Saturday, 30 July 2011

SYEIKH MUHAMMAD SAID LINGGI

SYEIKH MUHAMMAD SAID LINGGI
MURSYID THARIQAT AHMADIYAH

 

Nama lengkapnya Syeikh Muhammad Said bin Syeikh Jamaluddin Linggi bin Haji Idris bin Haji Abdul Mukmin Linggi bin Syeikh Muhammad Nakhoda alMinankabawi. Sampai di sini sahaja nasab yang telah disepakati, dan seterusnya yang masih dipertikaikan ialah Muhammad Nakhoda al-Minankabawi bin Ahmad bin Umar bin Shalih bin Abdullah, berasal dari Hadhralmaut, Yaman. Beliau dilahirkan pada tanggal 3 Syaaban 1292 Hijrah/1875 Masihi dan meninggal dunia pada 12 Rabiulawal 1345 Hijrah/18 September 1926 Masihi.

ASAL USUL
Selain nasab ke atas sebelah lelaki yang berasal dari Hadhralmaut, dapat dipecahkan lagi bahawa datuknya, Haji Idris itu berkahwin dengan Hajah Rahimah binti Khatib Musa bin Amaluddin bin Awaluddin. Dalam Kanzul Mu`id tertulis bahawa Awaluddin dimasyhurkan dengan Dato' Awal anak Faqih yang dimasyhurkan dengan Daeng Abdul Malik. Bahawa keturunan ini ada hubungan dengan Daeng Kemboja, yang dimasyhurkan dengan Marhum Janggut Yamtuan Muda Riau. Marhum Janggut pula adalah putera Upu Daeng Perani. Hajah Rahimah (nenek Syeikh Muhammad Said) tersebut ibunya bernama Zulaikha binti Dato' Karkung berasal dari Minangkabau, termasuk kerabat ulama besar bernama Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi al-Minankabawi, penyusun kitab Kifayatul Ghulam. Ibunya bernama Hajah Shafiyah binti Haji Muhammad Shalih al-Fathani (meninggal dunia pada 12 Rabiulakhir 1352 Hijrah). Ayah kepada ibunya ini adalah seorang ulama Patani yang mempunyai murid yang ramai. Neneknya (ibu kepada ibunya) bernama Hajah Maryam, beliau adalah keturunan Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani, satu-satunya ulama Melayu yang pernah mengajar di Masjidil Aqsa.

PENDIDIKAN
Ketika mengikuti pengajian sistem pondok di Patani, Muhammad Said berguru kepada ulama terkenal, iaitu Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani (Tuan Minal), pengarang pelbagai kitab Melayu/Jawi. Guru-gurunya yang lain ialah Tok Nahu, Syeikh Muhammad Nuh Kedah, Tok Semela dan lain-lain. Semua ulama yang tersebut adalah murid pula kepada datuknya, Syeikh Abdur Rasyid. Sewaktu berusia 17 tahun, beliau berangkat ke Mekah untuk melanjutkan pelajarannya. Guru-gurunya di Mekah yang tersebut dalam Kanzul Mu`id sangat ramai, di antaranya yang berasal dari dunia Melayu ialah: Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi, Syeikh Zainuddin as-Sumbawi, Syeikh Wan Ali al-Kalantani dan Syeikh Ahmad al-Fathani.Di Madinah, Muhammad Said pernah belajar kepada Sayid Jaafar al-Barzanji, Mufti Mazhab Syafie di Madinah al-Munawwarah. Beliau pernah pula mengembara memperdalam ilmu ke Mesir. Di sana beliau sempat belajar kepada Syeikh Syamsuddin al-Anbaby, Syeikh al-Azhar pada zaman itu. Juga beliau belajar kepada Syeikh Ahmad ar-Rifa'ie, ulama besar Mazhab Maliki di al-Azhar. Di dalam bidang yang khusus, beliau menerima Thariqat Ahmadiyah ar-Rasyidiyah ad-Dandarawiyah daripada Sayid Muhammad bin Ahmad ad-Dandarawi. Dengan Thariqat Ahmadiyah inilah beliau mencapai kemuncaknya sebagai Syeikh Mursyid Thariqat Ahmadiyah yang terbesar di dunia Melayu. Murid-muridnya dalam bidang Thariqat Ahmadiyah meliputi Cam di Kemboja, Patani, Malaysia (termasuk Sabah dan Sarawak), Singapura dan Brunei Darussalam.

PENYEBARAN THARIQAT AHMADIYAH
Di dalam ulama dunia Melayu terdapat beberapa orang guru Muhammad Said, mereka ialah Syeikh Wan Ali Kutan, Tuan Tabal, Syeikh Ahmad al-Fathani dan lain-lain juga menerima Thariqat Ahmadiyah daripada Sayid Ibrahim ar-Rasyidi (meninggal dunia 1291 Hijrah/1874 Masihi). Beliau adalah guru pada Sayid Muhammad bin Ahmad ad-Dandarawi (meninggal dunia 1327 Hijrah/ 1909 Masihi). Walau bagaimanapun pada peringkat awal Thariqat Ahmadiyah di dunia Melayu tidak berapa jelas perkembangannya.Dengan kegigihan Muhammad Said, Thariqat Ahmadiyah berkembang dan tersebar dengan sangat lajunya. Thariqat Ahmadiyah mula mendapat sambutan yang luar biasa di Kota Bharu,Kelantan dan menimbulkan kontroversi antara murid-murid beliau dengan golongan yang tidak menyetujuinya. Untuk menenangkan suasana keresahan masyarakat, Raja Kelantan menulis tiga lembar surat pertanyaan yang ditujukan kepada Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah. Di antara kandungan surat Raja Kelantan yang bertarikh Ramadan 1323 Hijrah (kira-kira 1905 Masihi) itu ialah, ``Iaitu daripada sahaya Raja Kelantan Ibnu al-Marhum as-Sultan Muhammad, mudah-mudahan dipersampaikan kepada orang tua sahaya Wan Ahmad bin Wan Din Fathani yang mujawwir di dalam negeri Makkah al-Musyarrafah ... `` Kalimat selanjutnya, ``Maka adalah sahaya nyatakan kepada orang tua sahaya, bahawasanya telah jatuh di dalam negeri sahaya satu pekerjaan yang pelik, tiada pernah jatuh lagi dahulunya. Iaitu datang seorang nama Haji Encik `Ied bin Haji Jamaluddin Linggi ke Kelantan mengajarkan ilmu Thariqat Ahmadiyah, yang dipanggil orang Thariqat Rasyidi ... ``Selanjutnya, ``Maka yang mengajar itu kepada sekalian bagai Muslimin, daripada laki-laki dan perempuan, besar dan kecil, yang mempunyai ilmu atawa yang jahil. Bahkan kebanyakan mereka itu daripada juhhalun nas, yang tiada sembahyang, dan tiada mengetahui furudhul `ain, `aqidatul iman, dan lainnya. Dan setengah daripada mereka itu bangsa raja-raja dan anak menteri ... ``
Syeikh Ahmad al-Fathani telah menjawab pertanyaan Raja Kelantan itu dalam tiga bentuk karangan. Yang pertama diberi judul Mir-atul A'ajib fi Jawabi Su-alil Majazib. Yang kedua ditulis dalam bentuk syair bahasa Melayu, diberi judul Syair Thariqah Shufiyah. Yang ketiga ditulis dalam bentuk syair bahasa Arab, diberi judul Syair Man Li Ya Sa'id. Kesimpulan kandungan keseluruhannya ialah merupakan ilmiah yang berdiri pada pelbagai kaedah keilmuan Islam.

PENULISAN
Syeikh Muhammad Said Linggi juga menghasilkan beberapa buah karangan, di antaranya yang disebut dalam Kanzul Mu'id, ialah: Risalah al-Fawaid, Kasyful Ghiba'an Haqiqatir Riba, Sullamut Ta'rif ila Ilmit Tashrif, Risalah al-Fath, Nazham Kesesatan Kaum Wahabi, Al-Kasyfu wat Tanfis `an Saiyidi Ahmad bin Idris, Syarh Kunuzil Jawahirin Nuraniyah dan Kaifiyat Mengerjakan Tarawih. Semua judul yang tersebut di atas belum saya jumpai, namun ada dua buah karangan Syeikh Muhammad Said Linggi yang tidak disebut dalam Kanzul Mu'id ada dalam simpanan saya, ialah: Rasail Jawiyah, diselesaikan pada pertengahan Rabiulakhir 1323 Hijrah di Bandar Singapura. Cetakan huruf batu atau litografi tetapi tidak terdapat nama dan tempat di mana dicetak. Kandungannya merupakan kumpulan pelbagai hizib yang diamalkan para Auliya. Perbicaraan dimulai daripada Thariqat Syaziliyah dan diikuti dengan Thariqat Ahmadiyah yang dilengkapi dengan riwayat, silsilah dan berbagai-bagai wirid, amalan-amalan dan lain-lain yang ada kaitan dengannya. Karangan Muhammad Said Linggi yang masih dalam bentuk manuskrip berjudul Silsilah Thariqah An-Naqsyabandiyah. Naskhah ini saya peroleh pada satu kampung di Negeri Sembilan daripada salah seorang murid Muhammad Said Linggi. Pada awal naskhah dinyatakan bahawa beliau menerima Thariqat Naqsyabandiyah di Mekah kepada Syeikh Usman Rais. Dinyatakan bahawa Muhammad Said bin Jamaluddin al-Linqi ar-Rasyidiyah selesai menulis pada bulan Rejab (tanpa dinyatakan tahun). Naskhah yang dibicarakan ini adalah salinan, tanpa nama penyalin, yang diselesaikan pada 27 Safar 1360 Hijrah, iaitu kira-kira 15 tahun setelah Syeikh Muhammad Sa'id meninggal dunia.

KETURUNAN
Ketika Syeikh Muhammad Said meninggal dunia, beliau meninggalkan 16 orang anak. Sebagai pengganti menjadi Khalifah Thariqat Ahmadiyah adalah anaknya yang bernama Syeikh Haji Abdullah. Anak beliau yang banyak menghasilkan karangan ialah Haji Ahmad yang ketika hidupnya pernah menjadi Mufti Negeri Sembilan. Di antara anak Syeikh Muhammad Said yang sempat saya jumpai ada dua orang iaitu Haji Mansur (1970) dan Haji Tahir (1990). Pertemuan saya dengan kedua-dua anak beliau yang tersebut mempunyai kesan tersendiri. Daripada Haji Mansur saya menerima sebuah buku manaqib yang berjudul Kanzul Mu'id. Beliau pula membaca secara hafal di hadapan saya syair bahasa Arab yang panjang karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang termaktub pada akhir I'anah at-Thalibin karya Saiyid Abu Bakar Syatha. Daripada Haji Tahir saya peroleh syair bahasa Arab juga karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang pernah diserahkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani kepada muridnya Syeikh Muhammad Said Linggi. Syair tersebut diberi judul Man Li Ya Sa'id. Selain itu saya juga sentiasa berhubungan mesra dengan beberapa orang cucu Syeikh Muhammad Said Linggi, di antaranya Datuk Haji Murtadza bin Haji Ahmad, sekarang Mufti Negeri Sembilan. Pada tarikh 11 Mac 2004, malam Jumaat, saya bersama-sama Datuk Murtadza dan Ustaz Haji Nuruddin al-Banjari diberi kepercayaan menyampaikan ceramah dalam Forum Bicara Ad-Din di Masjid Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Sekudai, Johor.

Manaqib Tuan Shaykh Muhamad Said al-Linggi

Petikan daripada Akhbar Islam (5 ZUlhijjah 1407 / 31 Julai 1987) issue 13, ditulis oleh Imam Al-Soouti :

Keadaan sebuah bukit kecil yang terletak di tepi jalan hendak ke Jelebu dari bandar Seremban sunyi sepi saja. Suasananya tenang dan damai. Cuma sesekali ketenangan itu dipecah oleh derauan kereta yang meluncur laju sama ada menempuh bandar Seremban ataupun menuju ke Jelebu.

Burung-burung berterbang riang. Berkicauan dan menyanyi memuji dan memuja Allah. Berzikir menyatakan keagungan Allah. Dari dahan ke ranting, burung-burung itu terbang penuh gembira dan riang ria. Tetapi sayang, semua sebutan zikir itu tidak terdengar oleh telinga hamba yang lemah.

Untuk naik ke bukit itu disiapkan tangga. Kira-kira dua atau empat minit meniti anak-anak tangga itu, kita kan sampai di puncaknya. Sesampai di puncak kita akan terpegun sejenak. Melihat satu pagar kecil di dalamnya berdiri sebuah wakaf kecil.

Di dalam pagar itu berdiri niasan-niasan kaku. Dua batang pokok tanjung yang merimbun di pinggir pagar itu terus menggugurkan bunganya menyebabkan kawasan itu menjadi harum semerbak. Berdiri di pagar (makam) itu kita berasa sebuah ketenganan turut berdiri dalam diri kita.

Di dalam pagar kecil itulah merupakan rumah terakhir (makam) Al-marhum Tuan Shaykh Muhammad Sa’id bin Tuan Shaykh Jamaluddin al-Linggi , seorang ulama dan guru tariqah yang terbesar di Negeri Sembilan. Allahyarham kembali menemui Allah pada 12 Rabiulawal dalam usia 62.

Allahyarham Tuan Shaykh Muhammad Sa’id merupakan seorang guru pengembang Tariqah Ahmadiah, bukan sahaja di negerinya (Negeri Sembilan) tetapi di seluruh Malaysia termasuk juga beberapa buah negara di rantau ini seperti Indonesia, Pattani, Singapura dan Kampuchea.

Keterkenalan dan ketinggian ilmu yang terkandung dalam tubuh badan Tuan Shaykh Muhammad Sa’id sebenarnya tidak perlu disebut dan cerita lagi. Masyarakat yang sezaman dengannya tahu mengenai itu semua. Malahan, kehebatan itu masih lagi disebut-sebut sampai ke hari ini, walaupun Allahyarham meninggalkan kita sudah lebih setengah abad.

Sememangnya, Allahyarham bukan calang-calang orang. Sebelum beliau menjadi guru, beliau telah berguru dengan berbagai guru. Dikatakan bahawa guru beliau tidak kurang 50 orang dan beliau juga pernah belajar agama di negara-negara Timur Tengah seperti Mesir, Makkah dan juga Madinah.

Ulama besar yang menjadi guru kepada Allahyarham adalah Tuan Shaykh Sayyid Muhammad bin Ahmad ad-Dandarawi iaitu murid kanan kepada Tuan Shaykh Sayyid Ibrahim al-Rashid yang berasal dari Sudan kemudian mangkat di Maa’la di Makkah. Tuan Shaykh Muhammad Sa’id telah menyambung bai’ah Tariqah Ahmadiah terus dari gurunya, iaitu Tuan Shaykh Muhammad ad-Dandarawi .

Dalam usahanya menyebarkan ajaran Islam dan ilmu mengenai Allah melalui Tariqah Ahmadiah, Almarhum telah memilih Ampangan Seremban sebagai pusatnya. Pada mulanya ajaran itu kurang mendapat sambutan, tetapi lama-kelamaan ajaran itu berkembang subur.

Oleh kerana keyakinan Tuan Shaykh Muhammad Sa’id kepada ilmu Allah, beliau dikurniakan Allah beberapa kelebihan. Segala kelebihan dan keistimewaan yang dipunyai itu, tidak mudah dipercayai oleh orang awam. Apalagi kalau seseorang itu tidak mempunyai ilmu yang banyak serta keyakinan yang kuat kepada kekuasaan Allah.

Sebagai seorang yang mengasihi Allah, yang rindu dan sentiasa cintai Allah, melalui zikirnya, sholatnya serta gerak geri kehidupannya, maka Tuan Shaykh Muhammad Sa’id dianugerahi oleh Allah itu semua.

Antara kelebihan dan keistimewaan yang terdapat kepada Almarhum Tuan Shaykh Muhammad Sa’id ialah beberapa koramah. Misalnya beliau boleh menyelam dalam air seberapa lama yang beliau mahu, tanpa menggunakan bantuan oksigen dan sebagainya.

Pernah terjadi keganjilan ini dan disaksikan oleh orang ramai. Ketika itu beliau mahu menyemberang Sungai Kelantan tatkala di tebing sebelah bandar Kota Bharu. Kebetulan perahu (motor bot) yang hendak ditumpang itu penuh. Tuan empunya motor bot tidak membenarkan Allahyarham naik kerana takut karam apabila muatan terlebih. Menyedari itu, Allahyarham tidak jadi naik motor bot itu. Tuan empunya motor bot itu terus menghidupkan enjin dan mengemudikan motor botnya. Sesampai saja di tebing sebelah sana, alangkah terperanjat mereka melihat Sidi Shaykh Muhammad Sa’id telah pun berada di tebing itu. Rupanya sebaik sahaja motor bot itu bergerak, Sidi Shaykh Muhammad Sa’id terus terjun ke dalam sungai dan dalam sekelip mata saja beliau sudah berada di tebing sana tanpa dibasahi setitik air pun.

Satu lagi kelebihan Almarhum adalah bersahabat dengan buaya. Terdapat satu sungai di negeri Kedah yang tidak digunakan oleh sesiapa pun kerana buaya di dalam sungai itu sungguh garang. Suatu hari dalam perjalanan Tuan Shaykh Muhammad Sa’id merasa letih dan mahu mandi. Beliau berhajat untuk mandi di sungai itu tetapi dilarang oleh penduduk kampung itu. Namun kerana mahu mandi juga, Allahyarham tidak mempedulikan larangan itu. Beliau terus terjun ke dalam sungai itu dan beberapa ekor buaya yang dikatakan garang mengelilinginya. Digosoknya buaya itu seekor demi seekor. Orang kampung yang tadi cemas mula kehairanan dengan melihat kejadian itu.

Tuan Shaykh Muhammad Sa’id memang menpunyai banyak kisah-kisah koramah. Satu lagi kisah yang berlaku ke atasnya ialah ketika Allahyarham dan anak muridnya sedang dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur untuk berdakwah. Matahari saat itu sungguh terik, menjadikan semua ahli rombongan panas dan dahaga. Air yang hendak diminum sudah tiada, apalagi kedai untuk membelinya. Salah seorang ahli rombingan itu ada membawa cerek air yang tidak berair. Melihat itu, Allahyarham mengambilnya dan meminta ahli rombingan itu berhenti rehat untuk minum air. Masing-masing berasa hairan, dari mana guru mereka itu hendak mendapatkan air. Tetapi oleh kerana Allahyarham suruh berhenti, maka masing-masing pun berhenti. Allahyarham mengambil cerek kosong itu dan lantas menuangnya seperti cerek yang berair. Air keluar dari cerek itu seperti cerek yang memang mempunyai air. Telah disaksikan oleh semua ahli rombingan itu dengan hairan sambil seorang demi seorang minum dari cerek itu.

Selain dari dikurniakan oleh Allah beberapa kelebihan dan keistimewaan yang jarang didapati oleh orang lain, Tuan Shaykh Muhammad Sa’id juga merupaka seorang dari ahli kashifeen, di mana beliau boleh mengetahui sesuatu yang ghaib.

Kebolehan Allahyarham ini terbukti bila suatu ketika, tiga orang pergi berjumpa dengan Tuan Shaykh Muhammad Sa’id untuk bertanya beberapa masalah. Kebetulan saat itu waktu Maghrib tiba. Tuan Shaykh Muhammad Sa’id terus sholat berjemaah bersama tiga orang pemuda itu. Selepas berwirid dan doa, tanpa tiga orang pemuda itu mengajukan pertanyaan, Tuan Shaykh Muhammad Sa’id terus menjawab soalan-soalan yang hendak dikemukakan satu persatu. Mendengar penjelasan itu, ketiga orang pemuda itu kehairanan kerana Allahyarham tahu akan soalan dan masalahnya.

Demikianlah kelebihan ilmu yang Allah kurniakan kepada kekasihnya yang mengembangkan Tariqah Ahmadiah itu.

Dalam amalan dan ajaran Tariqah Ahmadiah, Tuan Shaykh Muhammad Sa’id sangat menekankan kepada penyucian diri melalui tiga perkara –

selawat

zikrullah

membaca talqin khas Ahmadiah.

Penekanan kepada tiga perkara itu dalam Tariqah Ahmadiah adalah penting untuk membersihkan diri dari sifat-sifat mazmumah bagi membolehkan seorang itu menduduki martabat tertinggi dalam hidupnya.

Walaupun Tuan Shaykh Muhammad Sa’id telah meninggal dunia lebih satu abad, tetapi segala ilmu yang diajar dan diturunkan kepada anak-anak muridnya terus berkembang dan diamalkan.

Berkat itu semua menyebabkan nama ulama itu masih segar dalam kepala seluruh umat Islam di negara ini, apalagi kepada mereka yang mahu menghampiri diri kepada Allah melalui ilmu hakikat dan ma’rifat.

Penerusan ilmu Allahyarham terus sambung menyambung dan kalau diibaratkan kepada sungai, ianya mengalir terus. Beberapa orang anak-anak Allahyarham serta cucu-cucunya telah mewarisi ilmu yang dimiliki beliau.

Boleh dikatakan semua anak-anak Allahyarham muncul sebagai ulama dan menjadi guru. Antara anak-anak Allahyarham yang turut menjejaki langkahnya ialah Tuan Shaykh Abdullah , Tuan Shaykh Ahmad , Tuan Shaykh Mansor , Tuan Shaykh Muhammad Nur ,Tuan Shaykh Mahdi , Tuan Shaykh Ibrahim dan Tuan Shaykh Rashid . Namun, kesemuanya telah meninggal dunia. Cucu yang tertua dan terkehadapan pula adalah Tuan Shaykh Murtaza bin Shaykh Ahmad yang pada masih ini adalah Mufti Negara Kerajaan Negei Sembilan Darul Khusus.

 

SUMBER:
http://ulama.blogspot.com/2005/03/syeikh-muhammad-said-linggi.html
http://www.ahmadiah-idrisiah.com/article1.php

1 comment: