qamri[8] dan lain-lain ulama’ yang mashur pada ketika itu. Kesempatan ini digunakan sebaiknya oleh al-Sya’rāni untuk mendalami ilmu-ilmu Islam. Beliau mempelajari ilmu usul, fikh, tasawūf, tafsir, adab, lughah dan lain-lain, disamping dalam masa yang sama turut berbakti menjadi salah seorang tenaga pengajar disitu. Selepas 17 tahun di Masjid Al-Qamri beliau menyambung pengajiannya di Madrasah Ummu Khūnad. Di sini, keilmuannya teserlah bagaikan bintang yang bergemerlapan. Walaupun mempunyai keilmuan yang tinggi, namun pendekatan sufi tetap menjadi pilihannya. Beliau mendampingi ramai tokoh-tokoh tasawuf sehiggalah dipertemukan dengan Syeikh Ali al-Khāwas.[9] Ali Al-khāwas adalah seorang yang ummi sedangkan Al-Sya’rāni pula mashur dengan keilmuannya[10]. Namun apa yang di sifatkan oleh Sya’rāni tentang gurunya jelas menunjukkan ketokohan beliau[11]. Diawal pentarbiahannya, beliau disuruh menjual kesemua kitabnya,manakala duit dari hasil penjualan itu disedekahkan kepada fakir miskin. Beliau disuruh ‘uzlah daripada masyarat sehingga bersih jiwanya. Beliau kemudiannya disuruh pula bercampur dengan masyarakat supaya dapat bersabar atas tomahan dan kebencian mereka disamping sentiasa berzikir kepada Allah s.w.t. Berkat kesabaran serta ketaatan beliau, Allah telah membukakan segala pintu-pintu ilmu dan ma’rifah kepadanya sehingga digelar dengan gelaran Kutub.
Beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 973 hijrah dan dimakamkan di Zawiyahnya yang kini dikenali dengan Masjid Abdul Wahab Al-Sya’rāni, di Bāb Al-Sya’riah, Kaherah, Mesir. Jenazahnya dihadiri oleh semua golongan manusia termasuk Ulama’ Fuqaha’ dan juga menteri-menteri[12].
HASIL KARYA
Semasa hayatnya, Sya’rāni menghasilkan begitu banyak karya-karya agong yang meliputi bidang tasawūf, fikh, usul, tafsir, hadith, nahu, akhlak, perubatan, kimia dan ilmu-ilmu lain. Kebanyakkan karyanya dimuat dalam 2 jilid, namun ada juga karyanya yang menjangkau sehingga 5 jilid. Jumlah keseluruhan karyanya menjangkau lebih daripada 70 buah buku.[13]Antara karya-karya yang beliau tinggalkan seperti berikut:
1. Anwār al-Qudsiah Fi Ma’rifati Kawāid al-Sūfiah, iaitu kitab yang akan dibincangkan secara terperinci selepas ini.
2. Anwār al-Qudsiah Fi Ma’rifati Adāb al-‘Ubūdiah, Kitab ini mempunyai tiga bab yang secara keseluruhannya menekankan soal akhlak dan adab,juga nasihat sebagai panduan bagi mereka yang menjalani jalan menuju Allah.
3.Asrār Arkan al-Islam, nama asalnya Al-Fathul Mubin Fi Jumlatin Min Asrār Addin. Membincangkan tentang islam, prinsip-prinsip umum dan ibadah dalam pespektif tasawūf.
4.Al-Bahr al-Maūrūd Fi Mawāsik Wal ‘Uhūd. Pernah diterbitkan pada tahun 1378hijrah.
5.Al-Badr al-Munir Fi Qaribi Ahādis al-Basyir al-Nazir. Tajuk perbahasannya adalah Hadith dan tahrij.
6. Al-Kaūlu Mubin Fil Raddi ‘an al-Syeikh Muhyiddin. Tertumpu kepada mempertahankan kalam-kalam Al-Muhyiddin.( qidam alam,hulul dan ittihād)
7.Al-Mizān Al-Kubrā. Iaitu kitab fikh perbandingan dan mazhab-mazhab dalam usul fikh.
8.Al-Mizān Al-Zurriah. Karya yang merongkai permasalah akidah.
9.Al-Durar al-Mansūrah Fi bayāni Zubdi al-‘Ulūm al-Mashūrah. Iaitu ensiklopedia ulum quran, fikh, usul fikh, agama, nahu, balaghah dan tasawūf.
10.Al-Tobaqāt Al-Kubra atau Lawāqih al-Anwār Fi Tobaqāt al-Akhyār. Biografi Ulama’ Sufi dari Abu Bakar hingga ke zamannya.
11.Al-Akhlāk Al-Matbūliah.Membincangkan akhlak-akhlak yang diambil lebih daripada 70 sahabat Imam al-Matbūli.
12. Al-Jawāhir Wa Dur, Penulisan hasil dari soalan beliau kepada gurunya Al-Khawas.
13.Durar al-Qawās Fi Fatāwā Sidi Ali Al-Khāwas. Fatwa-fatwa gurunya Al-khāwas.
14.Irsyād al-Tolibin Ilā Marātibil Ulama’ al-A’milin. Kitab ini membahaskan secara mendalam beberapa teori Sya’rāni berkaitan syariah, ilmu, ma’rifah, ijtihad, taqlid, ta’wil dan lain-lain lagi.
15. Kasf al-Qummah. Membicarakan persoalan fikh diatas aliran mazhab yang empat.
16. Latoif al-Minan Wal Akhlak. Menyentuh tentang biografi dirinya, doktrin tasawuf dan akhlak-akhlak islam.
17. Lawāqih al-Anwār al-Kudsiah fi Bayān al-‘Uhud al-Muhammadiah.
18. Muhtasor Alfiah li Ibni Mālik. Ilmu nahu
19. Muhtasor Tazkirah Fi Ahwal al-Maūta Wa Umūr Akhiroh. Membicarakan soal kematian, kehidupan semula , alam barzah serta kiamat
20. Muhtasor tazkirah Al-Imam Al-Suwaidi Fi Tib. Perubatan
21 Muhtasor Kitab Sofwatul Sofwah. Biografi sahabat, tabiin dan solihin.
22. Muqaddimah Al-Nahwiyah. Nahu
23.Al-Yawāqid Wal Jawāhir Fi Bayan Aqa’id al-Kabāir. Tasawūf
TEMA PERBINCANGAN SYA’RANI DIDALAM KITAB ANWAR AL-QUDSIAH FI MA’RIFATI QAWAID AL-SUFIAH
Di dalam karya ini, Sya’rāni lebih menekankan tentang doktrin tasawūf itu sendiri. Ini jelas melalui tajuk yang beliau letakkan iaitu “cahaya-cahaya suci didalam mengenali prinsip-prinsip kesufian”. Kaedah ataupun prinsip merupakan asas sesuatu doktrin itu diterapkan, tanpanya tak mugkin sesuatu pegangan itu tertegak. Beliau turut mengukuhkannya dengan memperjelaskan kebenaran amalan kesufian dan salasilahnya daripada sumber asal.
Beliau juga amat menitik beratkan persoalan etika ataupun akhlak dengan menggunakan istilah adab. Pendekatan ini banyak digunakan di dalam karya-karya beliau dengan membahagikan adab kepada beberapa bahagian yang utama. Beliau juga turut menyentuh permasalahan yang bersangkut dengan tazkiah al-nafs.
METODOLOGI PENULISAN
Pembinaan perbincangan beliau dimulai dengan muqaddimah, dilanjutkan perbahasan kepada tiga bab, seterusnya di sudahi dengan khatimah. Didalam muqaddimah, beliau membincangkan secara teperinci beberapa tomahan terhadap beliau. Kemudian meneruskan perbicaraan yang membabitkan pegangan kaum,[14] serta beberapa penjelasan terhadap pendirian kaum yang selari dengan pegangan ahli sunnah wal jamaah. Beliau juga turut mengutarakan sanad talqin zikir, sanad memakaikan qarqah[15] kepada murid dan sejumlah daripada adab-adab zikir.
Dalam bab yang pertama, beliau menekankan adab-adab khas yang perlu ada didalam diri seseorang murid ketika bersendirian. Perbahasan ini dilanjutkan dengan berbagai-bagai tajuk kecil yang berbentuk panduan, nasihat, teladan, penyucian jiwa dan latihan kerohanian. Dalam bab yang kedua pula, beliau menyentuh adab-adab murid ketika bersama gurunya.Terdapat beberapa tajuk-tajuk kecil yang secara umumnya memfokuskan ikatan antara murid dan guru, keizinan guru, perasaan kasih sayang dan alamat bagi seseorang murid yang Berjaya. Manakala bab yang terakhir menyuntuh adab-adab murid ketika besama teman-temannya. Tidak mengasingkan didalam tajuk-tajuk kecil, tetapi mengadunkannya menjadi satu.
Sya’rāni membuat penggulungan dengan menyebutkan adab-adab kaum dan syarat-syarat umum yang perlu ada bagi setiap murid dan juga guru di dalam khatimahnya. Beliau juga turut memadankan kata-kata ulama’ dan peribadi mereka itu di setiap adab yang dibicarakan.
ALIRAN PEMIKIRAN
Kehebatan Sha’rāni didalam bidang keilmuan islam sudah tidak asing lagi. Ini jelas apabila karya-karyanya di terokai serta pemikirannya dikaji. Nicolsan seorang orentalis mengatakan “adalah Sha’rāni seorang pemikir dan pencetus idea baru, beliau meninggalkan kesan hebat lebih-lebih lagi di dalam dunia islam. Dari dahulu hinggalah sekarang kitabnya menjadi buruan sang pembaca”.
Penegasan terhadap pegangan ahli tasawūf.
Sha’rāni dapat merasakan tanggapan negative masyarakat umum terhadap dirinya dan juga ahli tarikat. Justeru, beliau menangkis segala persepsi tersebut dengan katanya “ Sesungguhnya aku dengan memuji Allah s.w.t adalah ahli sunnah, pengikut bagi syariat nabi Muhammad s.a.w” beliau menambah lagi dengan katanya “ tidak aku karang sebuah kitab pun melainkan selepas daripada aku mendalami ilmu-ilmu syariat dan mengkaji segala mazhab ulama’ serta dalil-dalil mereka itu”.[16] Kenyataan ini jelas menggambarkan pemikiran beliau terhadap kebenaran serta sumber tasawūf yang menjadi pegangannya serta ahli-ahli tarekat. Kemudian jika diteliti ungkapan tersebut,istilah “mendalami” serta “mengkaji” adalah berbeza dengan istilah “mengetahui”.[17]Ini bermakna pegangan beliau benar-benar berteraskan landasan ilmu yang bersumberkan Qur’an, sunnah, ijma’ ulama’ dan qias tampa merombak-rongkai syariat yang diturunkan.
Menurut Sha’rāni, konsep ubudiah ahli tasawūf adalah selari dengan pegangan ahli sunnah wal jamaah. Mereka juga bersepakat bahawa Allah itu tuhan yang esa,yang patut disembah didalam ubdiah dan minta tolong di setiap waktu dan masa. Tuhan yang tidak ada sekutu bagiNya, tidak ada anak serta wujud dengan dhatNya tampa perlu kepada yang menjadikanNya. Tuhan yang mencipta alam, tidak perlu kepada tempat kerana Dia yang menciptakan tempat, ,bukan jisim, bukan jauhar , bukan ‘arad serta bukan seumpama apa yang terlintas difikiran. Dialah tuhan yang tiada sesuatupun menyerupainya. Golongan tasawūf juga bersepakat bahawa Nabi Muhammad adalah utusan kepada umat manusia keseluruhannya. Mengkhabarkan segala yang diperintahkan daripada Tuhannya tentang agama kepada kita. Tegas beliau, “Allah tidak akan memberikan pertolonganNya melainkan kepada mereka yang menjunjung syariat yang diturunkan keatas lidah-lidah rasulNya”.[18]Berdasarkan kenyataan ini, ternyata kebaikan mengikut pandangan beliau hanyalah bagi mereka yang menjunjung agama diatas landasan syariat sedangkan adalah keburukan bagi mereka yang cuba membuat bid’ah.
Konsep kesohehan amalan.
Keraguan adalah penyebab utama sesuatu amalan itu dipertikai, ia lebih menyedihkan apabila menjadi salah satu sebab kenapa amalan itu tertolak. Kurangnya pengetahuan ataupun terlalu bersikap ambil mudah merupakan punca fenomena ini berlaku, Dalam menyelesaikan permasaalahan ini, pendekatan yang digunakan oleh Sha’rāni adalah menyatakan kebenaran serta mengemukakan hujah bagi setiap amalan yang dilakukan.Selanjutnya, memberi penerangan yang sempurna dan mendalam didalam merungkai segala permasalahan tersebut. Antara isu yang menjadi perbahasan hebat di kalangan mereka adalah kesohihan sanad talqin kalimah syahadah secara individu dan berjemaah, sanad zikir dan sanad memakaikan qarkhah. Namun, pendekatan ini berjaya membuktikan kesohehan amalan tersebut berdasarkan bukti-bukti yang kukuh sekaligus meningkatkan keyakinan kaum serta dapat meleraikan segala kekusutan yang melanda. Setelah beliau merungkai punca permasalahan, barulah beliau masuk kepada menceritakan kepentingan amalan tersebut.
Teori penyucian jiwa.
Sha’rāni berpandangan, taubat merupakan rukun yg utama didalam membersihkan jiwa. Baginya, sepertimana solat itu tidak diterima jika terkena najis begitu juga penjalanan tarikat tidak akan diterima jika disertakan dengan maksiat. Jalan terbaik sebagai penyelesaian adalah dengan bertaubat. Selain dari taubat, melazimi zikir dan membaca al-qur’an juga merupakan ubat terbaik dalam menyucikan jiwa.
Adab keperibadian seseorang murid(sālik).
1. Memahami ilmu agama. Bagi Sha’rāni, kefahaman dalam agama adalah asas sebelum seseorang murid menjalani jalan tarekat.Semestinya murid itu perlu menjaga adab-adab syariat serta berjalan di atas landasannya.Ini kerana tasawūf dan ilmu merupakan dua benda yang selari dan tak mugkin dapat dipisahkan. Kecacatan didalam memahami syariat boleh membawa murid itu melanggar hukum-hukum tuhan.
2. Memilih guru (syeikh). Sha’rāni berpandangan, menjadi keperluan bagi seseorang murid memilih guru yang mahir didalam ilmu-ilmu syariat sebagai syeikh tarikatnya. Perkara ini dapat menyekat murid dari bercampur dengan guru-guru yang lain sehingga menyebabkan gurunya berkecil hati. Bagi beliau, seseorang guru yang kurang mahir boleh menyebabkan kecenderungan murid kepada guru yang lain melonjak. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku didalam tradisi tarikat. Sha’rāni juga sependapat dengan Muhyiddin ‘Arābi dengan memetik katanya “ seperti mana alam ini tidak wujud dari dua tuhan, mukallaf tidak dari dua rasul, isteri tidak dari dua suami, begitu juga murid tidak dari dua syeikh”.[19] Menurut beliau, konsep kerohanian adalah berbeza dengan jasmani kerana dibentuk atas dasar tauhid yang murni. Namun pandangan ini berbeza dengan situasi yang lain apabila seseorang murid mengambil syeikh yang baru selepas kematian syeikh yang pertama atau diatas keizinan syeikhnya.
3. Adab berguru. Mengikut sha’rāni , perkara pokok dalam berguru adalah menanamkan perasaan kasih dan sayang yang mendalam terhadap guru. Kerana guru dianggap sebagai wasilah yang menghubungkan diantara murid dan Allah s.w.t. Jika diteliti, mungkin juga kita dapat umpamakan seperti buku yang menjadi wasilah bagi kita di dalam mendapatkan ilmu. Beliau juga berpendapat bahawa seseorang yang menolak wasilah adalah munafiq. Kenyataan ini jika dikaji, mungkin ada logiknya. Antara sifat-sifat orang munafik adalah ucapannya tidak sama seperti apa yang di iktiqadkan. Begitu juga, orang yang mengaku rasul itu adalah guru tetapi tidak mengasihinya.
4. Ketika bersama rakan seperjuangan. Dalam mengemukakan pandangan, Sha’rāni hanya menumpukan kepada perkara-perkara yang dianggap penting antaranya beliau menekankan murid supaya jangan meninggalkan majlis zikir sebelum majlis itu berakhir. Beliau berpandapat, kelakuan demikian boleh menyebabkan jatuhnya semangat rakan-rakan yang lain. Menurutnya lagi, seseorang murid perlu menasihati kawan-kawan yang lain serta mengajarkan adab-adab syariat dan kesufian. Kerana ini dapat membantu seseorang murid itu memperbetulkan dirinya juga.Beliau juga menekankan murid supaya berlumba-lumba didalam setiap amalan yang mempunyai kebaikan samaada berbentuk keduniaan ataupun akhirat. Bagi beliau berkhidmat adalah jalan terbaik dalam meningkatkan kerohanian.
KESESUAIAN IDEA SHA’RANI DALAM MENYELESAIKAN ISU SEMASA
Ketokohan Sha’rāni memang sudah tidak perlu disangkal lagi, idea-ideanya banyak dikaji serta dipraktikkan dikalangan ahli tarekat sejak dulu hinggalah sekarang. Tetapi apa yang menyedihkan ideanya tidak banyak dipraktikkan di dalam masyarakat umum. Jika kita meneliti semula, banyak idea-idea beliau yang boleh diserapkan kedalam masyarakat bagi menyelesaikan berbagai-bagai isu semasa yang melanda Malaysia hari ini. Antara idea-idea beliau yang boleh dipraktikkan adalah seperti berikut :
1.Perlunya setiap individu itu memperkasakan diri dengan ilmu fardu ain serta ilmu-ilmu asas agama yang lain.Idea ini selari dengan tuntutan agama islam sekaligus jika dipraktikkan ia dapat meningkatkan modal insan disamping mengurangkan gejala-gejala tidak sihat dikalangan masyarakat.
2.Konsep talkin syahadah juga adalah diantara perkara yang perlu di titik beratkan pada masa kini. Mengucapkan semula syahadah bukannya menafikan keislaman seseorang bahkan memantapkan lagi keimanannya. Sejarah membuktikan Islam di alam melayu lahir dari pendakwah yang datang dari tanah arab. Namun sejarah juga membuktikan masyarakat melayu islam menempuhi berbagai-bagai rintangan sehingga ke hari ini. Antara kemelut yang melanda umat melayu islam adalah mengamalkan semula perkara kurafat yang telah ditinggalkan sejak kedatangan islam kealam melayu. Sebagai contoh berlakunya pergaduhan antara kaum yang dilakarkan dalam peristiwa 13 mei 1969 banyak memberikan kesan yang mendalam dari pespektif akidah.
Akibat tekanan pada waktu itu, masyarakat melayu kembali mencari kekuatan dengan menuntut semula ilmu-ilmu silap sebagai bekalan diri tampa menyedari mereka telahpun menggadaikan keimanan mereka. Seterusnya mereka tidak kembali bertaubat serta melafazkan kembali kalimah iman iaitu syahadah. Perkara ini secara tidak langsung meninggalkan berbagai-bagai persoalan, bagaimanakah dengan amalan mereka? Menjadi wali, saksi, berkahwin dan adakah semua ini dikira sebagai amalan islam? Jika tidak, bagaimana dengan status zuriat yang lahir dari kuturunan mereka?Banyak lagi contoh-contoh yang boleh kita kaitkan dengan isu ini. Sebagai penyelesaian terbaik adalah menjadi keperluan bagi seseorang individu itu melafazkan semula syahadah dengan niat menerima kefarduan agama islam ketika baligh.
3. Adab murid dengan guru jika dipraktikkan di sekolah-sekolah dapat meningkatkan nilai moral dikalangan pelajar sekaligus memartabatkan institusi pendidikan negara. Jika diteliti, konsep kasih sayang dapat meningkatkan rasa hormat antara satu sama lain. Guru bijak meletakkan kedudukannya dalam mendidik, manakala murid pula tahu peranannya. Secara tidak langsung komunikasi antara keduanya terjalin.Begitu juga jika konsep ini diserapkan dalam institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan, ia akan menambahkan lagi keharmonian sesama insan.
4.Tidak mementingkan diri dan tahu menjaga senstiviti orang lain, idea ini diambil dari larangan Sha’rāni kepada murid yang bersegera meninggalkan majlis zikir sebelum berakhirnya majlis. Akhir-akhir ini, banyak kita dengar ungkapan yang menyakitkan telinga, gerak-geri serta tingkah laku perbuatan yang menyakitkan mata serta meloyakan. Semua ini berlaku kerana tingginya sifat keegoan, mementingkan diri sendiri dan tidak memikirkan senstiviti orang lain.
5.Penggabung jalinan antara akidah,syariat dan akhlak(tasawūf) adalah pekara pokok pada hari ini. Mengasingkannya membuatkan manusia tersasar dari jalan yang sebenar. Sebagai contoh apa yang berlaku hari ini, wujudnya ajaran sesat, fahaman liberal dan berbagai-bagai lagi aliran sonsang lain berpunca dari sikap memisahkan perkara diatas. Seseorang yang benar, apabila dia belajar sesuatu ilmu islam dia mampu menyuaikan dengan ilmu-ilmu islam yang lain. Akan tetapi, jika ilmu yang dipelajari membawa kepada menjauhkan, dia ataupun ilmunya mempunyai masaalah.
KESIMPULAN
Sha’rāni telah berjaya meletakkan tasawūf pada kedudukannya yang sebenar. Teorinya menjadi panduan kepada umat islam hingga akhir zaman. Idea-ideanya dalam bidang tasawūf telah membawa nafas baru terhadap ahli tarekat yang sebelum ini dikritik dengan berbagai-bagai kritikan. Kejayaan Sha’rāni sepatutnya dijadikan idola sebagai suntikan semangat bagi individu yang mencari keredoan tuhan.
BIBLIOGRAFI
- Abdul Wahāb al-Sha’rāni. . Anwar al-Qudsiah Fi Ma’rifati Kawāid Al-Sūfiah. Bairut Lubnan.
- Dr Ramadan Bustāwesi Muhammad (2007), Analisis kitab Al-Anwār Al-Qūdsiah Fi Ma’rifati Adab al-‘Ubūdiah. Kaherah: Lembaga Perpustakaan Awam Mesir,
- Abdul Wahāb Al-Sya’rāni (1893), Latoif al-Minan Wal Akhlak.
- Prof Muni’ Abdul Halim Mahmud (2003) Analisis kitab Al-Akhlak al-Matbūliah karangan Abdul Wahāb Al-Sya’rāni. Kaherah: Maktabah Iman.
- Dr Sū’ad Māhir Muhammad (2010), Masājid Misr Waaulia’uhā al-solihūn. Kaherah: Dār Kutub al-Masriah.
- Sayyid Mahmud Abu Faid (1967), Jamahratul Aulia’. Kaherah: Muassasah Al-Halābi.
- Abdul Wahāb al-Sha’rāni. Al-Mizān Al-Kubrā. T. T. P.
- Dr ‘Isom Anas al-Zaftāwi (2008) Analisis kitab Irsyād al-Tolibin Ilā Marātibil Ulama’ al-A’milin. Kaherah : Dār Jawame’ al-Kalem.
- Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994), Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.
[1] Dr Ramadān Bustāwesi Muhammad (2007), Analisis kitab Al-Anwar al-Qudsiah Fi Ma’rifati Adab al-‘Ubudiah. Kaherah: Lembaga Perpustakaan Awam Mesir, h. 7.
[2] Beliau inginkan gambaran yang sebenar tentang riwayat hidupnya kerana kebanyakkan penulisan terhadap golongan tasawuf tersasar daripada hakikat yang sebenar.
[3] Iaitu sultan di negeri Talmasan pada zaman Syiekh Abi Madyan Al-Ma’ribi. Manakala anaknya Syiekh Musa merupakan murid bagi Abi Madyan. Mungkin ini yang dimaksudkan dari keturunan raja dalam kenyataan Al-Sya’rāni. Datuknya Syiekh Musa merupakan seorang murid yang taat. Beliau patuh atas segala arahan gurunya sehinggalah beliau dihantar sebagai utusan ke Soid, Mesir.
[7] Prof Muni’ Abdul Halim Mahmud (2003) Analisis kitab Al-Akhlak Al-Matbūliah karangan Abdul Wahāb Al-Sya’rāni. Kaherah: Maktabah Iman. Jil.1, h 70.
[9] Beliau berasal di Berlis, satu perkampungan di Wilayah Karf al-Syeikh, Mesir. Kemudian berhijrah ke Kaherah. Terkenal dengan sifat merendah diri, pemurah dan suka berbakti. Menghabiskan hidupnya dengan berbakti di rumah Allah. Beliau wafat di kaherah dan disemadikan di Syāri’ Al-Khāwas, Hayyu Husainiah berhampiran dengan Bāb al-futūh. (Dr Suad Māhir Muhammad (2010), Masājid Misr Waaulia’uha Al-solihun. Kaherah: Dār Kutub al-Masriah, j. 5, h. 139.)
[10] Dr Toha Abdul Bāqi menyifatkan hubungan antara Al-Khāwas dengan Sya’rāni sebagai satu daripada dalil kebesaran martabat guru di dalam menjalani Tarekat. Ia juga sebagai lambang ketiggian ilmu ladūni. Walaupun Al-Khāwas ummi dan Sya’rāni alim, itu hanyalah hokum luaran, sedangkan dari segi batinnya Al-Khāwas itu alim dan Sya’rāni itu ummi.
[11] Sya’rāni berkata “ Adalah tempoh persahabatanku bersamanya selama 10 tahun itu bagaikan hanya sesaat”
[12] Sayyid Mahmud Abu Faid (1967), Jamahratul Aulia’. Kaherah: Muassasah Al-Halābi, Jil. 2, h. 262.
[13] Dr Suad Māhir Muhammad (2010), Masājid Misr Waaulia’uha Al-solihun. Kaherah: Dār Kutub Al-Masriah, j. 5, h. 115.
[16] . Abdul Wahāb al-Sha’rāni. Anwār al-Qudsiah Fi Ma’rifāti Kawāid Al-Sūfiah. Bairut, Lubnan :Maktabah al-‘Elmiah. J. 1, h. 11&12.
[17] . Mendalami: menjadikan lebih sempurna atau terperinci (pengetahuan atau sebagainya). Mengkaji: menyelidik dan meneliti dengan dalam atau terperinci (supaya benar-benar mengetahui sesuatu, supaya dapat buat keputusan). Manakala mengetahui : memaklumi, mendapati, mengenali. lihat Kamus dewan, edisi ketiga(1997).
[...] Abdul Wahāb Al-Sha’rāni Tokoh Tasawwuf Yang Berjaya Dalam Memurnikan Semula Aliran Kesufian [...]
ReplyDelete[…] Pengarang kitab: Arif Billah Syeikh Abdul Wahab As-Sya’rani […]
ReplyDelete