ENAKMEN TAREKAT TASAWWUF: SATU PENJELASAN
OLEH: JABATAN MUFTI KERAJAAN NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
SEMPENA SEMINAR TASAWWUF NEGERI SEMBILAN 2007 (22 DISEMBER 2007 = 12 ZULHIJAH 1428.
ABSTRAK
Tarekat Tasawwuf merupakan satu kumpulan amalan yang penting di kalangan umat Islam di nusantara. Walau bagaimanapun kebelakangan ini Tarekat Tasawwuf sering dimomokkan sebagai menyeleweng daripada aqidah Ahl as-Sunnah Wa al-Jama’ah. Hal ini menyebabkan pengamal Tarekat Tasawuf memencilkan diri dan mengamalkannya secara bersembunyi. Justeru kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus telah menguatkuasakan Enakmen Tarikat Tasawwuf (Negeri Sembilan) 2005 sebagai satu usaha murni bagi memartabatkan semula amalan tarekat ini. kertas ni juga dikemukakan untuk memberi penjelasan tentang keperluan kumpulan tarekat tasawwuf secara lebih tersusun dan sistematik.
PENDAHULUAN
Tarekat Tasawwuf merupakan satu organisasi bagi melaksanakan aktiviti tazkiyah al-nafs dan tarbiyyah ruhiyyah melalui pengamalan aurad dan zikr yang tersusun. Tarekat Tasawwuf juga telah digerakkan secara sistemak dan terancang. Dalam pengamalannya terdapat empat elemen penting iaitu syaikh, baiah, aurad dan ikhwan. Keempat-empat perkara ini telah disusun dan diorganisasikan dengan baik. Bahkan pengamal Tarekat Tasawuf telah menyediakan satu manhaj dan qawaid bagi Tarekat Tasawuf secara teratur. Pelbagai karya berkaitan hal ini telah dihasilkan antaranya kita boleh melihat dan merujuk kaedah-kaedah yang telah disusun oleh al-Imam al-Sya’rani di dalam kitabnya al-Anwar al-Qudsiyyah Fi Ma’rifah Qawaid al-Suffiyyah. Kesungguhan golongan sufi ini telah menjadikan Tarekat Tasawwuf sebagai tonggak bagi mempertahankan kesuciaan syariat Islam dan kedaulatan bumi umat Islam di sepanjang zaman.
PENGORGANISASIAN TAREKAT TASAWWUF
Tarekat Tasawwuf telah menjadi landasan bagi penyatuan hati umat Islam. Melalui kaedah penyucian jiwa dan penyemaian sifat-sifat mahmudah yang mantap mereka telah berjaya memayungi dan mempertahankan umat Islam daripada pelbagai anasir yang tidak sihat. Bahkan golongan ini telah memainkan peranan yang penting bagi menjaga kebajikan umat dan memberikan didikan yang sempurna. Melalui lidah para sufi dakwah Islamiyyah tersebar luas seantero dunia. Hal ini telah diriwayatkan oleh Ibn Batutah disepanjang pelayarannya yang mengelilingi dunia. Kegigihan ini telah melahirkan umat yang mempunyai kekuatan iman dan asas persaudaraan Islam yang mantap. Dengan kekuatan ini Islam terus meneroka dunia dan mempertemukan manusia dengan cahaya hidayah dan keindahannya.
Tarekat Tasawwuf telah menjadi landasan bagi penyatuan hati umat Islam. Melalui kaedah penyucian jiwa dan penyemaian sifat-sifat mahmudah yang mantap mereka telah berjaya memayungi dan mempertahankan umat Islam daripada pelbagai anasir yang tidak sihat. Bahkan golongan ini telah memainkan peranan yang penting bagi menjaga kebajikan umat dan memberikan didikan yang sempurna. Melalui lidah para sufi dakwah Islamiyyah tersebar luas seantero dunia. Hal ini telah diriwayatkan oleh Ibn Batutah disepanjang pelayarannya yang mengelilingi dunia. Kegigihan ini telah melahirkan umat yang mempunyai kekuatan iman dan asas persaudaraan Islam yang mantap. Dengan kekuatan ini Islam terus meneroka dunia dan mempertemukan manusia dengan cahaya hidayah dan keindahannya.
Di Mesir, kewujudan organisasi Turuq Sufiyyah bermula di zaman pemerintahan Sultan Salahuddin al-Ayubi. Ini terbukti apabila beliau telah membina al-khanaqah yang juga dikenali ketika itu sebagai Sa’id al-Su’ada’. Al-Khanaqah juga dikenali sebagai ziwayah iaitu tempat untuk mengamalkan segala bentuk syiar agama seperti solat, puasa, tahajjud, zikr, fikr, berwirid, mendirikan halaqah zikr dan lain-lain.
Pada kurun ke-19 Tarekat-tarekat Tasawwuf di Mesir dipimpin oleh seorang syaikh utama. Beliau merupakan juru bicara bagi pihak semua tarekat yang ada. Pada masa yang sama setiap tarekat mempunyai seorang syaikh, manakala setiap syaik mempunyai khulafa’ di kawasan perkampungan dan naibnya di pusat-pusat dan tempat pengajian.
Undang-undang pertama telah dikuatkuasakan pada 2 Jun 1903 bagi menyusun Tarekat Tasawwuf. Penambahbaikan terhadap undang-undang ini telah dilakukan dengan pewartaan Undang-undang No. 118 pada tahun 1976. Antara lain undang-undang in telah mewujudkan Majlis Sufi dan menentukan keanggotaannya yang terdiri daripada;
1.Syaikh Masyayaikh
2.10 orang yang dilantik dikalangan syaikh-syaikh tarekat
3.Wakil Universiti al-Azhar yang dinamakan oleh Syaikh al-Azhar
4.Seorang wakil Kementerian Wakaf yang dinamakan oleh Menteri
5.Seorang wakil Kementerian Dalam Negeri yang dinamakan oleh Menteri
6.Seorang wakil Kementerian Kebudayaan
7.Wakil-wakil daripada agensi lain yang ditentukan oleh Menteri di Kementerian berkenaan.
Usaha bagi memantapkan Institusi Tarekat Tasawwuf di Mesir diperkasakan lagi apabila Presiden Republik Mesir meluluskan Udang-undang No. 54 pada tahun 1978. Undang-undang ini dilihat sebagai usaha memurnikan ketulenan manhaj tasawwuf dan penglibatan institusi ini dalam kegiatan dakwah, pendidikan, pengurusan kewangan dan pentadbiran, pembentukan peribadi dan lain-lain.
Di Malaysia pula satu Persidangan as-Sufiyyah seluruh Malaya pernah diadakan pada 2 Oktober 1960 bertempat di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. Satu petubuhan yang dikenali sebagai Persatuan Tarekat Sufiah yang menggabungkan Tarekat-tarekat Tasawwuf ini juga telah diwujudkan. Persatuan ini pernah mengadakan Mesyuarat Agungnya yang pertama pada 3 Jun 1962. Walau bagaimanapun dengan sebab-sebab yang tidak diketahui pendaftaran Persatuan telah dibubarkan.
Dalam Persidangan Kongres Ahli-ahli Tariqat as-Sufiah Dr. Burhanuddin al-Hilmy mengatakan,
" Dalam konteks gerakan pembangunan dalam lapangan-lapangan yang lain maka ahli tasawwuf ini hendaklah menyusun persekolohan , yayasan, asrama, perpustakaan dan organisasi pertubuhan-pertubuhan yang tersusun hidup dan lengkap dengan syiar yang mulia dan agung sesuai dengan ilmu pengetahuan dan amalan negeri ini. Ahli Tariqat Suffiah mesti mengorak langkah baru sesuai dengan dunia baru atom dan perlumbaan angkasaraya. Sebagaimana ulama-ulama feqh dan ulama-ulama ilmu yang lain mensesuaikan fatwa-fatwa dan pendapat-pendapat dengan perkembangan zaman dan hajat masyarakat kepada ilmu itu pada memelihara dan memperkukuh bangunan Islam itu. Maka demikian juga ulama-ulama tariqat Sufiah tidak boleh membeku dengan cara kolot lagi.
Pada 17-19 Ogos 2002, Seminar Antarabangsa Dakwah dan Tariqat Tasawwuf telah diadakan di Hotel Hilton, Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus. Dalam seminar yang turut dihadiri oleh ulama-ulama besar luar negara telah mengeluarkan resolusi-resolusi yang menyatakan hasrat untuk mengembalikan kewibawaan Tarekat Tasawwuf dalam kegiatan dakwah dan pembinaan ummah (lihat lampiran A).
Bagi merealisasikan resolusi itu Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan telah memulakan inisiatif untuk menggubal satu undang-undang agar Tarekat Tasawwuf dapat dibawa semula ketengah masyarakat dan disamping menggiatkan usaha pemurniaan dari masa ke masa. Berkat niat murni semua peserta seminar tersebut maka pada tahun 2005, Enakmen Tarekat Tasawwuf (Negeri Sembilan) dibentangkan di dlaam Dewan Undangan Negeri Sembilan dan dikuatkuasakan pada Januari tahun berikutnya.
ENAKMEN TAREKAT TASAWWUF (NEGERI SEMBILAN) 2005
Enakmen Tarekat Tasawwuf (Negeri Sembilan) 2005 telah dikuatkuasakan pada 24 Januari 2006. Enakmen ini mengandungi 10 bahagian dan 35 seksyen (lihat lampiran B). Enakmen ini digubal dengan melihat kepada aspek-aspek berikut:
Pertama, mengiktiraf pengamalan Tarekat Tasawwuf yang dtubuhkan dan diamalkan di Negeri Sembilan. Hal ini penting selaras dengan Resolusi Seminar Antarabangsa Dakwah dan Tariqat Tasawwuf yang telah diadakan pada tahun 2002 yang lalu. Tarekat Tasawwuf dilihat sebagai satu wadah diantara wadah-wadah pembinaaan insan kamil dan wahana penting dalam penyebaran dakwah khususnya di Malaysia. Pendekatan kerohaniaan telah terbukti dalam sejarah sebagai medium yang paling mapan bagi membina jati diri umat Islam untuk mencapai kebahagiaan ukhrawi yang hakiki di samping persediaan awal bagi mengharungi kepesatan pembangunan dunia.
Namun kerana kegagalan pengamal Tarekat untuk bertahan sebagai peneraju umat, sementelahan pula dakyah dan tohmahan tidak sihat berkaitan tarekat Tasawwuf tersebar luas, maka kedudukan Tarekat Tasawwuf terus terpinggir dan dipandang serong oleh masyarakat Islam. Tarekat kemudiaanya diamalkan secara eksklusif dan terpencil. Akhirnya ada segelintir daripada umat Islam terjebak ke dalam fahaman kebatinan yang menyesatkan yang bertopengkan Tarekat Tasawwuf. Enakmen ini secara langsung mengembalikan semula peranan Tarekat Tasawwuf dalam dakwah dan mempertahankan kemuliaan umat Islam di Malaysia.
Kedua, mendaftarkan Tarekat Tasawwuf . Enakmen ini mewajibkan sebarang tarekat yang ingin ditubuhkan dan diamalkan di Negeri Sembilan didaftarkan. Bagi melaksanakan tujuan ini, jawatan Pendaftar, Timbalan Pendaftar dan Penolong Pendaftar diwujudkan. Kini Jabatan Mufti Negeri Sembilan mempunyai bahagaian khusus untuk menguruskan Hal Ehwal Tarekat Tasawwuf.
Pendaftaran tarekat bukan bermaksud menafikan hak untuk beramal tetapi ianya sebagai langkah yang rasmi untuk menjayakan hasrat bagi mengiktiraf sesuatu tarekat. Tarekat yan telah disemak pengamalannya oleh Anggota Jilsah Turuq Sufiyyah dan kemudiannya diperakukan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan, akan diberikan Perakuan Pendaftaran sebagai satu pengiktirafan undang-undang. Tarekat Tasawwuf berkenaan akan dilindungi oleh undang-undang dan pada masa yang sama wajib mematuhi kehendak-kehendak Enakmen secara berterusan. Hal ini penting bagi memastikan bahawa Tarekat Tasawwuf yang diamalkan sentiasa di dalam keadaan murni dan terbimbing.
Ketiga, membangun dan memajukan amalan Tarekat Tasawwuf. Enakmen ini secara langsung menggariskan beberapa usaha pembangunan Tarekat Tasawwuf demi menentukan kejayaan dalam perlaksanaanya. Antara aspek pembangunan yang dilihat penting bagi sesuat Tarekat Tasawwuf ialah dengan memperkasakan modal insan melalui pengajian keilmuan , pemerkasaan wibawa seseorang syaikh, pembangunan pusat pengamalan tarekat dan pengemaskinian maklumat mutakhir bagi sesuatu Tarekat Tasawwuf itu. Para syaikh diminta untuk menyerahkan laporan tahunan yang mengandungi beberapa maklumat penting seperti senarai ahli baru, senarai ahli yang digugurkan, senarai premis yang digunakan untuk pengamalan dan lain-lain. Pihak luar boleh mengakses segala maklumat yang ada. Ini sebagai usaha untuk memasyarakatkan tasawwuf dan diketengahkan dengan lebih telus. Disamping itu para ahli sesuatu tarekat dapat mengetahui ahli tarekat yang mereka amalkan. Dengan itu mereka boleh berinteraksi dan menjana budaya pertukaran fikiran yang sihat. Hal ini sememangnya menjadi teras di dalam pengamalan tarekat. In kerana al-ikha’adalah merupakan satu medium pembersihan jiwa yang menjadi amalan para tabi’in. Menurut al-Hassan al-Basri,
Yang bermaksud: Saudara yang terbaik bagi kamu ialah yang apabila kamu menemuinya , dia mengingatkan kamu tentang kedudukan kamu dengan Allah, berbanding saudara yang apabila kamu temui dia meletakkan di dalam genggaman kamu beberapa dinar.
Keempat, pemerniaan dan pemantauan, enakmen ini telah menggariskan usaha-usaha pemurnian dan pemantauan yang berterusan terhadap pengamalan tarekat –tarekat tasawwuf. Seawal pendaftaran, sesuatu tarekat yang ingin beramal di Negeri Sembilan perlu ditentusahkan dalam beberapa aspek seperti kewibawaan syaikh, silsilah tarekat, pusat pengamalan dan bahan-bahan rujukan utama pengamalannya.
Sesuatu Tarekat Tasawwuf akan terus dipantau dan dimurnikan. Anggota Jilsah Turuq Sufiyyah diberi tanggungjawab penuh oleh Jawatankuasa Fatwa untuk membuat penyelidikan dan kajian mendalam terhadap semua aspek Tarekat Tasawwuf dan pengamalannya. Oleh sebab itu Anggota Jilsah Turuq sufiyyah dilantik di kalangan penyelidik yang berkepakaran dalam bidang tasawwuf dan di kalangan pengamal tarekat itu sendiri. Gabungan pengalaman antara semua anggota Jilsah Turuq Sufiyyah yang bersifat nazari dan amali akan memacu usaha-usaha pemurniaan dan pemantauan terhadap pengamalan tarekat tasawwuf di Negeri ini.
Semua tarekat yang telah didaftarkan perlu mematuhi arahan pendaftar dan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan dalam semua aspek, sama ada dalam aspek hukum syarak, akidah mahupun berkaitan tasawwuf. Semua tarekat perlu mematuhi arahan tersebut bagi menjamin keharmoniaan pengamalan dan menepati hukum syarak yang dikaji secara ilmiah.
Kelima, memasyarakatkan Tarekat Tasawwuf. Tasawwuf dalam pasca Enakmen ini perlu dimasyarakatkan. Ianya kini bertindak sebagai medan untuk masyarakat bermuhasabah dan memperbaiki diri. Bahkan sebagaimana kehendak enakmen para syaikh perlu kehadapan untuk memberikan pengetahuan yang cukup kepada para ahli dan masyarakat sekitarnya. Enakmen ini mensasarkan agar masyarakat mendapat limpahan ilmu daripada tarekat yang diorganisasikan dengan baik dan sistematik.
Demikianlah beberapa kehendak dan hala tuju Enakmen Tarekat Tasawwuf (Negeri Sembilan) 2005 untuk dipatuhi oleh semua pengamal tarekat yang telah didaftarkan. Dengan gabungan tenaga semua pihak yang terlibat adalah diharapkan enakmen in akan memberi sumbangan besar kepada perkembangan Islam dan peningkatan syiarnya di Negeri Sembilan.
TANGGUNGJAWAB SYAIKH DALAM ENAKMEN
Seseorang syaikh bertanggungjawab penuh terhadap tarekat yang dipimpinnya. Seseorang syaikh diberi tanggungjawab khusus oleh Enakmen ini antaranya ialah
Pertama, Menjadi penghubung di antara ahli tarekat dengan Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan. Syaikh bertanggungjawb untuk memaklumkan segala keputusan dan arahan Jawatankuasa Fatwa yang dipanjangkan oleh Pendaftar dari masa ke semasa. Hal ini adalah untuk mempastikan bahawa segala keputusan oleh Jawatankuasa Fatwa sampai kepada ahl-ahli tarekat untuk menjadi amalannya. Penyelarasan bertujuan supaya keharmonian dalam pengamalan tarekat dan tasawwuf dapat dijaga.
Kedua, memastikan bahawa ahlinya mematuhi segala bentuk Fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa. Pada kelazimannya Fatwa dikeluarkan apabila timbul suasana kontroversi atau pertikaian berkaitan sesuatu hukum. Justeru Fatwa yang dikeluarkan mengikat setiap orang Islam di Negeri Sembilan.
Ketiga, melaporkan kepada Jawatankuasa Fatwa segala bentuk pelanggaran yang telah berlaku dikalangan ahlinya setelah nasihat dalaman diberikan kepada individu berkaitan.
Berdasarkan ketiga-tiga tanggungjawab ini jelas menggambarkan bahawa para syaikh perlu menguruskan tarekatnya secara sistematik. Sesuatu tarekat perlu mempunyai anggota pengurusan yang cekap agar segala maklumat dua hala dapat disalurkan.
KESALAHAN DAN PENALTI
Secara umumnya kesalahan yang dinyatakan di dalam Enakmen ini adalah akibat pelanggaran perkara-perkara yang bersifat teknikal . Enakmen ini tidak memperuntukkan kesalahan daripada aspek pengamalan tarekat itu secara langsung. Kesalahan dan kesilapan berkaitan amalan akan diawasi oleh Jawatankuasa Fatwa setelah dibuat kajian mendalam oleh Jilsah Turuq Sufiyyah. Senarai kesalahan dan penalti yang dikenakan adalah seperti di Lampiran C.
KESIMPULAN
Enakmen Tarekat Tasawwuf (Negeri Sembilan) 2005 adalah satu kejayaan khalayak Sufi untuk meletakkan Tarekat Tasawwuf di martabat yang selayaknya. Para Sufi perlu mengambil kesempatan ini untuk mengemaskinikan kegiatan mereka supaya lebih sistematik dan berinformasi. Hal ini penting untuk faedah masyarakat awam. Tarekat-tarekat Tasawwuf perlu lebih aktif dalam menjalankan program-program keilmuan dan tarbiyyah ruhiyyah. Tarekat juga perlu lebih prolifik dalam menghasilkan karya-karya khususnya berkaitan tasawwuf sebagai panduan bersama. Akhir sekali semua Tarekat Tasawwuf perlu menggabungkan diri dengan pihak berwajib khususnya Jabatan Mufti bagi memastikan Tarekat Tasawwuf terus dipelihara danmenjadi wadah yang terbaik dalam mendidik umat Islam.
RUJUKAN
al-Bilali. Abd al-Hamid. 2002. Manhaj al-Tabi’in Fi Tarbiyyah al-Nufus. Maktabah al-Manar al-Islamiyyah. Kuwait.
Burhanuddin al-Hilmy. Dr. 2006. Simposium Tasawwuf dan Tariqat. Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Seremban.
Enakmen Tarekat Tasawwuf (Negeri Sembilan).
Rafiq al-Ajam, dr. 1999. Mawsu’ah Mustalahat al-Tasawwuf al-Islami. Maktabah Lubnan Nasyirun, Beirut.
al-Taftazani, Dr. Abu al-Wafa’.1991. Rasail al-Majlis al-A’la li al-Turuq al-Sufiyyah Fi Misr. Matba’ah al-Amaniyyah, Syubra.
LAMPIRAN A
RUMUSAN RESOLUSI SEMINAR
SEMINAR ANTARABANGSA DAKWAH DAN TARIQAT TASAWWUF PADA 8-10 JUMADA AL-AKHIR 1423H BERSAMAAN 17-19 OGOS, 2002. BERTEMAKAN "PENJANAAN TARIQAT TASAWWUF DALAM PEMBANGUNA NEGARA", ANJURAN JABATAN MUFTI NEGERI SEMBILAN DAN MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI SEMBILAN DENGAN KERJASAMA FAKULTI PENGAJIAN ISLAM UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA:
Berpandukan ucap utama dan sesi pembentangan kertas-kertas yang telah diterima oleh seminar ini, maka disepakati dengan penuh rasa tanggungjawab dan semangat SYURA memaklumkan RESOLUSI SEMINAR seperti berikut:-
1. Bahawa dakwah Islamiah dan Tariqat Tasawwuf adalah sebahagian dari tuntutan ajaran Islam yang tulen dan sah (Asolah dan Sohihah) dan telah diamalkan oleh umat Islam sejak zaman Rasulullah SAW. Justeru dakwah dan Tariqat Tasawwuf hendaklah diterima pakai seiring jalan untuk menjaana pembangunan insan dan negara.
2. Penggerak dakwah dan penghayatan amalan tariqat dan tasawwuf di semua peringkat hendaklah iltizam dengan syariat dan mendalami ilmu-ilmu syariat sebagai asas dan panduan sahih dan murni dari sebarang penyelewengan.
3. Menyedari peranan tokoh-tokoh sufi telah berjaya menyebar dakwah Islamiah dan menjadi pelopor perjuangan jihad umat Islam menentang penjajah dan menghadapi gerakan misionari kristian dan serangan ideologi sekular barat, maka diisarankan kesepakatan dan kegiatan bersepadu dalam usaha-usaha dakwah dan amal makruf nahi munkar di semua peringkat massa dan negara dengan menyediakan prasarana yang lengkap dan sesuai.
4. Memandangkan wujudnya berbagai-bagai aliran dan kumpulan pengamal Tariqat Tasawwuf yang sering disalah fahami, dengan ini diseru supaya ditubuhkan satu ’Persatuan’ atau ’Pertubuhan’ yang menyatupadukan semua kumpulan tariqat dan tasawwuf seluruh negara, serantau dan di peringkat antarabangsa serta berfungsi sebagai Badan Pemantau serta berwibawa menangani sebarang isu yang berkaitan dengan Tariqat Tasawwuf.
5. Tariqat Tasawwuf melalui pertubuhan rasminya perlu memaksimumkan penggunanaan teknologi komunikasi maklumat yang berautoritikan berkenaan dengan Tarekat Tasawwuf.
6. Bahan-bahan sejarah dan khazanah ilmiah yang relevan dengan tokoh-tokoh sufi dan kumpulan Tariqat Tasawwuf hendaklah dipelihara dan dilindungi serta diurus dengan rapi dan sistematik untuk rujukan masyarakat pencinta tariqat dan tasawwuf serta generasi akan datang. Kerajaaan Negeri Sembilan dicadangkan mengadakan galeri perkembangan Tariqat Negeri dengan kerjasama Muzium Negeri.
7. Pegangan amalan tariqat sunni-salafi dapat mendidik manusia sebagai individu masyarakat dan umat mampu menjadi penjanan kekuatan rohaniah umat Islam bagi mencapai kemuliaan hidup serta menghadapi cabaran sepanjang zaman. Ia juga diyakini mampu menyelesaikan masalah kejiwaan generasi kini yang menghadapi konflik jiwa dan cabaran globalisasi. Justeru tuntutan dakwah dan amar makruf nahi munkar serta amalan praktik Tariqat Tasawwuf perlu diterapkan dalam proses pendidikan setiap lapisan generasi muslim.
8. Peranan gerakan dakwah dan pertubuhan Tariqat Tasawwuf dalam pendidikan perlu dipertingkatkan dan diperluas dengan menganjurkan program zikir untuk masyarakat awam, serta menubuhkan institusi pendidikan dan pengajian dengan menggunakan segala sumber material dan kepakaran yang selari dengan kepesatan bidang pelajaran dan pendidikan semasa.
9. Unsur-unsur positif dan tatacara asuhan rohani yang membina dalam disiplin Tareqat Tasawwuf hendaklah dimasyarakatkan bagi menjana kekuatan umat Islam berasaskan warisan amalan salaf al-saleh yang baik di samping prinsip-prisnsip moden yang sesuai.
10. Badan-badan dakwah dan gerakan Tariqat Tasawwuf hendaklah memberi laluan yang meneparti syarak kepada golongan muslimat bagi menyumbangkan kepada pengislahan masyarakat dan dalam kerja-kerja kebajikan pusat-pusat perlindungan dan pemuliharaan.
11. Islam sebagai ad-din yang sesuai dengan fitrah, maka pemahaman ,penghayatan dan pelaksaanaan ajarannya yang syumul termasuk Tareqat Tasawwuf hendaklah diterapkan dengan penuh hikmah dalam semua aspek kehidupapan khususnya politik, ekonomi, sosial, keseniaan dan kebudayaan serta pembentukan pola pemikiran masyarakat.
12. Berdasarkan pengalaman sejarah, Tariqat Tasawwuf juga perlu memberikan tumpuan kepada strategi mengislamkan non-Muslim.
SUMBER:
[...] Enakmen Tariqat Tasawwuf [...]
ReplyDelete