Wednesday, 14 September 2011

Hukum Membaca al Quran dan Menghadiahkan Kepada Orang yang Telah Meninggal Dunia


Hukum Membaca Al Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada Orang Yang Sudah meninggal dunia 





Persoalan mengenai bid'ah sebenarnya telah diselesaikan oleh ulamak lama dahulu dan sekarang ini telah ditimbulkan semula oleh golongan yang tidak memahami khilaf ijtihad ulamak yang kemudiannya mengatakan bahawa ia adalah bid'ah sesat walaupun sudah ada dalil dan hujjah dari al Quran dan hadith.

Sekiranya ada yang mengatakan bacaan al Quran dan doa ia tidak sampai kepada simayyit maka tidak perlu mengatakan ia sebagai bid'ah, kerana ijtihad yang memngatakan ia boleh adalah hasil dari penyelidikan ulamak dari al Quran dan hadith sebelum mengeluarkan hukum bahawa sampainya pahala kepada si mayyit. Ulamak terdahulu apabila berbeza pendapat mereka tidak akan membid'ahkan pendapat ulamak yang membolehkan.

Menurut Prof Dr Wahbah az Zuhaili Mazhab Imam Ahmad dan Jumhur salaf dan mazhab empat dan di antara mereka Malikiyah dan Syafi'iyah yang kemudian berpendapat sampai pahala amalan tersebut.

Imam Abu Hanifah berpendapat :
"Segala pahala dari sedekah dan lainnya sampai kepada mayat. Ia juga berkata : "Bacalah ayat Kursi tiga kali' dan "qul huwaLLahu Ahad" dan katakanlah : "Ya ALlah, Ya Tuhan kami, pahalanya untuk ahli kubur."

Dalil dari Al Quran

Asy Sya'ani juga menyebutkan dalil pendapat kedua dari KitabuLLah, sunnah dan ijmak serta kaedah syariat. Iaitu mereka yang mengatakan bahawa mayat mendapat manfaat atas apa yang dilakukan oleh orang-orang yang masih hidup untuknya. Adapun dalil dari Al Quran adalah firman aLLah s.w.t yang bererti :
"Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan tangan), berkata : "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kamu yang mendahului kami dalam iman..........." (Al Hasyr : 10)

Maka ALLah s.w.t memuji mereka atas istighfar mereka kepada kaum Mukminin sebelum mereka. Maka hal itu menunjukkan bahawa mayat mendapat manfaat daripada doa adalah kesepakatan umat atas doa terhadap mereka dalam solat jenazah.

Juga telah ijmak bahawa membayar hutang orang yang sudah meninggal adalah boleh sama ada oleh kerabat atau bukan. Dan juga jika orang yang masih hidup memiliki hak pada orang yang sudah meninggal, lalu ia menggugurkan haknya dan mengikhlaskannya, maka hal itu boleh dan dapat membebaskan orang yang sudah meninggal.

Dalil Dari Hadith :

Ibn Hibban dalam kitab sahihnya meriwayatkan hadith Jundab bin AbdiLLah, RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :
"Surah al Baqarah adalah tulang belakang al Quran, ia diturunkan oleh lapan puluh malaikat dengan membawa satu persatu ayat. Sedangkan ayat kursi diturunkan dari bawah Arsy'. kemudian ia dikumpulkan dengan ayat-ayat surah al Baqarah. Surah Yasin pula adalah hati al Quran, tidak ada orang yang membacanya dengan mengharap redha ALlah dan pahala akhirat melainkan dia akan mendapat ampunan dari-Nya. Bacalah surah Yasin untuk saudara-saudara kamu yang telah meninggal dunia."

(Ditakhrij oleh Ibn Hibban di dalam Kitab Sahihnya pada bab Fadhilat Surah al Baqarah. Demikian juga al Haithami meriwayatkannya di dalam kitab Mawarid al Dzam'an, (jilid V, h 397). Imam Ahmad juga meriwayatkannya di dalam al Musnad dari Ma'qal bin Yasar (jilid v h 26). Al Haithami mengulas hadith tersebut di dalam kitab Majma' al Zawaid, "Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di dalamnya ada salah seorang perawi yang tidak disebut namanya, bagaimanapun perawi perawi lainnya adalah sahih (jilid VI h 311)




Pendapat dari Imam An Nawawi :

Imam Nawawi berkata
"Adalah sunnah hukumnya bagi para penziarah kubur untuk mengucapkan salam kepada mereka (penghuni kubur), mendoakan kepada orang yang diziarahi dan juga kepada ahli kubur semuanya. Lebih utama lagi, jika penziarah itu membaca doa-doa yang telah diterangkan dalam al hadith. Dan hukumnya sunnah pula membaca ayat-ayat al Quran dan setelah itu mendoakan para penghuni kubur. Ini semua adalah nas (pendapat) dari Imam al Syafie dan disepakati oleh murid-muridnya (para pengikutnya)

Imam al Nawawi, al majmu' syarh al muhazzab jilid V h 286.

Pendapat Imam Ahmad :

Imam Ahmad pada mulanya pernah melarang seorang buta daripada membaca al Quran di atas kubur, kemudian beliau (imam Ahmad) mengizinkannya setelah mendengar khabar yang mengatakan Ibnu Umar pernah berwasiat supaya dibacakan permulaan dan penghujung surah al Baqarah di sisinya ketika dikebumikan. Kisah ini disebut oleh Ibnu Qudamah di dalam kitabnya 'Al Mughni (2/567) di dalam masalah: Ziarah Kubur.

Berdoalah kepada ALLah agar pahala kita membaca ayat al Quran sampai kepada si mayyit kerana ALlah sendiri telah berfirman yang bererti :

“Dan Tuhan kamu berfirman:
“Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”


Al-Mukmin:60

Antara ulamak terkini lain yang mengatakan sampainya pahala seperti : Profesor Dr Sayyid Muhammad 'Alawi Almaliki Al Hasani, Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, dan ramai lagi.

Sumber Rujukan : 

1. Prof Dr Sayyid Muhammad 'Alawi Al Maliki Al Hasani, Kajian Mendalam ke Atas Manfaat Amalan Orang Hidup Terhadap Arwah, Tahqiq al amal fi ma yan fa'u al mayyitu min al a'mal, Jahabersa, 2007, Johor

2. Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur

3. Prof Dr Wahbah Az Zuhaili, Fatwa-fatwa Semasa, al Fatawa al mu'asaroh, iBook Publication, 2005, Kuala Lumpur

4. Dr Mustofa al Khin, Dr Mustofa al Bugho & Ali Asy Syarbaji, Kitab Fikah Mazhab Syafie, al Fiqhu al Manhaji, Pustaka Salam, 2005. Kuala Lumpur.

WaLlahua'lam


SUMBER:

1 comment:

  1. [...] Hukum Membaca al Quran dan Menghadiahkan Kepada Orang yang Telah Meninggal Dunia [...]

    ReplyDelete