بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah tuhan sekelian alam. Selawat dan salam atas penghulu kita nabi Muhammad dan atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya. Toharah adalah asas kehidupan ibadat seorang muslim. Kenyakkan ibadat-ibadat khusus dibina diatasnya. Kegagalan memastikan toharah yang sempurna mengakibatkan ketiadaan sah ibadat yang perlu kepadanya seperti sembahyang dan tawaf. Daripada perbincangan kategori toharah adalah perbicaraan tentang darah perempuan iaitu haid dan nifas dan istihadhah.
Sebenarnya sangat kurang orang yang benar-benar mengetahui dan mahir tentang permasaalahan ini, kerana sememangnya ianya agak rumit lebih-lebih lagi tidak ramai orang mempelajarinya dengan serius. Hakikatnya masaalah-masaalah darah perempuan sentiasa berlaku dari masa kesemasa walaupun ia tidak ditonjolkan seperti mana masaalah ibadat-ibadat yang lain. Akibatnya daripada ini ramai dikalangan wanita tidak mendapat maklumat dengan tepat tentang masaalah yang amat penting ini. Yang pasti daripada ini mereka-mereka yang terlibat dengan masaalah darah yang rumit seperti istihadhah terdedah kepada bahaya tidak sempurna amal ibadatnya dan melakukan perkara yang mana mereka dilarang melakukannya dalam keadaan mereka tidak menyedarinya.
Risalah kecil ini membicarakan permasaalahan darah perempuan yang saya petik daripada kitab Sabiilal Muhtadiin karangan syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, rahimahullah. Permasaalahan darah perempuan dibincangkan dengan sangat baik dan luas didalam kitab ini. Saya permudahkan ia dengan menyunting bahasanya supaya ianya lebih semasa dan mempunyai ciri-ciri bahasa turas Melayu, dan saya letakkan ia didalam bentuk susunan yang mudah untuk dibaca dan diulang kaji. Saya anggap risalah ini sebagai terjemahan dari bahasa Melayu kelasik kepada bahasa Melayu yang lebih semasa dan juga sebagai tafsiran ringkas saya kepada i’barat asalnya, dengan harapan risalah ini boleh dijadikan panduan untuk memahaminya. Maka kerana itu sebarang kesalahan pada risalah ini tidak boleh dibangsakan kepada pengarang asalnya, tetapi kepada saya dengan kecuaian dan kekurangan saya.
Saya namakan ia Taisiir al-Muhtadiin, pada mengetahui keadaan-keadaan darah perempuan. Semoga Allah menjadikan penuntut-penuntut ilmu berminat untuk mendalami permasaalahan darah ini dengannya dan menjadikannya bermanfaat kepada orang-orang yang memandang kepadanya dan mempelajarinya. Hanya dariNya saya memohon taufik dan hidayah dan keatasnya saya berserah dan kepadanya saya kembali. Walhamdulillahi rabbil a’lamin.
NURUZZAMAN M.D 12 - Zul Kaedah –1422
*****************************************************************************
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
BAB HAID DAN ISTIHADHAH DAN NIFAS
Fasal, pada menyatakan haid.
(1) Makna haid pada bahasa;…mengalir (السيلان)…dan makna haid pada syara’;…darah tabi’e yang keluar daripada penghujung rahim perempuan pada ketika sihat tubuhnya didalam waktu-waktu yang tertentu. 1
Asal haid didalam syarak
(2) Asal (dalil) pada haid itu firman Allah;
ويسئلونك عن المحيض قل هو أذا فاعتزلوا النساء فى المحيض ولا تقربوهن حتى يطهرن فإذا تطهرن فأتوهن من حيث أمركم الله ولا تعتدوها.
Ertinya : dan mereka bertanya kepada kamu wahai Muhammad tentang haid…Katakanlah; ianya adalah darah yang cemar…Maka hendaklah kamu mengasingkan perempuan-perempuan (tinggalkan jimak) pada ketika haid…dan jangan kamu hampiri mereka itu (untuk jimak) hingga mereka suci (daripadanya)…Maka apabila mereka telah suci maka datangilah mereka itu (kerana jimak)…pada tempat yang diperintah oleh Allah taala (menjauhinya pada ketika haid itu, iaitu faraj)…dan jangan kamu melampauinya (kepada yang lainnya)…dan sabda nabi s.a.w.m;
هذا شيء كتبه الله على بنات آدم
Ertinya : inilah suatu yang telah disuratkan oleh Allah atas anak-anak perempuan Adam…Iaitu haid. Riwayat Bukhari dan Muslim.
Umur terboleh kedatangan haid
(3) Sekurang-kurang tahun haid itu sempurna sembilan tahun Qamariah dengan takrib (hampir)…tidak dengan tahdid (tepat). Maka jikalau seorang perempuan melihat darah sebelum daripada sembilan tahun; kadar yang tiada memuatkan sekali haid dan sekali suci…iaitu lima belas hari atau kurang… maka darah yang dilihatnya itu haid jua…Bersalahan jikalau kurangnya daripada sembilan tahun itu ; kadar yang memuatkan sekali haid dan sekali suci…iaitu lima belas hari atau lebih…Maka darah yang dilihatnya itu darah rosak, bukan darah haid.
Tempoh haid
(4) Sekurang-kurang masa haid adalah kadar sehari semalam dalam keadaan ia berhubung (berterusan)…iaitu dua puluh empat jam…Yang dikehendaki dengan berhubung ini adalah bahawa umpama kapas jikalau dimasukkan ia kedalam faraj nescaya berlumur ia dengan darah…Sekalipun tiada keluar darah itu kepada tempat yang wajib membasuhnya ketika istinja.
(5) Dikaitkan darah yang kadar sehari semalam itu dengan keadaannya…berhubung hanyalah kerana tujuan menyatakan sekurang-kurang haid…Tidak boleh tergambar sekurang-kurangnya melainkan dengan berhubung…Ini kerana, jika darah itu tidak berhubung, iaitu terputus-putus keluarnya…maka tidak sunyi ada kalanya perhimpunan darah yang bercerai itu sampai sehari semalam, atau tidak…Maka jika sampai, lazimlah lebih darah itu dari sekurang-kurangnya…kerana niqa’ pada selang-selang darah-darah itu adalah juga haid, seperti darah itu sendiri…Jika tiada sampai perhimpunannya sehari semalam…maka ia itu bukan haid.
(6) Sebanyak-banyak masa haid itu lima belas hari lima belas malam…sekalipun jika ianya tidak berhubung…Yang ghalib masa haid itu enam hari atau tujuh hari…Semua itu sabit ia dengan periksa (istiqra’) imam kita Syafie’.
Tempoh suci
(7) Sekurang-kurang masa suci diantara dua haid itu lima belas hari lima belas malam…Kerana didalam sebulan pada ghalibnya tidak sunyi daripada sekali haid dan sekali suci…Jadi apabila sebanyak-banyak haid itu lima belas hari lazim bahawa sekurang-kurang suci lima belas hari juga.
(8) Keluar dengan ‘antara dua haid’ oleh suci antara haid dan nifas…Maka harus bahawa ia kurang daripada lima belas hari…samaada terdahulu haid daripada nifas atau terkemudian ia daripadanya.
(9) Rupa masaalah terdahulu haid daripada nifas;…seorang perempuan yang bunting melihat darahnya kadar sehari semalam atau lebih…kemudian dia beranak, selepas daripada putus darahnya satu jam, umpamanya…Maka darah yang dilihatnya sebelum daripada beranak itu adalah darah haid…dan yang keluar selepas daripada beranak itu adalah darah nifas…Masa suci antara keduanya pada contoh ini satu jam.
(10) Rupa masaalah terkemudian haid daripada nifas;…seperti putus darah nifas selepas daripada enam puluh hari…selepas daripada satu jam umpamanya keluar darah kadar sehari semalam atau lebih…Maka darah yang keluar itu darah haid…Masa suci antara keduanya pada contoh ini satu jam.
(11) Adapun jika putus darah nifas didalam enam puluh hari…kemudian keluar darah kadar sehari semalam atau lebih, sebelum daripada sempurna enam puluh hari itu…maka darah yang keluar itu darah nifas jua bukan darah haid…Melainkan jika ia keluar selepas daripada lima belas hari…Maka darah itu adalah darah haid.
(12) Tiada had bagi sebanyak-banyak suci…kerana kadang-kadang tiada berhaid seorang perempuan didalam seumur hidupnya…melainkan hanya sekali sahaja…dan terkadang-kadang dia tiada berhaid sekali-kali didalam seumur hidupnya.
(13) Yang ghalib daripada masa suci adalah masa yang tinggal daripada sebulan selepas daripada ghalib haid itu…Telah terdahulu perkataan bahawa ghalib haid itu enam hari atau tujuh hari…maka ghalib suci itu dua puluh empat atau dua puluh tiga hari…Ini sekiranya bulan itu genap tiga puluh hari…Sekiranya ia kurang sehari semalam…maka ghalib suci itu dua puluh dua atau dua puluh tiga.
(14) Jika umpamanya berlaku adat seorang perempuan atau lebih dengan menyalahi had darah yang paling kurang atau had yang paling banyak yang telah tersebut itu…tidak diikuti adat itu… kerana menyalahi periksa imam kita Syafie’ dan sekelian ulamak… yang mana periksa mereka itu terlebih sempurna…Meninggalkan darahnya itu diatas darah rosak adalah terutama daripada menyalahi keberkekalan adat yang sabit dengan pemeriksaan mereka itu.
Perkara yang ditegah dengan sebab haid dan nifas
(15) Haram dengan sebab haid dan nifas oleh apa yang haram dengan sebab janabah…daripada sembahyang, tawaf, sujud tilawah, sujud syukur, khutbah jumaat, menyentuh mashaf, berhenti didalam masjid dan membaca Quran dengan kasad Quran…Haram pula lebih daripada yang tersebut itu lima perkara.
-Pertamanya;…lalu didalam masjid, jika dia takut menitik darahnya, kerana memelihara masjid daripada kena najis…Jika dia tidak takut, maka tidaklah haram, hanya makruh sahaja…Sama seperti orang yang berhaid adalah tiap-tiap orang yang ada pada badannya atau kasut yang ditanggungnya najis yang basah…Maka haram atasnya lalu didalam masjid…Tetapi jika dia tidak takut akan demikian itu maka tidak haram dan tidak makruh…Inilah perbezaan diantaranya dan perempuan perempuan yang berhaid.
-Keduanya;…mandi atau tayammum kerana mengangkatkan hadath atau kerana ibadat…Maka ianya haram…melainkan segala mandi sunat pada haji…maka ianya sunat.
-Ketiganya;…puasa, maka ianya haram lagi tiada sah, dengan ijmak…kerana sabda nabi s.a.w.m;
أليس إذا حاضت المراة لم تصل ولم تصم.
bukankah apabila berhaid seorang perempuan tiada sembahyang dan tiada puasa dia…Ertinya haram keduanya atasnya…Riwayat Bukhari dan Muslim…Walau bagaimanapun wajib dia mengqadha puasa…Bersalahan sembahyang…Maka tiada wajib atasnya mengqadhanya…kerana hadith Muslim daripada A’isyah r.a, katanya;…
كنا نؤمر بقضاء الصوم ولا نؤمر بقضاء الصلاة.
adalah kami diperintahkan dengan mengqadha puasa dan tidak kami diperintahkan dengan mengkadha sembahyang…Lagi pula kerana sembahyang itu banyak…maka masyaqqah mengqadhanya…bersalahan puasa.
Apabila tiada wajib atasnya mengqadha sembahyang…maka adakah sunat bagi dia mengqadhanya atau makruh atau haram?…Bersalah-salahan ulamak pada yang demikian itu atas dua kaul…Kata satu jamaah daripada ulamak mutaqaddimiin seperti Ibnu Shabbagh dan Ruyani dan Ibnu U’jail;…makruh mengqadhanya…Dii’timadkan pendapat ini oleh Syeikhul Islam dan syeikh Ramli…Kata Baidhawi;…haram atas dia mengqadhanya…Menetapkan pendapat ini Ibnu Sholah dan imam Nawawi…dan jazam dengannya syeikh Jalalul Mahalli…dan merajihkannya syeikh Ibnu Hajar.
Apabila hukum mengqadhanya itu makruh atau haram…adakah sah sembahyangnya atau tiada sah?…Maka yang dirajihkan oleh syeikh Khatib Syarbini dan syeikh Ibnu Hajar didalam Mughni dan Tukhfah…adalah bahawa tidak sah sembahyangnya…Yang dirajihkan oleh syeikh Ramli didalam Nihayah adalah sah sembahyangnya.
-Keempatnya;…menyentuh barang yang diantara pusat dan lututnya dengan tiada berlapik…sekalipun dengan tiada syahwat…Samaada menyentuh itu dengan tangan atau dengan kaki atau dengan zakar atau dengan lain daripadanya…dan samaada menyentuh dengan zakar itu dengan tiada setubuh serta tiada berlapik atau dengan setubuh dan jika dengan berlapik sekalipun…Maka sekelian itu haram dengan sebab haid dan nifas…Kata sebahagian ulamak;…tiada haram menyentuh barang yang diantara pusat dan lututnya dengan selain daripada setubuh.
Setubuh pada faraj perempuan didalam masa masih keluar darahnya itu adalah dosa besar…jika dia tahu akan haramnya, lagi dengan sengajanya, lagi dengan ikhtiarnya…Barang siapa yang menghalalkannya jadilah dia kafir…Adapun mengiktikadkan halal setubuh kemudian daripada putus darah dan dahulu daripada mandi…atau pada akhir darah dan daifnya…seperti ada ia kuning atau keruh…maka tiadalah kufur dengannya, seperti yang tersebut didalam al-Anwar dan lainnya…kerana khilaf ulamak pada yang demikian itu
-Kelimanya;…talak, dengan syarat-syaratnya yang lagi akan datang pada babnya…Maka ianya haram, kerana terhasil masyaqaah bagi perempuan yang ditalakkan dengan sebab lanjut masa i’ddahnya…kerana masa haid dan nifas itu tiada dibilangkan daripada i’ddah.
(15) Apabila putus darah haid dan nifas halal baginya mandi kerana mengangkatkan hadas atau tayammum…Tidak halal sebelum daripada mandi atau tayammum itu segala perkara yang diharamkan melainkan dua perkara…
-Pertama; puasa…kerana hilang sebab haramnya, iaitu khusus haid…Bukanlah sebab haramnya itu umum keadaan haid itu hadas…dengan dalil tiada haram puasa atas yang berjunub…kerana jika adalah sebab haram puasa itu yang demikian itu (iaitu umum keadaan haid itu hadas) nescaya haramlah puasa atas yang berjunub.
-Keduanya; talak…kerana hilang i’llat haramnya, iaitu melanjutkan i’ddah…Adapun selain puasa dan talak maka ianya tidak halal melainkan selepas daripada mandi atau tayammum.
Fasal, pada menyatakan istihadah.
(16) Erti istihadhah pada syarak;…darah penyakit yang keluar daripada hujung urat dibawah rahim perempuan didalam masa yang lain daripada masa sebanyak-banyak haid…dan lain daripada masa sebanyak-banyak nifas…samaada ia keluar mengiringi darah haid atau tidak…Kata sebahagian ulamak:…istihadhah itu tertentu pada darah yang berhubung dengan darah haid, dan yang lain daripada itu darah fasad bukan istihadhah….Kata syeikh Ibnu Hajar didalam Syarah Baafadhal:… khilaf itu kembali kepada lafaz jua…
(17) Istihadhah adalah hadas yang berpanjangan…bandingannya seperti kumuh atau wadi atau mazi yang sentiasa keluar…Maka ia tidak menegah akan sembahyang dan puasa dan setubuh dan barang sebagainya…Jadi tidak diharamkan atas perempuan yang istihadhah (mustahadhah) dan orang yang sentiasa keluar kumuh atau wadi atau mazi…apa yang diharamkan atas perempuan yang berhaid dan bernifas.
Aturan wajib untuk sembahyang
(18) Wajib atas mustahadhah membasuh farajnya…Kemudian jika tiada tertahan darahnya daripada keluar melainkan dengan sumbat…maka wajib atasnya menyumbat farajnya dengan umpama kapas…jika tidak kesakitan dia dengan sumbat itu disebab terkurung darahnya…dan jika tidak adalah dia berpuasa…Jika tidak memadainya oleh sumbat sebab banyak darah serta tiada tertahan darah dan tiada kurang melainkan dengan cawat…maka wajib pula atasnya bercawat dengan kaifiat cawat yang masyhur…jika tiada kesakitan dia dengan bercawat...
(19) Adapun jika kesakitan dia dengan keduanya maka tiada wajib keduanya atasnya…Jika dia berpuasa, maka wajib atasnya menanggalkan sumbat pada siang hari…Jikalau keluar darah kemudian daripada sumbat dan bercawat…dengan tiada kecuaian pada menyumbat dan mengikat cawat itu…maka ianya tidak mengapa.
(20) Wajib atasnya kemudian daripada bercawat itu mengambil wuduk atau bertayammum…Wajib keadaan membasuh faraj, menyumbatnya, bercawat dan mengambil wuduk atau bertayammum bagi tiap-tiap fardhu didalam waktunya…sekalipun jika tiada beralih cawat itu dari tempatnya dan tiada nyata darah pada sekelian pihaknya…Tidak memadai mengerjakan segala yang tersebut itu sebelum daripada masuk waktu…seperti hukum tayammum.
(21) Wajib atasnya mengerjakan empat perkara itu dengan tertib…seperti yang tersebut itu dengan tiada berlambatan…seperti disumbatnya farajnya mengiringi istinja’, bercawat mengiringi menyumbat dan mengambil wuduk atau bertayammum mengiringi bercawat dengan tiada berlambatan...Maka tiada harus dia melambatkan tiap-tiap yang terkemudian daripada perkara yang mendahuluinya.
(22) Tatkala dia selesai mengambil wuduk atau tayammum…wajib atasnya segera mengerjakan sembahyang…kerana mengurangkan hadath barang sedapatnya…tetapi tiada mengapa terlambat sedikit kerana maslahat sembahyang…seperti menutup aurat, ijtihad pada kiblat, menanti jamaah, menjawab orang yang azan dan iqomah dan barang sebagainya…daripada kesempurnaan yang dituntut kerana sembahyang…Maka jika dia terlambat dengan selain maslahat sembahyang seperti makan umpamanya…batallah wuduknya…Maka wajib atasnya mengulangi sekelian yang tersebut itu…sepertimana apa yang telah terdahulu keterangannya.
Batal wuduk dengan terputus darah istihadhah
(23) Jika putus darah istihadhah selepas daripada mengambil wuduk atau didalam mengambil wuduk…wajib atasnya membasuh farajnya dan mengambil wuduk atau bertayammum…kerana ihtimal sembuhnya daripada istihadhah itu…kerana ‘asal’ adalah ‘ketiadaan kembali keluar darah itu’…Wajib pula atasnya mengulang sembahyang yang telah dikerjakannya dengan toharahnya yang terdahulu itu…kerana nyata batalnya…Melainkan jika keluar kembali darahnya pada masa hampir…sekira-kira tiada sempat dia mengerjakan toharah yang lain dan sembahyang didalam masa putus darah itu…Samaada teradat kembali darahnya atau tiada…atau dizankannya hampir kembalinya dengan adat atau dengan khabar orang yang kepercayaan…sebelum dapat mengerjakan toharah dan sembahyang…Maka tidak wajib atasnya mengambil wuduk yang lain kerana kekal wuduknya dengan halnya…dan sembahyanglah dia dengannya…Melainkan jika lanjut masa itu atas menyalahi adatnya…sekira-kira ia meluluskan toharah dan sembahyang…Maka batal wuduknya dan sembahyang yang telah dikerjakan dengan wuduk itu.
(24) Adapun orang yang sentiasa keluar kumuh atau wadi atau mazi…maka dia itu seperti mustahadhah juga pada segala perintah yang tersebut itu…Tiada harus bagi umpama orang yang sentiasa keluar kumuh itu menggantung umpama buluh pada zakarnya…supaya menitik kumuhnya kedalamnya…kerana dia menanggung najis pada selain tempatnya dengan tidak ada dharurat…Maka tiada sah sembahyang sertanya.
(25) Masaalah…Jika tiada tertahan kumuh orang yang sentiasa keluar kumuh daripada keluar…melainkan dengan duduk…maka wajib atasnya sembahyang duduk.
(26) Orang yang sentiasa keluar mani wajib atasnya mandi bagi tiap-tiap fardhu…Orang yang luka yang sentiasa mengalir darahnya atau nanahnya adalah seperti hukum mustahadhah jua…pada hukum wajib membasuh darah dan wajib membalut bagi tiap-tiap fardu…tidak pada hukum yang lain.
Fasal, pada menyatakan hukum mustahadhah dan bahagiannya.
(27) Apabila seorang perempuan yang berumur sembilan tahun atau lebih melihat darahnya keluar kadar sehari semalam atau lebih…dan tidak ia melampaui lima belas hari…dan tidak ada tinggal atasnya oleh baki daripada suci yang lalu…maka darah yang dilihatnya dan selang-selangnya yang tiada keluar darah itu adalah haid sekeliannya…Samaada perempuan itu baharu haid atau sudah beradat haid…samaada ia muafakat dengan adatnya atau bersalahan…dan samaada darah itu diatas satu sifat seperti hitam sekeliannya atau merah sekeliannya atau kuning sekeliannya…atau adalah ia diatas beberapa sifat.
(28) Maka jika dia melihat darah hitam lima hari…kemudian keluar darah merah…nescaya dihukumkan darah hitam dan merah itu haid sekeliannya…dengan syarat jika putus darahnya tatkala genap lima belas hari atau dahulu daripadanya…Maka jika tiada putus darahnya bahkan ianya berkekalan…maka haidnya itu darah hitam yang lima hari itu sahaja… dan yang merah itu darah istihadhah. Lagi akan datang kenyataannya.
(29) Adapun jika tinggal atas perempuan itu baki daripada suci yang terdahulu…seperti dilihatnya tiga hari darah kemudian dilihatnya dua belas hari niqa’, tiada keluar darah…kemudian maka dilihatnya tiga hari darah kemudian putus ia…maka darah tiga hari yang pertama itulah haid dan darah tiga hari yang kemudian itu darah rosak…Ia serta dua belas hari niqa’ yang dahulunya itu hukum suci…Jika tiada putus yang demikian itu malahan berkekalan ia, maka ditilik;…jika dia itu seorang yang baharu berhaid maka adalah haidnya itu kadar sehari semalam jua…dan jika dia sudah beradat haid maka hendaklah dia mengamalkan adatnya, pada kadar haidnya dan waktunya…Lagi akan datang kenyataannya.
(30) Apabila seorang perempuan yang sudah beradat haid melihat darahnya lima hari pada permulaan bulan…sepertimana adatnya… kemudian putus darah itu empat belas hari…kemudian maka kembali keluar darah itu hingga berkekalan…Maka sehari semalam daripada permulaan darah yang kembali keluar itu hukum suci… seperti empat belas hari yang dahulunya…dan lima hari yang kemudiannya itu dihukumkan haid…Kemudian, sentiasalah berkekalan daurnya itu dua puluh hari.
(31) Apabila seorang perempuan melihat darahnya keluar pada masa terboleh kedatangan haid…wajib atasnya meninggalkan sembahyang dan puasa dan barang sebagainya, daripada apa yang haram dengan sebab haid. Kemudian…jika putus darah itu sebelum genap sehari semalam…nyatalah darah itu bukan daripada haid...Maka wajib atasnya mengqadha sembahyangnya…dan puasanya yang dia tinggalkan dalam masa itu…Jika putus darah itu selepas daripada sehari semalam…nyatalah darah itu haid jua.
(32) Demikian lagi dengan semata-mata putus darah haid…yang alamatnya jika dimasukkan kapas kedalam farajnya kemudian dikeluarkan nescaya adalah ia putih dengan bersihnya…wajiblah atasnya mandi untuk mengerjakan ibadat seperti sembahyang dan puasa dan barang sebagainya…kemudian jika kembali keluar darah itu sebelum genap lima belas hari, wajib pula atasnya meninggalkan sembahyang, puasa dan barang sebagainya…Jika putus darah itu wajib pula atasnya mengerjakan ibadat yang tersebut itu…Demikianlah, hingga lalu lima belas hari…maka pada ketika itu dikembalikan perempuan itu kepada adatnya jika dia sudah beradat haid, atau dihukumkan haidnya sehari semalam jika dia baharu kedatangan haid.
(33) Jika darahnya itu tidak melintasi lima belas hari…nyatalah bahawasanya tiap-tiap daripada darah dan selang-selangnya yang tiada keluar darah itu haid jua. Jadi pada bulan yang kedua dan yang ketiga dan yang kemudiannya…hendaklah diperamalkan hukum haid dan suci seperti pada bulan yang pertama jua.
(34) Apabila darah seorang perempuan melampaui sebanyak-banyak haid…dan dinamakan dia mustahadhah…maka ada kalanya dia itu baharu berhaid atau sudah beradat haid…Tiap-tiap daripada keduanya adakalanya dapat membezakan sifat darah atau tiada dapat membezakannya…Yang sudah beradat haid itu adakalanya ingat akan kadar haidnya ; darah dan waktunya…atau lupa akan keduanya atau salah satu daripada keduanya. Inilah tujuh bahagian perempuan mustahadhah.
Yang mula berhaid dapat membezakan sifat darah (المبتدأة المميزة)
(35) Maka jika dia baharu kedatangan haid lagi dapat membezakan sifat darahnya…seperti dilihatnya darah itu kuat seperti hitam dan lemah seperti merah…maka darah yang lemah itu istihadhah sekalipun lanjut masanya…dan darah yang kuat itu haid dengan syarat ;
1-jika tidak kurang ia daripada sekurang-kurang haid…dan
2-tiada lampau ia akan sebanyak-banyaknya…dan
3-tiada kurang yang lemah itu daripada sekurang-kurang suci berturut-turut…
seperti adalah ia lima belas hari dengan keadaannya berhubung, untuk dijadikan ia suci antara dua haid…Samaada terdahulu darah yang kuat itu atas yang lemah atau terkemudian atau jatuh ia pada pertengahan.
Luput syarat tamyiz
(36) Maka jika tidak diperoleh satu daripada syarat yang tersebut itu…seperti bahawa kurang darah yang kuat itu daripada sekurang-kurang haid…atau melampaui sebanyak-banyaknya…atau kurang darah yang lemah daripada sekurang-kurang suci…atau tiada berturut-turut ia…seperti dilihatnya darah sehari hitam dan sehari merah hingga berkekalan ia seperti demikian itu…maka perempuan itu ketiadaan syarat tamyiz…ertinya pembezaan…Lagi akan datang hukumnya…Bersalahan dengan keadaan jikalau dilihatnya darah hitam sehari semalam kemudian dilihatnya darah merah berkekalan hingga beberapa tahun yang banyak…maka bahawa sanya yang lemah itu sekeliannya suci kerana sebanyak-banyak suci tidak ada had baginya.
(37) Syarat yang ketiga itu1 tempatnya jika berkekalan darah...Adapun jikalau ianya putus…seperti dilihatnya sepuluh hari darah hitam dan sepuluh hari darah merah, dan putus ia…maka hendaklah dia mengamalkan tamyiznya…Maka haidnya adalah sepuluh hari darah hitam sahaja…sekalipun jika kurang yang lemah itu daripada lima belas hari.
(38) Demikian lagi, jikalau dia melihat lima hari darah hitam lima hari darah kuning kemudian enam hari darah merah…atau dilihatnya tujuh hari darah hitam kemudian tujuh hari darah merah kemudian tiga hari darah hitam…hendaklah dia mengamalkan tamyiznya. Maka haidnya darah hitam pertama diatas kaul yang muktamad yang disahkan oleh imam Nawawi didalam at-Tahkik dan berjalan diatasnya kebanyakkan fuqaha mutaahkkhirin. Tetapi tempatnya jikalau putus darah itu. Adapun jika berkekalan darah itu…maka perempuan itu ketiadaan syarat tamyiz.
Sifat-sifat darah
(39) Dikenal kuat darah itu dengan warna dan dengan kasar dan dengan bau busuk. Maka warna yang terlebih kuat itu hitam kemudian merah kemudian merah bercampur kuning kemudian kuning bercampur putih…Yang kasar terlebih kuat daripada yang halus dan yang berbau busuk terlebih kuat daripada yang tiada berbau…Yang bersifat dengan dua sifat seperti hitam lagi kasar atau berbau busuk terlebih kuat daripada yang bersifat dengan satu sifat…seperti hitam dengan tiada kasar dan tiada bau busuk. Yang bersifat dengan tiga sifat, seperti hitam dan kasar dan bau busuk…terlebih kuat daripada yang bersifat dengan dua sifat, seperti hitam serta kasar atau serta bau busuk.
(40) Jika bertimbangan dua darah itu pada sifat seperti darah hitam serta kasar dan darah hitam serta bau busuk…dan seperti darah merah serta kasar atau serta bau dan darah hitam dengan tiada kasar dan tiada bau, maka yang terdahulu adalah yang kuat…dan ia itulah darah haid.
Berbagai sifat darah
(41) Masaalah. Jika berhimpun darah yang kuat seperti yang hitam dan yang lemah seperti yang merah dan yang terlebih lemah seperti yang kuning…maka yang hitam serta yang merah itu haid dengan tiga syarat.
Pertama: hendaklah terdahulu yang hitam.
Kedua: hendaklah berhubung yang merah
dengan yang hitam.
Ketiga: tiada lebih perhimpunan yang hitam
dan yang merah itu daripada lima belas hari.
(42) Seperti bahawa seorang perempuan melihat akan darah lima hari hitam dan lima hari merah…kemudian berkekalan kuning…maka yang hitam dan yang merah itu haid dan yang kuning itu istihadhah, hukum suci jua…kerana diperoleh segala syarat yang tersebut itu.
(43) Jika ada perhimpunan yang hitam dan yang merah itu lebih daripada lima belas hari…seperti dilihatnya darah sepuluh hari hitam dan enam hari merah, kemudian maka berkekalan kuning…atau terdahulu yang merah atas yang hitam, seperti dilihatnya darah lima hari merah kemudian lima hari hitam kemudian maka berkekalan kuning…atau tiada berhubung yang merah itu dengan yang hitam, seperti dilihatnya darah lima hari hitam kemudian lima hari kuning kemudian maka berkekalan merah…maka darah yang hitam dalam tiga masaalah itulah haid…yang merah dan yang kuning istihadhah.
Yang mula berhaid tidak membezakan sifat darah (المبتدأة غير المميزة)
(44) Sekiranya perempuan yang baharu berhaid itu tidak dapat membezakan sifat darah…seperti dilihatnya darah itu diatas satu warna jua, atau diatas beberapa warna…tetapi ketiadaan satu syarat daripada segala syarat yang telah tersebut dahulu itu…maka haidnya jika diketahuinya waktu permulaan datang darahnya adalah sehari semalam jua…dan sucinya adalah yang kemudian daripadanya hingga akhir bulan…dari kerana gugur sembahyang daripada dia didalam masa sehari semalam itu diyakinkan dan gugurnya didalam yang lain daripada itu tiada diyakinkan…Maka tiada ditinggalkan yang yakin melainkan dengan yang yakin seumpamanya…atau dengan tanda yang nyata seperti membezakan sifat darah atau adat.
(45) Walau bagaimanapun pada daur yang pertama, hendaklah dia sabar, jangan mandi hingga lampau darahnya lima belas hari…Kemudian pada ketika itu wajib atasnya mandi dan mengkadha ibadatnya yang ditinggalkan didalam masa yang lebih daripada sehari semalam itu…Pada daur yang kedua wajib atasnya mandi apabila lalu sehari semalam…Adapun jika tiada diketahuinya waktu permulaan datang darah maka perempuan itu ‘Mutahayyirah’…Lagi akan datang hukumnya.
(46) Apabila disebutkan ‘perempuan yang membezakan’ (مميزة) dengan itlak…maka yang dikehendaki adalah perempuan yang menghimpunkan segala syarat yang terdahulu sebutnya.
(47) Masaalah. Apabila seorang perempuan yang baharu berhaid melihat darah merah lima belas hari…kemudian darah hitam lima belas hari…hendaklah dia meninggalkan sembahyang dan puasa didalam masa tiga puluh hari…Adapun didalam lima belas hari yang pertama maka kerana bahawa sanya diharap-harapkan putus darahnya…dan didalam lima belas hari yang kedua maka kerana darah hitam yang dilihatnya menyatakan bahawa darah merah yang terdahulu itu darah istihadhah…bukan darah haid…Kemudian, jikalau darah hitam itu lebih daripada lima belas hari…maka dia itu seorang yang ketiadaan syarat tamyiz…Jadi adalah haidnya sehari semalam pada permulaan darah merah…dan jadilah permulaan daurnya hari ketiga puluh satu.
(48) Maka hendaklah diqadhanya sembahyang dan puasa didalam masa yang lebih daripada kadar haidnya itu…iaitu lima belas hari pada masaalah yang pertama dan sehari semalam pada masaalah yang kedua…Maka tiada diperolehi perempuan yang disuruh meninggalkan sembahyang dan puasa didalam masa tiga puluh satu hari selain daripada perempuan ini.
(49) Adapun mustahadhah yang sudah beradat haid…maka diperoleh orang yang disuruh meninggalkan sembahyang dan puasa didalam masa empat puluh lima hari…Seperti bahawa adalah adat haidnya lima belas hari pada permulaan tiap-tiap bulan…kemudian dia melihat pada permulaan bulan darah merah lima belas hari…kemudian berkekalan darah hitam…Maka disuruh dia meninggalkan sembahyang dan puasa didalam lima belas hari yang pertama kerana berpegang atas adatnya…dan didalam lima belas hari yang kedua, kerana kuat darahnya itu lagi diharapkan tetap tamyiznya…dan didalam lima belas hari yang ketiga, kerana berkekalan darah hitam menyatakan bahawa tempat mengembalikan haidnya adalah adat jua bukannya tamyiz…kerana ketiadaan syaratnya…Maka haidnya lima belas hari pada permulaan bulan…Jadi, hendaklah dikadhanya sembahyang dan puasa didalam lima belas hari yang kemudian daripada masa adatnya dan waktunya. Tidak adalah dia seorang yang membezakan sifat darahnya…maka dikembalikan dia kepada adat haidnya.
Yang beradat dan ingat adatnya. (المعتادة الذاكرة لعادتها)
Adat yang muafakat
(50) Jika seorang perempuan itu telah beradat haid dan ingat akan kadar haidnya dan waktunya…serta tidak dapat membezakan sifat darahnya…maka dikembalikan dia kepada adat haid dan sucinya pada kadarnya dan waktunya.
(51) Sabitlah adatnya jika tiada berlain-lainan dengan sekali jua…Maka jika dia berhaid didalam sebulan lima hari pada permulaan bulan…kemudian dia istihadhah pada bulan yang kedua…nescaya dihukumkan haidnya itu dengan lima hari pada permulaan bulan yang kedua…Sepertimana dihukumkan dia dengannya jikalau berulang-ulang adatnya.
(52) Jika adatnya yang berkekalan itu lima hari pada tiap-tiap bulan…kemudian maka berpindah adatnya kepada enam hari…kemudian istihadhah dia pada bulan berikutnya…nescaya dikembalikan haidnya itu kepada adatnya yang sebelum bulan istihadhah itu…iaitu enam hari. Inilah hukum pada adat yang muafakat.
Adat yang berlain-lainan
(53) Adapun jika adatnya berlainan-lainan…maka sekiranya adatnya itu teratur…tiada sabit adat itu melainkan dengan dua kali. Seperti bahawa dia berhaid didalam satu bulan tiga hari…pada bulan yang kedua lima hari…pada bulan yang ketiga tujuh hari… pada bulan yang keempat tiga hari…pada bulan yang kelima lima hari…pada bulan yang keenam tujuh hari…dan pada bulan yang ketujuh dia istihadhah…nescaya dikembalikanlah haidnya pada bulan yang ketujuh itu kepada tiga hari…pada bulan yang kelapan kepada lima hari…dan pada bulan yang kesembilan kepada tujuh hari. Hingga seperti demikian itulah.
(54) Maka jika tiada berulang-ulang dua adat haidnya…seperti bahawa dia istihadhah pada bulan yang keempat…nescaya dikembalikanlah haidnya kepada tujuh hari…iaitu adat haidnya yang sebelum bulan istihadhah itu…jika dia mengetahuinya…Jika dia lupa peraturan adatnya yang bersalahan itu…atau tiada teratur adatnya atau tiada berulang-ulang daurnya…serta dia lupa akhir gilirnya pada dua masaalah yang kemudian ini…nescaya wajib atasnya mengerjakan ihtiat.
(55) Maka dijadikan haidnya tiga hari didalam tiap-tiap bulan…selepas daripada tiga hari itu adalah dia pada haram setubuh dan apa yang sebagainya…seperti hukum perempuan yang berhaid…dan pada wajib ibadat seperti hukum yang suci…hingga kesudahan tujuh hari…Tetapi hendaklah dia mandi pada kesudahan lima hari dan kesudahan tujuh hari. Kemudian daripada tujuh hari itu adalah dia seperti hukum orang yang suci hingga akhir bulan.
Mustahadhah yang ingat adat dan membezakan sifat darah
(56) Jika dia telah beradat haid dan ingat akan kadar haidnya dan waktunya…dan dapat dia membezakan sifat darah dengan segala syaratnya yang telah tersebut dahulu itu…maka dihukumkan haidnya dengan tamyiz…bukan dengan adat, pada tempat yang adatnya menyalahi tamyiz serta tiada menyelangi antara adat dan tamyiz itu sekurang-kurang suci.
(57) Seperti adalah adat haidnya itu lima hari pada permulaan tiap-tiap bulan…kemudian dia istihadhah. Maka dilihatnya darah merah lima hari pada permulaan bulan…kemudian darah hitam lima hari…kemudian berkekalan darah merah…nescaya haidnya itu darah hitam jua…kerana tamyiz itu terlebih kuat daripada adat… kerana tamyiz itu alamat yang hadhir dan adat itu alamat yang sudah lalu…lagi pula tamyiz itu alamat yang ada pada darah dan adat itu alamat pada yang empunya darah.
(58) Adapun jika menyelangi antara adat dan tamyiz itu sekurang-kurang suci…seperti adalah adat haidnya lima hari pada permulaan bulan…kemudian maka dia istihadhah pada bulan yang kemudiannya…Maka dilihatnya darah merah dua puluh hari kemudian maka darah hitam lima hari…nescaya darah merah lima hari pada permulaan bulan itu adalah darah haid dan darah hitam yang lima hari itu haid yang lain…dan darah merah lima belas hari antara keduanya itu darah istihadhah.
Dengan semata-mata darah wajib meninggalkan sembahyang
(59) Ketahui oleh mu, bahawa sanya perempuan yang telah beradat haid apabila darahnya melampaui adatnya…ditegah padanya apa yang ditegah dengan sebab haid…kerana diihtimalkan putus darahnya atas lima belas hari…Kemudian apabila putus darahnya atas lima belas hari atau kurang…maka sekelian darah itu haid jua…Jika darahnya itu melampaui lima belas hari wajiblah mengkadha ibadat pada masa yang lain daripada adatnya itu…dan pada daur yang kedua dan yang ketiga apabila darahnya melampaui hari-hari adatnya…wajiblah atasnya mandi dan sembahyang kerana telah nyata keadaannya itu istihadah.
Mustahadhah mutahayyirah dan ihtiat (متحيرة مطلقة)
(60) Jika seorang perempuan itu telah beradat haid dan dia lupa akan kadar haidnya dan waktunya…dia adalah perempuan yang tercengang-cengang tentang keadaan haid dirinya…Maka wajib atasnya mengerjakan ihtiat…kerana tiap-tiap masa yang lalu atasnya diihtimalkan bagi haid dan suci dan putus darahnya…Jadi adalah dia pada hukum perempuan yang berhaid pada pihak haram setubuh, menyentuh barang yang diantara pusat dan lutut dengan tiada berlapik, menyentuh mashaf dan membaca Quran diluar sembahyang, kerana diihtimalkan haid…dan dia adalah seperti hukum perempuan yang suci pada pihak tiada haram talak dan pada wajib mengerjakan ibadat yang berkehendak kepada niat seperti sembahyang dan tawaf dan puasa…Maka wajib dia mengerjakan yang demikian itu kerana diihtimalkan sucinya.
(61) Wajib atasnya mandi bagi tiap-tiap fardhu didalam waktunya…kerana diihtimalkan putus darahnya pada ketika itu…jika dia tiada tahu waktu putus darahnya…Jika dia mengetahuinya, seperti tatkala masuk matahari umpamanya…nescaya tiada wajib atasnya mandi pada tiap-tiap malam atau siang melainkan pada ketika masuk matahari jua… Disembahyangkannya dengan mandinya itu akan maghrib…dan mengambil wudhuk dia bagi segala fardhu yang lain daripada maghrib…kerana diihtimalkan putus darahnya pada waktu maghrib jua tiada yang lainnya.
Kaedah qadha puasa bagi mutahayyirah
(62) Wajib diatasnya puasa ramadhan kerana diihtimalkan sucinya didalam sebulan…Kemudian, hendaklah dipuasakannya pula sebulan genap…Maka apabila telah dipuasakannya dua bulan tinggallah atasnya puasa dua hari…jika tiada beradat putus darahnya pada malam…seperti beradat putusnya pada siang hari atau dia syak pada yang demikian itu, kerana diihtimalkan dia berhaid pada lima belas hari…permulaan datang darahnya pada siang hari dan putusnya pada siang hari yang keenam belas…Maka binasalah puasanya enam belas hari pada bulan yang pertama dan enam belas hari pada bulan yang kedua…dan sah puasanya empat belas hari pada bulan yang pertama dan empat belas hari pada bulan yang kedua…Maka jumlah puasanya yang sah dua puluh lapan hari…Jadi tinggal atasnya puasa dua hari…Adapun jika beradat putus darahnya itu pada malam tiadalah tinggal atasnya daripada puasanya suatu apapun.
(63) Maka apabila tinggal atasnya puasa dua hari…hendaklah dipuasakannya untuk keduanya enam hari daripada lapan belas hari…tiga hari pada permulaannya dan tiga hari pada kesudahannya…Maka terhasillah dua hari…kerana jika haid datang pada hari yang pertama nescaya putuslah ia pada hari keenam belas…maka sahlah baginya puasa dua hari yang akhir…dan jika haid itu datang pada hari yang kedua…sahlah puasanya dua hari iaitu yang pertama dan yang akhir iaitu yang kelapan belas…dan jika darahnya itu datang pada hari yang ketiga sahlah puasanya dua hari yang pertama…dan jika ia datang pada hari yang keenam belas sahlah puasanya dua hari iaitu hari yang kedua dan yang ketiga…dan jika ia datang pada hari yang ketujuh belas sahlah puasanya pada hari yang keenam belas dan hari yang ketiga…dan jika ia datang pada hari yang kelapan belas sahlah puasanya pada hari yang keenam belas dan yang ketujuh belas.
Mengqadha puasa sehari
(64) Jika ada yang diqadhanya itu puasa sehari…maka hendaklah dipuasakannya tiga hari daripada tujuh belas hari…iaitu yang pertama dan yang ketiga dan yang ketujuh belas…Kerana haid jika datang ia pada hari yang pertama sahlah puasanya pada hari yang ketujuh belas…dan jika datang ia pada hari yang kedua sahlah puasanya pada hari yang pertama…dan jika kesudahan haidnya itu pada hari yang pertama sahlah puasanya hari yang ketiga…dan jika kesudahannya itu pada hari yang ketiga sahlah puasanya pada hari yang ketujuh belas.
Mustahadhah mutahayyirah nasabiah (متحيرة النسبية)
(65) Jika perempuan yang beradat haid itu ingat kadar haidnya tidak waktunya atau ingat waktunya tidak kadar haidnya…dinamakan dia mutahayyirah nasabiah…Maka apa yang diyakinkan sucinya baginya hukum suci dan apa yang diyakinkan haidnya baginya hukum haid…dan pada masa yang diihtimalkan padanya haid dan suci adalah dia seperti perempuan yang lupa kadar haid dan waktunya pada pihak wajib atasnya mengerjakan ihtiat didalam masa itu.
(66) Maka wajib atasnya mengerjakan ibadat yang berkehendak kepada niat seperti sembahyang, puasa dan barang sebagainya…kerana diihtimalkan sucinya…dan haram setubuh, menyentuh mashaf dan barang sebagainya kerana diihtimalkan haidnya. Wajib atasnya mandi bagi tiap-tiap fardhu jika diihtimalkan putus darahnya.
Mutahayyirah yang lupa akan kadar
(67) Rupa masaalah mutahayyirah yang lupa akan kadarnya dan ingat akan waktunya, seperti bahawa dia berkata : adalah haid aku mula datangnya pada permulaan bulan…dan tiada aku ingat akan kadarnya…Maka sehari semalam pada permulaan istihadhah itu haid dengan yakin…dan nisfu yang kedua pada bulan itu suci dengan yakin…dan barang yang antara keduanya diihtimalkan bagi haid dan suci…serta tiada diihtimalkan putus darah.
(68) Jika dia berkata : aku ketahui putus darah haid ku pada akhir tiap-tiap bulan dan tiada aku ingat akan kadarnya…Maka lima belas hari yang pertama suci dengan yakin…dan sehari semalam pada akhir bulan itu haid dengan yakin…dan barang yang diantara keduanya diihtimalkan bagi haid dan suci serta tiada diihtimalkan putus darah.
(69) Jika dia berkata ; aku ketahui bahawa sanya aku pada akhir tiap-tiap bulan dan permulaan bulan yang kemudiannya adalah aku didalam haid…dan tiada aku ingat akan kadar haid itu. Maka selahzah pada permulaan tiap-tiap bulan dan selahzah pada akhir bulan yang dahulunya haid dengan yakin…dan selahzah daripada akhir yang kelima belas dan selahzah daripada permulaan yang keenam belas suci dengan yakin…dan barang yang diantara lahzah daripada permulaan bulan dan diantara lahzah daripada akhir yang kelima belas diihtimalkan bagi haid dan suci dan putus darah…dan yang kemudian daripada lahzah yang pada permulaan yang keenam belas hingga kepada lahzah yang akhir bulan diihtimalkan bagi haid dan suci dan tiada diihtimalkan putus darah.
Mutahayyirah yang lupa akan waktu
(70) Rupa masaalah mustahadhah yang lupa akan waktu dan ingatnya akan kadarnya…seperti bahawa dia berkata : adalah adat haid aku enam hari didalam sepuluh hari yang pertama daripada tiap-tiap bulan…tetapi tidak aku ingat akan waktu permulaannya. Adakah permulaannya hari yang pertama atau yang kedua atau yang ketiga atau yang keempat…Maka hari yang kelima dan yang keenam itu haid dengan yakin…dan dua puluh hari yang kemudiannya itu suci dengan yakin…dan empat hari yang pertama diihtimalkan ia bagi haid dan suci serta tiada diihtimalkan ia bagi putus darah…Hari yang ketujuh dan yang kelapan dan yang kesembilan dan yang kesepuluh itu diihtimalkan ia bagi haid dan suci dan putus darah.
(71) Jika dia berkata : adalah haid aku lima hari didalam sepuluh hari yang pertama daripada tiap-tiap bulan…tiada aku ketahui akan permulaannya…tetapi aku pada hari yang pertama suci…Maka hari yang keenam haid dengan yakin…hari yang pertama suci dengan yakin…dan dua puluh hari yang kemudian suci dengan yakin…Hari yang kedua hingga akhir hari yang kelima diihtimalkan bagi haid dan suci serta tiada diihtimalkan ia bagi putus darah…dan hari yang ketujuh hingga akhir hari yang kesepuluh diihtimalkan ia bagi haid dan suci dan putus darah.
(72) Jika dia berkata; adalah haid aku sepuluh hari didalam sebulan dan tiada aku ingat akan waktunya. Maka tidak ada baginya yang diyakinkan daripada haid dan suci…hanya sepuluh yang pertama diihtimalkan bagi haid dan suci serta tiada diihtimalkan bagi putus darah…Selepas daripada sepuluh yang pertama hingga akhir bulan diihtimalkan ia bagi ketiga-tiganya.
Fasal. Pada menyatakan niqa’ dan fatrah.
(73) Fatrah adalah satu keadaan yang terselang mengalir darah didalamnya dan tinggal didalam faraj bekas darah…sekira-kira jika dimasukkan kedalamnya kapas nescaya kelihatan pada kapas itu warna darah. Niqa’ adalah satu hal yang terselang keluar darah didalamnya serta tiada tinggal didalam faraj bekas darah…sekira-kira jika dimasukkan kapas kedalamnya nescaya keluar ia bersih…tiada kelihatan padanya warna darah.
(74) Niqa’ yang pada selang-selang darah itu dihukumkam haid dengan tiga syarat.
Pertama; bahawa tiada lampau ia akan lima belas hari. Keduanya; bahawa tiada kurang perhimpunan darah itu daripada sehari semalam.
Ketiga; bahawa niqa’ itu lebih daripada fatrah yang teradat antara darah dan haid…kerana fatrah itu haid dengan tiada khilaf sekelian ulamak.
(75) Darah yang keluar diantara darah anak-anak yang kembar itu adalah darah haid jika diperolehi syarat-syaratnya…Demikian lagi darah yang keluar kemudian daripada keluar anggota yang bercerai daripada anak yang didalam perut…iaitu darah haid apabila diperoleh syarat-syaratnya…bukan ianya darah nifas…kerana keluarnya sebelum kosong peranakkan daripada anak…Demikian lagi darah yang dilihat oleh perempuan yang bunting…maka iaitu darah haid apabila diperoleh syaratnya seperti yang terdahulu kenyataannya.
Fasal. Pada menyatakan nifas.
(76) Erti nifas pada syarak ; darah yang keluar kemudian daripada kosong peranakkan daripada anak atau a’laqah atau mudghah…Sekurang-kurang nifas itu satu lahzah dan sebanyak-banyaknya enam puluh hari…dan yang ghalibnya empat puluh hari…dengan periksa imam kita Syafie radhiallahu anhu.
Perkara yang haram dengan sebab nifas.
(77) Haram dengan sebab nifas oleh perkara yang haram dengan sebab haid…kerana nifas itu adalah darah haid yang berhimpun sebelum daripada ditiupkan roh anak…Kemudian daripada ditiupkan roh padanya adalah darah itu jadi makanan anak…Walau bagaimanapun perbezaan nifas dan haid adalah bahawa haid bertakluk dengannya ‘iddah’ dan ‘istibra’ sedangkan keduanya tiada bertakluk dengan nifas…kerana hasil ‘iddah’ dan ‘istibra’ dahulu daripada nifas…dengan semata-mata beranak…Lagi pula perbezaannya adalah bahawa sekurang-kurang nifas tiada menggugurkan wajib sembahyang…kerana masanya sedikit tiada meluluskan sembahyang…Bersalahan sekurang-kurang haid.
Permulaan masa nifas
(78) Permulaan masa nifas itu mengiringi beranak…ini jika keluar darah nifas itu mengiringi keluar anak…Adapun jika tiada mengiringinya maka permulaan masa nifas itu adalah daripada keluar darah…Diatas kaul ini maka masa niqa’ yang diantara keluar anak dan keluar darah itu bukan ia daripada masa nifas…Maka lazim atas seorang perempuan didalam masa itu segala hukum perempuan yang suci…Maka wajib atasnya mandi wiladah dan sembahyang didalam masa niqa’ itu…tetapi masa niqa’ itu dibilangkan ia daripada enam puluh hari…seperti barang yang dikatakan oleh Bulqini. Demikianlah yang tersebut didalam at-Tuhfah.
(79) Masaalah. Jika seorang perempuan tiada melihat darah nifasnya sekali-kali…adakah harus bagi suaminya menyetubuhinya sebelum daripada mandi atau tayammum? Kata Syihab ar-Ramli : harus baginya menyetubuhinya…Bandingannya seperti menyetubuhi perempuan yang ada atasnya janabah…Jika dia tiada melihat akan darah melainkan kemudian daripada lalu lima belas hari atau lebih…maka tidak ada baginya nifas sekali-kali…dan darah yang dilihatnya kemudian daripada masa yang tersebut itu darah haid bukan darah nifas.
Istihadhah pada nifas
(80) Lampau darah nifas enam puluh hari adalah seperti lampau darah haid lima belas hari…Maka berlakulah disini segala bahagian mustahadhah dengan segala hukumnya…Maka ditilik, adakah dia baharu nifas atau dia telah beradat nifas…dan adakah dia membezakan sifat darah atau tidak membezakannya…dan yang telah beradat nifas itu adakah dia ingat akan adatnya atau lupa akannya…Maka dikembalikan perempuan yang baharu bernifas yang membezakan sifat darah kepada tamyiz…jika tiada lebih darah yang kuat atas enam puluh hari…Berlaku disini oleh yang tinggal daripada segala syarat tamyiz.
(81) Dikembalikan perempuan yang baharu bernifas lagi tiada membezakan sifat darah kepada sekurang-kurang nifas…iaitu satu lahzah…Dikembalikan yang telah beradat nifas yang tiada membezakan sifat darah kepada adatnya…jika dia ingat akannya…Sabitlah adatnya itu jika tiada bersalah-salahan dengan sekali jua…Jika ianya bersalahan maka padanya tafsil yang telah terdahulu pada haid…Sementara mutahayyirah iaitu mustahadhah yang lupa adat nifasnya wajib atasnya mengerjakan ihtiat.
(82) Telah disebutkan oleh syeikh Abu Sahal as Sa’luki akan hikmah dan sebab sebanyak-banyak nifas itu enam puluh hari…tidak lebih darinya…Katanya ; adalah mani didalam rahim perempuan berhenti empat puluh hari…kemudian ia berubah menjadi darah empat puluh hari…kemudian berubah menjadi daging empat puluh hari…kemudian ditiupkan kedalamnya roh…Maka adalah lama masa tetapnya didalam rahim hingga sampai ditiupkan roh itu empat bulan…dan adalah darah haid berhimpun didalam masa itu…Maka apabila sudah ditiupkan roh tiadalah berhimpun lagi darah haid itu…kerana tiap-tiap darah yang keluar dimakan oleh anak yang didalam rahim…Maka adalah jumlah masa yang berhimpun darah haid didalam empat bulan itu enam puluh hari…kerana ditanggungkan bahawa sanya seorang perempuan itu berhaid dengan sebanyak-banyak haid…iaitu lima belas hari…Maka inilah sebab keadaan sebanyak-banyak nifas itu enam puluh hari.
(83) Faedah. Bermula. Setengah daripada segala hukum bab ini bahawasanya wajib atas seorang perempuan belajar daripada segala hukum haid dan istihadhah dan nifas akan apa yang dia perlukan kepadanya. Kemudian jika ada baginya suami yang a’lim…maka wajib atas suaminya mengajarinya…Jika suaminya itu tidak ‘alim maka harus baginya keluar belajar kepada orang ‘alim…Wajib atas suaminya melepaskan dia…haram atasnya menegahnya melainkan sekiranya si-suami itu belajar supaya dia mengajar kemudiannya akan isterinya…Maka pada ketika itu janganlah dia keluar.
Tatimmah. Daripada perkara yang kebanyakkan orang lalai darinya berkaitan masaalah darah ini…adalah masaalah mengqadha sembahyang…Berkata syeikh Muhammad Arsyad al Banjari didalam Sabilal Muhtadin; jikalau hilang segala mani’ yang tersebut itu (perkara yang menegah wajib sembahyang) dari pada sesaorang…seperti baligh kanak-kanak atau masuk Islam kafir asli atau sembuh orang gila atau yang pitam atau yang mabuk atau suci perempuan berhaid atau bernifas…pada hal masih tinggal daripada akhir waktu kadar masa takbir ihram atau lebih…dan selamat dia daripada kedatangan mani’ itu sekadar masa toharah dan sembahyang…nescaya wajiblah atasnya mengqadha sembahyang itu…kerana didapatinya satu juzuk daripada waktunya. Bandingannya seperti wajib atas musafir yang sembahyang qasar mentamamkan sembahyangnya sebab mengikut orang yang sembahyang tamam pada suatu juzuk daripada sembahyangnya.
Wajib pula atasnya serta yang demikian itu mengqadha sembahyang yang sebelumnya…jika dapat sembahyang itu dijamakkan sertanya lagi selamat pula dia daripada kedatangan mani’ kadar masa sembahyang itu dan toharahnya. Maka nyatalah daripada yang demikian itu bahawa wajib atasnya mengqadha zohor serta mengkadha asar dengan mendapat kadar masa takbir ihram pada akhir waktu asar…dan wajib atasnya mengqadha maghrib serta mengqadha isyak dengan mendapat kadar masa takbir ihram pada akhir waktu isyak…kerana asar adalah waktu bagi zohor dan isyak pula waktu bagi maghrib pada ketika uzur…maka pada ketika dharurat terlebih utama.
Wallahu a’lam.
1. tiada kurang yang lemah itu daripada sekurang-kurang suci berturut-turut.
SUMBER:
http://warisanintelek.blogspot.com/
[...] Taisiir al-Muhtadiin, Pada Mengetahui Keadaan-keadaan Darah Perempuan [...]
ReplyDelete