Saturday, 12 May 2012

Bab Mandi Wajib



Ini bab pada menyatakan mandi, bermula (sebab-sebab) yang mewajibkan mandi itu (berlaku) salah suatu daripada 6 perkara.

 

3 daripadanya bersekutu (muafaqat) padanya laki-laki dan perempuan:

 

1)  Berjumpa 2 khitan (tempat bersunat laki-laki dan perempuan iaitu zakar dan faraj)

- yakni dighaibkan (dipermasukkan hingga ghaib)

- oleh (orang) yang hidup lagi wadhih (lelaki dan khunsa yang nyata kelakiannya) akan

- hasyafah zakarnya atau qadarnya (hasyafah) daripada yang terpotong hasyafahnya

- pada faraj qubul atau dubur (lelaki atau perempuan).

- Maka jadi orang yang di masukkan (hasyafah zakar) padanya (pada faraj qubul atau dubur)

- dan (orang) yang memasukkan (hasyafah zakar) berjunub

- dengan (sebab) dimasukkan (hasyafah zakar) yang tersebut.

- Demikian lagi (juga) jika dimasuk oleh umpama kera atau lainnya (binatang yang lain) daripada barang (binatang) yang tiada baginya hasyafah pada faraj anak adam (sama ada dubur bagi lelaki atau qubul dan dubur bagi perempuan)

- atau  dimasuk oleh laki-laki akan hasyafahnya atau qadarnya (hasyafah) yang terpotong pada faraj binatang atau pada duburnya (binatang)

-  wajiblah mandi pada yang tersebut.

- Adapun yang mati maka tiada dikembalikan mandinya dengan (sebab) dimasukkan hasyafahnya (ke dalam qubul atau dubur orang yang hidup sama ada qubul dan dubur bagi perempuan atau dubur bagi lelaki, contohnya isteri yang hidup memasukkan hasyafah zakar suaminya yang mati kedalam farajnya)

-  atau dimasukkan hasyafah padanya (qubul dan dubur bagi perempuan atau dubur bagi lelaki yang mati, contohnya suami yang hidup memasukkan hasyafah zakarnya ke dalam faraj isterinya yang mati).

- Adapun khunsa yang musykil maka tiada wajib (pada syara’) mandi atasnya (khunsa musykil)

- dengan dimasukkan hasyafahnya (khunsa musykil) (kedalam faraj perempuan)

- dan tiada (mandi wajib) pula (juga) dengan dimasukkan hasyafah (orang) pada qubulnya (khunsa musykil)

- dan wajib mandi atasnya (khunsa musykil) jika dimasukkan hasyafah (orang) pada duburnya.

 

2)  Keluar mani (syarat untuk dikatakan mani itu ialah:

  1. Terpancut-pancut/bertolak-tolak

  2. Nikmat/kelazatan

  3. Kalau basah, bau seperti tepung yang nak dibuat uli


Kalau kering, bau seperti putih telur)

-         daripada seseorang (sama ada melalui jima’ ataupun tidak)

-         pada awal kalinya (air maninya sendiri yang keluar hasil nikmat daripada jima’ ataupun bukan jima’, bukan air mani pada kali yang kedua yakni seperti selepas seseorang lelaki jima’ akan isterinya dan keluar air mani hasil daripada  berlakunya jima’ tersebut, kemudian dia mandi junub dan selepas mandi junub dia memasukkan air maninya kembali ke dalam zakarnya menggunakan picagari, maka air mani yang keluar kemudian daripada dia masukkannya ke dalam zakarnya itu dianggap sebagai keluar air mani pada kali kedua)

-         dengan tiada dimasukkan hasyafahnya (ke dalam faraj yakni tidak melalui jima’ kerana yang demikian itu memang sudah menjadi salah satu sebab yang mewajibkan mandi) (contoh tidak melalui jima’seperti keluar air mani seorang lelaki dengan hanya melihat perempuan, atau dengan melakukan onani)

-         dan jika sedikit sekalipun seperti setitik mani

-         dan jika ada ia atas warna darah sekalipun

-         sama ada pada ketika jaga atau tidur

-         (sekalipun) keluarnya dengan syahwat atau lainnya (tidak syahwat)

-         keluarnya ia (mani) daripada jalannya yang beradat (iaitu melalui qubul)

-         atau lainnya (bukan beradat) (yakni bagi lelaki keluarnya air mani melalui sulbi, manakala bagi perempuan keluarnya air mani melalui taraib)

-         bersalahan (tidak serupa yakni tidak wajib mandi) mani yang lainnya

-         seperti keluar daripada faraj perempuan mani jima’nya  kemudian daripada mandi junub maka tidak wajib mandi atasnya me(ng)kembalikan mandi lagi

-         jika tiada baginya syahwat seperti perempuan yang kecil atau yang tidur

-         dan bersalahan (tidak serupa yakni tidak wajib mandi) keluarnya (mani) pada kali yang kedua seperti memasukkan laki-laki akan maninya kedalam zakarnya kemudian daripada mandi (junub) dan keluar ia (mani) (maka) tiada wajib atasnya mandi.

 

3)  Mati (diri tiada sifat penghidup pada benda yang jenis hidup)

-          melainkan orang yang mati syahid maka tiada wajib dimandikan bahkan haram

 

Dan 3 perkara (daripada 6 perkara yang mewajibkan mandi) tertentu dengan dia (3 perkara ini) oleh perempuan dan iaitu:

 

1)   Mandi (dengan sebab putus) haid

-         iaitu darah yang keluar daripada (kemaluan) perempuan yang sampai umurnya sembilan tahun (taqriban: kurang 15 hari yakni 8 tahun 11 bulan 15 hari mengikut tahun qamariah).

 

2)   Mandi (dengan sebab putus) nifas

-         Dan iaitu darah yang keluar (daripada kemaluan perempuan) mengiringi beranak (darah yang keluar selepas beranak di dalam tempoh 15 hari selepas beranak)

 

3)   Mandi (dengan sebab) wiladah

-          yang menyertai dengan basah mewajibkan mandi semata-mata diputuskan dia (mewajib mandi oleh seseorang yang beranak menyertai basah) yang asoh (mengikut qaul mu’tamad)

-         dan muqobil bagi asohnya (mengikut qaul dho’if) tiada wajib ia bagi mandi.

 

Bermula fardhu mandi itu 3 perkara:-

 

1)   Niat,

-         maka diniat (didalam hati) oleh (orang) yang berjunub (ialah 1.bertemu dua khitan 2. Keluar mani) (akan) mengangkatkan (menghilangkan) (hukum) janabah

-         atau mengangkatkan hadas akbar atau

-         istibahata (mengharuskan) fardhi solati atau

-         fardha al-ghusli (mandi) atau ada’a fardhi al-ghasli atau al-ghasla al-mafrudha atau mandi yang wajib

-         dan tiada memadai (tidak sah) niat mandi jua (sahaja) (seperti sahaja aku mandi) (kerana tidak boleh membezakan ‘ibadat dengan ‘adat)

-         dan niat oleh perempuan yang haidh atau nifas mengangkatkan (menghilangkan) hadas haidh atau nifas

-         dan wajib disertakan niat pada awal basuhnya (seorang) (akan satu juzu’ daripada anggota badannya) supaya dapat dibilangkan basuhnya

-         maka jika diniatnya (seorang) kemudian daripada basuh pada satu suku  (anggota badan) wajib dikembalikan basuhnya (contoh: seorang itu sudah basuh kaki kemudian semasa basuh kepala baru dia berniat mandi wajib maka wajib diulang basuhan pada kakinya itu)

 
2)   Menghilangkan najis jika ada ia (najis) atas badannya

-         dan ini (hukum) barang yang dirajihkan oleh Rafi’e

-         dan (jika berlaku) atasnya, maka tiada memadai ia sekali basuh daripada hadas dan najis (tidak sah jikalau seseorang itu niat angkat hadas serta basuh juzu’ anggota bersama dengan membasuh najis).

-         dan dirajih oleh Nawawi akan memadai (sah) dengan sekali basuh daripada keduanya (hadas dan najis) (sah jikalau seseorang itu niat angkat hadas serta basuh  anggota badan bersama dengan membasuh najis) ialah yang rajihnya.

-         dan tempat khilaf antara keduanya (Imam Nawawi dan Imam Rafi’e) barang (najis) yang apabila ada ia najis hukmi (najis pada hukum yakni yang tiada baginya bau, warna dan rasa)

-         adapun jika ada ia (barang) najis ‘aini, wajib dua kali basuh pada keduanya (hadas dan najis) jika tiada hilang segala sifatnya (najis ‘aini) dengan sekali basuh (wajib basuh najis dahulu kemudian barulah membasuh hadas yakni niat beserta membasuh air keseluruh anggota badan- ini disepakati oleh kedua-dua Imam)

-         dan jika hilang dengan sekali (basuh) maka padanya khilaf  yang terdahulu sebutnya (bagi Imam Rafi’e: tiada memadai ia sekali basuh daripada hadas dan najis, manakala bagi Imam Nawawi: memadai dengan sekali basuh daripada keduanya)

 

3)    Sampaikan air kepada segala bulu (kerana setiap bulu ada   hadas) dan kulit

-         maka jika tinggal (tak kena air) seurat bulu tiada memadai (tiada sah)

-         dan jika dicabutkan dia (bulu) kemudian daripadanya (mandi), tak dapat tiada daripada dibasuhkan tempatnya (tempat kena cabut balu)

-         maka tiada faraq (beza) (pada pihak wajib menyampaikan air) antara bulu kepala (rambut) dan lainnya (daripada bulu kepala)

-         dan tiada faraq (beza) (pada pihak wajib menyampaikan air) antara bulu yang jarang daripadanya dan yang lebatnya (kedua-duanya wajib dibasuh pada zohir dan batin bulu )

-         bahkan tiada wajib membasuh bulu yang tumbuh didalam hidung (kerana nisbah pada mandi wajib, bulu hidung dihukum sebagai batin, adapun nisbah pada solat, bulu hidung dihukum sebagai zohir) dan (bulu) didalam mata, kerana  bahawasanya ia daripada yang batin,

-         dan sungguhnya wajib dibasuhkan dia (bulu hidung) daripada najis kerana keras (kerana dikerasi oleh syara’ akan) najis

-         dan (bermula) rambut yang dijalin (didandan) dan yang disanggul wajib diuraikan jika tiada sampai air kepada batinnya

-         dan dimaafkan daripada batin bulu yang bersimpul dengan sendirinya, jika banyak sekalipun

-         dan wajib membasuh barang yang zohir daripada dua lubang telinga (kadar hujung jari tangan boleh masuk kedalam lubang telinga)

-         dan daripada hidung yang terpotong

-         dan daripada segala pecah-pecah badannya seperti segala pecah-pecah yang pada kakinya

-         dan wajib disampaikan air kepada barang (tempat) yang dibawah qulfah (kulit) orang yang kulup (tak berkhitan)

-         dan (kepada) barang yang zohir (nyata) daripada faraj perempuan tatkala duduknya bagi qodho hajat (duduk bercangkung)

-         kerana keduanya (qulfah dan zohir faraj) daripada anggota yang zohir

-         dan jika tiada didapat membasuh (barang yang) dibawah qulfah melainkan dengan dihilangkan dia (qulfah), nescaya wajib ia (menghilangkan kulit) dan jika uzur (daripada menghilangkan kulit) maka sembahyang (mera’ikan waktu) ia seperti فاقد الطهوين  ini pada yang hidup

-         Adapun yang mati (ta’rif mati: diri tak ada sifat penghidup pada benda yang pesyen/jenis hidup)  maka sekira-kira tiada dapat membasuh barang yang dibawahnya (qulfah), tiada wajib dihilangkan dia (buang qulfah) (bahkan hukumnya haram) kerana demikian itu menghinakan mayyit.

-         Dan ditanamkan dia (mayyit) dengan tiada sembahyang atas (qaul) yang mu’tamad pada Syaikh Ramli,

-         Dan pada Syaikh Ibnu Hajar ditayamumkan dia (kerana) ganti daripada membasuh (barang) yang dibawahnya (qulfah) dan disembahyangkan dia atas kerana dhorurah

-         Dan setengah daripada barang (anggota) yang wajib membasuhkan dia (ialah) masrabah (halaqoh dubur/tempat keras najis) iaitu (tempat) perhimpunan lubang dubur kerana zohir ia pada waktu qodho’ hajat maka jadi ia (masrabah) zohir badan

-         maka hendaklah (wajiblah) dikembangkan (teran) dia sedikit supaya sampai air kepadanya (masrabah).

 







 

Rujukan: Wishah al-Afrah karangan  Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni, Percetakan al-Mu’arif Sdn Bhd, hal. 15 – 16.

1 comment: