Monday, 25 July 2011

Bab Shiyam (Puasa)

Ini suatu bab pada menyatakan hukum puasa (mengikut mazhab syafie). Ketahui olehmu (akan) bahwasanya wajib puasa ramadhan Ramadhan itu (adalah ia) dengan salah satu daripada sembilan sebab wajib puasa;

1)Dengan sebab melihat (seseorang) sehari bulan (anak bulan) Ramadhan

2)Dengan sebab sempurna bilangan bulan sya’ban 30 puluh hari pada waktu tebal awan (tiada kelihatan)

3)Dengan khabar yang mutawatir (tidak terima dusta) dengan melihat akan dia (anak bulan) dan jikalau adalah khabar yang mutawatir daripada kafir sekalipun (wajib juga)

4)Dengan sebab menerima (membenar) oleh qadhi akan perkhabaran orang yang adil dengan melihat akan dia (anak bulan)

5)Dengan menghukum oleh qadhi yang mujtahid dengan sabit ramadhan jika menyata ia akan dalil tempat berpegangnya.

6)Dengan sebab membenar (percaya) ia (seseorang) akan khabaran orang yang melihat akan dia dan jikalau ada ia kanak-kanak dan orang yang fasiq sekalipun.

7)Dengan zhon timbul (masuk) bulan Ramadhan dengan ijtihad iaitu bagi orang yang kena tawan (penjara) dan umpamanya

8)Dengan sebab percaya ia akan orang yang berpegang ia dengan hisab (mengetahui ilmu falak) dan orang yang munajjim (orang yang tahu dengan melihat bintang) dengan timbul bulan Ramadhan maka wajib atas keduanya (hisab dan munajjim) dan atas orang yang membenar (percaya) akan kedua-dua puasa, telah berkata akan dia (hukum demikian) oleh Syeikh Ramli.

9)Dengan sebab melihat kepada beberapa tanda timbul (masuk) bulan Ramadhan seperti ia lihat akan beberapa qandil (lampu-lampu atau pelita-pelita) dan mendengar meriam yang dipasang(ditembak) akan dia dengan tertentu (khusus) bagi Ramadhan.

Maka bermula segala syarat wajib puasa (atas setiap mukallaf) itu empat perkara;

1)Islam (yang melengkapi iman)
2)Baligh
3)Aqil
4)Kuasa (mampu) atas puasa.

Bermula syarat sahnya (puasa seseorang) itu empat perkara pula;

1)Islam (hendaklah berkekalan Islam)
2)A’qil (mumayyiz)
3)Suci daripada haid dan nifas
4)Waktu yang menerima bagi sah puasa


Syahdan, bermula rukun puasa itu tiga perkara;

1)(Hal keadaan) niat dengan (di) hati
2)As-shoim ertinya orang yang puasa
3)Al-imsak ertinya menahan diri daripada barang yang membatal akan puasanya.

Dan disyaratkan (wajib) ta’ayyun (menentu) pada niat puasa fardhu iaitu bahawa berniat ia pada tiap-tiap malam bahawa ia (seseorang) puasa esok hari daripada Ramadhan atau daripada nazar atau daripada kaffarah dan tiada wajib niat fardhu.

Dan disyaratkan padanya bahawa menjatuh (dijatuh) akan niat itu pada waktu malam iaitu antara jatuh (terbenam) matahari dan naik fajar sodiq.inilah lafaz niatnya

(نويت صوم غد عن رمضان)

ertinya sahaja aku puasa esok hari daripada Ramadhan.

Tanbih, telah berkata Syeikh Qalyubi dan sunat bahawa berniat ia (seseorang) pada malam yang pertama daripada sebulan Ramadhan itu dengan

( نويت صوم شهر رمضان كله هذه السنة)

ertinya sahaja aku puasa satu bulan Ramadhan sekeliannya yang pada ini tahun

supaya memberi manfaat akan dia taqlid akan Imam Malik pada satu hari yang ia lupa akan niat puasa pada malamnya kerana memada pada Imam Malik dengan satu niat pada malam yang pertama daripada sebulan Ramadhan itu, intaha (akhir kalam Syeikh Qalyubi). Dan harus berniat pada puasa sunat pada siang hari dahulu daripada gelincir matahari.

Faslun, bermula yang membatal akan puasa itu (salah satu daripada) sembilan perkara;

1)Memasuk akan suatu a’in dunia kedalam rangka badan jikalau atas berubat sekalipun dengan sengaja lagi dengan ikhtiarnya serta diketahui akan haramnya daripada lubang yang asli seperti mulut dan dubur atau lubang yang baharu seperti menikam oleh seseorang akan perutnya maka sampai kedalam rangkanya.

2)Muntah dengan sengahja lagi diketahui akan haramnya dan dengan ikhtiarnya dan jika yakin ia akan tiada kembali suatu kedalam rangkanya sekalipun.

3)Jima’ dengan sengaja lagi dengan ikhtiarnya lagi diketahui akan haramnya dan jikalau pada dubur sekalipun.

4)Sengaja mengeluar akan mani

5)Kedatangan haid

6)Nifas

7)Wiladah, maka membatal ia akan puasa atas qaul yang asahnya

8)Kedatangannya gila pada suku harinya atau pitam pada sekelian harinya.

9)Murtad, berlindung kita dengan Allah daripadanya (murtad).


Masalah, tiada harus (haram) membuka puasa bagi umpama orang potong padi dan orang menggala(membajak) tanah dan orang tanam padi dan umpamanya melainkan (harus) dengan (salah satu daripada) 6 syarat;

1)Bahawa tiada dapat dita’khir akan kerjanya itu kepada bulan syawal

2)Bahawa tiada dapat dikerja akan dia pada malam atau dapat dikerja akan dia pada malam tetapi tiada memadai maka membawa kepada binasa ia

3)Bahawa masyaqqah atasnya puasa akan sebagai masyaqqah yang tiada tanggung pada adat.

4)Bahawa berniat akan puasa pada malam pada hal berpagi-pagi ia puasa maka jangan (haram) ia buka melainkan apabila hasil masyaqqah (kesukaran pada syara’) dan u’zur (pada syara’).

5)Bahawa berniat ia akan tarakhkhus (syara’ memberi kemudahan) dengan membukanya itu.

6)Bahawa jangan qasad ia dengan kerjanya itu bagi kerana hendak membuka puasa jua.

Maka, apabila ia (seseorang) dapat segala syarat yang enam ini maka haruslah ia buka puasa sama ada pekerjaan itu bagi dirinya (kerja sendiri) atau bagi orang lainnya (makan gaji) tetapi wajib ia (seseorang) qodho’ apabila selesai daripada kerjanya. Wallahua’lam..

RUJUKAN: Hidayatus Sibyan karangan Abu Abdullah Husain Nasir bin Muhammad Thaib al-Mas’udi al-Banjari

1 comment: