Sunday, 4 March 2012

Kepentingan Mengenal, Memahami dan Beri’tiqad dengan Sifat Mukhalafatuhu Ta’ala Lil Hawadith

Maka dengan ini dalil (sifat Mukhalafatuhu Ta’ala Lil Hawadith) dapat menolakkan sebesar-besar fitnah dunia dan fitnah hendak hampir mati dan fitnah akhirat dan segala syubhah (kekeliruan)  yang didatangkan diatasnya.

1) Fitnah Dunia

Maka (bermula) adapun fitnah yang terlebih besar pada dunia. Maka iaitu dajjal kerana ia mendakwa akan ketuhanan (dirinya tuhan) padahal dajjal itu seorang lelaki yang muda yang tiada janggutnya dan ada baginya misai. Dan buta sebelah matanya. Dan kata setengah (ulama’) buta mata sebelah kirinya. Dan kata setengah tiada tertentu buta sebelah mana, kerana bergilir ganti butanya. Maka matanya itu timbul bijinya, seperti buah ‘unab lagi gemuk tubuhnya. Dan tingginya dulapan (lapan) puluh hasta. Dan lebar diantara dua belikat itu tiga puluh hasta. Dan panjang dahinya dua hasta. Dan ada baginya tanduk patah pada kepalanya. Maka keluar daripadanya beberapa ular. Dan rambut kepalanya itu seperti ranting kayu. Dan panjang tangannya boleh mencapai akan awan dengan tangannya dan mengambil ia akan ikan di patat (dasar) laut dan dibakarnya kepada matahari. Dan berjalan ia di dalam laut hingga kacar (buku lali) kaki jua. Dan keluar ia daripada negeri kharasan  iaitu satu negeri diantara negeri balik belakang sungai Dajlah dan negeri ‘Iraq. Dan bertepik ia tiga kali mendengar akan dia oleh ahli mashriq (timur) dan maghrib (barat). Dan dilipat akan bumi baginya yakni disikat (disingkat) akan bumi baginya hingga beberapa jauh sekalipun dapat ia berjalan dengan satu saat jua. Dan ada baginya seekor himar yang terpotong ekornya dan putih warnanya. Dan diantara dua telinga himar itu 40 hasta. Dan kata qil 70 hasta. Dan dapat bernaung dan berteduh dibawah salah satu daripada dua telinga 70 orang dan satu langkahnya itu perjalanan 3 hari. Maka ditaruh diatas belakangnya itu minbar (pelana) daripada tembaga. Maka duduk ia (dajjal) diatasnya (himar) dan mengikut akan dia oleh  beberapa jemaah daripada jin dan  manusia (yang kafir-kafir).

Maka pada masa itu ditinggalkan suruh dengan ma’ruf dan ditinggalkan daripada mungkar dan dipukul akan gendang dihadapannya. Maka tiada mendengarkan yang demikian itu oleh seorang melainkan mengikut akan dia. Maka disuruh akan awan hujan maka hujan ia. Dan disuruh akan sungai mengalir air kepadanya maka mengalir air kepadanya dan disuruh kembali maka kembali ia. Maka disuruh sungai kering maka kering ia. Maka disuruh akan bumi tumbuh akan tumbuhan maka menumbuh ia akan tumbuhan dan disuruh akan bumi keluar bendaharaan (galian) daripadanya maka mengeluar ia akan bendaharaannya. Dan lagi ada sertanya beberapa bukit daripada roti dan makanan padahal pada waktu itu didalam masyaqqah yang (amat) sangat daripada ketiadaan makanan maka tidak boleh mencapai akan makanan itu melainkan orang yang mengikut akan dia. Dan ada sertanya (dajjal) syurga dan neraka. Maka keduanya itu rupaan jua bukan syurga dan neraka yang sebenar, kerana api neraka itu sungai air tawar lagi sejuk. Dan mendakwa ia akan ketuhanan dan menyeru ia akan manusia kepada beriman dengan dia. Dan ada sertanya 2 orang malaikat salah seorang pada pihak kanannya dan yang satu lagi pada pihak kirinya menyerupai oleh keduanya dengan dua nabi, kata setengah ulama’ yang ghalib pada zhon aku bahawasanya 2 nabi itu ‘Isa dan Muhammad. Maka apabila berkata dajjal itu “tiadakah aku tuhan (bagi) kamu? Akulah menghidupkan dan mematikan.” Maka berkata salah seorang daripada 2 malaikat itu “dusta engkau hai dajjal”. Dan  tiada mendengar akan perkataan itu oleh seorang daripada manusia (sekalipun) melainkan yang mendengarnya malaikat yang satu lagi. Maka berkata malaikat yang mendengar itu bagi yang pertama: “sodaqta” yakni betul engkau hai malaikat. Maka mendengar oleh manusia akan perkataan malaikat yang berkata benar engkau. Menyangka oleh mereka itu bahawasanya membenar ia akan dajjal padahal ia membenarkan akan malaikat yang berkata dusta engkau. Maka orang yang tiada kejap baginya dalil mukhalafah (lalu) mengaku ia bagi dajjal itu dengan ketuhanannya, seperti yahudi dan kebanyakan perempuan dan segala orang badwi (kurang ilmu pengetahuan). Maka berkata dajjal bagi seorang: “Adakah suka aku khabar akan dikau jika aku bangkitkan bagi kamu bapak kamu dan ibu kamu? Adakah kamu naik saksi bahawasanya aku tuhan kamu?. Maka berkata mereka itu: “bahkan”. Maka merupa oleh 2 syaitan pada rupa bapaknya dan ibunya. Maka berkata keduanya “Wahai anakku ikut olehmu akan dia (dajjal) maka bahawasanya ia tuhan kamu”.

Dan orang yang teguh berpegang dengan dalil mukhalafah ingkar akan ketuhanan dajjal itu, kerana bahawasanya dajjal itu jisim yang berlaku diatasnya oleh barang yang berlaku ia diatas segala jisim, seperti lemahnya (dajjal), kerana bahawasa dajjal lemah ia pada akhir pekerjaannya yakni tiada dapat daripada menzohirkan suatu perkara yang mencarikkan bagi ‘adat (lagi). Dan dibunuhkan dia oleh Nabi ‘Isa anak Maryam. Dan lagi buta matanya sebelah. Berkata Syaikh Suhaimi: bermula orang yang pada zaman itu sedikit (beriman). Maka kerana inilah datang warid daripada hadith tiada (orang yang) lepas (daripada) fitnah dajjal itu melainkan 12,000 lelaki (yang beriman) dan 7,000 perempuan yang beriman.

2) Fitnah Hendak Hampir Mati

Dan fitnah hendak mati sangatlah takut kerana pada waktu itu sangat-sangat lapar dan dahaganya dan keluh kesah seakan-akan nak hilang aqal sama telah pula (lebih-lebih lagi) diatas orang yang meninggal akan sembahyang  (termasuk juga orang yang meninggal sembahyang ialah orang yang sembahyang tetapi tidak tahu segala rukun, syarat dan perkara membatalkan solat) dan puasa sekira jikalau  dituangkan air seribu qolah kedalam lehernya, nescaya tidak puas dahaganya. Maka tiba-tiba masuk syaitan pada waktu itu dan duduk ia disisi kepala seorang yang hampir hendak mati dan ada sertanya (syaitan)  penjana (bejana) air beku (sejuk). Maka mengkocok (menggoncang) ia akan pejana itu baginya. Maka berkata seorang (yang hampir hendak mati) itu “berilah engkau kepada aku akan ini air. Maka berkata syaitan baginya “katalah engkau akan ini perkataan iaitu Isa anak Allah atau berbilang tuhan (tuhan itu berbilang) atau baru Allah (Allah itu baru) dan umpamanya daripada tiap-tiap perkataan yang sesat. Maka nak beri aku ini air kepada engkau”. Maka siapa-siapa yang tidak kejap imannya diperkenankan (terima) perkataan syaitan itu, kerana dahaganya dan besar kecubaannya (pada masa itu) maka tanggallah imannya (yakni menjadi kufur). Na’uzubillahi min zalik.

Dan datang kepadanya pula dua ekor syaitan, satunya diatas rupa bapa. Maka duduk ia (syaitan) sebelah kanannya (seorang yang hendak mati) dan berkata ia “wahai anakku bahawasanya aku kasih sayang akan dikau. Maka matilah engkau diatas ugama nasrani iaitu sebaik-baik ugama”. Dan yang satu lagi diatas rupa ibunya. Maka duduk ia (syaitan) sebelah kirinya (seorang yang hendak mati) dan berkata ia “wahai anakku adalah perutku tempat kandungan bagi engkau dan susuku minuman engkau dan peha aku tempat jijak kaki engkau tetapi matilah engkau diatas ugama yahudi iaitu sebaik-baik ugama”. Maka banyaklah fitnah syaitan pada ketika itu untuk nak menyesatkan hamba Allah supaya mati diatas tanggal imannya. Wal ‘iyazu billah min zalik.

3) Fitnah akhirat

Dan adapun fitnah yang terlebih besar pada akhirat maka iaitu bahawasanya Allah Ta’ala menghimpunkan sekelian manusia pada hari kiamat. Maka firmanNya Ta’ala yang bermaksud “barangsiapa ada ia menyembah akan suatu maka hendaklah mengikut ia akan dia (suatu yang disembah)”, maka mengikut oleh orang yang menyembah matahari akan matahari dan yang menyembah bulan akan bulan dan yang menyembah berhala akan berhala. Pergi kepada neraka tetapi dirupakan bagi orang menyembah Nabi ‘Isa akan syaitan I’sa dan dirupakan bagi orang yang menyembah ‘Uzair akan syaitan ‘Uzair, maka mengikut oleh mereka itu akan kedua syaitan itu pergi kepada neraka. Dan tinggal lagi umat ini (umat yang ber’ibadah kepada Allah) maka dikatakan bagi mereka itu “apakah yang kamu nanti dan sanya sungguhnya telah berjalan segala manusia?”. Maka berkata mereka itu “bahawasanya ada bagi kami  tuhan yang kami sembah akan Dia pada dunia dan tiada kami pernah lihat akan Dia”. Maka dikata orang bagi mereka itu “adakah kamu kenal akan Dia apabila kamu lihat akan Dia?. Maka berkata mereka itu “bahkan”. Maka dikatakan bagi mereka itu “betapa (bagaimana) kamu kenal akan Dia padahal tiada kamu lihat akan Dia”. Maka kata mereka itu “tiada sebanding (serupa) dengan sesuatu”.

Maka dinyatakan (dijelma) bagi mereka itu satu malaikat pada pihak kiri ‘arash jikalau dijadikan air laut itu pada lubang kuku ibu tangannya nescaya tiada limpah ia, maka berkata malaikat itu “aku tuhan kamu”, maka berkata umat ini “berlindung kami dengan Allah Ta’ala daripada kamu, tiada kami sekutukan dengan tuhan kami sesuatu”. Maka hampir-hampir lah orang yang taqlid itu bahawa berpaling i‘tiqodnya. Maka nyata (menjelma) pula bagi mereka itu satu malaikat yang lain pula dengan suruhan Allah Ta’ala pada pihak kanan ‘arasy. Jikalau dijadikan air laut yang empat belas itu pada lubang kuku ibu tangannya nescaya tiada limpah ia, maka berkata ia bagi mereka itu “aku lah tuhan kamu”. Maka berkata mereka itu “berlindung kami dengan Allah daripada kamu”.

Kemudian maka tajalli (zahir) Allah Ta’ala, maka melihat oleh mereka itu akan Allah Ta’ala seperti barang yang mereka itu I’tiqodnya, maka sujudlah mereka itu dan tinggal (tak sujud) segala kafir. Dan adalah belakang mereka itu seperti papan yang satu tiap-tiap kali berkehendak sujud mereka itu gugur diatas belakang mereka itu. Maka firman Allah Ta’ala “hai hambaku akulah tuhan kamu, angkat oleh kamu akan kepala kamu maka sungguhnya telah kami ganti tiap seorang lelaki kamu itu daripada yahudi dan nasoro masuk kedalam neraka”, maka mengangkat oleh mereka itu akan kepala mereka itu dan muka mereka itu terlebih sangat putih daripada embun dan cemerlang cahayanya. Dan dihitam akan segala muka orang kafir. Dan berkata orang yang mukmin “engkaulah tuhan kami” maka sahut Ia Ta’ala “ahlan bikum” ertinya dapat keluasan dengan kamu . Maka diberi tiap seorang akan nurnya atas qadar amalannya dan mengikut suruhan dan dibentangkan bagi mereka itu sirotol mustaqim di atas jahanam . Maka adalah Nabi mustofa (Muhammad) dan segala umatnya pertama orang  yang lalu di atasnya.

*Kesimpulan: Untuk menyelamatkan diri daripada ketiga-tiga fitnah ini ,pertamanya, kita mestilah mantapkan iman kita dengan dengan mempelajari Ilmu  Aqidah dengan berguru sehingga faham dan beri’tiqad dengannya. Keduanya, hendaklah kita melakukan amalan solih untuk memelihara iman kita.

Rujukan: Khulasotut Tauhid fi Ma’rifatil Aqaid karangan Abdul Rahman bin Muhammad
m/s 17 - 21

 

Lihat juga:-

http://ibadurrahman99.wordpress.com/2011/08/01/wajib-belajar-aqidah/

http://ibadurrahman99.wordpress.com/2011/07/26/apakah-takrif-makrifah-mengenal/

http://ibadurrahman99.wordpress.com/2011/08/23/aqidah-50/

http://ibadurrahman99.wordpress.com/2012/02/18/7-maksud-wajib-mengenal-allah-dan-rasul-belajar-ilmu-usuluddin/

1 comment:

  1. [...] Kepentingan Mengenal, Memahami dan Beri’tiqad dengan Sifat Mukhalafatuhu Ta’ala Lil Hawadith [...]

    ReplyDelete