Oleh: MOHD. RADZI MOHD. ZIN (WARTAWAN UTUSAN)
ALLAHYARHAM Wan Muhammad Shaghir Abdullah yang uzur dipapah selepas membentangkan kertas kerja di Muzakarah Alus Sunah Waljamaah oleh keluarga Rawa di Raub, Pahang, bulan lalu. |
SETIAP Isnin, pasti ramai pembaca setia Ulama Nusantara tertunggu-tunggu apakah nukilan terbaru Wan Muhammad Shaghir Abdullah anak kelahiran Pulau Midai, Riau, Indonesia dalam ruangan Agama, Mega.
Bagaimanapun, kita pasti akan terasa kehilangan atau ketandusan tulisan dan manuskrip tokoh yang lebih dikenali sebagai Ustaz Wan Shaghir ini yang dipanggil menghadap Ilahi, semalam.
Beliau meninggal dunia akibat serangan strok pada pukul 10.50 pagi di rumahnya di Taman Melewar, Gombak pada usia 62 tahun.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hamidiah Abdul Majid, 48, dan enam orang anak.
Biarpun penulis tidak pernah bertemu mata, namun komitmen Allahyarham terhadap pengkajian ulama Nusantara amat mengagumkan.
Apa tidaknya, sejak tahun 1958 lagi Allahyarham mengembara dan mengumpulkan pelbagai bahan berkaitan biografi, pemikiran, ketokohan dan perjuangan, analisis teks, transliterasi kitab-kitab lama serta karya ulama silam.
Dalam uzur, Allahyarham menggagahkan diri membentang kertas kerja pada seminar-seminar baik yang diadakan di universiti mahupun oleh pihak lain di dalam dan luar negara.
Walaupun baru keluar dari hospital kira-kira dua minggu lalu, Allahyarham masih terus berkarya. Dan karya terakhir beliau telah dikirim ke ruangan Agama, Mega Rabu lalu untuk siaran 16 April ini.
Semalam, Allahyarham juga dijadual membentangkan kertas kerja pada suatu seminar di Terengganu.
Menurut Hamidiah, cinta suaminya terhadap bidang penulisan tidak pernah padam walaupun semasa terlantar sakit di rumah.
“Walaupun menaip dalam keadaan mata tertutup kerana sakit namun Allahyarham tetap terus berkarya menyiapkan bahan untuk Agama, Mega,” katanya.
Jodoh Allahyarham bersama Utusan Malaysia bermula sejak 12 Februari 2004. Ketika itu Ustaz Wan Shaghir berada di peringkat awal mengumpul, menyebar dan mengembangkan karya tokoh ulama Nusantara ke alam Melayu.
Karya sulung beliau yang disiarkan Utusan Malaysia ialah Syeikh Abdul Lathif Tambi Ulama gigih dan Dermawan.
Allahyarham juga adalah pengasas Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia (Pengkaji) yang didaftarkan pada tahun 1996.
Persatuan ini juga berfungsi sebagai Pusat Penyelidikan dan Penyebaran Khazanah Islam Klasik dan Moden Dunia Melayu.
Bercakap soal penulis yang prolifik, tidak syak lagi Allahyarham adalah salah seorang contohnya. Apa tidaknya, sepanjang lebih tiga tahun bersama Utusan, lebih 100 karya kajiannya telah diterbitkan.
Ini tidak termasuk hasil kerja berbentuk transliterasi teks, kertas kerja, koleksi rencana yang disiarkan dalam buku dan majalah.
Karya-karya itu pula menjadi bahan rujukan bukan sahaja oleh para penuntut institusi pengajian tinggi tetapi juga di kalangan para pengkaji ilmu Islam antarabangsa.
Dalam temu bual bersama Utusan Malaysia pada 12 Februari, Allahyarham memberitahu, “seawal usia 12 tahun saya telah mula mengembara ke Kepulauan Riau dan Sumatera untuk membuat penyelidikan di samping mengikuti pengajian di beberapa pondok di sana.”
Sebenarnya, minat berkarya cucu kepada tokoh ulama yang tidak asing lagi, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani ini dipupuk oleh ibunya Hajah Wan Zainab melalui cerita-cerita karamah tokoh ulama terulung silam.
Kelebihan Allahyarham ialah dari segi semangat mencari dan mengumpul bahan-bahan terutama khazanah yang tidak diperoleh daripada pihak lain kecuali dirinya.
Untuk itu, beliau menjelajah beberapa negara asal ulama tertentu seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan beberapa wilayah di Pattani dan Kalimantan Barat dalam usaha meneroka dan pencarian bahan-bahan ulama Nusantara. Malah, sanggup membelinya walaupun dengan harga yang mahal.
Di antara karya beliau ialah Sufi dan Wali Allah, Pusaka Penulisan al-Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani dan banyak lagi. Semuanya boleh didapati di Pengkaji.
Kini, semua usaha beliau hanya tinggal sejarah. Namun, alhamdulillah matlamat Allahyarham menyebar dan mengembangkan tokoh ulama silam ke alam Melayu telah berjaya.
Pemergian Allahyarham memang satu kehilangan kepada dunia ilmu Islam khususnya ulama Nusantara. Sebabnya, beliau semasa hayatnya bukan sahaja aktif berkarya tetapi terlibat menerbit, mencetak dan membentang kertas kerja.
Bagaimanapun, kita berharap Pengkaji yang diasaskan oleh Allahyarham akan meneruskan perjuangan yang murni ini.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0413&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm&arc=hive
[...] Pemelihara khazanah ulama [...]
ReplyDelete