Monday, 12 September 2011

Bagaimana Memotivasikan (Mendorongkan) Khusyu’ Dalam Sembahyang?




Untuk mendapat khusyu’ dalam sembahyang, terutamanya hendaklah kita berdo’a memohon restu kepada Allah Azza wa Jalla supaya Dia mengurniakan kepada kita khusyu’, taufiq hidayah dan ‘inayahNya dalam mengerjakan ‘ibadat sembahyang, di samping kita melaksanakan usaha-usaha dan langkah-langkah berikut:

 

1 ) Sebelum masuk bertakbiratul ihram, terlebih dahulu anda mestilah mempunyai kesedaran  ((الوعي  : Bahawa anda bersembahyang adalah mengadap dan menyembah Allah Yang Maha Besar.

 

Anda mestilah faham : Kenapa disunatkan bang (azan) dan iqamat sebelum sembahyang? Jawabnya: Ialah untuk menimbulkan dalam jiwa seseorang rasa kasih sayang dan rindu kepada Allah, serta pengagungan  terhadapNya. Langsung dengan mendengar seruan bang dan qamat itu menaikkan semangat, lalu dia bangun dengan penuh segar dan cergas, bukan dengan keadaan malas dan lemah. Bang dan qamat telah merangsang dan memberi kesedaran kepada jiwanya: Bahawa Tuhan yang akan disembahNya nanti bukanlah patung berhala yang kaku beku, pekak bisu, buta tuli dan tiada daya upaya. Tetapi Tuhan yang disembahNya itu adalah Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya, yang benar-benar ada, bukan yang hanya khayalan. Dia Tuhan Yang Maha Besar, Yang Maha Agung, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Mendengar, Yang Maha Melihat, lagi Yang Maha Sempurna… Ya, Allah melihat perbuatan solatnya dan lagi Allah mengetahui batin dirinya: samada dia bersembahyang atau  bermain wayang dalam sembahyang.

 

Dia sedar bahawa Allah yang akan disembahNya nanti adalah Tuhan yang telah menjadikannya, yang telah melimpah kurniakan ke atasnya dengan berbagai ni’mat yang tidak terkira banyak dan amat besar nilainya. Ni’mat paling terbesar ialah ni’mat iman, taufiq, hidayah dan ‘inayahNya. Kemudian disusuli pula ni’mat hidup, sihat, rezeki dan lain-lain lagi yang tidak mampu dihitung oleh dirinya yang serba lemah dan kekurangan.

 

Dengan adanya kesedaran tersebut baharulah hatinya merasa keagungan, kebesaran, ketinggian, kemuliaan, kemurahan, dan kebaikan Allah. Dari situ lahirlah rasa syukur dan rasa kasih sayang kepada Allah Tuhan yang akan disembahNya nanti. Justeru itu ‘ibadat yang akan dilaksanakan itu nanti akan dilakukan dengan penuh rela, penuh lazat, penuh ni’mat dan sedap. Dengan itu kosonglah hati sanubarinya dari ingatan kepada dunia dan segala isinya, hanya Allah dan perkara-perkara keutamaan yang berkaitan dengan sembahyang sahaja yang diingatinya. Dengan itu jadilah hatinya dalam sembahyangnya nanti penuh bermunajat dengan Allah s.w.t, lalu terhasillah khusyu’ dalam sembahyangnya.

 

2 ) Kosongkan hati sanubari dari mengasihi, memikir dan mengingati urusan-urusan dunia dan segala isinya ketika bersembahyang.

 

Ingatlah! Bahawa urusan-urusan dunia yang belum selesai anda kerjakan atau yang anda akan laksanakan nanti tidak dapat pun dibuat ketika anda bersembahyang. Oleh itu tunggulah selepas selesai sembahyang nanti. Kemudian fikir dan rancanglah sebanyak mungkin sesudah selesai sembahyang nanti. Tiada gunanya difikirkan semasa bersembahyang, dia akan merosakkan sembahyang anda jua.

 

3 ) Ketika bersembahyang, hati hendaklah berqiblatkan Allah (ingatkan kepada Allah), atau dengan kata yang lain: Hati hendaklah sentiasa mengingati Allah yang diistilah juga dengan   حضور القلب  (hadhir hati bersama Allah).

 

Hudhur  al-qalb ini hendaklah diusaha dengan bersungguh-sungguh hingga sampai kepada kepada maqam Ihsan yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w:

 

"الإحسان أن تعبد الله كأنك تراه، فإن لم تكن تراه فإنه يراك".



Bermaksud: Ihsan itu ialah anda ber’ibadat kepada Allah seola-olah anda melihatNya, maka sekiranya anda tidak dapat melihatNya (dengan mata lendir) maka sesungguhnya Allah melihat anda.

 

Untuk mencapai hudhur al-qalb ini hendaklah anda ingat gunakan pelajaran ilmu Tauhid yang telah anda pelajari yang mengatakan: Bahawa Allah itu Yang Maha Ada, Yang Maha Hidup, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Mendengar lagi Yang Maha Melihat.

 

Untuk memperkukuhkan lagi ingatan ini, cubalah anda mengulang-ulangkan dalam hati anda sebelum bertakbiratul ihram  akan ungkapan kata pesanan Muhammad bin Sawwar kepada anak saudaranya, Sahl bin Abdullah at-Tustari. Ungkapan itu berbunyi:

 

الله معي، الله ناظر إلي، الله شاهدي.



Ertinya: Allah bersama saya, Allah melihat saya, Allah menyaksi saya.

 

Selain itu, untuk mencapai hudhur al-qalb dalam sembahyang hendaklah juga anda memperbanyakkan zikrullah di masa di luar sembahyang dengan berwirid, bertawajjuh, dan bersuluk; semoga dengan usaha itu hati anda menjadi sebati dengan ingatan terhadap Allah sehinggakan terbawa dalam sembahyang dan di luar sembahyang.

 

4 ) Tanamkan rasa cinta kasih (الحب)  yang mendalam tanpa terbelah bahagi terhadap Allah.

 

Perasaan cinta kasih ini tidak akan timbul kecuali terlebih dahulu anda mengenal Allah Ta’ala ( معرفة الله ). Peribahasa pun ada berkata: “Tak kenal maka tidak cinta”, dan “Baharu kenal belum mesra lagi”.

 

Oleh itu untuk mendapat  khusyu’ dalam sembahyang hendaklah anda mengenali Allah terlebih dahulu. Paling kurangnya anda mengenaliNya: Bahawa Dia adalah Tuhan anda yang telah menciptakan anda, yang telah member rezeki kepada anda.

 

Anda memang amat bertuah sekali kerana Dia telah memilih anda menjadi seorang muslim. Dia amat berbuat baik kepada anda. Dia telah melimpahkan ke atas anda kurniaan ni’mat dan rahmatNya yang tak dapat dibayar dengan langit dan bumi serta seluruh isi kandungannya. Dengan benar-benar mengenali dan mengingati kebaikan Allah kepada anda itu akan melahirkan kasih kepadaNya, dan dengan cinta kasih itulah akan menghasilkan ‘ibadat solat yang amat indah, yang amat manis, yang amat enak, yang amat sedap lagi amat lazat citarasanya, lalulah diri anda tenggelam dalam ni’mat yang amat quddus dapat memadu kasih dengan sebenar-benar kekasih iaitu Allah s.w.t.

 

5 ) Menaruh perasaan at-ta’zim (التعظيم) yakni merasai keagungan, kebesaran, ketinggian, dan kesucian Allah yang sedang dia menghadap dan menyembahNya.

 

Perasaan mengagungkan Allah ini akan lahir dalam hati kita sekiranya kita ada kesedaran diri (mengenal diri) dan ma’rifatullah. Oleh itu pupuklah kesedaran ini dan pertingkatkan ma’rifatullah dengan mempelajari  dan mengamali ilmu Tauhid dan Tasawwuf.

 

6 ) Menaruh perasaan al-Haibah  (الهيبة) dan al-khauf (الخوف) yakni merasa gerun dan hebat berhadapan  dengan Allah serta merasa takut dan bimbang kiranya sembahyang anda tidak diterima Allah, bahkan dimurkaiNya pula.

 

Perasaan takut dan gerun kepada Allah ini pun akan lahir dalam hati dengan adanya kesedaran ma’rifatullah. Firman Allah:

 

إنما يخشى الله من عباده العلماء (28:فاطر).



Maksudnya: Sesungguhnya yang takut kepada Allah daripada segala hambaNya ialah para ulama.

 

7 ) Menaruh sepenuh harapan (الرجاء) kepada Allah s.w.t supaya Dia menerima ‘ibadat  sembahyang anda.

 

Ulangkan selalu dalam hati anda sebelum bertakbiratul ihram akan ucapan para sufi:

 

إلهي أنت مقصودي، ورضاك مطلوبي.



Ertinya: Tuhanku! Engkaulah jua maksud tujuanku, dan keredhaanMu jua tuntutanku.

 

 

8 ) Merasa malu (الحياء) kepada Allah Azza wa Jalla. Malu kerana kekurangan, kecacatan, kecuaian dan kelalaian yang berlaku dalam sembahyang samada dari segi bacaan, penghayatan pengertian bacaan, perlakuan perbuatan kekhusyu’kan hati terhadap Allah yang sedang disembahnya.

 

Dengan adanya perasaan kasih, pengagungan,  gerun dan takut, harapan dan malu kepada Allah Jalla Jalaluh sebagaimana yang tersebut baharulah nanti akan timbul kesungguhan dan khusyu’ dalam mengerjakan sembahyang.

 

9 ) Memahami dan mengerti bacaan-bacaan  yang dibaca (التفهم), paling kurangnya mengetahui tujuan-tujuan dan maksud-maksudnya.

 

10 ) Menghindarkan situasi-situasi dan keadaan-keadaan yang mengganggu serta memalingkan hati dari khusyu’ seperti kebisingan, kerunsingan hati, keliaran, pandangan mata, lintasan-lintasan hati, keletihan tubuh badan dan lain-lain lagi.

 

11 ) Mendengar cerita-cerita orang yang khusyu’ dalam sembahyang.

 

12 ) Hendaklah selalu megulangi dan mengingati firman-firman Allah dan sabda-sabda rasulNya yang berikut:

 

Firman Allah:

 

وأقم الصلاة لذكري (14: طه .



Bermaksud: Dan dirikanlah sembahyang untuk mengingatiKu.

 

 

 

فاذكرني أذكركم (152: البقرة).



Bermaksud: Oleh itu, ingatlah kamu kepada Aku nescaya Aku ingat kepada kamu.

 

ولا تكن من الغافلين (205: الأعراف).



Bermaksud: Dan janganlah kamu menjadi dari golongan orang-orang yang lalai.

 

فويل للمصلين، الذين هم عن صلاتهم ساهون (4-5: الماعون).



Bermaksud: Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solat mereka.

 

Sabda Rasulullah s.a.w:

 

"إن العبد ليصلي الصلاة لا يكتب له سدسها ولا عشرها، وإنما يكتب للعبد من صلاته ما عقل منها".



Bermaksud: Sesungguhnya hamba bersembahyang ia, padahal tidak ditulis padanya pahala:

Seperenam pun tidak, dan sepersepuluh pun tidak; hanya sanya ditulis untuk hamba itu pahala mengikut apa yang diingatkan oleh akalnya dari ‘ibadat sembahyangnya. (Diriwayatkan oleh Abu Daud, an-Nasaie dan Ibnu Hibban).

 

"كم من قائم حظه من صلاته التعب والنصب".



Bermaksud: Berapa ramai orang yang mendirikan sembahyang adalah habuan daripada sembahyangnya hanyalah kepenatan dan keletihan jua. (Hadith riwayat Ibnu Majah).

 

"أول ما يحاسب عليه العبد يوم القيامة الصلاة، فإن  صلحت صلح سائر عمله، وإن فسدت فسد سائر عمله".



Bermaksud: Awal-awal perkara yang dihisab atas hamba pada hari Kiamat ialah sembahyang. Maka sekiranya ianya elok eloklah lain-lain amalannya (diterima Allah), dan sekiranya ianya rosak nescaya rosaklah lain-lain amalannya (ditolak oleh Allah). (Diriwayatkan oleh at-Tobrani).

 

13 ) Menyedari dan memahami bahawa sembahyang merupakan dialog dan munajat hamba dengan Tuhannya.

 

Sembahyang adalah penghubung langsung antara si hamba dengan Tuhannya. Sabda Rasulullah s.a.w:

 

"لا يزال الله مقبلا على العبد في صلاته ما لم يلتفت فإذا صرف وجهه انصرف عنه".



Bermaksud: Sentiasalah Allah berhadap kepada hambaNya di dalam sembahyangnya selama dia tidak berpaling (kepada yang lain daripadaNya). (Hadith riwayat Ahmad dan Abu Daud, an-Nasaie, Ibnu Khuzaimah dan al-Hakim).

 

Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan hadith qudsi, bahawa beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Azza wa Jalla telah berfirman:

 

"قسمت الصلاة بيني وبين عبدي نصفين، ولعبدي ما سأل".



Maksudnya: Aku telah bahagikan solat (yakni bacaan al-Fatihah itu) di antaraKu dan diantara hambaKu kepada dua bahagian, dan untuk hambaKu apa yang dia mohon.

 

 

 

 

فإذا قال العبد: الحمد لله رب العلمين، قال الله: حمدني عبدي



Maksudnya: Maka apabila hamba berkata:   الحمد لله رب العلمين(Kepujian bagi Allah Tuhan sekelian alam), Allah menjawab: Hambaku telah memujiKu.

وإذا قال: الرحمن الرحيم. قال الله: أثنى علي عبدي.



Maksudnya:  Dan apabila hamba berkata: الرحمن الرحيم (Allah yang Maha Pemurah yang Maha Pengasihani), Allah menjawab: HambaKu telah menyanjungiKu.

 

فإذا قال: مالك يوم الدين. قال الله: مجدني عبدي وقال مرة: فوض إلي عبدي.



Maksudnya: Maka apabila hamba berkata مالك يوم الدين (Allah yang memiliki hari pembalasan), Allah menjawab: HambaKu telah mengagungkan Daku. Kadang-kadang Allah menjawab: HambaKu telah menyerah diri kepadaKu.

 

فإذا قال: إياك نعبد وإيااك نستعين. قال: هذا بيني وبين عبدي ولعبدي ما سأل.



Maksudnya: Maka apabila hamba berkata: إياك نعبد وإياك نستعين (Akan Dikau jua kami ber’ibadat dan akan Dikau jua kami meminta tolong), Allah menjawab: Inilah (perjanjian) antaraKu dan hambaKu, dan bagi hambaKu yang dia mohon.

 

فإذا قال: اهدنا الصراط المستقيم، صراط الذين أنعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولا الضالين. قال الله: هذا لعبدي ولعبدي ما سأل.



Maksudnya: Maka apabila hamba berkata:  : اهدنا الصراط المستقيم، صراط الذين أنعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولا الضالين (Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan orang yang telah Engkau kurniakan ni’mat keatas mereka itu, bukan (jalan) orang yang dimurkai atas mereka itu, dan bukan (jalan) orang-orang yang sesat, Allah menjawab: Inilah untuk hambaKu, dan bagi hambaKu apa yang dia mohon.

Kesimpulannya: Untuk memperolehi khusyu’ dalam sembahyang bukanlah sesuatu perkara yang mudah, atau pun semudah apa yang telah disebutkan dalam usaha-usaha dan langkah-langkah untuk mendapat khusyu’ itu. Dikatakan begitu, kerana kita manusia ini pada dalaman dirinya mempunyai khayalan fikiran, lintasan hati, emosi, imaginasi, fantasi, nostalgia, deria lihat, deria dengar, deria rasa, hawa nafsu dan cita berahi kepada dunia. Sementara di luaran pula ada bisikan-bisikan Iblis dan syaitan yang acap kali berjaya meresap ke dalam lubuk hati lalu bersekongkol dengan nafsu ammarah yang sedia ada dalam diri manusia.

 

Oleh itu untuk mencapai khusyu’ ini, anda perlu kepada mujahadah, ketabahan, kesungguhan, daya tahan, keazaman dan permohonan do’a kepada Allah yang Maha Pemurah lagi yang Maha Pengasihani, kerana kuasa mutlaknya terletak kepadaNya jua.

 

"ولا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم"



          Kita adalah diperintah untuk berusaha sedaya upaya dengan penuh tawakkal dan tafwidh sedangkan Dia telah berjanji akan merestuinya jika benar-benar kita ikhlas. FirmanNya:

 

والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا، وإن الله لمع المحسنين (69: العنكبوت).



Maksudnya: Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh pada (jalan) Kami, sesungguhnya Kami akan menghidayatkan mereka ke jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

 

Rujukan:  Fiqh Solat oleh Haji Engku Ali bin Engku Endut

(Muhammad) al-‘Idrusi Terbitan Syarikat Jaffar Rawas

Sdn. Bhd.

 

 

2 comments:

  1. [...] Bagaimana Memotivasikan (Mendorongkan) Khusyu’ Dalam Sembahyang? [...]

    ReplyDelete
  2. [...] Bagaimana Memotivasikan (Mendorongkan) Khusyu’ Dalam Sembahyang? [...]

    ReplyDelete