Wednesday, 31 August 2011

Memahami Kemuliaan dan Mukjizat Rasulullah SAW [Bhg. 1]

                                 Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam,




Selawat dan Salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran serata alam,


Amma ba’d:



Sejak akhir-akhir ini, kita melihat beberapa individu dan gerakan di atas nama Islam dan Islah mula menyentuh dan mengkritik kedudukan, kemuliaan dan keagungan Rasulullah SAW secara terbuka dan tanpa segan silu atau rasa bersalah. Tanpa mereka sedari, perkara tersebut boleh menjadi sebab bagi kemusnahan seluruh amalan mereka sepertimana yang diterangkan di dalam firman Allah SWT berkenaan kewajipan memelihara adab dengan Rasulullah SAW:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ وَلَا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍأَنْ تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تَشْعُرُونَ


 

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara nabi, dan janganlah kamu Berkata kepadanya dengan suara yang keras, sebagaimana kerasnya suara sebagian kamu terhadap sebagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu[1408], sedangkan kamu tidak menyadari.

 

[1408] meninggikan suara lebih dari suara nabi atau bicara keras terhadap nabi adalah suatu perbuatan yang menyakiti nabi. Karena itu terlarang melakukannya dan menyebabkan hapusnya amal perbuatan.

 

Mereka mula bersikap seumpama musuh-musuh para anbiya’ a.s. dan musuh Nabi Muhammad SAW terdahulu yang memperkecilkan dan menghina keduddukan para anbiya’ a.s. dengan menyatakan mereka (para anbiya’ a.s.) hanyalah manusia biasa seumpama manusia-manusia yang lain.

 

Lihatlah firman Allah SWT berkenaan dengan kaum-kaum para anbiya’ a.s. yang mengkritik dan menghina para anbiya’ a.s. yang diutuskan kepada mereka dengan kata-kata bahawa para anbiya’ a.s. adalah manusia seperti mereka ataupun mereka adalah manusia seperti nabi mereka.

 

قَالُوا إِنْ أَنْتُمْ إِلَّا بَشَرٌ مِثْلُنَا تُرِيدُونَ أَنْ تَصُدُّونَا عَمَّا كَانَ يَعْبُدُ آَبَاؤُنَا فَأْتُونَا بِسُلْطَانٍ مُبِينٍ


Mereka menjawab: “Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami. Kamu bertujuan hendak menyekat kami daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kami. Oleh itu, bawalah kepada kami satu bukti yang jelas nyata”.(Ibrahim;10)

 

 

لَاهِيَةً قُلُوبُهُمْ وَأَسَرُّوا النَّجْوَى الَّذِينَ ظَلَمُوا هَلْ هَذَا إِلَّا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ أَفَتَأْتُونَ السِّحْرَ وَأَنْتُمْ تُبْصِرُونَ


Dengan keadaan hati mereka leka daripada memahami dan mengamalkan maksudnya. Dan orang-orang yang zalim itu, berbisik-bisik sesama sendiri dengan berkata: “Bukankah (Muhammad) ini hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu? Maka patutkah kamu turut hadir mendengar sihir yang dibawanya itu sedang kamu nampak dan mengetahui karutnya?” (Al-Anbiya’:3)

 

فَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَوْمِهِ مَا هَذَا إِلَّا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُرِيدُ أَنْ يَتَفَضَّلَ عَلَيْكُمْ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَأَنْزَلَ مَلَائِكَةً مَا سَمِعْنَا بِهَذَا فِي آَبَائِنَا الْأَوَّلِينَ


Maka ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata (sesama sendiri)): “Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, ia bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada kamu. Dan kalaulah Allah berkehendak (mengutuskan seorang Rasul) tentulah Ia menurunkan malaikat menjadi RasulNya. Kami tidak pernah mendengar seruan seperti ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu.(Al-Mu’minun: 24)

 

وَقَالَ الْمَلَأُ مِنْ قَوْمِهِ الَّذِينَ كَفَرُوا وَكَذَّبُوا بِلِقَاءِ الْآَخِرَةِ وَأَتْرَفْنَاهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا مَا هَذَا إِلَّا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يَأْكُلُ مِمَّا تَأْكُلُونَ مِنْهُ وَيَشْرَبُ مِمَّا تَشْرَبُونَ


Dan (bagi menolak seruan itu), ketua-ketua dari kaumnya yang kafir serta mendustakan pertemuan hari akhirat, dan yang Kami mewahkan mereka dalam kehidupan dunia, berkata (sesama sendiri) “Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, ia makan dari apa yang kamu makan, dan meminum dari apa yang kamu minum.(Al-Mu’minun: 33)

 

Dan banyak lagi…

 

Sesungguhnya pandangan hati orang-orang kafir itu buta daripada melihat kemuliaan dan kedudukan para anbiya’ mereka a.s., lantas, mereka menghina para anbiya’ a.s. dengan dengan kata-kata:

  • “Kamu juga manusia seperti kami” atau

  • “Kami juga manusia seperti kamu”.


 

Golongan yang “berpenyakit” ini hanya sibuk mengembar-gemburkan kepada masyarakat awam tentang ayat-ayat berkaitan “kemanusiaan” Rasulullah SAW dan tidak pula menonjolkan ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah berkaitan dengan keagungan dan kemuliaan Rasulullah SAW yang terlalu banyak di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Kami nukilkan sebahagian kecilnya di sini.

 

[Allah menyifatkan Rasulullah sebagai rahmat ke seluruh alam, dan Dia adalah tuhan sekalian alam]

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ


Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (Al-Anbiya’: 107)

 

[Allah memuji ketinggian akhlak Rasulullah SAW]

وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيمٍ


Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.(Al-Qalam: 4)

 

[Allah menyatakan bahawa anugerah-Nya kepada Baginda SAW adalah teramat besar]

وَمَا يَضُرُّونَكَ مِنْ شَيْءٍ وَأَنْزَلَ اللَّهُ عَلَيْكَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَعَلَّمَكَ مَا لَمْ تَكُنْ تَعْلَمُ وَكَانَ فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكَ عَظِيمًا


…dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikitpun; dan (selain itu) Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (Al-Quran) serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepada mu amatlah besar.(Al-Nisaa’:113)

 

[Allah SWT bersumpah dengan “umur” atau “nyawa” Nabi Muhammad SAW]

لَعَمْرُكَ إِنَّهُمْ لَفِي سَكْرَتِهِمْ يَعْمَهُونَ


Demi umurmu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka membuta tuli dalam kemabukan maksiat mereka.(Al-Hijr: 72)

 

[Allah menisbahkan pemberian kesenangan itu kepada Rasulullah SAW]

وَمَا نَقَمُوا إِلَّا أَنْ أَغْنَاهُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ مِنْ فَضْلِهِ


Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. (Al-Taubah:74)

 

Dan banyak lagi….

 

Apakah mereka tidak sedar dan tidak nampak ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah berkaitan kemuliaan dan keagungan Rasulullah SAW?!

 

Ataupun mereka sengaja buat-buat tidak nampak dan sedar?!

 

Ataupun hati mereka dibutakan daripada melihat dan dipekakkan daripada mendengar kebenaran, lantaran itu, jadilah mereka hati-hati yang berpenyakit?!

 

Daku memohon perlindungan daripada Allah SWT dan Rasul-Nya.

 

Sebahagian kecil masyarakat mula terpengaruh dan mula berani untuk bercakap-cakap dan mengulas dengan nada sindiran, bahkan tanpa adab berkenaan kedudukan Rasulullah SAW. Apabila Rasulullah SAW disanjung dan dipuji oleh umatnya di dalam majlis-majlis ilmu, zikir dan keramaian, golongan ini sibuk menyebarkan dakwaan kononnya sanjungan dan pujian itu mengandungi makna “syirik”, “ghuluww”, dan sebagainya. Perbuatan tidak menjaga adab dengan Rasulullah SAW seperti ini boleh membawa kepada lembah kekufuran yang akhirnya memusnahkan seluruh amalan kebaikan seseorang itu. Golongan yang memperkecilkan kedudukan Rasulullah SAW ini sebenarnya adalah golongan jahil yang mempunyai penyakit di hati mereka.

 

Maka, oleh sebab itu, penulis merasa terpanggil untuk memulakan penulisan e-book di blog ini berkaitan dengan mempertahankan kemuliaan dan kehormatan diri Rasulullah SAW. Semoga e-book kecil ini mampu memaparkan secara ringkas kedudukan dan kemuliaan Rasulullah SAW khususnya dan para anbiya a.s. amnya melalui huraian berkenaan dengan dengan mukjizat baginda SAW.

 

Sesungguhnya kemuliaan Rasulullah SAW itu tiada penghujung baginya dan hanya Allah SWT yang mengetahuinya sepertimana sabda Baginda SAW di dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari:

والله، ما عرفني غير ربي


Maksudnya: “Demi Allah, tiada yang mengenali daku melainkan Tuhan-ku”

 

Semoga amalan ini diterima oleh Allah SWT sebagai sebab untuk mencapai ridha dan rahmat-Nya serta shafaat kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya baginda SAW adalah sebaik-baik pemberi shafaat di hari pengadilan nanti. Amin Ya Rabbal Alamin.

SUMBER:

http://al-ashairah.blogspot.com/2010/04/memahami-kemuliaan-dan-mukjizat.html

 


1 comment: